Friday, August 24, 2012

KADANG2 KITA SENDIRI MENGUNDANG MASALAH...KITA PUN TIDAK HIRAU SURUHAN ALLAH DAN TEGAHAN ALLAH...KITA ANGGAP AGAMA ITU HAK PERIBADI...SEDANGKAN PERLU PENGUATKUASA UNDANG2 JIKA MELANGGARNYA SEBAGAI KEHENDAK ALLAH...CONTOH ORANG MENIGGALKAN SOLAT...MENCURI...ZINA DAN SEBAGAINYA

Teguran bawa maut

Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my

SEDIH...isteri mangsa, Siti Hawa bersama anak.
SEDIH...isteri mangsa, Siti Hawa bersama anak.
TRAGEDI...kawasan tempat mangsa ditikam.
TRAGEDI...kawasan tempat mangsa ditikam.
MELAKA: Aidilfitri sepatutnya disambut dengan amalan bermaaf-maafan, namun bagi dua bersaudara keadaan menjadi sebaliknya apabila seorang lelaki maut akibat ditikam adik iparnya sendiri di Kampung Serkam Pantai, dekat sini, malam kelmarin.
Mangsa, Rashid Ahmad, 46, mati jam 1.40 pagi ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka kerana cedera di bahagian pinggang kiri akibat ditikam dengan pisau.
Sebelum itu, berlaku pertengkaran antara mangsa dan adik iparnya di halaman rumah ibunya jam 7.30 malam sebelum mangsa ditikam.

Kejadian bermula selepas mangsa, anak kelapan daripada 10 beradik, menegur sikap adik iparnya itu yang sering memukul isterinya berusia 36 tahun.

Disangka haiwan buruan

Oleh Jaafar Mulup
am@hmetro.com.my

LOKASI...laluan ke lokasi kejadian mangsa ditembak.
LOKASI...laluan ke lokasi kejadian mangsa ditembak.
TAMPIN: Seorang guru maut akibat terkena peluru penabur daripada tembakan abang iparnya ketika mereka memburu rusa bersama tiga rakan di hutan Kampung Anak Air, Durian Daun, Pondoi di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 11.15 malam itu, abang ipar mangsa berusia 52 tahun dikatakan melepaskan tembakan senapang patah ke arah pokok bergoyang dalam gelap kerana menyangkakan terdapat haiwan buruan.
Bagaimanapun, lelaki terbabit terperanjat besar sebaik mendengar suara orang mengerang kesakitan sebelum pergi memeriksa dan mendapati adik iparnya, Amir Ain, 40, parah di perut manakala rakan mereka, Mohd Isa Salican, 50-an yang bekerja di ladang lembu di kampung itu cedera di bahagian pinggul.

Amir yang berasal dari Perlis dan mengajar di sebuah sekolah menengah di Selangor, baru pulang bercuti menyambut Aidilfitri di kampung isterinya di Taman Desa Permai, Repah, di sini.

Tergolek disentap peragut

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

SAKIT...Rathi (kiri) patah tulang bahu dan tangan bersama Rathigah di rumah mereka di Kempas.
SAKIT...Rathi (kiri) patah tulang bahu dan tangan bersama Rathigah di rumah mereka di Kempas.
JOHOR BAHRU: Seorang wanita parah dengan bahu dan tangan kirinya patah selepas terjatuh dari motosikal ditunggangnya apabila dua lelaki bermotosikal merentap beg tangan adik iparnya yang membonceng ketika mereka dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura.
Lebih malang, pekerja hotel itu dan adik iparnya yang turut cedera, kini berdepan risiko dibuang kerja berikutan majikan meragui kemampuan mereka meneruskan tugas atas faktor kesihatan.

V Rathi, 23, berkata, kejadian berlaku pada jam 4.15 pagi, 11 Ogos lalu, ketika dia dan adik iparnya, K Rathigah, 22, menunggang motosikal ke Tambak Johor untuk memasuki Singapura.
Ibu kepada seorang anak itu berkata, apabila tiba di jalan utama berhampiran Kampung Semangat di Kempas di sini, mereka dihampiri sebuah motosikal dinaiki dua lelaki berpakaian gelap.

Katanya, mereka merentap beg tangan adik iparnya dan berlaku pergelutan menyebabkan dia gagal mengawal motosikal lalu merempuh sebuah motosikal lain di hadapannya.

