Wednesday, August 1, 2012

GIGIH SERTA SABARNYA SEORANG IBU...TENTU SUAMI MEMBERI SOKONGAN

Tak putus harap

Oleh Nor Amalina Alias
am@hmetro.com.my

KASIH IBU...Maziah menjaga anaknya, Siti Suzaini yang terlantar koma sejak 13 tahun lalu.
KASIH IBU...Maziah menjaga anaknya, Siti Suzaini yang terlantar koma sejak 13 tahun lalu.
BACHOK: “Bangunlah Along, emak teringin beraya dengan Along,” rintih seorang ibu, Maziah Jusoh, 48, yang terus menaruh harapan supaya anaknya yang terlantar koma akibat dirempuh kereta 13 tahun lalu, kembali sedar untuk menyambut Aidilfitri.
Siti Suzaini Jailani yang kini berusia 20 tahun, koma selepas ditimpa kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat mengaji al-Quran ketika berusia tujuh tahun.
Sejak kejadian itu, zaman kanak-kanak Siti Suzaini atau lebih mesra dengan panggilan Along terus hilang kerana tubuhnya tidak lagi dapat bergerak dan hanya terlantar di tempat tidur.

Maziah berkata, Along hanya menggerakkan mata memerhatikan ahli keluarganya dan setiap kali tiba 1 Syawal sejak 13 tahun lalu, dia sebak melihat nasib anak sulungnya itu.


Menurutnya, sebelum kemalangan menimpanya, Along amat ceria pada Aidilfitri terutama apabila menjamah sate ayam dengan kuah kacang serta air laici kegemarannya.

Bas jadi ‘bilik bersalin’

Oleh Junaidi Ladjana
djuns@hmetro.com.my

SELAMAT...bayi perempuan  diberi nama Dyana sempena nama bas eskpres dinaiki ibunya.
SELAMAT...bayi perempuan diberi nama Dyana sempena nama bas eskpres dinaiki ibunya.
CIPTA SEJARAH...bas ekspres Dyana tempat bayi perempuan Norlyn dilahirkan.
CIPTA SEJARAH...bas ekspres Dyana tempat bayi perempuan Norlyn dilahirkan.
KOTA KINABALU: Seorang ibu muda sarat mengandung yang menempuh perjalanan lebih 400 kilometer untuk berbuka puasa bersama suaminya di bandar raya ini, terpaksa menjadikan bas ekspres dinaikinya ‘bilik bersalin’ apabila sakit perut sebaik tiba di Terminal Bas Inanam, dekat sini, kelmarin.
Norlyn Ajimula, 28, yang bertolak dari Lahad Datu, selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.7 kilogram (kg), kira-kira jam 5.30 petang dan bayi itu dinamakan Dyana Adi, sempena nama bas ekspres dinaiki ibunya, Dyana Express.
Ketika ditemui di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Norlyn berkata, dia menaiki bas kira-kira jam 9 pagi untuk bertemu suaminya, Adi Mahari, 40, yang bekerja di bandar raya ini.

“Saya tidak mengalami sebarang masalah sehinggalah perut mula berasa sakit ketika bas ini menghampiri pekan Ranau, tetapi sakit berkenaan hilang secara tiba-tiba.


“Saya tidak terfikir untuk bersalin kerana masih terlalu awal selain lama-kelamaan sakit beransur hilang,” katanya.

Disepit dua bas

Oleh Asmah Rusman
asmah@hmetro.com.my

NAHAS...anggota polis trafik menyiasat kemalangan yang meragut nyawa pasangan suami isteri, semalam. Gambar  kecil, Noor Edayu.
NAHAS...anggota polis trafik menyiasat kemalangan yang meragut nyawa pasangan suami isteri, semalam. Gambar kecil, Noor Edayu.
KUALA LUMPUR: Selaku anggota polis trafik, menguruskan mayat mangsa kemalangan sudah menjadi sebahagian tugasnya, namun tidak pernah terlintas di fikirannya satu hari nanti akan mengendalikan kemalangan maut membabitkan anak dan menantunya sendiri.
Itulah kesedihan terpaksa ditanggung Pembantu Pegawai Penyiasat Trafik Kuala Lumpur, Sarjan Roslan Jalil sejurus diberitahu anak kedua dan menantunya terbunuh selepas tersepit antara dua bas dalam kemalangan membabitkan sembilan kenderaan di Jalan 15/56, AU3 Keramat, Taman Setiawangsa, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, anak Roslan, Noor Edayu, 26, yang mengandung tujuh bulan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala suaminya, Koperal Hafeeze Mohd Hanafi, 30, yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian.
“Kebiasaannya arwah memandu ke tempat kerja selepas menghantar anak sulungnya yang berusia dua tahun ke rumah pengasuh, namun berlainan dengan hari ini (semalam), dia membonceng motosikal bersama suaminya,” katanya sebak.

