Thursday, October 25, 2012

BILA PULA NAK HAYATI HUKUM ALLAH...JANGAN MENGAMBIL AJARAN ALLAH SEBAHAGIAN DAN MENINGGALKAN SEBAHAGIAN

Pelajar buang bayi ke dalam sungai


ZULL AZNAM (kanan) membawa mayat bayi perempuan yang dipercayai dibuang dua remaja di Sungai Berembang, Simpang Empat, Kangar semalam.


KANGAR – Dua remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan kerana disyaki membuang bayi yang baru dilahirkan oleh seorang pelajar perempuan sekolah agama yang juga rakan sebaya mereka ke dalam sungai di sini malam kelmarin.
Bayi perempuan yang cukup sifat itu dicampak dua remaja terbabit dari sebuah titi ke dalam Sungai Berembang di Kampung Behor Rotan Pahit, Simpang Empat di sini kira-kira pukul 9.20 malam.
Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Harun berkata, dua suspek tersebut iaitu seorang sepupu serta teman lelaki kepada pelajar perempuan yang melahirkan bayi itu dan ketiga-tiga mereka bersekolah di tingkatan lima sebuah sekolah menengah agama di sini.
“Komplot mereka terbongkar setelah ibu bayi tersebut mengaku kepada doktor yang merawatnya setelah pelajar itu mengalami komplikasi pendarahan selepas melahirkan bayi itu.
“Ekoran itu, doktor berkenaan memaklumkan kepada polis. Siasatan dijalankan serta-merta sehingga penahanan dua remaja terbabit dan mencari lokasi bayi tersebut dibuang,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

'Jaga Leuniey macam jaga gawang'

NOR LAILA (kanan) bersama Leuniey di Kota Bharu baru-baru ini.


KOTA BHARU - "Saya harap Apek (Khairul Fahmi Che Mat) akan jaga anak saya dengan baik seperti dia menjaga gawang daripada dibolosi."
Itulah harapan Nor Laila Abu Bakar, ibu kepada Nur Eilunie Natasha Nazri atau Leuniey, 21, terhadap penjaga gol nombor satu negara, Khairul Fahmi, 23 yang akan berkahwin dengan anak sulungnya itu yang dijadualkan pada Disember ini.
Nor Laila, 45, turut berharap perkahwinan itu nanti bakal menutup segala kontroversi yang memalit Khairul Fahmi selama ini.

Hayati konsep korban Aidiladha

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan selamat menyambut Aidiladha kepada semua umat Islam yang merayakannya hari ini.
"Semoga Aidiladha tahun ini lebih baik daripada tahun sebelumnya dan Aidiladha yang akan datang akan menjadi lebih baik daripada tahun ini," katanya dalam perutusan yang dimuatnaik dalam blog 1Malaysia semalam.
Beliau berharap agar Aidiladha diraikan dalam keadaan makmur, sejahtera dan penuh keberkatan sambil mengajak umat Islam menghayati konsep pengorbanan yang dituntut Islam yang sanggup berkorban masa, wang ringgit, jiwa raga dan dan kepentingan diri bagi memperoleh keredaan Allah.
Beliau berkata, konsep itu terkandung dalam Surah Al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud: "Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama mereka yang berbuat baik."

Ejen kastam dituduh curi Porsche RM1 juta


MOHD. AZRI dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam atas dakwaan mencuri kereta Porsche.


KUALA LUMPUR - Seorang ejen penghantaran kastam didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mencuri sebuah kereta Porsche Panamera 4 berharga hampir RM1 juta dari bilik pameran di Jalan Bukit Bintang di sini, 11 Oktober lalu.
Tertuduh, Mohd. Azri Mohd. Kassim, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Shakirah Mokhtarudin.
Dia didakwa mencuri kereta Porsche Panamera 4, yang nombor plat belum didaftarkan milik Pusat Porsche bernilai RM870,000 di No. 207, Jalan Bukit Bintang pada pukul 9.29 pagi, 11 Oktober 2012.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Peragut rentap beg tangan pelajar diberkas


SEORANG lelaki ditahan selepas meragut beg tangan pelajar di Kampung Wira, Taman Melati, Wangsa Maju kelmarin.


