Sunday, January 13, 2013

JANGAN SENJATA MAKAN TUAN DAH

Dua penjenayah lolos ditangkap

MOHD. SHAHRIMY yang berjaya ditangkap semula dibawa ke Balai Polis Tasek Gelugor malam tadi.


TASEK GELUGOR – Polis malam tadi berjaya memberkas dua daripada lima orang kena tahan (OKT) yang diburu sejak Isnin lepas, setelah mereka meloloskan diri ketika dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke Mahkamah Butterworth.
Mohamad Farid Akhtar, 24, ditangkap ketika makan seorang diri di sebuah restoran di Kubang Semang manakala rakannya, Mohd. Shahrimy Mohd. Noor, 28, pula ditahan di satu kawasan tidak jauh dari situ kira-kira 30 minit kemudian.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, kedua-dua penjenayah itu ditangkap hasil risikan dan maklumat awam.
“Susulan penangkapan suspek ini polis yakin dapat menahan tiga lagi rakannya dalam tempoh terdekat,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi Isnin lalu, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke Kompleks Mahkamah Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.
Dua daripada mereka berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada Khamis lalu.
Dua tahanan yang ditembak mati ialah Mohd. Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Boy atau Mohd. Noor Mustafa, 28.
Mereka yang masih diburu ialah Hamizani Harun, 37, Mohamad Khairul Nizam Abdul Rani, 25, dan Hisham Abdul Rahman, 39.
Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, seorang lagi OKT, Mohamad Khairul Nizam sempat melarikan diri ke kawasan belukar di belakang Sekolah Kebangsaan Bukit Indera Muda, Kubang Semang.
Beliau berkata, ketika melarikan diri, dia dipercayai membawa bersama seorang remaja, Mohd. Khairul Anas Mohd. Fadli, 19, dan berkemungkinan dijadikan sebagai tebusan kerana lelaki itu turut membawa sebilah parang panjang bersamanya.
“OKT tersebut mempunyai rekod samun berkumpulan dan samun bersenjata. Dia juga melarikan motosikal jenis Honda EX5 milik bapa remaja berkenaan,” katanya.
Menurut Abdul Rahim, polis telah mengarahkan anggota Pasukan Gerakan Am memburu Mohamad Khairul Nizam di kawasan terbabit.

Lapor kepada Seniman jika artis diminta habuan seks

KUALA LUMPUR - Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menggesa penggiat seni tanah air yang berdaftar di bawahnya supaya segera melaporkan kepada mereka sekiranya pernah diminta habuan seks untuk tindakan termasuk disenaraihitamkan.
Presidennya, Zed Zaidi berkata, mereka yang menjadi mangsa kepada tindakan tidak bermoral segelintir pengarah ataupun penerbit drama dan filem itu perlu memberanikan diri untuk tampil melaporkan kes seumpama itu.
Menurutnya, mangsa boleh melaporkan kes kepada Biro Aduan dan Perundangan Seniman supaya tindakan selanjutnya dapat diambil.
"Apabila sudah ada laporan, Seniman akan merujuk kepada Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) bagi menentukan sama ada terdapat ahli mereka yang terlibat.
"Seniman, FDAM dan PFM akan membuat satu tindakan bersama dengan menulis surat kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan semua stesen televisyen tanah air mengenai tingkah laku buruk penerbit dan pengarah berkenaan untuk disenaraihitamkan," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.
Zed mengulas dakwaan seorang artis baharu, Zeehan Husin bahawa dia pernah diminta menjadi teman tidur seorang pengarah drama terkenal jika mahu mendapat watak utama.
Zeehan, 30, memberitahu, perangai jelik pengarah itu diketahui oleh kru produksi drama di bawah arahan lelaki tersebut.
Menurut Zed, Seniman memerlukan kerjasama semua pihak untuk membendung masalah tersebut yang telah berlarutan begitu lama walaupun hanya melibatkan segelintir pihak.
"Mangsa tidak perlu takut untuk membuat laporan walaupun diugut kehilangan watak yang dibawa mereka," jelasnya.

