"Ketika Aku menciptakan
seorang wanita, ia diharuskan untuk
menjadi seorang yang istimewa. Aku
membuat bahunya cukup kuat untuk
menopang dunia; namun, harus cukup
lembut untuk memberikan kenyamanan "
"Aku memberikannya
kekuatan dari dalam untuk mampu
melahirkan anak dan menerima penolakan
yang seringkali datang dari anak-anaknya "
"Aku memberinya
kekerasan untuk membuatnya tetap tegar
ketika orang-orang lain menyerah, dan
mengasuh keluarganya dengan penderitaan
dan kelelahan tanpa mengeluh "
"Aku memberinya kepekaan
untuk mencintai anak-anaknya dalam
setiap keadaan, bahkan ketika anaknya
bersikap sangat menyakiti hatinya "
"Aku memberinya kekuatan
untuk mendukung suaminya dalam
kegagalannya dan melengkapi dengan
tulang rusuk suaminya untuk melindungi
hatinya "
"Aku memberinya
kebijaksanaan untuk mengetahui bahwa
seorang suami yang baik takkan pernah
menyakiti isterinya, tetapi kadang
menguji kekuatannya dan ketetapan
hatinya untuk berada disisi suaminya
tanpa ragu"
"Dan akhirnya, Aku
memberinya air mata untuk dititiskan dan
ini adalah khusus miliknya untuk
digunakan bilapun ia perlukan."
"Kau tahu;kecantikan
seorang wanita bukanlah dari pakaian
yang dikenakannya, susuk yang ia
tampilkan, atau bagaimana ia menyisir
rambutnya."
"Kecantikan seorang
wanita harus dilihat dari matanya,
kerana itulah pintu hatinya.. Tempat
dimana cinta itu ada."
Kirimkan ini kepada
setiap wanita yang anda kenal hari ini
untuk memperingati Wanita. Jika Anda
lakukan, sesuatu yang baik akan terjadi.
Anda akan menambah harga diri wanita!
Kirimkan msg ini juga
kepada kaum lelaki, supaya mereka sedar
dan ingat akan kecantikan wanita mereka
yang azali.. bukan pada kecantikan
luaran semata-mata. Selamilah hati
wanita mu.. dan ingat lah...
Setiap Wanita itu Cantik.
Suami durjana
am@hmetro.com.my
2010/04/12
KUALA LUMPUR: Akibat cemburu, seorang pemandu lori berusia 31 tahun layak digelar ‘menantu hantu’ kerana bukan saja membelasah isterinya hampir setiap hari, malah tergamak memukul ibu mentuanya di depan ibu sendiri.
Ketika kejadian, kedua besan terbabit sedang berbincang mengenai usaha untuk menjernihkan masalah yang dihadapi pasangan muda itu, di rumah sewa pasangan terbabit di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Difahamkan, pasangan yang mempunyai cahaya mata berusia lima bulan itu terpaksa berpisah sementara menanti keputusan mahkamah selepas lelaki itu melafazkan talak kali kedua beberapa minggu lalu.
Bagaimanapun, lelaki itu tidak dapat menerima hakikat perpisahan dengan alasan masih menyayangi isteri dan anaknya walaupun dia pernah melafazkan talak tahun lalu.
Mentua terbabit, yang hanya mahu dikenali sebagai Esah, 56, berkata menantunya itu pernah bertindak ganas dengan memukul dan memaki hamun isterinya dihadapan dirinya.
Selain itu, katanya dia (menantu) turut memaksa anaknya mengadakan hubungan kelamin, walaupun mereka telahpun berpisah kerana percaya tindakannya melafazkan talak terhadap bekas isterinya tidak wujud.
Menantu katanya, pernah mengugut untuk membunuh isteri dan dirinya kerana bimbang isterinya akan berkahwin lain, jika mereka ditakdirkan berpisah.
“Walaupun sering memberi alasan menyesal selepas perbuatannya itu, dia seolah-olah tidak pernah serik dan semakin kerap membelasah isterinya walaupun atas kesilapan kecil.
“Lebih perit, isterinya yang baru berusia 23 tahun itu pernah ditendang hingga terjatuh ketika sedang mengandung enam bulan.
“Isterinya juga turut dituduh mengandungkan anak luar nikah walaupun tidak pernah sekalipun wanita itu berganjak dari sisinya sejak berkahwin dua tahun lalu,” katanya.
