Monday, April 4, 2011

ADAKAH CUKUP DENGAN MINTA MAAF...DAN MENGAKU GAGAL MENGAWAL EMOSI...SEBAB GAGAL NYAWA MELAYANG....INGAT KATA RASULLULLAH SAW....MAKSUDNYA...BAGAIMANA KALAU KAKAK,ADIK ATAU EMAK ENGKAU DIZINA...KATA BAGINDA KEPADA PEMUDA YANG NAK BERZINA.....CUBA KIASKAN.....

Kematian Saiful: Ustaz akui gagal kawal emosi

KANGAR – Seorang ustaz yang disyaki terbabit memukul Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, murid sebuah Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Jejawi, Arau dekat sini sehingga meninggal dunia kelmarin sempat meminta maaf di atas perbuatannya baru-baru ini.
Menurut bapa angkat murid tersebut, Mohd. Zamri Shafie, 40, ustaz berkenaan datang menemuinya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah Jumaat lalu bagi menyatakan kekesalan dan meminta maaf kerana memukul Saiful.
Katanya, ustaz berusia 27 tahun itu mengakui gagal mengawal emosi sehingga hilang pertimbangan ketika menyoal siasat Saiful Syazani Saiful yang juga seorang anak yatim berhubung satu kes kecurian di sekolah tersebut.
“Dia (ustaz berkenaan) tidak sedar ketika memukul Saiful sehingga menyebabkan anak angkat saya cedera parah dan lebih malang meninggal dunia.
“Sedih dan terkilan apa yang terjadi, namun saya menerima permohonan maaf ustaz itu kerana menyifatkan dia seorang yang baik,” katanya.


BILA KURANG SABAR..BARAN...MUDA...NAFSU MENGUASAI AKAL...SYAITAN MERASUK...IBADAH DAN ILMU BOLEH DIRAGUI.....

Cikgu ambil nyawa

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my

ZIARAH... guru serta kenalan keluarga mengusung jenazah Saiful di Masjid Ar-Rahman di Jejawi Dalam, Kangar, petang semalam.
ZIARAH... guru serta kenalan keluarga mengusung jenazah Saiful di Masjid Ar-Rahman di Jejawi Dalam, Kangar, petang semalam.
KANGAR: Hanya kerana wang RM7, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, murid tahun satu sebuah sekolah agama persendirian di Arau, dekat sini, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, pagi semalam, selepas koma sejak tiga hari lalu akibat parah dibelasah gurunya.
Difahamkan, mangsa dipukul dengan teruk kerana didakwa mencuri wang milik rakan sekelasnya.

Mangsa yang sudah kematian ibu, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8 pagi selepas mengalami pendarahan dalaman di kepala dan komplikasi jantung berikutan kejadian di bilik asrama sekolah agama berkenaan, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, ketika mengesahkan perkara itu berkata, murid terbabit disahkan meninggal dunia dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

“Kita akan menjalankan siasatan menyeluruh kejadian itu, apatah lagi ia menjadi bertambah serius kerana membabitkan kematian. Semua pihak berkaitan di sekolah agama itu akan dipanggil untuk siasatan.

“Perintah reman terhadap suspek berusia 26 tahun yang juga guru mangsa yang berakhir esok (hari ini), akan disambung untuk tujuan siasatan,” katanya enggan mengulas lanjut kes itu.

Metro Ahad semalam melaporkan Saiful Syazani dibelasah dengan kejam oleh gurunya yang juga warden asrama dalam keadaan kedua-dua tangannya terikat pada tingkap asrama sehingga menyebabkan mangsa koma dalam kejadian pada kira-kira jam 7 malam, Khamis lalu.

Mangsa dikatakan berjaya membuka ikatan tangannya untuk melarikan diri sehingga menimbulkan kemarahan guru terbabit yang kemudian memukulnya tanpa belas kasihan.
Selepas memukul kepala, suspek dikatakan `naik hantu' dan menggoncang badan mangsa serta menolaknya dengan kuat ke dinding yang dipercayai punca utama murid itu mengalami pendarahan dalam kepala dan komplikasi jantung.

Suspek yang mungkin menyedari kesalahannya dan menyesal dikatakan sempat bersolat hajat sejurus dimaklumkan doktor bahawa mangsa dalam keadaan kritikal sebelum bergegas ke Alor Setar dengan menaiki motosikal untuk melihat keadaan murid terbabit.

Guru terbabit menyerah diri di Balai Polis Arau, Jumaat lalu, selepas bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, pada jam 8 malam hari kejadian.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat, ketika dihubungi berkata, pihaknya menyerahkan kes itu kepada pihak polis kerana sekolah itu milik persendirian dan bukannya di bawah seliaan jabatan berkenaan.