Pemandu rempuh peronda URB


KEADAAN sebuah kereta yang merempuh anggota URB sebelum terbabas ke dalam longkang di Taman Desa Jaya, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Gara-gara takut ditahan oleh polis Unit Ronda Bermotosikal (URB) yang sedang membuat rondaan, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an bertindak merempuh kenderaan polis sebelum berjaya melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan yang dipandunya di Taman Desa Jaya di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, lelaki yang memandu kereta bernombor pendaftaran Singapura tersebut turut terbabas ke dalam sebuah longkang berhampiran Masjid Al-Falah di situ.
Insiden itu mengakibatkan seorang anggota polis URB cedera di siku dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Kosmo! Ahad difahamkan, sebaik sahaja suspek melihat kelibat polis, dia bertindak membuat pusingan di depan masjid itu sebelum terbabas hingga terjunam ke dalam longkang.
Seorang saksi, Rasdan Raob, 42, berkata, dia sempat melihat adegan polis mengejar lelaki terbabit ketika dia keluar membeli makanan tengah hari.
“Kereta yang dipandu laju itu tiba-tiba hilang kawalan hingga terbabas dan kami melihat seorang lelaki dalam lingkungan 20-an sempat keluar dari kereta itu dan melarikan diri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dr. Hashim Haron mengesahkan kejadian.
“Identitinya masih belum dikenal pasti dan kita tak tahu motif dia melarikan diri,” katanya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

PM bidas Selangor putar belit isu air


NAJIB disambut meriah oleh orang ramai ketika hadir pada majlis Parti IPF
Selangor Bersama Perdana Menteri di Semenyih semalam.


SEMENYIH – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membidas sikap kerajaan Selangor yang gemar memutar belit isu krisis bekalan air yang berlaku di negeri itu dengan menuding jari dan menyalahkan pihak lain.
Katanya, beliau amat kesal dan sedih melihat bebanan dialami rakyat negeri itu terutama penghuni flat kerana terpaksa turun naik untuk mengambil air dengan baldi bagi memenuhi keperluan harian mereka.
“Saya sedih tengok orang flat, angkat baldi air ke tingkat atas, tingkat dua bolehlah, kalau tingkat 10 macam mana? Kalau orang muda boleh, kalau dah tua macam mana nak angkat baldi? Susah rakyat,” katanya.
Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, kerajaan Selangor hanya salahkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Kita (kerajaan BN) tak boleh (selesaikan masalah air) sebab mereka (kerajaan Selangor) tak bagi ‘development order’. Kita nak buka stesen pam tambahan, mereka (kerajaan Selangor) tak bagi kelulusan,” katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) Negeri Selangor Bersama Perdana Menteri di Dataran Tesco Bandar Rincing, Semenyih di sini semalam.
Turut hadir Presiden IPF, Datuk M. Sambanthan dan beberapa pemimpin parti politik komponen BN.
Perdana Menteri pada masa sama memberi jaminan, krisis bekalan air di Lembah Klang akan dapat diselesaikan segera jika rakyat memberi mandat besar kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
“Apa yang berlaku (krisis bekalan air) ketika ini merupakan secebis sahaja apa yang akan berlaku pada tahun 2014 yang mana malapetaka lebih serius akan menimpa negara khususnya di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya jika masalah air tidak dapat diselesaikan.
“Oleh itu, saya jamin, kita (BN) akan selesaikan masalah air di Selangor dengan cepat sekiranya rakyat beri mandat kepada BN,” katanya.
Kosmo! pada 3 Januari lalu melaporkan sebanyak 107,760 akaun pengguna membabitkan setengah juta isi rumah di sekitar Lembah Klang menghadapi krisis bekalan air.