Menurut Esah, sepanjang usia perkahwinan anaknya, lelaki itu sering menuduh isterinya memiliki ‘teman istimewa’ tanpa usul periksa.
Malah, katanya isterinya yang bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital di utara tanah air turut pernah diserang dan dibelasah lelaki terbabit di hadapan pesakit ketika sedang bertugas.
“Walaupun berkali-kali isterinya menafikan kewujudan pihak ketiga, lelaki itu enggan percaya dan mengalih perhatian dengan menuduh saya (mentua) pula sebagai perosak rumah tangga hanya kerana cuba untuk menenangkan keadaan.
“Ibu mana yang tidak sedih melihat anak sendiri diperlakukan seperti binatang, ditendang dan ditampar kerana enggan mengikut kemahuannya” katanya.
Katanya, bekas menantunya akan menggunakan taktik sama dengan memujuk rayu, malah pernah sujud di kakinya dan menangis seperti kanak-kanak hingga sesiapa yang mendengar rintihannya akan terpedaya.
Pelbagai alasan seperti sudah bertaubat dan berubah demi anak diluahkan setiap kali sedar daripada perbuatan kejinya itu.
“Setiap perbuatannya terhadap saya dan anak, kami diamkan saja kerana percaya dia mampu berubah, tapi janjinya bohong semata-mata” katanya yang serik dengan janji kosong lelaki itu.
Bimbang kejadian sama terus berulang, kedua beranak itu kini trauma dan hidup umpama pelarian dan terpaksa menumpang di rumah saudara-mara di seluruh negara, sejak awal minggu lalu bagi mengelak daripada dikesan.
Atas nasihat saudara-mara, kedua beranak terbabit membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (Georgetown) Pulau Pinang, bulan lalu.
Mayat dalam tong sampah
mdfuzi@hmetro.com.my
2010/04/12
RAWANG: Masih tidak berkesudahan apabila manusia berhati syaitan sanggup membunuh zuriat sendiri dengan memilih tong sampah sebagai ‘kubur’ insan cilik ini.
Sungguh menyayat hati apabila bayi lelaki dipercayai dilahirkan dalam tempoh 24 jam lalu ditemui mati dengan berbalut empat beg plastik sebelum dibuang dalam tong sampah di Kampung Tanjung, dekat Sungai Choh, di sini, semalam.
Bayi sempurna sihat dengan kesan berdarah ditemui Mohd Kamil Enoh, 44, yang juga pekerja syarikat kutipan sampah swasta Hulu Selangor, jam 8 pagi.
Menurutnya, ketika mengambil sampah yang terdapat dalam dua tong, dia terkejut menemui satu bungkusan berat dibalut beg plastik cerah yang terdapat dalam tong sampah itu.
Katanya, ketika itu dia cemas, namun memberanikan diri membuka bungkusan itu.
“Mulanya saya nampak kaki bayi. Selepas dibuka keseluruhan pembalut itu sangkaan awal bayi dibuang memang benar sekali.
“Saya sebak dan menggigil. Bayi itu masih bertali pusat dibuang bersama urinya yang masih baru dilahirkan kerana terdapat beberapa tompokan darah padanya,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, dia mendapatkan bantuan peniaga gerai nasi ayam bersebelahan tempat kejadian bagi menghubungi polis memaklumkan perkara itu.
Katanya, pengalaman itu cukup menyentuh hatinya selepas tujuh tahun bekerja mengutip sampah di beberapa kampung di Sungai Choh itu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, polis menerima laporan mengenai penemuan bayi berkenaan dan sedang menjalankan siasatan lanjut.
“Mayat dihantar ke Rumah Mayat Hospital Kuala Kubu Bharu, jam 9.15 pagi untuk bedah siasat.
“Sehingga kini tidak ada sebarang tangkapan dilakukan berhubung kejadian itu,” katanya.
Jaja ‘daging hidup’
abwahab@hmetro.com.my
2010/04/12
KLANG: Sebuah kedai makan di kawasan ternakan ayam daging di Ladang Kelapa Sawit, Telok Gong, Pandamaran di sini disifatkan ‘unik’ kerana selain menjual makanan dan minuman, ia turut menyediakan perkhidmatan sampingan dengan menyediakan gadis warga China sebagai teman istimewa.
