Tuesday, October 23, 2012

MAKSIAT AKAN TERUS TAK DAPAT DISEKAT....BILA KITA TETAP NAK MENGUNAKAN UNDANG2 CIPTAAN MANUSIA

Amy Search tutup restoran setelah empat tahun operasi

INILAH Restoran Cheng Ho milik Amy Search di Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang ditutup mulai semalam.


KUALA LUMPUR - Selepas empat tahun beroperasi, penyanyi Amy Search akhirnya menerima hakikat bahawa Restoran Cheng Ho miliknya di Wangsa Maju di sini terpaksa ditutup mulai semalam.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 53, berkata, restoran yang terkenal dengan masakan ala Cina itu terpaksa ditutup kerana pihak yang diberi tanggungjawab untuk menguruskannya berdepan pelbagai masalah.
"Apa pun, saya tetap sedih kerana perniagaan ini sudah lama dijalankan tetapi akhirnya terpaksa ditutup," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Amy, dia memulakan perniagaan tersebut empat tahun lalu dengan modal RM250,000.
Bagaimanapun pada bulan Jun tahun lalu dia menyerahkan segala urusan perniagaan itu kepada seorang rakan tetapi ia berdepan masalah.
Restoran tersebut menyediakan masakan ala Cina kegemaran pelanggan antaranya ketam masak telur masin, udang bersalut mentega dan ikan siakap nyonya.
Amy berkata, dia bernasib baik kerana telah mempatenkan nama Restoran Cheng Ho sebelum ini.
Justeru, katanya, tiada pihak yang dibenarkan menggunakan nama tersebut.

Polis berkas Geng Columbia


CHIN WAH (kanan) memerhatikan pegawainya menunjukkan pistol palsu yang dirampas daripada empat lelaki Amerika Latin pada sidang akhbar semalam.


KUALA LUMPUR - Tindakan licik sekumpulan empat lelaki Amerika Latin yang menyewa kereta mahal jenis Toyota Estima dan Camry untuk melarikan barangan berharga daripada kediaman mewah yang dipecah masuk sejak setahun lalu terbongkar apabila kesemuanya diberkas.
Kesemua suspek dipercayai warga Columbia berusia antara 19 hingga 28 tahun tersebut diberkas di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Desa Ria 2 di sini pada pukul 12.30 tengah malam, Jumaat lalu.
Berdasarkan rekod, mereka turut terlibat dalam kegiatan seluk saku.
Selain kereta Toyota Estima dan Camry, polis turut merampas empat pucuk pistol tiruan, tujuh buah komputer riba, lapan telefon bimbit, mata wang pelbagai negara serta sebuah kamera yang kesemuanya dianggarkan bernilai hampir RM500,000.

Ibu muda maut selepas bersalin


ROHIZAT (kanan) dan Normah menunjukkan rumah yang menjadi tempat Shaniza ditemui meninggal dunia bersama bayinya di Kulim kelmarin.


KULIM – Penduduk di Taman Kekwa dekat sini gempar apabila seorang ibu muda yang sedang sarat hamil ditemui meninggal dunia bersama bayi yang baru dilahirkannya kelmarin.
Mayat Shaniza Idris, 27, ditemui pada pukul 2.30 petang oleh jirannya yang masuk ke dalam rumah selepas curiga apabila mendapati wanita itu tidak keluar untuk menjemput anaknya pulang sekolah.
Shaniza meninggal dunia selepas mengalami perdarahan teruk apabila uri dikatakan tidak keluar sepenuhnya ketika mangsa bersalin bersendirian.
Mayatnya ditemui dalam keadaan tertiarap dalam bilik utama dengan berlumuran darah manakala mayat bayinya itu berada dalam bilik air.
Ketika kejadian, suami mangsa, Konstabel Asmadi Ahmad, 28, yang bertugas di Balai Polis Kulim tiada di rumah kerana sedang berkursus sejak seminggu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di Nibong Tebal.
Pasangan itu dikurniakan tiga anak iaitu Mohd. Danial, 7; Mohd. Dani, 4, serta Puteri Dayana, 1.

