Wednesday, February 13, 2013

DULU MASA GAGAH TAK BAGI...DAH LEMAH...RAKYAT DAH MULA MELUAT BARU NAK BAGI...JANGAN TERUS MENIPU DAN MENGULA2KAN RAKYAT...TAK ELOK..NAK BAGI...BAGI SEMUA...NAMPAK SANGAT RAKYAT BANYAK YANG MISKIN...PEMIMPIN2...AHLI2 KOPERAT KAYA2

PM: BR1M 3.0 jika terus sokong BN

Posted on the February 13th, 2013 under Tempatan by admin


KULAIJAYA – Kerajaan menjanjikan lebih banyak bantuan kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) jika ia mendapat mandat untuk meneruskan program transformasi ekonomi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata pelaksanaan pelbagai program transformasi ekonomi itu bukan sahaja telah berjaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi semasa tetapi turut menambah pendapatan negara.
“Dengan pendapatan yang bertambah, hasilnya kerajaan akan pulangkan semula kepada rakyat seperti yang kita lakukan menerusi BR1M 1, BR1M2.0 dan BR1M 3.0,” katanya kepada lebih 10,000 yang menghadiri sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika mahukan agenda transformasi ekonomi negara yang memberi pelbagai manafaat kepada rakyat itu diteruskan, maka kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu diberikan mandat untuk terus memerintah negara ini.
“Jikalau mandat itu diberikan (kepada kerajaan BN) untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat, Malaysia akan mempunyai masa depan yang cukup hebat dan cemerlang,” katanya yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN.
Turut hadir pada majlis sambutan itu termasuk isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Ahli Parlimen Kulai, Tan Sri Ong Ka Ting, beberapa menteri kabinet dan pemimpin parti komponen BN.
Perdana Menteri berkata, kerajaan menerusi program transformasi ekonomi telah berjaya meningkatkan pendapatan per kapita rakyat Malaysia daripada AS$6,700 (RM20,759) pada penghujung 2009 kepada AS$9,750 (RM30,210) pada penghujung 2011.
Perkara itu adalah bertepatan ke arah usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Beliau berkata, kejayaan pengurusan ekonomi negara itu turut meyakinkan agensi pelaburan Qatar untuk membuat pelaburan bagi membina Hotel Harrods yang pertama di dunia di Kuala Lumpur.
Selain Hotel Harrods itu, katanya, pelabur yang berkeyakinan terhadap program transformasi ekonomi Malaysia turut akan melabur berbilion ringgit bagi membina Hotel Four Seasons setinggi 65 tingkat di ibu negara.
Perdana Menteri berkata Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia yang dilancarkan pada 2006 sehingga akhir tahun lepas juga telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM106 bilion dari dalam dan luar negara.
Pada 19 Februari ini, Najib berkata, beliau dan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong akan melawat Iskandar Malaysia dan merasmikan projek ikonik ‘Wellness Township’.
“Program transformasi ekonomi negara sedang berjalan dengan pantas dan rakyat telah pun menerima faedah serta manfaatnya. Bukti kejayaan program transformasi itu boleh dilihat di sekeliling kita,” katanya.
Beliau memberi contoh Johor Premium Outlet (JPO) yang terletak di Kulaijaya yang akan memulakan projek pembesaran fasa keduanya, walaupun pembukaannya baru sahaja dirasmikan tidak lama dahulu.
Perdana Menteri berkata di bawah projek fasa kedua itu pihak pengurusan JPO akan menambah 70 lagi kedai.
Beliau berkata pasaran sedang menunggu mandat yang jelas daripada rakyat kepada kerajaan, yang akan menyaksikan ia melonjak ke suatu tahap yang lebih tinggi dan keyakinan pelabur melambung.
“Semua akan menerima faedahnya jika kita membuat keputusan yang tepat,” kata beliau.
Menurutnya manfaat demi manfaat yang diterima oleh rakyat hasil kejayaan program transformasi ekonomi yang dilaksanakan itu membuktikan kerajaan menepati segala janji yang dibuatnya.
“Kita tidak menjual janji demi janji sebagaimana yang dilakukan oleh pembangkang. Kerajaan melaksanakan ‘Janji Ditepati’ terhadap segala yang dijanjikan kepada rakyat,” katanya.
Perdana Menteri pada majlis yang sama turut menyampaikan bantuan BR1M 2.0 kepada 20 penerima daripada kawasan Parlimen Kulai. – Bernama

Jakim dinaik taraf kementerian?