Perkhidmatan itu bagaimanapun terhad kepada beberapa ketika, malah pengusaha terbabit akan menutup sementara premis terbabit sekiranya mengetahui kehadiran pihak berkuasa.
Bagaimanapun, kegiatan peniaga terbabit dihidu pihak berkuasa sebelum serbuan dibuat bermula jam 12 malam semalam dan berakhir kira-kira dua jam kemudian.
Operasi itu diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, Deputi Superintendan Roslan Ibrahim bersama 18 anggota hasil maklumat orang ramai.
Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata polis menahan empat wanita warga China ketika sibuk melayan lapan pelanggan. Turut ditahan seorang lelaki dan wanita tempatan dipercayai penjaga mereka dan semua mereka dibawa ke IPD Klang untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, pihaknya menerima maklumat terdapat 10 wanita warga asing menjalankan kegiatan tidak bermoral di kawasan itu sebelum polis mengatur strategi bagi memberkasnya.
“Kami percaya premis terbabit mula beroperasi sejak setahun lalu dengan membuka dan menutup perniagaan mengikut kesesuaian masa bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan.
“Namun, kami dapat menahan empat wanita warga China berusia dalam 20-an manakala selebihnya dipercayai sudah dibawa keluar pelanggan lebih awal untuk berhibur di lokasi lain,” katanya di sini, semalam.
Kedudukan kawasan terbabit agak tersorok jauh dalam hutan berhampiran kawasan menternak ayam daging dan hanya boleh dimasuki melalui jalan tidak berturap.
Mohamad berkata, semua wanita warga asing itu kini ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/1963 kerana bekerja tanpa permit manakala penjaga mereka pula ditahan mengikut akta sama kerana melindungi warga asing.
“Kami akan meminta kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk mengenal pasti sama ada premis itu beroperasi secara sah kerana kami tidak menjumpai lesen atau sebarang permit,” katanya.
Wanita Iran maut jatuh tingkat 14
2010/04/12
KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Iran ditemui mati oleh rakan serumahnya selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 14, sebuah pangsapuri perkhidmatan 16 tingkat di Jalan Munshi Abdullah di sini, semalam.
Beberapa cebisan daging mangsa dilihat bertaburan sekitar lokasi kejadian yang bersebelahan tapak pembinaan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Zulkarnain Abd Rahman ketika dihubungi berkata, mangsa, Robabeh Mahdi, 23, dipercayai mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
“Mayat Robabeh yang juga pelajar sebuah kolej swasta di ibu negara ditemui rakan serumahnya kira-kira 1 pagi tadi (semalam).
“Mangsa tinggal di pangsapuri terbabit bersama seorang rakan tetapi teman serumahnya itu dikatakan keluar kira-kira 10 minit sebelum kejadian,” katanya.
Mohd Zulkarnain berkata, teman serumahnya menyedari mangsa terjatuh selepas mendapati dia tiada di bilik dan melihat tingkap bilik mangsa terbuka.
Katanya, rakan mangsa mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena selepas mendapati tingkap bilik mangsa terbuka luas.
Beliau berkata, rakannya kemudian menjenguk ke bawah bangunan itu dan terkejut apabila mendapati tubuh Robabeh dalam keadaan terbaring berlumuran darah berada di aras bawah pangsapuri terbabit.
Sepasukan anggota Unit Forensik kemudian tiba di lokasi kejadian dan melakukan penyiasatan termasuk kediaman yang diduduki mangsa.
Mangsa buli bunuh diri
DORSET (England): Seorang remaja maut selepas melompat dari bangunan meletak kenderaan, dipercayai akibat tidak tahan dibuli, semalam.
ROBYN...gagal diselamatkan.
Beberapa saksi yang curiga dengan tindak-tanduk Robyn menghubungi polis sebaik saja remaja terbabit berada di posisi bahaya tetapi dia terjatuh sebelum pasukan keselamatan tiba.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4.20 petang di Weymouth.
Walaupun tidak dapat dipastikan mengapa Robyn membunuh diri, kenyataan beberapa rakannya dalam Facebook menggambarkan dia mungkin tertekan akibat dibuli.
“Saya tak faham mengapa kita berbeza. Saya benar-benar sedih Robyn menyangka membunuh diri dapat menyelesaikan masalahnya,” katanya.
Sementara itu, saksi, Steve Kink, 49, berkata dia berada di sebuah bar apabila ternampak Robyn berbaring kira-kira tiga meter dari tebing bangunan berkenaan.