“Kita tidak mahu campur tangan dalam kes ini dan menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit.

“Kami amat sedih dan dukacita di atas kejadian ini dan jika benar perbuatan guru memukul hingga menyebabkan kematian murdnya, ia di luar bidang kuasa guru dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, pengetua sekolah agama terbabit, Yaakub Abu Soman berkata, pihaknya tidak akan membuat sebarang ulasan berhubung kejadian itu yang membabitkan guru dan murid sekolahnya atas arahan polis.

“Kami akan mengadakan sidang akhbar selepas tempoh reman terhadap suspek tamat nanti,” katanya.

Bapa mangsa, Saiful Sopfidee berkata, jenazah anak tunggalnya hasil perkongsian hidup dengan arwah isterinya, Jahiyah Che Amat, dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Paduka di sini, petang semalam. Dia juga berharap guru terbabit dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang kerana perbuatannya yang tidak berperikemanusiaan itu.


DAH MATI TAK GUNA DIKESALI....NI KESAN CEPAT MARAH DAN GOPOH GAPAH....TAKZIAH BAGI KELUARGA PELAJAR NI...ALFATIHAH


NIAT ITU PENTING...HINGGA MEMBAWA KESAN SELEPAS TERCAPAI CITA2...NIAT BELAJAR UNTUK ALLAH BUKAN LAIN DARI ITU...UMUR 7 TAHUN MASIH SUCI...BELUM ADA DOSA... MENGAJAR HINGGA KEJAM BEGINI...MANA KEWARASAN...ADAKAH NI BOLEH DIMAAFKAN SAHAJA....BAGAIMANA KALAU KENA BATANG HIDUNG...JADILAH NI PENGAJARAN....PENDIDIK NI ADALAH BAKAT KURNIAAN ALLAH...BUKAN SEMUA MAMPU...WALAUPUN IA BERPELAJARAN....

Pelajar dipukul hampir dua jam

Laporan dan foto SHAMSUL MUNIR SAFINI
shamsulmunir@hmetro.com.my

   PARAH... keadaan Saiful Syazani yang parah akibat dipukul gurunya, Khamis lalu.
PARAH... keadaan Saiful Syazani yang parah akibat dipukul gurunya, Khamis lalu.
ARAU: Guru syaitan! Demikian gelaran yang patut diberi kepada seorang guru lelaki sebuah sekolah agama, di sini, yang sanggup membelasah seorang murid lelaki berusia tujuh tahun sehingga koma, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, guru berusia 26 tahun itu juga dikatakan bertindak kejam apabila mengikat tangan mangsa, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di tingkap asrama sekolah berkenaan sebelum membelasahnya.

Difahamkan, guru terbabit tidak mengendahkan walaupun mangsa merayu dan menangis supaya perbuatan itu dihentikan.

Sumber polis berkata, mangsa yang diikat dan dipukul hampir dua jam itu bagaimanapun pengsan selepas mengalami kecederaan dalaman di kepala dan badan akibat dipukul bertubi-tubi oleh guru terbabit.


Katanya, guru terbabit berang dengan mangsa yang enggan mengaku terbabit dalam beberapa kejadian kecurian di asrama sekolah berkenaan sebelum itu.

Difahamkan, sebelum itu mangsa pernah dua kali dipukul suspek akibat enggan mengaku mencuri barangan milik pelajar lain di asrama sekolah.

“Selepas mangsa pengsan, guru terbabit panik dan memanggil guru lain sebelum membawa mangsa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kira-kira jam 3 pagi kelmarin dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata dia hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 8 malam kelmarin melalui ibunya ketika anak tunggalnya dipindahkan ke HSB.

“Saya bergegas ke HSB dan sebak melihat keadaan anak saya kini terlantar koma dengan mukanya bengkak selain lebam di mata dan pipi kiri.

“Malah, ada kesan melecet di tangannya kesan akibat diikat dan kini terpaksa menggunakan mesin bantuan pernafasan,” katanya ketika ditemui di HSB, Alor Setar, semalam.

Saiful Sopfidee yang juga pemandu pelancong di Jitra berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya terbabit dalam kecurian kerana dia bukan nakal dan lebih banyak mendiamkan diri.

Katanya, anaknya tinggal bersama keluarga angkatnya di Kangar sejak kematian ibunya, Jahiyah Che Amat pada 2006 dan kali terakhir dia berjumpa Saiful Syazani setahun lalu.