KUALA LUMPUR - Perbuatan dua peragut melarikan beg tangan milik seorang pelajar kolej wanita memakan diri apabila salah seorang daripada mereka ditahan selepas motosikal ditunggangi suspek terbabas ke dalam longkang berhampiran Kampung Wira, Taman Melati Wangsa Maju di sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 8 malam itu berlaku selepas dua peragut yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC merentap beg tangan mangsa yang berusia 23 tahun dari arah belakang.
Mangsa yang terkejut cuba mempertahankan beg tangannya namun beg tersebut kemudian direntap dengan lebih kuat menyebabkan mangsa terjatuh dan cedera di lutut sebelah kiri.
Beg tangan yang berada di bahu kanan mangsa berjaya dilarikan.
Bagaimanapun, sumber berkata, perbuatan suspek telah dilihat oleh dua anggota polis yang menaiki sebuah kereta peronda yang kebetulan membuat rondaan di kawasan tersebut.

Kadar sewa Pasar Seni cekik darah peniaga

PASAR SENI


KUALA LUMPUR – Seorang bekas peniaga kraf tangan di Pasar Seni di sini meminta pihak pengurusan Central Market Sdn. Bhd. supaya lebih bertimbang rasa berhubung kenaikan kadar sewa di pusat pelancongan itu.
Mohammad Zainahar Yuzkhairi, 39, mendakwa, harga sewa tapak seluas 4 x 7 meter kini mencecah ribuan ringgit sehingga menyukarkan penyewa lain terutama bumiputera untuk meneruskan perniagaan.
Sebagai contoh, katanya, mulai Januari tahun ini, peniaga dikehendaki membayar RM2,500 sebulan berbanding RM1,000 pada tahun lalu.
“Bukan itu sahaja, kadar faedah yang dikenakan akibat gagal melunaskan sewa dalam tempoh tujuh hari dari waktu yang ditetapkan juga tidak munasabah serta tidak konsisten.
“Ada satu ketika faedah yang dikenakan adalah RM1,000, di masa lain pula RM600 malah ada yang RM11,” dakwanya kepada pemberita di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mohammad Zainahar berkata, ekoran menanggung beban hutang sehingga mencecah RM24,000, dia mendakwa telah dihalau oleh pihak pengurusan pada 2 Oktober lalu.

macam mana pun ni kena izi dari Allah..Muhasabah diri...ini bencana dari Allah tentu ada hikmah...kita
tahu yang tersurat...tersirat Allah jua yang tahu

Padi rosak petani rugi RM7 juta


SEBAHAGIAN daripada petani yang menyertai perhimpunan secara aman selepas mendakwa mengalami kerugian selepas tanaman padi mereka rosak akibat kekeringan air di Pasir Puteh kelmarin.


PASIR PUTEH - Lebih 600 petani di bendang Cherang Rotan dekat sini mendakwa mengalami kerugian hampir RM7 juta apabila 2,800 hektar tanaman padi musim lepas rosak akibat kekeringan air.
Pengerusi anggota Jemaah Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan Cherang Rotan (PPKCR), Tengku Hussin Tengku Abdul Rahman berkata, masalah tersebut berpunca daripada kemerosotan paras air di Sungai Kelantan yang menyebabkan pam air di Sungai Kemubu tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya.
"Kekeringan air di bendang memberi peluang kepada musuh tanaman seperti tikus dan rumput-rampai memusnahkan tanaman mereka yang hampir boleh dituai," katanya kepada pemberita di bendang Kampung Permatang Rambai di sini kelmarin.
Beliau berkata, sebahagian besar pokok-pokok padi menjadi kering terutamanya di Kampung Permatang Rambai, Seligi, Kampung Lepah dan Berangan.