Posted on the February 13th, 2013 under Tempatan by admin


KUALA TERENGGANU – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengadakan perjumpaan dengan pemikir dan cendekiawan Islam di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 5 Mac nanti.
Mereka terdiri daripada tokoh-tokoh ulama, pemimpin, mufti, tokoh-tokoh Institusi Pengajian Tinggi (IPT), syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) dan ketua-ketua jabatan kerajaan di seluruh negara.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah berkata, perhimpunan dan perjumpaan perdana yang dijangka melibatkan 16,000 tokoh cendekiawan Islam antara lain bertujuan bagi menjalin hubungan baik antara kerajaan dengan ulama dan umarak.

“Pada perjumpaan itu nanti, Perdana Menteri akan mengumumkan sesuatu yang istimewa dan penting kepada warga agama bagi menjadikan Islam sebagai agenda penting yang akan diperkasakan selepas pilihan raya umum ke-13 nanti,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika melawat Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di Kampus Utama Gong Badak di sini hari ini. Turut hadir Naib Canselor Unisza Prof Dr Yahaya Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.
Jailani yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Perdana Perhimpunan Ulama/Umarak dan Warga Asnah bersama Perdana Menteri itu berkata, selain sebagai jambatan antara ulama dan umarak, perjumpaaan itu untuk memberi resolusi-resolusi terbaik dan menyatakan sokongan padu golongan itu kepada kepimpinan Perdana Menteri.
“Perhimpunan perdana yang akan diadakan itu merupakan sejarah kerana melibatkan tokoh-tokoh agama dari segenap lapisan dengan memfokuskan kepada memartabatkan agenda Islam di bawah transformasi negara.
“Imam dah kita naikkan elaunnya, cuma bilal, pegawai agama daerah seperti kadi-kadi belum lagi… kemungkinan juga Perdana Menteri umum untuk naikkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai sebuah kementerian atau program khas haji untuk menghantar bilal dan tok siak menunaikan umrah dan sebagainya,” katanya memberi bayangan mengenai perjumpaan itu.
Jailani berkata, apa yang penting ia dijangka merupakan pengumuman penting dan positif kepada rakyat terutama umat Islam di negara ini.
Pada majlis itu, Jailani turut meluluskan peruntukan RM10,000 untuk Tabung Kebajikan Pelajar Unisza bagi menjalankan aktivitinya tahun ini. – Bernama

Cahaya misteri dari Bukit Ladang Kemuning

Posted on the February 12th, 2013 under Tempatan by admin


Kawasan Bukit Ladang Kemuning di mana kelipan cahaya misteri dilihat sekumpulan lelaki yang turut mendengar suara sayu lelaki dan perempuan meminta tolong.
SUNGAI SIPUT – Cahaya misteri berkelip-kelip dari Bukit Ladang Kemuning, ditambah dengan suara mendayu meminta pertolongan menimbulkan tanda tanya kepada sekumpulan lelaki yang sedang bermain bola sepak di Taman Yakin Mesra, di sini, kelmarin.
Saksi kejadian yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, 30-an berkata, cahaya berkenaan dilihat pada jam 9.20 malam dan ia telah mengejutkan sekumpulan lelaki berkenaan.