“Saya tidak menyangka arwah pergi meninggalkan kami kerana ketika berbuka puasa bersama-sama Ahad lalu, tiada tanda pelik yang ditunjukkan melainkan arwah ada memberi wang perbelanjaan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi,” katanya sebak.

Menurutnya, arwah Noor Edayu bekerja sebagai pembantu tadbir di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) manakala suaminya bekerja di Pusat Komputer Pengurusan Gaji, Kementerian Pertahanan.

Roslan berkata, jenazah Noor Edayu akan dikebumikan di kampung mereka di Masjid Tanah, Melaka manakala Hafeeze akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Tumpat, Kelantan.

Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, kemalangan berkenaan membabitkan dua bas sekolah, dua motosikal dan lima kereta.
“Mangsa tersepit di antara dua bas sekolah yang sarat membawa penumpang. Keadaan jalan cerun menurun dan ketika itu cuaca dalam keadaan baik,” katanya.

Katanya, pemandu bas sekolah berkenaan yang patah kaki kanan sedang dirawat di HKL akan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, bas yang dipercayai menghadapi masalah brek ketika menuruni bukit dan merempuh sisi kanan sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan sebelum hilang kawalan dan melanggar motosikal mangsa.

Berikutan hentakan yang kuat itu, bas sekolah yang dirempuh kemudian melanggar sebuah Proton Waja di hadapannya manakala sebuah Perodua Kancil dari arah bertentangan yang cuba mengelak melanggar sebuah motosikal lain.

Kemalangan itu juga menyebabkan pemandu bas yang dirempuh cedera dan seorang pembonceng motosikal patah kaki kanan.

ATM bantu urus jenazah mangsa



KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memberi bantuan kepada keluarga Koperal Hafeeze Mohd Hanafi yang maut bersama isterinya yang hamil tujuh bulan akibat dirempuh bas sekolah dalam kemalangan tragis di Keramat, semalam.
Pengarah Media Menteri Pertahanan, Kol Fadzlette Othman Merican Idris berkata, selain menghulurkan bantuan asas seperti mengurus jenazah, ATM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan keluarga mangsa bagi mengetahui bentuk bantuan yang diperlukan mereka.

“Kami akan berbincang dengan keluarga mangsa untuk tentukan bantuan yang mereka perlukan. Buat masa ini, kami sudah berikan bantuan ilat seperti menguruskan jenazah dan menyediakan kenderaan bagi membawa pulang jenazah untuk dikebumikan,” katanya ketika dihubungi, semalam. - Bernama

Cekup pasangan aib



REMBAU: Curiga penduduk kampung terhadap sepasang lelaki dan perempuan yang tidak membuka lampu selepas memasuki sebuah rumah kedai di Kampung Seri Kendong, dekat sini, terjawab apabila pasangan itu didapati memadu kasih dalam keadaan mengaibkan.
Difahamkan, ketika serbuan penduduk kampung, lelaki berusia 23 tahun itu hanya berseluar jean manakala pasangannya berusia 19 tahun berbogel dan kedua-dua mereka bukan penduduk kampung itu.

Kakitangan swasta, Idris Ibrahim, 38, berkata, ketika kejadian jam 12 tengah malam Sabtu lalu, dia dan tiga rakan berada di kedai minuman berhampiran kampung itu apabila ternampak pasangan terbabit sampai dengan sebuah motosikal di depan bangunan itu.
Difahamkan penduduk sering melihat lelaki berkenaan menghantar pasangannya ke rumah kedai itu.

“Kami nekad menyerbu rumah kedai itu apabila mendapati lelaki terbabit masih tidak beredar. “Lelaki itu hanya berseluar jean manakala perempuan berbogel. Apabila ditanya status hubungan, mereka mendakwa sudah bertunang dan bakal berkahwin hujung tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kendong, Bahari Thani berkata, dua hari selepas kejadian itu penduduk kampung menangkap satu lagi pasangan dipercayai kekasih dalam kereta.

“Penduduk curiga apabila melihat kereta berada di lorong gelap bergoyang-goyang. Apabila dihampiri, seorang lelaki berusia 40-an dan wanita 30-an separuh bogel berada di dalamnya.

“Mereka memaklumkan kepada saya dan polis dihubungi untuk tindakan lanjut. Saya kesal kerana bulan puasa ini dicemari dengan perbuatan terkutuk,” katanya.

