Tak sangka banjir awal tahun
TERPERANGKAP. Beginilah keadaan kawasan bebas cukai di Rantau Panjang, Kelantan yang dilanda banjir semalam.
KUALA TERENGGANU - Banjir yang berlaku kali ini tidak dijangka kerana
kebiasaannya ia melanda pada hujung tahun dan bukan awal tahun seperti
sekarang.
Akibatnya, ramai mangsa tidak sempat menyelamatkan harta benda.
Salah seorang mangsa, Norihan Alias, 28, berkata, dia baru sahaja
meletakkan semula barang-barang yang diangkut semasa banjir tahun lalu
dan kini banjir datang lagi.
"Sekarang pun sudah hampir Mac dan ikut kebiasaan tidak akan berlaku
banjir tetapi rupanya-rupanya kami silap," katanya yang tinggal di
Kampung Buluh Hulu, Permaisuri, Setiu semalam.
Jelasnya, air naik secara mendadak dalam tempoh kira-kira sejam awal
pagi kelmarin menyebabkan ibu tunggal itu hanya sempat menyelamatkan
beberapa barang berharga bersama tiga anaknya yang berusia lapan hingga
empat tahun.
Sementara itu, Portal Banjir Majlis Keselamatan Negara memaklumkan,
sehingga pukul 3.30 petang semalam, mangsa banjir di Terengganu
meningkat 3,703 orang dan ditempatkan di 52 pusat pemindahan di empat
daerah.
Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Hashim Mohd. Zain
ketika dihubungi pula memberitahu, jumlah sekolah yang terpaksa ditutup
meningkat kepada 27 buah berbanding sembilan buah sekolah kelmarin.
Pencuri kabel TM dicekup polis
Oleh FIRDAUS HASSAN
firdaus.hassan@kosmo.com.my
ROSLAN (kanan) menunjukkan kabel elektrik yang dirampas daripada lima lelaki pada sidang akhbar di Kuching semalam.
KUCHING - Kegiatan licik sekumpulan lima lelaki mencuri kabel milik
Telekom Malaysia (TM) dan Perbadanan Bekalan Elektrik Sarawak (Sesco)
terbongkar apabila kesemuanya diberkas Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad
berkata, suspek-suspek berusia antara 27 hingga 37 tahun tersebut
diberkas ketika menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi pada pukul 5.30
pagi di Taman Duranda di sini.
Katanya, siasatan awal mendapati selain curi kabel di kawasan Siburan
di sini sejak sebulan lalu, suspek dipercayai turut terlibat dalam
kegiatan pecah rumah.
"Sepasukan polis dari Siburan, Beratok dan Tapah yang ditugaskan
untuk mengekang kegiatan itu telah terserempak dengan kereta suspek yang
baru keluar dari sebuah kawasan pembinaan di Kampung Sinjok.
"Pemeriksaan menemui peralatan untuk memotong kabel dan pecah rumah
seperti dua buah walkie-talkie, sepasang sarung tangan getah, sepana,
pemotong dawai, pemotong besi, rantai besi, gergaji besi, pisau pemotong
daging, tukul besi dan beberapa barangan curi," katanya pada sidang
akhbar di sini semalam.
Badan, kaki Dirang bercerai
Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my
MUIDIN diiring keluar selepas perbicaraan kes bunuh Dirang yang masuk hari ketiga tamat di Mahkamah Tinggi Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU – Perbicaraan hari ketiga kes pembunuhan Dirang di
Mahkamah Tinggi di sini semalam diselubungi perasaan pilu apabila
seorang saksi menunjukkan tayangan slaid memaparkan imej rangka
kanak-kanak itu ketika ditemui di dalam lubang sedalam 0.36 sentimeter.
Lubang itu ditutup dengan papan lapis.
Saksi ke-15 perbicaraan terhadap Muidin Maidin, 25, yang dituduh
membunuh Dirang atau nama sebenarnya Nurul Nadirah Abdullah, 5, Dr.
Mohd. Aznool Haidy Ahsorori, (gambar kecil) 41, dalam keterangannya
memberitahu, dia menemui tengkorak bersaiz kecil, serpihan kulit kepala,
sedikit rambut dengan wajah si mati dalam keadaan mendongak ketika
pergi ke tempat kejadian pada pukul 12.15 tengah hari 8 Mac 2012.
Pakar Perubatan Forensik, Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah
di sini itu juga memberitahu, kaki si mati bercerai dengan badan dan
terdapat ruang pembukaan dada dan abdomen yang terkoyak akibat kepanasan
haba yang dahsyat.
“Kedudukan mangsa menyerupai seorang petinju yang mana bahagian
atasnya terdapat kesan tayar terbakar, rupa parasnya juga musnah akibat
kebakaran itu. Semasa pemeriksaan itu juga, satu subang di bahagian
telinga kiri turut dijadikan bahan eksibit,” jelasnya.
Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan supaya paparan slaid yang
menunjukkan imej rangka Dirang tidak dipaparkan untuk tontonan umum
selepas mendapati ibu Dirang, Roselyn Alan, 26, dan ahli keluarga lain
yang hadir mula menangis teresak-esak hingga menimbulkan suasana hiba.
Menyambung keterangannya, Mohd. Aznool memberitahu, terdapat kesan
lebam pada rahang kiri dan kanan mangsa dan ia disebabkan oleh faktor
kecederaan dan tekanan.
