Tuesday, August 21, 2012

MANUSIA MEMANG ADA YANG SUKA BUAT PERKARA YANG DILARANG...MUNGKIN DIANGGAP BERANI...BERANI YANG TAK BERTEMPAT

Tempah maut dalam terowong

Pengurus Geologi North Borneo Gold, Murray Stevens memantau kawasan perlombongan haram di kaki Gunung Tabai di Bau, Sarawak baru-baru ini.


KUCHING – Meskipun lombong emas di kaki Gunung Tabai, Bau di sini sudah memakan tiga korban, para pelombong emas haram tidak pernah serik untuk mencari logam berharga itu sejak berbulan-bulan lalu.
Lebih menjengkelkan, mereka bukan sahaja mencuri emas dari lombong berkenaan bahkan sanggup pula memberi suapan kepada pekerja syarikat yang memiliki lombong terbabit agar melindungi kegiatan mereka.
Lombong tersebut dimiliki oleh syarikat North Borneo Gold Sdn. Bhd.
Pelombong emas haram itu yang terdiri daripada warga tempatan dan pendatang asing tanpa izin langsung tidak mempedulikan soal keselamatan diri ketika melakukan kegiatan tersebut.
Ini kerana hasil jualan emas yang diperoleh sangat lumayan.
Peralatan-peralatan khas seperti penyodok tanah, pahat, tukul, guni serta khemah yang dibawa menjadi penguat semangat kepada mereka untuk menggali emas sebanyak mungkin.

Maut diserang ketika beraya


DUA ahli keluarga Siva sedih menunggu mayatnya dibedah siasat di Hospital Sungai Buloh semalam.


SUNGAI BULOH – Keseronokan dua sahabat mengunjungi rumah rakan yang menyambut Aidilfitri berakhir dengan tangisan apabila seorang daripada mereka maut diserang sekumpulan lelaki tidak dikenali di Taman Desa Coalfields di sini kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, sebelum kejadian pada pukul 8.30 malam, mangsa M.P. Siva, 22, (gambar kecil) dan rakannya yang menunggang sebuah motosikal dilanggar oleh sebuah kereta jenis Honda dari arah belakang.
Menurut beliau, rempuhan tersebut menyebabkan kedua-dua sahabat itu terjatuh sebelum Siva diserang sekumpulan lelaki dipercayai warga tempatan.
“Rakan Siva sempat melarikan diri manakala Siva ditetak bertubi-tubi oleh kumpulan lelaki tersebut menggunakan senjata tajam dipercayai pedang,” kata beliau.

Pemandu bas kaki dadah

KOTA BHARU - Sebanyak 46 pemandu bas ekspres yang diperiksa dalam Ops Selamat disahkan positif dadah, kata Ketua Pengarah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan.
Beliau berkata, pengesanan itu dilakukan melalui ujian saringan Agensi Antidadah Kebangsaan (ADK) di 32 terminal bas yang diperiksa di seluruh negara dalam tempoh 12 Ogos hingga Jumaat lepas.
"Kami akan mendapat laporan daripada pihak ADK sebelum mengambil tindakan mengikut peraturan terhadap pemandu terbabit," katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Guchil Bayam di sini semalam.
Beliau berkata, JPJ akan sentiasa membuat pemantauan di semua terminal bas ekspres di seluruh negara bagi memastikan pengusaha pengangkutan awam itu mematuhi peraturan yang ditetapkan terutama dalam tempoh Ops Selamat yang bermula 12 Ogos dan berakhir 26 Ogos.
Mengenai peraturan tidak membenarkan kenderaan berat berada di jalan raya pada 17 dan 18 Ogos serta 25 dan 26 Ogos, Solah berkata, tiada pemandu kenderaan berat dikesan melanggar peraturan itu pada 17 dan 18 Ogos lalu.
"Saya harap pemandu dan pengusaha kenderaan berat mengekalkan rekod itu dalam tempoh penguatkuasaan akan datang iaitu pada 25 dan 26 Ogos," katanya.

