Saturday, November 5, 2011

BILA ARTIS TAK TUTUP AURAT@BERTUDUNG...MACAM TIADA PIHAK MENEGUR ATAU MELARANG....APA KOMEN MUFTI2..ULAMAK2 TERSOHOR...USTAZ2@PENCERAMAH2 YANG HEBAT..APA ISTIMEWA MEREKA...REMAJA TAK KUAT IMAN AKAN MENGIKUTNYA...

Patah kaki hampir 50 kali

Oleh HADZLAN HASSAN, HIDAYATUL AKMAL AHMAD dan NAZDY HARUN
metahad@hmetro.com.my

BENGKOK... Hashim menunjukkan kaki anaknya yang turut membengkok selepas patah lebih 20 kali.
BENGKOK... Hashim menunjukkan kaki anaknya yang turut membengkok selepas patah lebih 20 kali.
SOKONGAN... Fatihah perlu diawasi jika ingin keluar rumah.
SOKONGAN... Fatihah perlu diawasi jika ingin keluar rumah.
KUALA TERENGGANU: Dia gadis pandai tetapi diuji Tuhan dengan sepasang kaki istimewa yang terlalu rapuh hingga patah hampir 50 kali, menyebabkannya tidak lagi boleh berjalan.
Akibat kekurangan itu, Nurul Fatihah Hashim, 16, kini menjadi pemalu dan kurang keyakinan diri, sedangkan dulu dia murid cerdik dengan pencapaian 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mengekalkan keputusan baik dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.

Untuk bergerak, Fatihah terpaksa menggunakan kerusi roda sambil kebiasaannya menyembunyikan kedua-dua kakinya kerana malu dan tidak sanggup diejek rakan sebaya.
Selain Fatihah, dugaan ini sebenarnya turut dikongsi bapanya, Hashim Omar, 53, abangnya, Asrul, 23, dan pasangan kembarnya, Mohd Syafiq, 16, cuma masalah Fatihah paling kronik.

Menurut Mohd Syafiq, kehadiran Aidilfitri atau Aidiladha dalam sejarah hidupnya tidak pernah seceria orang lain kerana mereka tidak boleh bergerak jauh seperti remaja lain, selain hidup serba kekurangan dengan keadaan kakinya yang rapuh.

“Sebenarnya saya sudah biasa begini, dulu ada pelajar sekolah mengejek memanggil kami penyu kerana keadaan kaki dan pergerakan saya seperti reptilia itu.

“Mulanya malu juga namun lama-kelamaan saya tidak peduli, cuma kakak yang masih malu mungkin kerana keadaan kakinya semakin teruk sejak kami membesar.

“Pernah satu ketika, kerusi roda kakak ditarik atau dihentak pelajar nakal menyebabkan kakinya patah, namun selepas insiden itu, kami tidak lagi diganggu kerana mereka takut melihat kesan yang kami tanggung akibat perbuatan mereka,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di Perkampungan Orang Kurang Upaya (OKU), Pulau Kerengga, Marang, dekat sini.
Syafiq mewarisi penyakit tulang rapuh daripada Ha- shim, menyebabkan organ kakinya patah tidak kurang 20 kali hanya kerana tersepak tunggul, tersepak kaki sendiri, terhentak, jatuh kerusi roda atau tersilap duduk dan akibatnya betisnya membengkok. Lebih memburukkan keadaan, kulitnya turut sensitif dan luka jika terkena seluar dipakai.

Bagaimanapun, Fatihah mengalami kesan paling teruk apabila kakinya patah hampir 50 kali, menyebabkan kedua-dua kakinya semakin melidi dan membengkok. Dia terpaksa mengengsot untuk bergerak atau berkerusi roda ketika di sekolah.

“Setiap kali patah, kami memerlukan dua hingga tiga bulan untuk kembali pulih dan keadaan itu menyebabkan pembelajaran kami terjejas, biasanya kakak yang sering mengulang kaji pelajaran di rumah, jadi tidak hairan dia mampu menjadi pelajar cemerlang,” katanya.

Syafiq dan Fatihah biasanya menjalani aktiviti bersama, menyebabkan mereka seakan-akan tidak dapat dipisahkan dan ia mungkin kerana perkongsian rahim kira-kira 15 tahun dulu, namun yang membezakan mereka ialah Fatihah kini menjadi semakin pemalu dan kurang keyakinan diri akibat kekurangan dialaminya.

Sebaliknya, Syafiq yang hanya mengalami sindrom itu pada kaki kanan dilihat tetap aktif walaupun pergerakan terbatas kerana masih mampu menggunakan sebelah lagi kakinya untuk bergerak.

Hashim pula berkata, sindrom itu dialami ketika dia berusia belasan tahun dan ia berjangkit pula kepada tiga daripada lapan anaknya.

“Saya bernasib baik kerana kerapuhan tulang saya hanya berlaku dari paras paha ke bawah, menyebabkan organ lain tidak terjejas dan akibatnya doktor menasihatkan kami sekeluarga minum susu khas untuk mengekalkan kekuatan tulang dan bukan untuk menguatkan tulang.

“Dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya tidak mampu membelanjakan setin susu RM50 seminggu tetapi bersyukur dengan apa yang diterima kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya sekeluarga,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga anaknya mengalami sindrom tulang rapuh sejak berusia 18 bulan iaitu ketika mula belajar berjalan, sekali gus menjejaskan pembesaran mereka kerana tidak dapat bergerak aktif berikutan risau cedera terlanggar tunggul kayu atau anak tangga.

