Saturday, February 16, 2013

KESENANGAN DAN KEMEWAHAN HAKIKI IALAH DIMASUKKAN OLEH ALLAH DALAM SYURGA...JANGAN KITA TERPEDAYA DENGAN DUNIA HINGGA HATI TIDAK BERSINAR LAGI

Pinjam McLaren hanya untuk drama


GAMBAR yang didedahkan sebuah blog hiburan menunjukkan Rosyam (berdiri kanan) bersama kereta McLaren MP4-12C.



KUALA LUMPUR - Pelakon dan penerbit drama terkenal, Rosyam Nor semalam menafikan dakwaan bahawa dia membeli sebuah kereta mewah jenama McLaren MP4-12C yang dianggarkan berharga RM3.6 juta di negara ini.
Rosyam, 46, ketika dihubungi memberitahu, kereta yang dibina dengan menggunakan teknologi Formula 1 itu sebenarnya dipinjam daripada seorang rakan untuk sebuah drama lakonannya yang bakal ditayangkan di stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak lama lagi.
"Sumpah kereta itu bukan milik saya. Ia berharga lebih RM3 juta, mana mungkin saya mampu membelinya," tegas pelakon filem Castello itu.
Menurut beliau, meskipun syarikat penerbitan miliknya, Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. telah banyak menerbitkan drama dan filem tempatan, namun dia menyifatkan kejayaan tersebut belum cukup untuk membolehkan dirinya membeli super car seperti itu.
"Saya bersyukur atas segala rezeki yang telah dikurniakan kepada saya melalui pengiktirafan serta kejayaan yang diperoleh melalui Suhan Movies, namun belum tiba masanya untuk saya memiliki kereta tersebut.
"Bagaimanapun, ingin saya tegaskan di sini bahawa segala kejayaan yang saya peroleh melalui syarikat penerbitan itu adalah hasil daripada kerjasama pelbagai pihak termasuk para pelakon dan pengarah yang telah banyak memberikan sumbangan serta idea dalam usaha kami menerbitkan drama-drama tempatan," katanya.
Semalam, sebuah blog hiburan tempatan melaporkan bahawa Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin telah membeli sebuah kereta McLaren MP4-12C yang dianggarkan berharga RM3.6 juta.
Turut dimuatkan dalam blog tersebut ialah sekeping gambar yang menunjukkan dia sedang berada di pekarangan sebuah rumah sambil melihat ke arah kereta McLaren yang berwarna hitam itu.
Dalam perkembangan yang lain, Rosyam memberitahu, bahawa dia akan terbang ke Bangkok, Thailand pada minggu hadapan bagi menyiapkan proses terakhir pembikinan filem terbaharu terbitan Suhan Movies iaitu Balistik yang diarahkan oleh Silver.
"Selepas kejayaan filem Castello pada 2006, kini saya kembali di layar perak untuk filem ala gangster yang kedua terbitan Suhan Movies.
"Selain itu, sebuah lagi filem terbitan Suhan Movies berjudul Isyarat Cinta sedang giat disiapkan dan ia diarah oleh pengarah KL Menjerit, Bade Azmi," ujarnya.
Filem pertama terbitan syarikatnya, Castello yang ditayangkan pada tahun 2006 berjaya mencatat kutipan mencecah RM1.56 juta.
Anak kelahiran Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur itu juga telah memenangi pelbagai anugerah dalam dunia lakonan.