Menurutnya, cahaya itu juga seperti bertindak balas dengan isyarat lampu suluh daripada kumpulan lelaki berkenaan menyebabkan mereka mengesyaki ada individu sesat dalam hutan.
“Berikutan kejadian itu, kami mengambil inisiatif untuk menjejaki cahaya berkenaan dengan menaiki motosikal.
“Semasa naik ke atas (bukit) kami terdengar suara lelaki dan perempuan meminta tolong dalam nada sayu. Naluri kami kuat mengatakan mereka tersesat dalam hutan di bukit itu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Menurut Ahmad, selepas mendengar suara berkenaan, dia serta rakan-rakannya telah menghubungi talian kecemasan 999 untuk melaporkan kejadian bagi membolehkan Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesan dua individu yang mungkin tersesat.
Tambahnya, kejadian berkenaan merupakan kali pertama berlaku sepanjang lapan tahun tinggal di kawasan taman perumahan berkenaan yang terletak kira-kira 20 meter kawasan bukit itu.
Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Rajamurthy berkata, bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.23 malam dan lima anggota bomba beserta sebuah jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, berdasarkan penglihatan serta keterangan saksi, pasukan bomba memasuki hutan itu bersama beberapa penduduk kampung yang arif dengan kawasan hutan berkenaan untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat.
“Bagaimanapun kami gagal mengesan jejak individu yang sesat dan tidak mendengar sebarang suara seperti yang dinyatakan oleh saksi. Kami tetap meneruskan usaha mencari sebanyak dua kali.
“Selepas perbincangan bersama polis, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan sementara sehingga ada laporan mengenai kehilangan individu dibuat,” katanya.
Sementara itu, Sinar Harian difahamkan bahawa kawasan Bukit Ladang Kemuning sememangnya menjadi tumpuan kerana mempunyai kawasan rekreasi dan pernah berlaku kejadian lemas di air terjun, sekitar kawasan bukit itu pada tahun lalu.
Sinar

Lelaki ditahan tunjuk isyarat lucah kepada Raja Pemaisuri Agong

Posted on the February 12th, 2013 under Tempatan by admin

GEORGETOWN – Polis menahan seorang lelaki dipercayai menunjukkan isyarat lucah kepada Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md Zin berkata, dalam kejadian 12.30 tengah hari semalam, suspek yang berusia 29 tahun dipercayai menunjukkan isyarat lucah ketika kenderaan yang dinaiki Tuanku Hajah Haminah melalui lapangan terbang berkenaan.
“Ketika itu bapanya sedang menghantar suspek ke lapangan terbang. Difahamkan berlaku sedikit perselisihan faham antara suspek dengan bapanya. Mungkin suspek bengang dengan bapanya dan dia menunjukkan isyarat lucah itu.
“Kebetulan pada masa itu, rombongan kenderaan Raja Permaisuri Agong sedang melalui lapangan terbang dan pengawal pengiring baginda nampak tindakan suspek…dia terus menahan suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hatta berkata, suspek ditahan reman sehingga 14 Februari ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan.
Sementara itu, Pertubuhan Kerabat Pusaka Merong Wangsa Malaysia cawangan Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dekat sini berhubung perkara itu.
Pengerusinya, Azhar Abdul Majid berkata, tindakan menunjukkan isyarat lucah kepada Raja Permaisuri Agong adalah satu tindakan yang biadap.
“Kami tidak berpuas hati dengan tindakan yang langsung tidak menghormati baginda. Kami datang ke balai polis ini untuk meminta polis menyiasat dan kemukakan perkara ini ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap suspek supaya perkara itu tidak berulang. – Bernama

Pencuri kebas kain penutup jenazah

Posted on the February 12th, 2013 under Tempatan by admin


Kain penutup jenazah yang dilakonkan semula ini menjadi sasaran penyamun berkenaan.
CHANIS – “Tak sangka, kain penutup jenazah pun dia kebas,” itu luahan seorang mangsa pecah rumah, Nordin Ali, 40, selepas kediamannya di Felda Keratong 7, dimasuki pencuri.
Nordin berkata, tiga helai kain penutup jenazah mertuanya itu diletakkan dalam sebuah beg konvokesyen seorang anaknya di bilik utama rumah tersebut.