Pelajar kaku depan kabel TNB
Oleh NORHAYATI YAHAYA
norhayati.yahaya@kosmo.com.my
INILAH kotak kabel pembekal elektrik
yang meragut nyawa seorang pelajar di depan Sekolah Menengah Kebangsaan
Tengku Idris Shah Kapar, Klang kelmarin.
KLANG - Seorang pelajar tingkatan tiga maut akibat terkena renjatan
elektrik sebuah kotak kabel pembekal elektrik Tenaga Nasional Bhd. (TNB)
di depan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Idris Shah Kapar di sini
semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1 petang, mangsa Mohd. Amirul Syafiq Halim,
15, disahkan meninggal dunia ketika dibawa oleh anggota polis untuk
mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kapar di sini. Mayat mangsa
kemudian dihantar ke Rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR)
untuk bedah siasat.
Difahamkan, mangsa terkena renjatan elektrik ketika melintasi kotak
kabel pembekal elektrik terbuka yang ditempatkan di satu lokasi lapang
di depan sekolah itu.
Sebaik terkena renjatan elektrik, mangsa dikatakan berdiri kaku sebelum anggota polis membantu menghantar mangsa ke klinik.
Kejadian itu berlaku sebaik mangsa habis sekolah dan dalam perjalanan
ke tempat menunggu bas untuk pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Kapar
yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
Bapa mangsa, Halim Mohd. Ismail, 38, berkata, dia menerima berita
sedih mengenai anak sulung daripada empat beradik itu pada pukul 1.20
petang sebelum bergegas ke klinik tersebut.
Mahkamah tolak rayuan Tengku Fakhry
 |
|
TENGKU FAKHRY
|
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi
yang menolak permohonan Tengku Muhammad Fakhry Petra untuk kebenaran
semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mengembalikan kedudukan
beliau dalam senarai pewaris takhta Kelantan.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Wahab Patail sebulat suara
memutuskan Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kekhilafan dan tidak
ada sebab Mahkamah Rayuan campur tangan dalam kes itu.
Abdul Wahab memerintahkan pemohon membayar kos RM25,000 kepada responden termasuk Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
Panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Rohana Yusof dan Datuk Tengku
Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam
Datuk S. Ambiga yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry dan peguam Tan Sri
Cecil Abraham bagi pihak Sultan Kelantan.
Kerajaan negeri Kelantan diwakili penasihat undang-undang negeri itu,
Datuk Azlan Abdul Halim manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan
mewakili Jabatan Peguam Negara.
Guru tuisyen dakwa dibelasah bomoh wanita
Oleh LILY YEAN
lily.yean@kosmo.com.my
CHIAN AI (kanan) menunjukkan kesan
kecederaan yang dialaminya akibat dipukul seorang bomoh wanita sambil
diperhatikan Wilson (tengah) dan rakan Chian Ai, Chan Woon Choy di
Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR – Gara-gara menemani rakan menghadiri upacara keagamaan,
seorang guru tuisyen mengalami kecederaan di seluruh badan selepas
dipukul seorang bomoh wanita berusia 30-an tahun di sebuah kedai kopi di
Kampung Desa Aman, Kepong di sini pada 18 Februari lalu.
Lee Chian Ai, 38, mendakwa, dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, dia
dipukul bomoh itu dengan papan di dalam bilik sembahyang kedai
berkenaan.
“Saya dipukul bertalu-talu selama 15 minit sehingga menyebabkan
lengan, paha, punggung dan belakang badan saya lebam serta bengkak.
“Lebih menakutkan, bomoh yang dipercayai telah dirasuk memukul saya
sehingga papan tersebut patah sebelum melepaskan saya keluar daripada
bilik berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti
Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) di sini semalam.
Dakwanya, kejadian berpunca daripada tuduhan bomoh berkenaan terhadap
dia dan rakannya, Ah Fong yang dikatakan punca seorang pengikut bomoh
itu demam selepas menjalankan upacara sembahyang di bilik berkenaan
sehari sebelum kejadian itu.
PRU-13 dijangka cipta rekod
Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my
WAN AHMAD (duduk di tengah) bersama
Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin (duduk di kiri), Pengurus Jabatan
Pengarang Kumpulan Utusan, Syed Agil Syed Jaafar (duduk di kanan) serta
para pengarang dan wartawan Kosmo! bergambar pada majlis Taklimat
Pilihan Raya Umum ke-13 di Kompleks Sri Utusan, Bangi semalam.
|
BANGI – Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang bakal diadakan tidak
lama lagi dijangka menyaksikan peningkatan jumlah peratusan rakyat
keluar mengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan lebih
80 peratus daripada 13.29 juta pengundi berdaftar akan berbuat demikian
pada pilihan raya itu.
Angka tersebut jika berjaya dicapai bakal mencatat peratusan jumlah
keluar mengundi paling tinggi dalam sejarah pilihan raya negara. Jumlah
tersebut adalah berdasarkan bilangan pengundi berdaftar yang
diwartakan pada 22 Februari lalu.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata,
terdapat empat faktor utama mengapa lebih ramai rakyat akan keluar
mengundi pada PRU-13 berbanding peratusan yang keluar mengundi pada
PRU-12 iaitu cuma pada kadar 72 peratus.
“Faktor pertama ialah daftar pemilih sekarang merupakan yang dikemas
kini secara berterusan iaitu pengundi yang telah meninggal dunia
selepas rekod kematian disahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
dikeluarkan daripada daftar pemilih.
