Tuesday, September 28, 2010

'Saya tak mahu adik menangis'

Oleh Muhd Izawan Baharin, Shamsul Munir Safini dan Hamizah Badiran
am@hmetro.com.my
2010/09/28
KUALA LUMPUR: “Kalau saya menangis, adik saya lagi akan menangis. Saya perlu tabah dan kental untuk bersama-sama (adik-beradik) menerajui syarikat,” kata anak sulung jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, Erni Dekritawati Yuliana Buhari ketika menjawab persoalan kenapa dia tidak pernah dilihat bersedih selepas kes pembunuhan kejam ibunya.
TENANG...Rita  kelihatan tenang ketika menjawab soalan yang dikemukakan Azlan Idris  dalam temubual program Kerusi Panas Radio di Bernama, semalam.
TENANG...Rita kelihatan tenang ketika menjawab soalan yang dikemukakan Azlan Idris dalam temubual program Kerusi Panas Radio di Bernama, semalam.
Erni Dekritawati yang lebih dikenali sebagai Rita, 25, berkata, dia perlu kuat dan bersemangat meneruskan legasi perniagaan peninggalan ibunya selain memberi kekuatan kepada lima lagi adiknya.
“Kami sekeluarga sekarang sedang menerima kenyataan, bukan tak sedih, tapi saya mesti pandang ke hadapan dan meneruskan niat ibu saya yang mungkin hanya separuh jalan, saya akan habiskan kemahuannya,” katanya dalam temubual menerusi program Kerusi Panas di Radio 24 di frekuansi 93.9 FM di Bernama di sini, semalam.

Dalam temubual lebih sejam itu, Rita turut ditanya sama ada dia mampu menerajui perniagaan ibunya di usia masih muda, berdepan dengan persaingan syarikat lain, saman terhadap bapa tiri yang juga penyanyi, Nash termasuk status keakrabannya dengan penyampai berita Bernama-TV, Zulkifli Bujang.

Rita yang tenang dan tersenyum ketika menjawab beberapa soalan termasuk daripada pemanggil dilihat lebih selesa menjawab soalan berkaitan perniagaan berbanding peribadi.

Dia turut memberitahu adik bongsunya yang berusia 13 tahun juga tabah menghadapi dugaan kehilangan ibu mereka kerana sudah diajarnya termasuk bagaimana berdepan sebarang pertanyaan daripada rakan sekolah.

“Setiap kali dia pulang dari sekolah, dia memberitahu ramai rakan bertanya dan dia sebenarnya sudah boleh menerima kenyataan kehilangan ibu kami sebagai ketentuan Tuhan,” katanya.

Mengenai saman ibunya terhadap Nash, Rita berkata, perkara itu akan diputuskan selepas dia berbincang dengan adik beradik lain.

“Hubungan saya dengan dia (Nash) baik, tetapi mungkin itu (saman) permintaan terakhir ibu kerana dia bersungguh-sungguh, tetapi perkara itu biarlah kami putuskan menerusi perbincangan sesama keluarga,” katanya.

Rita juga meminta orang ramai tidak memandang rendah keupayaannya di usia muda dalam meneruskan perniagaan ibunya kerana dia yakin mampu berdikari kerana sudah mendapat tunjuk ajar daripada ibunya.

“Saya disokong adik-beradik yang ramai termasuk staf kerana seorang saja yang masih bersekolah. Saya akan mempelbagaikan lagi bidang perniagaan menjurus kepada sektor hartanah, kenderaan, perhotelan butik dan spa,” katanya

Dia bagaimanapun keberatan menjawab status hubungannya dengan Zulkifli yang turut menemaninya di konti kerana menurutnya perkara itu tidak sesuai ditonjolkan buat masa sekarang.

Rita menyatakan rasa kecewa dengan laporan segelintir media yang disifatkan membuat spekulasi terutama membabitkan aset syarikat dan keluarga mereka.