Malah menurutnya, penjenayah itu juga sanggup mencuri syiling yang diletakkan di ruang solat rumahnya.
“Saya tak tahu apa yang ada dalam fikiran pencuri itu hingga sanggup curi kain penutup jenazah walaupun ia tidak lagi bernilai kerana sudah digunakan bagi menutup mayat si mati.
“Lebih mengecewakan ruang solat yang menempatkan beberapa naskah al-Quran dan sejadah digeledah untuk mencari wang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Tiada di rumah ketika kejadian
Menurut Nordin, ketika kejadian itu, dia dan keluarganya tiada di rumah kerana berkunjung ke rumah seorang anaknya di Kuantan.
Katanya, sebaik pulang ke rumah, dia dapati tingkap dapur tidak ditutup rapat, selain pakaian dalam bilik berselerak atas lantai.
“Malah saya dapati kain batik dan pelekat yang akan digunakan ketika kenduri kahwin anak turut dicuri.
“Tapi saya tidak tahu pencuri pecah masuk pada Jumaat atau Sabtu, kerana tiada di rumah,” katanya.
Menurutnya, dia percaya kecurian berlaku disebabkan tinggal beberapa hari saja lagi dia bakal menerima menantu iaitu pada 23 Februari depan.
“Mungkin pencuri ingat rumah kami banyak duit hingga sanggup pecah masuk.
“Sedangkan semua duit kami simpan dalam bank kerana kawasan ini tidak lagi selamat lagi disebabkan banyak kes kecurian,” katanya.
Lima kali dipecah masuk
SEMENTARA itu, ibu tunggal, Siti Hamidah Jamal, 56, berkata, dia mengalami kerugian dianggarkan RM200 hingga RM500 setelah besi tingkap dapur rumahnya di Felda Keratong 7, diumpil sebelum beberapa barang dapur dicuri,
“Saya tiada rumah beberapa hari kerana melawat anak di Tanjung Sepat dan sebaik pulang mendapati rumah digeledah.
“Selain itu, barangan dapur seperti lima kilogram beras, dua botol minyak masak, RM30 syiling dan tong gas dikebas pencuri,” katanya.
Menurutnya, rumahnya itu sering menjadi sasaran pencuri berikutan sudah sudah lima kali dipecah masuk ketika ketiadaannya.
“Saya hairan kenapa rumah saya sering dimasuki pencuri?
“Saya bukan orang kaya atau banyak duit, tambahan pula suami sudah lebih lima tahun meninggal dunia,” katanya.
Siti Hamidah berkata, dia percaya kegiatan itu dilakukan penagih yang terdesak mencari wang bagi mendapatkan dadah.
“Bukan sebuah dua rumah dimasuki pencuri, malah lebih 10 kes dilaporkan di Felda Keratong 6 dan 7 tentang kejadian sama.
“Namun belum ada kes pencuri masuk dan mencederakan penghuni rumah,” katanya.
Berhasrat pasang jeriji besi
BAGI Mohd Mukehlas Narwi, 58, yang turut mengalami situasi sama, ketika dia dan isteri menyelesaikan urusan di Seremban.
Dia hanya menyedari rumahnya dimasuki pencuri apabila tingkap ruang tamu terbuka sebaik tiba di rumahnya,
Menurutnya, dua telefon bimbit dan dua tabung dalam bilik dipercayai lesap selepas kejadian tersebut.
“Saya menganggarkan lebih RM200 hilang dalam kejadian ini .
“Pastinya saya akan lebih berhati-hati termasuk berhasrat memasang jeriji besi bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.
Dalam pada itu, jirannya, Mohd Razali Putih Lamat, 63, berkata, dia beberapa kali meninjau rumah Mohd Mukehlas sewaktu jirannya itu tiada di rumah.
Namun terkejut apabila dia mendapati tingkap di rumah itu terbuka.
“Saya mengesyaki rumahnya itu dimasuki pencuri pada waktu malam atau awal pagi kerana pada malam sebelum kejadian saya dapati tingkap rumahnya tertutup rapat,” katanya.
Sinar