“Ketika PRU-12, tidak dinafikan wujud pengundi yang telah meninggal
dunia tetapi nama mereka yang ada dalam daftar pemilih tidak dapat
dikeluarkan kerana SPR tidak menerima pengesahan kematian daripada JPN,”
katanya kepada Kosmo!.
Penduduk rindukan kampung
Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa.lakawa@kosmo.com.my
MOHD. SUHAILI (dua dari kanan) dan
penduduk mengaminkan doa selepas penyampaian bantuan makanan di Kampung
Tanjung Batu, Lahad Datu semalam.
LAHAD DATU – Penduduk di Kampung Tandou dekat sini yang diceroboh
sekumpulan orang asing bersenjata api sejak 16 hari lalu meminta pihak
terbabit agar segera meninggalkan kampung mereka.
Seorang penduduk, Akasah Abusammah, 34, berkata, mereka sudah
rindukan rumah masing-masing yang terpaksa dikosongkan sejak insiden
pencerobohan oleh kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Askar
Diraja Sulu itu.
“Kami rindukan kehidupan normal seperti sebelum ini bersama keluarga di kampung halaman.
“Saya meletakkan harapan tinggi kepada pihak berkuasa agar dapat
mencari jalan penyelesaian kepada insiden tersebut,” katanya ketika
ditemui selepas menerima bantuan makanan di Kampung Tanjung Batu di sini
semalam.
Kira-kira 250 penduduk dari Kampung Bilis, Kampung Lok Buani, Kampung
Tanjung Batu, Kampung Tanjung Labian dan Kampung Tanjung Tanagian
menerima bantuan beras, ayam, biskut dan tepung.
Bantuan kepada penduduk di lima kampung yang terletak berhampiran
lokasi kejadian itu diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Tungku,
Datuk Mohd. Suhaili Said.
Akasah yang bekerja sebagai petani memberitahu, dia terpaksa
berpindah ke rumah saudaranya di Kampung Tanjung Labian di sini ekoran
bimbang keselamatannya dan keluarga terancam.
Katanya, dia juga berharap pencerobohan itu dapat ditamatkan tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Sementara itu, Mohd. Suhaili memberitahu, walaupun dilanda
kebimbangan, rata-rata penduduk di lima kampung itu melahirkan rasa
syukur dengan jaminan keselamatan yang diberikan pihak berkuasa.
“Kita hanya meminta semua penduduk agar bersabar dan banyakkan berdoa
supaya kejadian yang berlaku di kampung mereka dapat diselesaikan
dengan aman,” ujarnya.
Dalam kejadian 12 Februari lalu, lebih 100 orang asing bersenjata api
yang disahkan daripada keturunan Sultan Sulu telah menceroboh Kampung
Tandou yang terletak di dalam kawasan Felda Sahabat, kira-kira 130
kilometer dari bandar Lahad Datu.
Kumpulan itu telah diarahkan meninggalkan kampung tersebut oleh pihak
berkuasa Malaysia, namun sehingga semalam mereka masih belum berbuat
demikian.
Lori terbabas rempuh pagar balai polis
Kuala Lumpur: Sebuah lori yang sarat membawa muatan tar seberat 15
tan dikatakan mengalami masalah brek sebelum terbabas dan merempuh
tembok pagar Balai Polis Sungai Besi, di sini, pagi semalam.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi
Superintendan Abdullah Roning berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10
pagi itu, lori berkenaan dalam perjalanan dari Hulu Langat ke Kampung
Malaysia Tambahan, di sini.
“Lori terbabit sedang menuruni
jalan berbukit dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MMR2) sebelum terbabas dan
merempuh tembok balai polis itu.
“Akibat rempuhan itu, lori berkenaan terbalik di tengah jalan
dengan separuh badannya masuk ke dalam balai,” katanya ketika ditemui,
semalam.
Berikutan insiden itu, pemandu lori terbabit patah
kaki kiri manakala sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berhenti di
persimpangan lampu isyarat berdekatan balai polis ditimbus limpahan tar
yang tumpah dari lori itu.
“Bagaimanapun, pemandu dan
penumpangnya yang dalam perjalanan melakukan kerja-kerja di Kem Sungai
Besi, di sini, tidak mengalami kecederaan,” katanya.
KEADAAN lori bawa muatan tar yang terbalik sebelum rempuh pagar Balai Polis Sungai Besi, semalam.
Katanya, selain kenderaan pacuan empat roda berkenaan, sebuah lagi
kereta Proton Satria milik seorang anggota polis yang bertugas di balai
polis berkenaan turut rosak terkena tayar lori yang tercabut selain
muatan tar yang tertumpah.
PECAH TEMBELANG: KETUA CAWANGAN UMNO @ KETUA MUNDU?
Wednesday, 27 February 2013 13:37 | Sabahkini.net
SELURUH Malaysia digegarkan dengan berita pencerobohan se
kumpulan
'Lanun' (Mundu) yang kononnya tentera 'Sultan Sulu' sehingga Kampung
Tanduo menjadi 'Medan Perang'; gara-gara 'kebijaksanaan' Ketua Cawangan
UMNO Sungai Nyamuk, Ahmad Malandi @ Mat Bom melakukan percubaan 'Reverse
Take Over' sebagaimana yang saya jangkakan akan berlaku sejak 1999 lagi
iaitu selepas saya memberi keterangan dalam Petisyen Pilihanraya DUN
Likas.