“Saya sendiri tidak tahu aset syarikat dan mungkin meminta nasihat peguam jika ia berulang. Perkara itu tidak perlu didedahkan kerana ia mengancam keselamatan kami sekeluarga,” katanya






Peguam Negara bimbang siasatan kes Sosilawati diperbesar-besarkan



2010/09/28
PUTRAJAYA: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini melahirkan kebimbangan berhubung kemungkinan siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, akan diperbesar-besarkan.

Beliau berkata, terdapat banyak kenyataan yang dibuat pelbagai pihak dalam kes itu, dan media sepatutnya melaporkan hanya fakta tanpa sebarang penambahan kerana ia mungkin menjejaskan kes berkenaan.
"Saya fikir ikut sahaja nasihat KPN (Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar). Bertenanglah dan biarkan kami lakukan tugas kami.

"Saya rasa pada masa yang betul dan apabila siasatan selesai, mereka akan memberi satu kenyataan yang wajar serta mendedahkan segalanya. Ketika itu, tiada sebarang masalah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed. Abdul Gani ditanya sama ada beliau melihat campur tangan pelbagai pihak yang tampil membuat kenyataan berhubung kes itu, termasuk keluarga ahli perniagaan India, akan menjejaskan siasatan kes pembunuhan itu.

Ahad lalu, Ismail mengingatkan media agar tidak menulis cerita berunsur spekulasi berhubung kes itu, sebaliknya menunggu pengesahan daripada polis.

Peringatan itu dibuat berikutan laporan media bahawa dua kubur sudah ditemui di ladang tempat Sosilawati dan tiga yang lain didakwa dibunuh.

Sosilawati, 47, pemandu peribadi, Kamaruddin Shansudin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu, selepas mereka ke Banting, Selangor, untuk urusan penjualan tanah.

Pada 13 September lalu polis mengesahkan kesemua mangsa dibunuh dan mayat mereka dibakar serta abunya dibuang ke dalam sungai berhampiran Ladang Gadong, Banting. Polis menemui tulang serta barangan lain dari sungai berkenaan dan menahan lapan suspek, termasuk dua adik beradik peguam, bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan kejam itu.

Ditanya jika Jabatan Peguam Negara boleh meyakinkan orang ramai bahawa akan ada satu keputusan di akhir siasatan kes berkenaan, Abdul Gani berkata: "Setahu saya, dalam semua siasatan, sesuatu akan berlaku iaitu sama ada kami dakwa atau tidak. Itu adalah sesuatu yang pasti," katanya.

Mengulas mengenai kertas siasatan kes berkenaan yang dikembalikan kepadapolis, beliau berkata tidak ada tarikh akhir untuk penghantarannya

"Saya perlu menunggu mereka menghantarnya (kertas siasatan). Biar mereka siasat kes itu secara terperinci kerana ia membabitkan kepentingan awam.

"Terdapat banyak perkara yang perlu disiasat. Saya tidak boleh memberikan tarikh akhir kepada mereka, tetapi saya tahu mereka sedang bertungkus-lumus.

"Dan mereka akan memberikannya kepada saya secepat mungkin. Malah, saya bertemu dengan mereka hampir setiap hari," katanya.

Mengenai kawasan yang perlu disiasat semula, beliau berkata: "Banyak, tetapi saya tidak boleh memberitahu anda mengenai kelemahannya," katanya.