Isu air, ahli akademik dedah tembelang Selangor

SHAH ALAM - Seorang ahli akademik dan pakar air semalam mendedahkan tembelang kerajaan Selangor yang hanya menyalahkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berhubung krisis bekalan air sedangkan kerajaan negeri gagal melaksanakan tanggungjawab di bawah perjanjian konsesi air.
Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, agak melucukan juga apabila Syabas dituduh punca krisis air yang baru-baru ini melanda ribuan penduduk di 90 kawasan di Gombak dan Ampang sementara kerajaan negeri pula mahu menyaman syarikat itu.
Beliau berkata, kerajaan Selangor sebenarnya memiliki 30 peratus saham dalam Syabas dan walaupun bukan majoriti, ia pegangan saham yang besar malah mempunyai dua pengarah dalam lembaga syarikat berkenaan.
"Sebenarnya Syabas adalah di bawah kendalian kerajaan Selangor tetapi kerajaan negeri seolah-olah cuba menutup bahawa mereka mempunyai kepentingan di dalam Syabas.
"Seolah-olah mereka cuba menyatakan Syabas ini tidak ada kena mengena dengan kerajaan negeri.
"Apabila memiliki 30 peratus saham, ini kuasa yang besar dalam perniagaan tetapi kerajaan Selangor seolah-olah tidak nak ambil tahu pun apa yang berlaku dalam Syabas, seolah-olah Syabas entiti yang bukan kena mengena dengan mereka dan ditambah seronoknya cerita, kerajaan negeri nak saman Syabas," kata Zaharuddin lagi.
Beliau berkata, tindakan itu samalah seperti menyaman kerajaan Selangor sendiri yang memiliki 30 peratus saham di samping mempunyai dua pengarah dalam Syabas iaitu Noorusa'adah Othman dan Suhaimi Kamaralzaman.
Zaharuddin berkata, kerajaan negeri nyata hanya mahu menjadikan isu air mainan politik. Beliau juga tidak faham apa sebab kerajaan Selangor cuba mengaburi rakyat ketika ini.
Di bawah perjanjian konsesi air Selangor, tanggungjawab pembersihan sungai dan tadahan air, memberi kelulusan kepada operator rawatan/bekalan air untuk membina rumah pam baharu serta membaiki dan menaik taraf loji dan rumah pam rosak dan uzur di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Mengenai pendirian kerajaan Selangor berhubung penstrukturan semula industri air di negeri itu, beliau berkata, persoalan yang timbul ialah cukupkah air yang akan diagihkan kepada semua orang.
Zaharuddin berkata, penstrukturan semula adalah suatu isu berlainan dan perlu dilihat dalam aspek berbeza dan perlu ada air mentah untuk diagihkan dahulu, barulah boleh melihat penstrukturan.
- Bernama



 ] Isu Kalimah Allah : molek juga ditinjau kenyataan pemimpin-pemimpin UMNO

Kenyataan Datuk Seri Hishamuddin Hussein : http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/hishammuddin-says-regrets-allah-ban/
Kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm
Kenyataan Fathul Bari Mat Jahaya : http://thestar.com.my/news/story.asp?sec=nation&file=%2F2011%2F3%2F19%2Fnation%2F8301418



Lisa buat laporan polis kes tipu

KUALA LUMPUR – Pelakon filem Istanbul Aku Datang, Lisa Surihani membuat laporan polis di Balai Polis Bangi, Jumaat lalu berhubung kes penipuan wang melibatkan keluarganya.
Lisa yang dihubungi Kosmo! Ahad bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kes tersebut bagaimanapun enggan memberikan penjelasan terperinci.
“Ikutkan memang saya mahu memberi kerjasama. Tetapi saya tidak boleh menyatakan sebarang komen kerana tidak mahu mengganggu siasatan,” kata Lisa, 27.
Jumaat lalu Lisa tampil membuat laporan polis tersebut bersama suaminya, Yusry Abd. Halim dan ibunya, Amira Ahmad kira-kira pukul 2 petang.
Tambah Lisa, dia berjanji akan memberikan penjelasan lebih lanjut apabila siasatan kes tersebut tamat.
“Insya-Allah saya akan ceritakan suatu hari nanti setelah kes selesai agar dapat memberi pengajaran kepada orang ramai,” kata Lisa ringkas.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh ketika dihubungi memberitahu, kejadian tipu berkenaan berlaku di Cheras.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Difahamkan kes tersebut melibatkan penipuan sehingga menyebabkan kehilangan sejumlah wang dalam akaun bank.

