Guru silat paksa pelajar nikah
Oleh Rashidi Karim
2010/07/31
2010/07/31
BUKTI...Mohd Fuzi, menunjukkan laporan polis berhubung kehilangan Firdaus.
Menurut Mohd Fuzi, anaknya, Mohd Firdaus Mohd Fuzi, 27, pelajar Jurusan Usuluddin dari Universiti Al-Azhar, pulang ke tanah air untuk cuti semester sebelum gagal dikesan sejak 15 hari lalu selepas berkunjung ke rumah guru silat berkenaan di Padang Besar, dekat sini.
“Kami gagal menghubungi Firdaus dan tidak tahu di mana dia berada. Namun, kami percaya dia disembunyikan guru silat berkenaan,” katanya yang tinggal di Taman Melati, Setapak, Kuala Lumpur.
Mohd Fuzi berkata, dia dan isteri (Jamiah Hamid) bergegas ke Perlis dan berjumpa guru silat berkenaan untuk mencari Firdaus namun kecewa apabila lelaki berusia 50-an itu enggan menyatakan di mana anak mereka berada.
“Sebaliknya, dalam pertemuan itu dia mengajak kami membincangkan urusan perkahwinan Firdaus dengan anak gadisnya yang ditetapkan pada 1 Ogos
“Saya terkejut besar apabila dimaklumkan anak saya akan dikahwinkan dengan anak gadisnya kerana sebelum ini Firdaus tak pernah menyebut mengenai perkahwinan walaupun mempunyai kenalan wanita ketika menuntut di Mesir,” katanya ketika ditemui bersama sepupunya, Ahmad Mustapa di sini, semalam.
Kata Mohd Fuzi, sudah banyak kali dia menghubungi Firdaus menerusi telefon bimbitnya, tetapi tidak dijawab dan hingga kini tidak mengetahui kedudukan sebenarnya.
“Firdaus anak sulung daripada lima beradik dan dia amat rapat dengan keluarga, terutama ibunya dan sering meluahkan perasaan kepada ibunya apabila menghadapi masalah. Saya dan keluarga kini bimbang dengan keselamatan Mohd Firdaus.
“Setakat ini, saya tak pernah lihat wanita yang bakal menjadi menantu saya serta status sebenarnya, sama ada janda atau dara. Fikiran saya bercelaru memikirkan nasib Firdaus, malah isteri saya sering menangis kerana tak bertemu anak sulungnya sejak 15 hari lalu,” katanya.
Mohd Fuzi membuat dua laporan berhubung kehilangan anak lelakinya itu di Balai Polis Arau pada 27 Julai dan semalam.
Laporan pertama dibuatnya berhubung kehilangan anaknya ketika hadir di rumah Ahmad iaitu bapa saudara Firdaus di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Kangar, di sini.
Laporan kedua pula berhubung ugutan dan paksaan untuk berkahwin diterimanya apabila bertemu guru silat berkenaan di Mata Ayer dekat sini pada 15 Julai lalu.
Menurutnya, Firdaus pernah menuntut di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs) di Beseri, dekat sini, sebelum melanjutkan pelajaran ke Mesir dan mengenali guru silat berkenaan.
Katanya, Firdaus perlu menghabiskan pengajian peringkat ijazah selama setahun lagi di Mesir, bermula November ini dan dia bercadang melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di universiti tempatan.
“Guru silat itu mengugut menyatakan ada pemuda sudah gila apabila menolak berkahwin dengan anak gadisnya dan berulang kali menyatakan jangan salahkan dia jika berlaku kejadian buruk terhadap Firdaus,” kata Mohd Fuzi
'Mereka dah berkenan'
Oleh Rashidi Karim
2010/08/02
2010/08/02
“Malah, saya juga melakukan pernikahan sama menyatukan anak keenam saya, Zakira, 17, dengan pasangannya, Bunyamin Abbas, 19, pada tarikh sama bersama hantaran mas kahwin sama iaitu RM50,” kata guru silat, Zubir Mat Isa, 47, semalam.
Katanya, pernikahan dua anak gadisnya itu disaksikan Imam I Masjid Ngulang di masjid berkenaan di Mata Ayer, dekat sini, kira-kira jam 6.30 petang, kelmarin.
Bagaimanapun, berlaku kontroversi baru apabila bapa Bunyamin juga membuat laporan di Balai Polis Padang Besar jam 12.30 tengahari semalam selepas tidak memaklumkan mengenai perkahwinan rahsia itu.
Zubir menafikan melarikan Mohd Firdaus, pelajar jurusan Usulludin dari Universiti Al-Azhar, Mesir, atau memaksanya berkahwin dengan anak gadisnya itu kerana mereka sudah lama ‘berkenan’.
“Jika perkahwinan ini terbatal, saya ada calon menantu untuk Zuraida iaitu seorang mualaf berbangsa Cina tetapi saya bersyukur berlangsung seperti dirancang,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pertubuhan Darul Islah, Mata Ayer, dekat sini, semalam.
Katanya, dia terpaksa mempercepatkan pernikahan Mohd Firdaus yang sedang belajar di Mesir kerana bimbang perkahwinan yang dirancang tidak menjadi kenyataan selepas kes itu disiarkan secara meluas di akhbar.
