DALAM NEGERI
Seks bebas remaja luar bandar membimbangkan
KUALA LUMPUR 16 Feb. - Masalah sosial seperti seks bebas kebiasaannya dihubungkaitkan dengan para remaja yang tinggal di bandar-bandar besar yang sentiasa terdedah kepada gejala itu.
Kajian sebuah pertubuhan baru-baru ini mendapati gejala seks bebas termasuk pendedahan kepada bahan pornografi di kalangan remaja Melayu di luar bandar juga semakin membimbangkan.
Kesimpulan itu diperoleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah selepas menjalankan kajian terhadap 127 pelajar perempuan di sebuah sekolah luar bandar di negeri tersebut.
Naib Pengerusi GPMS Kedah, Lukman Midin berkata, kajian itu mendapati lima peratus daripada remaja berusia 14 tahun di sekolah itu telah melakukan hubungan seks secara sukarela.
"Manakala, 30 peratus daripada responden pula mengakui sudah terdedah kepada bahan pornografi atau unsur seks melalui telefon bimbit dan cakera padat video (VCD)," katanya.
Katanya, kajian terhadap 56 pelajar lelaki tingkatan satu pula mendapati 43 peratus daripada mereka terdedah kepada filem lucah, manakala 61 peratus daripada 67 pelajar lelaki tingkatan dua pula didapati telah menonton dan terdedah kepada gejala seks bebas.
Melihatkan peratusan tersebut, beliau berkata, keputusan kajian pastinya akan lebih menggerunkan jika ia dilakukan terhadap remaja Melayu berusia 16 tahun dan ke atas terutama yang tinggal di kota besar.
"Keadaan ini bukan sahaja memalukan malah menjadi antara punca berlakunya kes pembuangan bayi yang begitu berleluasa kebelakangan ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Menurut Lukman, bahan pornografi yang terlalu mudah dibeli dan diakses menjadi punca utama gejala seks bebas semakin membimbangkan di kalangan remaja Melayu.
Katanya, era multimedia dan teknologi maklumat dengan trend penggunaan telefon bimbit yang berleluasa serta penjualan video lucah di tempat terbuka dan boleh dibeli oleh akan mati sesiapa tanpa mengira usia nyata meruncingkan lagi masalah tersebut.
lagi
Medan selera seks diserbu
2010/02/25
KUALA LUMPUR: Bimbang dicekup polis menyebabkan puluhan gadis pelacur atau ‘Bohsia China’ bertempiaran melarikan diri hingga ada yang sanggup menyorok di bawah meja makan sebaik menyedari sarang kegiatan mereka di Medan Selera Jalan Gelang off Jalan Sungai Besi di sini, diserbu semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam semalam, kebanyakan gadis pelacur terbabit terpinga-pinga yang sedang menunggu pelanggan terkejut dengan kehadiran lebih 20 anggota polis.
Difahamkan, akibat ketakutan dan tidak sempat menyusup lari, ada antara gadis terbabit sanggup menyorok di dapur medan selera selain duduk mencangkuk di bawah meja makan.
Dalam serbuan itu, 13 wanita warga China ditahan.
Pegawai Turus Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah berkata, pihaknya menyerbu pusat makanan itu selepas mendapat maklumat daripada orang awam berhubung aktiviti pelacuran yang berleluasa di kawasan itu.
“Bertindak atas maklumat itu, polis menjalankan risikan sebelum menahan 13 wanita warga China yang disyaki terbabit dalam kegiatan pelacuran,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati tiga daripada wanita ditahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan semua mereka kini ditahan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut. Difahamkan, kebanyakan gadis terbabit gemar berpeleseran di kawasan medan selera berkenaan yang seolah-olah menjadi pusat tawar menawar untuk aktiviti pelacuran.
Kebiasaannya gadis terbabit tanpa segan silu akan mendekati dan duduk di sebelah pelanggan lelaki yang sedang menjamu selera sebelum menawarkan perkhidmatan seks.
Sebaik harga dipersetujui, pelacur terbabit akan membawa pelanggan ke rumah sewa berhampiran untuk melakukan hubungan seks.
Dalam gerakan berasingan jam 4.25 pagi hari sama, polis turut menyerbu sebuah disko terkenal di Desa Petaling di sini selepas dikesan menjadi pusat pengedaran pil khayal.
Razali berkata, dalam serbuan kedua itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan kerana membenarkan premis hiburannya beroperasi melebihi waktu yang dibenarkan.
“Lelaki yang bertugas sebagai penjaga pusat hiburan itu ditahan kerana membuka perniagaan melebihi masa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Difahamkan, ketika serbuan ada antara pengunjung lelaki dikesan cuba menyembunyikan diri di atas siling tandas selain turut menjadikan bahagian atas saluran udara untuk menyembunyikan diri.
No comments:
Post a Comment