Murtad jika benar guna kalimah Allah

JOHOR BAHRU - Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut berkata, mereka yang membenarkan penyelewengan penggunaan kalimah Allah boleh jadi murtad dan perlu bertaubat dengan segera.
Menurutnya, kalimah Allah adalah hak mutlak agama Islam dan mereka yang mengucap dua kalimah syahadah iaitu kalimah penyaksian, sumpah setia dan akujanji terhadap Allah.
"Apabila sesuatu hukum telah tercatat di dalam al-Quran dan hadis, selain ijmak ulama, maka ia tiada kompromi.
"Dari segi hukum, kalau seseorang itu melanggarnya, dia boleh jadi murtad dan kafir sekiranya perbuatan itu dilakukan dengan keadaan sengaja dan waras," katanya selepas merasmikan Seminar Wakaf dan Perancangan Harta Pusaka Islam di sini semalam.
Katanya, di dalam al-Quran jelas menerangkan kalimah Allah merupakan kalimah eksklusif untuk orang Islam seperti mana dalam Surah Thaha ayat 14 bermaksud, "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Aku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Aku."
"Jadi, jelas barang siapa yang mengatakan agama semua sama, hukumnya murtad, kerana itu apabila bercerita tentang akidah dan hukum, ia tidak boleh ditafsirkan mengikut politik sama ada politik pembangkang atau politik kerajaan," katanya.
Nooh berkata, jika penggunaan kalimah Allah dibenarkan dalam Bible versi bahasa Melayu, ia akan menimbulkan kekeliruan kerana menurutnya, di dalam agama Kristian itu sendiri terdapat tiga nama tuhan.
Beliau turut menegur sikap pihak tertentu yang seolah-olah sengaja menguji keharmonian negara dengan mengganggu kontrak sosial yang selama ini menjadi tonggak kepada keamanan negara. - Bernama


46 maut tanah runtuh di China


PEKERJA penyelamat menggali timbunan lumpur selepas tanah runtuh melanda Kampung Gaopo di daerah Zhenxiong, dalam wilayah Yunnan kelmarin.


BEIJING - Usaha mencari tiga orang yang hilang dalam kejadian tanah runtuh di barat daya China berakhir semalam apabila mayat mereka dikeluarkan dari dalam lumpur dengan angka kematian keseluruhan bencana berkenaan kini 46 orang, kebanyakannya kanak-kanak.
Pihak berkuasa Wilayah Yunnan memberitahu, mayat tiga mangsa terakhir itu ditemui pagi semalam selepas 1,000 pekerja penyelamat melancarkan usaha mencari selama semalaman di Kampung Gaopo.
Agensi berita Xinhua melaporkan, mereka yang tertimbus dalam tanah runtuh tersebut termasuk 27 orang dewasa dan 19 kanak-kanak.
Menurut agensi berita tersebut, dua lagi mangsa dimasukkan ke hospital selepas bencana itu menimpa pagi kelmarin dengan menyebabkan 16 kediaman tertimbus,
Usaha mencari dan menyelamat segera dikerahkan dengan disertai sejumlah anggota tentera, polis, bomba dan pekerja penyelamat serta dibantu 20 jentera berat.
Seorang wanita, Li Yongkju berkata, dia mendengar bunyi dentuman tanah runtuh itu ketika membersihkan halaman rumahnya.
Yongkju, 50, memberitahu, dia dan beberapa penduduk kampung lain bergegas ke lokasi bencana itu dengan membawa penyodok dan cangkul.
"Kami mengeluarkan beberapa mangsa, seorang daripada mereka sukar bernafas. Dia mati tidak lama kemudian," dia dipetik sebagai berkata oleh Xinhua.
Seorang lagi penduduk kampung berkenaan, Zhou Benju menangis ketika menceritakan kejadian itu.
"Beberapa saudara-mara ibu bapa saya termasuk nenek, saudara lelaki, bapa saudara dan anggota keluarga ibu saudara saya terbunuh," katanya.
Satu klip video yang disiarkan di sebuah laman jaringan sosial China menunjukkan sekumpulan penduduk kampung menemui satu mayat ketika menggali lumpur dan serpihan. Mayat itu kemudian dibawa keluar menggunakan pengusung.
Menurut Xinhua, tanah runtuh itu berpunca daripada hujan dan salji tanpa henti selama 10 hari.
Menurut pihak berkuasa, tanah runtuh itu melitupi kawasan sepanjang 120 meter, dan selebar 110 meter.
Wilayah Yunnan yang bersempadan dengan Myanmar, Thailand, Laos dan Vietnam merupakan kawasan miskin dengan rumah-rumah dibuat menggunakan bahan murah.
Gaopo terletak di daerah Zhenxiong, timur laut Yunnan dengan kawasan pergunungannya cenderung dilanda tanah runtuh dan gempa bumi. - AFP

