Sunday, November 18, 2012

BANYAK LAGI PERLU DIBANTU...LEBIH2 YANG PATUT MENERIMA....DIKIRA DALAM ASNAF YANG PATUT TERIMA WANG ZAKAT

Genting Gaza di ambang perang

LETUPAN kuat dan asap tebal dapat dilihat dengan jelas selepas Israel meningkatkan serangan udara ke atas bangunan-bangunan milik kerajaan Hamas di Bandar Gaza.


GENTING GAZA - Pesawat tentera Yahudi mengebom bangunan-bangunan milik kerajaan Hamas di sini semalam, selepas kabinet Israel meluluskan kerahan tenaga tentera simpanan sehingga 75,000 orang sebagai persiapan untuk menceroboh dari arah darat.
Serangan udara tersebut memusnahkan pejabat Perdana Menteri, Ismail Haniyeh dan Kementerian Dalam Negeri Palestin.
Para pegawai di Gaza memberitahu seramai 41 rakyat Palestin, termasuk 20 orang awam yang terdiri daripada lapan kanak-kanak dan seorang wanita mengandung terbunuh sejak Israel memulakan operasi ketenteraannya empat hari lalu. Setakat ini, tiga orang awam Israel terbunuh akibat serangan roket pada Khamis.
Israel menyatakan tentera udaranya telah mengebom sekurang-kurangnya 180 sasaran sejak semalam. Ini termasuklah ibu pejabat polis, bangunan kerajaan, tempat pelancar roket dan sebuah pusat latihan Hamas.
Negara Yahudi itu melancarkan serangan udara secara agresif pada Rabu dengan tujuan menghalang pejuang Hamas daripada melancarkan roket ke wilayah selatannya.
Hamas menyatakan komitmen untuk meneruskan konfrontasi ke atas Israel.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memuji usaha Mesir untuk meredakan ketegangan di rantau terbabit. Obama turut kesal atas kematian orang awam di Palestin dan Israel. - Reuters

49 kanak-kanak maut kereta api rempuh bas

KAHERAH - Kira-kira 49 orang murid sekolah terbunuh apabila sebuah kereta api merempuh bas yang mereka naiki di bandar Manfalut, dekat Assiut di sini semalam.
Bas itu membawa 60 kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun untuk satu rombongan yang dianjurkan oleh sebuah sekolah. Ia dikatakan sedang melintas laluan kereta api sebelum dirempuh.
"Kematian kini mencecah 49 orang dan 18 yang lain cedera. Kebanyakan yang terbunuh ialah kanak-kanak," jelas Gabenor Assiut, Yahya Keshk.
Pekerja yang bertanggungjawab menjaga laluan kereta api itu dikatakan tertidur dan dia kini telah ditahan.
"Mereka memberitahu, palang laluan kereta api itu terbuka," kata seorang doktor dari sebuah hospital di Assiut, Mohamed Samir. Seramai 45 orang doktor ditugaskan untuk memberi rawatan kepada kanak-kanak yang cedera.
Ibu bapa mangsa yang marah mengadakan tunjuk perasaan menuntut mereka yang bertanggungjawab dikenakan hukuman mati.
Presiden Mesir, Mohamed Mursi mengarahkan menteri kabinetnya supaya memberikan bantuan kepada semua keluarga mangsa.
Menteri Pengangkutan, Rashad al-Metini dilaporkan meletak jawatan berikutan insiden tersebut. Mursi turut menerima peletakan jawatan Ketua Pihak Berkuasa Kereta Api Mesir, Mostafa Qenawi. - Agensi

Bahana dadah anak jadi korban

KEADAAN bilik tempat Nur Amirah mati disembelih yang berlumuran darah di Felda Panching Selatan, Kuantan semalam.