“Kami berdua terseret hampir lima meter hingga saya patah bahu dan tangan kiri manakala kaki kiri Rathigah dan lututnya pula koyak.

“Nasib baik ada beberapa penunggang motosikal berhenti membantu kami,” katanya.
Dalam kejadian itu, Rathigah kehilangan kad pengenalannya, kad pengenalan milik dua anaknya, lesen memandu serta kad kredit milik suaminya.

Rathi berkata, akibat kecederaan itu dia terpaksa mendapatkan rawatan susulan di hospital pakar dan klinik swasta selepas rawatan kecemasan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Menurutnya, mengikut laporan perubatan, tulang bahunya patah manakala Rathigah belum pulih berikutan lututnya terkoyak.

“Kami berdua bekerja di hotel berkenaan sejak empat bulan lalu dan tidak menyangka ditimpa nasib malang hingga berdepan risiko kehilangan kerja.

“Majikan sepatutnya prihatin dengan keadaan kami. Mereka tidak membenarkan kami cuti sakit melebihi tempoh tertentu malah menyatakan tidak yakin kemampuan kami bekerja selepas ini,” katanya yang masih bercuti sakit hingga 26 September ini.

Mereka turut membuat laporan di Balai Polis Kempas pada 12 Ogos lalu.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi berkata pihaknya menerima laporan berkenaan dan siasatan masih dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, belum ada tangkapan dilakukan dan pihaknya meminta bantuan orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Penduduk resah sikap biadab Awang Afrika

LEPAK...warga Afrika di kawasan Apartmen Mentari Court.
LEPAK...warga Afrika di kawasan Apartmen Mentari Court.
SUBANG JAYA: Peningkatan bilangan warga Afrika di Apartmen Mentari Court, di sini, semakin ketara berbanding beberapa tahun sebelumnya sehingga membimbangkan penduduk berikutan kehadiran kumpulan terbabit mencetuskan pelbagai masalah sosial di kalangan masyarakat.
Setiap kali menjelang Aidilfitri, warga asing terbabit diibaratkan ‘raja’ kerana kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya mereka untuk ‘menguasai’ penempatan berkenaan selain melakukan aktiviti sosial keterlaluan ketika penduduk pulang ke kampung.

Tinjauan ke kawasan berkenaan semalam mendapati kebanjiran warga asing terutama dari Afrika begitu jelas dengan kehadiran kumpulan Awang Hitam yang memenuhi setiap ruang di situ.
Setiausaha Badan Pengurusan Bersama apartmen terbabit, Jamal Ismail berkata, pada tahun lalu dianggarkan hanya 500 warga Afrika mendiami apartmen itu, namun tahun ini bilangannya mencecah lebih 1,000 orang.

“Kami (penduduk) bimbang dengan peningkatan Awang Hitam di sini kerana banyak masalah dilakukan mereka,” katanya.

Menurut Jamal, apartmen itu mempunyai tujuh blok membabitkan 3,469 rumah dan 17,345 penduduk.
“Selain warga Afrika, turut mendiami perumahan itu ialah warga Indonesia, Bangladesh dan lain-lain. Namun, lebih menjadi tumpuan adalah warga Afrika kerana bilangan mereka lebih ramai,” katanya.

Kata Jamal, warga Nigeria paling ramai tinggal di apartmen itu dan melakukan aktiviti memalsukan wang, bergaduh dengan penduduk, meraba gadis, mengganggu anak dan dan isteri penduduk.
“Laporan polis dan imigresen sudah beberapa kali dibuat, namun setiap kali serbuan dijalankan, Awang Hitam terbabit melarikan diri kerana terlebih dulu mendapat maklumat.

“Apartmen ini bagaikan syurga buat mereka, tambahan pula ketika Aidilfitri lalu, mereka menguasai sepenuhnya kawasan ini,” katanya.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Iskandar berkata, warga Nigeria disifatkan sebagai kurang ajar kerana tidak menghormati adat dan budaya penduduk tempatan.

“Mereka berpakaian mencolok mata, membawa perempuan, minum arak dalam lif, membuang botol arak dari tingkat atas dan bersikap biadab ketika berkumpulan,” katanya.

Menurut Iskandar, kemasukan golongan itu sebagai pelajar, namun kewujudan mereka meningkatkan kadar jenayah.

“Lebih mengecewakan apabila kumpulan itu juga mempunyai restoran dan kedai runcit di apartmen ini. Kami mohon supaya kerajaan memandang serius perkara ini,” katanya.