Robert Kuok masih paling kaya

KUALA LUMPUR - Robert Kuok, (gambar), bilionair Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong masih merupakan orang terkaya di Malaysia dengan kekayaan bernilai RM46.1 bilion, meningkat sebanyak 0.88 peratus daripada RM45.7 bilion pada tahun lepas, diikuti oleh ahli perniagaan, Ananda Krishnan dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow.
Ananda yang menduduki tempat kedua sejak 2004 telah mengalami penyusutan kekayaan apabila ia merosot 23.5 peratus berbanding tahun lepas dengan aset yang dipegang melalui Usaha Tegas Sdn. Bhd. bernilai RM32.9 bilion setakat tarikh pengiraan pada 18 Januari 2013.
Hong Piow pula mengekalkan kedudukannya di tempat ketiga dengan aset bernilai RM13.73 bilion, demikian menurut Malaysian Business terbitan 16 Februari.
Pada 20 Januari lalu, kaji selidik yang dilakukan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau melaporkan bahawa bilionair telekomunikasi, T. Ananda Krishnan sebagai orang paling kaya di Malaysia mengatasi kekayaan yang dimiliki oleh Kuok.
Menduduki senarai keempat dalam senarai itu ialah Tan Sri Quek Leng Chan yang melonjak daripada kedudukan keenam pada tahun lepas, menggantikan Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Group yang turun ke tempat keenam.
Kekayaan Leng Chan melalui syarikat utamanya, Hong Leong Group dan Guoco Group bernilai RM11.09 bilion pada tahun ini.
Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary mengekalkan kedudukan kelimanya dengan kekayaan berjumlah RM10.6 bilion, meningkat daripada RM9.53 bilion tahun lepas.
Tan Sri Lee Shin Cheng melalui syarikatnya IOI Group, turun dari kedudukan keempat pada 2012 ke tempat keenam dengan aset bernilai RM10.56 bilion.
Pengerusi Genting Group, Tan Sri Lim Kok Thay dan ibunya, Puan Sri Lee Kim Hua masing-masing masih pada kedudukan ketujuh dan kelapan.
Kekayaan Kok Thay bertambah sebanyak 7.06 peratus kepada RM8.12 bilion, manakala Kim Hua bertambah sebanyak 9.82 peratus kepada RM7.23 bilion.
Tan Sri Tiong Hiew King melalui Rimbunan Hijau Sdn. Bhd., berada di tempat kesembilan dengan aset bernilai RM6.35 bilion manakala jutawan harta yang berpangkalan di Singapura, Ong Beng Seng melalui Hotel Properties Ltd., menduduki tempat kesepuluh dengan kekayaan berjumlah RM4.02 bilion. - Bernama

Trak polis bawa 25 OKT terbalik



SEBUAH trak polis yang membawa 25 OKT terbalik di Jalan Pandan Utama, Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Sebuah trak polis yang membawa 25 orang kena tahan (OKT) terbalik di Jalan Pandan Utama, Pandan Indah berhampiran susur keluar ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat sini semalam.
Kemalangan kira-kira pukul 11.30 pagi itu mengakibatkan 12 OKT cedera dan mereka dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan.
Tujuh anggota polis yang mengiringi mereka dan pemandu trak bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang, Superintendan Mohd. Nazri Zawawi berkata, kesemua 25 OKT tersebut baru selesai menerima arahan reman daripada Mahkamah Majistret Ampang atas pelbagai kesalahan jenayah termasuk kes dadah dan curi.
"Ketika itu mereka dalam perjalanan untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, namun pemandu trak tiba-tiba gagal mengawal kenderaan lalu melanggar pembahagi jalan menyebabkan trak itu terbalik.
"Kesemua OKT bagaimanapun tidak membuat sebarang percubaan melarikan diri atau bertindak ganas," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Pada 7 Januari lalu, negara dikejutkan dengan peristiwa sembilan OKT yang dalam perjalanan menaiki sebuah van ke Mahkamah Butterworth untuk proses pertuduhan dan perintah reman bertindak membelasah empat anggota polis pengiring sebelum melarikan diri.
Lima daripada mereka berjaya diberkas semula dan dua orang telah ditembak mati oleh pihak polis.
Dua lagi tahanan masih belum dapat ditahan sehingga kini.

Misi cari serpihan tahi bintang dicari


SEORANG pegawai polis Rusia semalam mengawal lubang yang dipercayai tempat sebutir tahi bintang jatuh di Tasik Chebarkul, Chelyabinsk kelmarin.



MOSCOW - Sekumpulan orang menyelam ke dasar sebuah tasik yang berais semalam untuk mencari serpihan sebutir tahi bintang yang jatuh ke bumi selepas meletup di udara sehingga mengakibatkan 1,200 penduduk cedera dan ribuan rumah musnah.
Seorang jurucakap Kementerian Kecemasan Rusia berkata, enam penyelam memeriksa dasar Tasik Chebarkul di wilayah Chelyabinsk, 1,500 kilometer dari sini untuk mencari serpihan tahi bintang yang jatuh kelmarin.
Terdapat sebuah lubang besar di tasik berais itu yang dipercayai menjadi tempat tahi bintang tersebut jatuh.
Tasik itu terletak 80 kilometer dari bandar Chelyabinsk.
Namun, enam penyelam tersebut yang menyelam selama tiga jam gagal menemui sebarang serpihan tahi bintang.


