Monday, October 31, 2011

PATUT SEGALA CERITA DAN PERISTIWA YANG BERLAKU...SEBAGAI IKTIBAR SERTA PENGAJARAN....AGAR KITA BERHATI2...

Anak gadis ghaib tak ambil periksa



KULIM: “Kami kini bimbang kerana Nur Ainina tidak hadir ke sekolah pada 24 Oktober lalu, sekali gus gagal mengambil dua subjek terakhir pada peperiksaan akhir tahun sebelum menghilangkan diri dan gagal dikesan.”
Begitu kata Mohd Zuki Jahaya, 47, dari Kampung Perenggang, Lunas, dekat sini, apabila anak perempuannya, Nur Ainina Adila, 14, pelajar Sekolah Menengah Lunas menghilangkan diri sejak seminggu lalu.

Mohd Zuki berkata, kali terakhir dia melihat anak perempuannya ketika mahu dihantar jirannya, Rosnah Ahmad, 46, ke Sekolah Menengah Lunas, di sini, dengan menunggang motosikal pada jam 11.30 pagi hari kejadian.
Menurutnya, anak bongsu daripada empat beradik berkenaan ketika itu berperwatakan seperti biasa apabila hanya memakai baju-T sekolah biru dan ungu serta berseluar sukan berwarna hitam.

“Pada hari terakhir persekolahan sebelum cuti Deepavali, dia ke sekolah dengan memakai baju-T, sedangkan dia sepatutnya mengambil dua subjek untuk peperiksaan akhir tahun.

“Bagaimanapun, kehilangannya disedari jiran kami apabila mahu menjemput Nur Ainina pulang selepas dia tidak muncul di pintu masuk sekolah pada jam 6.45 petang.

“Berikutan itu, Rosnah menghubungi isteri saya, Siti Hajar Othman untuk mengetahui sama ada anak kami sudah pulang ke rumah dengan ahli keluarga lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Katanya, hasil maklumat daripada rakan-rakan anaknya, dia diberitahu anak perempuannya langsung tidak hadir ke sekolah dan gagal mengambil dua subjek bagi peperiksaan akhir tahun.
“Terkejut dengan berita itu, kami mencari sehingga malam di Bukit Mertajam dan rumah saudara-mara serta kenalannya di Lunas, tetapi gagal lalu membuat laporan di Balai Polis Lunas pada hari kehilangannya,” katanya. Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenai Nur Ainina diharap menghubunginya di talian 019-5253307 atau isterinya, Siti Hajar Othman di talian 019-5033091 atau balai polis berhampiran.


Anak sulung berhenti sekolah akibat kemiskinan



CAMERON HIGHLANDS: Akibat kesempitan hidup, seorang pekerja kebun sayur di Kampung Melayu, Brinchang, di sini, terpaksa memberhentikan persekolahan anak sulungnya setakat tahun enam.
Rosli Shariff, 35, berkata, dia terpaksa berbuat demikian terhadap Intan Nursyahirah, 13, bagi mengurangkan beban sekali gus memberikan peluang kepada tiga lagi anak lain meneruskan persekolahan.

Menurutnya, dia yang bekerja dengan mengangkat kotak dan bakul sayuran untuk dipunggah ke atas lori dan cuma menerima upah harian antara RM25 hingga RM30 menyebabkannya sukar untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak.
Katanya, bagi membantu menyara keluarga, isterinya, Fadilah Pelek, 36, pula bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah menengah di Tanah Rata. Namun, upah yang diterimanya rendah dan sekadar cukup untuk membeli makanan. “Pendapatan kami berdua tidak mampu menampung kehidupan seharian sekeluarga serta perbelanjaan persekolahan tiga anak yang masih belajar dalam tahun lima, tahun dua dan tadika di Pekan Brinchang.

“Jika masalah kesempitan kewangan ini masih berterusan, kemungkinan tiga anak saya bakal mengalami nasib yang sama seperi kakaknya apabila hanya belajar setakat tahun enam,” katanya.

Sementara itu, Intan Nursyahirah berkata, dia berharap dapat bersekolah semula bersama dengan rakan sebayanya.

“Tidak ada apa yang kurang pada diri saya kerana saya boleh membaca, menulis dan mengira. Tetapi, disebabkan kemiskinan keluarga membantutkan hasrat saya untuk meneruskan persekolahan dan mencapai cita-cita menjadi seorang guru.

“Saya merayu kepada pihak berkenaan yang sudi membantu dengan menampung perbelanjaan sekolah supaya saya dapat meneruskan pembelajaran sehingga peringkat tertinggi,” katanya.


