Thursday, February 25, 2010

MACAM MEREKA GUNA ILMU SIHIR ATAU AYAT CINTANYA MEMPERSONAKAN



myMetro / Ayu

Cinta Lombok tak manis


2010/02/05


NOR Zuliyani Alias kini sudah berusia 30 tahun serta mempunyai tiga anak, Firman Anadi, 11, Hendry Fedriyan, 8, dan Intan Anatasya, 5, hasil perkahwinan dengan pemuda Lombok, Mahruddin.
Ketika berkahwin, Nor Zuliyani berusia 17 tahun dan baru saja menamatkan persekolahan. Menceritakan detik perkenalan dengan pemuda Lombok itu, Nor Zuliyani memberitahu pemuda itu sama seperti lelaki lain. Tetapi Mahruddin bijak berkata-kata dan lembut budi pekerti terutama apabila berbual dengan wanita. "Mahruddin bekerja sebagai pemotong kelapa sawit di Felcra Keruak, Terengganu. Saya pula sering mengunjungi kedai makan di mana saya bertemu Mahruddin buat pertama kali.


"Ketika itu saya mengenalinya sekadar kawan biasa. Lama-kelamaan melihat kebaikan Mahruddin, timbul perasaan sayang. Namun ketika itu saya cuba jarakkan diri supaya tidak mahu jatuh cinta dengannya," katanya. Malangnya ketika bertemu dengan Mahruddin di sebuah kedai makan dia langsung tidak ingat apa yang berlaku, apabila sedar Nor Zuliyani sudah berada di Lombok, Indonesia. "Saya menangis selepas tersedar berada di Lombok. Saya meminta Mahruddin menghantar saya kembali ke Malaysia, tetapi dia enggan dan berjanji akan menjaga saya sebaik mungkin selepas mendirikan rumah tangga," jelasnya. Selepas mendirikan rumah tangga, barulah Nor Zuliyani merasai kehidupan sebenar. Di Lombok kehidupan sangat susah. Mahruddin hanya bekerja sebagai pesawah dengan pendapatan RM15 sehari, mana cukup untuk menyara isteri dan tiga anak. Tambah pula ketika itu anak-anak semakin membesar, mereka memerlukan pakaian dan susu. "Kehidupan kami ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Duit yang ada hanya digunakan pada hari itu saja. Sekiranya habis, kami makan apa saja.


"Saya juga turut membantu Mahruddin di sawah. Ketika itu saya teringat betapa senangnya keluarga di kampung. Malah, sebelum ini saya langsung tidak pernah ke sawah atau melakukan kerja berat," katanya. Kerinduan yang begitu kuat menyebabkan Nor Zuliyani berusaha mencari peluang menghubungi keluarga di Terengganu. Mengetahui ada jiran di Lombok yang ingin ke Malaysia, dia meminta jirannya itu menghantar surat kepada keluarganya. Kali pertama dia tidak menyertakan alamat sehinggalah surat seterusnya. "Alangkah gembiranya kerana surat saya mendapat balasan daripada ibu selepas empat tahun di Lombok. Ibu menyatakan kerinduan yang teramat sangat terhadap saya dan berjanji akan berusaha membawa saya pulang. Ibu juga mengirimkan wang kepada saya sedikit demi sedikit supaya dapat saya gunakan untuk perbelanjaan pulang nanti," katanya. Menurut Nor Zuliyani, pelbagai masalah dihadapi untuk membawa dia dan anak-anaknya pulang ke Malaysia. Mujur ibunya Noorhayati Abas berusaha meminta bantuan daripada Pemuda Umno Bahagian Besut Terengganu, akhirnya pada 8 Disember 2009 selepas hampir 11 tahun di Lombok barulah Nor Zuliyani pulang ke pangkuan keluarga. "Tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata bagaimana perasaan saya sebaik saja menjejakkan kaki ke Malaysia. Selepas meninggalkan keluarga 11 tahun lalu, kini saya kembali ke pangkuan mereka. "Saya sangat terharu dan hampir pengsan ketika kali pertama memeluk dan mencium ibu, kerinduan saya terbalas apabila dapat bertemu mereka," katanya. Nor Zuliyani bertekad tidak mahu pulang ke Lombok walaupun suaminya berada di sana. Dia mahu membesarkan anak-anak bersama keluarganya di Terengganu dan melupakan semua kenangan pahit di sana. "Saya mahu membesarkan tiga anak saya di sini. Cukuplah penderitaan yang pernah saya lalui bersama anak-anak di sana. Saya tidak mahu menempuh peristiwa pahit itu lagi. "Saya bersyukur anak sulung saya juga sudah dapat menyambung persekolahan di Terengganu walaupun mengambil masa yang lama. Masa depan saya dan anak-anak biarlah waktu yang menentukan, saya hanya berserah kepada Tuhan," katanya.


