Thursday, February 25, 2010

JANGAN ATAS ALASAN BERFESYEN HUKUM MENUTUP AURAT DIABAIKAN ATAU DILANGGAR






RENCANA UTAMA

Fesyen = Ukur baju di badan sendiri

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


ARTIS dan fesyen ibarat irama dan lagu. Jika hilang salah satu, maka pincanglah keseragaman itu. Mungkin awal kemunculan, ramai yang kurang bijak menata imej. Masih ramai yang tercari-cari identiti diri.

Lihat sahaja kemunculan awal Datuk Siti Nurhaliza dengan alis nipis dan gincu merah menyala dipadan busana tanpa jenama. Begitu juga dengan ratu Rock negara, Ella misalnya yang tampil ranggi seperti rockers lelaki.

Mencari hala tuju imej atau identiti yang menonjol memerlukan fasa yang panjang. Justeru, hayat dalam bidang glamor mampu menjadikan mereka ikon lantas mencapai darjat perintis stail di kalangan generasi muda.

Sebenarnya tiada definisi spesifik berupaya merungkai pengertian fesyen. Kepada sesetengah orang, golongan selebriti punya pengetahuan fesyen jika menyarung serba-serbi barang jenama antarabangsa atau membeli fesyen baru tiba di rak.

Presiden Persatuan Pereka Bumiputera (BDA), Mahani Awang berpendapat fesyen atau cara seseorang artis berpakaian secara keseluruhan berhasil menggambarkan imej.

"Ia memberi gambaran positif atau negatif apatah lagi selebriti sering jadi tumpuan umum. Fesyen yang dipilih bukan saja membentuk personaliti, tetapi mampu menyesuaikan konsep gaya dan genre muzik dipilih.

"Tidak perlu menggayakan jenama mewah untuk sukses berfesyen. Begitupun, soal jenama ini amat subjektif. Ia terpulang kecenderungan hati masing-masing. Jika mampu, rasanya tidak salah berbelanja pakaian atau barang mahal.

"Ia jadi hadiah dan motivasi kepada diri setelah bekerja keras tanpa mengira siang dan malam. Apa yang penting adalah kepuasan diri. Padawaktu sama, konsep biar papa asal bergaya harus dijauhi.

"Saya lihat pusat beli-belah Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur jadi tempat strategik bagi mendapatkan fesyen segar dan mengikut aliran masa dengan harga rendah. Saya pernah terbaca dalam satu artikel Erra Fazira suka beli baju di sana. Tengoklah, dia tetap bergaya dan ada naluri fesyen tersendiri," jelasnya.

Tambah Mahani lagi memberi tips, kalau tidak mampu memiliki jenama mahal maka jangan beli yang tiruan. Katanya, cari sahaja tas tangan atau aksesori tiada jenama. Sekiranya bijak memilih, ia akan menonjolkan kelas tersendiri.

Tidak ketinggalan, Mahani menyenaraikan Anuar Zain, Hans Isaac, Hattan, Sheila Majid, Camelia, Ella, Syafinaz dan Ning Baizura sebagai selebriti yang bijak dalam menggayakan imej, genre muzik dan bentuk fizikal masing-masing.

"Setiap artis perlu peka dan cepat menyedari kekurangan diri. Mereka harus dapatkan khidmat perunding imej profesional. Kena selalu ingat apabila orang memuji kita nampak hebat sebenarnya lebih baik daripada ungkapan pakaian anda cukup menawan," terangnya yang mengaku fesyen dunia seni tempatan tidak boleh disamakan dengan Barat.

Dalam pada itu, pereka fesyen popular tanah air, Syaiful Baharim, 30, memberitahu artis perlu bijak berfesyen kerana ia melambangkan produk yang dipamer kepada klien dan masyarakat.

"Saya nampak sebilangan artis tahu memadankan fesyen dengan genre lagu dibawa. Sama halnya juga dengan pelakon yang bijak berfesyen. Penting untuk selebriti bergaya kerana setiap inci diri mereka diperhatikan orang lain.

"Cuma penyesuaian harus diambil kira untuk pandai berfesyen. Kena ingat ada sesetengah pakaian pada badan orang lain nampak kurang menarik, tetapi ada pula kelihatan sempurna pada tubuh orang lain.

"Lantaran itu, komunikasi dua hala antara artis dan pereka fesyen perlu ada bagi mengelak golongan ini ditertawakan peminat kerana salah berfesyen,," ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Rekaan Fesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu juga tidak bersetuju pemilik status selebriti wajib berdamping dengan jenama-jenama mewah sahaja dalam berfesyen.

"Apabila seseorang artis sudah berada pada senarai A, mereka dengan sendirinya ada kesedaran beli barang mahal termasuk jadi pelanggan setia pereka fesyen antarabangsa.

"Dalam soal ini, baik murah atau mahal, pembawaan artis dianggap penting. Penyanyi dan ikon fesyen, Camelia yang lebih senang memakai baju pereka luar juga pernah dikritik. Dia dikatakan tidak mampu bawa aura gaun labuh rona hitam Chanel dalam satu acara sebelum ini.


"Jadi tidak semestinya guna jenama mewah membuatkan artis nampak serba-serbinya sempurna. Konsep suai padan pakaian penting demi menunjukkan selebriti pandai berfesyen," jelasnya yang pernah bekerja sama dengan Maya Karin, Umie Aida, Misha Omar, Fazura, Nur Aliah Lee dan ramai lagi.

Bagi pemilik Rizman Ruzaini Creations, Rizman Nordin, 26, orang Malaysia sudah ada pemikiran bahawa fesyen berkait rapat dengan para selebriti.