Ketika Pasukan Perisik Sabahkini.net memaklumkan kepada
saya bahawa Tentera Sultan Sulu menyerang dan menawan Kampung Tanduo
sejak 12 Februari lalu, saya tergelak besar kerana saya tahu siapa yang
tinggal di sana dan kenapa mereka mendarat di sana.
Sebagai Mantan
Setiausaha Eksekutif UMNO Silam, saya kenal hampir kesemua 402 Ketua
Cawangan UMNO Silam ketika itu (1995-1997) yang majoritinya 'Warga
Penyu' termasuk Ketua Cawangan UMNO Sungai Nyamuk, Ahmad Malandi yang
mempunyai akal Abu Nuwas.
Ahmad yang mempunyai akal kancil
memang 'Pakar Bom' terutama membuat bom ikan dengan hanya menggunakan
baja urea yang menjadi sumber pendapatan beliau sebelum FELDA
'menceroboh' tanah beliau dan saudara maranya seluas lebih kurang 100
hektar.
Ahmad menjadikan 'Penjara Air Panas' Tawau sebagai
rumah kedua kerana usahanya tidak pernah putus-putus mengugut Pegawai
dan kakitangan FELDA yang beliau dakwa menceroboh tanah pusakanya.
Sebenarnya Kerajaan Berjaya telah membatalkan semua permohonan tanah di
Sahabat Pinggir dan Zon Keselamatan ketika menyerahkan kawasan yang
menjadi Zon Persembunyian Lanun kepada FELDA untuk dibangunkan sebagai
Rancangan Penempatan Tanah.
Namun Ahmad yang mempunyai akal
panjang telah membuat permohonan Tanah Adat dan disahkan PPHT Lahad Datu
berdasarkan banyak pokok langsat dan buah-buahan yang kononnya beliau
tanam; sedangkan kesemua tumbuhan tersebut adalah langsat liar yang
bercambah semula jadi hasil daripada najis binatang yang memakan
langsat, rambutan, terap dan sebagainya.
Tambahan pula ketika
itu, Ahmad dan saudara maranya telah bersetuju menyerahkan tanah
tersebut kepada FELDA dan turut mendapat kontrak membangunkan tanah dan
menuai buah sawit daripada FELDA.
FELDA telah banyak bertolak
ansur dengan karenah Ahmad; malah sehinggalah saya dan Mantan Adun Lahad
Datu, Datuk Mohd Yusof Ahmad Jamli membuat perundingan untuk
menyelesaikan masalah tuntutan tanah Ahmad dengan FELDA.
Ahmad
boleh hidup senang kerana memperolehi pendapatan bersih antara RM5,000
sehingga RM20,000 sebulan daripada hasil kontraknya dengan FELDA, namun
akal Abu Nuwas membuatkan beliau dijangkiti sikap 'Tamak dan Haloba'
sehingga menuntut dan menceroboh semua tanah yang dipohonnya bersama
Haji Mahmood Mallang dan saudara maranya sebelum ini.
Dengan
ehsan Datuk Seri Najib sebagai menteri yang menjaga FELDA ketika itu,
Ahmad telah mendapat dua lot tanah masing-masing seluas 15 ekar sebagai
jalan penyelesaian tuntutannya.
Tetapi bak kata pepatah, Ahmad
yang telah diberi betis oleh FELDA, bukan sahaja mahu 'peha'; bahkan
yang berada di 'celah peha' meneruskan gertakan dan pencerobohan
sehingga saya dan polis sudah lali dengan perbuatannya yang melampaui
batas.
Ahmad suka mereka cipta cerita baru setiap hari;
termasuk membawa ke sana ke mari kisahnya yang saya bukukan dalam buku
'Koleksi Sabah' serta keratan surat khabar yang ditulis rakan saya,
Ruhaidini Abdul Kadir daripada Utusan Malaysia untuk dijadikan asas
tuntutan.
Ahmad bukan sahaja sering menimbulkan provokasi
dengan membawa 'bom ikan'; sebenarnya tidak boleh dikategorikan sebagai
bom kerana tidak mempunyai alat peledak disebabkan tidak mempunyai
detanator; melainkan pasir, beras, tepung dan garam; semata-mata untuk
mengugut Polis Bantuan FELDA agar membuka pagar hadangan bagi
membolehkan beliau mengeluarkan buah yang dituainya daripada ladang
FELDA.
Sejak meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Eksekutif
UMNO Silam pada 1997, saya hanya menemui Ahmad dua kali iaitu tiga tahun
lalu di Kota Kinabalu, namun tidak sempat bercerita panjang kerana
masing-masing sibuk dengan urusan.
Bagaimanapun Ahmad meminta
saya membantu menulis surat kepada Sultan Sulu kerana beliau begitu
yakin bahawa perjuangan beliau tidak lama lagi akan berhasil dengan
bantuan saudara maranya di Sulu dan akan datang membantu beliau
mendapatkan bukan sahaja 100 hektar 'Tanah Adat'; malah keseluruhan
tanah FELDA.
Saya hanya tersenyum mendengar ceritanya (impian
kosongnya) tetapi menyatakan tidak dapat membantu beliau menulis surat
kerana saya akan terbang ke Pulau Pinang; apatah lagi saya kenal siapa
dan apa kebolehan Ahmad; namun darah saya tersirap apabila beliau begitu
serius ingin menjemput saudara maranya daripada Sulu jika beliau kalah
dalam kes mahkamah.
