Tuesday, April 19, 2011

MEMANG WANITA TAK BOLEH KELUAR SORANG DIRI...KITA MENGUNDANG MUSIBAH....

4 wanita direman enam hari



KOTA BHARU: Empat wanita direman enam hari bagi membantu siasatan kes kematian membabitkan seorang ibu lima anak, Rozi Hana Md Zin, 34, di sebuah bilik hotel, di sini, tengah hari kelmarin.
Suspek berusia antara 39 dan 49 tahun dari Kuala Lumpur itu ditahan pada petang hari sama.

Perintah tahanan reman yang bermula semalam itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kota Bharu, Amni Mat Jahari bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut. Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, perintah tahanan reman itu bermula semalam sehingga 23 April ini.
Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian dengan kelalaian.

“Hasil laporan bedah siasat mendapati wujudnya unsur jenayah terhadap kematian mangsa.

“Bagaimanapun, kami masih meneruskan siasatan berhubung kes ini,” katanya.


Sebelas hari di ‘neraka’

Oleh Nur Qhurratul Ainn Maznee
am@hmetro.com.my
BUKIT MERTAJAM: “Sepanjang 11 hari dikurung, saya tak diberi makan, tak dibenarkan ke bilik air dan hanya terfikir mati kerana sering diugut untuk ditikam jika cuba melepaskan diri,” kata Nor Sahanita Rahmat, 15, menceritakan pengalaman ngerinya apabila diculik dan dikurung di sebuah rumah di Lunas, Kulim.
Remaja itu dilaporkan hilang pada 4 April lalu dipercayai membonceng motosikal bersama seorang lelaki berhampiran kawasan rumahnya di Kampung Bukit Kechil, Juru, dekat sini.

Bagaimanapun, katanya, dia sebenarnya diugut oleh kenalan kepada rakan perempuannya supaya mengikut mereka ke tempat yang dirahsiakan.
Nor Sahanita berkata, pada hari kejadian, dia diajak rakannya untuk berjumpa, tetapi apabila tiba di tempat dijanjikan, terdapat seorang remaja lelaki dan perempuan menunggang motosikal lain ada bersama rakannya itu.

“Remaja perempuan yang berusia belasan tahun itu minta saya dan rakan mengikutnya dan jika kami enggan, dia mengugut mahu menikam kami dengan pisau yang dibawa dan kerana takut kami berdua hanya mampu mengikut arahannya.

“Mereka membawa kami ke sebuah rumah kosong yang terletak di ladang kelapa sawit di Lunas, Kulim, tanpa mengetahui tujuan sebenar dibawa ke sana,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Sejak itu, Nor Sahanita dikurung di dalam sebuah bilik kosong dalam rumah berkenaan dengan tangan diikat, manakala rakannya diikat mulut dan diletakkan di ruang tamu rumah.

Katanya, sepanjang dikurung, kira-kira tujuh remaja lelaki dan perempuan menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat menghisap dadah.
“Hampir setiap masa di depan mata saya mereka menghisap dadah dan perasaan takut menghantui diri jika mereka yang dalam keadaan khayal itu menyuntik dadah ke badan saya atau melakukan sesuatu.

“Saya turut dibawa ke Selama dan Taiping, Perak dengan motosikal untuk membeli dadah walaupun keadaan saya sangat lemah ketika itu kerana tak diberi makan langsung,” katanya.

Menurut Nor Sahanita, nasibnya baik kerana abang kepada seorang ahli kumpulan berkenaan datang pada Jumaat malam untuk berjumpa adiknya dan dia mengambil kesempatan itu menjerit meminta tolong.

Dia kemudian dibawa ke rumah lelaki terbabit untuk diberi makan sebelum dihantar pulang kira-kira jam 4 petang kelmarin (Ahad), tetapi hanya ditinggalkan di Plaza Tol Juru tanpa diketahui sebabnya.