KUANTAN – Seorang bapa yang dipercayai khayal akibat mengambil dadah bertindak kejam menyembelih bayi perempuannya sendiri yang berumur 11 bulan menggunakan pisau sehingga mati dalam tragedi menyayat hati di Felda Panching Selatan dekat sini malam kelmarin.
Menurut ibu saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Liza, 23, kejadian disedari oleh keluarganya pada pukul 9.30 malam semasa mahu menjenguk bayi malang tersebut, Nur Amirah yang merengek kuat ketika sedang tidur di bilik.
“Saya lihat, bapanya yang sebelum itu menemani Nur Amirah tidur, tiba-tiba keluar dari bilik dan duduk di ruang tamu dengan sikap yang sedikit pelik.
“Ibunya, Suzy yang sebelum itu berada di dapur membancuh minuman untuk anak sulungnya kemudian masuk ke bilik untuk menjenguk anak keduanya itu selepas terdengar dia merengek.
“Kami semua terkejut apabila ibunya keluar sambil menangis memberitahu, Nur Amirah berlumuran darah dan sudah meninggal dunia,” katanya semasa ditemui di rumah keluarganya di sini semalam.

Parah diserang empat lelaki


INILAH flat Taman Teluk Kumbar, George Town, tempat mangsa parah diserang empat lelaki semalam.


GEORGE TOWN - Seorang penjaga pusat hiburan cedera parah di kepala, muka dan bahu kanan akibat dibelasah dengan sebatang besi dan topi keledar serta dikelar menggunakan sebilah pisau oleh sekumpulan lelaki di kawasan flat Taman Teluk Kumbar, Sungai Batu di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa, Y. Dharani Dharan, 20, berjalan kaki bersendirian di kawasan perumahan terbabit sebelum didatangi antara tiga hingga empat suspek yang menaiki sebuah kereta.
Suspek tersebut terus memukul mangsa bertubi-tubi menggunakan topi keledar dan sebatang besi sebelum mereka mengelar bahu kanan dan pipi mangsa dengan pisau.

Bilal masjid negeri Pahang maut kemalangan selepas solat Subuh


AZAMUDDIN bertugas melaungkan azan bagi solat Subuh di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan sebelum kemalangan yang meragut nyawanya semalam.


KUANTAN - Beberapa ketika selepas melaungkan azan dan bersolat Subuh di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini, bilal masjid berkenaan maut dalam kemalangan jalan raya semalam.
Azamuddin Mansor, 40, meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pada pukul 7 pagi.
Pegawai Penguat Kuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, dalam kejadian pukul 6.40 pagi itu, Azamuddin yang menunggang motosikal sendirian bertembung dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat dekat Jalan Tun Ismail di sini.
"Mangsa yang datang dari arah Jalan Tun Ismail telah bertembung dengan kereta tersebut ketika hendak membelok ke Jalan Bukit Sekilau.
"Mangsa yang parah di kepala dan badan telah dikejarkan ke HTAA untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia 20 minit kemudian," katanya di sini semalam.
Zainalabidin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan di tengah-tengah persimpangan lampu isyarat itu berpunca daripada lampu isyarat yang tidak berfungsi.

Tiga anak mangsa kebakaran banglo dibantu


RAJA NONG CHIK (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Luqman Hafiy (kanan ) dan Azad Fahmi (tengah) di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Yayasan Wilayah Persekutuan akan membantu membiayai persekolahan tiga kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa mereka dalam kebakaran di Taiping pada Selasa lalu.
Dalam kejadian itu, Mohd. Hakimi Zubair, 40, isterinya, Leila Sahak, 40, anak lelaki mereka yang berumur tiga tahun serta seorang pembantu rumah warga Indonesia maut dalam kebakaran di Taman Pegawai Kanan Kerajaan, Assam Kumbang.
Semalam, tiga anak pasangan tersebut iaitu Luqman Hafiy, 13, Azad Fahmy, 8, dan Ain Najwa, 11, menerima sumbangan RM3,500 daripada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Raja Nong Chik berkata, sumbangan itu meliputi pemberian peribadinya bernilai RM1,000, sumbangan Yayasan Wilayah Persekutuan sebanyak RM2,000 serta UMNO Bandar Tun Razak (RM500).

No comments:

Post a Comment