Sunday, April 1, 2012

BILA GILA JUDI...TAUKEH KAUT UNTUNG...JUDI HARAM DALAM ISLAM

Jenazah Raja Ashman disemadi


NORAINI JANE menyiram air mawar ke atas pusara Raja Ashman Shah sambil diperhatikan Sultan Azlan Shah (duduk dua dari kanan), Tuanku Bainun (duduk kanan) dan Raja Nazrin Shah (duduk kiri) di Makam Diraja Kuala Kangsar semalam.


KUALA KANGSAR - Jenazah Datuk Seri Raja Ashman Shah, 54, (gambar kecil) anakanda Sultan Perak, Sultan Azlan Shah selamat disemadikan di Makam Diraja Kuala Kangsar di sini petang semalam.
Kerabat Diraja, orang kenamaan dan rakyat jelata mula membanjiri pekarangan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan di sini seawal pukul 4 petang.
Jenazah Raja Ashman Shah tiba di Masjid Ubudiah dengan pedati khas Seraja Diraja berwarna kuning pada pukul 6.40 petang untuk disembahyangkan.
Selepas disembahyangkan, jenazah dibawa ke Makam Diraja yang terletak bersebelahan masjid tersebut untuk istiadat pemakaman.
Talkin dan doa kemudian dibacakan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Dua beranak didakwa pecah amanah

KUALA LUMPUR – Seorang peguam dan anaknya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 12 tuduhan pecah amanah dan bersubahat melibatkan wang berjumlah RM12 juta milik Tabung Amanah Orang Asli suku Jakun Lembah Linggui, Johor 12 tahun lalu.
Tertuduh S. Kanawagi, 67, dan anaknya, Dinesh Keravagi, 34, juga seorang peguam mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahmud Abdullah.
Pada 31 Julai 2011, Kanawagi dihukum penjara enam tahun dan denda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah memalsukan keterangan dan surat kuasa wakil ketika mengendalikan satu kes pemindahan hak milik hartanah di Mahkamah Tinggi Sivil pada 15 tahun lalu.
Namun tertuduh belum menjalani hukuman itu dan berada dalam jaminan mahkamah selepas hukuman penjara tersebut dibenar untuk penangguhan sehingga rayuan selesai di Mahkamah Tinggi.

Tujuh penyamun kondo tumpas


MOHMAD (kiri) menunjukkan barang-barang yang dirampas daripada tujuh penyamun di kondominium mewah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Angkara silap memilih kondominium untuk disamun, kegiatan tujuh penjenayah termasuk dua wanita yang sebelum ini aktif melakukan jenayah berakhir apabila mereka ditahan dalam dua serbuan di ibu negara dan Klang baru-baru ini.
Dalam serbuan pertama pada pukul 9 pagi, 16 Mac lalu, polis menahan empat lelaki dan seorang wanita di sebuah rumah dekat Taman Berkelay, Klang.
Serbuan kedua pada pukul 12.30 tengah hari 21 Mac lalu pula, polis menahan dua lagi suspek termasuk seorang wanita.
Tangkapan ketujuh-tujuh suspek itu dilakukan selepas polis menerima laporan pecah rumah melibatkan sebuah unit kondominium mewah di Mont Kiara di sini pada pukul 6.30 petang 11 Mac lalu.

Lembu berkaki enam hidup normal


ANAK lembu berkaki enam, Lilli di Weissenburg, Switzerland kelmarin.


GENEVA - Seekor anak lembu betina berkaki enam menyangkal ramalan doktor haiwan bahawa ia tidak akan dapat hidup lama.
Lilli yang kini berusia tujuh minggu menjadi selebriti di Switzerland selepas media tempatan menyiarkan gambar ia bermain-main di padang
Petani, Andreas Knutti dari Weissenburg yang terletak 30 kilometer ke selatan ibu kota Switzerland, Bern memberitahu, dia tidak sampai hati untuk menghapuskan anak lembu peliharaannya kerana ia bersemangat untuk hidup.
Dia memberitahu akhbar tempatan, Blick kelmarin bahawa kecacatan tulang belakang menyebabkan Lilly tidak dapat mengeluarkan susu seperti lembu susu lain.
Namun, kata Knutti, jika anak lembu itu kekal sihat, ia akan dibenarkan menyertai lembu-lembu lain di padang ragut pergunungan Alpine pada musim panas ini. - AGENSI

Lelaki sembelih dua rakan dihukum gantung


OLIER SHEKS dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Seremban selepas dijatuhi hukuman gantung semalam.