Peguam tidak tahu bila 8 suspek didakwa

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Peguam Ravi Nekoo yang mewakili dua adik beradik peguam yang ditahan berhubung pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain berkata, beliau tidak tahu bila pelanggannya dan enam lagi suspek akan didakwa.
"Perintah tahanan reman pelanggan saya akan berakhir hari Sabtu, jadi saya rasa mereka mungkin didakwa Jumaat ini atau polis mungkin memutuskan untuk memohon tempoh tahanan dilanjutkan kepada majistret," katanya di sini hari ini.
Ravi akan menulis kepada pemangku ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Omar Mammah, bagi membolehkan beliau dan seorang lagi peguam mempunyai akses kepada suspek kerana kedua-dua pelangggannya yang berumur 41 dan 38 tahun kini ditahan kontinjen polis negeri itu.
"Setakat ini, hanya sekali polis memberikan akses kepada kami dan isteri suspek bertemu mereka. Bagaimanapun, kami mahu bertemu dengan mereka tanpa kehadiran pegawai polis," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan undang-undang, peruntukan Seksyen 28A(5) Kanun Prosedur Jenayah membenarkan peguam mempunyai akses kepada pelanggannya dalam penglihatan pegawai polis, tapi bukan pendengaran.
"Dalam kata lain, mereka (polis) boleh menyaksikan perbualan kami namun mereka tidak boleh mengikutinya. Kami perlukan privasi sepenuhnya dalam perkara ini, yang telah dinafikan sejak kunjungan pertama lagi," katanya.
Beliau berkata, polis telah mengguna pakai Seksyen 28A(8) Kanun Prosedur Jenayah yang menyatakan peguam mungkin mengganggu bukti, atau mereka bimbang suspek akan melarikan diri.
Sosilawati, 47, pemandu peribadi Kamaruddin Shansuddin, 44, peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru di sini Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu selepas mereka dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.
Pada 13 September lepas, polis mengesahkan keempat-empat mereka dipukul sehingga mati, mayat mangsa dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting.
"Mereka sudahpun mempunyai lebih daripada 14 hari untuk mengumpul bukti daripada suspek, maka kini berikan akses untuk kami bertemu dengan pelanggan kami," katanya yang turut meminta polis membenarkan enam lagi suspek dalam kes itu diberikan akses bertemu peguam mereka.
Ravi berkata, pada masa ini, hanya beliau dan isterinya, Pushpa Ratnam berada dalam pasukan pembelaan bagi kes itu manakala seorang lagi peguam iaitu D.P. Vijandran belum memutuskan sama ada akan menyertai mereka atau tidak. — BERNAMA


5 pekerja bawa keluar fail dari firma guaman suspek utama



Dua pekerja firma guaman milik suspek utama membawa keluar fail-fail dengan dipantau oleh anggota polis di pejabat suspek utama di Banting, semalam.



KUALA LUMPUR 28 Sept. - Empat wanita dan seorang lelaki yang dipercayai pekerja firma guaman suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, hari ini membawa keluar berpuluh-puluh fail dari pejabat berkenaan.
Kelima-lima mereka yang diiringi empat anggota polis itu dipercayai memindahkan fail-fail tersebut yang sebelum ini dikendalikan oleh suspek utama kes tersebut untuk diuruskan oleh firma guaman lain.
Pekerja firma dan anggota polis itu memasuki pejabat di tingkat atas bangunan tiga tingkat tersebut pukul 11 pagi ini, sebelum keluar dengan timbunan fail.
Fail-fail berkenaan disusun di dalam but belakang sebuah Proton Wira manakala selebihnya dibawa menggunakan sebuah kereta Perodua Kancil.
Kedua-dua buah kenderaan itu dipercayai milik pekerja-pekerja firma guaman berkenaan.
Pejabat firma guaman yang masih menjadi kawasan larangan itu kemudian dikunci semula oleh pegawai polis selepas kerja-kerja pengambilan fail tersebut selesai dilakukan.
Sementara itu, tinjauan di Ladang Gadong, Tanjung Sepat yang merupakan lokasi pembunuhan dilakukan mendapati tiada kawalan polis dilakukan di jalan masuk ke ladang berkenaan.
Berikutan itu, pihak media dapat menghampiri ladang milik suspek yang kini dikawal oleh dua anggota polis.
Terdahulu, isteri kepada hartawan India yang dilaporkan hilang dan turut menjadi mangsa peguam bergelar Datuk itu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini.
Usharani, 26, tiba di IPD itu pada pukul 10.30 pagi dengan ditemani pengawal peribadinya sebelum dilihat keluar pukul 6.45 petang.
Dia dikatakan memberi keterangan terakhir sebelum pulang ke Chennai pada pukul 9 pagi esok.
Sosilawati, 47, bersama pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.
Berikutan kehilangan usahawan wanita itu, polis pada 9 dan 10 September lalu, menahan lapan suspek bagi membantu siasatan kes tersebut.

No comments:

Post a Comment