Sunday, October 16, 2011

JANGAN KITA BUAT SESUATU TAK ELOK...KEKADANG DALAM DUNIA ALLAH DAH BALAS...CARILAH REZEKI YANG HALAL...JANGAN DERHAKA PADA ALLAH... BAIKLAH AKHLAK KITA...JANGAN DENGKI MENDENGAKI....

Gempar ‘anak pocong’ depan rumah




SEORANG penduduk kampung yang enggan dikenali menunjukkan objek kecil dililit seperti pocong di Kampung Parit Sempadan, Batu Pahat semalam.


BATU PAHAT – Penduduk Kampung Parit Sempadan, Parit Raja di sini gempar pagi semalam dengan penemuan satu objek misteri yang dikafan seperti pocong di sebatang jalan menghala ke rumah seorang penduduk di situ.
Objek sepanjang 15 sentimeter itu ditemui oleh seorang penduduk kampung yang berjalan kaki menghantar anaknya untuk belajar mengaji kira-kira pukul 8.30 pagi.
Seorang pesara kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Haji Mat memberitahu, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai penemuan objek misteri itu, dia bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, ia dibungkus dengan kain putih dan diikat seperti jenazah sebelum diletakkan di pangkal pokok yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari rumahnya.
Di sebalik penemuan itu, dia percaya ada kemungkinan perbuatan itu dilakukan oleh pihak tertentu dengan niat untuk mengugut keluarganya.
“Saya berdebar-debar apabila melihat objek berbentuk pocong itu kerana percaya ia adalah amaran kepada keluarga saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Haji Mat memberitahu, kejadian pelik itu adalah yang pertama kali ke atas keluarganya sejak menetap di kampung itu pada tahun 1973.

Gemar mandi laut petanda mati lemas



JAIDIN memerhatikan mayat Azman yang ditemui mati lemas di pantai Tanjung Bidara, Melaka semalam.



ALOR GAJAH – Sikap seorang lelaki pesakit mental yang gemar mandi laut sejak tiga hari lalu menjadi petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.
Azman Jaidin, 37, dari Kampung Tanjung Bidara ditemui mati lemas di laut berhampiran pantai Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di sini semalam.
Mayat mangsa ditemui pada pukul 12.35 tengah hari oleh anggota Bomba dan Penyelamat setelah dia dilaporkan hilang pada pukul 10.30 pagi.
Bapa mangsa, Jaidin Bidin, 70, berkata, anak bongsu daripada lima beradik yang masih bujang itu sebelum ini jarang mandi di laut tetapi gemar berbuat demikian sejak tiga hari lalu.

Maut dibelasah ketika cuba samun

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Myanmar maut akibat dibelasah selepas cuba menyamun seorang pelanggan di sebuah restoran di Jalan Pudu di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu, mangsa yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) mati di tempat kejadian.
Menurut polis, pemeriksaan mendapati leher mangsa yang berusia lingkungan 20-an itu cedera dipercayai ditikam dengan sejenis objek tajam.
Ketika kejadian, pelanggan terbabit sedang minum bersama dua rakannya sebelum didatangi mangsa yang merupakan seorang penagih dadah dan cuba melarikan dompetnya tetapi gagal.
"Mangsa kemudiannya melarikan diri tetapi dikejar oleh suspek sejauh 20 meter dan berjaya menangkapnya sebelum membelasahnya sehingga mati," jelasnya.
Polis berjaya menahan suspek terbabit yang berusia 23 tahun tetapi dua rakannya berjaya melarikan diri.