Kejadian itu menyebabkan Nor Sahanita trauma dan takut untuk keluar seorang diri, malah dia akan minta ahli keluarga menemaninya jika mahu keluar rumah bagi mengelak kejadian sama berulang.

Sementara itu, bapanya, Rahmat Eussoff, 47, berkata dia menerima panggilan telefon daripada kakitangan peronda Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) yang memberitahu Nor Sahanita ada di Plaza Tol Juru.


Sampai ajal dihempap balak



GERIK: Seorang bapa tujuh anak maut dalam keadaan mengerikan apabila dihempap pokok balak selepas gagal menyelamatkan dirinya dalam kejadian berhampiran hutan Lawin Utara, di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Mat Rajab Hamat, 45, dari Kampung Padang Kunyit di sini, maut dalam perjalanan ke Hospital Gerik (HG).

Isteri mangsa, Sharifah Hashim, 42, berkata tragedi itu kejadian kali kedua suaminya dihempap balak selepas hampir menemui ajal akibat insiden sama 15 tahun lalu.
Sharifah berkata, pada hari kejadian, suaminya pergi bekerja menaiki kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux milik majikannya bersama lapan rakan lain kira-kira jam 6.40 pagi.

“Dia keluar rumah dalam keadaan kurang bersemangat dan tidak sempat menjamah sarapan pagi. Malah, mengadu tidak sedap hati kepada seorang rakan sekerja sebelum memulakan tugas.

“Suami saya turut berkongsi perasaan sedih dengan rakannya, Tajol Roslan, berkaitan kehilangan anak saudara kami yang meninggal dunia di Felda Bersia, di sini, baru-baru ini,” katanya.

Menurutnya, dia dimaklumkan ketika kejadian, suaminya sedang menebang sebatang balak bersama seorang pembantunya di dalam hutan berkenaan.

“Balak yang ditebang itu tiba-tiba condong ke arahnya dan dia sempat lari mengelak ke sebelah kanan. “Bagaimanapun, dahan balak yang besar itu menghempap tubuhnya.
“Dia tersungkur dan berlumuran darah di kepala serta patah paha kaki, namun rakannya sempat mengajarnya mengucap,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Padang di sini, semalam.

Menurut Sharifah, suaminya seorang pendiam tetapi terlalu mengambil berat tujuh anak mereka berusia antara dua hingga 18 tahun terutama berkaitan pelajaran.


Ahli hanya perlu bawa MyKad



KUALA LUMPUR: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini boleh memohon pengeluaran umur 50, 55 tahun dan simpanan melebihi RM1 juta dengan lebih mudah.
Penambahbaikan yang baru diperkenalkan itu membolehkan ahli memohon pengeluaran berkenaan dengan mudah tanpa perlu mengisi borang, menyertakan salinan kad pengenalan dan buku akaun bank.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol dalam kenyataan semalam berkata inisiatif pengeluaran mudah itu dilaksanakan bagi mempercepatkan proses permohonan pengeluaran bagi tiga kumpulan itu.
Katanya, dengan inisiatif baru itu, ahli yang ingin membuat pengeluaran tersebut hanya perlu membawa bersama kad pengenalan dan buku akaun ke mana-mana kaunter perkhidmatan KWSP.

Katanya, perkhidmatan itu khusus untuk pemegang MyKad saja dan kelulusan boleh dibuat serta-merta setelah identiti ahli dan kelayakan pengeluaran disahkan.

Bagaimanapun, Azlan berkata ahli yang memiliki kad pengenalan tentera atau polis atau yang masih menggunakan kad pengenalan lama tidak boleh menikmati kemudahan itu.

Katanya, mereka perlu melalui proses pengeluaran biasa dengan mengisi Borang KWSP 9 dan mengemukakan salinan kad pengenalan serta salinan buku akaun bank.