Selain itu, katanya, dia tidak mengenakan perbelanjaan besar cukup sekadar mas kahwin RM50 kerana didakwa itu sunnah Nabi Muhammad dan dituntut Islam.
Kelmarin, muka depan akhbar ini melaporkan Mohd Fuzi dari Taman Melati, Setapak, Kuala Lumpur, mendakwa anak sulungnya dibawa lari untuk dipaksa berkahwin dengan anak gadis seorang guru silat di sini.
Mohd Firdaus yang bercuti di Perlis dilaporkan hilang sejak 16 Julai lalu, selepas bertemu seorang guru silat di pejabat Pertubuhan Darul Islah, di sini.
Difahamkan, dua laporan polis di Balai Polis Arau dibuat selepas usaha menemui dan menghubungi Mohd Firdaus gagal pada 27 dan 30 Julai lalu
Zubir berkata, hasrat berkahwin terdetik dari hati Firdaus sendiri, tanpa dipaksa mana-mana pihak seperti didakwa keluarga pelajar itu.
“Saya tidak pernah memaksa Firdaus menikahi Zuraida, kerana dia sendiri menyuarakan hasrat itu.
“Malah, dakwaan saya melarikan Firdaus dari keluarganya tidak benar sama sekali,” katanya.
Ditanya kedudukan Mohd Firdaus sekarang, katanya: “Mohd Firdaus dan isterinya berbulan madu di Langkawi dan menetap di sebuah chalet di sini,” katanya
MATA AYER - “Bunyamin masih terlalu muda dan baru menamatkan pengajian, apatah lagi belum mempunyai pekerjaan. Selama ini pun, hidupnya disara keluarga. Bagaimana dia mahu menyara hidup isteri, jika diri sendiri tidak terbela,” kata seorang kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Abas Mat, 56, berhubung pernikahan anaknya itu.
Abas Mat berkata, anak lelakinya berkahwin dengan anak gadis kepada seorang guru silat di Mata Ayer, di sini, petang Sabtu lalu.
Laporan itu dibuat Abas di Balai Polis Padang Besar kira-kira jam 1 petang, kelmarin selepas mendapat tahu anak lelakinya, Bunyamin Abas, 19, bernikah dengan anak gadis guru silat berkenaan yang baru berusia 17 tahun, sehari selepas itu.
Abas mendakwa, dia percaya anaknya itu berdepan dengan nasib serta masalah sama seperti yang dihadapi pelajar Universiti Al-Azhar, Mohd Firdaus Mohd Fuzi, 27.
Menurutnya, dia sendiri tidak tahu menahu mengenai perkahwinan berkenaan kerana tiada sebarang rundingan dibuat antara keluarganya dengan pihak pengantin perempuan.
“Pihak Pertubuhan Darul Islah ada menghubungi saya baru-baru ini untuk minta saya hadir bagi tujuan rundingan, tetapi ia tidak berlaku kerana saya berada di luar kawasan menghadiri kursus.
“Namun, saya sudah maklumkan kepada mereka saya tidak setuju Bunyamin dinikahkan dengan alasan masih terlalu awal bagi anak saya untuk berumah tangga,” katanya.
Bunyamin pernah memaklumkan hasrat untuk berkahwin kepada ibunya, Hamidah Hassan, 50. Namun, ia turut tidak dipersetujui.
“Sejak itu, Bunyamin tidak lagi berhubung dengan keluarga sehinggalah kami dapat tahu dia sudah bernikah Sabtu lalu,” katanya.
Difahamkan, berdasarkan laporan dibuat Abas menyatakan rasa tidak setuju dengan pernikahan anaknya.
Selain Abas, sebelum ini dua lagi laporan turut dibuat terhadap kejadian sama oleh Mohd Fuzi Mohd Zain, yang juga bapa kepada Mohd Firdaus, masing-masing pada 27 dan 30 Julai lalu di Balai Polis Arau.
Sementara itu, Abas turut mempersoalkan tindakan guru silat berkenaan yang dikatakan membuat keputusan bagi pihak Bunyamin dan menikahkan anaknya tanpa restu daripadanya.
“Saya minta pihak berkenaan melakukan siasatan ke atas guru silat berkenaan serta pusat di mana lelaki itu bernaung kerana khuatir lebih ramai anak muda akan mengambil tindakan sama,” katanya.
Terdahulu Sinar Harian siaran 2 Ogos lalu ada menyiarkan kenyataan guru silat itu yang menafi melarikan salah seorang pelajar yang bernikah dengan anak gadisnya.
Beliau berkata, hasrat berkahwin adalah terdetik dari hati pelajar itu sendiri, tanpa dipaksa mana-mana pihak seperti yang didakwa keluarga mereka.
Petang Sabtu lalu, Bunyamin dan Mohd Firdaus dinikahkan guru silat mereka dengan dua anak gadisnya yang berumur 24 dan 17 tahun dalam satu majlis ringkas di pejabat Pertubuhan Darul Islah, yang disaksikan Imam 1 Masjid Ngulang.
No comments:
Post a Comment