“Dia seolah-olah bersantai.
“Saya memberitahu rakan, tetapi sebelum sempat berbuat apa-apa, dia sudah tiada di situ,” katanya.
Walaupun tidak melihat Robyn melompat, Kink berkata, remaja itu mungkin memanjat tembok penghadang setinggi kira-kira satu meter sebelum jatuh.
Walaupun cuba diselamatkan, Robyn menghembuskan nafas terakhirnya tidak lama kemudian.
Kata Kink, Robyn mengalami cedera parah.
Saksi lain, Keryn Walden-Reece, 27, berkata Robyn seperti bercakap dengan seseorang yang ada di jalan di bawah bangunan berkenaan. - Agensi.
Kena sebat setiap hari
maryvictoria@hmetro.com.my
2010/04/15
KOTA TINGGI: Hanya kerana anak menangis, seorang wanita berusia 25 tahun hidup bagaikan tahanan perang kerana terpaksa menadah belakang dan punggung untuk dibelasah suaminya yang panas baran dengan tali pinggang tanpa henti selama 10 minit.
Suri rumah berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Zarimah berkata, kejadian hampir setiap hari itu, bagaikan satu kaedah hukuman dilaksanakan suaminya yang berusia 26 tahun, seorang penjual sayur di Kulai di sini dengan alasan mahu membentuknya menjadi isteri bertanggungjawab.
“Setiap kali naik angin, suami mencapai apa sahaja barang bersebelahannya termasuk tali pinggang, pasu bunga, botol susu anak atau kunci rumah untuk memukul saya.
“Bayangkan, jika anak menangis, saya terpaksa bersedia menerima hukumannya hingga mengakibatkan saya lebam dan alami kecederaan di punggung serta anggota badan lain,” katanya.
Menurut Zarimah, kejadian sama berulang sekiranya dia melakukan kesalahan kecil di rumah, termasuk lambat membancuh susu anak, mahu pun terlupa menyusun ikan dan sayur-sayuran dalam van yang digunakan suami.
Menurutnya, suasana itu menyebabkan dirinya seolah-olah menjalani kehidupan di neraka biarpun membina rumah tangga pada usia 17 tahun atas dasar suka sama dengan lelaki dari Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram di sini.
“Demi menyelamatkan rumah tangga, saya membohongi keluarga yang sangsi apabila nampak kesan lebam dan kecederaan pada anggota badan saya.
“Saya kata ia akibat terjatuh di bilik air atau terbabit kemalangan ketika membuat kerja harian di rumah.
“Malah, saya juga terpaksa merawat kecederaan sendiri. Suami tidak pernah memberi kebenaran untuk ke klinik mahupun hospital bagi mendapatkan rawatan kerana bimbang perbuatannya terbongkar,” katanya.
Ibu dua anak berusia tujuh dan dua tahun itu berkata, dia pernah melaporkan perbuatan suaminya sebanyak empat kali di Balai Polis Kota Tinggi dan Ulu Tiram termasuk pada 5 Ogos, 28 Oktober, 12 Mac lalu dan Ahad lalu.
Menurutnya, dia terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 12 Mac lalu akibat kecederaan teruk di punggung dan paha.
“Saya masih trauma dengan perbuatan suami menolak saya di pintu jeriji dan memaksa saya berhutang dengan keluarga nenek bagi membayar tunggakan ansuran kereta.
“Dia juga mengugut akan membunuh saya dan anak jika gagal mendapatkan wang itu.
“Saya terpaksa melarikan diri ke rumah jiran dan mengambil keputusan berpisah dengan suami demi masa depan anak,” katanya yang turut melaporkan masalah dialaminya pada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Isteri takut dicerai ugut bunuh diri
2010/04/15
KUANTAN: Seorang suri rumah mengugut mahu membunuh diri selepas kecewa dengan tindakan suami ingin menceraikannya kerana tiada persefahaman selain mendakwa tidak mampu memberi nafkah di sini, baru-baru ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, si suami berusia 48 tahun dan bekerja sebagai pembantu am rendah di sebuah maktab di sini, memberitahu isterinya yang berusia 40 tahun masjid yang mereka bina selama ini akan runtuh.
Difahamkan, si isteri yang terkejut mengugut mahu membunuh diri jika suami melafazkan cerai.
Sebelum ini, si isteri pernah ditahan di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kerana menelan ubat berlebihan.