“Muka anak saya betul-betul seiras arwah isteri saya. Doktor kini memaklumkan keadaan anak saya semakin kritikal,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, malam kelmarin.

Katanya, dia mahu individu yang terbabit dalam kejadian itu dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal dengan apa dilakukan terhadap anaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain ketika dihubungi berkata, mangsa dipercayai dipukul kerana disyaki sering mencuri duit seorang pelajar sebelum aktivitinya dilaporkan kepada seorang warden di situ yang juga suspek utama kes ini.

“Suspek yang juga guru sekolah itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, petang kelmarin,” katanya.

Mohd Nadzri berkata, suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan polis kini menyiasat secara menyeluruh mengenai motif dan punca kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.



Murid dipukul meninggal, penyelia asrama ditahan
Apr 3, 11 5:53pm
Murid yang dikatakan dipukul oleh seorang guru di asrama sebuah Sekolah Agama Rakyat di Jejawi, Perlis sehingga koma Khamis lalu, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star hari ini.

Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, disahkan meninggal dunia pada pukul 8.50 pagi tadi sejak dimasukkan ke hospital berkenaan Jumaat lepas.

Mayatnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tok Paduka, Kangar petang ini.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 7 malam pada hari kejadian apabila seorang guru lelaki yang berumur 26 tahun dikatakan telah memukul kanak-kanak tersebut selama hampir dua jam sehingga dia pengsan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Supt Nashir Ya berkata suspek yang juga penyelia asrama sekolah berkenaan telah ditahan pada pukul 10 malam tadi.

"Polis masih menunggu laporan bedah siasat dan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Ibu angkat mangsa, Hazirah Chin, 38, berkata sebelum dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, anak angkatnya yang tidak sedarkan diri itu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada pukul 1.40 pagi Jumaat.

"Saya dapat panggilan dari seorang ustaz. Dia tanya sama ada Saiful ada penyakit tarik (sawan). Saya kata tak ada. Lepas tu dia kata dia nak datang ambil saya ke hospital sebab Saiful masuk hospital dan kena pindah ke hospital di Alor Setar," katanya di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah.

Hazirah berkata dia dapat melihat kesan melecet pada pergelangan tangan mangsa selain kesan lebam di bahagian matanya.

"Saya diberitahu Saiful alami pendarahan di bahagian kepala. Pada mulanya doktor kata dia stabil tapi semalam (Sabtu) doktor beritahu dia sudah tak ada harapan untuk hidup," katanya.

"Ketika mula-mula masuk asrama, arwah gembira sangat-sangat. Dia kerap balik sebab sekolah tak sampai satu kilometer dari rumah kami," tambahnya.

Bapa kandung mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata anaknya dipelihara oleh keluarga angkat selepas isterinya meninggal dunia ketika Saiful Syazani baru berusia tiga tahun.

"Kali terakhir saya bertemu anak saya setahun lalu, sebab saya tinggal di Langkawi dan baru berpindah ke Jitra sebulan lalu," katanya.

Saiful Sopfidee berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa anaknya pada pukul 8 pagi pada hari Jumaat bahawa Saiful Syazani dimasukkan ke hospital kerana dipukul orang.

Selepas melihat keadaan anaknya akibat dipukul, Saiful Sopfidee telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada petang Jumaat.

