Sunday, October 28, 2012

PERKARA PELIK2 BANYAK BERLAKU TANDA2 KECIL DUNIA HAMPIR KIAMAT...NAK BUAT SESUATU AGAK2LAH....ALLAH MAHA BIJAKSANA MENGHUKUM...SENDIRI MAU INGATLAH

5 pengajaran hidup tunai haji

Posted on the October 26th, 2012 under Luar Negara by admin

BERJUTA-JUTA umat Islam dari seluruh dunia kini berada di Tanah Suci untuk menunaikan ibadat haji, yang merupakan salah satu perhimpunan tahunan terbesar umat manusia di planet ini.
Haji adalah salah satu daripada lima rukun Islam. Setiap umat Islam dalam perjalanan hidup mereka untuk menunaikan ibadat itu sekali seumur hidupnya jika berkemampuan dari segi fizikal dan kewangan.
Pasukan iReport dari CNN telah mengemukakan pertanyaan kepada jemaah haji bagaimana pengalaman menunaikan ibadat ini telah mengubah kehidupan mereka dan nasihat kepada bakal jemaah haji yang buat kali pertama menunaikan ibadat suci ini.

Keputusannya – gabungan pengajaran kehidupan rohani dan spiritual yang menjangkaui Islam itu sendiri.
1. Ia mengajar saya erti kesabaran
iReporter Amir Abdul Latip dari Brunei berkata, haji telah mengajarnya erti kesabaran dan ia diserap dalam kehidupannya selepas menunaikan haji di Tanah Suci.
“Saya masih tidak sempurna, tetapi haji telah mengubah perspektif saya mengenai kehidupan sifat keduniaan, alam semesta, dan segala-galanya,” kata beliau.
“Hanya bersabar dan sentiasa cuba untuk membantu orang lain,” kata Amir, sambil menambah bahawa haji membantu “meluaskan pandangan saya untuk melihat gambaran yang lebih besar mengenai kewujudan kita.”
Sabar adalah suatu perintah semasa tawaf, upacara Haji di mana jemaah Haji akan mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali.
“Beberapa kali berlaku perkara yang di luar kawalan penganjur – mereka sudah mencuba yang terbaik untuk jemaah tetapi mereka tidak boleh melakukan semua disebabkan oleh beberapa keadaan yang tidak diduga,” kata iReporter Muhammad Zafar dari Simi Valley, California, yang mengerjakan ibadat Haji pada tahun 2011 dengan keluarganya.
2. Ia membuatkan saya ingin mengetahui lebih banyak lagi
Ameer Hassoun, seorang doktor kelahiran Iraq yang tinggal di New Jersey berkata, sebahagian daripada ibadat haji ialah pengajaran yang diperoleh daripada jemaah lain.
“Ia mengajar saya menjadi seorang yang berpijak di bumi, memperlakukan segala-galanya dengan kerendahan hati bahawa tidak ada perbezaan antara kita – tidak kira di mana kita berada,” katanya.
“Orang di seluruh dunia berkongsi pengalaman mereka sendiri daripada negara asal mereka dan sebagainya dan ia adalah tanah yang sangat subur untuk memperoleh pembelajaran.”
Bagi Hira Hasnain, seorang pelajar di Carolina Utara, yang menghabiskan masa selama tiga minggu menjalankan ibadat haji, salah satu pengalaman yang paling memuaskan ialah mendedahkan dirinya kepada aspek keimanan baru dengan berjumpa ramai orang.
“Ia membawa anda lebih dekat, memberikan semangat perpaduan,” katanya.
“Anda sedar bahawa semua orang di seluruh dunia sedang berusaha juga … mendekatkan diri kepada ALLAH dan semua orang mempunyai cara yang berbeza untuk melakukannya.”
“Cuba untuk memahami dari mana semua orang yang datang dan keseronokan menunaikan haji, anda akan menjadi lebih bermakna,” kata Hira.
3. Ia membuatkan saya mengurangkan hal-hal duniawi
iReporter Rafiu Olasunkanmi Yusuf, seorang warga Nigeria yang bekerja di Malaysia berkata, menunaikan ibadat haji pada 2003 telah mendedahkan beliau supaya “perlu bergerak lebih dekat kepada ALLAH.”
“Di merata-rata (di Makkah), semuanya berwarna putih, ia simbol kesucian,” katanya.
“Tidak ada perbezaan asas negara bangsa atau warna kulit. Kita juga boleh merasakan kehadiran ALLAH SWT kerana kita melaksanakan upacara keagamaan. ”
Sejak itu, Rafiu telah cuba untuk “menumpukan lebih banyak masa untuk meningkatkan rohani dan mengurangkan masa dalam hal keduniaan.”
Amaan Haq pula berkata, haji mengajarnya untuk mengakui bahawa ALLAH dalam “segala-galanya yang saya lakukan.”
“Saya memberi perhatian penuh kepada kewajipan-kewajipan saya sebagai seorang Muslim,” katanya.
“Saya panjatkan doa, ketaatan kepada ibu bapa, puasa, zakat, saya memohon keampunan lebih kerap, dan melebihkan zikir.
“Saya juga cuba untuk mendidik rakan Islam dan rakan-rakan bukan Islam saya, rakan sekerja dan rakan-rakan mengenai Islam,” katanya.
4. Ia membuatkan saya bersedia
iReporter Amaan Haq dari Woodbridge, Virginia yang melaksanakan haji pertama pada tahun 2011 dengan isterinya berkata, persediaan adalah sangat penting.
“Baca dan faham sebelum memulakan apa-apa perbuatan yang dikehendaki daripada anda,” katanya.
“Haji adalah sukar walaupun anda masih muda,” katanya lagi.
Haji boleh menjadi ujian ketahanan fizikal dan mental, dengan jemaah yang kadang-kadang berjalan beberapa kilometer setiap hari.
Amaan menasihatkan jemaah untuk mengambil minuman atau garam elektrolit.
Lain-lain iReporters mengesyorkan jemaah haji buat kali pertama mendapatkan panduan jika boleh, mereka berkata, urutan upacara yang kompleks perlu dilakukan dan saiz perhimpunan tersebut boleh jadi amat besar.
5. Ia membuatkan saya untuk menggalakkan orang lain
Amir dari Brunei berkata nasihat terakhir beliau bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadat Haji supaya melakukannya.
“Hanya melakukannya,” katanya.
“Jangan tunggu sehingga anda terlalu tua dan lemah,” katanya.
“Dan dengan kos yang meningkat tahun demi tahun, ia adalah lebih baik untuk melakukannya lebih awal jika anda boleh.”
Nasihat yang sama juga boleh digunakan selain daripada perjalanan mengerjakan haji katanya.
* Dipetik dari CNN
* Bagaimana pula dengan anda? ada pengalaman untuk berkongsi? Sila berkongsi dengan kami di bawah.


Ibu Kahwin Anak Kandung Sendiri!

Posted on the December 4th, 2011 under Luar Negara by admin

KUALA LUMPUR – Tidak tahu hendak mula di mana tapi penulis sendiri ada rasa hendak muntah sepanjang menonton dan mendengar klip yang mana seorang ibu sanggup kahwin dengan anak lelakinya sendiri.
Pengakuan itu dirakamkan dalam program d’show di negara jiran.
Sudah la ibu dan anak itu tidak malu, di kalangan penonton ada yang bertudung dan bersorak-sorak seolah-olah apa yang mereka saksikan itu macam tidak ada apa-apa serta satu bentuk hiburan.
Benda gila itu boleh pula dibincangkan seperti satu benda ilmiah.

Si ibu siap ada sebut Alhamdulillah lagi (minit 2.01). Mereka juga berkata bersama ketika anak-anak lain sudah tidur.
Yang paling tidak masuk akal bila perempuan si ibu itu berkata; “Yang penting saya nggak berzina sama orang, sama anak sendiri”.
Penulis melihat perempuan tua itu sebagai mengambil kesempatan pada anaknya sendiri. Anaknya berkata dia menolak hubungan itu tetapi dipaksa ibunya.
Apa pun, jijiknya perangai kedua-dua manusia ni. Penulis harap benda seperti ini jangan sama sekali dijadikan ikutan. Tolonglah.
Dan…patut direjam sahaja dua beranak gila ini bukan!

Mynewshub

Pemuda Dibelit Ular Ketika Berzina

Posted on the February 14th, 2012 under Agama,Tempatan by admin

Melihat pendedahan yang dibuat oleh sebuah stesen televisyen swasta baru-baru ini mengenai anak bangsa kita yang melakukan perbuatan terkutuk di dalam hutan terutamanya di pusat-pusat perkelahan mengingatkan….
Pengalaman saya berhadapan dengan sepasang tunang yang mengadu menghadapi masalah besar beberapa tahun lalu,” beritahu Ustaz Abdullah Mahmud, penceramah bebas yang dikenali ramai. Tambahnya, beliau memang tidak hairan dengan pendedahan tersebut kerana sepanjang menjadi penceramah, kaunselor dan merawat orang, dia didatangi oleh golongan remaja yang mengadu menghadapi masalah akibat terlanjur terutamanya si wanita yang mengandung setelah berzina di merata tempat tak kira hutan, hotel, rumah kosong, dalam semak, kereta dan sebagainya.
“Adakalanya saya menitiskan air mata apabila mengingatkan pergaulan bebas anak muda kita yang makin menjadi-jadi.

Mereka ini langsung sudah tidak takut bala Tuhan. Mereka sudah tidak dapat membezakan antara halal dan haram,” tegas beliau dengan nada kesal. Berbalik kepada pasangan tunang yang datang menemui beliau di pejabatnya di Batu Caves, Selangor ketika itu, Ustaz Abdullah menjelaskan pasangan itu yang berumur lingkungan pertengahan 20-an itu datang untuk meminta pertolongannya.
“Apa yang boleh saya bantu encik?”
Tanya Ustaz Abdullah kepada mereka. Si lelaki kelihatan malu-malu untuk menceritakan masalahnya manakala si perempuan mencubit paha lelaki itu mungkin meminta agar segera menceritakan masalah mereka. Ustaz Abdullah yakin masalah yang dihadapi oleh pasangan itu agak berat kerana berdasarkan pengalaman, lazimnya hanya mereka yang menghadapi masalah besar saja akan pergi menemui kaunselor atau ustaz bagi mencari jalan agar kekusutan yang dialami mereka terlerai.
“Ustaz…macam ini, saya dan tunang saya ada masalah sikit. Ketika tidur, saya selalu nampak ular dalam rumah. Begitu juga dengan tunang saya. Seringkali ketika tidur, tunang saya menjerit-jerit. Dia kata ular besar datang membelitnya.”
“Saya sendiri sudah takut hendak masuk di dalam semak kerana sering terbayang ada ular,” beritahu lelaki itu ringkas.
Mendengar masalah itu, Ustaz Abdullah termenung sejenak. Dia merenung memikirkan “penyakit” aneh yang dihadapi oleh pasangan itu.
“Awak pernah pukul ular ke?”
Ustaz Abdullah mengajukan soalan rambang . Bagaimanapun lelaki itu menggeleng kepala sambil memberitahu dia tidak pernah memukul ular. Lelaki itu turut memberitahu dia dan tunangnya jadi fobia kepada ular dan akibat itu badan mereka menjadi lemah tidak bermaya akibat sering terkejut.
Mereka juga menyatakan telah pergi menemui beberapa orang bomoh meminta air penawar agar kelibat ulat tidak tergambar lagi dalam bayangan matanya tetapi semuanya tidak menjadi. “Selalunya kalau jadi macam ni, pasti ada sebabnya.
Kalau tidak ada sebab tertentu, setahu saya perkara seperti ini tidak akan berlaku tambahan lagi berdasarkan pengamatan saya, awak berdua bukan terkena sihir,” kata Ustaz Abdullah yang menyedari pasangan tunang itu cuba menyembunyikan cerita yang sebenar kepadanya.
Namun lelaki itu tetap berkeras menyatakan mereka tidak pernah melakukan sesuatu kesalahan seperti memukul ular dan sebagainya.”Tak perlu hendak malu. Saya hendak tahu ini pun, bukannya saya bermaksud hendak campur hal encik tapi dengan mengetahui puncanya, mudahlah sikit saya berikhtiar kalau-kalau ada serasi, Allah akan makbulkan permohonan kita,” pujuk Ustaz Abdullah lagi.
Sebaik saja mendengar kata-kata itu, wajah mereka tiba-tiba berubah. Si perempuan pula tiba-tiba menitiskan air mata manakala yang lelaki tunduk ke bawah memandang lantai. Dia kelihatan malu untuk bertentangan mata dengan Ustaz Abdullah. “Macam ini Ustaz, sebenarnya saya kena belit ular sawa setahun yang lalu, sejak itu saya mengalami masalah ini, sering diganggu dengan bayangan ular. Tunang saya juga kena belit ular,” akui lelaki itu agak mengejutkan Ustaz Abdullah.
Ustaz Abdullah yang tidak begitu faham dengan penjelasan itu terus bertanya kepada mereka bagaimana cerita yang sebenarnya. Barangkali setelah yakin dengan keikhlasan Ustaz Abdullah untuk membantu, akhirnya pasangan itu menceritakan segala-galanya. Cerita lelaki itu, kejadian itu berlaku sebelum mereka bertunang. Pada suatu hari, mereka yang mengaku bekerja di sebuah syarikat yang sama di Shah Alam, Selangor mengatur janji untuk pergi ke sebuah tempat perkelahan di Selangor. Mereka yang kebetulan bekerja syif malam telah mengambil keputusan untuk pergi pada hari biasa kerana pada hari tersebut orang tidak ramai maka mudahlah mereka bermadu asmara dan bercengkerama.
Menurut lelaki itu lagi, sebelum itupun, mereka pernah pergi ke situ pada hujung minggu. Bagi mereka, pada hujung minggu tidak sesuai kerana, pengunjung terlalu ramai, maka menyukarkan mereka untuk bercumbu rayu. Itupun mereka memilih tempat terlindung tetapi tidak terlepas daripada gangguan pemuda-pemuda yang suka mengendap.
“Hanya dua bulan perkenalan, kami sudah terlanjur. Ketika saya dibelit ular tempoh hari, saya berkenalan dengan tunang saya ini sudah enam bulan.
Banyak kali sudah kami melakukan perbuatan terkutuk itu,” nyata lelaki itu sambil menangis. Sebaik saja sampai di kawasan perkelahan yang mempunyai sebatang anak sungai itu, dia menyorokkan motosikal di dalam semak. Manakala tempat mereka bersama terlindung di sebalik pokok balak berhampiran gigi air sungai. Pada tengahari itu memang sunyi. Seorang
manusia pun tidak kelihatan.
Bukan main seronoklah mereka berdua kerana dapat bermadu kasih tanpa gangguan, meskipun terbit rasa bimbang kalau ada yang mengintip di sebalik semak atau diserbu pihak berkuasa tapi perasan rindu dendam yang membara mengatasi segala-galanya. Di situ, pada mulanya mereka berbual-bual sambil berpegangan tangan. Kemudian melarat ke bahagian lain pula.
Seterusnya nafsu mula menguasai diri masing-masing. Berbekalkan kertas suratkhabar, ia dijadikan alas untuk mereka berbaring. Pakaian si perempuan dilucutkan satu demi satu, selepas itu yang lelaki pula menanggalkan pakaian. Mereka bercumbu rayu dan terus berzina tanpa menyedari di dalam rumpun semak di hujung kaki mereka berlengkar seekor ular sawa sebesar paha orang dewasa sedang mengeram.
“Kami tak sedar ada ular. Tengah-tengah buat benda tu, kaki saya tertendang ular itu menyebabkan dengan pantas ia terus menyerang dan membelit kami berdua. Ia berlaku dengan pantas sekali, tidak sempat kami hendak melarikan diri,” cerita lelaki itu dengan perasaan kesal. Akibat belitan ular sawa itu, mereka berdua merasakan ajal mereka akan tiba pada bila-bila masa kerana setiap kali mereka meronta, semakin kuat ular itu menjerut tubuh mereka.
“Saya menjerit sekuat hati meminta tolong. Perasaan malu sudah tidak ada lagi dalam diri saya pada masa itu. Yang penting, nyawa kami harus diselamatkan dan pada masa yang sama, saya semakin sesak nafas kerana belitan ular itu yang sungguh kuat dan mulutnya terngaga luas seperti tidak sabar-sabar hendak menelan saya,” beritahunya tanpa segan silu lagi.
Keadaan kekasihnya semakin lemah. Mukanya pucat lesi seperti sudah kehilangan darah. Lelaki itu tidak mampu berbuat apa-apa. Kudratnya tidak terdaya menandingi ular besar itu.
Dalam keadaan cemas, tiba-tiba muncul seorang pemuda dari sebalik semak sambil memegang sebatang kayu untuk memukul kepala ular itu yang hendak membaham kepala lelaki tersebut. Pemuda itu teragak-agak untuk memukul kepala ular sawa itu mungkin bimbang kalau terkena kepala lelaki itu. “Saya menjerit dan merayu agar ditolong dengan nada yang tersekat-sekat kerana sesak nafas. Kemudian pemuda itu dengan laju menghayun kayu sebesar betis itu beberapa kali mengenai kepala ular tersebut.
“Akhirnya, ular itu terkulai dan belitannya terurai. Saya tidak mampu bergerak lagi manakala kekasih saya pengsan. Pemuda itu memakaikan semula baju kami. Kemudian dia pergi meminta bantuan orang untuk menghantar kami ke hospital. Dia hanya seorang diri. Saya tidak pasti siapa pemuda itu dan dari mana dia datang. Saya syak mungkin pada mulanya dia sedang mengintai saya buat “projek,” cerita lelaki itu lagi. Akibat belitan ular tersebut, pasangan itu mengalami kecederaan agak teruk iaitu si lelaki patah satu tulang rusuknya manakala kekasihnya patah dua batang tulang rusuk.
Empat bulan selepas kejadian itu, mereka melangsungkan pertunangan dan merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat setelah didesak oleh keluarga yang mengetahui kejadian itu. Bagi mereka, masalah sering dihantui oleh bayangan ular lebih perit daripada menanggung kesakitan akibat patah tulang rusuk.
Akibat “badi” itu, tidur malam mereka terganggu setiap malam dan walau kemana sekalipun berada,mereka terbayang berhampiran mereka ada banyak ular. Mendengar penjelasan lelaki itu, fahamlah Ustaz Abdullah apa sebenarnya yang terjadi. Namun sebelum merawat pasangan itu, beliau telah menasihatkan mereka agar bertaubat kerana telah melakukan perbuatan zina.
Ustaz Abdullah juga memberitahu mereka, berkemungkinan peristiwa dibelit ular itu adalah balasan Tuhan di dunia di atas perbuatan mereka itu. “Awak berdua patut bersyukur. Saya rasa Allah sayangkan awak berdua. Dia bagi azab kecil kepada awak berdua mungkin supaya awak insaf dan segera bertaubat. Kalau nak ikutkan, ramai orang berzina tetapi Allah tidak mahu menunjukkan balanya di dunia ini, maka kerana tidak pernah dijatuhkan bala itu, mereka ini berterusan melakukan zina,” nasihat beliau membuatkan pasangan itu menangis tersedu-sedu sambil berjanji akan bertaubat serta berkahwin secepat mungkin.
Ustaz Abdullah memberi sebotol air penawar. Air itu digunakan untuk mandi dan minum. Di samping itu, Ustaz Abdullah menasihatkan pasangan itu agar sering mengingati Tuhan semoga penyakit fobia mereka hilang. Mereka pulang dengan wajah riang dan tidak lama kemudian lelaki itu menghubungi Ustaz Abdullah memberitahu mereka berdua telah sembuh sepenuhnya dan menjemput beliau hadir ke majlis perkahwinan mereka.