Jemaah haji berhimpun di Arafah


SEJUMLAH jemaah haji tiba di Jabal Rahmah dekat Mekah semalam.


PADANG ARAFAH - Lautan jemaah haji yang berpakaian ihram membanjiri Padang Arafah di sini, barat Arab Saudi awal pagi semalam untuk menunaikan salah satu daripada lima rukun haji.
Ramai jemaah berkhemah di padang itu dengan kebanyakan mereka tiba sekitar waktu subuh semalam.
Lelaki, wanita dan kanak-kanak dari 189 buah negara membanjiri kawasan itu dan mendirikan khemah pelbagai warna untuk tidur serta berdoa.
Sekitar 2.5 juta jemaah berada tiba di Padang Arafah.
"Kami datang dari Mekah. Kami berjalan kaki dari Masjidilharam ke Mina dan menaiki bas ke Padang Arafah," kata seorang jemaah haji dari Mesir yang datang bersama keluarganya.
"Semakin penat kami rasa, semakin banyak ganjaran pahala yang Tuhan berikan," kata lelaki itu.
Selepas selesai solat subuh, ramai jemaah haji menuju ke sebuah bukit kecil di Padang Arafah yang dikenali sebagai Jabal Rahmah.
Sebahagian jemaah berehat dan berdoa di celah batu di bukit tersebut dengan air mata mengalir di pipi mereka.
Nabi Muhammad SAW dipercayai menyampaikan khutbah terakhir kepada umat Islam di kaki bukit tersebut sebelum baginda wafat.

BEBERAPA jemaah haji berdoa di bukit Jabal Rahmah.


Sementara itu, seorang lelaki menggesa jemaah haji agar tidak mendaki tangga batu yang licin untuk menuju ke puncak Jabal Rahmah.
"Nabi dan pengikutnya tidak pernah mendaki bukit ini. Tolong jangan mendakinya," kata lelaki berkenaan dengan menggunakan pembesar suara.
Sejak beberapa tahun lalu, beberapa jemaah haji pernah tergelincir dan terjatuh semasa memanjat bukit tersebut manakala sebahagian lagi meninggal dunia akibat insiden rempuhan.
Sebahagian jemaah tidak menghiraukan nasihat tersebut dan cuba mendaki Jabal Rahmah tetapi tiada sebarang kejadian tidak diingini yang dilaporkan berlaku.
Beberapa jemaah haji Syria turut dilihat mengibarkan bendera para penentang Presiden Bashar Al-Assad.
Ia merupakan simbol kebangkitan rakyat negara itu yang menentang pemerintahan Bashar sejak 19 bulan lalu.
Jemaah haji kemudian akan bergerak pula ke Muzdalifah yang terletak di antara Mina dan Arafah untuk melontar batu di tiga buah jamrah. - AFP

Yusof dilantik Pengarah Urusan Bank Rakyat


Yusof


KUALA LUMPUR - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) mengumumkan pelantikan Datuk Yusof Abdul Rahman sebagai Pengarah Urusan Bank Rakyat yang ke-10 berkuat kuasa pada 1 Julai lalu.
Pengerusinya, Tan Sri Sabbaruddin Chik berkata, pelantikan itu ialah bagi menggantikan Datuk Kamaruzaman Che Mat yang telah bersara pada awal tahun ini.
"Sebelum pelantikan ini, Yusof telah memangku jawatan Pengarah Urusan dan juga pernah memegang jawatan sebagai Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat Bank Rakyat selama dua tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Artis seni menari tarian kuda


GAMBAR yang dirakamkan kelmarin di sebuah lokasi yang tidak didedahkan menunjukkan (kiri) menari tarian seperti yang dipopularkan Psy.