lagi



Lari ikut kekasih ke Lombok


2010/03/04

KUALA LIPIS: Gara-gara panahan cinta jejaka Lombok, seorang pembantu kedai makan berusia 30 tahun dari Kuala Medang di sini, tergamak meninggalkan keluarganya dan lari mengikut lelaki terbabit pulang ke negara berkenaan.
Rozita Mat Ali, disedari hilang oleh keluarganya pada 14 Februari lalu selepas tidak menjawab panggilan telefon serta khidmat pesanan ringkas (SMS).


Menurut bapanya, Mat Ali Mat Amin, 67, pada hari kejadian, anak keempat daripada lapan beradik itu yang bekerja di sebuah kedai makan di perkampungan Orang Asli di Pos Betau di sini, menghubungi ibunya, Jariah Ishak, 60, bagi meminta izin untuk bermalam di rumah seorang rakan di pusat bandar.


“Isteri saya membenarkan kerana sebelum ini dia banyak kali berbuat demikian.


“Namun, Rozita kemudian tidak menjawab panggilan telefon, malah SMS kami juga tidak dibalasnya menyebabkan kami mengesyaki berlaku sesuatu terhadapnya,” katanya.


Mat Ali yang bekerja sebagai penyelia di sebuah ladang Felcra di sini, berkata kebimbangan mereka menjadi kenyataan apabila anaknya itu kemudian memaklumkan sudah meninggalkan negara ini.

“Sehari selepas kehilangannya, Rozita menelefon ibunya memberitahu dia kini berada dalam kapal menuju ke Lombok Timur mengikut seorang kenalan lelaki.


“Bagaimanapun, dia tidak memaklumkan siapa lelaki terbabit dan waktu dia bertolak keluar dari daerah ini,”katanya.


BERITA TERBARU




Rozita selamat kembali dari Lombok

06/03/2010 5:41pm

KUALA LIPIS - Setelah 20 hari berada bersama teman lelakinya di Lombok Timur, seorang pembantu kedai akhirnya kembali ke pangkuan keluarganya di Kampung Kuala Medang, Hulu Jelai dekat sini semalam.

Rozita Mat Ali, 30, yang dibawa lari oleh teman lelakinya yang dikenali sebagai “Hamdan” sejak 15 Februari lalu, tiba di kampungnya kira-kira pukul 9 malam tadi. – Utusan



DAH BALIK





Selamat kembali dari Lombok

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my


ROZITA MAT ALI (kanan) dipeluk oleh ibunya, Jariah Ishak sekembali dari Lombok Timur di rumahnya di Kuala Medang, Kuala Lipis, kelmarin. - mingguan/HARIS FADILAH AHMAD

KUALA LIPIS 6 Mac - Setelah 20 hari berada bersama teman lelakinya di Lombok Timur, seorang pembantu kedai akhirnya kembali ke pangkuan keluarganya di Kampung Kuala Medang, Hulu Jelai dekat sini malam tadi.

Rozita Mat Ali, 30, yang dibawa lari oleh teman lelakinya yang dikenali sebagai 'Hamdan' sejak 15 Februari lalu, tiba di kampungnya kira-kira pukul 9 malam tadi.