Hampir pengsan lihat mayat suami



ALOR GAJAH: “Kenapa tak beritahu aku?” rintih Suriani Saedon, 34, yang ditujukan kepada pengurusan kilang suaminya bekerja selepas melihat suaminya maut dalam keadaan mengerikan di kilang tempat mangsa bekerja di Kawasan Perindusrian Kelemak, dekat sini, semalam.
Guru itu yang hampir pengsan melihat keadaan suaminya hanya mengetahui mengenai kemalangan berkenaan selepas diberitahu ibu mentuanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, Mohd Jafri Sarip, 35, juruteknik sebuah kilang plastik terbunuh apabila kepalanya hancur dihempap mesin pencetak di premis berkenaan.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang bersendirian memeriksa mesin cetak itu yang berhenti secara tiba-tiba. Bagaimanapun, ketika memeriksa, mesin berkenaan kembali berfungsi seperti biasa lalu menghempap kepala mangsa.

Lebih memilukan targedi malang pada hari ke-12 Ramadan itu hanya disedari rakan sekerjanya selepas beberapa kali kepala Mohd Jafri dihempap mesin pencetak berkenaan.

Ibu mangsa, Asmah Zainal, 60, berkata, anak ketiga daripada enam beradik itu pernah menyatakan hasratnya untuk berhenti kerja.

“Dia sudah 10 tahun bekerja dan beberapa kali memberitahu mahu berhenti kerana tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan.

“Kali terakhir saya menemuinya ketika berbuka puasa dua hari lalu (Isnin), namun tiada sebarang perubahan ditunjukkan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Menurutnya, dia hanya dimaklumkan kejadian itu oleh rakan sekerja anaknya yang sedang bercuti.

“Ketika saya menghubungi Suriani yang sedang mengajar di Sekolah Kebangsaan Simpang Ampat, dia turut memberitahu tidak mengetahui kejadian menimpa suaminya itu,” katanya yang agak kesal dengan pihak pengurusan kilang berkenaan.

Kata Asmah, anaknya yang tinggal dengan mentuanya di Kampung Melekek Dalam, Simpang Ampat, meninggalkan tiga anak berusia antara satu hingga tujuh tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian mesin itu tidak berfungsi dan apabila mangsa memeriksanya, mesin berkenaan menghempapnya mengakibatkan mangsa cedera teruk di kepala. Mayatnya dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

‘Biar polis siasat dulu’



IPOH: “Banyak versi kami terima mengenai kemalangan menimpa ibu. Bagaimanapun, kami menyerahkan kepada polis menjalankan siasatan terlebih dulu,” kata Jamaliah Ahmad Lood, 32, anak sulung kepada Saadiah Yahya, 56, ibu tunggal yang maut dirempuh jentera bomba, lewat petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.30 petang di persimpangan lampu isyarat Jalan Raja Musa Aziz, jentera bomba membawa enam anggota dalam perjalanan ke satu lokasi kebakaran di Jalan Masjid melanggar mangsa yang menunggang motosikal.

Kemalangan menyebabkan mangsa terjatuh dari motosikal sebelum kepalanya digilis tayar belakang jentera itu dan meninggal dunia serta merta akibat cedera parah.
Jamaliah ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Tersusun Sungai Pari di sini berkata, dia sekeluarga akan mempertimbangkan mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak.

Katanya, mereka akan membuat keputusan itu selepas mendapat laporan lengkap mengenai kejadian menimpa ibunya itu.

“Buat masa ini, kami sekeluarga belum membuat keputusan sama ada ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap jabatan itu kerana masih menunggu laporan lengkap daripada polis.

“Selepas siasatan selesai, baru kami fikir tindakan selanjutnya,” katanya.

Jamaliah berkata, sebelum kemalangan itu, ibunya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengeluarkan duit gaji di sebuah bank.

Kelar leher isteri

Oleh Isma Ismail dan Azma Razana Johari
am@hmetro.com.my

SIMPANG AMPAT: “Dia menghubungi saya meminta pertolongan dengan suara tidak jelas. Saya segera ke rumahnya yang berhadapan rumah saya,” kata M Ramanathan, 58, bapa kepada R Saraswathiy, 37, yang parah dipercayai dikelar suaminya, semalam.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa yang tinggal di Bandar Tasek Mutiara, di sini, bersama dua anaknya parah di leher dan tangan.

Menurut Ramanathan, anak sulungnya itu dalam proses penceraian dan menetap bersama dua cucunya di rumah berkenaan manakala suaminya tinggal berasingan. “Anak saya selalu cerita dia menerima ugutan bunuh melalui telefon daripada suaminya dan sudah empat kali kami membuat laporan polis,” katanya.
Menurutnya, ketika kejadian, dua cucunya yang berusia 10 dan 11 tahun tiada di rumah kerana bersekolah manakala mangsa tinggal bersendirian.

Menurutnya, sebaik tiba di rumah mangsa, pintunya berkunci sebelum dia berpatah balik ke rumahnya untuk mengambil kunci pendua rumah anaknya itu.