15 minit pecah masuk 3 rumah

Oleh Asmah Rusman
asmah@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh 15 minit, tiga penghuni rumah di Jalan Ipoh, di sini, kerugian lebih RM100,000 selepas disamun enam lelaki bersenjatakan parang dan penyembur lada yang memecah masuk rumah mereka, malam kelmarin.
Kejadian jam 8.30 malam itu berlaku ketika semua penghuni rumah berkenaan beristirahat sambil menonton televisyen.

Menurut sumber, mangsa rumah pertama yang berusia 45 tahun memberitahu keenam-enam lelaki terbabit memakai topeng dan memasuki tiga rumah berkenaan serentak.
“Seorang daripada lelaki terbabit masuk ke rumah mangsa pertama dan mengacukan parang manakala seorang lagi rakannya meluru ke dalam bilik tidur di tingkat atas sebelum membawa lari barang berharga.

“Empat anggota kumpulan terbabit pula berpecah ke dua lagi rumah yang juga jiran mangsa sebelum menggeledah seluruh rumah itu,” katanya.

Sumber berkata, mangsa menurut arahan mereka kerana bimbang disembur menggunakan penyembur lada.
Katanya, semua penghuni rumah kedua dan ketiga diarahkan masuk dalam tandas sebelum empat lelaki terbabit mengurung mereka.

“Mereka membawa lari pelbagai barang berharga milik mangsa termasuk barang kemas, berlian, telefon bimbit, komputer riba, kamera digital, beg tangan berisi dokumen pengenalan diri, kad bank, jam tangan dan cermin mata berjenama,” katanya.
Katanya, berdasarkan dialek pertuturan keenam-enam suspek berkenaan, kumpulan lelaki terbabit dipercayai warga tempatan.

“Mereka mengambil masa 15 minit untuk menyamun ketiga-tiga rumah teres dua tingkat yang terletak bersebelahan sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti jenisnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan polis masih memburu anggota kumpulan terbabit yang dipercayai masih berada di sekitar daerah ini.

‘Bertapa’ 10 hari

Oleh Muhammad Apendy Issahak dan Kalidevi Mogan Kumarappa
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Suspek utama disyaki membakar Nurul Firzanah Mat Zaki, 16, yang kini koma sejak kejadian 13 Ogos lalu akhirnya ditahan awal pagi semalam ketika dalam keadaan ‘lalok’ (khayal) akibat pengaruh dadah bersama lima rakan, empat daripadanya wanita.
Remaja lelaki berusia 18 tahun itu yang juga kekasih mangsa ditahan kira-kira jam 3.30 pagi bersama lima rakan berusia 18 hingga 20 tahun di dalam sebuah rumah panjang di Setapak Jaya, di sini, yang jaraknya hanya kira-kira lima kilometer dari lokasi Nurul Firzanah dibakar. Sumber polis berkata, serbuan diketuai Pegawai Siasatan Kanan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul (Zon Setapak), Asisten Superintendan Shan Gopal bersama sepasukan anggota hasil risikan dan maklumat orang awam. Menurutnya, siasatan polis mendapati sejak kejadian 10 hari lalu suspek tidak keluar dari rumah itu yang menjadi tempat persembunyiannya bagi mengelak ditahan polis selepas gambarnya disebarkan di media.

“Sebelum serbuan dilakukan, polis membuat pemantauan di rumah berkenaan selama hampir lima jam bermula jam 11.30 malam dan serbuan dilakukan menerusi pintu belakang dan depan secara serentak.
“Suspek cuba melarikan diri, namun dapat dicekup dan ketika itu dia dan rakan-rakannya didapati berada di bawah pengaruh dadah, malah polis turut menemui peralatan menghisap dadah di rumah berkenaan,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang dihubungi semalam mengesahkan penahanan suspek utama itu serta lima rakannya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan polis turut menemui beberapa bahan bukti penting, antaranya pakaian dengan kesan minyak petrol yang dipercayai digunakan suspek semasa membakar mangsa. “Polis turut merampas telefon bimbit suspek selepas mendapati di dalamnya terdapat beberapa mesej berbaur ugutan antara suspek dan mangsa,” katanya.
Ku berkata, selain suspek, lima individu yang ditahan bersamanya turut didapati positif dadah dan semua mereka kini direman lima hari bermula semalam untuk siasatan yang dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sementara itu, bapa Nurul Firzanah, Mat Zaki Mat Hussin, 45, yang dimaklumkan mengenai tangkapan suspek mengucapkan rasa syukur dan tahniah di atas kejayaan polis.
“Alhamdulillah, solat hajat dan doa kami sekeluarga serta orang ramai dimakbulkan Allah. Kami berharap dia (suspek) akan menerima pembalasan setimpal dengan apa yang dilakukannya terhadap anak saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi 13 Ogos lalu, Nurul Firzanah yang keluar bersama suspek disimbah petrol sebelum dibakar di kawasan semak berhampiran Flat Wangsa Sari, Seksyen 1, Wangsa Maju, hingga menyebabkan dia koma manakala 25 peratus tubuhnya terutama bahagian muka hingga paras pinggangnya terbakar.