[VIDEO] Subhanallah! Hujan Ikan Di Honduras Australia

Posted on the February 12th, 2012 under Luar Negara by admin

Satu kejadian pelik telah berlaku di mana Bandar Honduras Australia telah dihujani dengan beratus-beratus ikan dari langit. Kejadian ini telah disaksikan hampir 700 orang penduduk di situ.
Seperti sebelum-sebelum ini, kita sering mendengar tentang kisah berlakunya hujan batu. Tetapi kali ini kami ingin tunjukkan kepada anda mengenai hujan luar biasa yang telah berlaku di Australia.
Apa yang luar biasanya, hujan tersebut bukan hujan air semata-mata tetapi boleh dikatakan sebagai hujan ikan. Macam pelik, tetapi ini adalah kisah benar.



Lokasi kejadian pelik ini berlaku Lajamanu di Wilayah Utara, mempunyai populasi penduduk seramai 669, telah menyaksikan beratus-ratus ikan pelik yang bewarna putih dan kecil jatuh dari langit semasa hujan yang kebanyakannya masih hidup. Jangan lupa menonton video Hujan Ikan Di Honduras Australia di atas. Subhanallah!
Pakar cuaca di Australia percaya ikan pelik, Spangled Perch, disedut dalam ribut petir sebelum jatuh ke atas bandar kecil itu.
Mark Kersemakers, peramal cuaca di Biro Meteorologi Australia, berkata: “Ia boleh melayangkan ikan pelik itu sehingga 40,000 hingga 50,000 kaki di udara.
Ia adalah kali ketiga dalam tempoh kurang daripada 30 tahun Lajamanu dihujani oleh ikan yang jatuh dari langit, menurut News Northern Territory, selepas laporan fenomena pada tahun 1974 dan 2004.

 

 Melayukini.net


Penagih dadah wanita beri ganja kepada bayi

Posted on the October 28th, 2012 under Luar Negara by admin

WELLINGTON: Seorang ibu mengaku memberi ganja kepada bayinya yang berusia tiga bulan melalui susu badan, lapor media semalam.
Ibu berusia 29 tahun itu berasal dari bandar Wanganui dan diletakkan di bawah pengawasan pihak berkuasa selama enam bulan.
Wanganui Chronicle melaporkan, polis menahan wanita terbabit dalam pemeriksaan di rumahnya baru-baru ini.
Jurucakap polis berkata, perbuatan wanita itu boleh dianggap mendera bayi.

Bagaimanapun, pensyarah undang-undang Universiti Auckland, Warren Brookbanks, berkata wanita terbabit tidak dapat disabitkan kesalahan jika tidak mengaku salah. “Pendakwa perlu membuktikan wanita terbabit menyedari ganja ada dalam sistem badannya dan dia sengaja memberikan bahan itu kepada bayinya,” katanya. – AFP


Alasan ‘ustaz’ kahwin 11 kali

Posted on the October 26th, 2012 under Tempatan by admin

KAJANG: “Saya nak cari yang terbaik, tapi setiap kali berkahwin saya gagal.” Itu alasan diberikan lelaki berperwatakan alim yang didakwa berkahwin 11 kali ketika disoal siasat penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sejurus ditahan, awal pagi semalam.
Kisah Mohd Razis Ismail, 30, didedahkan Metro Ahad pada 21 Oktober lalu selepas mendapat aduan daripada sebahagian isterinya, sekali gus mendorong Jais melakukan siasatan sebelum menahannya.
Tangkapan dilakukan sepasukan anggota Unit Dasar, Penyelewengan dan Doktrinisasi Jais diketuai Penolong Pengarahnya, Shahrom Maarop di sebuah kedai makan di Bandar Tun Hussein Onn, di sini, jam 1 pagi semalam.

Dia didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, di sini, jam 3 petang semalam, atas dua tuduhan iaitu memalsukan dokumen untuk bernikah dan bernikah tanpa kebenaran mahkamah.
Ketika disoal siasat, Mohd Razis bagaimanapun menafikan dia berkahwin 11 kali, sebaliknya hanya sembilan kali dengan yang terbaru pada Ogos lalu, namun dia gagal mengingati dengan tepat maklumat peribadi semua isterinya dengan alasan hanya berjumpa sekali-sekala sebelum bercerai.

 

 Harian Metro

Isteri mahu suami bertaubat

Posted on the October 28th, 2012 under Tempatan by admin

KUALA LUMPUR: “Bertaubatlah… kembalilah ke pangkal jalan.” Itulah rayuan seorang bekas isteri kepada Mohd Razis Ismail, 30, yang didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Khamis lalu, atas tuduhan memalsukan dokumen dan bernikah tanpa kebenaran mahkamah.
Wanita itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Sha, 36, berkata, sudah sampai masa Razis menginsafi perbuatannya menganiaya isteri dan bekas isterinya yang lain selama ini.
“Setidak-tidaknya fikirkan masa depan anak, jangan malukan mereka.

“Saya berharap dia ambil pengajaran dengan apa yang berlaku. Ramai yang marah dan tertipu dengan perbuatannya, jadi berubahlah,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini.
Sha pernah menjadi isteri Razis pada 2010, namun perkahwinan mereka dibatalkan mahkamah awal tahun ini kerana dinikahkan oleh jurunikah tidak bertauliah.
Berikutan pembubaran hubungan itu, anak pertama mereka dianggap anak luar nikah dan kini dibinkan ‘Abdullah’, malah nasib sama juga bakal menimpa bayi yang kini dalam kandungan Sha.
Buat masa ini, Sha hanya mahu memikirkan masa depan anaknya.
“Yang sudah tu sudahlah… saya tidak mahu memusuhi sesiapa. Lebih baik saya fikirkan soal anak, mereka lebih penting sekarang,” katanya.
Metro Ahad minggu lalu melaporkan, seorang lelaki menggunakan gelaran ‘ustaz’ disyaki memperdayakan sekurang-kurangnya 11 wanita untuk dijadikan isteri, selain memalsukan dokumen borang pernikahan dengan mengaku masih teruna.
Taktik licik lelaki itu terbongkar selepas beberapa wanita yang pernah menjadi isterinya mendedahkan dalam sebuah laman sosial
Harian Metro

Krisis Rohingya: Umat Islam Myanmar batal Aidiladha

Posted on the October 28th, 2012 under Luar Negara by admin
Krisis Rohingya di Myanmar dilaporkan bertambah buruk sejak pertengahan tahun ini. – Foto ihsan CNN
YANGON – Ekoran rusuhan berterusan sejak awal minggu lalu, yang menyebabkan lebih 800 premis musnah dalam kebakaran manakala sekurang-kurangnya 80 maut, pertubuhan Islam di Myanmar membatalkan sambutan Aidiladha kali ini.
Tiada sebab diberikan oleh Persatuan Islam Seluruh Myanmar berhubung keputusan mereka, lapor CNN.

Bagaimanapun difahamkan keputusan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga sementara krisis di wilayah barat bertambah buruk.
Pertubuhan itu dianggotai oleh lima badan Islam utama di Myanmar.
Rusuhan antara masyarakat Buddha dan Muslim di negeri Rakhine bertambah buruk sejak awal minggu lalu menyebabkan 800 rumah dan bangunan musnah dalam kebakaran. Setakat kelmarin 64 orang dilaporkan maut. Angka pihak berkuasa menunjukkan ia mencecah 80 orang.
Dalam pada itu, BBC melaporkan bahawa Presiden Myanmar Thein Sein mengakui kemusnahan yang berlaku ekoran rusuhan di barat negara tersebut.
“Ada insiden di mana keseluruhan kawasan penempatan dan sebahagian bandar di negeri Rakhine bakar,” kata jurucakap Presiden Myanmar, Zaw Htay dipetik BBC.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan pendedahan Human Rights Watch bahawa lebih 800 premis musnah di bandar tepi pantai, Kyaukpyu.
Menurut badan hak asasi manusia itu, kebanyakan yang menjadi sasaran ialah masyarakat Islam Rohingya.
Jurucakap itu berkata, kerajaan Myanmar sedang mempertingkatkan tahap keselamatan di Rakhine, yang dahulunya dikenali sebagai Arakan.
“Jika perlu kami akan menghantar lebih ramai anggota polis dan tentera,” katanya.
Menurut maklumat keraja, minggu lalu sahaja jumlah kematian telah mencecah 82 orang manakala 129 cedera dan hampir 3,000 rumah telah musnah.
Sinar

Sultan Kelantan mencemar duli sempurna korban

Posted on the October 28th, 2012 under Tempatan by admin
Sultan Kelantan tidak ketinggalan mencemar duli bersama-sama rakyat menyempurnakan majlis korban.
KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan menyempurnakan majlis korban di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini, hari ini.
Baginda yang mengenakan baju T-shirt berwarna merah tiba di majlis tersebut kira-kira jam 12.15 tengah hari dengan diiringi pasukan keselamatan.

Turut menyertai baginda ialah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra, kerabat diraja Kelantan dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.
Acara tahunan kali ini menyaksikan sebanyak 49 ekor lembu dikorbankan sempena dengan sambutan Aidiladha.
Daripada jumlah tersebut, dua ekor disumbangkan oleh Sultan Kelantan dan seekor lagi oleh Tengku Mahkota.
Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Che Hamat Che Muda berkata, daging korban tersebut akan diagih-agihkan kepada fakir miskin melalui masjid-masjid di Kota Bharu dan Masjid Muhammadi.
“Dianggarkan 4,000 bungkus daging akan diagihkan bermula tengah hari ini,” katanya kepada pemberita.
Pada majlis tersebut Sultan Kelantan turut mencemar duli menyempurnakan sendiri majlis tersebut termasuk menyembelih sendiri dua lembu korban disumbangkan baginda.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kosmo

Subhanallah! Hujan Rumpai Laut Di UK

Posted on the October 27th, 2012 under Agama,Luar Negara by admin

Jalan Berkeley, berhampiran Cheltenham dipenuhi dengan taburan rumpai laut menyebabkan rumah-rumah, taman dan kereta di satu jalan pinggir bandar bersepahan dengan alga hijau yang berbau.
Saksi yang juga seorang jurutera, Richard Overton dan isterinya, Kay, telah mengumpul sebaldi penuh lendir dari halaman depan rumah mereka. Beliau berkata amat kagum melihat keluar tingkap apabila rumpai laut bertaburan di laman rumah selepas ribut kuat.
“Saya pernah mendengar cerita hujan ikan yang diambil dan dibuang oleh ribut taufan tetapi tidak pernah pula rumpai laut. Saya sungguh terkejut. Kami mendapati terlalu banyak rumpai laut di taman kami dan ia adalah begitu ganjil.” kata beliau.