SATU serpihan kecil (dalam bulatan) dipercayai serpihan tahi bintang itu diukur dengan sebatang pembaris dekat lubang yang terdapat di tasik tersebut.



"Mereka mendapati dasar tasik itu dipenuhi dengan 1.5 meter lumpur tebal," kata salah seorang anggota mencari itu kepada media Rusia.
Gambar yang disiarkan agensi berita Reuters semalam menunjukkan satu serpihan kecil dipercayai daripada tahi bintang itu.
Beberapa saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan milik Amerika Syarikat menganggarkan jumlah tenaga yang dibebaskan akibat kesan perlanggaran dengan atmosfera itu adalah kira-kira 30 kali ganda daripada bom atom yang digugurkan di bandar Hiroshima, Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
Letupan tahi bintang seberat 10 tan itu telah menyebabkan sejumlah tingkap kaca lebih 4,000 buah bangunan pecah di wilayah itu.
Bumbung dan dinding sejumlah bangunan juga runtuh selepas bebola api dan letupan dilihat sebahagian penduduk di wilayah berkenaan.
Gabenor wilayah berkenaan, Mikhail Yurevich menyatakan kerugian akibat letupan itu dianggarkan AS$33 juta (RM102 juta).
Ramai mangsa cedera akibat terkena kaca dan pelbagai serpihan yang pecah akibat letupan tersebut. - Agensi

Kuan Yew dimasukkan ke hospital


KUAN YEW


SINGAPURA - Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dimasukkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) semalam selepas disyaki mengalami serangan iskemia transien yang dikaitkan dengan masalah pemfibrilan atrium berpanjangan atau gangguan kadar denyutan jantung, lapor agensi berita Bernama.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, bekas Menteri Mentor itu telah pulih daripada serangan tersebut tetapi akan ditahan dalam wad bagi pemerhatian untuk beberapa hari lagi bagi membolehkan doktor melaraskan ubatnya.
Serangan iskemia transien berlaku apabila aliran darah ke bahagian otak terhenti buat seketika menyebabkan pesakit kemudian mengalami simpton seperti strok.
Bagaimanapun, simptom strok itu akan hilang dalam tempoh kurang 24 jam.
Lee, 89, menjadi Perdana Menteri Singapura dari 1959 hingga 1990.
Pada November 2011, seorang anak perempuannya, Lee Wei Ling mendedahkan Kuan Yew menghidap penyakit saraf yang menyebabkannya sukar untuk berjalan.
Isteri Kuan Yew, Kwa Geok Choo meninggal dunia pada tahun 2010. - Agensi

Imej asteroid gergasi disiarkan NASA


LAKARAN artis menunjukkan asteroid (kanan) itu mendekati bumi.


BOSTON - Imej sebuah asteroid gergasi yang mempunyai saiz separuh padang bola sepak disiarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan ketika ia menghampiri bumi kelmarin.
Asteroid 2012 DA14 yang dikesan pada tahun lalu itu berada pada kedudukan 27,700 kilometer dari bumi pada pukul 2.25 petang pada waktu pantai timur Amerika Syarikat.
Ia dirakamkan menerusi satelik robotik di Balai Cerap Pierre Auger di wilayah Mendoza, Argentina.
Asteroid tersebut yang seberat 7,000 tan melintasi bumi pada kelajuan 13 kilometer sesaat beberapa jam selepas sebutir tahi bintang jatuh di wilayah Chelyabinsk, Rusia. - Agensi

Haiwan seperti belut disangka makhluk asing


GAMBAR menunjukkan lamprei tetapi disangka ramai penggguna internet sebagai makhluk asing.


NEW YORK - Seekor haiwan ganjil yang disangka sebagai makhluk asing oleh para pengguna internet selepas ia disiarkan di laman Reddit sebenarnya ialah spesies haiwan seperti belut.
Menurut laman GrindTV.com, seorang jurucakap Jabatan Pemuliharaan Alam Sekitar New York menyatakan, berdasarkan saiz pada gambar di laman itu, haiwan tersebut ialah lamprei.
Imej itu juga disiarkan di laman YouTube semalam yang dtangkap di New Jersey. Menurut jabatan berkenaan, lamprei juga tidak mempunyai tulang dan mulutnya dipenuhi dengan barisan gigi yang jarang.
Gambar tersebut menunjukkan haiwan itu ditusuk dan darah keluar daripada badannya. - Agensi

No comments:

Post a Comment