Harian Metro Selasa lalu melaporkan remaja itu berkemungkinan akan koma untuk tempoh antara tiga hingga enam bulan kerana Mat Zaki diberitahu doktor terpaksa memberinya ubat pelali supaya dia terus tidak sedarkan diri.

Menurutnya, rawatan itu adalah terbaik untuk mangsa kerana Nurul Firzanah yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) akan bertambah teruk dan sakit jika dia sedar daripada koma dalam masa terdekat.

Pencuci kereta curi dua seluar jean



KOTA BHARU: Seorang pencuci kereta mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, terhadap pertuduhan mencuri dua helai seluar jean bernilai RM279.80 di sebuah pusat beli-belah di sini, menjelang Aidilfitri, baru-baru ini.
Pengakuan itu dibuat tertuduh, Tengku Syakirin Fakhran Tengku Shukri, 31, di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen, Abdul Rashid Mustafa.

Bagaimanapun, Abdul Rashid menetapkan hukuman diputuskan, 12 September ini. Mengikut pertuduhan, Tengku Syakirin Fakhran dari Kota Bharu, didakwa mencuri dua helai seluar jean jenama Blue Tom’s bernilai RM279.80 di sebuah pusat beli-belah di sini, pada jam 8.50 malam, 17 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S M Wong yang mengendalikan pendakwaan menawarkan tertuduh dijamin RM5,000.

Bagaimanapun, tertuduh memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan mengambil kira latar belakang keluarganya.
“Saya hanya bekerja pencuci kereta dengan pendapatan RM400 sebulan. Saya ada tiga anak dan seorang isteri untuk ditanggung,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000.

Mati ketika disoal siasat

Oleh Abd Rahman Adam
abdulrahman@hmetro.com.my

MIRI: Seorang penyelia sebuah syarikat keselamatan meninggal dunia ketika disoal siasat berhubung kehilangan wang tunai berjumlah RM68,000 milik sebuah syarikat menjual barangan elektronik dan perabot di Balai Polis Pusat Miri, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, kejadian berlaku jam 5 petang ketika lelaki berusia 59 tahun itu disoal siasat pegawai penyiasat kes berkenaan.

Beliau berkata, suspek ditahan bersama seorang rakan tiga hari lalu selepas disyaki terbabit dalam kes kehilangan wang milik syarikat berkenaan yang disimpan dalam sebuah peti keselamatan.
“Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah, namun ketika diambil keterangan, dia tiba-tiba rebah dari tempat duduk lalu tidak sedarkan diri.

“Ketika disoal siasat, tangan suspek tidak digari selain dilihat dalam keadaan baik, malah kami juga tidak dimaklumkan andai dia menghidap sebarang penyakit.

“Pasukan paramedik Hospital Miri tiba di tempat kejadian sebaik dimaklumkan perkara itu sebelum mengesahkan suspek sudah meninggal dunia,” katanya.
Katanya, mayat suspek kemudian dihantar ke hospital dan polis sudah memanggil pakar patologi dari Kuching untuk urusan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya.

Beliau turut memberi jaminan pihaknya akan menyiasat kes berkenaan secara telus dan terperinci mengikut prosedur dan undang-undang tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
“Kami bersimpati dengan kejadian itu dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

‘Pergi angkut anak awak’



KUALA LUMPUR: “Pergi angkut anak awak di Tasik Titiwangsa.” Itu panggilan diterima seorang ibu selepas anak lelakinya berusia 17 tahun dilarikan sekumpulan lelaki yang tiba-tiba menyerbu masuk ke rumahnya di Bandar Menjalara, di sini petang kelmarin.
Panggilan itu diterima ibu mangsa jam 10.30 malam iaitu lapan jam selepas anaknya dilarikan dan pada mulanya, ibu mangsa sukar mempercayai panggilan berkenaan berikutan dibuat menggunakan nombor telefon anaknya sendiri.