“Malangnya ianya bukanlah ikan – jika tidak, kita boleh membuat hidangan lazat dengannya,” katanya lagi.
Pakar percaya bahawa rumpai laut telah dikutip dari pantai Clevedon, utara Somerset, dan dibawa melalui udara sebelum dilepaskan di jalan Berkeley.
Ian Fergusson, dari Pejabat Metrologi berkata: “Terdapat beberapa ribut petir di kawasan itu dan jika salah satu awan corong menyentuh turun ke pantai, menjadikannya puting beliung, ia mungkin mengambil rumpai laut.
Sumber: Majalah Biar Betul


Apabila Peminat Meluat Dengan Azwan Ali

Posted on the October 26th, 2012 under Artis by admin
KUALA LUMPUR, 24 OKT 2012: Artikel yang disiarkan di murai.com.my tentang penglibatan Azwan Ali dalam musim terbaru Propaganza di Astro Ria saluran 104 nampaknya telah mengundang pelbagai komen negatif daripada peminat.
Malah, menerusi segmen Panggilan Misteri Murai (PMM), peminat yang mahu dikenali sebagai Miss S telah meluahkan rasa kecewa terhadap Azwan Ali yang dikenali sebagai pengacara yang senior dalam bidang penyiaran.
Kata Miss S, identiti Azwan Ali sebagai Baby AA dalam Propaganza disifatkan sebagai satu gaya yang kurang layak dipertontonkan di kaca TV. Dalam pada itu, segmenselama tiga minit yang dikendalikan Azwan Ali itu diangap tidak memberikan sebarang infomasi kepada penonton program tersebut. Sebaliknya, ianya lebih kepada menggambarkan Azwan Ali sebagai individu yang suka mencari publisiti murahan.

Pun begitu, Miss S mengakui bukanlah tampil sebagai peminat yang anti Azwan Ali. Secara profesionalnya, peminat tersebut telah memberikan nasihat kepada Azwan Ali supaya merubah sikapnya itu.
Ketahui komen pedas Miss S terhadap Azwan Ali dalam PMM yang disiarkan setiap Rabu di murai.com.my. Apa pendapat anda?

 


Subhanallah! Pemandangan Air Laut Bercahaya Di Maldives

Posted on the October 26th, 2012 under Luar Negara by admin

Cahaya biru terang datang dari pantai di Pulau Vaadhoo selepas setempat plankton ini bertindak balas dengan oksigen dalam air laut untuk menghasilkan cahaya lebih cerah daripada galaksi Bima Sakti.
Fenomena semulajadi, dipanggil ‘bio-luminescence, yang jarang dilihat terlalu hampir dengan daratan telah ditangkap dengan jurugambar Doug Perrine ketika malam perjalanan ke Lautan Hindi.
Dia memberitahu gambar ini diambil ketika malam penuh bintang, tetapi tiada bulan. Setiap gelombang kecil menghempas ke pesisir pantai diterangi seperti lembaran kilat.

Plankton ini menghasilkan pertunjukan cahaya tertumpu sepanjang pinggiran pantai. Organisma yang menghasilkannya adalah cukup besar untuk dilihat dengan mata kasar.
Seorang pakar, Peter Frank menjelaskan fenomena itu, berkata apabila bersesakan, setiap organisma akan mengeluarkan cahaya biru kilat yang dihasilkan oleh tindak kimia di dalam sel.
Fenomena yang jarang berlaku ini biasanya hanya dapat dilihat jauh dari daratan apabila kapal mengacau dasar laut.
Saksikan video di bawah

 

 Sumber: Majalah Biar Bertul

TIADA PERKARA BERLAKU SECARA KEBETULAN...SEMUANYA TELAH ALLAH TENTUKAN@TAKDIRKAN

Gencatan senjata di Syria berkecai

BASHAR (tiga dari kanan) berdoa di Masjid Al-Afram di kawasan al-Muhajirin, Damsyik semalam.


BEIRUT - Gencatan senjata yang bermula pada sambutan Hari Raya Aidiladha berkecai di Syria semalam apabila tiga orang awam mati ditembak oleh beberapa anggota tentera pemerintah.
Menurut Kumpulan Pemerhati Untuk Hak Asasi Manusia, tiga orang itu mati ketika beberapa anggota tentera Syria melepaskan tembakan di bandar Harsta, pinggir Damsyik.
Kumpulan berkenaan turut mendakwa gencatan senjata selama empat hari itu musnah di beberapa wilayah di Syria.
Bagaimanapun, pengarah kumpulan itu, Rami Abdel Rahman memberitahu agensi berita AFP, keganasan didapati berkurangan berbanding sebelum ini.
Sementara itu, Presiden Bashar Al-Assad bersolat sunat Aidiladha di Masjid Al-Afram di kawasan al-Muhajirin, Damsyik.
Bashar kelihatan tenang, memberikan senyuman dan berjabat tangan dengan sejumlah orang di masjid itu.
Sementara itu, suasana Hari Raya Aidiladha kelihatan suram di Syria ekoran pertempuran yang berlaku sejak Mac tahun lalu yang mengakibatkan lebih 30,000 orang terbunuh.
Pertempuran itu berlaku antara tentera Syria dengan kumpulan yang menentang pemerintahan Bashar.
"Semua orang gembira hanya kerana mereka masih hidup," kata seorang wanita di sebuah bandar yang dikepung tentera Syria berhampiran sempadan Turki ketika diminta mengulas tentang sambutan hari raya. - Agensi

112 orang terbunuh di Myanmar


SEORANG penduduk Rakhine (kanan) yang cedera dalam keganasan melibatkan etnik Rohingya dirawat di sebuah hospital di Sittwe, Myanmar semalam.


KYAUKTAW, Myanmar - Seramai 112 orang terbunuh dalam keganasan yang berlaku di negeri Rakhine, barat Myanmar sejak enam hari lalu yang melibatkan etnik Rohingya yang beragama Islam, kata seorang pegawai semalam.
Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu memberi amaran demokrasi yang berkembang di Myanmar akan terjejas ekoran pergolakan tersebut.
Pergolakan itu berlaku lima bulan selepas etnik Rohingya bergaduh dengan etnik Rakhine yang beragama Buddha mengakibatkan lebih 80 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 75,000 penduduk terpaksa berpindah.
Menurut beberapa etnik Rakhine kepada agensi berita Reuters, mereka ditembak oleh anggota-anggota pasukan keselamatan yang melaksanakan arahan ketenteraman awam di negeri tersebut.
Seorang pegawai penerangan di negeri itu, Win Myaing berkata, antara yang terbunuh itu ialah 61 orang wanita.
Menurut kenyataan Pejabat Presiden Myanmar, Thein Sein, kira-kira 2,000 buah rumah dan lapan bangunan keagamaan musnah pada Rabu lalu.
Keganasan itu berlaku pada Ahad lalu apabila sekumpulan etnik Rohingya melakukan tunjuk perasaan ekoran kekurangan bekalan makanan dan bantuan di kampung mereka.
Sebahagian etnik Rohingya didakwa membakar rumah di pekan Min Bya dan Mrauk Oo di utara Rakhine pada Isnin lalu menyebabkan berlaku pertempuran dengan penduduk beragama Buddha.
Bagaimanapun, seorang penduduk beragama Buddha, Tun Tun berkata, pekan Mrauk U kembali tenang selepas lebih ramai anggota keselamatan dihantar dari bandar Sittwe.
Pada Jun lalu, penduduk beragama Buddha di negeri Rakhine membunuh 10 orang etnik Rohingya yang menyebabkan berlakunya keganasan di negeri itu.
Keganasan itu tercetus selepas tiga penduduk beragama Islam didakwa merogol seorang wanita beragama Buddha. - Agensi

Monyet liar Florida ditangkap selepas diburu selama dua tahun


SEEKOR monyet liar dikurung selepas haiwan itu ditembak dengan ubat pelali di St. Petersburg, Florida pada Rabu lalu.


ST. PETERSBURG, Florida - Seekor monyet liar yang diburu sejak dua tahun lalu akhirnya berjaya ditangkap pada Rabu lalu di sini, lapor agensi berita AP semalam.
Monyet yang tergolong dalam keluarga rhesus itu berjaya ditangkap selepas haiwan tersebut ditembak dengan menggunakan ubat pelali.
Selepas ditembak, monyet itu melarikan diri di sebuah kawasan hutan sebelum ia ditangkap oleh sekumpulan penangkap haiwan.
Seorang penangkap haiwan, Vernan Yates telah diarah Suruhanjaya Perlindungan Hidupan Liar dan Ikan Florida untuk mengetuai penangkapan monyet itu.
Monyet tersebut dihantar ke sebuah klinik bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.
Selepas menjalani pemeriksaan, haiwan itu akan dikuarantin selama 30 hari sebelum dihantar ke sebuah pusat perlindungan haiwan.
"Saya menangis," kata Elizabeth Fowler yang merupakan penduduk di Tasik Maggiore.
Bahu wanita itu pernah digigit monyet tersebut yang memanjat belakang badannya beberapa minggu lalu.
Cucu Fowler, Sky Cowan, 8, merupakan antara penduduk yang kerap melihat kelibat monyet itu di kawasan yang mengandungi banyak pokok di belakang rumahnya.
"Dia akan duduk di kawasan semak dan hanya makan pisang," katanya yang turut memberitahu bahawa monyet itu tidak takut untuk datang dekat rumahnya.
Monyet itu turut mempunyai akaun Facebook ekoran popularitinya dalam kalangan penduduk. - Agensi

Anak ikan yu disambar helang masih hidup di padang golf


GAMBAR yang dirakamkan pada Isnin lalu menunjukkan seekor anak ikan yu bintang yang ditemui dekat lubang ke-12 di padang Kelab Golf San Juan Hills, selatan Los Angeles.


LOS ANGELES - Seekor anak ikan yu yang masih hidup ditemui berada dekat lubang ke-12 di Kelab Golf San Juan Hills, selatan bandar raya ini pada Isnin lalu.
Anak ikan yu bintang yang sepanjang 60 sentimeter itu dipercayai disambar seekor burung helang laut di Lautan Pasifik dekat padang golf tersebut.
Burung helang itu kemudian melepaskan ikan tersebut semasa ia terbang melintasi padang golf berkenaan.
"Seorang petugas kami yang membuat rondaan mendapati terdapat sesuatu yang bergerak-gerak di atas rumput dekat lubang ke-12.
"Selepas melakukan siasatan, dia mendapati terdapat seekor ikan yu yang kecil. Dia kemudian membawa ikan tersebut dengan menggunakan kereta golf ke bangunan kelab," kata pengarah operasi kelab itu, Melissa McCormack kelmarin.
Menurutnya, terdapat tanda gigitan pada badan anak ikan itu sekali gus menyebabkan beberapa kakitangan kelab tersebut menganggap ia terjatuh dari paruh burung helang.
McCormack berkata, seorang kakitangan kelab golf kemudian membawa ikan tersebut untuk dilepaskan ke Lautan Pasifik di pantai Dana Point yang terletak lapan kilometer dari situ. - AFP

Mangsa rompak beraya di hospital

AZIZAN yang cedera di kepala dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani semalam.


SUNGAI PETANI – Malang bagi sebuah keluarga di Kampung Simpang Empat Sedaka, Yan dekat sini semalam yang terpaksa menyambut Hari Raya Aidiladha di hospital apabila dua anggota keluarga itu cedera parah ditetak dua penyamun sehari sebelum itu.
Dua mangsa yang malang itu ialah Azizan Hanafi, 63, dan menantunya, Mohd. Fakhzan Nasir, 34. Mereka yang cedera masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Cerita Azizan, sebelum kejadian pada pukul 5.30 pagi, dia berada di dalam bilik kerana mahu mengambil ubat selepas habis bersahur bersama isteri, Mah Sulaiman, 62, anak, Shaukiah Hanim, 33, dan menantu, Mohd. Fakhzan.
“Tiba-tiba saya terdengar isteri menjerit dari dapur memberitahu ada penyamun.
“Saya bergegas masuk ke dapur sebelum bergelut dengan seorang lelaki bertopeng yang kemudian menetak belakang badan dan kepala saya menggunakan parang,” kata Azizan ketika ditemui di HSAH.
Katanya, Mohd. Fakhzan yang berada di luar rumah cuba membantu namun dia juga ditetak penjenayah.
Dalam pergelutan itu, Azizan yang mengusahakan bendang di kawasan rumahnya ditetak tiga kali di atas kepala dan dua kali di belakang badan. Azizan terpaksa menerima kira-kira 50 jahitan.
Mohd. Fakhzan pula ditetak di tapak tangan kanan dan atas kepala.
Azizan memberitahu, insiden tersebut merupakan kejadian pertama rumah mereka cuba dirompak sejak keluarganya tinggal di rumah itu kira-kira 40 tahun lalu.
Sementara itu, Mohd. Fakhzan berkata, ketika kejadian dia membuka pintu dapur dan keluar dari rumah untuk masuk ke bilik air yang terletak di luar.
Sebelum sempat memasuki bilik air, Mohd. Fakhzan mendakwa dia ternampak kelibat seseorang di luar rumah yang disangka bapa mertuanya.

Derita ibu, anak koma dua tahun


Roswati bersama Nor Arisya terlantar di rumah mereka di Felda Jengka 18, Maran semalam.


MARAN - Sambutan Aidiladha tiada erti lagi kepada dua beranak malang di sini selepas mereka koma sejak dua tahun lalu akibat komplikasi ketika melahirkan anak.
Roswati Abd. Wahab, 33, bekas pembantu tadbir sebuah agensi kerajaan di Melaka dikatakan koma ketika bersalin manakala anak yang dilahirkan, Nor Arisya A. Razak turut ditimpa nasib yang sama dengan ibunya kerana kekurangan oksigen.
Kini dua beranak itu hanya terlantar di rumah Rosnani Harun yang merupakan ibu Roswati di Felda Jengka 18, Maran.
Rosnani memberitahu, Roswati ketika mengandungkan Nor Arisya disahkan menghidap darah tinggi kronik selain penyakit sawan.
"Masa nak bersalin dia pengsan dan diserang sawan sehingga jantungnya berhenti berdenyut untuk seketika," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Rosnani, doktor yang merawat Roswati di Hospital Melaka terus melakukan pembedahan untuk menyelamatkan Nor Arisya tetapi cucunya itu lahir dalam keadaan koma berikutan kekurangan oksigen.
Memandangkan menantunya tidak dapat menjaga isteri dan anak mereka setiap hari disebabkan bekerja di sebuah jabatan kerajaan di Melaka, Roswati dan Nor Arisya dihantar ke Maran untuk dijaga oleh Rosnani.
Komplikasi kesihatan yang dihadapi menyebabkan susuk tubuh Roswati yang dahulu gempal kini semakin susut dan hanya bergantung hidup kepada susu yang dimasukkan melalui tiub sebanyak enam kali sehari.
Rosnani mengharapkan ihsan mana-mana pihak yang sudi membantu agar dapat menghubunginya di talian 019-998 3526.

Geng pencuri budak mentah ditangkap


TIGA remaja kumpulan pecah kedai membawa barangan yang dicuri dari sebuah pasar raya selepas ditangkap oleh anggota polis di Balai Polis Pusat Miri semalam.