Masuk jerat ‘broker’

Oleh Zarina Abdullah
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Teruja mendapatkan keuntungan sebagai rakan kongsi broker tanah yang dijanjikan bernilai lebih RM700,000, seorang petani warga emas kerugian RM20,000 apabila ditipu satu sindiket yang menyamar sebagai broker, pemilik dan pembeli tanah, 13 Oktober lalu.
Mangsa dari Kampung Lingai, Batu Rakit, di sini pada mulanya didatangi seorang lelaki yang mengaku sebagai broker kononnya untuk menyewa sebidang tanah miliknya pada kadar RM2,000 bagi perusahaan burung walet.

Terpikat dengan sewaan itu, mangsa berjumpa dengan broker berkenaan di sebuah hotel pada 13 Oktober.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Azmi Adam berkata, sebaik mangsa berbincang dengan broker itu, datang seorang lelaki yang menyamar sebagai pemilik tanah, kononnya mahu menjual sebidang tanahnya di bandar raya ini dengan harga RM800,000 kepada broker berkenaan.

Beliau berkata, beberapa ketika kemudian datang pula seorang lelaki yang mengaku berpangkat Datuk dan bersetuju membeli tanah yang mahu dijual ‘pemilik tanah’ berkenaan dengan harga RM3 juta.

Katanya, sebaik membuat semakan mengenai tanah itu melalui dokumen, mangsa diajak berkongsi menerima keuntungan hasil penjualan tanah berkenaan daripada broker itu.

“Mangsa ditawarkan satu pertiga daripada keuntungan bernilai RM2.2 juta atau lebih RM700,000.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran berkenaan terus bersetuju dan pada masa sama melihat ‘Datuk’ berkenaan menyerahkan wang tunai RM130,000 kepada broker terbabit sebagai deposit pembelian sebelum berjanji membayar selebihnya harga tanah itu keesokan harinya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya semalam.
Azmi berkata, sebaik ‘Datuk’ itu beredar, ‘pemilik tanah’ itu berkeras mahu mendapatkan keuntungan bahagiannya berjumlah RM700,000 pada hari sama menyebabkan broker berkenaan meminta mangsa mendahulukan wangnya sebanyak RM20,000.

Menurutnya, tanpa berlengah, mangsa pergi ke sebuah bank di bandar raya ini dan mengeluarkan wang tunai yang dikehendaki sebelum menyerahkannya kepada broker terbabit.

Namun, mangsa terkejut apabila dihubungi broker itu sekali lagi keesokan harinya dan meminta tambahan bayaran sebanyak RM10,000 lagi.

“Terkejut dengan permintaan itu, mangsa mula curiga dan bertanya broker itu mengenai keuntungan bahagiannya dalam penjualan tanah seperti yang dijanjikan. Sebaik beberapa soalannya tidak berjawab, broker itu tiba-tiba memutuskan talian telefon menyebabkan mangsa gagal menghubunginya lagi selepas itu.

“Mangsa yang curiga selepas menunggu selama empat hari kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada 18 Oktober kira-kira jam 1.30 tengah hari dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan curangnya mendorong supaya harta diserahkan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun, disebat atau boleh juga didenda,” katanya.

Azmi berkata, orang ramai diingatkan jangan terpedaya dengan tawaran tidak munasabah untuk mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa kepada pihak tidak bertanggungjawab.


Bimbang Nurul Adiba diculik



BALING: “Saya tak tahu di mana dia sekarang dan saya bimbang dia diculik,” kata Sharifah Abdul Shukor, 49, ibu angkat kepada Nurul Adiba Ahmad, 21, yang menghilangkan diri selepas keluar untuk ke kedai di Kampung Asam Jawa, di sini, sejak Selasa lalu.
Sharifah ketika ditemui berkata, Nurul Adiba yang bekerja di kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Asam Jawa, di sini, hilang sebaik keluar ke kedai runcit bagi membeli barang keperluan kantin sekolah berkenaan, jam 3.30 petang.

“Kedai itu hanya terletak beberapa meter dari sekolah. Dia memakai baju berwarna merah jambu dan berseluar coklat gelap ketika ke kedai itu,” katanya yang mengusahakan kantin sekolah berkenaan.
Sharifah berkata, dia tidak tahu kenapa Nurul Adiba menghilangkan diri kerana mereka sekeluarga tidak pernah bertengkar dengannya.