SEREMBAN - Seorang lelaki warga Bangladesh dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah menyembelih dua rakan senegaranya sehingga mati di sebuah asrama pekerja di Taman Kemuning, Senawang dekat sini tiga tahun lalu.
Olier Sheks Awoyal Sheks, 28, hanya mampu mengalirkan air mata selepas keputusan itu dibacakan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin.
Dia yang baru tiga bulan bekerja di sebuah kilang juga dihukum penjara 10 tahun kerana menyebabkan kecederaan yang boleh mendatangkan kematian terhadap seorang lagi mangsa.
Ahmad Nasfy dalam penghakimannya berkata, selepas membuat penelitian terhadap semua bukti dan keterangan daripada saksi yang terlibat, mahkamah tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Mengikut pertuduhan, Olier Sheks didakwa membunuh Abdul Kadir Fazer Ali, 22, dan Shahin Md. Amir Hossain, 24, di sebuah asrama pekerja di Taman Kemuning, Senawang dekat sini pada pukul 2 pagi hingga 4.10 pagi, 15 September 2009.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum gantung sampai mati jika disabitkan dengan kesalahan.

Mini kasino dalam kebun sayur


KESEMUA 63 kaki judi di kebun sayur Kampung Batak, Sungai Ara yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, George Town kelmarin.


GEORGE TOWN - Siapa sangka di belakang sebuah bengkel membaiki kenderaan yang terletak di pinggir hutan dan dikelilingi kebun sayur di Kampung Batak, Sungai Ara di sini rupa-rupanya menempatkan sebuah mini kasino yang popular dalam kalangan kaki judi yang sudah berusia.
Bagi memastikan mini kasino yang terletak dua kilometer dari jalan besar itu selamat, sindiket judi haram yang mengoperasikan kegiatan itu mengupah beberapa orang tonto untuk mengawasi kawasan tersebut.
Malah kawasan terpencil itu juga dilengkapi sebanyak 16 buah kamera litar tertutup (CCTV). Antara lokasi CTTV yang dipasang termasuk di beberapa simpang jalan masuk ke mini kasino yang beroperasi selama 24 jam.
Namun setelah sebulan beroperasi, pada pukul 9.30 malam kelmarin, mini kasino yang dibina dengan khemah itu diserbu sepasukan polis dari Unit Pencegahan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman.
Serbuan itu dilakukan selepas beberapa anggota polis terpaksa menyamar sebagai kaki judi untuk masuk ke mini kasino itu.
Ketua operasi D7, Deputi Superintendan Tan Tin Heng berkata, pihaknya terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk membuat risikan kerana mini kasino itu diawasi CCTV dan tonto.
"Polis terpaksa mengumpul maklumat daripada orang awam dan membuat penyamaran sebelum membuat serbuan malam tadi (kelmarin)," kata beliau selepas serbuan itu.

Saluran asap restoran di Suria KLCC terbakar


ASAP dari Restoran Chenoz on The Park (gambar kecil) yang keluar dari podium bumbung Suria KLCC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Pusat beli-belah terkemuka Suria KLCC semalam terpaksa ditutup selama sejam ekoran berlaku kebakaran pada sistem saluran asap di Restoran Chinoz on The Park.
Semasa kejadian pada pukul 5.30 petang, orang ramai yang terdiri daripada pengunjung dan pekerja yang kesemuanya berjumlah kira-kira 5,000 orang diarahkan mengosongkan pusat beli-belah itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, orang ramai diarahkan keluar oleh pihak keselamatan Suria KLCC bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sebaik berlaku kebakaran dan menyebabkan asap tebal di sebuah restoran di pusat beli-belah itu.
Menurut beliau, kebakaran tersebut berlaku pada sistem saluran asap yang terletak dalam Restoran Chinoz on The Park.
"Asap tebal dari restoran dapat dilihat di podium bumbung Suria KLCC sejauh kira-kira tiga kilometer," kata beliau ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.

Bapa rantai anak pada tiang


LEHER seorang remaja berusia 13 tahun dirantai pada sebatang tiang elektrik di Battambang semalam. - AFP


BATTAMBANG - Seorang bapa di Kemboja merantai leher seorang anak lelakinya pada sebatang tiang kayu elektrik di sini bagi menghukum remaja berkenaan yang ponteng sekolah untuk bermain permainan Internet, kata polis semalam.
Remaja berusia 13 tahun itu dirantai pada tiang elektrik sekitar dua jam.
Jirannya kemudian menghubungi pihak polis yang tiba di tempat kejadian bersama seorang tukang kunci untuk membebaskan mangsa.
"Si bapa amat marah apabila menemui anak lelakinya di sebuah kafe Internet dan bukan di sekolah sehingga dia sanggup merantai anaknya di khalayak sebagai pengajaran," kata Timbalan Ketua Polis Battambang, Cheth Vanny.
Menurutnya, mangsa turut dipukul oleh bapanya.
Bapa berusia 40 tahun itu, Sok Thoeun yang bekerja sebagai pemandu teksi motosikal melarikan diri selepas insiden berkenaan yang berlaku pada Selasa lepas.
Dia kini diburu polis kerana melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.
"Dia sedang diburu," kata pegawai berkenaan.
"Penderaan seperti ini menyalahi undang-undang," tambahnya lagi.
Penggunaan Internet di Kemboja adalah antara yang terendah di Asia Tenggara dengan kurang 1.5 peratus daripada 14 juta penduduk Kemboja menggunakan kemudahan tersebut. - AFP

No comments:

Post a Comment