MIRI – Misteri lima buah premis dipecah masuk dalam tempoh seminggu di bandar ini terurai dengan kejutan apabila mereka yang disyaki melakukan jenayah itu bukanlah kumpulan perompak profesional yang berbadan tegap, bengis serta bersenjata tetapi hanyalah empat budak lelaki berusia 12 hingga 14 tahun.
Mereka dipercayai belajar cara membuka mangga kunci menggunakan pemutar skru daripada rakan-rakan dan menggunakan ilmu itu untuk melakukan jenayah.
Semalam, empat penjenayah cilik yang tidak bersekolah itu bertindak menceroboh sebuah pasar raya di Jalan Brooke di sini pada pukul 7 pagi dan melarikan mesin wang.
Bagaimanapun, kali ini mereka tersilap langkah apabila berjalan membawa mesin tersebut di hadapan Balai Polis Pusat Miri.
Anggota polis yang berkawal di situ mencurigai kehadiran kumpulan remaja itu dan terus menegur mereka sebelum kesemuanya menjadi takut dan melarikan diri.

Tiga maut Wira dirempuh pacuan empat roda

TEMERLOH - Tiga sahabat maut selepas kereta yang dinaiki terbabas sebelum dirempuh kenderaan lain di Kilometer 104.6, Lebuh Raya Pantai Timur dekat Lanchang semalam.
Mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 5.58 pagi itu ialah pemandu kereta Proton Wira, Gan Kai Lun, 26, penumpang depan, Tan Teh Kang, 26, dan penumpang belakang, Low Yee Yam, 34,
Kai Lun dan Teh Kang berasal dari Pekan Kerdau di sini manakala Yee Yam dari Klang, Selangor.
Pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Zundin Mahmood berkata, kereta yang dinaiki tiga sahabat itu dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur dari Temerloh, sebelum terbabas dan melanggar penghadang besi di lebuh raya berkenaan.
Menurut beliau, pada masa sama sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah belakang gagal mengelak lalu merempuh kereta Proton Wira tersebut.
Semua mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Bagaimanapun, pemandu kenderaan pacuan empat roda dan isterinya tidak cedera.

Tiga lelaki miliki revolver, peluru beraya di lokap


ARJUNAIDI (kanan) menunjukkan revolver yang dirampas daripada tiga lelaki yang ditahan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Tiga lelaki terpaksa menyambut Hari Raya Aidiladha di lokap apabila mereka ditahan selepas polis menemui sepucuk pistol jenis revolver dalam serbuan di sebuah hotel di Dataran Mentari di sini kelmarin.
Dalam serbuan pada pukul 11.15 pagi itu, polis menahan seorang wanita warga Thailand berusia 21 tahun dipercayai teman wanita kepada salah seorang suspek terbabit.
Tiga suspek lelaki yang ditahan itu berusia 19 hingga 35 tahun.
Ketika ditahan, keempat-empat suspek itu sedang tidur di dalam bilik hotel sama.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, turut dirampas bersama revolver itu ialah empat butir peluru.
Difahamkan, senjata api itu disimpan di dalam almari di bilik hotel tersebut.
"Kita juga merampas sejumlah dadah jenis syabu dan pil eramin 5 serta alat menghisap dadah di dalam hotel berkenaan.
"Pemeriksaan mendapati salah seorang suspek yang ditahan mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes dadah manakala seorang lagi dikehendaki polis," kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Kesemua suspek masih ditahan bagi membantu siasatan.

Beli kucing berharga RM100,000


HEZLIN FAZRINA menunjukkan kucing Bengal di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu kelmarin. Kucing itu dihantar kepada pemiliknya di Adelaide, Australia.


KOTA BHARU – Seorang peminat kucing dari Adelaide, Australia sanggup membelanjakan RM100,000 bagi memenuhi hasratnya memelihara seekor kucing Bengal dari Moscow, Rusia.
Kucing betina yang bernama Polar Day itu pada awalnya dibeli oleh Julie Menadue Sancheita, 50, dengan harga RM30,000 tetapi melonjak sehingga mencecah RM100,000 apabila terpaksa menanggung kos perjalanan, insurans, kuarantin, perubatan dan makanan.
Polar Day sempat membesar di Malaysia apabila dikehendaki dikuarantin sekurang-kurangnya enam bulan di negara transit seperti yang disyaratkan kerajaan Australia terhadap kemasukan haiwan asing.
Ketika dihantar oleh pemiliknya, Svetlana Ponomareva, 50, dari Moscow Februari lalu, kucing tersebut baru berusia tiga bulan dan kini telah mencecah usia setahun.
Kelmarin, kucing itu yang dikuarantin di pusat pemeliharaan dan pembiakan kucing di negeri ini, Cattery Kittun Katz, telah dihantar ke Australia untuk diserahkan kepada Julie.
Pemilik Cattery Kittun Katz, Hezlin Fazrina Abdul Hadi Nor, 34, berkata, Polar Day terpaksa mengharungi perjalanan sejauh 20,000 kilometer kerana perlu melalui beberapa siri kuarantin sebelum bertemu pembelinya itu.

Samsung catat untung besar RM18.1 bilion


KEMAMPUAN Samsung mengeluarkan produk baru yang memenuhi cita rasa pengguna seperti Galaxy S III (kiri) dan Galaxy S III mini menjadi faktor syarikat itu berkembang pesat.


SEOUL - Firma teknologi terbesar dunia dari Korea Selatan, Samsung Electronics semalam mengumumkan keuntungan bersih bagi suku ketiga tahun ini sebanyak AS$5.97 bilion (RM18.1 bilion), meningkat hampir dua kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Anak syarikat Kumpulan Samsung itu menyatakan, keuntungan itu juga adalah yang tertinggi dalam sejarah syarikat berkenaan.
Samsung Electronics pada suku ketiga 2011 mencatat keuntungan bersih sebanyak AS$3.09 bilion (RM9.39 bilion).
Syarikat itu dalam kenyataannya semalam menjelaskan, hasil jualan segmen telefon pintar menyumbang lebih separuh daripada jumlah keuntungan tersebut.
Menurutnya, perolehan daripada segmen perniagaan telefon bagi suku ketiga tahun ini berjumlah AS$23.91 bilion (RM72.80 bilion).
Samsung Electronics bagaimanapun mengakui berhadapan dengan era perniagaan yang lebih mencabar pada masa akan datang.
"Persekitaran perniagaan masih sukar dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu selain terdapat kebimbangan tentang situasi kewangan di Amerika Syarikat dan Eropah.

Penumpang terkandas lampu landasan KKIA rosak


JADUAL penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu tergendala semalam ekoran lampu landasan gagal berfungsi.


KOTA KINABALU – Beratus-ratus penumpang yang ingin bercuti sempena Hari Raya Aidiladha terkandas apabila lampu landasan di Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) tidak berfungsi kelmarin.
Kejadian pada pukul 6 petang itu difahamkan berlaku akibat masalah pendawaian ekoran kerja-kerja pembinaan di KKIA.
Difahamkan, antara penumpang yang terkandas ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok dan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Peter Pang.
Ia adalah kejadian kedua tahun ini selepas lampu landasan di Terminal 1 KKIA gagal berfungsi pada April lalu.
Seorang jurucakap Malaysia Airport Berhad (MAB) yang enggan namanya disiarkan berkata, insiden itu mengakibatkan banyak penerbangan dari Brunei, Singapura dan Kuala Lumpur yang sepatutnya mendarat di KKIA terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang Labuan.
“Sejurus masalah berlaku, kerja-kerja pembaikan dilakukan dan lampu landasan berjaya dihidupkan semula pada pukul 6.20 petang tetapi rosak semula pada pukul 9.15 malam,” katanya.
Bagaimanapun, dia enggan memberikan jumlah sebenar penerbangan dan penumpang yang terjejas akibat kejadian itu.
Seorang penumpang yang hanya mahu dikenali Zarul berkata, dia terpaksa menunggu selama tiga jam di terminal itu ekoran kejadian tersebut.

Si tua jual alat seks dicekup


DI sebuah rumah di Jalan Walter Grenier, Jalan Imbi, Kuala Lumpur inilah seorang lelaki warga emas ditahan kelmarin kerana menjual barangan seks.


KUALA LUMPUR - Kegiatan seorang lelaki warga emas menjual peralatan dan ubat perangsang seks terbongkar apabila dia ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan Walter Grenier, Jalan Imbi di sini kelmarin.
Operasi pada pukul 11.55 pagi itu dilakukan hasil risikan dan penyamaran oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi (IPD).
Dalam serbuan di rumah yang terletak di tingkat satu itu, polis menahan seorang lelaki berusia 71 tahun dipercayai pemilik rumah tersebut.
Pemeriksaan mendapati barangan seks pelbagai jenis disimpan di dalam rumah tersebut dipercayai untuk tujuan dijual secara terus atau melalui online.
Antara barangan yang dirampas ialah sembilan buah kotak yang mengandungi alat kemaluan plastik lelaki dan wanita menggunakan bateri dan manual, pelbagai jenis ubat perangsang seks pelbagai jenama dan kondom.
Siasatan awal mendapati ubat perangsang seks yang dirampas untuk kegunaan lelaki dan wanita itu berbahaya sekiranya dimakan oleh pelanggan kerana ubat-ubatan tersebut tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, lelaki warga emas itu kini ditahan dan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk membantu siasatan.
"Setakat ini kita masih melakukan siasatan sejak bila suspek menjalankan kegiatan tersebut," kata beliau ketika dihubungi.

Dua keluarga rugi disamun penjenayah guna Toyota Estima

KAJANG - Seorang peniaga sarang burung berdepan detik cemas apabila rumahnya di Bandar Sungai Long di sini diceroboh lima lelaki bertopeng dan bersenjata parang menyebabkan barangan berharga termasuk wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM170,000 dirompak.
Dalam kejadian pada pukul 8 malam, Rabu lalu, kumpulan penjenayah terbabit menceroboh rumah mangsa dengan memanjat pagar sebelum masuk ke dalam rumah melalui salah sebuah pintu yang tidak berkunci.
Semasa kejadian, mangsa berusia 31 tahun berada di dalam rumah tersebut bersama isterinya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, suspek-suspek mengugut pasangan suami isteri itu supaya menyerahkan barang berharga termasuk wang tunai yang disimpan di dalam peti besi jika tidak mahu diapa-apakan.
"Lima penjenayah itu melarikan diri bersama wang tunai berjumlah RM50,000, beberapa botol arak gred tinggi bernilai RM100,000, tiga utas jam tangan dan tiga telefon bimbit," kata beliau.
Jumlah kerugian keseluruhan dialami pasangan itu dianggarkan bernilai RM170,000.
Menurut beliau, kesemua suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan Toyota Estima yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Difahamkan, kawasan perumahan mangsa mempunyai pengawal keselamatan dan kenderaan itu melepasi pondok kawalan selepas mendapatkan pas pelawat daripada pengawal bertugas ketika itu.

Enam individu disyaki buang bayi diberkas

KANGAR - Polis setakat semalam menahan enam individu bagi membantu siasatan berhubung kes pembuangan bayi perempuan di Sungai Berembang di Kampung Behor Rotan Pahit, Simpang Empat di sini pada Rabu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan Mohd. Nashir Ya berkata, kesemua suspek ditahan secara berperingkat sejak malam kejadian sehingga kelmarin.
Menurut beliau, mereka yang ditahan melibatkan ibu bayi malang itu, teman lelakinya dan sepupu kepada ibu bayi terbabit.
Gadis dan dua lelaki yang ditahan itu masing-masing berusia 17 tahun dan mereka merupakan pelajar sebuah sekolah agama.
Mohd. Nashir berkata, tiga lagi yang ditahan ialah abang kepada ibu bayi terbabit berusia 20 tahun dan ibu bapa gadis itu yang masing-masing berumur 45 tahun.

BERDOALAH...ALLAH TAK KAN MEMPERSIA-SIA DOA KITA.

Kanak-kanak disangka mati ditemui selamat




NICOSIA, Cyprus – Tiada siapa yang tahu berapa lama seorang kanak-kanak lelaki, Bushr Al-Tawashi, 2, berada di dalam rumahnya yang telah musnah di ibu negara Syria sebelum tentera pemberontak menemui dan menyerahkan Bushr kepada ibu bapanya yang percaya bahawa anak mereka sudah mati.
Ketika berusaha melarikan diri apabila pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak tercetus di Al-Kaboun, pinggir Damsyik, ibu bapa Bushr, Arin Al-Dakkar dan Machhour Al-Tawashi menyangka anak mereka telah diambil oleh ahli keluarga yang lain.
“Apabila tiba di sebuah kem pelarian, mereka mula menyedari kehilangan Bushr. Malangnya, pertempuran sengit menghalang mereka untuk kembali ke Damsyik,” kata seorang peguam dari Cyprus, Stella Constantinou.
Yakin bahawa anaknya sudah tiada, Al-Tawashi, isteri dan dua orang anaknya tiba di Cyprus pada 6 Ogos lalu untuk mendapatkan suaka. Mereka kini tinggal di bandar Limassol, Cyprus.
Setelah mendengar berita Bushr masih hidup, keluarga itu meminta bantuan Constantinou. Kementerian Luar Cyprus membantu mempercepatkan proses menyatukan semula kanak-kanak itu dengan keluarganya.
“Saya tidak dapat menjelaskan bagaimana perasaan saya apabila melihat Bushr. Pada mulanya dia tidak mengenali saya, tetapi setelah kami mujuknya, dia mula memanggil ‘ayah, ayah,” kata Al-Tawashi. – Agensi

Zawahiri seru umat Islam culik warga Barat


FOTO Yang disediakan oleh Kumpulan Perisikan Site menunjukkan pemimpin Al-Qaeda, Ayman Al-Zawahiri berucap dalam satu video di lokasi yang tidak diketahui.


WASHINGTON – Pemimpin Al-Qaeda, Ayman Al-Zawahiri menggesa rakyat Mesir supaya memulakan semua revolusi dalam usaha menegakkan undang-undang Islam dan menculik warga Barat, jelas Kumpulan Perisikan Site kelmarin.
Dalam satu video berdurasi 58 minit yang disiarkan di satu forum jihad, Zawahiri turut menyelar Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sambil menyifatkannya sebagai penipu serta meminta Obama mengakui kekalahan AS di Iraq, Afghanistan dan Afrika Utara.
Selain mengkritik kerajaan baharu Mesir sebagai dipimpin oleh seorang presiden yang keluar daripada Persaudaraan Muslim dan korup, Zawahiri turut menyatakan perjuangan kini tertumpu kepada usaha menegakkan undang-undang syariah di Mesir.
“Perjuangan belum berakhir, sebaliknya baru bermula. Revolusi di Mesir mesti diteruskan. Umat Islam mesti berkorban demi maruah Mesir. Saya juga menyeru orang Islam supaya menculik warga negara yang menentang Islam,” kata Zawahiri. – AFP

Kontraktor palsu tipu RM2 juta

KERJA pengubahsuaian ruang tamu rumah Chiew Ming di Sri Petaling, Kuala Lumpur yang terbengkalai pada Mei lalu selepas suspek menghilangkan diri.


