Thursday, March 21, 2013

BILA ADA MANUSIA TIDAK MAU KEAMANAN

Seorang tertuduh dakwa diupah

SEORANG daripada lapan lelaki Filipina dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Tawau semalam selepas menghadapi pertuduhan melakukan keganasan.


TAWAU - Seorang daripada tertuduh yang didakwa menjadi anggota pengganas yang menceroboh Sabah semalam memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia disuruh dan diupah oleh seseorang yang tidak dinamakannya.
Hooland Kalbi yang bercakap dalam bahasa Bajau dari kandang tertuduh mendedahkan demikian pada prosiding pendakwaan terhadap lapan individu yang didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas dengan dua daripadanya turut dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dilakukan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati manakala bagi pertuduhan menjadi ahli kumpulan pengganas dilakukan mengikut Seksyen 130K(A) kanun sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup.
Kenyataan Hooland di hadapan Hakim P. Ravinthran diterjemah oleh jurubahasa mahkamah.
Hooland turut menyatakan bahawa dia bodoh kerana melakukan perkara itu.
Sejurus kenyataan Hooland diterjemah, Hakim Ravinthran meminta jurubahasa menjelaskan kepada tertuduh bahawa dia tidak perlu berkata demikian dan segala pengakuan akan dibuat selepas diwakili peguam pada 12 April nanti.

Pengganas Sulu wanita ditangkap


DUA lelaki ditahan pasukan keselamatan di Kampung Tanjung Labian semalam kerana tiada dokumen pengenalan diri.


LAHAD DATU - Pasukan keselamatan menembak mati seorang pengganas bersenjatakan parang manakala seorang pengganas wanita diberkas dalam operasi penggeledahan di Kampung Tanjung Batu di sini semalam.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, pengganas lelaki itu mati ditembak pada pukul 1.30 petang susulan daripada pertempuran yang tercetus pada pukul 11.30 pagi manakala dalam pertempuran tersebut juga seorang anggota tentera cedera di jari kiri akibat terkena serpihan peluru.
"Kita membunuh seorang musuh manakala seorang musuh wanita berusia 40-an ditahan.
"Anggota tentera daripada Unit Grup Gerak Khas (GGK) yang cedera pula stabil dirawat di Hospital Lahad Datu selepas pembedahan," kata beliau pada sidang akhbar bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di Markas Operasi Felda Sahabat 16 di sini semalam.
Menurut beliau, pengganas lelaki yang ditembak mati itu hanya bersenjatakan parang manakala wanita itu pula tiada senjata semasa ditangkap.

Tuan rumah wanita ditawan empat penceroboh Sulu lapar

LAHAD DATU - Berpuluh-puluh penduduk di Kampung Kembara Sakti, Felda Sahabat 42 dekat sini semalam bertempiaran lari selepas kampung mereka didatangi empat lelaki bersenjata api dipercayai saki-baki kepada kumpulan pengganas Sulu.
Dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, kumpulan lelaki berpakaian serba hitam kemudian memasuki rumah seorang penduduk di situ dan menjadikan tuan rumah berkenaan sebagai tawanan.
Satu sumber memberitahu, tuan rumah berkenaan membabitkan seorang wanita yang semasa kejadian tinggal bersendirian di rumah tersebut.
Tuan rumah itu diikat kedua-dua belah kaki dan tangan sebelum mangsa turut diugut bunuh jika melawan atau membuat bising. Selepas itu, kumpulan pengganas terbabit masuk ke dapur dan sibuk mencari makanan kerana dipercayai terlalu lapar.
Tuan rumah yang menyedari kumpulan empat lelaki itu terlalu sibuk mencari makanan di dapur mengambil peluang melepaskan diri.

Warga emas, cucu tangkap buaya


SAMARIN menunjukkan buaya yang ditangkap setelah tersangkut pada pukat yang dipasang di Sungai Midin, Kuching semalam.