Sejak daripada itu saya tidak lagi
mengambil peduli kisahnya sehinggalah Pasukan Perisik Sabahkini.net
memaklumkan kepada saya berhubung 'lawatan mengejut' saudara maranya
daripada Sulu dan telah dikepung pihak berkuasa ketika Ahmad nazak
terlantar di Hospital Lahad Datu akibat darah tinggi dan angin ahmar.
Saya hanya mampu berjenaka dengan Pasukan Perisik Sabahkini.net bahawa
"Mereka datang mengambil BR1M," kerana majoriti mereka ini telah
dianugerahkan IC Projek dan tidak terniat untuk membuat liputan di
Kampung Tanduo kerana hati kecil saya berbisik 'Gertak Keling' Ahmad
yang sebelum ini telah kecewa setelah semua jalan perundangan buntu.
Dalam keadaan Kesultanan Sulu yang sudah mengalami kehancuran sejak
1936 dan telah menjadi sebahagian daripada sejarah; maka 'Golongan
Sultan Oportunis' mengambil kesempatan untuk melawat Ahmad yang sakit
tenat di Hospital Lahad Datu; di samping menganyam rapi niat tersembunyi
mereka untuk merampas kembali Borneo Utara daripada Kerajaan Malaysia.
Secara kebetulan Ahmad mempunyai hubungan rapat dengan 'Sultan Sulu'
yang menabalkan diri sendiri tanpa melalui 'Ruma Bichara' (Majlis
Raja-Raja) dan mungkin telah membuat kajian dan perancangan rapi bersama
anaknya Mohd Ali.
Mengikut risikan saya, koresponden
Sabahkini.net di Langunyan, memaklumkan bahawa mengikut sumber, Sultan
Jamalul Kiram III telah melancarkan serangan 'Diplomatik Reverse Take
Over' dengan menghantar 1,500 tenteranya ke Sabah; masing-masing 300
orang tentera Tungku, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan.
Namun tidak diketahui apakah kesemua tentera berkenaan telah mendarat
melainkan dilaporkan antara 100 hingga 300 yang mendarat di Kg Tanduo,
Tungku kerana masih mengkaji modus operandi dan jejak mereka masuk ke
Sabah; tanpa dapat dikesan oleh pihak berkuasa; apatah lagi perbatasan
Malaysia yang sentiasa bolos dan mudah dibolosi PATI.
Pasukan
Perisik Sabahkini.net masih cuba mengesan kedudukan Ahmad dan anaknya
Mohd Ali yang dipercayai menjadi dalang 'pencerobohan' ini kerana
mengikut maklumat Hospital Lahad Datu, Ahmad sudah nazak dan dibenarkan
dibawa pulang ke Kg Sungai Nyamuk, kerana dinantikan saudara maranya
'Tentera Sulu' yang terkepung oleh Pihak Berkuasa Malaysia.
Anak perempuannya juga tidak dapat dihubungi untuk mengetahui keadaan
bapanya yang semakin tenat. Bagaimanapun Perisik Sabahkini.net di Tanduo
mengesahkan bahawa kunjungan 'Tentera Sultan Sulu' ini atas jemputan
Ahmad dan anaknya Mohd Ali.
Tambahan pula, Haji Musa yang
merupakan pemimpin Nombor 2 dalam rombongan tentera berkenaan adalah
besan Ahmad kerana anaknya, Mohd Ali bernikah dengan anak Haji Musa.
Manakala pemimpin Nombor 1 kumpulan tersebut, Datu Ibrahim @ Datu Kuin
Jamalul Kiram pula bernikah dengan anak Ketua Cawangan UMNO Sungai Bilis
2, Hussin Oyung.
Agak mengejutkan kerana saya mendapat tahu
anak Datu Ibrahim @ Amirul Kiram di Malaysia iaitu Datu Amir Datu
Amirul, ialah Ahli UMNO Cawangan Sungai Bilis 2.
Oleh itu tidak
hairan jika kehadiran mereka tidak dapat dikesan Pihak Berkuasa yang
belum pernah menggunakan 'kecanggihan satelit' di Jabatan remote Sensing
negara untuk mengesan sebarang pergerakan keluar masuk bot besar atau
perahu; apatah lagi 'Pusu' yang tidak mengeluarkan sebarang bunyi kerana
eksosnya dibenamkan ke dalam laut.
Dalam keadaan penuh curiga,
orang awam sukar bekerjasama dengan pihak berkuasa yang disifatkan
sering menyalahguna kuasa dan bertindak kasar dan menuduh pemberi
maklumat sebagai penjenayah yang bersubahat.
Saya terpaksa
menahan ketawa membawa segala komen dan ulasan daripada semua pihak;
apatah lagi 'kependekan akal' pihak berkuasa yang menghantar satu
batalion tentera berkubu di Kampung Tanduo, Kampung Sungai Nyamuk,
Kampung Sungai Merah untuk mengawal dan memantau 'Tentera Sultan Sulu';
sedangkan pada hakikatnya hanyalah 'Tentera Upahan' Ahmad Malandi @ Mat
Bom.
Mengikut risikan Sabahkini.net hanya 76 orang sahaja
'Tentera' yang berjaya mendarat di Tanduo termasuk enam wanita untuk
mempertahankan tanah adat yang didakwa milik Ahmad di FELDA Sahabat 18
setelah Ahmad menjanjikan mereka akan mendapat tanah yang telah ditanam
kelapa sawit seluas beribu ekar di Felda Sahabat 18.