Bagaimanapun, kehidupan rumah tangga pasangan itu kembali tenang sebelum bergolak semula beberapa hari kemudian apabila si suami memberitahu tiada persefahaman dalam perkahwinan serta tidak mampu memberi nafkah.
Si suami membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kerana bimbang dituduh membunuh isteri.
Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Zulkifli Taha, ketika dihubungi di sini, semalam, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Seagal simpan hamba seks
2010/04/15
LOS ANGELES: Pelakon filem aksi, Steven Seagal disaman bekas pembantunya atas tuduhan melakukan gangguan seksual.
Dalam saman berjumlah AS$1 juta (RM3.2 juta) itu pembantunya, Kayden Nguyen, 23, mendakwa dia dilayan sebagai ‘bahan mainan seks’ oleh pelakon itu.Kayden Nguyen juga mendakwa bintang Under Siege itu menyimpan dua wanita muda Russia sebagai hamba seks.
Mereka dikehendaki bersedia melayan kehendak seks pelakon itu ‘24 jam sehari, tujuh hari seminggu.’
Kayden mendakwa dia diambil bekerja oleh Seagal sebagai ‘pembantu eksekutif’ selepas menjawab satu iklan tawaran bekerja Februari lalu.
Menurut dokumen yang dikemukakan Kayden, dia yakin memperoleh pekerjaan yang diidam-idamkannya selepas diterima bekerja.
Dia kemudian berlepas ke kawasan luar bandar di Louisiana untuk tinggal di kediaman Seagal.
Di rumah itu, kata Nguyen, dia digomol sebelum melarikan diri dengan bantuan seorang pemandu teksi.
Seorang peguam Seagal, dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada laman web TMX.com menolak tuduhan itu dan menganggapnya sebagai karut.
“Saman yang dikemukakan Kayden Nguyen terhadap Steven Seagal adalah tuduhan karut oleh seorang bekas kakitangan yang dipecat kerana terbabit dengan dadah,” kata Marty Singer.
Tuduhan terhadap Seagal, 58, yang kini terkenal dengan siri televisyen, ‘Steven Seagal: Lawman’ membabitkan gang- guan seksual, menyeludup wanita untuk seks, gagal menghalang gangguan seksual dan memecat pekerjanya tanpa sebab. - Agensi,
Pelajar Tingkatan Lima lari ikut kekasih
KULIM – Seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima telah tidak pulang ke rumah sejak 45 hari lepas — dipercayai lari mengikut kekasihnya yang dikenalinya di sebuah pasar malam.
Bapa gadis itu, Mohd. Tahir Lazim, yang membuat laporan di Balai Polis Sungai Karangan di sini mengenai kehilangan anak gadisnya itu pada 6 Mac lepas, amat berharap anaknya pulang ke rumah.
Katanya, motosikal yang digunakan anaknya itu, Norhafizah, 17, untuk pergi ke sekolah setiap hari turut hilang bersama gadis itu pada hari dia menghilangkan diri pada 1 Mac lepas.
Mohd. Tahir, 55, seorang pemandu lori, berkata, pada hari kejadian, anak gadisnya itu telah menunggang motosikal bersama-sama adik lelakinya, Mohd. Tasmin, 14, untuk pergi ke Sekolah Menengah Sungai Karangan pada kira-kira pukul 7 pagi.
"Tetapi seperti yang diberitahu oleh Mohd. Tasmin, kakaknya itu pada hari tersebut tidak terus ke sekolah, tetapi setelah menghantarnya memberitahunya dia mahu pulang ke rumah kerana mahu menukar pakaian seragam sekolah dan akan datang semula ke sekolah untuk menghadiri kelas”, kata Mohd. Tahir kepada pemberita di rumahnya di Kampung Paya Jemarli, dekat sini, hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pelajar itu diminta menghubungi mana-mana balai polis atau Mohd. Tahir di talian 019-4238711. – Bernama.
Makin ramai gadis tinggalkan rumah
2010/04/20
JEDDAH: Semakin ramai gadis tempatan dilapor lari daripada rumah.
Jurucakap Pertubuhan Islam untuk Wanita dan Keluarga (IMOWF), Khalid Bahaziq berkata, statistik itu berdasarkan jumlah kes yang dikendalikannya.
