Tuesday, February 16, 2010

MACAM2 CARA MEMINANG




Kejutan pasangan papan iklan

Oleh ADHAM SHADAN dan FATIMI NADIAH ZAINUDEEN

Apa perkembangan kisah cinta romantik pasangan papan iklan, David Tan dan Kelly Tan?

BERAPA kerap dapat kita saksikan lamaran melalui papan iklan seperti yang dilakukan David Tan di bahu Lebuh Raya Damansara-Puchong ini?

PADA 13 Februari 2008, sebuah papan iklan gergasi di bahu Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) di Kelana Jaya, Selangor, mencetus persoalan ribuan orang yang menggunakan laluan itu.

Paparan visual seorang lelaki muda yang memegang sekotak cincin dengan soalan ‘Kelly Tan E Li, sudikah awak mengahwini saya?’ begitu membekas dalam ingatan.

Ada yang menyangka ia hanya satu bentuk pengiklanan sebuah perniagaan. Hakikatnya, empunya badan, David Tan, mempertaruhkan nasibnya pada papan itu untuk melamar buah hatinya sendiri, Kelly Tan. Nasib nampaknya menyebelahi David apabila Kelly menerima lamaran itu.

Tindakan berani tersebut mendapat liputan meluas di seluruh negara membuatkan ribuan gadis mencemburui tuah Kelly dilamar sebegitu indah.

“Kami mengambil masa hampir setahun untuk berkahwin selepas lamaran itu kerana membuat segala persiapan perkahwinan sendiri,” ujar David yang kini mengusahakan syarikat rekaan untuk pengiklanannya sendiri, Dope by Design, di Kelana Jaya, Selangor.

Pasangan itu mendaftarkan perkahwinan mereka pada Oktober 2008 manakala majlis perkahwinan diadakan pada Disember 2008.

Kongsi David, perkahwinan yang dirancang dan dilaksanakan tanpa khidmat perancang perkahwinan itu menggabungkan perkahwinan idaman Kelly, dirinya dan keluarga kedua-dua belah pihak.

“Kami menggabungkan perkahwinan gaya tradisional Cina dan Barat yang bermula dengan rombongan pengantin lelaki menjemput pengantin perempuan pada awal pagi, disusuli acara menghidang teh kepada keluarga.

Cinta jarak jauh

“Pada sebelah malam, kami mengadakan acara memotong kek dan makan besar. Majlis itu kami sudahkan dalam sehari saja,” imbas David.

Buat Kelly pula, perkahwinan itu membuatkannya berasa cukup gembira kerana percintaan mereka yang hampir mencecah enam tahun itu akhirnya dapat menyatukan mereka sebagai pasangan suami dan isteri.

“Kami bercinta jarak jauh kerana pada waktu itu saya belajar dan bekerja di Australia sedangkan David bekerja di Malaysia.

“Jadi kami sudah melalui rintangan yang besar untuk sampai ke tahap sekarang,” ujar Kelly ketika ditemui di sebuah restoran di Bangsar, Kuala Lumpur.

SUSULAN daripada lamaran penuh romantis melalui papan iklan pada 13 Februari 2008, Kelly dan David Tan bersatu dalam majlis perkahwinan impian mereka pada Disember tahun yang sama.

Memori itu kata Kelly, akan sentiasa membuatnya tersenyum.

“Ia satu situasi yang amat romantik dan saya pasti setiap gadis mempunyai impian untuk dilamar dalam gaya yang paling romantik,” luahnya.

Mengenang detik yang mendebarkan ketika lamaran itu dibuat, David mengakui beliau tidak mungkin dapat melupakan reaksi balas pada wajah dan gerak-geri Kelly.

“Saya masih ingat wajahnya yang terkejut apabila melihat papan iklan itu ketika kami melaluinya bersama-sama beberapa minit sebelum 12 tengah malam, menjelang Hari Kekasih. Kami membuat pusingan U sehingga dua kali untuk membolehkan Kelly melihat soalan itu dengan jelas.

“Kelly juga meminta untuk melihatnya dari dekat, jadi kami ke (bekas) tapak restoran makanan laut Kelana,” katanya yang merancang lamaran itu sejak September 2007.

Kalau papan iklan itu sudah berkategori gergasi, tentulah kosnya juga tinggi. Namun, bagi David, ia satu pelaburan yang berbaloi.

Satu dalam sejuta

“Kerana Kelly satu dalam sejuta. Dia sangat berkarisma dalam apa jua yang dilakukannya. Saya juga sukakan dirinya yang aktif, penyayang, positif dan tidak menggunakan orang tengah untuk melakukan sesuatu.

“Pada usia yang masih muda, ramai yang mahu mengejar keseronokan, tetapi bukan Kelly. Dia sudah merancang masa depannya dari awal. Disebabkan ciri-ciri inilah, saya pasti dialah pilihan saya dan saya tidak pernah berasa lamaran itu satu pembaziran,” ujar David.

Ketika ditemui pada hari itu, Kelly yang berperwatakan matang, anggun dengan potongan rambut yang lebih panjang berbanding dua tahun lalu. Katanya, mungkin kerana itu, tidak ramai yang mampu mengecamnya wajahnya.

Sebagai pemilik salun dandan dan rias kuku, kuku Kelly turut terias cantik. Sempat juga wanita itu mempromosikan salunnya, Sommerset Nails and Waxing di Bangsar Baru sedang mengadakan tawaran diskaun 50 peratus untuk rawatan IPL Membuang Bulu Badan Kekal.

Ujar Kelly, beliau dan David merupakan pasangan yang sering sibuk. Namun, mereka akan memastikan untuk makan malam bersama-sama setiap hari.

DAVID memastikan pelaburannya membuat lamaran seperti itu berbaloi dengan memilih wanita yang tepat untuk dikahwini.

“Sempena Hari Kekasih dan Tahun Baru Cina ini, saya berharap agar kami berdua terus dikurniakan kebahagiaan,” ujarnya.

Pasangan itu bagaimanapun masih belum merancang untuk memiliki cahaya mata kerana mahu memberi perhatian kepada perniagaan yang sedang diusahakan.

No comments:

Post a Comment