- Bernama



Shahrizat: Siasat segera kes murid maut dipukul guru
Apr 4, 11 4:18pm

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mahu polis melakukan siasatan terperinci dan cepat berhubung kes seorang murid Tahun Satu yang dikatakan dipukul seorang guru di asrama sehingga menyebabkan kematian.
Shahrizat yang kesal dengan kejadian itu, berkata siasatan pantas pihak polis adalah bagi membolehkan pihak yang terbabit segera dihadapkan ke mahkamah.
"Perkata sebegini tidak sepatutnya berlaku lagi dan tidak boleh berlaku lagi, siasatan rapi dan secepat mungkin perlu dilakukan dan pihak terbabit mesti diheret ke muka pengadilan," katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian seorang murid lelaki Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, yang dikatakan dipukul oleh seorang guru di asrama sebuah Sekolah Agama Rakyat di Jejawi, Perlis.
Kanak-kanak itu dikatakan dipukul sehingga koma Khamis lepas dan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar pukul 8.50 pagi semalam.
Shahrizat berkata institusi sekolah sepatutnya menjadi pelindung kepada kanak-kanak dan kejadian seumpama itu sepatutnya tidak berlaku di negara ini.
Terdahulu, Shahrizat menghadiri majlis perasmian rumah Kanak-kanak Sultanah Hajjah Kalsom (RKKSHK) yang dirasmikan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.
Turut hadir Sultanah Pahang Sultanah Kalsom dan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.
Berucap pada majlis itu, Shahrizat berkata rumah kanak-kanak itu dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan rumah berkenaan adalah yang pertama di Malaysia bagi melatih tenaga kerja profesional dan cemerlang dalam pemeliharaan, perlindungan dan pembangunan kanak-kanak.
"Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom disasarkan sebagai pusat kecemerlangan pemeliharaan, perlindungan dan pembangunan kanak-kanak di Malaysia dan rantau Asean.
"Rumah ini disasarkan sebagai penanda aras dan pusat rujukan kepada negara-negara Asean. Latihan-latihan yang dianjurkan di rumah ini akan melibatkan ahli-ahli akademik, pakar psikologi kanak-kanak serta wakil pertubuhan bukan kerajaan yang arif dalam hal ehwal pembangunan dan kelangsungan hidup kanak-kanak," katanya.
RKKSHK dibina di kawasan seluas 20 hektar di Penor, dekat sini dan boleh menempatkan 300 kanak-kanak dan RKKSHK yang telah beroperasi pada 15 Dis lepas itu menumpukan kepada kanak-kanak perempuan yang berusia 11 hingga 18 tahun.
- Bernama


Kes murid maut dibelasah guru 'tak boleh dimaafkan'
Apr 4, 11 4:41pm

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kes murid sekolah agama yang dibelasah guru sehingga maut merupakan jenayah serius dan perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata walaupun sekolah berkenaan bukan di bawah Kementerian Pelajaran, namun perbuatan guru itu tetap tidak boleh dibiarkan kerana ia membabitkan keselamatan murid.
"Sebagai Menteri Pelajaran saya memandang berat sama ada sekolah itu dalam sistem pendidikan atau di luar. Kes mendera sehingga maut pelajar kecil satu tindakan jenayah dan pihak berkuasa harus menyiasat kenapa hal seperti ini berlaku sehingga membawa ajal.
"Bila ibu bapa menyerahkan anak mereka kepada pihak sekolah, ia menjadi tanggungjawab guru dan sekolah kena memberi perhatian tentang keselamatan mereka, (bukannya mendera mereka) apalagi dilakukan oleh guru yang sepatutnya bertanggungjawab mendidik anak-anak," katanya.
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas kes murid Tahun Satu sebuah sekolah agama persendirian di Perlis, Saiful Syazani Saiful Sapfidee, 7 yang meninggal dunia semalam selepas tiga hari koma akibat dibelasah gurunya.
Mangsa menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami pendarahan dalaman di kepala dan komplikasi jantung akibat kejadian itu yang berlaku di bilik asrama sekolah agama itu, Khamis lepas.
Muhyiddin berkata, memandangkan kementerian tidak terlibat secara langsung dalam memantau disiplin di sekolah-sekolah swasta, tetapi beliau berpandangan bahawa sekolah-sekolah berkenaan termasuk sekolah agama rakyat perlu mempunyai kaedah standard dalam menguruskan soal disiplin pelajar.

Beliau berkata, pihak sekolah harus menetapkan pihak yang harus diberi tanggungjawab untuk memantau disiplin pelajar dan sistem kawalan tertentu bagi menangani pelajar yang terlibat dalam salah laku disiplin, termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa jika perlu.
Katanya bagi sekolah-sekolah di bawah kemententerian, terdapat mekanisme khusus untuk menangani kes salah laku disiplin termasuk berhubung tindakan yang boleh diambil terhadap pelaku sekiranya terdapat bukti jelas mengenai kesalahan yang dilakukan.
Dalam isu lain, Muhyiddin berkata, kementerian akan meneliti cara terbaik untuk memenuhi kehendak sesetengah pihak yang mahu supaya penggunaan Bahasa Inggeris diteruskan dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains.
"Kita sudah putuskan mengenai soal pembelajaran Matematik dan Sains yang akan diajar dalam Bahasa Malaysia menerusi pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Malaysia memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) tetapi kita akan teliti bagaimana hendak memenuhi kehendak sesetengah pihak yang mementingkan soal pembelajaran Bahasa Inggeris ini," katanya.
Muhyiddin bagaimanapun tidak menetapkan tempoh masa bila perkara itu akan diputuskan kerana menyifatkan penelitian mengenai perkara itu akan mengambil masa termasuk untuk melihat implikasinya ke atas keputusan kerajaan sebelum ini.
- Bernama

No comments:

Post a Comment