Katanya, walaupun gadis itu anak angkat, dia tidak pernah membezakannya dengan lima lagi anak kandungnya.

“Saya tak tahu jika dia termakan hati dengan saya. Namun sebelum kehilangannya, saya dan keluarga tidak pernah bertengkar dengannya,” katanya yang turut membuat laporan polis berhubung kehilangan gadis itu.

Menurutnya, dua hari lalu dia menerima Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada Nurul Adiba mengatakan jangan bimbang mengenainya kerana dia di tempat selamat.

“Selepas dapat SMS itu, saya terus menghubunginya namun telefon itu ditutup. Saya cuba berkali-kali, namun tiada hasil. Saya bimbang jika yang hantar mesej itu bukan Nurul Adiba tetapi orang lain yang menggunakan telefon bimbitnya,” katanya.
Sesiapa yang terjumpa atau mempunyai maklumat mengenai Nurul Adiba diminta menghubungi Sharipah di talian 019-5166518.

Mekanik ditahan bersama pistol



KOTA BHARU: Seorang mekanik berusia 24 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes tembak hingga mengakibatkan kematian kepada seorang pekerja kampung dipercayai akibat hutang dalam kejadian di Rantau Panjang, baru-baru ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abd Rahman berkata, suspek ditahan Sabtu lalu, manakala hasil siasatan pada 24 Oktober lalu turut menemui sepucuk pistol bersama empat butir peluru dipercayai terbabit dalam insiden tembak berkenaan.

“Sebaik ditahan siasatan kemudian dilakukan terhadap suspek dan pada jam 10.15 malam, 24 Oktober lalu, polis berjaya menemui sepucuk pistol bersama peluru berkenaan dan senjata berkenaan diperbuat dari China.
“Ketika ini, lelaki berkenaan ditahan reman sehingga 2 November ini untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, berikutan kejadian itu, Mohd Anuar Mato Nor, 31, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kelmarin dan kes yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kini dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Kahwin 7 hari

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my

ALOR GAJAH: Seorang isteri muda yang digantung tidak bertali dan dianugerahkan tubuh menggiurkan, dikesan menggunakan kelebihannya itu untuk mendapatkan wang bagi menyara anak selain memenuhi tuntutan batinnya.
Isteri berusia 18 tahun tahun itu menjadi idaman lelaki mata keranjang yang sanggup berhabis wang untuk menidurinya kerana pakej lengkap dimilikinya.

Dia mengakui selain bagi mencari nafkah untuk seorang anak perempuan tidak sah taraf hasil hubungan terlarang dengan seorang lelaki dua tahun lalu, dia turut mendapat kepuasan seks.

Wanita itu yang dikenali sebagai Ita berkata, dia berkahwin dengan seorang lelaki seawal usia 14 tahun atas pilihan keluarganya.


Bagaimanapun, dia ditinggalkan selepas seminggu berkahwain sebelum melakukan beberapa pekerjaan bagi menyara dirinya.


2 rentung dalam kereta

Oleh Suraya Roslan dan Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor
am@hmetro.com.my

MARAK...Honda City dan Iswara Aeroback  marak terbakar.
MARAK...Honda City dan Iswara Aeroback marak terbakar.
MAUT...Mugunthan dan Jothi rentung.
MAUT...Mugunthan dan Jothi rentung.
REMBAU: “Pasangan suami isteri itu meronta dalam kereta yang sedang terbakar, namun kami gagal menyelamatkan mereka kerana kaki kedua-dua mangsa tersepit,” kata saksi kejadian kemalangan ngeri menyebabkan pasangan suami isteri rentung di Kilometer 16, Jalan Seremban-Tampin berhampiran Ladang Perhentian Tinggi, Pedas dekat sini, semalam.
K Anbarasu, 24, berkata, ketika kejadian, dia bersama rakannya berada di kuil berhampiran dan terkejut mendengar dentuman kuat.

“Saya dan rakan meluru keluar ke arah dua kereta yang terbakar serta cuba menyelamatkan mangsa yang terperangkap di dalamnya. “Kami cuba membantu pasangan suami isteri berkenaan yang ketika itu meronta-ronta meminta tolong, namun gagal kerana kaki mereka tersepit selain api mula marak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Dalam kejadian jam 8.50 pagi semalam, K Jothi, 35 dan suaminya, P Mugunthan, 42, rentung apabila Honda City dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain.

Dua anak mereka M Vasigaran, 14, dan M Sreekanthan, 10, sempat diselamatkan orang ramai yang memecahkan cermin kereta.