KUCHING - Seekor buaya tembaga yang sering timbul di permukaan Sungai Midin di Kampung Semariang Batu di sini tumpas di tangan seorang warga emas dan cucunya apabila reptilia itu tersangkut pada pukat yang dipasang di sungai berkenaan semalam.
Sang Bedal sepanjang dua meter dan seberat 70 kilogram itu ditangkap kira-kira lima kilometer dari kampung tersebut pada pukul 7.30 pagi.
Samarin Sarkawi, 21, berkata, beberapa hari lalu, dia bersama datuknya, Mat Tuyut, 60, mengesan tapak kaki buaya di kawasan tebing sungai sebelum bertindak memasang pukat kerana bimbang keselamatan penduduk.
Menurutnya, buaya itu dipercayai menjadikan sungai berkenaan habitatnya ekoran kerja-kerja mendalamkan sungai sedang dijalankan bagi mengatasi masalah banjir.
"Saya berharap kebimbangan penduduk kampung sedikit sebanyak dapat dikurangkan dengan tertangkapnya buaya ini.
"Pada mulanya, kami berdua menyangka pukat berat kerana terlalu banyak ikan tetapi apabila ditarik ke atas, didapati ada seekor buaya yang meronta-ronta untuk melepaskan diri," ceritanya ketika ditemui.

Kegembiraan berakhir tragedi


INILAH helikopter kawalan jauh yang menjunam dan menyebabkan kematian Nurdamia pada majlis perasmian Padang Bola Sintetik di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Seremban kelmarin.


SEREMBAN – Bapa kepada kanak-kanak perempuan yang maut terkena bilah kipas helikopter kawalan jauh pada majlis perasmian Padang Bola Sintetik di Kompleks Belia dan Sukan Paroi kelmarin tidak menyangka keriangan mereka menyaksikan majlis itu berakhir dengan tragedi.
Banee Yamin Idris, 35, yang turut cedera parah di kepala berkata, dia bersama mangsa, Nurdamia Husnina, setahun enam bulan dan dua lagi anak perempuan berusia 6 tahun dan lelaki berusia 11 tahun datang ke kompleks berkenaan yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah untuk menyaksikan kemeriahan majlis tersebut.
Ketika kejadian, ibu mangsa, Rafeah Zainal Abidin, 35, tidak mengikut mereka dan berada di rumah.
Katanya, ketika kejadian, anak bongsunya itu sedang tidur di bahunya sebelum dia melihat sebuah helikopter kawalan jauh yang digunakan dalam gimik pelancaran majlis itu tiba-tiba hilang kawalan sebelum meluru ke arahnya.
“Kejadian berlaku begitu pantas dan saya tidak sempat mengelak kerana helikopter kawalan jauh tersebut meluru ke arah saya dengan laju.
“Tiba-tiba pandangan saya menjadi kabur kerana cermin mata yang saya pakai tercampak ke tanah sebelum darah mengalir laju membasahi muka saya manakala Nurdamia pula tidak bergerak dan kepalanya berlumuran darah,” ceritanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini semalam.

Pejabat Naib Canselor UMT terbakar


KEPULAN asap keluar daripada bangunan Canselori UMT Kuala Terengganu yang terbakar semalam.


KUALA TERENGGANU – Tiga anggota bomba cedera ditimpa struktur bumbung bangunan Canselori Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang runtuh akibat kebakaran semalam.
Kebakaran yang bermula pada pukul 11.30 pagi itu menyebabkan struktur bumbung bangunan menjadi tidak kukuh selepas api mula merebak daripada bilik Naib Canselor UMT, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo di tingkat tiga bangunan.
Difahamkan, ketika kerja-kerja memadamkan sisa kebakaran dijalankan, kerangka sokongan bumbung tiba-tiba runtuh menyebabkan tiga daripada lapan anggota bomba yang berada di tingkat tiga cedera.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Md. Salleh Sarbini memberitahu, seorang anggota bomba terkena sedikit runtuhan manakala dua lagi mengalami calar-calar di badan.
“Mereka kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya ketika ditemui.