Azlan menjelaskan dengan jumlah ahli yang kian meningkat, adalah amat penting bagi KWSP memastikan penambahbaikan sistem penyampaian melalui teknologi diteruskan.
“Ahli diberi jaminan bahawa data dan maklumat peribadi mereka dilindungi berdasarkan tahap keselamatan yang diwujudkan melalui pensijilan ISO/IEC 27001 yang diterima KWSP selepas mematuhi standard antarabangsa yang ketat untuk pengurusan keselamatan data,” katanya. - Bernama


Gaji baru atasi masalah kakitangan kerja sambilan



JOHOR BAHRU: Bimbang kakitangan awam melakukan kerja sambilan kerana berasakan gaji diterima tidak mencukupi, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan mempertimbangkan kumpulan yang berada dalam Gred 1 hingga 16 diserap ke Gred 17 bagi menikmati gaji lebih baik.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, ketika ini pekerja awam berkelulusan PMR ke bawah ditempatkan di dalam gred Gred 1 hingga 16 dan mereka dibayar gaji permulaan kira-kira RM647.

Katanya, disebabkan peningkatan kos hidup sejak kebelakangan ini ramai di kalangan kakitangan kerajaan terbabit dikhuatiri bekerja sambilan sekali gus boleh menjejaskan produktiviti.
“Kita tidak mahu terlalu ramai kakitangan kerajaan buat kerja sambilan kerana rakyat dan pelanggan akan mempertikaikannya.

“Kita mahu mereka fokus kepada kerja, kita tidak mahu lihat selepas ‘punch card’ mereka terus buat kerja sambilan kerana bimbang tidak cukup duit.

“Cuepacs tidak mahu lagi ada kakitangan awam pemegang sijil PMR, kita mahu semua minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mahu kakitangan Gred A. “Sekarang ini, seorang pemandu pun sudah ada SPM, banyak jabatan sudah naik taraf gred penjawat awam seperti tukang masak, operator sistem dan operator telefon,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan bagi menerangkan isu semasa kongres berkenaan Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/Institusi Pengajian Tinggi Awam (Gakum) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menurutnya, ketika ini seramai 650,000 penjawat awam berada dalam Gred 1 hingga 16 merangkumi pelbagai jawatan dalam kementerian dan jika mereka diserap ke gred 17, mereka boleh menerima gaji permulaan dicampur elaun sebanyak kira-kira RM900.
“Pendapatan gred 1-16 di bawah RM3,000 sebulan, ia hanya cukup makan dan sekiranya mereka berkhidmat selama 25 tahun baru boleh mencecah RM3,000.

“Jika mereka terus ditempatkan pada Gred 17, gaji permulaan mereka ialah kira-kira RM820 sebulan dan boleh mencapai hingga RM3,500 sebelum bersara,” katanya.

Cuepacs bulan lalu mengemukakan lima tuntutan baru kepada JPA termasuk penghapusan Gred 1 hingga 16 bagi membolehkan penjawat awam terus ditempatkan ke Gred 17 dengan gaji RM820 sebulan (ketika ini) atau RM920 jika cadangan gaji minimum dikemukakan kepada JPA, 1 Julai 2007 dipersetujui kerajaan dalam kajian semula Skim Saraan Malaysia (SSM).

Omar berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan tuntutan itu dan menjadi hadiah bermakna buat penjawat awam menjelang sambutan Hari Pekerja, 1 Mei depan. Sementara itu, dalam perkembangan pekerja kontrak, Omar menyeru jabatan kerajaan tidak membuang pekerja terbabit kerana ia sesuatu yang tidak adil kerana sebahagian daripada mereka berkhidmat lebih daripada 10 tahun.

Katanya, ketika ini seramai kira-kira 45,000 kakitangan kontrak berkhidmat di semua agensi kerajaan dan ada di antara mereka sudah berkhidmat antara 10 hingga 20 tahun.



