Godaan pak hitam
metahad@hmetro.com.my
2010/04/18
KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang sudah bercucu bukan saja lebur lebih RM600,000, malah tergamak mengheret suaminya yang menghidap penyakit angin ahmar ke mahkamah untuk menuntut cerai selepas menjadi angau dek panahan cinta palsu playboy warga Afrika.
Menceritakan kisahnya ketika ditemui baru-baru ini, kata Sofea, dia mula menyedari diperdayakan apabila wang simpanan serta tabungan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah lebih RM600,000 hangus begitu saja.
“Sebelum itu, apabila mengetahui dia ditahan  pihak berkuasa, saya masih menghubunginya dan menyediakan tiket  penerbangan untuk dia pulang ke Nigeria pada Mei tahun lalu.
 “Namun hati saya menjadi tidak keruan sepanjang dia pulang, menyebabkan  saya membuat kerja gila apabila sanggup menaiki penerbangan selama 14  jam untuk ke negara terbabit semata-mata untuk bertemu lelaki berusia 42  tahun itu,” katanya.
Sebaik tiba di negara itu, dia  terkejut apabila mendapati lelaki itu yang dikenali sebagai Fareed hidup  mewah dengan memiliki pelbagai aset seperti perniagaan, ladang ternakan  ikan, beberapa unit pangsapuri yang disewakan serta banglo mewah.
“Dia mengaku semua harta diperoleh hasil kegiatan jahat dengan memperdayakan wanita bukan saja di Malaysia, malah beberapa negara lain.
 “Setiap kali dihantar pulang oleh pihak berkuasa tempatan, dia mencari  lokasi baru untuk dikunjungi semata-mata mengikis wanita malang lain  sebagai cara mudah mencari kekayaan,” katanya yang masih tidak boleh  melupakan teman lelakinya.
Bagaimanapun, menurut Sofea,  lelaki terbabit masih menghubunginya menggunakan SMS bagi meminta  bantuan kewangan menggunakan pelbagai alasan di samping berjanji akan  mengahwininya.
“Ketika dia di negara ini, saya sedar pada  masa sama saya ‘dimadukan’ dengan wanita tempatan lain, namun tidak  mampu meninggalkannya.
“Walaupun pernah diserang teman  wanitanya yang lain kerana didakwa merampas Fareed, saya tidak peduli,  malah sanggup berjanji sehidup semati dengannya,” katanya.
 Menceritakan kisah pertemuan mereka dua tahun lalu, Sofea berkata, dia  diperkenalkan kepada Fareed oleh rakannya yang turut menjalin hubungan  dengan lelaki Afrika.
“Di awal perkenalan, Fareed sering  menyediakan makanan dan saya dihidangkan makanan negara asalnya iaitu  pisang bakar dan herba. Bermula daripada situ, saya menjadi gila bayang  seolah-olah angau walaupun pada mata kasarnya Fareed bukan kacak.
“Keadaan saya seolah-olah lembu dicucuk hidung. Apa saja permintaannya, termasuk menyewakan sebuah kondominium untuknya, saya turutkan walaupun keadaan kewangan saya tidak menentu,” katanya yang kini menjalani rawatan perubatan tradisional kerana percaya terkena ‘ubat guna-guna’ Fareed.
Dia mendakwa pada mulanya tidak  pernah menyimpan perasaan pada Fareed, namun sikap romantik dan  penyayang lelaki itu menyebabkan dia ‘cair’.
“Jika  bersamanya, hidup saya terasa indah dek termakan janji manisnya, apatah  lagi saya yang bergelar nenek dipanggil dengan panggilan manja seperti  ‘sweetheart’, ‘baby’ dan ‘princess’. Semua itu menyebabkan saya lupa  diri serta suami yang sakit.
“Tiba-tiba saja saya berubah  sikap daripada seorang yang cermat kepada pemboros gara-gara mengikut  kehendak gilanya hingga licin semua wang simpanan dan tabungan KWSP  hasil titik peluh bekerja selama 30 tahun,” katanya.
 Menyifatkan hidupnya kini semakin terumbang ambing serta hilang pedoman,  Sofea kesal kerana tindakan bodohnya juga menyebabkan keluarganya kini  berpecah belah, apatah lagi anak kini tidak mempercayainya.
 Lebih menyedihkan, katanya, ketika anak meminta bantuan, Sofea yang  sebelumnya ibu penyayang tidak menghiraukan mereka, sebaliknya lebih  mengutamakan Fareed.