Suasana gembira bercampur sedih menyelubungi hati kedua-dua ibu bapanya, Mat Ali Mat Amin, 67, dan isterinya, Jariah Ishak, 60, sebaik sahaja melihat anaknya berada di pintu rumah dalam keadaan selamat.

Urusan membawa pulang Rozita dari Lombok Timur diusahakan oleh majikannya, Shahrul Nizam Romainoor, 27, setelah berjaya menghubungi Hamdan dan bekas pekerjanya yang masih berada di Lombok Timur minggu lalu.

Shahrul Nizam yang ditemani seorang rakannya mengambil Rozita setelah bot yang membawanya mendarat di Sungai Rengit, Johor, pada pukul 6 pagi semalam.

Menceritakan alasan dia melarikan diri bersama teman lelakinya itu, Rozita memberitahu, dia amat mencintai Hamdan, 21, dan sanggup melarikan diri ke Lombok Timur walaupun tidak memberi sebarang jaminan kebahagiaan kepadanya di sana.

''Sebenarnya kami menjalin hubungan cinta sejak lima bulan lalu tanpa diketahui sesiapa termasuk kedua-dua ibu bapa dan majikan saya, Shahrul Nizam.

''Sehinggalah Hamdan memberitahu untuk membawa saya pulang ke kampung halamannya dan merancang bernikah di sana," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di kampung itu hari ini.

Oleh kerana terlalu percaya dan amat mencintai Hamdan, kata Rozita, dia sanggup berkorban meninggalkan ibu bapa dan pekerjaannya di Pos Betau, dekat sini.

''Ketika dalam perjalanan ke Pulau Batam, Indonesia, fikiran saya bercelaru kerana memikirkan tindakan saya itu salah di sisi undang-undang selain menderhaka kepada kedua-dua orang tua.

"Namun, oleh kerana terlampau mencintai dia, saya mengalah dan meneruskan hasrat ke Lombok," katanya.

Perjalanannya bersama Hamdan ke Lombok Timur, katanya, diuruskan oleh satu sindiket yang menyediakan sebuah bot yang beroperasi di Sungai Tiram, Johor untuk ke Pulau Batam.

Dari Batam, katanya, mereka meneruskan perjalanan menaiki kapal terbang ke Surabaya sebelum menaiki sebuah lagi kapal terbang menuju ke sebuah pekan kecil, Mentara.

"Bermula di pekan kecil itu, kami dibawa menaiki motosikal selama 45 minit ke kampung Hamdan.

"Perjalanan pergi balik saya diuruskan oleh sindiket terbabit yang telah menyediakan tiket perjalanan bot dan kapal terbang," katanya.

Gadis itu menambah, ketika di Lombok Timur, dia dilayan dengan baik oleh keluarga Hamdan yang mempunyai empat beradik.

"Setiba di sana, saya menghubungi ibu dan adik sebanyak dua kali dan memberitahu, saya selamat di rumah Hamdan serta merancang untuk berkahwin," katanya.

Menurutnya Rozita, ibunya yang memahami perasaan dan tindakannya itu merayu supaya kembali ke kampungnya semula jika ingin meneruskan hasrat untuk berkahwin dengan lelaki Lombok tersebut.

"Pada awalnya saya seronok tinggal di rumah Hamdan tetapi lama-kelamaan rindu kepada keluarga semakin kuat sehingga memaksa saya menyatakan hasrat ingin pulang ke Malaysia kepada Hamdan dan keluarganya," katanya.

Dia bernasib baik kerana hasratnya difahami dan tidak dibantah oleh Hamdan dan teman lelakinya itu mengeluarkan belanja menguruskan kepulangannya ke Malaysia mengikut perjalanan yang sama.

"Hamdan menghantar saya ke Mentara sebelum saya dibantu seorang lelaki tidak dikenali menguruskan perjalanan hingga tiba di Sungai Rengit, Johor pada pukul 6 pagi semalam," katanya.