Mitsubishi jatuh jejambat, pemandu tak cedera


Anak panah menunjukkan lokasi kereta Mitsubishi yang terhumban dari jejambat di Jalan Istana-Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Berpantang maut sebelum ajal. Begitulah nasib seorang lelaki yang tidak cedera setelah kenderaan dipandunya terbabas lalu terjatuh dari jejambat di Jalan Istana - Jalan Sungai Besi dekat sini semalam.
Kejadian pada pukul 9 pagi itu membabitkan sebuah kenderaan Mitsubishi Lancer dipandu Hong Chee How, 21, yang dalam perjalanan dari Selayang menuju ke Serdang.
Jurucakap polis berkata, ketika melalui selekoh di atas jejambat itu, kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan terjatuh dari ketinggian enam meter.
Katanya, nasib baik kenderaan tersebut tidak menghempap mana-mana kenderaan yang melalui Jalan Tun Razak menuju ke Sungai Besi.

Ejen jual lambang menipu


SALAH seorang penjual (kanan) mempamerkan pelbagai lencana dan lambang badan penguat kuasa serta pingat kebesaran yang dijual secara terbuka di Taman Melawati, Ampang baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Satu sindiket kini berleluasa menipu pengguna dengan menjual lencana pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa memudahkan pemiliknya melepasi sekatan jalan raya meskipun melanggar undang-undang.
Pihak terbabit juga mendakwa mereka merupakan ejen yang diberi kuasa untuk menjual lencana pelbagai agensi penguat kuasa lengkap dengan kad keahlian kepada orang awam yang ingin memilikinya.
Tinjauan Kosmo! mendapati lencana tersebut dijual secara online atau di lokasi tertentu di Lembah Klang oleh ejen-ejen tidak bertauliah.
Ejen-ejen tersebut mempamerkan pelbagai lencana termasuk lencana Polis dan Tentera (Poltera), lencana Kelab Bekas Polis Selangor, lambang rasmi Pingat Jasa Kebaktian P.J.K, lambang Jaksa Pendamai J.K dan lencana persatuan datuk-datuk dari beberapa negeri, lencana lambang kerajaan negeri, lencana Majlis Peguam serta lencana Ikatan Relawan Rakyat (Rela).
Pemerhatian Kosmo! mendapati harga setiap lencana itu ditawar serendah RM150 hingga RM2,000 bergantung kepada pakej ditawarkan.
Lencana berkaitan persatuan polis merupakan lencana paling mahal dan mendapat banyak permintaan.
Bagi lencana bekas polis, pakej jualannya termasuk kad pengenalan diri yang memaparkan nama pembeli, nombor kad pengenalan dan nombor siri keahlian bekas anggota polis.

Tanggung hutang


CHOON KIA (kiri) bersama Wilson Lau menunjukkan salinan laporan polis mengenai kad pengenalannya digunakan pihak tidak bertanggungjawab di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Seorang pembuat dim sum terpaksa menanggung hutang kira-kira RM1,800 bil Telekom Malaysia Bhd. (TM) selepas butiran kad pengenalannya disalahgunakan pihak lain.
Koay Choon Kia, 30, berkata, hutang tersebut meliputi bil telefon berjumlah RM570.35 dan talian Streamyx berjumlah RM1,120.15.
Belaiu mengesyaki kad pengenalannya telah digunakan untuk mendaftar perkhidmatan TM memandangkan dia kehilangan kad pengenalan tersebut dalam satu kejadian rompakan di Taman Sri Sinar, Kuala Lumpur pada Mac 2009.
“Saya terkejut apabila menerima panggilan daripada TM pada Julai lalu mengatakan belum menjelaskan hutang talian Streamyx dan bil telefon sejak 10 bulan lalu,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia ( PGRM ) di sini baru-baru ini.
Jelasnya, selepas membuat pengesahan dengan pihak TM, dia mendapati suspek hanya menggunakan nombor kad pengenalannya untuk membuat pendaftaran manakala alamat yang digunakan berbeza dengan alamat kediamannya.

Pusat riadah jadi sarang gay


KEHADIRAN tiga lelaki gay berpelesiran di kawasan Tasik Kelana Jaya, Petaling Jaya merimaskan penduduk sekitar.