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang mendakwa dirinya sebagai kontraktor kini menjadi buruan polis serta lebih 10 pemilik rumah di sekitar ibu negara selepas disyaki menipu dalam projek pengubahsuaian bangunan membabitkan kerugian lebih RM2 juta sejak awal tahun lalu.
Suspek mudah memperdayakan mangsa kerana menjalankan urusan seperti kontraktor tulen dengan mengemukakan sebut harga serta resit bayaran menggunakan alamat sebuah syarikat pereka dalaman di Selayang dekat sini.
Bagaimanapun, apa yang menyebabkan para pelanggannya sesal tidak sudah ialah suspek menghilangkan diri sebaik sahaja mendapat bayaran dan dalam kes tertentu, hanya menyiapkan sebahagian projek sebelum lesap.
Dia dipercayai bergiat aktif di sekitar Sentul, Sri Petaling, Kepong, Segambut dan Balakong.
Seorang mangsa, Chai Chiew Ming, 43, mendakwa kerugian lebih RM260,000 apabila lelaki itu menghilangkan diri selepas menyiapkan separuh sahaja daripada kerja pengubahsuaian rumah dua tingkat miliknya di Sri Petaling, di sini pada Mei lalu.
Perunding perniagaan itu pada sidang akhbar di sini semalam memberitahu, selepas gagal mengesan suspek dan mendapati pejabat lelaki itu di Selayang sebenarnya disewa syarikat lain, Chiew Ming membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini.
Seperti mangsa yang lain, Chiew Ming mendapatkan khidmat suspek menerusi orang tengah yang dikenali sebagai Khor.
Peniaga barang lusuh, Wan Kok Heng, 31, pula mendakwa kerugian lebih RM100,000 apabila mengupah suspek untuk mengubahsuai rumah teres milik isterinya di Sentul Jaya 3 di sini pada April lalu.
Kok Heng hanya menyedari ditipu selepas suspek lesap dan projek pengubahsuaian rumah itu terbengkalai.
Akibatnya, dia terpaksa membelanjakan puluhan ribu ringgit lagi untuk mengupah kontraktor lain menyiapkan projek tersebut.

Bayi didera dikata digigit hantu


KESAN kecederaan di belakang kepala seorang bayi yang disyaki didera pengasuhnya di Sungai Nibong, George Town.


GEORGE TOWN - Seorang ibu tidak dapat menahan kesedihan apabila anak sulungnya berusia lima bulan terpaksa menjalani pembedahan di kepala Khamis lalu selepas disyaki didera pengasuh di sebuah rumah di Sungai Nibong di sini.
Kejadian itu disedari oleh wanita berkenaan pada 22 Oktober lalu ketika membawa anak perempuannya menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat mengalami demam panas.
Sebaik sahaja diperiksa, doktor memaklumkan paru-paru anaknya telah dijangkiti kuman manakala pemeriksaan menerusi mesin pengimbas mendapati ada darah beku di ubun-ubunnya.
Ibu bayi tersebut yang mahu dikenali sebagai Lin mendakwa, anaknya diasuh oleh seorang wanita berusia 20-an sejak berusia dua bulan. Pengasuh itu merupakan jiran lama mereka.
Menurutnya, dia mula curiga dengan cara penjagaan pengasuh berkenaan sebaik sahaja menyedari terdapat kesan lebam dan luka kecil di belakang kepala anaknya pada 27 Ogos lalu.
"Pada masa itu, saya cuba bertanya kepada dia (pengasuh) tetapi dia mendakwa kemungkinan digigit hantu ataupun terkena gelang yang dipakainya.
"Saya dan suami tidak mengesyaki apa-apa yang buruk sehinggalah baru-baru ini (22 Oktober) anak saya mengalami demam panas dan doktor memberitahu terdapat kesan pendarahan lama di kepalanya," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini semalam.

Misteri penemuan mayat wanita bertatu


ANGGOTA polis memeriksa mayat seorang wanita yang ditemui di dalam but kereta Perodua Kancil di Taman Johor Jaya, Johor Bahru malam kelmarin.


JOHOR BAHRU - Mayat seorang wanita dengan kesan tikaman di perut ditemui di dalam but sebuah kereta Perodua Kancil berwarna hijau di Jalan Teratai, Taman Johor Jaya di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, mayat berusia lingkungan 30-an itu ditemui orang ramai yang lalu di kawasan tersebut pada kira-kira pukul 7 malam.
Katanya, ketika ditemui, mayat wanita yang dipercayai berketurunan Melayu itu lengkap berpakaian tetapi tidak mempunyai sebarang pengenalan diri.
"Mayat tersebut ditemui di dalam but kereta dan siasatan awal kami menemui satu kesan tikaman di perut. Wanita berkenaan tidak mempunyai pengenalan diri tetapi mempunyai tatu berbentuk sayap di bahagian pinggul," katanya di sini semalam.
Jelas Roslan, hasil siasatan awal mendapati, kereta Perodua Kancil terbabit yang didaftarkan atas nama seorang wanita Melayu telah berada di lokasi kejadian sejak Rabu lalu.
Katanya, mayat telah dihantar ke Hospital Sultan Ibrahim di sini untuk bedah siasat dan keputusan hanya akan diketahui esok.

Batal lesen, sita gerai warga asing


AHMAD PHESAL (kiri) mengagihkan daging korban kepada orang ramai selepas merasmikan program korban di Masjid Negara semalam.


KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bertindak tegas membatalkan lesen dan menyita lot gerai yang didapati disewakan oleh rakyat tempatan kepada warga asing.
Amaran itu dikeluarkan bagi mengekang kebanjiran warga asing yang berniaga menggunakan lot gerai yang dikhususkan kepada rakyat tempatan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, masalah itu berpunca daripada sikap peniaga tempatan sendiri yang mahu meraih pendapatan secara mudah dengan mengenakan kadar sewa tinggi kepada warga asing.
"Mereka tahu warga asing akan tetap bayar biarpun mahal. Ini menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab penjaja tempatan terhadap lesen yang kita berikan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program korban di Masjid Negara semalam.

Warga emas mati dihentak dumbell 10 kilogram


ANGGOTA polis mengangkat mayat Kin Geok selepas ditemui mati di rumahnya di Bukit Subang, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Seorang warga emas berumur 60 tahun ditemui mati dengan kesan cedera parah di kepala dipercayai akibat dihentak menggunakan pengangkat besi atau dumbell seberat 10 kilogram (kg) di rumahnya di Jalan Spektrum U16/22, Bukit Subang di sini semalam.
Mangsa, Teh Kin Geok ditemui anak saudaranya dalam keadaan berlumuran darah di bawah longgokan baju dalam bilik tidur utama di tingkat atas rumah itu pada pukul 1.30 petang.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner, Rusdi Mohd. Isa berkata, anak saudaranya pergi ke rumah terbabit selepas mangsa yang merupakan ibu tunggal gagal dihubungi sejak pagi semalam.
Menurutnya, pengadu yang terkejut apabila menemui mayat ibu saudaranya dalam bilik itu terus menghubungi polis.
"Hasil pemeriksaan ke atas mangsa menemui tiga kesan kecederaan di kepala dan senjata digunakan dipercayai dumbell yang ditemui dalam rumah tersebut.
"Polis juga mendapati tiada kesan rumah itu dipecah masuk namun kami masih menyiasat jika ada barang milik mangsa yang hilang," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Rusdi memberitahu, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama seorang anak lelaki berumur 28 tahun dan dua anak angkat berusia 6 bulan dan 2 tahun di rumah berkenaan.

Tukang kimpal lemas dihanyut ombak

KUALA TERENGGANU - Seorang tukang kimpal yang dikhuatiri lemas sejak petang kelmarin ditemui mati berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Chendering dekat sini kira-kira pukul 1.50 petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 6.30 petang kelmarin, mangsa, Tuan Syed Ahmad Saufi Tuan Mohamad, 26, yang berasal dari Kampung Chendering dikatakan dihanyutkan ombak semasa mandi-manda bersama empat lagi saudaranya di Pantai Chendering.
Sepupu mangsa, Mohamad Ramli, 30, berkata, Tuan Syed Ahmad Saufi memang telah bercadang untuk mandi di pantai tersebut bersama empat lagi saudaranya sempena cuti Hari Raya Aidiladha.
"Saya difahamkan semasa mereka sedang mandi, tiba-tiba ombak kuat datang dan Tuan Syed Ahmad Saufi telah dihanyutkan ke tengah laut.

Jalan mendap terbiar sebulan


SIVASUBRAMANIAM menunjukkan jalan yang mendap di laluan masuk ke Taman Jelai, Kuala Lipis semalam.


KUALA LIPIS – Lebih 300 penduduk di kawasan Taman Jelai di sini bimbang terhadap kejadian jalan mendap yang berlaku di laluan masuk perumahan tersebut sejak sebulan lalu.
Bagaimanapun, kejadian jalan mendap itu menjadi lebih serius ekoran hujan berterusan pada minggu ini.
Keluasan jalan yang rosak akibat kejadian mendapan itu ialah 5 meter manakala kedalamannya 3 meter.
Berikutan kejadian itu, semua kenderaan yang keluar masuk ke taman itu bergerak melalui satu lorong sahaja. Dikhuatiri runtuhan tanah yang lebih besar akan berlaku jika kerja pemulihan tidak dilaksanakan segera.
Seorang penduduk, M. Sivasubramaniam, 37, berkata, kejadian itu berlaku sejak sebulan lalu namun sehingga kini masih tiada kerja membaik pulih mendapan dan runtuhan berkenaan.
“Selain hujan lebat, kejadian mendapan ini dipercayai berpunca daripada saluran paip air bawah tanah yang pecah sehingga mengakibatkan struktur tanah di jalan tersebut tidak kukuh.

Polis masih buru suspek samun keluarga pesawah

YAN - Polis masih giat mengesan dua suspek yang disyaki terlibat dalam kes samun sebuah keluarga pesawah dengan melarikan wang tunai dan kereta Perodua Myvi di Kampung Simpang Empat, Sedaka di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu memberitahu, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan bagi menyiasat kes jenayah itu.
"Setakat ini masih belum ada sebarang tangkapan. Siasatan masih diteruskan termasuk mengesan suspek menerusi dua buah basikal yang ditinggalkan mereka selepas menyamun di rumah tersebut.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi semalam.
Kosmo! semalam melaporkan dalam kejadian pukul 5.30 pagi itu, mangsa, Azizan Hanafi, 63, dan menantunya, Mohd. Fakhzan Nasir, 34, cuba melawan penyamun terbabit tetapi mereka cedera ditetak dengan parang sehingga terpaksa beraya di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Azizan menerima 50 jahitan akibat luka ditetak tiga kali di kepala dan dua kali di belakang badan manakala Mohd. Fakhzan cedera di tapak tangan kanan dan kepala.
Kedua-dua perompak terbabit kemudian meninggalkan basikal mereka untuk melarikan diri dengan kereta Myvi milik Mohd. Fakhzan selepas memperoleh wang tunai RM200.

Clara minat sukan payung terjun




GADIS berdarah kacukan Iban-Bidayuh-British, Wilhelmina Clarabelle Tambung Mcmillan ada menyimpan satu impian yang boleh menimbulkan rasa gerun ramai orang.
Sekali dalam seumur hidup, gadis berusia 19 tahun yang lebih suka dipanggil Clara ini mahu mencuba aktiviti payung terjun.
"Saya berani mencuba kerana tidak gayat, harap nanti saya dapat mengikuti kursus payung terjun," katanya yang turut berminat melakukan terjun lelabah.
Pelajar Kolej Multimedia Sarawak di Kuching ini percaya aktiviti lasak seumpama itu boleh memberi kepuasan dan menguji ketabahan diri.
Walaupun anak ketiga daripada empat beradik ini ingin mencuba aktiviti lasak, dia tetap memberi tumpuan kepada pelajaran selain minatnya kepada bidang tarian.

JIKA ADA JODOH APA SALAHNYA...WANITA KENA TERBUKA FIKIRANNYA...LELAKI KENA ADIL...WANITA KENA MEMBANTUNYA AGAR JADI ADIL

Mahu suami lengkap kuota

Oleh HADZLAN HASSAN, MOHD NASIF BADRUDDIN, SHAHRUL REDZUAN ZULKIFLI, NURUL HUSNA MAHMUD dan ZAID SALIM
metahad@hmetro.com.my

SOLAT... (dari kiri) Roslina,  Sulizah dan Wan Akmal (duduk tengah) dan bersama adik angkatnya, Zunaidah (kiri) bersalaman selepas berjemaah.
SOLAT... (dari kiri) Roslina, Sulizah dan Wan Akmal (duduk tengah) dan bersama adik angkatnya, Zunaidah (kiri) bersalaman selepas berjemaah.
BESAR... rumah keluarga Ariffin Mohamad di Lorong Surau Haji Yaacob Kampung, Tebuk Bukit Tunggal, Kuala Terengganu.
BESAR... rumah keluarga Ariffin Mohamad di Lorong Surau Haji Yaacob Kampung, Tebuk Bukit Tunggal, Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU: Terbiasa berkongsi kasih berempat, pemergian madu tua ke rahmatullah tahun lalu membuatkan tiga isteri seorang ahli perniagaan sanggup membuka jalan kepada suami mereka untuk menerima seorang lagi wanita bagi melengkapkan kuota poligami.
Mendedahkan rahsia itu, ketiga-tiga madu terbabit memberitahu, mereka sudah meluahkan rasa hati kepada suami, Ariffin Mohamad, 66, dengan mencalonkan adik angkat mereka, Zunaidah Chua Abdullah, 37, yang kini tinggal bersama untuk mendalami agama, sebagai isteri keempat.

“Bagaimanapun, abang Ariff tidak menunjukkan minat, mungkin kerana dia masih terkenangkan arwah kakak (isteri pertama) tapi memberitahu, biar jodoh dan takdir menentukan cadangan kami.
“Dia beritahu, kalau sudah jodoh, dia akan berkahwin dengan siapa saja, asalkan kami semua dapat menerimanya. Namun, setakat ini abang Arif belum menunjukkan minat, mungkin kerana masih terkenangkan arwah kakak,” kata isteri ketiga, Sulizah Salleh, 54, sambil disokong isteri kedua, Roslina Soh Abdullah, 56, dan isteri keempat, Wan Akmal Wan Abdul Rahman, 54, ketika ditemui Metro Ahad di rumah mereka di Kampung Tebauk, di sini.

Meskipun madu pertama Fatimah Abdullah, 61, meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang, ikatan kasih sayang yang kukuh ketika hayatnya menyebabkan ketiga-tiga isteri ahli perniagaan itu tidak pernah berasa kehilangan wanita berkenaan.

“Walaupun kami kini tinggal bertiga, pada kami, kakak (panggilan kepada arwah madu pertama) masih bersama dan kami tidak pernah merasai kehilangannya,” kata Sulizah.
Menurutnya, hubungan akrab antara dia dan dua madunya dengan arwah ketika hayatnya menyebabkan sehingga kini mereka masih merasai arwah ada bersama walaupun hampir setahun meninggal dunia.