Bapa saudara mangsa, M Kalithasan, 42, berkata pada hari kejadian, mereka sekeluarga sedang sibuk membuat persiapan untuk kenduri kematian bapa saudaranya di rumah itu.
Bagaimanapun, ketika kejadian, semua ahli keluarga lelaki keluar membuat upacara sembahyang di kuil manakala anak saudaranya itu yang masih menuntut di tingkatan lima berada di rumah bersama ahli keluarga wanita lain.

“Ketika itu, tiba-tiba datang tiga lelaki menaiki kereta Proton Perdana bersenjata parang menyerbu masuk ke rumah.

“Pada mulanya, kami menyangka tiga lelaki itu berniat untuk menyamun tetapi mereka bertindak lebih agresif apabila mengheret anak saudara saya itu ke dalam kereta sebelum memecut,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Katanya, ketika mereka risaukan keselamatan anak saudaranya itu, tiba-tiba kakaknya mendapat panggilan daripada nombor telefon anak saudaranya itu jam 10.30 malam.
“Kami terkejut selepas seorang lelaki mengarahkan kami untuk ‘mengangkut’ anak saudara saya itu di Tasik Titiwangsa. Lelaki berkenaan turut menyatakan anak saudara saya dalam keadaan kritikal selepas ditetak mereka,” katanya.

Kalithasan berkata, pada mulanya mereka menyangka ia panggilan palsu namun tetap menyalurkan maklumat itu kepada polis dan selepas polis mengesahkan memang anak saudaranya, barulah mereka bergegas ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Anggota polis menemui anak saudara saya di Tasik Titiwangsa dalam keadaan berlumuran darah sebelum menghantarnya ke HKL dengan ambulans.

“Anak saudara saya parah di lengan kiri, kaki kiri dan belakang badan yang turut menyebabkan kecederaan pada tulang belakang akibat ditetak,” katanya.

Anak saudaranya kini dirawat di Unit Rawatan Rapi HKL.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang mengesahkan kejadian itu berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan antara dua geng kongsi gelap.



Keluarga perlu berdampingan dengan polis



KUALA LUMPUR: Keluarga arwah Nur Afifah Mohd Zuhari (gambar), 16, yang dilarikan lelaki warga Indonesia ke Lombok sebelum meninggal dunia pada 6 Mei lalu perlu kerap berdampingan dengan pihak berkuasa sekiranya berdepan situasi mencurigakan.
Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf berkata, melalui cara sedemikian saja dapat membantu keluarga berkenaan yang kini diganggu penculik arwah anaknya melalui ugutan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Saya pasti, polis mempunyai caranya sendiri dalam membantu keluarga berkenaan menyelesaikan masalah dihadapi termasuk mengenal pasti lokasi kediaman mangsa ugutan ataupun sebagainya yang berbaur jenayah.
“Sebab itu, jika ada individu yang disyaki berada di persekitaran kediaman atau kampung ataupun mengekori anak gadisnya, keluarga berkenaan hendaklah memaklumkan kepada polis yang berada di kebanyakan tempat sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai laporan muka depan akhbar ini semalam mengenai kisah keluarga arwah Nur Afifah Mohd Zuhari, 16, yang dilarikan lelaki warga Indonesia ke Lombok sebelum meninggal dunia pada 6 Mei lalu mendakwa diganggu penculik anaknya itu dengan menghantar pelbagai ugutan menerusi panggilan telefon dan SMS.

Ibu Allahyarham, Hasliza Ismail, 45, mendakwa lelaki itu yang dikenali sebagai Mohamad Yani, 30-an, kerap menghantar SMS dan menelefonnya sejak sebulan lalu dengan menggugut untuk menculik seorang lagi anak perempuannya, Nur Amalina, 18.
Hasliza yang ditemui di rumahnya di Taman Panglima, Kamunting, Perak, berkata, penculik arwah anaknya itu mengugut mahu menghantar empat rakannya bagi melarikan Nur Amalina ke Lombok untuk menggantikan arwah Nur Afifah.