“Lebih teruk, mereka tidak memiliki perancangan lanjut menyebabkan mereka terbabit dalam kegiatan tidak bermoral, termasuk melacur dan mengedar dadah,” katanya yang memiliki PhD dalam bidang psikologi.
Pakar psikologi keluarga, Salma Seibeh menyalahkan pendedahan Internet dan televiyen sebagai punca gadis lari daripada rumah.
“Mereka membandingkan cara hidup Barat dan keluarga yang lebih konservatif menyebabkan mereka memberontak dan lari atau membunuh diri,” katanya. Media tempatan melaporkan, 850 wanita Saudi lari daripada rumah pada 2007 dan 70 daripadanya kini berlindung di rumah perlindungan wanita dikendalikan Kementerian Hal Ehwal Sosial. - Agensi
Misteri mayat wanita hamil
anbia@hmetro.com.my
2010/04/20
KUALA LUMPUR: Identiti seorang wanita hamil yang ditemui mati dipijak sebelum mayatnya dibuang berhampiran Taman Tasik Perdana di sini, terus menjadi tanda tanya apabila mayat mangsa belum dituntut walaupun selepas lima hari ditemui.
PETUNJUK...baju dan seluar mangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata polis masih mengenal pasti identiti mangsa berikutan tiada laporan polis berhubung kehilangan mangsa berkenaan.
Menurutnya, mayat mangsa juga masih tidak dituntut individu yang kehilangan ahli keluarga di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Berdasarkan siasatan, mangsa mempunyai berat kira-kira 70 kilogram dan memiliki ketinggian 157 sentimeter. Mangsa juga berambut panjang, sedikit kerinting dan hitam.
“Ketika ditemui, mangsa memakai kasut Arohai dengan tumit satu inci selain memakai jam tangan Omega,” katanya.
Beliau berkata, mangsa turut memakai baju yang mempunyai manik berwarna pada kolar hadapan dan seluar panjang.
“Siasatan mendapati tiada tanda suntikan cacar pada lengan mangsa berikutan mayat mangsa sudah reput. Bagaimanapun, polis mengesyaki wanita yang mati dibunuh berkenaan berbangsa India,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan anggota keluarga supaya tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.
Dalam kejadian Khamis lalu, mayat seorang wanita hamil yang lengkap berpakaian ditemui dalam keadaan reput dan berulat di kawasan rekreasi Taman Tasik Perdana di sini.
Difahamkan mayat wanita berkenaan dijumpai orang awam yang melalui kawasan terbabit jam 6.30 petang.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sudah mati enam hari akibat dijerut di leher dengan menggunakan sapu tangan selain terdapat kesan mangsa dipijak di perut.
Amah dakwa didera 6 bulan
2010/04/20
KUALA LUMPUR: Dia bukan saja ditampar, dipijak, ditendang, malah turut ‘disebat’ menggunakan paip getah, penyangkut baju dan tali pinggang saban hari.
Tidak cukup dengan itu, mangsa tidak dibenarkan keluar dari kawasan rumah dipercayai mengelakkan kekejaman majikan dan ahli keluarganya itu diketahui umum.
Itu penderitaan seorang pembantu rumah berusia 30-an yang didera lebih enam bulan lalu oleh majikannya.
Namun, penderitaan pembantu rumah itu berakhir Khamis lalu apabila dia meloloskan diri kira-kira jam 12 tengah hari selepas dibelasah majikannya lebih 20 minit.
“Sebelum ini mangsa mendakwa sering dimarahi, namun sejak enam bulan lalu majikannya mula menggunakan kekerasan terhadapnya,” katanya.
Sumber berkata, mangsa melarikan diri melalui pintu belakang rumah sebelum menahan sebuah teksi dan memintanya membawa ke balai polis berhampiran.
Difahamkan, majikannya yang menyedari kehilangan pembantu rumahnya itu keluar mencari mangsa, namun gagal.
Sumber berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan di sini dan sebaik menerima laporan berkenaan, sekumpulan anggota polis ke rumah suspek dan menahannya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan memberitahu kes berkenaan dirujuk kepada Balai Tun H S Lee bagi siasatan lanjut.
Enggan terus berzina
Soalan
SAYA pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berusia 22 tahun dan mempunyai masalah yang sudah setahun menghantui hidup saya.
Saya mempunyai kekasih dan dia tidak mempunyai pekerjaan tetap. Bagaimanapun, dia mempunyai pendapatan lumayan hasil daripada kerjanya sebagai pemandu pelancong dan pemandu kenderaan apabila ada orang ingin melancong ke negara jiran.