Bangunan Istana Presiden terbakar

API kelihatan marak di sebuah bangunan di dalam kawasan Istana Presiden Indonesia di Jakarta semalam..


JAKARTA - Kepulan asap berwarna hitam menjulang dari bumbung sebuah bangunan pentadbiran yang terletak di dalam kawasan Istana Presiden Indonesia semalam.
Bagaimanapun, setakat ini tiada kecederaan dilaporkan berlaku.
Seorang pegawai khas kepada Presiden Indonesia, Daniel Sparingga berkata, tingkat tiga dan empat di bangunan Sekretariat Negara itu terbakar pada pukul 5 petang waktu tempatan.
Ketika kejadian, semua pekerja telah pulang ke rumah masing-masing.
Sparingga berkata, sebanyak 30 buah jentera bomba dihantar ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran.
Kebakaran itu berlaku dalam tempoh lebih sejam.
Bangunan yang terbakar itu terletak kira-kira 50 meter dari pejabat Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Ketika kejadian, Susilo mempengerusikan mesyuarat kabinet.
Sparingga berkata, tiada dokumen penting pentadbiran yang disimpan di bangunan yang terbakar itu.
Bahagian paling atas bangunan itu yang menempatkan stor dan bilik mesyuarat mengalami kerosakan yang teruk.
Punca kejadian masih belum diketahui. - AP

Sanjay Dutt dihukum penjara lima tahun


SEJUMLAH orang berhimpun di depan bangunan yang menempatkan kediaman Dutt di Mumbai semalam.- AFP


NEW DELHI - Mahkamah Agung India semalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap bintang Bollywood, Sanjay Dutt.
Dutt didapati bersalah kerana menyimpan sejumlah senjata api milik kumpulan penjenayah yang terbabit dalam siri serangan bom terburuk di India pada tahun 1993.
Sebelum ini, aktor yang pernah membintangi filem Khalnayak itu pernah menjalani hukuman penjara selama 18 bulan.
"Dia akan menjalani hukuman penjara selama tiga tahun dan enam bulan lagi. Kami akan menunggu salinan penghakiman mahkamah dan kemudian memutuskan tindakan yang selanjutnya," kata peguam Dutt, Satish Maneshinde.
Pada tahun 2007, Dutt dibebaskan daripada terlibat dalam satu siri serangan bom itu.
Bagaimanapun, dia didapati bersalah kerana memiliki sepucuk raifal AK-56 dan pistol.
Aktor yang berusia 53 tahun itu kini menjalani pengambaran filem terbaharunya, Policegiri.
Dutt yang merupakan anak pasangan legenda Bollywood, Sunil dan Nargis Dutt berkahwin dengan kekasih lamanya, Manyata pada Februari 2008.
Dia dikurniakan anak kembar dan seorang anak perempuan, Trishala daripada perkahwinan pertamanya.
Pelakon itu tidak berada di mahkamah ketika keputusan tersebut diumumkan.
Adik Dutt, Priya yang merupakan seorang ahli parlimen kecewa dengan keputusan itu.
Priya enggan bercakap dengan pemberita selepas dia keluar dari mahkamah. - Agensi

Budak maut akibat letupan bom di Pattani

HAT YAI – Anggota-anggota gerila pemisah semalam meletupkan sebuah bom yang mengorbankan seorang budak lelaki berusia sembilan tahun dan mencederakan 10 yang lain di Pattani, Selatan Thailand, kata polis.
Jurucakap polis, Kolonel Tuanday Juthanan berkata, para gerila itu menyembunyikan bom itu pada sebuah motosikal dan meletupkannya pada waktu makan tengah hari.
Letupan tersebut turut merosakkan tujuh buah kereta dan tiga buah motosikal. – AP