Dikhuatiri
Ahmad dan Mohd Ali yang membiayai pembelian senjata api berkenaan di
pasaran gelap di Tawi-Tawi dan segala makan minum mereka setelah kecewa
dengan keputusan mahkamah yang memenangkan FELDA dalam kes tuntutan
tanah beliau.
Kelicikan Ahmad berjaya mengaburi mata pihak
berkuasa yang menyangka memang benar Tentera Sulu setelah Datu Ibrahim @
Datu Kuin berjaya mempengaruhi saudaranya, Sultan Jamalul Kiram III
mengakui kumpulan tersebut sebagai 'Tentera Sultan Sulu' yang mendapat
suaka sementara kerana Kerajaan Filipina sudah pasti akan menangkap
mereka dan dibawa ke muka pengadilan.
Setelah tidak mempunyai
harapan mendapat tanah yang dijanjikan Ahmad kerana dalam keadaan
fizikalnya yang nazak; maka berlaku pertengkaran dan berselisihan
pendapat sehingga Haji Musa dan Majid terbunuh dalam kejadian tembak
menembak sesama mereka.
Sabahkini.net mendapat tahu bahawa Datu
Ibrahim @ Kuin Jamalul Kiram turut tercedera terkena peluru sesat;
malah mereka berbalah dan tidak sehaluan lagi setelah perunding dengan
pihak berkuasa melalui jalan buntu.
Setelah membuat
pertimbangan dan siasatan rapi, saya menganggap 'Drama' Ahmad Malandi
hanya merupakan gertakan dan dalam keadaan fizikalnya sekarang, Mohd Ali
tidak mampu melakukan apa-apa; malah terpaksa menggadai nyawa jika
rundingan tamat. Lazimnya, jika mereka boleh masuk dengan senyap, maka
sudah pastinya mereka akan keluar dengan lebih senyap daripada mereka
masuk; sekalipun ketika pigak berkuasa sedang berkawal!
Mungkin
tiba masanya Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis
Negara, Ketua APMM, Panglima Angkatan Tentera dan pihak berkuasa untuk
bermuhasabah diri dan meletakkan jawatan kerana kejadian ini merupakan
'kemaluan' yang tidak dapat disorok daripada mata dunia yang melihat
betapa rapuhnya sistem pertahanan Sabah; sehinggakan Ahmad Malandi @ Mat
Bom boleh merancang 'Pintomen' serangan yang menyebabkan seluruh negara
terpinga-pinga dan ketakutan.
Masa untuk berunding telah
tamat. Bagaimanapun 76 tentera palsu Sultan Sulu yang terpedaya oleh
'Janji Terang Bulan' Ahmad Malandi ini wajar diberi peluang menyerah
diri secara sukarela dan perlu diadili di mahkamah Malaysia kerana masuk
secara haram dengan niat untuk menderhaka kepada yang DiPertuan Agong!
Sabahkini.net akan membongkar institusi Kesultanan Sulu dan apa relevannya lagi dengan Sabah dapat episod akan datang.
(NOTA : Sabahkini.net telah menarik keluar Pasukan Perisikan di Tungku
kerana hanya membuang masa dan keringat melaporkan 'Drama' yang mahu
menyebarkan dakyah Sultan Palsu dari Sulu)
PM minta pengamal media sosial patuhi etika
NAJIB (empat dari kanan) dan Rais (dua dari kiri) bergambar bersama para pengamal media sosial di Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR - Pengamal media sosial perlu bersikap lebih matang dan
bertanggungjawab apabila menggunakan kemudahan baharu itu, kata Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sambil menyatakan sikap optimistik beliau terhadap media sosial dan
kesannya kepada masyarakat, Najib berkata, adalah sesuatu yang
menyedihkan jika media sosial tidak terikat langsung dengan sebarang
etika.
Kata beliau, etika dan tanggungjawab yang datang bersama media sosial
adalah sama pentingnya bagi masyarakat dalam memanfaatkan
kepentingannya.
"Adalah sesuatu yang menyedihkan sekiranya tidak wujud sebarang etika
dalam konteks media sosial ini," katanya pada Minggu Media Sosial
Malaysia anjuran Dewan Media Sosial Malaysia (MSMC) di sini semalam.
Acara itu turut dihadiri Menteri Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim dan
pengasas serta Presiden MSMC,
Shahul Hameed Shaik Dawood.
Kerajaan Selangor disaman lagi
Oleh NORHAYATI YAHAYA
norhayati.yahaya@kosmo.com.my
SEBAHAGIAN daripada warga emas
Selangor mengadakan perhimpunan aman selepas memfailkan saman terhadap
kerajaan negeri menuntut caruman takaful sebanyak RM2.5 juta di
Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.
SHAH ALAM - Seramai 1,001 warga emas di Selangor semalam memfailkan
saman terhadap kerajaan Selangor dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim bagi menuntut caruman takaful bernilai RM2.5 juta yang
dijanjikan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) lalu.
Plaintif yang diketuai Akhirudin Abd. Rashid dan warga emas dari Shah
Alam, Ampang, Gombak, Hulu Langat, Kuala Selangor dan Tanjong Karang
memfailkan tuntutan di kaunter Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui
Tetuan Kamarudin & Partners pada pukul 9.40 pagi.
Kerajaan negeri yang dibentuk oleh PKR, Pas dan DAP dinamakan sebagai defendan pertama manakala Abdul Khalid defendan kedua.
Turut hadir, peguam, Kamarudin Ahmad dan Pengerusi Persatuan Bertindak Warga Emas Selangor, Datuk Ismail Kijo.