"Dalam menonjolkan bakat nyanyian atau lakonan, setiap artis perlu bijak menampilkan personaliti. Contohnya fesyen Datuk Siti Nurhaliza yang memakai baju kurung moden dengan puffsleeve mula diikuti peminatnya bermula tahun lalu.

"Sedikit sebanyak artis kena tahu tentang fesyen dengan merujuk majalah terbaru. Selain itu, mereka juga kena rajin bertanya pereka-pereka fesyen untuk memperbetulkan stail agar tidak tersasar daripada landasan jalur muzik dibawa.

"Mereka tidak perlu terlalu mencuba untuk nampak cerdik berfesyen. Lebih baik tekankan konsep sederhana dan nampak kelas. Formula ini mampu mengelakkan artis daripada jadi bahan canda orang lain lantas dicap mangsa fesyen," terang graduan Ijazah Rekaan Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu.

Artis dan fesyen sebati

Aktres terkenal, Nur Fazura Sharifudin atau Fazura, 27, menganggap fesyen ada signifikan kepada setiap manusia tanpa mengira orang terkenal atau biasa. Ia bersifat universal baik kepada lelaki mahupun wanita dalam dunia era moden ini.

"Saya mula meminati fesyen sejak berusia 10 tahun. Usia 16 saya sudah beli beg tangan Chanel dengan menggunakan duit dikumpul sendiri. Sebagai artis saya lihat penampilan perlu dijaga dengan rapi.

"Peminat sentiasa lihat apa yang kita pakai sekali gus fesyen artis yang mereka suka jadi ikutan. Tidak perlu hendak gayakan pakaian berjenama demi nampak cerdik fesyen. Kena tahu konsep padanan yang betul dapat menghasilkan impak tertentu.

"Kalau menghadiri sesebuah majlis formal hiburan, waktu itu saya akan bergaya berhabisan dengan memakai gaun dan kasut tumit tinggi sambil berjalan di atas permaidani merah.

"Lain pula halnya berada di tempat umum. Saya lebih suka berpakaian santai dengan sedikit aksesori sebagai pelengkap. Tas tangan jadi item wajib saya perlu bawa kalau keluar rumah," jelasnya yang menggilai jenama Chanel, Hermes dan Christian Louboutin sebagai pelengkap fesyen.

Tetap mengamalkan sikap kesederhanaan, pelakon yang terkenal dengan drama bersiri Gol & Gincu itu juga tidak kisah membeli pakaian di butik menawarkan harga murah.

"Saya tidak memilih apabila hendak beli baju. Asalkan ia nampak cantik, saya terus beli tanpa fikir jenamanya. Cuma saya sentiasa ingatkan diri tidak beli barang tiruan," jawabnya yang pernah menjalani pengalaman tidak dapat membayar duit tol gara-gara wang di dalam beg duitnya dihabiskan membeli-belah kira-kira lima tahun lalu.

Bagi selebriti lelaki seperti Awal Ashaari, 29, dia juga tidak mahu kalah dengan artis wanita yang sentiasa mementingkan fesyen mengikut peralihan waktu.


Mengaku dia bukanlah seorang narsistik iaitu obses dan cenderung memuja diri sendiri, keinginan bergaya sebaliknya wujud sejak tahun 2001 semasa sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Diploma Komunikasi & Media.

"Selepas bergelar artis, saya terus berfesyen seperti sebelum ini. Tidaklah sampai taksub, tetapi saya ada kesedaran tentang gaya terkini dan menggunakan barang mewah.

"Fesyen dan selebriti berada dalam satu putaran sama. Hanya orang yang berada dalam bisnes hiburan berani menggayakan fesyen kreatif. Ia cukup sebati dengan golongan artis kerana mereka sering muncul di skrin televisyen, majalah dan surat khabar.

"Memanglah ramai orang biasa di luar sana mampu pakai jenama mewah. Cuma mereka tidak meraih tumpuan macam selebriti. Meskipun menyarungkan pakaian murah, gaya artis tetap jadi ikutan peminat.

"Sebelum ini saya menggilai produk jenama antarabangsa bagi menambah keyakinan diri. Lama-kelamaan, saya dapati keadaan ini tidak ke mana. Bayangkan saya pernah menghabiskan RM2,000 hingga RM3,000 demi mendapatkan satu barang.

"Kesudahannya, pakai jenama itu setakat dua atau tiga bulan dan kemudian ia tidak lagi relevan pada waktu sekarang. Kini saya tidak kisah beli baju berharga puluhan ringgit kerana ia juga cantik," jelasnya yang membeli beg galas paling mahal berharga RM6,000 jenama Tod's.

Beritahu Awal lagi, fesyen bukan berperanan digayakan pada majlis-majlis besar sahaja. Dia sebaliknya masih ingin kelihatan bergaya pada hari-hari biasa.

"Cukuplah menyarungkan celana biru, t-shirt putih dan selipar, kita masih nampak menarik jika bijak membawa diri di depan khalayak," luah Awal yang sesekali menghabiskan sejumlah wang besar membeli-belah ketika melancong ke negara orang.

Justeru, bagi golongan artis yang hendak berfesyen, jangan membeli sesuatu terbaru atau termahal jika ia tidak sesuai dengan jiwa sendiri. Bak kata orang, ukurlah baju di badan sendiri. Jika ia nampak cantik disarungkan oleh model atau kelihatan indah pada patung, belum tentu ia molek di tubuh kita.

No comments:

Post a Comment