PETALING JAYA – Tiada siapa sangka di sebalik keindahan Tasik Kelana Jaya di sini yang menjadi pusat riadah penduduk pada waktu petang, ia bertukar wajah menjadi sarang seks golongan lelaki homoseksual pada sebelah malam.
Lebih menjijikkan apabila pasangan songsang turut menjadikan kawasan permainan kanak-kanak yang terletak berhampiran Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai tempat melempiaskan nafsu.
Tinjauan Kosmo! mendapati tasik terletak bersebelahan dengan Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) mula meriah dengan pasangan gay bermula pada pukul 1 pagi hingga pukul 4 pagi.
Pemandangan di kawasan tasik itu turut diwarnai kehadiran gay warga asing seperti gay Bangladesh, Nepal dan Pakistan.
Selain Tasik Kelana Jaya, turut menjadi tumpuan pasangan gay ialah kawasan di sekitar Stadium MBPJ, Sudut Selera Taman Bandaran Kelana Jaya dan kawasan letak kereta berhampiran Kompleks Renang MBPJ.
Menjelang waktu malam macam-macam gelagat antaranya gay yang tiada pasangan akan cuba ‘menjual minyak’ di sekitar kawasan itu bagi mendapat pasangan.

52,000 tan sampah hanyut ke laut


KEWUJUDAN 33 perangkap sampah di Sungai Klang tidak cukup untuk menghalang sampah daripada hanyut ke laut.


KUALA LUMPUR – Setiap tahun kira-kira 52,000 daripada 77,000 tan sampah sarap yang dibuang ke sungai-sungai sekitar ibu negara dan Selangor terpaksa dihanyutkan ke laut melalui Sungai Klang.
Sampah tersebut terpaksa dihanyutkan ke laut berikutan had kapasiti sampah yang mampu diperangkap oleh kira-kira 33 perangkap sampah yang dipasang di sepanjang sungai di kedua-dua negeri itu hanyalah 25,000 tan setahun.
Pengarah Pengurusan Lembangan Sungai dan Zon Pantai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir. Lim Chow Hock (gambar) berkata, situasi tersebut sekiranya dibiarkan dalam jangka masa panjang boleh memusnahkan habitat yang terdapat di dalam sungai selain turut mengganggu ekosistem hidupan laut.
Katanya, jika keadaan tersebut berterusan tanpa kawalan, generasi akan datang tidak berpeluang untuk merasai nikmat memiliki sungai sebagai nadi kehidupan.
“Bandar-bandar yang maju di seluruh dunia biasanya menjadikan sungai sebagai tempat aktiviti untuk menjana ekonomi dan kehidupan mereka.
“Ini berbeza dengan penduduk negara kita yang menjadikan sungai sebagai kawasan mudah untuk membuang sampah,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru- baru ini.

'Mangga cinta' tidak dilarang di Paris

GAMBAR fail menunjukkan 'mangga cinta' yang terdapat di Jambatan Pont des Arts di Paris pada 4 Oktober 2010. - AFP


PARIS - Pihak berkuasa Dewan Bandar Raya Paris tidak melarang orang ramai meletakkan 'mangga cinta' di beberapa jambatan di Sungai Seine di sini.
'Mangga cinta' itu diletakkan di pagar jambatan atau di tempat awam lain oleh pasangan lelaki dan perempuan untuk menyatakan perasaan cinta mereka.
"Kami membenarkan fenomena itu berdasarkan perasaan kasih sayang," kata jurucakap dewan itu, Damien Steffan kepada agensi berita AFP.
Kebanyakan pasangan itu membuang kunci tersebut tetapi sebahagian lagi menyimpannya untuk anak-anak mereka.
Pada mangga itu, tertera kata-kata cinta.
Seorang pelancong, Suzan Field dari negeri Nevada, Amerika Syarikat menyatakan, dia dan suaminya meletakkan mangga tersebut di jambatan Pont de l'Archeveche di sini dua tahun lalu.
Menurutnya, dia merancang untuk memeriksa mangga itu setiap dua tahun. - Agensi

Wajah terbaharu pembunuh John Lennon

GAMBAR terbaharu Jabatan Pemulihan New York yang menunjukkan wajah Chapman.