Dia berharap Hamdan kembali semula ke Malaysia untuk mengambilnya sebagai isteri yang sah apatah lagi keluarganya sanggup menerima teman lelakinya itu sebagai menantu.

Sementara itu, Jariah bersyukur kerana anaknya kembali ke pangkuan keluarga selain turut berharap Hamdan datang melamar anaknya di sini.

"Kami tidak marahkan dia (Hamdan). Datanglah ke sini, kita boleh satukan secara sah jika dia berhajat untuk memperisterikan Rozita," katanya.

Dalam pada itu, Shahrul Nizam berharap Rozita dapat meneruskan semula pekerjaannya sebagai pembantu di kedai makan miliknya di Pos Betau di samping melupakan peristiwa pahit yang dialaminya.

"Dia (Hamdan) pun boleh kembali ke sini dan terus bekerja di ladang getah milik saya kerana dia rajin dan jujur.

"Lagi pun Hamdan mempunyai dokumen yang sah untuk masuk dan bekerja di sini," tambahnya.



LAGI




Kerani JKKK hilang

JERANTUT – Seorang kerani Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sebuah Felda dekat sini dipercayai hilang dibawa kenalannya dan gagal ditemui sehingga kini.

Siti Nurhuda Md Isa, 24, dikatakan hilang sejak Tahun Baru Cina lalu selepas dia memberitahu ibu bapanya untuk keluar ke bandar bersama teman.

Bapanya, Md Isa Asaari, 59, berkata, kejadian berlaku pada petang 16 Februari lalu apabila anaknya meminta izin untuk keluar ke bandar Temerloh bersama rakannya, dan anaknya berjanji akan pulang seperti biasa.

Menurutnya, ada penduduk kampung ternampak seseorang menjemput Siti Nurhuda di pondok menunggu bas sekitar jam 6 petang dan memaklumkan kepada dia serta isteri.

“Setelah dimaklumkan, saya menghubungi Siti Nurhuda, namun gagal apabila telefon bimbit dipercayai sengaja dimatikan sehingga ke hari ini.

“Sejak 16 Februari sehingga kini usaha mencari dan menghubungi Siti Nurhuda diteruskan namun gagal, termasuklah bertanya kepada rakan-rakannya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Md Isa berkata, usaha mencari turut dilakukan menggunakan kaedah tradisional iaitu berjumpa bomoh namun gagal dan apa yang paling dibimbangkan ialah jika anaknya dianiaya oleh pihak tidak dikenali.

Menurutnya, laporan polis telah dilakukan pada malam Siti Nurhuda tidak pulang di Balai Polis Bandar Jengka dengan laporan kedua pula dilakukan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jerantut pada 17 Februari.

Sementara itu, isterinya, Zubaidah Sulaiman, 53, berkata, Siti Nurhuda adalah anak bongsunya daripada empat beradik dan amat rapat dengan keluarga, serta tidak berhadapan sebarang masalah.

Menurutnya, anaknya bekerja sebagai kerani JKKK selama lebih enam bulan namun sering memberitahunya apabila mahu ke mana-mana sahaja.

“Saya tidak bimbang kerana selama ini dia tidak pernah menipu dan memberitahu apa sahaja dilakukannya dan ke mana dia pergi.

“Tetapi kali ini jauh berbeza apabila dia pergi terus dan lebih setengah bulan tidak dapat sebarang khabar berita walaupun pelbagai usaha dilakukan,” katanya.

Dia berkata, apa yang menghantui pemikirannya ialah keselamatan anaknya yang tidak diketahui langsung dan amat mengharapkan kerjasama semua pihak membantu menyalurkan maklumat kepadanya sekeluarga juga menghubungi balai polis berdekatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superin���-tenden Jamaluddin Abdul Rahman ketika ditemui berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan kehilangan gadis berkenaan dan polis juga sudah membuka kertas siasatan bagi melakukan gerakan mencari Siti Nurhuda.

No comments:

Post a Comment