Saturday, June 30, 2012

HUJAN EMAS DINEGERI ORANG...HUJAN BATU DINEGERI SENDIRI...MAKA LAGI TENTERAM DINEGERI SENDIRI...DITAMBAH TAAT PADA ALLAH..BERTAQWA DALAM HIDUP

‘Tolong cari tangan saya’

Oleh ALIAS ABD RANI
lias@hmetro.com.my

PARAH... mangsa dibawa ke hospital selepas diserang dua lelaki bertopeng di Pasar Sungai Maong.
PARAH... mangsa dibawa ke hospital selepas diserang dua lelaki bertopeng di Pasar Sungai Maong.
KUCHING: Seorang wanita menggelupur sambil menjerit meminta tolong supaya mengambil pergelangan tangan kanannya yang putus selepas diserang dua lelaki bertopeng di sebuah pasar di Sungai Maong, di sini, pagi semalam.
Kejadian berlaku jam 7.15 pagi ketika mangsa berusia 53 tahun memesan barangan daripada seorang peniaga sebelum muncul dua lelaki bersenjatakan objek tajam.

Difahamkan, kejadian disedari suami mangsa berusia 61 tahun selepas menerima panggilan daripada pemilik sebuah kedai memaklumkan kejadian menimpa isterinya.
Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama suaminya ke pasar itu dan mereka berpecah untuk membeli barangan masing-masing.

Katanya, beberapa minit kemudian, suami mangsa yang ketika itu membeli makanan di sebuah kedai terkejut apabila menerima panggilan memaklumkan isterinya diserang.

“Suami mangsa bergegas ke tempat kejadian dan mendapati isterinya menjerit kesakitan dengan tangannya berlumuran darah. Suaminya membawa wanita itu serta pergelangan tangan yang putus ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Berdasarkan maklumat awal diperoleh, dua suspek menaiki Perodua Myvi kelabu dikatakan menunggu di satu lokasi sebelum menyerang mangsa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Pauzi Bujang berkata, serangan dipercayai berlaku ketika mangsa menunggu pesanan barang dibeli daripada peniaga.
Beliau berkata, mangsa yang tidak menyedari kehadiran dua lelaki itu ditetak di pergelangan tangan kanan sehingga putus, selain cedera di tangan kiri.

“Polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti dua individu yang menyerang mangsa.

“Mangsa yang parah masih dirawat di HUS dan keadaannya dilaporkan stabil. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.” katanya.

4 terbunuh

Oleh HAMZAH OSMAN
am@hmetro.com.my

LANGKAWI: Empat orang, termasuk tiga warga Arab, maut apabila teksi dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori simen dalam kemalangan ngeri di Jalan Belanga Pecah, Ayer Hangat, dekat sini, petang semalam.
Kejadian dipercayai berlaku jam 4 petang apabila lori simen dari arah Kuah ke Ayer Hangat bertembung dengan teksi berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

Turut maut dalam kejadian itu pemandu teksi warga tempatan, Zubir Ibrahim, 42.
Dalam kejadian itu, teksi berkenaan terperosok di bawah kenderaan berat terbabit. Bagaimanapun, pemandu lori itu tidak cedera.

Isteri mangsa, Rashidah Saad, 42, berkata, suaminya membawa teksi jam 8 pagi dan sempat menjamah nasi goreng ketika sarapan.

Menurutnya, mangsa tidak menunjukkan perubahan, tetapi sebelum ini pernah memberitahu tiga anak mereka supaya menjaganya jika arwah pergi.

“Suami sebelum ini bekerja di kilang simen, tetapi mengambil skim pemberhentian sukarela (VSS) tiga tahun lalu dan memandu teksi menyara kami sekeluarga.

“Saya hanya mengetahui kemalangan menimpa suami jam 4.30 petang apabila dimaklumkan rakan suami dan terkejut dengan apa yang berlaku. Arwah seorang suami dan bapa yang baik,” katanya.

Jaga hingga akhir hayat

Oleh HAYATI IBRAHIM
ya_t@hmetro.com.my

SEPANG: “Saya senang hati apabila dapat membawa balik tiga anak ke tanah air, sekarang saya akan jaga mereka dengan tulang empat kerat ini hingga ke akhir hayat,” kata Nordi Adi, 57, bapa kepada empat beradik yang didakwa ‘disimpan’ ibu tiri mereka di Lampung, Indonesia.
Sambil menangis teresak-esak dan memeluk erat ketiga-tiga anaknya, iaitu Nur Masyita Amiera 8; Muhammad Nurhan, 9, dan Nurul Safiza Fitri, 11, Nordi berkata, dia yakin anak sulungnya, Siti Norzana, 12, yang masih berada di Lampung, dapat dibawa balik dengan segera kerana dia menjadi harapan Nordi untuk menjaga anak.

Katanya, dia sedih setiap kali mengenangkan kesukaran anaknya yang terpaksa bekerja kampung dengan mencari kayu, makanan untuk kambing atau akar ubat di hutan bagi membantu menyara keluarga.
“Yang penting sekarang, saya nak sekolahkan mereka kerana mereka tidak boleh bergantung kepada saya sepenuhnya...mungkin usia saya tak lama, tapi kalau Allah panjangkan umur saya, sehingga itulah saya akan jaga mereka,” katanya ketika ditemui selepas tiba dari Jakarta, Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Kepulangan mereka turut disambut Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Khairun Aseh.

Misi membawa pulang tiga beradik diketuai dua pegawai biro itu bermula apabila Nordi meminta bantuan biro berkenaan membawa pulang anaknya yang terkandas di Indonesia sejak Mei 2010.

Walaupun menghadapi pelbagai rintangan, termasuk soal dokumen dan logistik, tiga anak kandung Nordi berjaya dibawa pulang semalam, manakala anak sulungnya sedang dikesan kerana tidak tinggal bersama keluarga ibu tirinya.

Nordi yang menceraikan isterinya, Karsini Kaslam, 25, berkata, sejak berpisah dengan anaknya dia sentiasa memikirkan nasib mereka, namun tidak mampu melakukan apa-apa.
“Setiap hari dan saat saya memikirkan mereka, tengah kerja pun sama...tak dapat bayangkan keadaan mereka, sehingga mendapat bantuan Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno.

“Tanpa bantuan mereka, 10 tahun lagi pun tak mungkin saya dapat jumpa anak saya,” katanya yang membawa anaknya pulang ke Taman Kempas, Johor untuk memulakan kehidupan baru.

Seronok dapat balik



SEPANG: “(Kalau bekerja) upahnya dapat makan, tapi kalau dapat sikit, disuruh makannya dua senduk (dua sudu), kalau dapat (upah) banyak baru makan pun banyak,” kata Nurul Safiza Fitri Nordi, 11, anak kedua Nordi Adi, yang didakwa ‘disimpan’ ibu tiri mereka di Lampung, Indonesia.
Nurul Safiza yang bercakap pekat bahasa Indonesia berkata, ada ketikanya ibu tirinya, Karsini Kaslam, 25, memarahi dan memukul mereka jika melakukan kesalahan walaupun sedikit, selain dipaksa bekerja.

Namun, katanya, dia masih berpeluang bermain dengan rakan jika selesai bekerja atau melakukan tugasan diberi.
“Seronok dapat balik, rindu abah...saya nak sekolah. Saya tak nak balik sana (Lampung, Indonesia). Di sana saya kerja, cari ubat, tak takut masuk hutan dan biasanya petang baru pulang, saya juga biasa masak untuk keluarga,” katanya.

No comments:

Post a Comment