Buat pengetahuan Dr, kami sudah berulang kali terlanjur. Saya ada menyatakan hasrat untuk berkahwin bagi mengelakkan kami terus dibelenggu dosa dan dia bersetuju.
Namun, apabila saya menyuarakan hasrat untuk berkahwin, keluarga menentang dengan alasan saya masih belajar dan kekasih tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Disebabkan tentangan keluarga itu, saya pernah terfikir untuk bernikah di Siam. Namun, apabila memikirkan keluarga, saya membatalkan hasrat itu.
Saya berulang kali memujuk keluarga tetapi tidak berhasil. Saya dan kekasih cuma inginkan hubungan yang halal bagi kami dan ingin mengakhiri episod dosa yang kami lakukan.
Dr, apa yang harus saya lakukan? Adakah saya patut bernikah saja di Siam tanpa pengetahuan keluarga atau kami terus dengan hidup yang penuh dosa jika saya perlu menunggu pihak keluarga memberikan restu kepada hubungan kami.
Gadis Keliru.
KEDAH
JAWAPAN:
ZINA adalah terlarang dan perlu dijauhi. Firman Allah dalam surah Al-Israa, ayat 32 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)".
Memandangkan adik dan kekasih sudah terlanjur, pengurusan masalah perlu dilakukan dengan sebaik mungkin dan berlandaskan agama. Niat adik untuk berkahwin adalah baik.
Perkahwinan disyariatkan oleh al-Quran, Sunnah dan Ijmak Ulama. Firman Allah, "Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki & perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari kalangan hamba-hamba kamu lelaki dan perempuan..." (Surah An-Nur : 32) .
Perkahwinan yang tidak mendapat restu keluarga dan kahwin lari sering kali membawa kesan yang lebih banyak buruk dari baiknya.
Justeru, apabila adik membatalkan niat untuk tidak kahwin lari di Siam, tindakan adik itu adalah rasional. Perkahwinan direstui ibu bapa adalah perkahwinan yang berkat dan boleh membawa kebahagiaan rumah tangga.
Dr tidak tahu apa sebenarnya yang adik jelaskan kepada ibu bapa apabila memujuk mereka untuk membenarkan adik berkahwin dengan teman lelaki. Adakah adik jujur dengan menceritakan bahawa adik sudah beberapa kali terlanjur atau tidak?
Ini kerana, maklumat yang tidak mencukupi boleh menyebabkan sesuatu keputusan yang bijak tidak boleh diambil.
Oleh itu, perancangan yang rapi sangat penting dalam sesuatu proses perundingan kerana ia adalah proses memujuk dan adik perlu melihat isu sebenar penolakan ke ibu bapa terhadap perkahwinan adik. Begitu juga apakah tindakan atau tawaran terbaik yang adik boleh berikan kepada mereka.
Penolakan daripada ibu bapa dengan alasan adik masih belajar dan kekasih tidak mempunyai pekerjaan tetap adalah berlandaskan kasih sayang dan keinginan mereka melihat adik bahagia.
Justeru, apabila adik ingin memujuk, perlu ada persiapan rapi dengan memberitahu mereka akan segala perancangan dari sudut pelajaran dan kerjaya kekasih. Biar mereka yakin dengan perancangan masa depan kalian. Ini kerana keyakinan itu adalah sangat penting untuk mereka menyetujui hubungan adik berdua.
Pilihan sama ada bernikah di Siam tanpa pengetahuan keluarga atau terus hidup bergelumang dosa jika perlu menunggu restu keluarga menunjukkan seolah-olah adik sudah membuat keputusan.
Dalam hal ini, adik perlu melihat alternatif lain seperti mencari penyelesaian kepada faktor-faktor penyebab keluarga menghalang, meminta kekasih mencari pekerjaan yang tetap atau menceritakan sebab sebenar adik ingin berkahwin.
Langkah itu akan membuka peluang kepada perbincangan yang lebih baik dengan ibu bapa dan kebarangkalian untuk mendapatkan persetujuan daripada mereka adalah tinggi.
Adik juga boleh berjumpa dengan Jabatan Agama untuk mendapatkan nasihat dan maklumat terperinci mengenai perkahwinan yang tidak direstui ibu bapa tetapi perlu untuk mengelak daripada berterusan melakukan dosa.