“Ketika hayatnya, arwah kakak yang baik dan penyayang dan banyak membantu kami menyesuaikan diri dengan kehidupan bermadu.
“Tunjuk ajar yang arwah kakak beri menyebabkan kami tidak pernah berasa hidup bermadu. Hubungan kami seperti adik-beradik dan kami menghormatinya sebagai kakak sulung,” katanya.

Sebagai isteri keempat, Wan Akmal menghormati tiga madunya (kini dua) sebagai kakak sendiri dan tidak pernah beranggapan mereka berempat berkongsi suami.

Malah, dia mengakui sikap suami yang tegas, bertanggungjawab dan jujur dalam segala permasalahan menyebabkan semua isteri tidak pernah berasa hati sesama mereka.

“Hubungan kasih sayang dan keakraban ini bukan hanya pada kami, tapi turut berlaku kepada 17 anak dan menantu kami yang tidak pernah membezakan antara kami apabila menganggap kami sebagai ibu kandung mereka.

“Abang Arif tidak pernah membawa masalah kerjanya ke rumah tapi kalau kami melihat dia resah atau termenung, tiada siapa yang akan ‘menerkamnya’, sebaliknya hanya menunggu dia menegur dan membelai kami berempat... biasanya dia tidak akan lama termenung sendirian,” katanya.

Walaupun menyedari kemewahan dan kesenangan itu penting dalam kehidupan, semua isterinya beranggapan senjata utama kebahagiaan keluarga mereka ialah hubungan kasih sayang.

“Kami memiliki kasih sayang yang sama, termasuk dengan anak. Itulah rahsia yang membolehkan kami hidup bahagia selain peranan insan istimewa iaitu suami yang bertanggungjawab, tegas dan jujur, selain sifatnya yang periang serta sering membuatkan kami terhibur.

“Secara jujur, kami berasa sepi dan terasa kehilangannya jika suami tiada di rumah walaupun untuk satu hari kerana urusan kerja,” katanya.

Roslina mengakui sejak menjadi isteri Ariffin 39 tahun lalu, kehidupannya penuh bermakna dan tidak menduga hidup bermadu tidak menimbulkan masalah buatnya dan tidak pernah menyesal bertukar agama.

“Arwah kakak banyak mengajar dan mendidik saya mengenai Islam, termasuk cara berpakaian dan pergaulan. Kini hidup saya tenang bersama dua ‘adik’ di bawah satu bumbung,” katanya.

Bukan saja bahagia memiliki keluarga besar yang hidup dalam suasana penuh harmoni, tiga madu berkenaan turut berasa bangga apabila memiliki anak bijak yang berjaya dalam pelajaran.

Kecemerlangan dalam pendidikan terbukti apabila sembilan daripada 17 anak Ariffin berjaya ke menara gading. Empat daripada mereka kini bekerja, manakala lima lagi mengikuti pengajian di tiga pusat pengajian tinggi dalam negara.

“Syukur, Allah menganugerahkan mereka otak yang cergas. Kami tidak pernah mengatur sistem pembelajaran anak seperti menghantar mereka ke kelas tambahan atau menggaji guru khas di rumah.

“Disiplin tinggi selain patuh dengan peraturan ditentukan bapa mereka menyebabkan anak tahu apa sepatutnya dilakukan, termasuk belajar dan mengulang kaji pelajaran.

“Selain itu, kami membekalkan anak dengan air penerang hati dan surah Yasin yang menjadi amalan kami sekeluarga setiap hari. Alhamdulillah, sehingga kini Allah memakbulkan doa kami,” kata Roslina.

Ketika ditanya sejak bila suami mereka mula menjadi pelupa dan kerap tersalah memanggil nama isterinya, mereka menjelaskan, perkara itu berlaku kira-kira setahun lalu, iaitu sejak pemergian arwah madu pertama.

Bagaimanapun, Ariffin masih sihat dan tegap serta tidak kelihatan seperti lelaki berusia 66 tahun, mungkin dipengaruhi faktor pemakanan.

Selain tidak menyentuh minuman sejuk, dia tidak akan makan makanan berminyak atau berlemak. Bukannya cerewet, Ariffin akan makan apa saja yang dimasak, asalkan ia tidak menggunakan minyak atau santan yang banyak. Dia juga jarang menjamu selera di luar, kecuali jika diajak atau sekadar menjaga hati kawan.

Tidak pelik, wajar diteladani



KUALA TERENGGANU: “Bagi saya, ia sangat bagus dan molek serta wajar diteladani apabila lelaki berkahwin ramai dapat hidup harmoni dengan isteri, malah anak pula ‘menjadi’.
“Perkara ini (tinggal sebumbung) tidak pelik jika suami isteri dan anak mereka saling memahami dan menghormati peranan serta tanggungjawab masing-masing,” kata Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Mohd Rozali Salleh.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berkata, kisah lelaki berkahwin empat dapat tinggal bersama dalam satu rumah sememangnya sangat unik.
Katanya, memang susah hendak berjumpa kes seperti itu dan sepanjang pengetahuannya, kes itu adalah satu-satunya yang pernah didengar di Terengganu.

Menurutnya, berpoligami bukan perkara mudah kerana suami perlu memiliki kemampuan dan kebijaksanaan, selain pemahaman agama yang boleh membantunya menguruskan hal-ehwal keluarga.

“Si suami akan menjadi pemimpin dalam keluarga, jadi dia harus mempunyai ilmu agama dan mengikut undang-undang perkahwinan di Terengganu.
“Kita menetapkan setiap lelaki yang ingin berkahwin lebih daripada seorang perlu mendapatkan kelulusan mahkamah,” katanya.

Ramai anak dapat ijazah



KUALA TERENGGANU: Bertuahnya seorang lelaki beristeri empat apabila sebahagian besar daripada 17 anaknya berjaya dalam kehidupan, dengan tiga menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) manakala dua lagi masih mengikuti pengajian di peringkat sama.
Walaupun kebahagiaan keluarga besar Ariffin Mohamad, 66, yang menetap di villa mewah Kampung Tebauk, di sini, terjejas selepas pemergian isteri pertamanya, Fatimah Abdullah, 61, akibat masalah buah pinggang tahun lalu, kesetiaan tiga madu arwah dalam membesarkan anak ahli perniagaan itu membuktikan kehidupan bermadu sesuatu yang bermakna.

Betapa tidak, hampir semua anak daripada keluarga besar yang turut merangkumi 10 menantu dan 10 cucu itu mengecapi kejayaan dalam hidup masing-masing apabila sembilan daripada anak keluarga yang menetap dalam satu bumbung di Villa Ariffarozama itu lulusan pusat pengajian tinggi awam tempatan.
Kini ada antara anaknya menjawat jawatan penting dalam sektor swasta dan agensi kerajaan selain sembilan menantu yang kini banyak membantunya menjalani kehidupan harian melalui bantuan kewangan.

Malah, villa yang mendapat nama hasil gabungan singkatan namanya Arif, Fa (Fatimah), Roslina Abdullah, 56 (Ro), Surizah Salleh, 54 (Su), dan Wan Akmal Wan Abdul Rahman, 54 (Ma) itu kini semakin besar apabila menantunya menghadiahkan sebuah rumah dilengkapi 15 bilik lengkap dengan surau dan ruang tamu sebagai tanda kasih sayang mereka.

Ketika ditemui di rumahnya, Arif yang mudah dibawa bersembang mengakui, dia kini bersiap sedia untuk dijemput Ilahi dan reda dengan kehendak Yang Maha Esa kerana sudah puas mengecapi nikmat dunia.
“Bukan mahu menyombong diri tapi saya gembira dengan apa yang saya peroleh selama ini, kurniaan Allah sungguh tidak terhingga, saya memiliki keluarga besar dan anak juga berjaya, saya syukur mampu menunaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

“Tiada lagi yang saya mahu, mungkin tiga ini (merujuk kepada isteri) dah cukup tak perlu tambah lagi, tapi saya tak boleh cakap besar... kalau Tuhan dah tentukan jodoh saya lagi, apa salahnya, malah isteri saya juga tidak menghalang,” katanya kepada Metro Ahad.
Beliau sudi ditemuramah wartawan tetapi keberatan apabila diminta untuk bergambar.

Ariffin berkata, kemungkinan untuk dia menikah seorang lagi selepas kematian isteri pertama adalah tipis berikutan faktor usia yang kini menyebabkan dia makin sensitif dan pelupa sehingga kerap tersalah memanggil nama isteri dan anak.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak akan melupakan giliran setiap isterinya kerana ketiga-tiga wanita berkenaan akan mengetuk biliknya untuk menentukan giliran masing-masing.

“Jika malam itu bilik saya diketuk sekali, saya akan tahu ia giliran isteri pertama dan begitulah seterusnya, namun sejak tahun lalu pintu saya hanya diketuk dua kali ke atas selepas pemergian arwah isteri pertama,” katanya.

Arif melangsungkan perkahwinan dengan isteri pertama pada 1969 manakala perkahwinan kedua pada 1979 sebelum berkahwin lagi pada 1983 dan 1988.

Semua isterinya hanya dikenali selama tiga bulan sebelum mereka mengambil keputusan berkahwin dan kebanyakan isterinya tidak dapat menolak kebolehan dan kepetahan Arif berbicara menyebabkan mereka mudah terpikat.

Yang menarik, semua anak keluarga itu tidak akan membezakan ibu mereka, sebaliknya memanggil wanita berkenaan dengan gelaran mummy (arwah), mama (isteri kedua), Su (isteri ketiga) dan Ummi (isteri keempat).

“Gelaran Su diberi kerana saya tidak pernah terlintas untuk berkahwin kali keempat, namun jodoh saya datang lagi ketika itu menyebabkan saya tidak dapat menolak,” katanya.

Beliau yang terbuka untuk berkongsi perihal keluarganya turut mengakui, amalan berjimat cermat membolehkan keluarga besar itu terus hidup dalam suasana harmoni hingga kini.

“Kalau dulu perbelanjaan harian keluarga kami hanya kira-kira RM36,000 setahun, kini ia mencecah sehingga RM72,000 dan secara purata kami membelanjakan RM6,000 sebulan dan tidak termasuk perbelanjaan peribadi saya RM2,000,” katanya.

Ditanya rahsia dimiliki hingga mampu mengekalkan keharmonian rumah tangga, beliau berkata, tiada apa yang menjadi rahsia atau amalannya, kecuali tidak pernah membuang air kecil dalam air, tidak pernah minum air sejuk dan mengamalkan sikap terbuka kepada anak dan isteri, termasuk mengenai pengetahuan seks.

“Jangan hipokrit dengan anak, kita jelaskan saja apa yang kita tahu kerana mereka juga akan besar dan berkahwin, ajarlah mereka perkara yang betul tapi biarlah ia berpada.

“Biasanya saya mendidik anak melalui isteri di mana saya memberi arahan kepada isteri yang kemudian menyampaikan amanat kepada anak. “Mereka (isteri) yang akan mendidik dan memberi tunjuk ajar dalam memastikan semua anak menjadi insan berguna.

“Saya bersyukur kerana anak mengikut peraturan di villa ini, manakala isteri pula tidak putus-putus dengan solat hajat dan amalan menyediakan air Yasin sebagai penerang hati kepada anak, selain patuh kepada ajaran agama,” katanya.

Menurutnya, kalau dulu ada antara individu yang mengeji dan mengumpatnya kerana memiliki keluarga besar, kini dia menjadi antara idola pihak tertentu yang ingin bermadu, malah sering dikunjungi golongan suami atau isteri yang ingin menyelesaikan masalah rumah tangga.

“Ada wanita berjumpa saya untuk membantu menyelesaikan masalah suaminya yang ingin kahwin lain dan ada juga lelaki mendapatkan khidmat nasihat untuk berpoligami.

“Sebenarnya syaratnya mudah, iaitu lelaki itu perlu mengetahui konsep faham, berani dan tegas. Jika dia memiliki konsep berkenaan, insya-Allah mereka mampu berpoligami,” katanya.

Lelaki Nigeria guna sihir paksa kanak-kanak jual tubuh



LONDON: Seorang lelaki yang menggunakan ritual sihir bagi memaksa kanak-kanak menjadi pelacur, didapati bersalah di mahkamah Canterbury atas dakwaan menyeludup manusia dan merogol.
Perbicaraan menunjukkan, ramai kanak-kanak dirogol, didera secara seksual dan dibayangi ritual seperti voodoo dilakukan sindiket terbabit. Mangsa juga dikelar dengan pisau, dipaksa meminum cecair busuk dan diambil darah bagi membolehkan mereka ‘disihir.’ Osezua Osolase, 42, menyamar sebagai pekerja pusat pungutan bahan kitar semula dan menetap di sebuah rumah teres di Gravesend, Kent.

Namun, tanpa disedari ramai, dia adalah sebahagian daripada anggota rangkaian penyeludup kanak-kanak yang menggunakan ancaman sihir bagi menakut-nakutkan mangsa supaya menjadi pelacur. Penyiasat berkata, mangsa sentiasa ditakut-takutkan akan mati atau mandul jika mereka cuba melarikan diri atau membuka rahsia kegiatan itu kepada sesiapa. Ketika ditahan, polis menemui bukti sekurang-kurangnya 28 mangsa diseludup masuk dan keluar oleh Osolase sepanjang tempoh 14 bulan.
Kegiatan itu membolehkan dia mendapat keuntungan sehingga £1.5 juta (RM7.3 juta). Bagaimanapun, polis yakin angka sebenar keuntungan diperolehnya jauh lebih tinggi berdasarkan bukti dikumpul setakat ini.

Hakim akan menjatuhkan hukuman ke atas Osolase hari ini. - DM

Jadi ‘ibu bapa’ 18 cucu

Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my

KASIH ... Opah Hasnah bersama sebahagian daripada 18 cucu kesayangannya.
KASIH ... Opah Hasnah bersama sebahagian daripada 18 cucu kesayangannya.
KLANG: Dia layak digelar ‘nenek super’ kerana dalam usia menjangkau 74 tahun dan kudrat yang terbatas, wanita itu masih berupaya menjaga 18 cucu berusia satu hingga 17 tahun.
Tujuh daripadanya cucu kandungnya yang dijaga sejak 2002 selepas dua anak lelakinya meninggal dunia, manakala selebihnya anak fakir miskin serta anak tidak sah taraf yang dijadikan cucu angkat.

Hasnah Mohd Rais atau lebih mesra disapa Opah Hasnah tidak pernah mengeluh kerana perlu memikul tanggungjawab berkenaan yang mungkin tidak mampu dipikul sebilangan orang, apatah lagi warga emas sepertinya.
Menurutnya, cucu dan cucu angkatnya tidak pernah menyusahkannya, malah memberi ketenangan dan menambah keceriaan dalam keluarga.

Biarpun tidak ada pendapatan, Opah Hasnah tidak terlalu risau memikirkan soal wang bagi menampung perbelanjaan menyara semua cucunya.

“Opah tak risau pasal duit. Alhamdulillah, duit sentiasa ada. Itu semua kerja Allah. Gaji Opah pun Allah yang bayar. Macam-macam bantuan Opah terima. Ada mahasiswa datang untuk mengecat rumah Opah, ada pihak yang beri langsir, perabot, peralatan rumah dan barangan elektrik,” katanya yang tidak mengenakan bayaran bagi mengasuh anak golongan kurang berkemampuan.
Kerja mengasuh sebati dengan dirinya kerana sejak kecil dia bertanggungjawab menjaga adiknya. Anak sulung daripada 11 beradik ini terpaksa menguburkan niat menyambung pelajaran kerana mahu membantu ibu menjaga adiknya.