NEW YORK - Pembunuh penyanyi legenda Britain yang juga bekas anggota kumpulan The Beatles, John Lennon kelihatan kurus berbanding ketika dia mula dipenjarakan, lapor akhbar New York Daily News kelmarin.
Gambar terbaharu yang didedahkan Jabatan Pemulihan Negeri New York pada 19 Ogos lalu menunjukkan perubahan muka pada wajah pembunuh itu, Mark David Chapman.
Pada 9 Disember 1980, sehari selepas Chapman membunuh Lennon, muka dan tubuhnya kelihatan gempal.
Namun, selepas 32 tahun pembunuhan itu berlaku, pembunuh tersebut kini seberat 86.83 kilogram (kg) berkurangan sebanyak 15.87kg semasa dia dalam penjara pada tahun 1995.
Lennon yang berusia 40 tahun mati ditembak Chapman dengan menggunakan sepucuk pistol pada 8 Disember 1980 di sebelah isterinya, Yoko Ono di depan bangunan apartmen mereka.
Ketika kejadian, pasangan itu berjalan menuju ke apartmen Dakota di sini.
Chapman, 57, yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hawaii dihukum penjara seumur hidup kerana membunuh Lennon.
Ketika kejadian, dia berusia 25 tahun dan mentalnya didapati tidak stabil.
Bagaimanapun, Chapman yang mempunyai isteri ketika kejadian itu berlaku mengaku menembak mati Lennon.
Dia kini ditahan di penjara Wende yang dikawal ketat di Alden, New York.
Lennon ditembak sebanyak empat kali dari arah belakang, selepas dia menandatangani kulit album terbaharunya, Double Fantasy, milik pembunuh itu.
Chapman menghabiskan banyak masanya dengan menonton televisyen yang dibelinya dan membaca buku di dalam bilik penjaranya.
Dia dibenarkan mandi tiga kali seminggu.
Sebelum ini dia mengaku membunuh Lennon kerana mahu menjadi seseorang yang penting di dunia.
Lennon menjadi sasarannya kerana dia mudah didekati.
Menurutnya, antara selebriti lain yang menjadi sasaran pembunuhannya ialah pengacara televisyen Johnny Carson dan aktres Elizabeth Taylor.
Sementara itu, menurut beberapa pegawai penjara, permohonan Chapman untuk dibebaskan menerusi parol akan didengar pada hari ini.
Ia merupakan permintaan parolnya yang ketujuh.
Permintaannya untuk mendapatkan parol itu pernah ditolak pada tahun 2000, 2002, 2004, 2006, 2008 dan 2010 oleh lembaga parol.
Parol merupakan pembebasan bersyarat dengan si pesalah berjanji tidak akan melakukan jenayah lagi selepas 20 tahun dipenjara. - Agensi

Kapal layar mini guna alat kawalan


SALAH seorang anggota Kelab Model Kapal Layar Central Park memerika kapal layar mini kawalan jauh miliknya di New York pada 11 Ogos lalu.


NEW YORK - Pada setiap hari Sabtu, terdapat perlumbaan kapal layar mini kawalan jauh yang diadakan di Central Park di sini.
Perlumbaan itu disertai oleh anggota-anggota Kelab Model Kapal Layar Central Park.
Mereka akan bersaing sesama sendiri untuk mengendalikan kapal layar tersebut yang mempunyai kemudi dan layar.
Anggota-anggota kelab itu memerlukan kemahiran untuk mengemudi kapal layar tersebut ketika menempuh tiupan angin.
Orang ramai juga boleh menyewa kapal layar tersebut yang disediakan oleh kelab itu. - Agensi

Spesies burung hantu baharu ditemui


GAMBAR yang disiarkan semalam menunjukkan dua ekor spesies baharu burung hantu di Pulau Camiguin, Filipina.


MANILA - Sekumpulan saintis dan pemerhati burung menemui 10 spesies baharu burung hantu di Filipina dengan menggunakan peralatan canggih, kata beberapa pegawai pemuliharaan kelmarin.
Menurut Pengarah Lapangan Program Pemuliharaan Kepelbagaianbio Filipina, Lisa Paguntalan, kebanyakan spesies baharu itu kemungkinan terancam kerana ia hanya ditemui di Kepulauan Cebu dan Pulau Camiguin serta di kawasan hutan yang kecil.
"Bunyi burung itu yang berbeza menyebabkan ia berlainan dengan spesies lain," katanya.
Penyelidikan itu mengambil masa selama 10 tahun tetapi keputusan penemuan itu hanya diumumkan kelmarin.
Kajian tersebut melibatkan sekumpulan pemerhati burung dari Universiti Negeri Michigan, Amerika Syarikat dan pakar-pakar burung.
Dua spesies baharu itu ialah burung hantu Cebu dan burung hantu Camiguin.
Kedua-dua haiwan itu berukuran kira-kira 20 hingga 30.5 sentimeter. - AFP

Rusia dakwa Barat bekalkan senjata

BASHAR (kanan) berdoa semasa menghadiri solat Hari Raya Aidilfitri
di Masjid Hamad, Damsyik kelmarin.