Gitar yang pernah diguna Lennon, Harrison dilelong


GITAR yang pernah digunakan Lennon dan Harrison yang akan dilelong pada Mei depan.- REUTERS


LOS ANGELES - Sebuah gitar yang pernah digunakan oleh penyanyi terkenal, John Lennon dan George Harrison akan dilelong pada bulan Mei depan.
Rumah Lelongan Julien's Auctions semalam menyatakan, gitar berkenaan dijangka dilelong antara AS$200,000 (RM624,199) hingga AS$300,000 (RM936,299).
Kedua-dua mereka merupakan bekas anggota kumpulan The Beatles.
Lennon mati ditembak di New York pada tahun 1980.
Harrison meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada tahun 2001 di Los Angeles. Lelongan itu akan diadakan di New York. - Agensi

China disyaki serang komputer Korea Selatan

SEOUL – Serangan penggodam ke atas dua buah bank dan tiga stesen penyiaran yang berlaku di Korea Selatan kelmarin didapati menggunakan alamat internet protokol (IP) yang berpangkalan di China, kata seorang pegawai di negara ini semalam.
Seorang pegawai Pejabat Presiden Korea Selatan menyatakan penemuan itu menunjukkan Korea Utara mungkin bertanggungjawab dalam serangan tersebut.
Korea Utara merupakan sekutu China.
Serangan itu menyebabkan komputer di stesen penyiaran televisyen YTN, MBC dan KBS terjejas.
Komputer di bank Shinhan dan NongHyup turut diserang penggodam itu.
Serangan itu melibatkan tempoh lebih dua jam. – Agensi

Singa laut berjalan di atas lintasan pejalan kaki


GAMBAR yang dirakamkan dari YouTube semalam menunjukkan seekor singa laut menyeberangi sebatang jalan raya di Balneario Camboriu, Brazil.- YOUTUBE


BALNEARIO CAMBORIU, Brazil - Seekor singa laut berjalan di atas lintasan untuk pejalan kaki di sebatang jalan raya di sini pada Sabtu lalu.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut terkejut apabila mereka melihat haiwan itu menyeberangi jalan.
Singa laut sepanjang tiga meter itu keluar dari laut dekat bandar ini.
Beberapa buah kereta dan sejumlah orang ramai berhenti bagi memberi laluan kepada haiwan tersebut menyeberangi jalan.
Anggota-anggota polis dan ahli bomba mencurahkan air ke arah haiwan itu bagi mengelakkan badannya menjadi kering.
Bagaimanapun, haiwan tersebut kembali semula ke laut selepas satu jam 30 minit ia berada di daratan. - Agensi

Enjin roket hantar angkasawan ke bulan dikeluarkan dari laut


SALAH satu komponen enjin roket Saturn V yang dikeluarkan dari Lautan Atlantik diletakkan di atas kapal Seabed Worker kelmarin. - REUTERS


CAPE CANAVERAL - Sebuah pasukan yang dibiayai oleh pengasas Amazon, Jeff Bezos berjaya mengeluarkan beberapa komponen enjin roket Saturn V dari Lautan Atlantik.
Pendedahan itu dibuat oleh Bezos di laman web projek untuk mengeluarkan komponen enjin roket yang telah menghantar dua angkasawan Amerika Syarikat (AS) ke bulan lebih 40 tahun lalu.
Enjin itu yang masih menjadi milik pemerintah AS akan dibaik pulih sebelum dipamerkan kepada orang ramai.
Kapal Seabed Worker yang membawa enjin itu berlabuh di Port Canaveral, Florida semalam selepas tiga minggu ia berada di laut.
Enjin itu berada hampir lima kilometer (km) di dasar Lautan Atlantik dan terletak 579km dari sini.
Roket Saturn V itu membawa beberapa angkasawan ke bulan pada tahun 1960-an dan 1970-an.
Selepas berlepas, roket itu jatuh ke dalam lautan, manakala kapal angkasa Apollo berlepas ke bulan. - Agensi

No comments:

Post a Comment