Terminum cuka getah

Oleh Siti Fatimah Hassan
sfhassan@hmetro.com.my

PASIR MAS: Gara-gara terminum cuka getah yang disangka minuman berkarbonat ketika leka berbual, seorang bomoh meninggal dunia selepas empat hari bertarung nyawa di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), akibat kecederaan serius pada organ dalaman, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, Khamis lalu, Lijah Mamat, 88, yang mengalami masalah penglihatan leka berbual bersama kakak iparnya, Siti Hawa Ibrahim, 77, di rumahnya di Kampung Kelar, di sini, sebelum mencapai botol yang disangka minuman berkarbonat kegemarannya.

Menurut anak kedua Lijah, Abdullah Che Wook, 63, ibunya sering menggunakan cuka getah untuk berubat dan disimpan dalam botol.
Katanya, ketika leka berbual, ibunya yang sudah lanjut usia dan mengalami masalah penglihatan mencapai botol terbabit yang disangka berisi air berkarbonat kegemarannya.

“Dia sempat minum seteguk ‘air’ itu. Memandangkan rasanya agak lain, dia meminta kakak iparnya mencuba sebelum meludahnya keluar,” katanya ketika ditemui, semalam.

Abdullah berkata, selepas beberapa minit minum cuka getah itu, darah keluar dari mulutnya menyebabkan anaknya, Rosmizan, 19, membawanya ke Klinik di Kangkong, di sini.

“Ibu terus dirujuk ke Hospital Lati, Pasir Mas dan berikutan keadaannya yang semakin membimbangkan, pada hari sama dia dirujuk ke HRPZII.

“Ketika dirawat di HRPZ11, ibu muntah darah dan najisnya juga berdarah,” katanya.
Menurut Abdullah, selepas empat hari bertarung nyawa, ibunya meninggal dunia pagi semalam.

“Ibu meninggal dunia kira-kira jam 6.30 pagi tadi (semalam) di hospital sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kelar Tok Pukan jam 4 petang tadi (semalam),” katanya. Dalam kejadian itu, Siti Hawa turut cedera pada bahagian bibir selepas Lijah memintanya mencuba ‘air’ berkenaan.

Dia yang turut dirawat di HRPZII bagaimanapun sudah dibenarkan keluar, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim, ketika dihubungi, sehingga petang semalam, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.


Pesakit mental hilang 2 tahun diperalat sindiket



ALOR GAJAH: Seorang pesakit mental yang ghaib di Puchong, Selangor sejak lebih dua tahun lalu ditemui semula selepas kisahnya disiarkan akhbar ini Jumaat lalu.
Tambi Hassan Tambi Ali, 70, kini berada di bawah jagaan Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta, Perak selepas diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Pulau Pinang dalam satu operasi Disember 2009.

Asmah Ali, 66, berkata, keluarganya menerima panggilan daripada seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ulu Kinta, apabila kisah mengenai abangnya disiarkan akhbar ini.
“Kami merancang mengadakan solat ghaib dan doa selamat supaya abang ditemui dan ia terpaksa dibatalkan.

“Pelbagai usaha kami lakukan sebelum ini untuk mencari abang, namun tidak sangka dia berada di rumah perlindungan di Perak,” katanya ketika ditemui di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, di sini, semalam.

Menurutnya, dia sekeluarga bersyukur kerana abangnya ditemui selamat walaupun sudah lebih dua tahun dia menghilangkan diri. Katanya, kakak sulungnya, Halimah, 71, sudah menuntut abangnya di pusat jagaan itu kelmarin sebelum dibawa pulang.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat di Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta, Azizi Arifin berkata, Tambi Hassan ditemui merayau-rayau dan mengemis di bandar Pulau Pinang sebelum diselamatkan dalam satu operasi khas pada penghujung 2009.

“Warga emas itu berada di Pulau Pinang dipercayai dalam jagaan satu sindiket yang menjadikan golongan seperti itu sebagai pengemis untuk kepentingan mereka.
“Mengikut rekod kami, Tambi Hassan ditempatkan di rumah perlindungan ini sejak 3 Disember 2009 lagi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Harian Metro Jumaat lalu melaporkan seorang lelaki yang menghidap penyakit mental hilang ketika keluar merayau-rayau di rumah kakaknya di Puchong sejak kira-kira dua tahun lalu.