Taring hampir terbenam di leher

Posted on the February 12th, 2013 under Tempatan by admin

Gua Musang: “Sepanjang 15 minit bergelut dengan haiwan itu, saya hanya ingat mati, malah hampir pengsan menahan sakit akibat dicakar di seluruh badan,” kata buruh ladang, Alip Abil, 33, yang bertarung dengan seekor harimau kumbang bagi menyelamatkan nyawanya di ladang sawit Felda Perasu, dekat sini, pagi kelmarin.
Apabila taring haiwan ganas itu hampir terbenam di lehernya, Alip berjaya diselamatkan seorang rakannya dalam kejadian jam 8.30 pagi itu.
“Dalam keadaan lemah, saya menjerit meminta tolong dan mujur seorang rakan datang menjolok kayu ke mulut harimau kumbang itu yang hampir menggigit tengkuk saya,” katanya.

Sejurus kejadian itu, Alip dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut dan menerima 50 jahitan di kepala, punggung, dada, lengan kanan dan tangan kiri.
Lelaki warga Indonesia itu dirawat sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang ke rumah kongsinya di tanah rancangan berkenaan pada hari sama.
Harian Metro

‘Doktor’ gersang jerat wanita

Posted on the February 12th, 2013 under Tempatan by admin


Dr Mohamad Omar
KUALA TERENGGANU – ‘Mat Gersang’ kembali lagi. Jika dahulu kecoh dengan kes lelaki menyamar sebagai doktor yang bertindak menghubungi pesakit wanita dan meminta melakukan aksi lucah, kes yang sama dilaporkan berulang kembali.
Terbaru, menggunakan modus operandi yang sama, seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor di sebuah hospital, bertindak menelefon mangsanya bagi melakukan aksi lucah, minggu lalu.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) Dr Mohamad Omar berkata, kejadian terbaru dikesan minggu lalu, membabitkan seorang wanita hamil berusia 30-an.

“Berdasarkan maklumat yang kita terima, lelaki terbabit bertanyakan tentang kesihatan pesakit, sebelum memintanya melakukan beberapa aksi lucah, termasuk membuka baju, dengan alasan ia sebahagian daripada proses rawatan selepas mendapat kepercayaan mangsa.
“Wanita itu pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa, akur dengan arahan lelaki terbabit memandangkan semua maklumat yang diberikan oleh lelaki berkenaan, tepat.
“Lelaki terbabit meminta mangsa melakukan beberapa aksi lucah, dipercayai bagi memuaskan nafsunya dengan mendengar suara mangsa ketika melakukan aksi yang diminta. Bagaimanapun, mangsa kemudiannya menyedari dirinya telah ditipu, sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Jelas Dr Mohamad, kejadian sama pernah beberapa kali berlaku sebelum ini dan terakhir pernah dilaporkan, pada 2011.
Katanya, lelaki terbabit menyasarkan wanita mengandung sebagai mangsa dan menggunakan modus operandi dengan melakukan rawatan melalui panggilan telefon sahaja.
Menurut Dr Mohamad, cara memaklumkan mengenai keadaan pesakit dan melakukan rawatan melalui telefon bukanlah amalan doktor atau pegawai perubatan kerajaan, kecuali dalam kes-kes yang melibatkan kecemasan serta memerlukan tindakan segera.
Justeru, katanya, pesakit diminta berwaspada jika mendapat panggilan yang mencurigakan dan memaklumkan kepada hospital serta membuat laporan polis.
“Doktor atau kakitangan kesihatan tidak akan sesekali menyuruh pesakit membuat perbuatan lucah, apatah lagi membuat rawatan melalui panggilan telefon. Jika rasa curiga dan tertipu, maklumkan kepada kita dan pihak berkuasa.
“Berkuat kuasa serta-merta, kita telah mengeluarkan arahan agar maklumat pesakit tidak didedahkan kepada mana-mana pihak, kecuali doktor dan pihak pengurusan hospital, sebagai langkah berwaspada,” katanya.
Sinar

No comments:

Post a Comment