Ibu mangsa menyifatkan tindakan penculik berkenaan mungkin akibat tidak puas hati kerana hajat mereka untuk memperdagangkan Nur Afifah kepada sindiket pelacuran tidak tercapai apabila anaknya itu meninggal dunia.
Menurutnya, Nur Amalina kini melanjutkan pengajian di sebuah kolej dan dia sering menasihatkan anaknya itu supaya sentiasa berwaspada dan tidak mendekati warga asing.

Ramli berkata, hanya nasihat saja dapat diberikan kepada keluarga berkenaan supaya lebih berhati-hati dalam melakukan aktiviti seharian kerana terdedah kepada bahaya diculik kumpulan individu berkenaan.

“Polis boleh buat apa yang terdaya untuk elak kejadian tidak diingini berlaku, lebih-lebih lagi sudah ada petanda diterima mereka melalui ugutan telefon dan SMS. Kalau boleh simpan SMS dikirimkan.

“Mungkin jika sudah dikenal pasti dalang pengirim SMS ugutan berkenaan, kerjasama boleh dilakukan dengan pihak berkuasa negara jiran kerana kalau ada yang berbaur jenayah boleh diambil tindakan mengikut undang-undang,” katanya.

Mengulas mengenai senario gadis tempatan diculik atau dilarikan ke Lombok, beliau berkata meskipun ia menjadi budaya dan tradisi lama golongan lelaki dari negara itu, tetapi rakyat negara ini perlu lebih berhati-hati.

“Dalam melakukan sesuatu perkara kita perlu lebih berobjektif dan jangan mudah terpesona dan terpedaya dengan penampilan individu baru dikenali kerana jika tersilap langkah boleh menjejaskan masa depan.

“Walaupun soal jodoh, ajal maut dan termaktub, ada caranya pertimbangan rasional dan berobjektif diambil kira kerana ia membabitkan masa depan seseorang. Hasil perkongsian hidup sudah pasti akan memperoleh anak, tetapi lebih rumit jika membabitkan campur tangan kedua-dua keluarga,” katanya.

Katanya, kaunseling secara tidak formal dengan mendapatkan pandangan adik beradik dan keluarga dapat membantu individu terjebak dengan warga asing supaya membuat keputusan bijak membabitkan soal jodoh.

Adat berlandas al-Quran, sunah

Oleh Ahmad Fauzan Yahaya

APABILA Syawal menjelma, rata-rata kita tidak ketinggalan untuk mengadakan rumah terbuka bagi menjemput kaum keluarga, sahabat handai, jiran dan rakan sekerja. Mungkin ramai tertanya, dari manakah asalnya amalan rumah terbuka ini? Kita pasti akan mengatakan bahawa rumah terbuka sudah lama diperkenal dan diamalkan sejak turun-temurun lagi.
Untuk apa? Sudah semestinya niatnya baik. Untuk memberi makan kepada insan dalam masa yang sama merapatkan ukhuwah sesama insan.

Mengapa ia timbul?

Amalan rumah terbuka disebabkan kepelbagaian budaya yang sudah lama wujud di Malaysia. Secara sejarahnya, amalan rumah terbuka sebenarnya tidak dianjurkan secara khusus oleh Rasulullah s.a.w dan juga salaf soleh.

Ini bukan bermaksud bahawa ia dilarang dan tidak dibenarkan dianjurkan. Malah, sebagaimana kita tahu, bahawa terdapat kaedah usul-fiqh yang mengatakan bahawa “asal hukum setiap sesuatu atau adat adalah harus, sehinggalah datangnya dalil mengharamkannya”.

Ia berlainan dengan kaedah dalam bab Ibadah iaitu “asal hukum ibadah itu adalah haram, hingga ada dalil membenarkannya”. Ini antara kaedah yang masyhur dalam kita menilai sesuatu adat yang rata-rata diamalkan di negara ini sama ada ia bertepatan dengan sunah ataupun tidak.

Jika bercanggah, maka harus ditentang dan disanggah dengan baik dan penuh berhikmah. Sebagai contoh, amalan menanam uri selepas isteri bersalin digalakkan menyalakan lilin dan meletak sesuatu objek atau benda dengan alasan si bayi akan menjadi terang hati dan pandai. Ini kepercayaan yang tiada asas dan boleh mengundang syirik.

Rumah terbuka adalah adat yang tidak bercanggah dengan Islam. Malah, ia hanya istilah dan terminologi yang sinonim dengan masyarakat Melayu di Malaysia. Amalan ini juga diamalkan masyarakat Cina dan India dalam perayaan mereka.