Dalam pernyataan tuntutan setebal lapan muka surat itu, plaintif
mendakwa gagal menerima caruman takaful sebanyak RM2,500 seorang seperti
dijanjikan jika memenangi PRU-12.
Plaintif mendakwa, berdasarkan manifesto PRU-12, setiap warga emas
berusia 60 tahun ke atas di Selangor layak menerima caruman takaful.
"Defendan kedua pula telah menyalahgunakan kuasanya apabila tidak
mengambil sebarang tindakan untuk memastikan defendan pertama membuat
caruman takaful kepada plaintif.
"Defendan pertama bersikap cuai dan tidak bersungguh-sungguh dalam
melaksanakan janji kepada plaintif seperti yang terkandung dalam
manifesto defendan pertama," katanya.

Aziz Bari : Pembaziran Melampau BN Yang Akan Mufliskan Negara
Dakwaan pemimpin Umno-BN bahawa negara bakal muflis dalam tempoh dua tahun sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memegang tampuk pemerintahan dan menunaikan tiga janji mereka adalah tidak tepat.
Sebaliknya Umno-BN ‘terlupa’ bahawa perkara yang menyumbang kepada
negara muflis adalah pengurusan tidak telus, pembaziran melampau dan
subsidi yang terlalu besar kepada kroni mereka.
Pakar
Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata pentadbiran Umno-BN sepatutnya
mengambil iktibar daripada cara pemerintahan Pakatan terutamanya di
Selangor.
Di negeri itu pengurusan yang lebih telus, berhemat serta berjimat telah mengembalikan hasil negeri kepada rakyat.
“Sebagai contoh di Kedah, kerajaan PR menurunkan cukai tanah dan dapat
meningkatkan hasil balak daripada pentadbiran yang telus.
“Begitu juga di Selangor, agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)
seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tawas dan sebagainnya yang
dilaksanakan untuk rakyat tidak menjadikan negeri itu muflis.
Bahkan kalau kita tengok, simpanan tunai di Selangor juga meningkat
walaupun pelbagai program kebajikan dilaksanakan. Justeru, tidak timbul
soal bangkrup,” ujarnya apabila ditemui di sini.
Tegasnya, tiga
janji yang ditawarkan Pakatan, penghapusan kutipan tol, gaji minima
RM1,500 sebulan dan pemansuhan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional (PTPTN), tidak akan merugikan negara.
Tambahnya,
kenyataan yang dibuat Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli baru-baru ini
berhubung mekanisma untuk memansuhkan PTPTN juga meyakinkan rakyat
bahawa ekonomi negara akan bertambah baik di masa hadapan.
“Sekiranya kerajaan berupaya membersihkan amalan rasuah dan kronisme
yang diamalkan dalam pentadbiran negara, maka ekonomi dapat berkembang
dengan baik, sekaligus menjadi jaminan untuk mengelakkan negara muflis,”
jelasnya.
Mengulas lanjut, Aziz berkata, keadaan ekonomi
negara yang merudum juga menunjukkan bahawa kerajaan sekarang kurang
berdaya saing dengan negara luar sehingga mengakibatkan kos pentadbiran
semakin tinggi.
“Saya tidak nampak bagaimana mereka (Umno-BN)
boleh mengubah sikap mereka seperti yang dijanjikan kerana kita lihat
sendiri program transformasi yang diwar-warkan juga gagal.
“Dari segi itu sudah cukup untuk menunjukkan bahawa mereka bukanlah pemerintah yang baik.
“Jadi, rakyat sudah cukup jelas bahawa kerajaan sekarang perlu
digantikan supaya Pakatan dapat tunjukkan satu formula dan pendekatan
lebih baik, murah, kompetetif untuk mengurus tadbir negara,” katanya.
-selangorku
Thailand akan berunding dengan gerila pemisah
GAMBAR fail menunjukkan sebuah
restoran Bigben musnah dalam letupan bom yang berlaku di Pattani,
selatan Thailand pada 17 Februari lalu.
|
BANGKOK - Kerajaan Thailand akan memulakan rundingan damai dengan
kumpulan gerila pemisah Islam di selatan negara ini, kata seorang
pegawai keselamatan kanan semalam.
"Ia merupakan langkah pertama. Permulaan rundingan damai dengan wakil
daripada kumpulan gerila pemisah Islam," kata Setiausaha Agung Majlis
Keselamatan Kebangsaan (NSC), Paradorn Pattanathabutr menerusi panggilan
telefon dari Kuala Lumpur.
Satu perjanjian mengenai perbincangan awal akan ditandatangani pada
hari ini di Kuala Lumpur menjelang satu mesyuarat antara Perdana Menteri
Thailand, Yingluck Shinawatra dan rakan sejawatannya dari Malaysia,
Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kumpulan pemisah itu tidak pernah menyatakan dengan jelas tuntutan mereka sejak pemberontakan meletus pada tahun 2004.
Bagaimanapun, mereka dilaporkan mahu lebih banyak autonomi atau
sebuah negeri yang berasingan di wilayah selatan yang pernah menjadi
sebahagian daripada milik Kesultanan Melayu sehingga negara Thailand
diperluaskan pada tahun 1909.
Berdasarkan perangkaan terbaharu daripada pertubuhan Deep South Watch
yang memantau konflik di selatan Thai, lebih 5,300 orang terkorban
sejak keganasan tersebut meletus.