MyKad baharu mulai Januari

KLUANG - Mulai Januari tahun depan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan MyKad baharu yang dipertingkatkan ciri-ciri keselamatannya serta tahap kualitinya, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata, MyKad itu dapat menangani isu pemalsuan serta masalah berkaitan kualiti dan ketahanannya terutama berkenaan kualiti cip yang sering dibangkitkan oleh sesetengah pihak.
"MyKad dengan struktur baharu ini lebih berkualiti dan menepati ciri-ciri keselamatan, sesuai dengan peredaran waktu, keadaan dan cabaran pada masa depan," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau yang juga anggota Parlimen Semberong berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran pengeluaran MyKad Satu Hari di JPN Kluang dan pengeluaran MyKad dengan struktur baharu.
Turut hadir, Ketua Pengarah JPN, Datin Jariah Mohd. Said.
Hishammuddin berkata, MyKad baharu itu diperbuat daripada bahan 'polycarbonate' yang lebih tahan serta mengaplikasikan teknologi turisan laser pada permukaan kad.
Katanya, MyKad itu juga menggunakan cip baharu yang telah diuji ketahanannya di Sirim.
Beliau berkata, pemohon baharu akan diberikan MyKad baharu mulai tahun depan manakala pemegang MyKad lama boleh menukarnya dengan yang baharu.

Bangkok hadapi banjir terburuk sejak 50 tahun

GUNI-GUNI pasir disusun di sekeliling ibu pejabat Bangkok Bank di Bangkok semalam. - AP


BANGKOK - Pekerja-pekerja penyelamat bertungkus-lumus mengukuhkan tembok-tembok guni pasir sekitar bandar raya ini semalam ketika ibu kota Thailand berkenaan diancam banjir terburuk dalam tempoh 50 tahun selepas semua wilayah di utara ditenggelami air bah.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri Yingluck Shinawatra cuba meyakinkan 12 juta penduduk di sini bahawa mereka akan terlepas daripada bencana alam itu yang telah menenggelamkan lebih satu pertiga negara berkenaan sejak Julai lalu.
Sekurang-kurangnya 297 orang disahkan terkorban dengan kerugian akibat banjir yang menukar banyak perkampungan dan kawasan industri menjadi tasik itu kini mencecah AS$3 bilion (RM9.37 bilion).
Bahagian utara, timur laut dan tengah Thailand paling teruk terjejas manakala ibu kota Thailand yang berada cuma dua meter dari aras laut turut terancam selepas air dari beberapa empangan di utara melimpah ke dalam Sungai Chao Phraya yang mengalir menerusi kota metropolitan itu.
Yingluck bagaimanapun berkata, ibu kota Thailand itu cukup terlindung selepas pihak berkuasa meninggikan tebing di tiga kawasan di luar bandar raya ini.
Di sebalik jaminan pihak berkuasa, penduduk bertindak menyimpan barangan keperluan seperti air minuman, mi segera, beras dan makanan dalam tin dengan beberapa pasar raya utama di sini kehabisan stok makanan.
"Jika kami tidak membuat persediaan, sukar untuk membayangkan apa yang akan terjadi kepada kami jika kerajaan lambat menghulurkan bantuan," kata seorang pekerja bank di sini, Sompong Pinmaninsab.
Setakat ini, 25 daripada 77 wilayah Thailand digenangi air banjir. Sejumlah 1.62 juta tanah pertanian atau sekitar 16 kali ganda saiz pulau Hong Kong ditenggelami air.
Hampir 800,000 kediaman pula musnah atau rosak dengan ribuan penduduk terpaksa bersesak tinggal di pusat-pusat penempatan sementara.
Wilayah Ayutthaya, Pathum Thani dan Nakhon Sawan di utara bandar raya ini mengalami kesan yang paling buruk.
Banyak rumah, jalan raya dan taman perindustrian musnah dilanda air bah.
Dalam usaha melindungi ibu kota Thailand, pihak berkuasa mengukuhkan pertahanan terakhirnya iaitu tembok penghadang banjir sejauh 4 kilometer di sepanjang sebuah terusan dan pintu air di wilayah Pathum Thani di utara bandar raya ini.
Banyak pejabat, kedai dan restoran di wilayah berkenaan ditenggelami air paras dada dengan penduduknya terpaksa berulang-alik dengan menaiki bot. - Reuters

No comments:

Post a Comment