“Opah tak pernah kesal tidak sambung pelajaran. Walaupun kehidupan kami sekeluarga tak begitu susah kerana ayah mengusahakan kebun sendiri, kami tidak dibiasakan dengan hidup senang.
“Ayah mendidik kami berdikari dan jika mahukan wang, Opah perlu ke kebun kutip kelapa dan menjualnya,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di rumahnya di Taman Ros, Bukit Kuda, di sini.

Dia juga mengambil alih tanggungjawab sebagai ibu dan bapa menjaga empat anak selepas suaminya, Talaha Daud, meninggal dunia pada 1980-an dengan bekerja di ladang dan menjual kuih.

Dalam mengasuh cucu, seperti ibu muda, Opah Hasnah perlu bangun malam membancuh susu untuk dua cucunya yang berusia kira-kira setahun, menyuapkan makanan dan memandikan mereka setiap hari.

“Setiap hari Opah tidur jam 10 atau 10.30 malam dan bangun jam 2.30 pagi. Jadi ketika bayi bangun malam minta susu, Opah memang berjaga. Biasanya mereka bangun dua kali untuk minum susu,” katanya.

Ada antara cucu angkatnya diserahkan ibu kandung mereka, selain diletakkan di depan pintu rumah ketika masih bayi.

“Opah sayang semua cucu Opah. Ada orang menawarkan RM10,000 untuk mengambil mereka sebagai anak angkat, tapi Opah tidak sanggup menyerahkannya. Biarlah susah senang mereka bersama Opah,” katanya.

Setiap bulan, sebanyak RM1,000 diperuntukkan bagi membayar tambang bas. Perbelanjaan makan pula tidak terlalu membebankan kerana cuma dua kampit beras seberat 10 kilogram digunakan.

Antara perkara yang ditekankan dalam mendidik ialah mengingatkan cucunya supaya menunaikan solat, mengajar mengaji al-Quran dan membaca buku.

“Ada cucu angkat Opah yang daftar lewat kelahiran, menyebabkan dia tidak dapat bersekolah. Untuk memastikan dia tidak ketinggalan, setiap hari Opah mengajar membaca dan kini dia boleh membaca dengan baik,” katanya.

Anak perempuannya dikenali sebagai Wan berkata, ibunya memang sebati dengan tugas mengasuh dan sanggup bersusah-payah menjaga anak kecil.

“Dulu keadaan memang susah. Saya bekerja kilang dengan gaji RM500. Setiap bulan, sebanyak RM400 saya berikan kepada ibu untuk membesarkan cucunya dan RM100 untuk kegunaan sendiri. Ketika susah, mereka (cucu) pernah makan nasi berlauk kicap.

“Apapun, saya percaya Allah yang memberikan rezeki. Lama kelamaan, kehidupan berubah dan ibu menerima banyak bantuan bagi menguruskan cucu dan cucu angkatnya,” katanya.

Menurutnya, dalam usia yang semakin lanjut, ibunya sanggup turun naik bas untuk ke Jabatan Pendaftaran Negara bagi memohon sijil kelahiran daftar lewat lapan cucu angkatnya.

“Menjelang Aidilfitri, ibu membawa semua cucunya menaiki bas untuk membeli baju raya. Cucu yang besar mendukung yang kecil. Mereka seperti adik-beradik dan tahu tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Bantu di Kemboja, Vietnam

Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI
sitiaisyah@hmetro.com.my

MELAPAH... orang ramai melapah sebahagian daripada 34 lembu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
MELAPAH... orang ramai melapah sebahagian daripada 34 lembu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
SEPANG: Prihatin dengan kedaifan masyarakat Islam di Kemboja dan Vietnam, Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Perikatan Intelek Muslim Kemboja (CMIA) menyembelih 413 lembu dan 37 kambing untuk diagih kepada golongan sasaran di dua negara itu.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, daripada jumlah itu 396 lembu dan 37 kambing disembelih untuk diagihkan kepada umat Islam sekitar Phnom Penh, manakala 17 lembu diagihkan kepada masyarakat Islam di Ho Chi Minh, Vietnam.

Menurutnya, pihaknya juga akan menyampaikan sumbangan RM80,000 yang akan dimanfaatkan untuk pendidikan di Kampung Chenang, Kemboja.
“Sumbangan itu membabitkan RM70,000 bagi membina sekolah Islam, manakala RM10,000 lagi digunakan untuk membina maahad tahfiz di kampung berkenaan.

“Kita berharap sumbangan itu dapat membantu anak di kampung itu mendalami ilmu agama dalam keadaan lebih selesa,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam. Seramai 118 sukarelawan turut serta dalam program itu yang dikenali sebagai Ekspedisi Kasih dan Korban ke Kemboja dan Vietnam.

Peserta berlepas ke Kemboja jam 3.15 petang dan dijangka pulang ke tanah air, Rabu ini.
Othman berkata, ini kali keempat program itu diadakan dan yakin ia dapat membantu masyarakat Islam di negara itu, terutama dalam aspek pendidikan.

“Dana disumbangkan akan dimanfaatkan untuk membaik pulih prasarana sekolah, di samping mewujudkan pelaksanaan wakaf iaitu dengan membeli tanah yang akan memberi hasil kepada masyarakat Islam di sana.
“Program kita lebih memfokuskan aspek pendidikan kerana sedia maklum pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menjalankan program sukarelawan di negara itu, tetapi tertumpu terhadap ekonomi dan kebajikan.

“Sepanjang melaksanakan program ini, kita sudah membina dua sekolah di Phnom Penh yang kini mempunyai 300 pelajar. Justeru, sumbangan diberi dapat membantu proses pembelajaran umat Islam di negara itu,” katanya.

Gadis bisu terpedaya

Oleh NORIAH IDRIS
nori@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Hinanya seorang lelaki apabila tergamak mengambil kesempatan terhadap gadis kelainan upaya (OKU) hingga menyebabkan remaja berusia 17 tahun itu hamil enam bulan dan kini menunggu masa melahirkan kandungannya di Rumah Sinar Salam, Chow Kit, di sini.
Penyelia rumah berkenaan, Nurul Husna Hamid berkata, punca remaja itu terlanjur akibat hubungan terlarang daripada pergaulan bebas dan terpedaya dengan pujuk rayu teman lelakinya hingga disahkan hamil, awal tahun ini.

“Walaupun dia bisu, teknologi canggih (laman web dan telefon bimbit) hari ini membolehkan pasangan kekasih berhubungan antara satu sama lain hingga terlanjur.
“Kami tidak menafikan walaupun fizikalnya serba kekurangan, keinginan golongan ini sama dengan gadis normal lain,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini.

Remaja itu ditempatkan di rumah berkenaan disebabkan keluarganya enggan menerimanya semula selain malu dengan jiran dan masyarakat sekeliling.

Ditanya bagaimana arahan diberi kepada remaja OKU itu, Nurul Husna berkata, mesej berbentuk tulisan dan gerakan badan serta isyarat tangan antara kaedah komunikasi berkesan digunakan.
“Di rumah ini, kami menjaga makan minum dan membawa gadis berkenaan ke klinik untuk pemeriksaan setiap bulan bagi memastikan kandungan sihat serta tiada tekanan sepanjang kehamilan,” katanya.

Rumah Sinar Salam dinaungi Yayasan Salam Malaysia (YSM) menghulurkan bantuan dalam bentuk kepakaran dan pengurusan sejak 2007 khusus untuk gadis yang terbabit dalam kancah sosial sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing apabila pulih kelak.
Beliau berkata, di rumah itu, penghuninya diberi motivasi untuk membina semula imej yang tercalar, manakala ibu bapa diberi kesedaran supaya memberi peluang kedua kepada anak menerusi memberi bimbingan agama.

“Selain itu, menerusi perkongsian bersama sebuah agensi swasta, kami mengadakan pelbagai aktiviti seperti kelas masakan, kemahiran komputer dan kraftangan kepada penghuni supaya masa lapang mereka lebih terisi.

“Sebaik keluar dari rumah ini, ada di kalangan mereka diterima bekerja sebagai tukang cuci di hospital atau pembantu restoran.

“Sekurang-kurangnya, dengan kemahiran yang dibekalkan, mereka mampu berdikari, sekali gus boleh membina hidup baru,” katanya.

Cinta sejati



KUALA LUMPUR: “Isteri begitu adalah wanita yang cintanya sejati,” kata pakar perunding keluarga dan motivasi, Dr Robiah Kulop Hamzah, mengulas tindakan seorang isteri menanggung hutang along ditinggalkan suaminya bernilai lebih RM1 juta walaupun lelaki itu berkahwin lain.
Menurut beliau, tindakan isteri terbabit didorong rasa tanggungjawab untuk menjaga anak suaminya, selain tidak mahu imej lelaki itu dipandang hina oleh anak kerana berbapakan lelaki seperti itu.

Katanya, suami wanita itu pula tidak berperikemanusiaan dan pentingkan diri kerana sanggup melepaskan bebanan hutang kepada isteri untuk mencari kebahagiaan dengan wanita lain.
“Memang bertuahlah lelaki memiliki isteri yang menawarkan diri untuk menanggung hutangnya, tetapi kesenangan suami cuma di dunia dan akhiratnya kosong kerana tidak ada pahala ibadah.

“Dia meninggalkan isteri yang berjuang dari bawah bersamanya tetapi akhirnya ditinggalkan dan mencari isteri lain, itu tindakan yang tak berperikemanusiaan dan sangat pentingkan diri,” katanya, semalam.

Rubiah berkata, tindakan isteri itu juga adalah betul kerana semua harta dan aset didaftarkan ke atas anak mereka dan dia hanya mahu melindungi anaknya daripada menjadi buruan along.
Harian Metro semalam melaporkan nasib wanita dikenali cuma dengan nama Salbiah yang sanggup berkawan dengan ceti haram kerana tidak mahu keselamatan suaminya yang berhutang lebih RM1 juta dengan along terancam.

Walaupun lelaki itu berkahwin lain, dia sanggup menanggung beban ditinggalkan suami kerana bimbangkan keselamatannya.

Mangsa pukul masih terlantar



BEDAH... Htong masih terlantar  di HTAA, Kuantan.
BEDAH... Htong masih terlantar di HTAA, Kuantan.
KUANTAN: Walaupun penyerangnya sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Selasa lalu, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah, mangsa yang ‘digusti’ gara-gara lambat menghantar air suam masih terlantar dan menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Pelayan sebuah kopitiam di Jalan Tun Ismail 2, di sini, Htong Haw, 29, yang juga warga Myanmar, menjalani tiga pembedahan sejak dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat cedera parah di abdomen iaitu pendarahan dalam perut, pecah limpa, pecah usus kecil dan luka pada hati.

Majikannya, Stanly Soon Suan Ning, 43, berkata, Haw dipindahkan ke wad biasa kelmarin selepas seminggu bertarung nyawa dan koma di ICU akibat kejadian itu.
“Keadaan dia masih lemah dan memerlukan alat bantuan pernafasan. Buat masa ini dia belum boleh bercakap,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Soon berkata, Haw boleh menggerakkan anggota badan, namun kecederaan dialami membuatkan dia hanya terlantar dan tidak mampu bercakap.

“Abang dia yang bekerja di Kuala Lumpur menjenguknya di sini dan sedih dengan kejadian itu. Saya turut bersimpati dengan apa yang berlaku,” katanya.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, 18 Oktober lalu, mangsa yang enam tahun bekerja di kopitiam itu ditumbuk bertubi-tubi dan kepalanya dihentak ke pasu pokok hiasan dipercayai hanya kerana terlewat menghantar air suam dipesan tertuduh.

Malah, tertuduh menghenyak tubuh mangsa ke tangga, menariknya ke seberang jalan lalu bertindak seperti ahli gusti dengan mengepit kepala mangsa di celah kangkangnya sebelum menghempas mangsa ke atas jalan di tempat letak kereta berdekatan.
Mangsa yang cedera parah kemudian dikejarkan ke HTAA untuk rawatan lanjut.

Salak mayat dalam but

Oleh SALMAN HAMAT
salman@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Misteri salakan luar biasa seekor anjing membawa kepada penemuan mayat seorang wanita di dalam but sebuah kereta di tepi Jalan Taratai 33, Taman Johor Jaya, di sini, petang kelmarin.
Ia susulan gelagat pelik anjing terbabit yang tiba-tiba meluru ke arah sebuah kereta Perodua Kancil sebelum menyalak kuat ketika pemiliknya membawa haiwan itu berjalan, jam 5.45 petang.

Pelik dengan kelakuan anjingnya selain terhidu bau busuk dari kereta berkenaan menyebabkan dia menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian.
Pihak berkuasa memanggil sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya untuk membantu mengeluarkan mayat mangsa berikutan but kereta itu berkunci.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan mayat wanita itu dan pihaknya menjalankan siasatan lanjut.

Menurutnya, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dan pemeriksaan awal menemui mayat wanita di dalam but.Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai berusia 30-an dan ketika ditemui, dia masih berpakaian lengkap.

“Pemeriksaan lanjut dijalankan tetapi kami tidak menemui butiran lanjut mengenai mangsa, namun kita percaya dia warga tempatan.
“Pemeriksaan polis menemui kesan tikaman di perut wanita itu,” katanya.

Roslan berkata, siasatan dijalankan mengikut pelbagai sudut untuk mengetahui punca dan motif sebenar kejadian mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Selain mengesan identiti, kita menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit untuk mencari petunjuk.

“Berikutan itu, orang ramai yang ada maklumat diminta tampil membantu polis,” katanya.

Peras foto bogel

Oleh KALIDEVI MOGAN KUMARAPPA
kalidevi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Luluh hati seorang ibu apabila bukan saja gagal menyelamatkan anak gadisnya daripada menjadi mangsa nafsu serakah teman lelaki zuriatnya, malah terpaksa menampung perbelanjaan anak dan lelaki itu sejak sembilan bulan lalu.
Difahamkan, anak mangsa berumur 19 tahun bukan saja dipaksa melayan nafsu lelaki itu, malah mengikutnya ke Pulau Pinang dengan bermodalkan gambar bogel remaja itu sebagai taruhan.

Mangsa yang berasal dari Perak dan mahu dikenali sebagai Shiela, 45, berkata, anaknya berkenalan dengan lelaki itu ketika melanjutkan pelajaran di utara tanah air selepas terjerat dengan ayat-ayat cinta bapa ayam terbabit.
“Anak saya terlanjur buat kali pertama sembilan bulan lalu dan kesempatan itu digunakan lelaki terbabit untuk merakam gambar bogelnya sebelum dijadikan modal bagi memaksa anak saya meneruskan hubungan terlarang itu.

“Anak saya pernah cuba bunuh diri beberapa kali akibat tekanan perasaan, namun berjaya diselamatkan dan apabila dia melarikan diri ke Perak, lelaki itu menjejakinya semula sebelum memaksa dia mengikutinya pulang ke Pulau Pinang,” katanya kepada Metro Ahad.