BEIJING - Seorang artis seni yang kontroversi dari China, Ai Weiwei menari tarian kuda yang dipopularkan oleh penyanyi rap Korea Selatan, Psy dalam satu rakaman video.
Namun, Weiwei melakukan sedikit kelainan apabila dia melakukan aksi menghayun sepasang gari ketika menari.
Video bertajuk Grass Mud Horse Style itu dipercayai dihasilkan Weiwei untuk menyindir undang-undang penapisan internet China.
Video tersebut dimuat naik di laman YouTube dan beberapa laman web di negara berkenaan.
Dalam klip video itu, Weiwei dilihat memakai baju berwarna merah jambu, jaket hitam dan cermin mata hitam untuk meniru Psy.
Weiwei berkata, dia dan beberapa rakannya merakamkan video tersebut dan memuat naik di internet kelmarin.
Artis seni itu juga meniru beberapa aksi Psy seperti gerakan tarian kudanya.
Dia yang lantang mengkritik pemerintah China pernah ditahan secara rahsia selama 81 hari pada tahun lalu sebelum didakwa cuba mengelak daripada membayar cukai.
Muzik video Psy yang berjudul Gangnam Style di YouTube telah ditonton lebih 530 juta kali selepas dimuat naik sejak Julai lalu. - Agensi

Perry bantu kempen Obama


OBAMA melambaikan tangan ke arah para penyokongnya.


LAS VEGAS - Penyanyi terkenal, Katy Perry membuat persembahan pada kempen politik Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di sini kelmarin, menurut akhbar dalam talian, MailOnline semalam.
Perry membuat persembahan sebelum Obama tiba untuk berkempen menjelang pilihan raya presiden AS yang akan berlangsung pada 6 November depan.
Penyanyi itu memakai pakaian ketat berwarna putih yang tertera nama Obama dan Naib Presiden AS, Joe Biden.
Konsert Perry yang terkenal dengan lagu Hot n Cold itu diadakan secara percuma.
Selepas persembahan itu, Obama menyatakan bahawa Perry merupakan seorang wanita yang hebat.
Obama turut bergurau dengan berkata beliau mengenali nenek Perry ketika berkempen di hadapan kira-kira 13,000 orang.
"Satu-satunya perkara yang saya perlu dedahkan ialah kesan gincu Anne (nenek Perry) terdapat pada muka saya selepas beliau mencium saya.
"Malangnya, terdapat seseorang yang telah memadamkan ia (kesan gincu itu) sebelum Michelle (isteri Obama) melihatnya," kata Obama.
Presiden AS itu akan menentang pencabarnya yang merupakan seorang jutawan dan bekas gabenor Massachusetts, Mitt Romney daripada parti Republikan pada pilihan raya itu.
Sementara itu, Obama ketika diwawancara dalam program The Tonight Show di Los Angeles bergurau dengan menyatakan beliau dan bilionair terkenal, Donald Trump dibesarkan bersama di Kenya.
Beliau membuat gurauan itu kerana Trump berjanji akan membuat sumbangan sebanyak AS$5 juta (RM15.19 juta) kepada badan kebajikan jika Obama mendedahkan rekod pasport dan kolejnya.
Trump kerap mempersoalkan sama ada Obama pernah dilahirkan di AS.
Semasa diwawancara , Presiden AS tersebut turut menafikan dakwaan Trump.
"Semua itu berputar ke belakang apabila kami (Obama dan Trump) dibesarkan bersama di Kenya," katanya.
Obama turut menegaskan bahawa rogol merupakan satu perbuatan jenayah.
Beliau membuat penjelasan itu bagi menyelar kenyataan calon Dewan Senat Indiana daripada parti Republikan, Richard Mourdock.
Mourdock membuat kenyataan bahawa wanita yang hamil disebabkan dirogol lelaki merupakan 'sesuatu yang Tuhan mahukan kejadian itu berlaku' sekali gus menyebabkan sebahagian remaja perempuan di AS berasa marah.
Kenyataan itu juga dijangka menyebabkan golongan wanita yang sebelum ini menyokong Romney akan beralih kepada Obama.
- Agensi

No comments:

Post a Comment