Dua tahun pendam rasa

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
am@hmetro.com.my

PASIR MAS: Dia dihantar suami ke sebuah stesen kereta api di Johor Bahru, Johor, pada Jun 2009 lalu dalam keadaan sarat mengandung untuk pulang ke Kampung Binjai Jejawi, di sini, bagi melahirkan anak ketiga.
Bagaimanapun, sehingga hari ini suaminya menghilangkan diri tanpa khabar berita meninggalkannya terkontang-kanting seorang diri membesarkan tiga anak dalam keadaan sengsara apabila mendiami sebuah rumah usang yang asalnya dijadikan pondok simpanan padi.

Begitu nasib malang Che Rohani Che Wail, 26, yang sehingga hari ini buntu mengenai kehilangan suaminya, Ahmad Andy Wahid, 30, kerana mereka tiada masalah, malah menikmati kehidupan bahagia seperti pasangan lain.
Che Rohani berkata, sepanjang hampir dua tahun suaminya menghilangkan diri, dia berusaha mengesan suaminya itu, namun gagal.

“Sepanjang berkahwin, kami menetap di Ulu Tiram, Johor dan saya tidak mengesyaki apa-apa pada suami ketika dia menghantar saya ke stesen kereta api di Johor Bahru untuk saya pulang ke kampung melahirkan anak ketiga pada Jun 2009. “Dia berjanji akan pulang ke kampung selepas saya melahirkan anak ketiga dan saya mempercayainya kerana kami tiada masalah, malah bahagia.

“Bagaimanapun, hampir tiga tahun dia tidak pulang dan menghilangkan diri. Saya cuba menghubunginya, tetapi gagal, malah keluarganya di Kuala Krai, Kelantan juga tidak dapat mengesannya,” katanya.

Menurut Che Rohani, dalam keadaan digantung tidak bertali, dia bersendirian membesarkan tiga anaknya, Ziziey Ezyanie, 7, Zahrul Mukhriz, 5, dan Zahra Balqis Ezyanie, 2, dan mengharapkan simpati keluarga serta saudara-mara untuk meneruskan hidup.

“Tanpa sumber kewangan yang tetap, saya anak-beranak mendiami rumah dipinjamkan seorang sepupu yang asalnya dijadikan pondok simpanan padi. Bekalan elektrik dan tandas pula dipinjam daripada sepupu saya itu.
“Awal tahun lalu, saya terpaksa meminta bantuan sepupu untuk menyekolahkan anak sulung yang bersekolah di tahun satu. Saya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mengambil upah menoreh, tetapi tidak mencukupi,” katanya.

Che Rohani meminta supaya sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai suaminya supaya menghubungi sepupunya, Anuar Che Leh di talian 013-4491921.


Adun lafaz cerai talak satu



KLANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah, 51, sah bercerai dengan isterinya Ramizah Mazlan, 40, di Mahkamah Rendah Syariah, semalam.
Lafaz cerai talak satu itu dibuat Badrul Hisham terhadap Ramizah di hadapan Hakim Syarie Abdul Malek Soleh yang mana pada asalnya ditetapkan sebagai prosiding sambung bicara permohonan fasakh difailkan Ramizah. Kedua-dua pihak setuju bercerai secara baik selepas Ramizah bersetuju menarik balik tuntutan cerai secara fasakh yang difailkan dan keterangannya di mahkamah pada prosiding perbicaraan lalu.

Permohonan fasakh itu difailkan mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 oleh Ramizah dengan menamakan Badrul Hisham sebagai defendan bagi kes ini.
Ia dibuat atas alasan defendan cuai menyediakan nafkah zahir selama tiga bulan berturut-turut, menyakiti dan membuatkan plaintif menderita.

No comments:

Post a Comment