Struktur terbesar alam semesta ditemui


KELOMPOK kuasar LQG yang merupakan struktur terbesar di cakerawala.


LONDON - Ahli-ahli astronomi menemui struktur terbesar di alam semesta yang terdiri daripada beberapa kuasar amat besar sehingga masa empat bilion tahun diperlukan untuk merentasinya pada kelajuan cahaya.
Penemuan yang dibuat oleh ahli-ahli akademik Universiti Lancashire Pusat, Britain itu disiarkan dalam jurnal Notices of the Royal Astronomical Society dan dilaporkan dalam laman web persatuan berkenaan kelmarin.
Kuasar merupakan objek paling terang dan bersinar di alam semesta dengan cahayanya terpancar dari pusat sejumlah galaksi sejak awal kewujudan cakerawala. Cahaya kuasar dapat dilihat dari jarak beberapa bilion tahun cahaya.
"Sejak tahun 1982 ahli-ahli sains mendapati kuasar cenderung terbentuk secara berkelompok sekali gus membentuk struktur besar yang terdiri daripada gugusan kuasar besar atau LQG," kata persatuan itu.
Menurutnya, gugusan kuasar yang baru ditemui itu memiliki dimensi 500 megaparsek dengan setiap megaparsek bersamaan jarak 3.3 juta tahun cahaya.
Berikutan LQG berbentuk memanjang, dimensi paling panjang gugusan kuasar itu berukuran 1,200 megaparsek atau empat bilion tahun cahaya.
Saiz tersebut adalah 1,600 kali ganda jarak dari Galaksi Bima Sakti ke galaksi paling hampir, Andromeda.
Bumi terkandung dalam Galaksi Bima Sakti. - Reuters

Pengguna komputer diminta tutup program Java

WASHINGTON - Jabatan Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS) menasihati orang ramai agar menutup sementara perisian Java dalam komputer mereka bagi mengelakkan risiko serangan penggodam.
Saranan itu dibuat dalam satu pekeliling pada Khamis lalu susulan kebimbangan yang ditimbulkan oleh pakar-pakar keselamatan komputer.
Mereka percaya penggodam-penggodam telah menemui kelemahan dalam kod perisian Java yang boleh digunakan untuk melakukan aktiviti jenayah dan penipuan siber.
Java digunakan secara meluas sebagai bahasa teknikal yang membolehkan pengatur cara menulis pelbagai jenis aplikasi internet dan program perisian lain yang boleh digunakan dalam hampir semua sistem pengoperasian komputer.
Firma Oracle Corp memiliki Java apabila membeli syarikat yang menghasilkan perisian itu, Sun Microsystems pada harga AS$7.3 bilion pada 2010. - AP

No comments:

Post a Comment