Seorang lelaki berusia 20-an iaitu pemandu Proton Iswara yang turut terbakar dapat diselamatkan orang ramai, manakala pemandu Toyota Camry yang turut terbabit dalam kemalangan itu tidak cedera.

Anbarasu berkata, dia terkejut apabila Honda City dinaiki mangsa dan Proton Iswara hangus terbakar, sekali gus gagal menyelamatkan kedua-dua mangsa.

“Namun, sebelum saya tiba, orang ramai berjaya menyelamatkan dua anak lelaki mangsa dengan memecahkan cermin kereta itu.
“Saya sedih dan kecewa apabila gagal menyelamatkan pasangan itu berikutan api begitu marak menyebabkan mereka terkorban ketika penganut Hindu sedang menyambut Deepavali,” katanya. Sementara itu, adik kepada Jothi, K Vishnu, 28, berkata, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku sekelip mata berikutan sempat menemui kakak dan abang iparnya pada pagi kejadian (semalam).

“Tidak sangka kakak dan abang pergi ketika masyarakat Hindu menyambut Deepavali, malah turut meninggalkan dua anak lelakinya.

“Kami sempat meraikan Deepavali pada awal pagi di Taman Seremban Jaya sebelum mereka empat beranak menuju ke Palong, Jempol sebelum pulang ke Skudai, Johor,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tuanku Jaafar Seremban di sini, semalam.

Vishnu berkata, lebih menyayat hati apabila anak saudaranya, Vasigaran menyaksikan sendiri detik kematian ibu bapanya yang hangus rentung sebelum dia dikejarkan ke HTJS untuk menerima rawatan.

“Namun, saya bersyukur kerana dua anak saudara selamat dan tidak menyangka sambutan perayaan ini bertukar menjadi hari kematian mereka,” katanya.

Menurutnya, abang iparnya bekerja di Singapura dan berasal dari Kuala Selangor, manakala kakaknya suri rumah tangga.

Harian Metro difahamkan, Sreekanthan yang mengalami kecederaan dalaman menerima rawatan di HTJS, manakala Vasigaran hanya cedera ringan.

Pensyarah minta tubuh

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim, Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Pensyarah miang. Itulah gelaran buat seorang lelaki yang juga pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang berusia 50-an apabila mencabul seorang pelajar perempuan dalam biliknya di universiti berkenaan, kelmarin.
Lebih keji, pensyarah itu didakwa cuba memaksa pelajar berusia 23 tahun berkenaan melakukan aksi ringan-ringan dengan mengumpan untuk meluluskan pelajar itu dalam peperiksaan selepas mangsa enggan melayani kehendak seksualnya.

Bagaimanapun, keengganan mangsa memenuhi permintaannya menyebabkan pensyarah itu mula bertindak kasar dengan meraba serta mencium gadis terbabit menyebabkan berlaku pergelutan dalam bilik berkenaan.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa bernasib baik apabila berjaya keluar dari bilik pensyarah berkenaan sebelum membuat aduan kepada pensyarah lain dan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini.

Sumber berkata, kejadian bermula ketika mangsa mahu ke bilik pensyarah berkenaan bagi menghantar tugasan yang diberikan.

“Namun, dia terserempak lelaki itu di luar bilik sebelum mangsa diberikan kunci dan diarah menunggu di dalam bilik itu.

“Pensyarah itu muncul kira-kira 10 minit kemudian. Sebaik masuk ke biliknya, pensyarah berkenaan terus memegang pipi mangsa sebelum duduk di kerusinya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang bingung dengan tindakan itu memberitahu mahu menghantar tugasan.
“Bagaimanapun, pensyarah itu mendakwa tidak mahukan tugasan berkenaan sebaliknya memberitahu mahukan benda lain,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang tidak faham kemudian bertanya apa yang dimahukan pensyarahnya itu.

“Dengan bersahaja, pensyarah itu bangun dan mengunci pintu bilik sebelum menarik tangan mangsa serta memeluknya. Lelaki terbabit kemudian memberitahu mahu mencium mangsa.

“Mangsa cuba menolak dengan baik, namun lelaki itu terus meraba badannya walaupun dia merayu tidak diperlakukan demikian,” katanya.

Katanya, mangsa yang bengang dengan tindakan itu memarahi pensyarah terbabit.

“Difahamkan, lelaki itu dengan bersahaja mengumpan untuk meluluskan mangsa jika memenuhi kehendak seksualnya,” katanya.