Ketika ditemui, Sofea turut menunjukkan  SMS kiriman Fareed yang penuh kata-kata manis, antaranya:   “Good nyte  my sweetheart, thank 4 all the love and kindness... i believe u darling.  i want to live the rest of my life with u. Baby, u r my pride.. i want  to join u as as soon as possible. Sleep well and dream of me, your poor  lonely husband.
(Selamat malam kekasih hatiku. Terima kasih  di atas kasih sayang dan kebaikanmu. Aku percaya padamu sayang. Aku akan  menghabiskan sisa hidupku bersamamu. Sayangku, engkau kebanggaanku dan  aku berjanji untuk bersamamu secepat mungkin. Tidurlah dengan lena dan  mimpikan diriku, suamimu yang lemah dan kesepian).
Sofea  kini percaya kebanyakan warga Afrika yang menjalin hubungan dengan  wanita tempatan mempunyai niat terselindung sama ada mahu mengikis harta  mereka, sekadar memuaskan nafsu atau menjadi alat bagi melakukan  aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Bagi memudahkan  menjerat mangsa, mereka dipercayai menyiasat latar belakang seseorang  itu, terutama wanita berusia dan bekerjaya sepertinya yang dahagakan  perhatian lelaki bagi memudahkan menjalankan misi menipu serta mengikis  harta mereka.
Tenungan RM200,000
gaddafimusli@hmetro.com.my
2010/04/19
KUALA LUMPUR: “Selepas merenung anak matanya buat pertama kali, saya seolah-olah lupa diri dan sanggup melakukan apa saja untuk dia,” kata seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa pukau seorang guru sekolah rendah sehingga menyebabkan dia hampir muflis dan kerugian RM200,000 dalam tempoh kurang setahun.
Wanita berusia 31 tahun itu ‘pulih’ daripada kesan pukau selepas mendapatkan rawatan beberapa kali daripada seorang ustaz di Gombak yang mendakwa dia bukan mangsa pertama lelaki itu.
  “Ustaz itu kata  saya bukan orang pertama yang datang berubat dengannya, malah ada tiga  wanita pernah datang membawa gambar lelaki sama,” katanya kepada Harian  Metro.
 Menceritakan detik perkenalan dengan suspek, mangsa  memberitahu dia bertemu dengan lelaki berkenaan yang mendakwa guru  berusia 30-an itu di sebuah stesen minyak di Setiawangsa, Mei tahun  lalu.
 “Dia datang dan menegur saya secara tiba-tiba dan  meminta kad perniagaan, katanya nak berkenalan, lepas kejadian itu dia  sering menghubungi saya menerusi SMS dan kami berjanji  keluar makan  selepas dua minggu berkenalan,” katanya.
 Menurut mangsa,  suspek membawanya ke sebuah restoran di Bangsar dan menghadiahkan minyak  wangi dan aromaterapi kononnya sebagai hadiah perkenalan.
  “Suspek yang lemah-lembut dan sopan-santun meminta saya memandang tepat  ke anak matanya setiap kali berbicara,” katanya.
 Sebulan  selepas pertemuan itu, suspek menghubungi mangsa dan mendakwa wang  Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)  RM30,000 yang dipegangnya dirompak.
Mangsa yang bersimpati dengan kejadian itu meminjamkan RM2,500. Wanita yang bekerja sebagai penolong pegawai teknologi maklumat itu turut diperdaya sehingga bersetuju untuk membuat pinjaman bank bagi membeli sebuah Proton Perdana bernilai RM55,000 untuk suspek.
“Saya betul-betul tidak sedar setiap perbuatan saya ketika bersama dengannya, dia seolah-olah mengawal setiap perbuatan dan tingkah laku saya termasuk memegang kad ATM dan buku bank,” katanya.
  Mangsa turut diminta membuat pinjaman  RM60,000 kononnya untuk membiayai  kos guaman suspek yang berdepan tuduhan rasuah.
 Tanpa  diketahui mangsa, suspek sebenarnya menggunakan duit itu untuk membiayai  kehidupannya yang mewah termasuk memiliki beberapa kereta.
Selepas lebih 10 bulan menjadi mangsa, dia akhirnya menceritakan segala-galanya kepada seorang rakan yang segera membawanya berubat dengan seorang ustaz di Gombak.
Sebaik ‘pulih’, mangsa membuat tiga laporan di Balai Polis Dang Wangi, Setiawangsa dan Batu Caves.
“Saya harap polis dapat mengambil tindakan segera terhadap suspek kerana saya khuatir orang lain menjadi mangsa,” katanya.
No comments:
Post a Comment