Menurutnya, sepanjang tempoh berkenaan, dia turut dipaksa menghantar wang perbelanjaan bagi mengelak anaknya dibelasah lelaki itu.
Katanya, akibat tidak mampu menahan penderaan fizikal dan seksual lelaki itu, dia dan anaknya berjaya melarikan diri ke ibu kota pada awal bulan ini, malangnya dapat dijejaki semula lelaki itu.

“Pada 25 Oktober lalu, lelaki itu memaksa anak saya mengikutnya semula dan apabila saya menghalang, saya turut dipukul.
“Bagi mencari penyelesaian untuk masalah ini, saya membuat laporan di Balai Polis Brickfields kelmarin dengan harapan lelaki itu ditahan dan anak saya dibebaskan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Seorang maut kereta rempuh pokok



JASIN: Kegembiraan tiga beradik, termasuk sepasang kembar, pulang ke kampung bertemu keluarga sempena cuti hujung minggu berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut dan seorang lagi parah selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan, kelmarin.
Difahamkan, dalam kejadian jam 4.15 petang di Kilometer 179.1 Lebuhraya Utara-Selatan, ketiga-tiga beradik itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Segamat, Johor.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Kelisa dipandu mangsa, M Vijaiyadarshini, 28, yang bekerja di syarikat penyiaran swasta, hilang kawalan sebelum merempuh pokok di kiri jalan.
“Rempuhan itu mengakibatkan mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua yang lain, termasuk pasangan kembarnya, cedera,” katanya.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin dan dibedah siasat malam semalam (kelmarin) sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Bertaubatlah ustaz!

Oleh HADZLAN HASSAN, SHAMRAN SARAHAN, YUSMIZAL DOLAH ALING, MUHAMMAD SAUFI HASSAN dan NURASYIKIN RAMLI
metahad@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Bertaubatlah... kembalilah ke pangkal jalan.” Itulah rayuan seorang bekas isteri kepada Mohd Razis Ismail, 30, yang didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Khamis lalu, atas tuduhan memalsukan dokumen dan bernikah tanpa kebenaran mahkamah.
Wanita itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Sha, 36, berkata, sudah sampai masa Razis menginsafi perbuatannya menganiaya isteri dan bekas isterinya yang lain selama ini.

“Setidak-tidaknya fikirkan masa depan anak, jangan malukan mereka.
“Saya berharap dia ambil pengajaran dengan apa yang berlaku. Ramai yang marah dan tertipu dengan perbuatannya, jadi berubahlah,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini.

Sha pernah menjadi isteri Razis pada 2010, namun perkahwinan mereka dibatalkan mahkamah awal tahun ini kerana dinikahkan oleh jurunikah tidak bertauliah.

Berikutan pembubaran hubungan itu, anak pertama mereka dianggap anak luar nikah dan kini dibinkan ‘Abdullah’, malah nasib sama juga bakal menimpa bayi yang kini dalam kandungan Sha.
Buat masa ini, Sha hanya mahu memikirkan masa depan anaknya.

“Yang sudah tu sudahlah... saya tidak mahu memusuhi sesiapa. Lebih baik saya fikirkan soal anak, mereka lebih penting sekarang,” katanya.
Metro Ahad minggu lalu melaporkan, seorang lelaki menggunakan gelaran ‘ustaz’ disyaki memperdayakan sekurang-kurangnya 11 wanita untuk dijadikan isteri, selain memalsukan dokumen borang pernikahan dengan mengaku masih teruna.

Taktik licik lelaki itu terbongkar selepas beberapa wanita yang pernah menjadi isterinya mendedahkan dalam sebuah laman sosial

Terpaksa jumpa pakar kaunseling



ALOR SETAR: “Mental dan psikologi saya tertekan dengan apa yang berlaku sehingga terpaksa bertemu pakar kaunseling untuk menenangkan fikiran dan jiwa.
“Saya menasihatkan wanita lain supaya berhati-hati dengan lelaki sama ada berperwatakan alim atau sebaliknya,” kata Naimah Ismail (nama samaran), 24, yang mendakwa seorang daripada isteri Mohd Razis Ismail, 30.

Naimah berkata, dia bernikah dengan Razis pada Ogos lalu, di Kedah sebelum mendaftar cerai di negeri itu namun beberapa hari selepas itu Razis pula mendaftar perceraian di ibu negara. Tembelang lelaki itu bocor ketika mereka sibuk menguruskan persiapan kenduri di kampung apabila kakaknya secara tidak sengaja terjumpa gambar ‘ustaz’ itu dengan wanita lain dalam satu laman sosial.
Menurutnya, Razis berang selepas gambar itu ditunjukkan kepadanya, selain berdolak-dalik konon dia menjadi mangsa fitnah bagi memburukkan nama dan imejnya.

Katanya, lelaki itu kemudian terus membawanya pulang ke Kuala Lumpur konon merajuk sebelum menghantarnya pulang jam 5.30 pagi di rumahnya di Rawang sebelum menghilangkan diri.

“Ketika itu, saya masih dalam keadaan terpinga-pinga dan keliru. Apa salah saya hingga dia tergamak berbuat demikian sebelum saya akhirnya tersedar dia sebenarnya tidak jujur mengahwini saya, sebaliknya hanya mahu memperdayakan saya demi kepentingan dirinya.
“Beberapa hari kemudian, dia menyuruh saya pergi ke Kepong berjumpa dengannya pada waktu ditetapkan walaupun tahu saya tidak pernah ke sana.

“Selain itu, dia pernah mengajak saya bertemunya di Putrajaya, namun saya enggan kerana bimbangkan keselamatan.
“Dia pernah mengirim SMS mahu meminjam wang RM7,000 kerana mendakwa menghadapi masalah di mahkamah di Shah Alam, namun saya tidak menghiraukan permintaan itu.

“Mujur saya tidak termakan kata-katanya kerana jika tidak, tentu banyak wang dikebas,” katanya ketika ditemui di sini.

Naimah berkata, sejak kejadian itu, dia mengalami tekanan perasaan hingga mengganggu tugasnya sebagai kakitangan kerajaan.

‘Saya kenal suami saya’

Oleh NORIAH IDRIS
nori@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Isteri pengasas Restoran Sekinchan Ikan Bakar, Datuk Jamal Md Yunus, 42, Datin Nurhanizatul Shida Mat Hassan yakin suaminya tiada hubungan istimewa dengan pelakon Tasha Shilla.
“Sebenarnya, saya sudah penat menjawab tuduhan banyak pihak dan blog tertentu yang mengaitkan pelakon itu dengan suami saya. Saya lebih kenal suami saya!” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, semalam.

Sebelum ini, gosip mengaitkan pelakon filem Ratu The Movie dan pernah membintangi beberapa drama itu ada hubungan istimewa dengan ‘Datuk J’, bahkan sering dilihat berkereta mewah yang dikatakan pemberian ahli perniagaan berkenaan.
Nurhanizatul Shida yang mesra disapa Ekin, 28, turut terkena tempias apabila ramai menuding jari bahawa Datuk J adalah suaminya. Bagaimanapun, dia bertegas mengatakan, usahawan yang dikaitkan dengan pelakon berusia 24 tahun itu sebenarnya orang lain.

Dia bagaimanapun tidak menafikan pada awal gosip itu melanda, pernah tanya suami untuk mendapatkan kepastian walaupun tahu sepanjang selama lima tahun perkahwinan mereka, tidak pernah timbul masalah.

“Suami meminta saya bersabar dan tidak mudah percaya gosip mengaitkan dia dengan mana-mana wanita atau artis. Tidak dinafikan, hati isteri mana tidak cuak mendengar cerita itu pada mulanya.
“Untuk itu, saya selalu mencuri baca khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan di telefon bimbit suami untuk mencari bukti.

“Bagaimanapun, suami menyatakan kesibukan berniaga menyebabkan dia tidak ada masa untuk melayan cerita remeh-temeh dan meminta saya tidak cepat melenting dengan gosip itu,” katanya.
Ekin tidak menafikan dia dan suami rapat dengan Tasha dan keluarga pelakon itu, malah mereka pernah berkunjung ke restoran miliknya di Ampang Point.

Katanya, suaminya turut memiliki perniagaan kereta import iaitu IBM Automobiles serta memiliki rangkaian di United Kingdom (UK) dan mempunyai hubungan baik dengan beberapa artis terkenal tanah air.

Tambah pemilik Ekin Bridal yang beroperasi di Centrum Setiawangsa, Taman Setiawangsa, itu, rumah tangga mereka makin bahagia dengan kehadiran cahaya mata, Mohd Addyka yang baru berusia lima bulan.

Suami ditanam paras kepala



RAMTHA (JORDAN): Ditembak, disembelih, dibom, dipukul hingga mati dan dibunuh beramai-ramai. Begitulah seriusnya gambaran keadaan pergolakan di Syria.
Perang saudara yang meletus di antara puak pembebasan dan tentera rejim Bashar al-Assad sejak Mac lalu menyebabkan ratusan ribu terbunuh, manakala lebih sejuta warga Syria menjadi pelarian di Jordan. Jumlah itu meningkat saban hari.

Pengamatan wartawan Harian Metro selama lapan hari di bumi Jordan mendapati, setiap pelarian mempunyai kisah dan pengalaman ngeri masing-masing.
Malah, plot ceritanya hampir sama iaitu berkisarkan kekejaman dan penderitaan yang terpaksa ditanggung, namun antara yang menarik perhatian wartawan ialah kisah Asma, 43, berasal dari Dar’a, ketika lawatan Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang ditemani Duta Besar Malaysia ke Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz untuk mengedarkan barang keperluan berupa makanan dan selimut serta tilam kepada 1,500 pelarian.

Asma yang mempunyai suami dan enam anak berusia antara 10 hingga 45 tahun kini tinggal sebatang kara selepas seluruh keluarganya dibunuh kejam tentera kerajaan, jam 11 pagi pada 6 Ramadan lalu.

Ketika diminta wartawan untuk berkongsi kisah derita itu, air mata Asma bercucuran laju mengenangkan nasib anak dan suaminya.
Asma mengambil masa lebih 10 minit untuk menenangkan emosi sebelum berkata, suami dan anaknya dibunuh tentera kerajaan selepas menemui sebuah buku ‘Ikhwanul Muslimin’ di depan rumahnya.

“Saya percaya buku itu dibuang seorang daripada puak pemisah yang melarikan diri daripada buruan tentera kerajaan,” katanya.
Ketika ditanya wartawan yang dibantu dua pelajar Malaysia di Jordan iaitu Zainal Abdullah dan Muhd Alimin Mohd Abiah bagaimana seluruh keluarganya dibunuh, Asma sekali lagi menangis teresak-esak sebelum berkata dengan kuat, “Jannah! Jannah! Jannah!” (Syurga! Syurga! Syurga!) “Saya yakin janji Allah bahawa orang teraniaya seperti keluarga saya akan masuk syurga. Anak dan suami kini menunggu saya di syurga,” katanya yang enggan mengulas bagaimana suaminya dibunuh kerana terlalu emosi.

Sikap Asma membuatkan wartawan percaya dia menyimpan kisah menarik untuk dikongsi dengan rakyat Malaysia, membuatkan wartawan terus cuba meyakinkannya supaya bercerita.

Selepas mengambil masa 30 minit untuk menenangkan perasaan, Asma akhirnya membuka mulut.

Katannya, ketika kejadian dia berjalan ke sebuah kedai berhampiran rumah untuk membeli barangan dapur.

“Saya melihat sebuah kereta membawa enam hingga lapan anggota tentera berlegar-legar bagai memburu seseorang.

“Yakin suami dan anak saya tidak menyertai mana-mana kumpulan pembebasan, saya terus pergi ke kedai,” katanya sebelum mendengar bunyi puluhan das tembakan.

Curiga dengan keadaan itu, Asma berlari pulang ke rumah sebelum melihat suaminya dalam keadaan tertanam di tanah sehingga paras kepala dalam keadaan berlumuran darah.

“Malah, enam anak lelaki saya terbujur kaku di keliling bapa mereka. Ketika itu, saya juga ingin mati bersama mereka,” katanya.

Tambahnya, hanya Allah tahu keadaannya ketika itu dan dia dibawa menaiki sebuah kereta untuk berlindung di Jordan oleh jirannya selepas pengebumian enam anak dan suaminya.

Sebelum mengakhiri temubual itu, Asma meminta wartawan Harian Metro, Zainal dan Muhd Alimin supaya mendoakan kesejahteraan seluruh rakyat Syria.

Doa dibacakan Zainal membuatkan Asma terus menangis. Wartawan kemudian meninggalkan khemah diduduki Asma sebelum bergerak pulang ke pusat penginapan dengan perasaan bercampur-baur.

Seksa mahu cerai

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD
hidayatulakmal@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Dia dilayan umpama permaisuri ketika masih muda dan bergetah, tetapi sebaik usia menginjak senja, segala-galanya berubah apabila suami melayannya seperti hamba.
Suami Fatimah (bukan nama sebenar), 57, bukan saja tergamak berlaku curang dengan sepupunya, malah dia juga sering dipukul hingga cedera selain nafkah terhadap keluarga diabaikan.

Berikutan itu, kehidupan Fatimah dan empat anaknya yang masih bersekolah kini bergantung kepada ihsan adik-beradiknya selepas si suami tidak memberi nafkah sejak awal tahun ini.
Lebih merumitkan keadaan, hasrat wanita itu untuk berpisah secara baik tidak kesampaian apabila suami enggan melepaskannya hingga menyebabkan Fatimah mengambil keputusan menuntut fasakh.

Menurut Fatimah, semuanya bermula empat tahun lalu apabila suaminya yang juga ahli perniagaan mula buat perangai apabila sering keluar daerah dengan alasan urusan perniagaan.

“Selama 27 tahun hidup bersama, saya banyak berkorban untuk suami. Saya rela melepaskan jawatan dan gaji lumayan di sebuah syarikat swasta atas kemahuan suami.
“Namun, segala kepercayaan dan kasih musnah apabila terbaca SMS di telefon bimbitnya yang dihantar kepada seorang wanita menyatakan rasa rimas apabila pulang ke rumah setiap kali berdepan saya,” katanya.

Katanya, paling menyedihkan apabila suaminya sanggup berkasih dengan sepupu, selain sering dipukul hingga pernah menyebabkan kecederaan serius.
“Saya tahu hukum agama yang membolehkan lelaki berkahwin hingga empat, namun dengan syarat berkemampuan dan berlaku adil.

“Ini sudahlah tidak mampu, tetapi berlagak macam orang kaya. Perniagaan dia pasang surut dan tidak menentu. Kini saya hidup atas ihsan adik-beradik memandangkan saya tidak bekerja.

“Sejak awal tahun ini, suami tidak pernah memberi nafkah kepada anak, malah rumah yang kami duduki juga empat kali hendak dilelong bank,” katanya.

Kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku, Fatimah menuntut fasakh kerana suami enggan menceraikannya.

“Hingga kini sudah empat tahun saya melalui proses ini di mahkamah syariah yang tidak tahu bila akan tamat.

“Terus terang, proses ini memberi tekanan fizikal, mental dan emosi sering terganggu memikirkan masalah ini, apatah lagi saya tidak bekerja dan menyara empat anak yang masih bersekolah,” katanya.