Rumah terbuka yang selalunya dipraktikkan dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia lebih bersifat sebagai ‘semangat’ hari raya. Jika diambil kira daripada sudut ukhuwah Islamiyyah, semestinya, rumah orang Islam hendaklah sentiasa terbuka dan sedia menerima tetamu jika masa diizinkan.

Dalam surah Al-Nur ayat 27, Allah mengingatkan kita agar meminta izin daripada tuan rumah sebelum masuk atau bertandang ke rumah mereka. Firman Allah: “Wahai orang-orang beriman janganlah kamu masuk ke dalam sesebuah rumah yang bukan rumah kamu hingga kamu meminta izin dan memberi salam ke atas ahli keluarga rumah tersebut, justeru adalah lebih baik kamu dapat mengambil peringatan.”

Jika ayat itu dihalusi dengan baik, maka dapatlah difahami, bahawa agama kita mempunyai prinsip dan peraturan berkaitan ziarah dan kunjung.

Oleh itu, rumah terbuka lebih bersifat kesediaan tuan rumah dalam membuat persiapan dengan lebih rapi, dari segi bajet, tetamu, makanan dan pemilihan hari kerana kesibukan bekerja dan keperluan tuan rumah untuk membahagikan masa ziarah beliau ke rumah orang lain.

Malah, jelas amalan memberi makan ini selari dengan firman Allah dalam bersedekah dan memberi makan kepada orang lain. Di dalam surah Al-Imran ayat 92: “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

Dan begitu juga dalam surah Al-Isra’, Allah menyebut: “Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu membelanjakan (hartamu) secara boros.” (Al-Isra’: 26)

Jika ditinjau dalil sunnah dan hadis Rasulullah, kita dapati bahawa Nabi bersabda akan sesiapa yang memberi infaq, sedekah dan makan kepada insan, sebagaimana diriwayatkan daripada Imam Al-Bukhari bahawa memberi makan kepada orang berpuasa tidak akan dikurang pahala sedikitpun seperti yang berpuasa itu.

Nabi bersabda yang bermaksud: “Barang siapa memberi makan orang lapar, Allah akan memberinya makanan daripada buah-buahan syurga. Barang siapa memberi minuman kepada orang dahaga, pada hari kiamat nanti, Allah akan memberinya minuman syurga amat lazat (ar-rahiq al-makhtum), dan barang siapa memberi pakaian kepada orang tidak mempunyai pakaian, Allah akan memberinya pakaian syurga berwarna hijau (khudhr al-jannah).” [HR Abu Daud: no 1,432; At-Tirmizi: no 2,373].

Walaupun begitu, penganjur rumah terbuka harus peka mengenai perkara yang jauh daripada petunjuk Allah dan rasul, dan hendaklah menjaga prinsip majlis dengan tatacara bersandarkan al-Quran dan sunah Rasulullah.

Antara beberapa perkara yang harus dititik beratkan oleh penganjur rumah terbuka dapat disimpulkan dalam beberapa perkara:

1. Hendaklah majlis rumah terbuka tidak disertai dengan maksiat, pergaulan antara lelaki dan perempuan, jauh daripada punca dan pintu kemaksiatan. Di dalam kaedah fiqh: “Man a’ana ‘ala ma’shiyyatin fahuwa syariik fi al ithmi” (Barang siapa membantu dalam suatu kemaksiatan, maka dia sudah bersekutu dalam berbuat dosa). [Syarah Ibnu Bathal, 17/207]

2. Si penganjur rumah terbuka tidak boleh memilih tetamu hanya dalam kalangan orang kaya dan meminggirkan orang miskin. Ini sebagaimana larangan Rasulullah kepada orang yang membuat walimah agar tidak menjemput dan mengasingkan antara kelompok mereka yang kaya dan miskin.

3. Hendaklah ia dianjurkan dengan suasana bersederhana dan tidak membazir, malah tidak dijadikan majlis rumah terbuka sebagai platform untuk bermegah-megah dengan apa yang dimiliki dan apa yang layak untuk dirinya.
4. Dijauhi daripada segala unsur riya dan takbur.

5. Dijadikan majlis rumah terbuka dengan niat untuk bersedekah dan merapatkan ukhuwah dengan keluarga, sanak saudara, jiran dan sahabat handai. Ini juga harus difahami oleh tetamu yang berkunjung agar tidak meletakkan syarat untuk mengetahui menu untuk menentukan persetujuan memenuhi jemputan itu.