- Reuters
Tangan aktres Bollywood dicium 137 kali
TANGAN Veena Malik dicium oleh seorang peserta sebuah program realiti televisyen di Mumbai kelmarin.
NEW DELHI - Tangan aktres dari Pakistan, Veena Malik dicium sebanyak
137 kali dalam tempoh 60 saat oleh sejumlah lelaki, lapor portal berita
Indian Express semalam.
Veena juga dilaporkan memecahkan rekod
Guinness World Records bagi kategori menerima ciuman paling banyak di dunia.
Dia mengatasi rekod aktor terkenal Bollywood, Salman Khan yang pernah
menerima ciuman sebanyak 108 kali oleh kanak-kanak dalam tempoh sama.
"Saya berjaya menewaskan rekod 108 ciuman yang diterima Salman dengan memperoleh 137 ciuman dalam tempoh seminit," katanya.
Veena atau nama sebenarnya, Zahida Malik dicium oleh para peserta
sebuah rancangan realiti televisyen sempena sambutan kelahirannya yang
ke-29 kelmarin.
Dia sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila gambarnya dalam keadaan bogel disiarkan majalah
FHM versi India. - Agensi
Lelaki mati diserang ikan jerung
GAMBAR fail menunjukkan seekor ikan jerung putih sedang mebaham mayat.
WELLINGTON, New Zealand - Seorang lelaki terbunuh dalam satu serangan
ikan jerung yang jarang berlaku di Pantai Muriwai, 40 kilometer dari
barat bandar raya ini semalam.
Beberapa pegawai berkata, anggota polis melepaskan tembakan dari
sebuah bot sebagai cara untuk 'memaksa' haiwan itu melepaskan mayat si
mangsa yang digigitnya.
Saksi-saksi menyatakan, lelaki berusia 47 tahun itu berenang kira-kira 100 meter dari kawasan pantai semasa dia diserang.
Ia merupakan serangan ikan jerung pertama ke atas manusia di negara ini dalam tempoh lebih 35 tahun.
Darah dapat dilihat di permukaan laut manakala sejumlah perenang
termasuk sekumpulan pelajar bergegas menyelamatkan diri ke pantai
selepas mereka mendengar jeritan tentang kehadiran ikan jerung.
Seorang anggota penyelamat sukarelawan, Tim Jago berkata, ikan jerung itu amat besar kerana ia berukuran empat meter.
Menurutnya, haiwan itu dipercayai ikan jerung putih seperti yang digambarkan dalam filem
Jaws arahan Steven Spielberg pada tahun 1975.
Dia berkata, mulut ikan tersebut masih menggigit mayat mangsa apabila polis tiba.
Jago memberitahu, anggota polis yang berada di dalam bot penyelamat
terpaksa melepaskan tembakan ke arah haiwan tersebut supaya ia
melepaskan mayat si mangsa.
Detik-detik belon udara panas meletup
KOMBINASI gambar menunjukkan
detik-detik sebuah belon udara panas meletup sebelum jatuh ke sebuah
ladang tebu dekat Kampung Al-Dhabaa, Luxor kelmarin.
KAHERAH - Imej rakaman amatur yang disiarkan stesen televisyen
Al-Jazeera
menunjukkan detik-detik sebuah belon udara panas meletup yang
menyebabkan 19 orang terbunuh termasuk pelancong asing di Luxor, 510
kilometer dari sini kelmarin.
Kejadian itu berlaku kurang dua minit semasa ia membawa 20 pelancong dari Perancis, Britain, Belgium, Jepun dan Hong Kong.
Belon itu meletup 300 meter dari lokasi pendaratan.
Hanya dua orang terselamat dalam kejadian tersebut iaitu seorang
pelancong Britain dan pengendali belon berkenaan dari Mesir. Kedua-dua
mereka yang melecur teruk dirawat di sebuah hospital.
Menurut siasatan awal, belon tersebut meletup semasa ia dalam proses untuk mendarat pada pukul 7 pagi waktu tempatan.
Bagaimanapun, terdapat kabel yang tersangkut di sekitar tiub helium
menyebabkan berlaku kebakaran, menurut seorang penyiasat dengan pejabat
pendakwa raya.
Seorang pengawai keselamatan berkata, kebakaran itu meletupkan tangki
gas dan belon tersebut jatuh dari ketinggian 300 meter di sebuah ladang
tebu dekat Kampung Al-Dhabaa di Luxor.
"Saya menyaksikan beberapa pelancong terbakar dan mereka melompat keluar dari belon," kata seorang petani, Hassan Abdel-Rasoul.
Menurutnya, salah seorang mangsa itu ialah wanita hamil. - Agensi
Watak Robin dimatikan dalam komik Batman
 |
|
GAMBAR fail menunjukkan dua lelaki memakai kostum adiwira Batman (kiri) dan Robin di San Diego, Amerika Syarikat.
|
NEW YORK - Watak pembantu Batman, Robin ditamatkan sebagai sebahagian
daripada jalan cerita dalam siri komik terbaharu adiwira itu, lapor
agensi berita AFP semalam.
Menurut DC Comics, karakter Robin yang dibawa Damian menyaksikan dia
mati dibunuh musuh yang kejam dalam edisi kelapan komik itu.
Damian merupakan anak lelaki karakter Batman, Bruce Wayne.
Bagaimanapun, berita terbaik buat peminat Robin ialah watak yang mati
boleh kembali dihidupkan dalam cerita-cerita komik. - Agensi