Katanya, sebaik membuka pintu, dia melihat darah memenuhi lantai sebelum menemui mangsa tidak sedarkan diri.

“Saya menemuinya tidak sedarkan diri di bilik ketiga rumah berkenaan,” katanya yang menghantar anaknya ke Hospital Sungai Bakap. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, pemeriksaan mendapati mangsa dicederakan menggunakan senjata tajam dan setakat ini pihaknya belum menemui senjata terbabit.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian itu berpunca dari masalah hak penjagaan anak selepas pasangan berkenaan tidak sefahaman sejak tahun lalu.
“Pasangan itu dikatakan sudah tidak tinggal bersama dan suspek pergi ke rumah sewa mereka itu sebelum berlaku pertengkaran.

“Suspek melarikan diri selepas kejadian,” katanya.

Menurut Shafien, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.

Katanya, suspek berusia 41 tahun dan seorang penganggur kini diburu bagi membantu siasatan.

“Saya percaya lelaki berkenaan masih berada di Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor K Komathi di talian 012-9448519 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Muncung pistol di kepala

Oleh Norul Awatif Romli
am@hmetro.com.my

KLANG: “Tak tahu nak cakap apa, saya hanya ingat mati saja,” kata Lina, 20-an, yang nyawanya ibarat telur di hujung tanduk apabila salah seorang perompak meletakkan muncung pistol di kepalanya dalam kejadian rompakan di sebuah kedai emas dalam sebuah pasar raya hiper, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, lima lelaki bersenjatakan pistol, parang dan tukul besi mengambil masa kira-kira 40 saat melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM10,000 dari premis berkenaan.

Menceritakan kejadian itu, Lina berkata, ketika kejadian dia berada di dalam premis berkenaan untuk membeli barang kemas sebelum tiba-tiba sekumpulan lima lelaki yang lengkap bersarung tangan dan mengenakan topi keledar meluru masuk ke dalam premis terbabit.

Katanya, tiga daripada mereka memecahkan cermin pameran di bahagian depan dan di kaunter sebelum memasukkan barang kemas berkenaan ke dalam sebuah beg.


“Kejadian terlalu pantas sehingga saya tidak sempat berbuat apa-apa. Saya hendak berlari keluar kedai, tetapi salah seorang penyamun yang memegang pistol menengking saya.

Serbu rumah urut



KLANG: Nafsu asmara dua lelaki yang sedang dilayan tiga wanita dipercayai pelacur warga Thailand dan Myanmar tergendala apabila premis rumah urut di Bandar Botanik, di sini, itu diserbu Majlis Perbandaran Klang (MPK), baru-baru ini.
Dalam serbuan jam 10 malam itu, pemilik premis yang beroperasi secara haram itu melarikan diri sebaik ia diserbu.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPK, Andry Arman Masrom berkata, pihaknya melakukan operasi hasil risikan dan maklumat orang ramai serta pemantauan berterusan terhadap premis rumah urut dalam pentadbiran MPK.
“Dalam operasi berkenaan, kami menyita peralatan yang digunakan untuk menjalankan perniagaan seperti tilam, bantal dan langsir dan tindakan diambil di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3, Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPK 2007 kerana beroperasi tanpa lesen.

“Operasi seperti ini diteruskan bagi memastikan tiada pihak yang melanggar undang-undang majlis terutama berkaitan premis rumah urut,” katanya.

2 kali didakwa pukul isteri



KOTA BHARU: Seorang kedi golf bagaikan tidak serik melakukan kesalahan apabila dua kali dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas kesalahan sama iaitu memukul isterinya.
Dia yang sedang menjalani hukuman dua tahun penjara dan tiga sebatan selepas memukul isterinya dengan kayu hoki pada 9 Mei lalu, sekali lagi dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan dan satu sebatan di mahkamah sama, semalam atas tuduhan memukul isterinya dengan topi keledar, dua bulan lalu.

Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Asri Ahamed @ Mohamad, 26 mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara bagi kesalahan pertama.

Tertuduh yang memakai pakaian penjara hanya mampu menundukkan wajahnya ketika mendengar keputusan mahkamah itu.

Mengikut pertuduhan, Mohd Asri didakwa dengan sengaja memukul isterinya, Nik Rosdiana Mohamed, 22, dengan topi keledar di Kantin Kelab Golf Kelantan, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 8 malam, 3 Mei 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dikatakan memukul menggunakan topi keledar selepas berlaku perselisihan faham sehingga menyebabkan mangsa bengkak di belakang kepala, lebam di pipi, mulut dan sakit di telinga.
Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Terdahulu, Mohd Asri yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman paling minimum kerana dia sudah insaf dengan kesalahannya. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran dikenakan terhadap tertuduh.

No comments:

Post a Comment