Sesungguhnya Islam itu mudah, dan amat sesuai untuk semua lapisan masyarakat, malah lebih baik agar jemputan rumah terbuka bukan khusus untuk orang Islam saja, malah dipanjangkan juga kepada masyarakat bukan Islam bagi membuktikan bahawa Islam adalah agama bersifat rahmat dan memberi rahmat kepada mereka yang bergelar insan.


Penulis berkelulusan hadis di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) adalah Timbalan Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Malaysia

‘Selamatkan anak saya’

Oleh Siti Azila Alias
am@hmetro.com.my

BUKIT MERTAJAM: “Saya bimbang dengan masa depan kedua-dua anak saya. Mereka bukan saja enggan pulang ke rumah ibu kerana takut dipukul bekas isteri dan adik ipar, malah anak sulung juga kini trauma dan takut berjumpa dengan lelaki kerana pernah menjadi mangsa cubaan cabul bekas adik ipar,” kata seorang anggota keselamatan, lingkungan 40-an, kelmarin.
Bapa kepada dua anak, masing-masing berusia tujuh dan lapan tahun itu mendakwa, dia hanya mengetahui insiden anaknya dipukul ketika hendak mengambil kedua-dua beradik perempuan itu di rumah bekas isteri di Seberang Perai Selatan (SPS), pada 25 Mei lalu.

Menurutnya, ketika itu, kedua-dua anaknya kelihatan takut-takut, tetapi tidak menceritakan apa yang berlaku sehinggalah dia ternampak kesan lebam dan bengkak pada mata kirinya lalu pergi mendapatkan rawatan di klinik.
Dua hari kemudian, katanya, dia terlihat kaki kanan anak sulung lebam ketika membawa kedua-duanya keluar berjalan-jalan.

“Selepas itu, anak kedua mula bercerita kepada saya mengenai apa yang berlaku sepanjang tempoh tinggal bersama ibu mereka selain mendakwa ditendang pak ciknya (bekas adik ipar) dan terjatuh, manakala kakaknya turut dipukul di kaki oleh lelaki itu.

“Bukan itu saja, mereka turut mendakwa dikurung bekas isteri di dalam bilik air hanya kerana meminta air sirap selain diberi makan pada jam 5 petang selepas bekas isteri balik kerja,” katanya yang hadir di pejabat Harian Metro, di sini, semalam.
Berikutan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Taiping pada 9 Jun lalu bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Dia berkata, memang pada mulanya, dia menyangka kedua-dua anaknya itu hanya dipukul, tetapi terkejut apabila anak sulung memberitahu ibunya (nenek), bekas adik iparnya cuba mencabulnya.
Menurutnya, anaknya mendakwa bekas adik ipar membuka seluar dan memegang kemaluannya sebelum insiden itu dilihat adiknya berusia tujuh tahun yang kebetulan naik ke bilik berkenaan dalam kejadian Mei lalu.

Akibatnya, bekas adik ipar lingkungan 20-an terbabit dimarahi dan dipukul oleh bekas isteri dan tidak menolak kemungkinan kedua-dua anaknya itu didera akibat perasaan tidak puas hati.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat ibunya di Balai Polis Nibong Tebal pada 8 Julai lalu selepas berbincang dengan ahli keluarga.

Kedua-dua kanak-kanak itu sudah dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan laporan doktor yang dikeluarkan pada 27 Julai lalu turut mengesahkan ada kesan lebam dan bengkak pada mata dan kaki kedua-duanya.

“Saya terpaksa menyerahkan anak-anak kepada bekas isteri pada 5 Julai lalu selepas mendapat perintah mahkamah. Meskipun berat hati, saya lepaskan juga dan pada masa sama berharap perkara sama tidak berulang, tetapi jangkaan saya silap apabila pada 20 Ogos lalu, ketika mengambil kedua-duanya dari jagaan isteri, saya nampak lebam pada mata kiri anak kedua, lalu membawanya ke HSJ,” katanya.

Difahamkan, anak keduanya itu kini masih dirawat di HSJ untuk pemeriksaan lanjut.

Justeru, dia berharap polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan sewajarnya bagi membela nasib kedua-dua anak perempuannya itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah SPS, Deputi Superintendan Shariffudin Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan dua kanak-kanak terbabit didera mengikut Seksyen 323, Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja.

Manakala, bagi kes cubaan mencabul pula, katanya, siasatan sudah dijalankan dan akan mengambil tindakan lanjut.

No comments:

Post a Comment