Biarpun diumpan dengan keputusan cemerlang, mangsa masih berkeras menolak pelawaan lelaki itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka. Pelajar terbabit bernasib baik kerana berjaya keluar dari bilik sebelum membuat aduan kepada pensyarah dan kakitangan universiti berkenaan. Mangsa yang trauma dengan insiden itu kemudian tampil membuat laporan di IPK Kuala Lumpur, selepas dinasihatkan rakan, pensyarah lain dan keluarganya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK).


Tertonggeng dalam baldi



LEMAS...anggota polis mengusung mayat budak ditemui lemas dalam baldi, semalam.
LEMAS...anggota polis mengusung mayat budak ditemui lemas dalam baldi, semalam.
IPOH: Tindakan seorang ibu meninggalkan anak perempuan berusia tiga tahun mandi bersendirian, berakhir dengan tragedi apabila kanak-kanak itu ditemui lemas dalam keadaan tertonggeng di dalam baldi di bilik air rumahnya di Taman Rasi, Menglembu, dekat sini, pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu disedari wanita itu sejurus pulang ke rumahnya selepas keluar sebentar kerana mempunyai urusan.

Perasaan tidak sedap hati ibu mangsa selepas beberapa kali tidak menyahut panggilannya menjadi kenyataan sejurus menjenguk ke bilik air apabila melihat anaknya, Wong Bao Lim tertonggeng di dalam baldi.
Dia segera mengeluarkan mangsa dan cuba menggerakkan badan serta memanggil nama anaknya, namun tidak mendapat sebarang reaksi apabila mangsa tetap kaku tidak bergerak.

Ibu mangsa yang masih tidak berputus asa kemudian membawa kanak-kanak itu ke sebuah klinik berdekatan untuk rawatan kecemasan tetapi doktor yang melakukan pemeriksaan mengesahkan anaknya sudah
meninggal dunia.
Seorang wanita yang juga saudara keluarga malang itu berkata, mangsa adalah seorang anak yang berdikari dan sudah biasa mandi bersendirian sejak berusia dua tahun.

“Kami sekeluarga masih terkejut dan seperti tidak percaya dengan kejadian menimpa mangsa. Tetapi perkara paling menyedihkan kami mangsa seperti tahu akan pergi meninggalkan ibunya buat selama-lamanya.

“Ia berikutan tindakan mangsa mengajak ibunya mandi bersama pada pagi tadi (semalam) selepas hampir setahun tidak berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.
Jurucakap polis berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 10.20 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu. Katanya, mangsa dikatakan hilang imbangan badan ketika sedang bermain bersendirian di bilik air akibat lantai licin sebelum terjatuh ke dalam baldi dalam keadaan kepala dulu.

“Mangsa dipercayai cuba meronta menyelamatkan diri tetapi gagal selepas badannya tersepit dalam baldi sebelum lemas.

“Setakat ini polis mengklasifikasikan kejadian sebagai kes kematian mengejut. Bagaimanapun polis masih menunggu laporan hasil bedah siasat untuk mengenalpasti punca kematian mangsa dan setakat ini,” katanya.

Bagaimanapun, usaha menemubual ibu bapa mangsa gagal kerana masih trauma dan sedih dengan kejadian menimpa anak kedua mereka ini.


Ajal ziarah pusara ibu

Oleh Zulfa Mohamad dan Azma Razana Johari
am@hmetro.com.my

PILU...ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan.
PILU...ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan.
USUNG...polis mengangkat mayat mangsa di tempat kejadian, semalam.
USUNG...polis mengangkat mayat mangsa di tempat kejadian, semalam.
PRAI: Ketika kubur isterinya masih merah, seorang lelaki terpaksa menanggung kesedihan berganda apabila anak keduanya pula maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok berhampiran Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang (JPP) di sini, semalam.
Kejadian berlaku jam 8 pagi ketika mangsa, Batrisyia, 7, bersama tiga adik-beradiknya menaiki Toyota Avanza dipandu bapa mereka, Osman Kerya, 42, dalam perjalanan dari Batu Uban, di sini, ke Grik, Perak, untuk menziarahi kubur isterinya, Norzita Mustafa, 37, yang meninggal dunia 12 hari lalu akibat kanser tulang.
Ketika tiba di tempat kejadian, kereta Osman dipercayai bergesel lori sebaik melepasi Plaza Tol JPP sebelum terbabas dan merempuh pokok di kiri jalan. Berikutan itu, mangsa tercampak keluar sebelum meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala dan anggota badan.