Calon SPM jadi GRO


ANGGOTA polis memeriksa 21 GRO yang diberkas dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR - Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh dua minggu lagi diberkas selepas dia didapati menjadi pegawai perhubungan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Taman Tun Dr. Ismail di sini kelmarin.
Selain pelajar berusia 17 tahun terbabit, polis turut memberkas seorang GRO berumur 16 tahun dalam serbuan pada pukul 9.45 malam. Ketika serbuan, kedua-duanya mengenakan pakaian seksi.
Dua remaja berkenaan merupakan antara 21 GRO yang ditahan dalam serbuan yang dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman.
Pegawai Operasi, Inspektor Muhammad Mohd. Jais berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kedua-dua remaja itu masih bersekolah.

Ibu baca Yasin di sisi mayat anak


IBU kepada Abang Mohd. Yazid (gambar kecil) membaca surah Yasin disisi mayat anaknya itu selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Datuk Mohammad Musa, Samarahan semalam.


SAMARAHAN - Seorang ibu hanya mampu membaca surah Yasin di sisi mayat anaknya yang terbaring kaku di atas jalan selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Datuk Mohammad Musa di sini semalam.
Tindakan ibu berusia 40-an itu membaca surah Yasin ketika menunggu ketibaan ambulans mengundang simpati pengguna jalan raya yang melalui lokasi kejadian.
Kemalangan itu berlaku ketika mangsa, Abang Mohd. Yazid Abang Mesait, 25, yang menunggang motosikal ke tempat kerja cuba membuat pusingan 'U' di jalan tersebut pada pukul 6.15 pagi.
Bagaimanapun, ketika membuat pusingan 'U' itu, tiba-tiba sebuah Proton Waja yang mengikuti rapat mangsa dari arah belakang gagal memperlahankan kenderaan lalu merempuh mangsa.

Suami tangkap isteri berkhalwat di rumah sendiri


ISTERI Salman (kiri) ditahan bersama kekasihnya dan seorang wanita lain (kanan) di sebuah pangsapuri di Melaka pada Ahad lalu.


MELAKA - Suami keluar mencari rezeki, isteri pula bermain cinta dengan lelaki lain.Itulah nasib seorang kontraktor yang terkedu apabila mendapati isterinya menjalin hubungan sulit ketika dia bekerja.
Lebih mengecewakan, suami tersebut berjaya menghidu kecurangan isterinya apabila terdengar wanita itu bergurau senda dengan 'kekasih gelapnya' di pangsapuri mereka di Ayer Keroh di sini Ahad lalu.
Suami malang itu yang hanya mahu dikenali sebagai Salman, 36, berkata, geram dengan kejadian berkenaan, dia bergegas ke ke pejabat Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan meminta penguat kuasa jabatan itu menangkap isterinya dan lelaki terbabit.
Cerita Salman, semuanya terbongkar apabila dia yang tertinggal pengecas bateri telefon bimbit, berpatah balik ke rumahnya pada pukul 10 malam untuk mengambil alat tersebut.
Salman yang keluar bekerja pukul 8 pagi hari yang sama sempat memberitahu isterinya yang berusia 24 tahun itu bahawa dia akan pulang lewat kerana bertugas di luar kawasan.
"Apabila tiba di rumah, saya terperanjat apabila terdengar suara isteri saya ketawa bersama seorang lelaki seolah-olah sedang bermesra," katanya di sini semalam.

Aceh tutup gereja dan kuil Buddha

SEORANG lelaki menunggang basikal di hadapan sebuah gereja yang ditutup di ibu negeri wilayah Aceh, Banda semalam.