MOSCOW - Timbalan Menteri Luar Rusia, Gennady Gatilov semalam mendakwa terdapat semakin banyak bukti yang menunjukkan para pemberontak Syria memperoleh senjata buatan Barat.
"Terdapat semakin banyak bukti termasuk di media bahawa pihak pembangkang di Syria dibekalkan dengan senjata-senjata buatan Barat melalui negara ketiga," katanya menerusi laman Twitter.
Sebelum ini, AS dan Britain menyatakan para pemberontak yang menentang tentera Presiden Syria, Bashar Al-Assad memperoleh bantuan yang tidak mengandungi senjata kepada para pemberontak seperti peralatan komunikasi.
Arab Saudi dan Qatar yang merupakan dua buah negara anti-Bashar dipercayai membiayai penghantaran senjata kepada para pemberontak.
Sementara itu, pertempuran di bandar Darra telah menyebabkan 44 orang mati semalam termasuk dua kanak-kanak.
Pertubuhan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi mengesahkan pertempuran pada hari raya kedua berlaku di negara tersebut.
Sebelum ini Bashar dilihat bersolat sunat hari raya di Masjid Hamad, Damsyik kelmarin.
Pertempuran turut berlaku di beberapa lokasi di Damsyik.
Pertubuhan itu menyatakan askar-askar yang dibantu helikopter tentera Syria turut membedil beberapa kawasan di bandar Aleppo, utara Syria.
Lebih 20,000 orang dilaporkan terbunuh sejak pertempuran antara para pemberontak dengan tentera Bashar bermula pada Mac tahun lalu.
Pertempuran tersebut berlaku selepas para pemberontak menuntut pembaharuan politik dan pelaksanaan hak asasi manusia di negara itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu menyatakan, pihaknya tidak dapat menyediakan bantuan kepada pelarian Syria jika bilangan mereka mencecah lebih 100,000 orang.
Beliau mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mendirikan kem-kem pelarian di sempadan Turki dengan Syria ekoran peningkatan bilangan mereka.
Menurut perangkaan Turki, kira-kira 70,000 orang pelarian Syria berada di negara itu. - Agensi

Waspada sindiket amah palsu

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Perantau Indonesia Kuala Lumpur (Perkapin) meminta rakyat Malaysia yang berhasrat mendapatkan khidmat pembantu rumah dari Indonesia supaya berwaspada dengan perangkap amah palsu.
Yang Dipertua Perkapin, Abdul Hadi Mat (gambar) berkata, amah palsu itu merupakan wanita dari Indonesia yang datang ke Malaysia sebagai pembantu rumah tetapi berkomplot dengan pihak tertentu di negara ini untuk mencuri barangan berharga milik majikan.
“Amah palsu ini biasanya berpakat dengan teman lelaki mereka yang merupakan pekerja Indonesia di Malaysia untuk mencuri barangan majikan. Perbuatan terancang ini menjejaskan imej majoriti pembantu rumah dari Indonesia yang datang ke Malaysia untuk mencari rezeki halal.
“Oleh itu kami menasihatkan majikan supaya memeriksa terlebih dahulu latar belakang amah yang mahu diambil bekerja supaya tidak terperangkap dengan pakatan amah palsu ini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ikrar gempur lubuk buaya Sebelak


KESEDIHAN Embol melihat mayat Siah menimbulkan dendam kesumat untuk memburu buaya di Sungai Sebelak.


SARATOK – “Selagi saya masih hidup, buaya di Sungai Sebelak tidak akan tenang.”
Itulah sumpah seorang ketua rumah panjang di sini, Embol Asum, 48, yang kini bergelar pemburu buaya untuk menggempur mana-mana lubuk reptilia berkenaan di Sungai Sebelak, Roban dekat sini.
Menurut ketua rumah panjang Sungai Anak itu, dia percaya masih banyak lagi buaya besar yang menunggu masa untuk menyerang penduduk kampung dan pengguna sungai berkenaan pada masa hadapan.
“Kemunculan buaya dari lubuk atau sarangnya untuk menjemur diri di tepi pasir landai sungai berkenaan bukan suatu perkara baharu di sini.
“Jadi, ia sedikit sebanyak memudahkan saya mengenal pasti lokasi sesuai memasang pancing bersama mata kail yang dibentuk khas untuk menangkap buaya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment