Dua korban renjatan elektrik
TANAH MERAH - Dua lelaki mati selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba menaikkan bendera menggunakan buluh dalam kejadian di Kampung Tengah, Bukit Panau, dekat sini malam kelmarin.
Rosli Hussin, 47, yang merupakan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan rakannya seorang penoreh, Mohd. Daishan Ibrahim, 37, masing-masing ditemui mati pada kira-kira pukul 12 tengah malam di tempat kejadian dengan kesan lebam di telinga dan kaki akibat terkena arus elektrik bervoltan tinggi.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superitendan Abdul Aziz Mahmud, berkata, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa memegang buluh sepanjang 12 meter yang dipercayai basah dengan niat menaikkan bendera sebuah parti politik.
Tanpa diduga, buluh yang dipasang dengan bendera itu terkena kabel yang berada pada ketinggian sembilan meter sebelum kedua-dua mangsa terkena kejutan elektrik.
Menurut Abdul Aziz, kejadian itu kemudian disedari penduduk kampung sebelum mereka mendapatkan bantuan pihak polis dan hospital berdekatan.
Herba istimewa jadi penawar
JITRA - Seorang ibu bersyukur kerana penderitaan anaknya, Mohd. Alif Haikal Juhari yang mengalami penyakit kulit ekzema psoriasis sejak masih bayi sudah berakhir dengan keadaan kanak-kanak itu kini semakin sembuh.
Menurut Noor Hasimah Mahmud, 40, anaknya itu menjalani rawatan kulit selama 18 hari pada Januari lalu menerusi bantuan seorang pengamal perubatan tradisional dari Kepala Batas, Pulau Pinang.
"Rawatan itu dilakukan menerusi kaedah sapuan air campuran pelbagai herba ke atas kulit Mohd. Alif," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gajah Putih, Padang Sera di sini semalam.
Kosmo! pada 23 Januari lalu menyiarkan kisah Mohd. Alif, 6, yang menderita penyakit kulit ekzema psoriasis sejak berusia enam bulan walaupun keluarganya telah melakukan pelbagai usaha untuk memulihkannya.
Penderitaan kanak-kanak itu turut menarik perhatian Bank Pembangunan Malaysia Berhad yang menyumbangkan RM5,000 akhir Januari lalu bagi membantu proses pemulihan kanak-kanak tersebut.
Menurut Noor Hasimah, nasib malang anaknya itu mendapat perhatian pengamal perubatan tradisional itu yang datang melawat mereka dan seterusnya merawat Mohd. Alif Haikal dengan menggunakan cecair mengandungi pelbagai jenis herba termasuk dari Asia Barat.
Katanya, ubat cecair yang digunakan itu adalah hasil kajian pengamal perubatan itu selama 10 tahun.
Hasil rawatan itu, Mohd. Alif kini lebih yakin untuk bergaul berbanding sebelum ini dia agak malu dengan keadaan kulit yang menggelupas.
"Badan anak saya tidak lagi gatal pada waktu malam, malah bulu roma juga sudah tumbuh di tempat yang sebelum ini dijangkiti sakit kulit," katanya.
Ibu kepada enam orang anak itu amat berterima kasih kepada pelbagai pihak yang prihatin dengan nasib anaknya menerusi sumbangan berupa ubatan tambahan dan wang tunai.
PLKN gantung latihan air untuk cegah virus kencing tikus
KUALA LUMPUR - Semua jenis latihan air di dalam kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh negara digantung susulan kematian seorang pelatih di Kem PLKN Terkok, Sungai Siput, Perak pada 12 Mac lepas dipercayai akibat virus kencing tikus."Arahan itu yang dikeluarkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkuat kuasa serta-merta", kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kecil dalam satu kenyataan di sini semalam.
Katanya, arahan itu turut memutuskan penangguhan penghantaran pelatih kumpulan dua siri 9/2012 ke kem PLKN Terkok sehingga memperoleh perakuan selamat daripada Kementerian Kesihatan.
"Sungguhpun Jabatan Kesihatan Perak telah membuat pemeriksaan terhadap kem itu pada 2011 dan mendapati ia boleh beroperasi, manakala Makmal Kesihatan Awam Ipoh pada Februari lepas mendapati air kolam di kem itu bebas bakteria kencing tikus, arahan menggantung latihan air itu dibuat dengan tujuan memastikan keselamatan pelatih," kata Abdul Hadi.
200 'Awang Hitam' merusuh
KAJANG - Kira-kira 200 'Awang Hitam' yang tinggal di Kondominium Venice Hill, Batu 9 di sini merusuh setelah mereka tidak berpuas hati dengan tindakan tujuh anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang didakwa memukul seorang pelajar warga Nigeria di pekarangan kondominium itu semalam.
Rusuhan pada pukul 12 tengah hari itu menyebabkan sebuah pondok pengawal di pintu masuk utama dan salah satu pejabat pengurusan di blok Tower 3 kondominium tersebut rosak dipecahkan kumpulan tersebut.
Seorang saksi berkata, warga Nigeria terbabit bertindak berkumpul di tepi jalan dengan membawa parang dan batang besi kerana tidak berpuas hati rakan mereka dipukul.
Kejadian itu dikatakan berpunca apabila suspek berusia 35 tahun yang juga seorang pelajar sebuah kolej di sini didakwa melakukan serangan seksual terhadap seorang tukang cuci wanita tempatan berusia 43 tahun.
Lelaki berkenaan didakwa bertindak memeluk, mencium serta mencabul mangsa terbabit ketika wanita melakukan kerja mencuci di tingkat 15 blok Tower 3 kondominium tersebut pada pukul 11.30 pagi.
2 beradik terselamat, kereta putus dua
ALOR GAJAH - Dua beradik terselamat walaupun kereta yang dinaiki mereka terputus dua setelah terlibat dalam kemalangan di Lebuh AMJ berhampiran Rembia di sini malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, dalam kejadian pukul 9.10 malam itu, kereta jenis Proton Iswara yang dipandu Soo Yang Shin, 18, dari arah Rembia menghala ke bandar Melaka dipercayai terbabas lalu memasuki laluan bertentangan.
"Kereta ini kemudian bertembung pula dengan sebuah kereta jenis Honda Civic dipandu seorang lelaki menyebabkan Proton Iswara itu terputus dua.
"Yang Shin dan adiknya, Soo May Xin, 16, yang duduk di bahagian hadapan bagaimanapun terselamat dengan mengalami kecederaan parah," katanya di sini semalam.
Menurutnya, kedua-dua mangsa menerima rawatan di Hospital Melaka dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Katanya, pemandu kereta jenis Honda Civic berkenaan, Salehuddin Ishak, 42, turut terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Serangan berdarah di Yala
|
YALA, Selatan Thailand – Sebelas orang maut manakala puluhan yang lain cedera dalam tiga serangan bom di bandar ini, kata pihak tentera.
Siri letupan itu menggegarkan pusat bandar ini selang beberapa minit sekitar tengah hari semalam.
“Sebelas orang disahkan terbunuh, lebih 110 lagi cedera dalam letupan bom di Yala,” kata jurucakap pasukan tentera selatan Thailand, Kolonel Pramote Promin.
“Tiga buah bom meletup dengan serangan pertama melibatka sebuat trak berisi bom disususli letupan bom kereta 20 minit kemudian manakala bom ketiga disembunyikan dalam motosikal,” tambahnya..
Beberapa rumah kedai di sekitar lokasi kejadian terbakar dengan sejumlah kereta dan motosikal turut rosak dalam letupan kuat berkenaan.
Seorang anggota polis di sini turut memberitahu, lebih 50 mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital.
“Bom-bom tersebut meletup selang 10 minit,” katanya.
Pramote berkata, sebutir bom kecil meletup di sebuah kedai makan di daerah Mae Lan, dalam wilayah Pattani tetapi beliau masih belum menerima maklumat sama ada berlaku kemalangan jiwa dalam letupan tersebut.
Sejak 2004, selatan Thai yang bersempadan dengan Malaysia digegarkan dengan insiden tembakan dan serangan bom yang meragut ribuan nyawa manusia dan berlaku hampir setiap hari. – AFP
No comments:
Post a Comment