JAKARTA - Pihak berkuasa di Aceh, Indonesia semalam berkata, mereka terpaksa menutup beberapa buah gereja Kristian dan kuil Buddha selepas mendapat tekanan daripada Barisan Pertahanan Islam (FPI).
Aceh merupakan satu-satunya wilayah di negara ini yang mengamalkan undang-udang Islam sepenuhnya. Penutupan rumah ibadat itu menjadi petanda terbaharu mengenai sikap tidak bertoleransi antara agama kian meningkat.
Timbalan Datuk Bandar Banda Aceh, Illiza Sa'aduddin Djamal memberitahu, penutupan itu dibuat kerana sembilan gereja Kristian dan enam kuil Buddha tersebut tidak memiliki permit.
Namun, jelasnya kepada agensi berita AFP, kesemua tempat beribadat itu diarah tutup pada minggu lalu selepas mendapat aduan daripada FPI dan berlaku sedikit ketegangan sebelum keputusan dibuat.
"Kami tidak mahu sebarang masalah keselamatan timbul di Banda Aceh disebabkan aktiviti-aktiviti haram," kara Djamal.
FPI menyifatkan dirinya sebagai penguat kuasa moral dan undang-undang Islam. Ia sering menyertai pasukan polis dalam operasi serbuan ganas ke atas bar dan pusat-pusat pelacuran.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri memberi isyarat bahawa ia tidak akan campur tangan.
Seorang jurucakap berkata, tidak berlaku sebarang penutupan ke atas semua rumah ibadat tersebut kerana ia belum mempunyai permit. - AFP

Gangnam Style tidak popular di Jepun


PSY menyampaikan lagu Gangnam Style semasa konsert sempena perlumbaan Formula Satu di Litar Antarabangsa Korea, Yeongam, Korea Selatan pada 14 Oktober lalu.


SEOUL - Lagu Gangnam Style yang menonjolkan aksi penyanyi rap Korea Selatan, Psy menari tarian kuda tidak popular di Jepun, walaupun lagu tersebut mencipta fenomena di serata dunia.
Perkembangan tersebut berlaku di sebalik pengaruh besar muzik pop Korea (K-pop) di negara matahari terbit itu. Namun, peminat K-pop Jepun dilaporkan menjauhi Gangnam Style.
Terdapat spekulasi di Korea Selatan bahawa isu pertikaian sejumlah pulau di antara keda-dua negara menyebabkan lagu tersebut tidak popular.
Gangnam Style pernah mengungguli beberapa carta muzik di Britain dan Amerika Syarikat. Namun lagu itu cuma berada di tempat ke-30 carta 30 muzik iTunes di Jepun.
Bagi memburukkan lagi keadaan, banyak blog muzik Jepun berpendapat, kejayaan besar video muzik Gangnam Style di laman perkongsian video YouTube adalah kerana penggunaan program tontonan automatik dikenali 'bots'.
Mereka memberitahu, Gangnam Style mencatat tontonan tinggi ekoran peminat di Korea Selatan menekan butang F5 pada papan kekunci komputer bagi memainkan lagu itu berulang kali.
Justeru, sebahagian peminat K-Pop di Jepun menggelarkan lagu popular itu sebagai F5 Style.
Menurut beberapa pendapat lain, Gangnam Style kurang mendapat sambutan di Jepun kerana Psy, 34, tidak menerbitkan lagu versi bahasa Jepun seperti dilakukan sejumlah bintang K-pop lain sebelum ini.
Muzik video Gangnam Style yang dimuat naik pada Julai lalu telah ditonton lebih 532 juta kali di laman YouTube. - AFP

Singapura buka terminal kapal mewah


GAMBAR oleh firma Communications DNA Pte Ltd menunjukkan kapal persiaran Diamond Princess dan Voyager of the Seas berlabuh di terminal Pusat Pelayaran Teluk Marina di Singapura kelmarin.