Selain Osman yang cedera di kedua-dua tangan, tiga lagi anaknya, Balqis, 10, Baizatul Akmah, 6, dan Baizatul Husnah, 4, cedera dan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini. Nenek mangsa, Fatimah Wan Chik, 70, yang juga ibu Osman berkata, pada awalnya anaknya merancang ke Grik hari ini, tetapi mengubah rancangan dengan bertolak pagi semalam.


“Dia (Osman) mahu bawa anak-anak menziarahi kubur isteri yang meninggal dunia 12 hari lalu akibat kanser tulang.


Gantung diri putus cinta

Oleh Ahmad Othman
metrojb@yahoo.com

KULAIJAYA: Seorang remaja lelaki terkejut apabila bekas kekasih yang dihubungi semula selepas kurang dua jam memutuskan hubungan cinta mereka menggantung diri di kediamannya di sebuah tanah rancangan Felda di sini, kelmarin.
Dalam kejadian itu, gadis berkenaan yang berumur 14 tahun ditemui dalam keadaan tergantung di bilik tidur kediaman keluarganya pada jam 12 tengah hari.

Sumber terdekat dengan keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian, pada jam 10.30 pagi, remaja lelaki berkenaan ada menghubungi mangsa dan memutuskan perhubungan cinta mereka.
“Kurang dua jam kemudian, remaja lelaki itu menghubungi mangsa buat kali kedua untuk berbincang berkaitan beberapa hal peribadi tetapi terkejut apabila panggilannya dijawab oleh ahli keluarga mangsa yang memaklumkan gadis berkenaan sudah meninggal dunia.

“Remaja lelaki itu kemudiannya menceritakan apa yang berlaku antaranya dengan gadis berkenaan sebelum kejadian kepada keluarga mangsa, dia nyata kesal dengan perkara terbabit,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT).

Menurut sumber, mangsa pelajar tingkatan dua di sekolah sama dengan bekas teman lelaki yang menuntut di tingkatan empat dan kejadian hanya disedari adik gadis berkenaan yang curiga selepas panggilannya tidak bersahut.

Sumber berkata, adik mangsa mengintai melalui lubang kunci dan terkejut mendapati kakaknya terkulai dengan kain batik terjerut pada leher. Difahamkan, mangsa mungkin tertekan dengan perpisahan yang berlaku, dia kemudiannya dipercayai mengikat sehelai tuala pada lubang angin di dinding bilik.

Selepas itu, mangsa mengambil kain batik lantas diikat pada tuala berkenaan, kemudiannya, kain batik terbabit dijerut pada lehernya sebelum dia dikatakan terjun dari paras tinggi. Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kulaijaya, Mansor Othman dan pengetua sekolah mangsa turut hadir menziarahi jenazah mangsa, hadir sama Pengerusi Majlis Belia Felda Negeri Johor, Nanndzri Nasib. Nanndzri berkata, Ia ujian berat daripada Tuhan dan kita sebagai hamba perlu reda dengannya, kita akan membantu keluarga mangsa mengikut kesesuaian,” katanya.
Sementara itu, sumber polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian tetapi enggan mengulas kerana kes masih dalam siasatan.

Tertekan terjun bangunan

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

KAJANG: “Saya terlalu tertekan sehingga tanpa berfikir panjang mengambil keputusan terjun dari sebuah bangunan,” kata seorang muallaf yang kini lumpuh separuh badan selepas mengalami kecederaan tulang belakang akibat jatuh dari tingkat lima sebuah bangunan di Klang, September lalu.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Yusuf, 42, berkata, dia mengambil tindakan melulu itu kerana tidak tahan dengan tekanan keluarga selepas memeluk Islam kira-kira dua tahun lalu.

“Hari itu, saya bergaduh besar dengan keluarga ibu mentua, saya tidak boleh berfikir dengan betul dan kebetulan nampak sebuah bangunan berhampiran. Saya naik ke tingkat lima dan terjun,” katanya yang kini ditempatkan di Pusat Jagaan Siti Nor Aini, di sini.

Dalam kejadian 12 September lalu, Yusuf yang cedera parah dihantar ke hospital sebelum dibawa ke Pusat Jagaan Siti Nor Aini kerana tidak ada waris mahu menjaganya.


Naib Pengerusi Pusat Jagaan Siti Nor Aini, Dr Abdullah Noel Micheal berkata, berdasarkan kecederaan dialami Yusuf, dia perlu dijaga sepanjang hayat kerana sudah hilang upaya.

No comments:

Post a Comment