SINGAPURA - Pemerintah di sini membuka sebuah terminal kapal persiaran baharu yang setanding dengan pusat persinggahan kapal-kapal mewah bertaraf dunia sebagai usaha menjadikan republik itu sebagai hab pelancongan serantau.
Dikenali dengan nama Pusat Pelayaran Kapal Teluk Marina, ia dibuka secara rasmi kelmarin.
Pembinaan terminal tersebut membolehkan pulau ini memenuhi peningkatan bilangan pelancong di Asia yang bercuti di atas kapal-kapal persiaran mewah.
Pusat pelayaran itu beroperasi hasil kerjasama di antara pihak Perkhidmatan Terminal Lapangan Terbang Singapura dan syarikat Eropah, Creuers del Port de Barcelona.
Terminal berkenaan boleh menempatkan kapal penumpang seberat 220,000 tan dengan panjang melebihi 360 meter.
Bangunan tersebut turut dilengkapi pelbagai kemudahan yang dibina dengan kos sekitar Sg$500 juta (RM1.25 bilion).
Ketua Eksekutif terminal berkenaan, Melvin Vu berkata, Singapura bakal menjadi pangkalan utama pelayaran kapal-kapal mewah berikutan terminal moden yang dimilikinya.
"Pembukaan rasmi terminal menjadi mercu tanda kepada satu perubahan signifikan dalam perkembangan landskap pelayaran di Singapura dan rantau ASEAN," katanya.
Singapura mencatatkan kehadiran 13.2 juta pelancong asing tahun lalu dengan hasil industri pelancongan mencecah Sg$22.3 bilion (RM55.6 bilion). - AFP

Lelaki Tibet bakar diri


GAMBAR dirakam kelmarin menunjukkan seorang lelaki Tibet dikenali sebagai Dhondup membakar dirinya di Biara Labrang dalam wilayah Gansu di China.


BEIJING - Seorang lelaki Tibet berusia dalam lingkungan 50-an maut selepas membakar dirinya di sebuah biara utama di barat laut China, kata sebuah pertubuhan hak asasi manusia yang beribu pejabat di London.
Pertubuhan berkenaan, Bebaskan Tibet menyatakan, Insiden tersebut merupakan perbuatan membakar terbaharu bagi memprotes penguasaan China ke atas Tibet.
Lelaki itu yang hanya dikenali sebagai Dhondup, melaungkan slogan bebaskan Tibet semasa dia menyalakan api pada badannya di dewan ibadat Biara Labrang, dalam wilayah Gansu kelmarin.
Agensi berita rasmi Xinhua memetik seorang pegawai pemerintah sebagai berkata, seorang pengembala membakar dirinya di biara itu sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan) kelmarin.
"Dhondup merupakan antara lapan penduduk Tibet yang telah mengorbankan nyawa mereka bagi membantah pemerintahan China di Tibet sepanjang bulan lalu," kata pengarah pertubuhan hak asasi manusia berkenaan, Stephanie Brigden.- Agensi

Budak lelaki tersepit dua jam di celah bangunan


SEORANG budak lelaki tersepit di celah dinding dua bangunan di perkampungan Wujiangkou, dalam wilayah Zhejiang, China pada Sabtu lalu.


BANDAR RAYA JINHUA - Seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang tersangkut di celah dinding dua bangunan setelah terjatuh dari balkoni kediamannya di tingkat tiga diselamatkan baru-baru ini.
Agensi berita Reuters melaporkan semasa kejadian, kanak-kanak itu sedang bermain di balkoni rumahnya di perkampungan Wujiangkou di sini, dalam wilayah Zhejiang di timur China pada Sabtu lepas.
Dia kemudian secara tidak sengaja terjatuh dari balkoni rumahnya dan tersepit di celah dinding dua buah bangunan dengan ruang cuma 25 sentimeter.
Kanak-kanak itu tersangkut di celah dinding tingkat dua bangunan-bangunan itu selama dua jam sebelum diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat.
Anggota-anggota bomba bertindak mengikat kanak-kanak itu dengan seutas tali bagi mengelakkan dia daripada terjatuh.
Mereka kemudian mengenal pasti lokasi kedudukan kanak-kanak itu sebelum memecahkan dinding setebal 60 sentimeter itu dari dalam sebuah bangunan tersebut.
Pasukan bomba membuat sebuah lubang besar pada dinding dan menarik kanak-kanak itu ke dalam bangunan berkenan.
Dia yang kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut, didapati cuma mengalami kecederaan kecil pada dahi. - Reuters

No comments:

Post a Comment