“Jika tersilap langkah, mereka terpaksa menanggung akibatnya antara dua hingga tiga bulan sementara menunggu kecederaan pulih semula. Fatihah kini menanggung rasa sakit dan malu yang teramat sangat kerana melalui kesan patah sehingga 50 kali, menyebabkan struktur kakinya semakin pipih seolah-olah akar kayu.

“Akibatnya, dia yang semakin meningkat remaja kini menjadi pemalu dengan kekurangan dirinya dan hanya tuhan dapat memahami perasaan kami sekeluarga kerana penyakit dialami tiada penawar,” katanya.

Akibatnya, empat beranak itu terpaksa menyusun langkah berhati-hati setiap hari supaya tulang tidak patah lagi akibat terlanggar objek, manakala Fatihah menggunakan sebiji bantal bagi memudahkannya mengengsot untuk bergerak dalam rumah.

Ketika di luar rumah, hanya kerusi roda menjadi teman dan Fatihah mula kurang bergaul dengan rakan, mungkin disebabkan kekurangan diri.

Hashim berkata, keluarganya menempuhi kesukaran hidup dengan penuh kesabaran dan saling menjaga antara satu sama lain bagi mengelak ditimpa kemalangan.

“Sebenarnya saya bersyukur dengan keadaan ini kerana ada hikmah di sebaliknya. Ia serba sedikit membuktikan kesetiaan isteri, Nurzaimah Husin, 46, yang tetap bersama-sama menghadapi dugaan ini.

“Pengorbanan isteri dan anak sangat bernilai bagi saya, cukup dengan apa yang mereka tanggung, setiap kali Aidiladha, saya memanjat kesyukuran dengan kesanggupan mereka berkorban keinginan untuk hidup senang seperti orang lain.

“Kadangkala saya hampir putus harapan kerana tidak mampu memberikan kelengkapan atau keperluan mewah kepada mereka.

“Namun apakan daya, dengan kudrat yang tidak seberapa, kami sekeluarga masih dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan bantuan bulanan RM300 daripada JKM,” katanya.

Risiko Nadia

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my

NADIA... bersedia menunggu kritikan penonton.
NADIA... bersedia menunggu kritikan penonton.
MENGHIDUPKAN watak Zaiton Sameon menerusi filem biografi, Zaiton Ceritaku, satu tanggungjawab besar buat Nadia Aqilah, apatah lagi nama itu bukan calang-calang dalam arena seni suara tanah air. Pelantun lagu Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar itu pernah menjadi bualan hangat masyarakat baik perihal keberanian, kehebatan vokal, kontroversi yang mengiringi kembara seninya mahupun tragedi yang meragut segala kemasyhuran yang dikecapi.
Tawaran yang hadir bagaikan bulan jatuh ke riba. Biarpun pada awalnya tertekan memandangkan masa untuk melakukan persediaan terlalu pendek, kepercayaan yang diberikan produksi dan pengarah menyuntik keyakinan dalam dirinya untuk menzahirkan harapan yang ingin disampaikan Zaiton kepada masyarakat ke layar perak. “Zaman kemuncak Zaiton, saya baru berusia tiga tahun. Tak sangka apabila berumur 26 tahun, saya terpilih untuk melakonkan wataknya.

“Saya sangat berbesar hati dan terharu dengan kepercayaan yang diberikan pengarah filem ini, Isma Daniel. Biarpun masih hijau dalam bidang ini, dia yakin dengan kemampuan saya. “Terus-terang, apabila diterima menerajui filem ini, saya rasa gugup dan tertekan. Ketika itu saya masih terikat dengan pementasan teater muzikal, The Secret Life of Nora di Istana Budaya. Bagaimanapun, kata-kata semangat yang diberikan oleh Isma dan pereka produksi filem ini, Azma Aizal Yusoof sedikit sebanyak meredakan perasaan itu, malah selepas bertemu Zaiton untuk mengetahui kisah hidupnya, perlahan-lahan timbul keyakinan di hati. “Memandangkan cuma ada empat atau lima hari untuk melakukan persediaan sebelum masuk ke lokasi penggambaran, saya terus melakukan penyelidikan dengan menonton video persembahan Zaiton dan mengkaji karakternya. Setiap hari saya jumpa Isma untuk mendalami karakter dan tahu apa yang dia mahu. “Seronok bekerja dengan Isma kerana dia beri kebebasan kepada saya. Kalau suka persembahan saya, dia akan cakap terima kasih dan jika sebaliknya dia akan cuba cara lain hinggalah berpuas hati.
“Sikap terbukanya membuatkan saya rasa sangat selesa untuk berbincang dan bertanya apa saja yang saya kurang faham,” katanya.

Mengulas lanjut filem terbitan Bruang Filem Sdn Bhd itu, Nadia berkata, penggambaran bermula sejak 29 November lalu dan dijangka berlangsung 25 hari sekitar Kuala Lumpur dan Kalumpang, Selangor. Meskipun hujan setiap hari, penggambaran berjalan lancar, bahkan semua yang menjayakan produksi bersatu hati serta bekerja keras demi memastikan Zaiton Ceritaku mencapai piawaian ditetapkan. Paling penting kata Nadia, keikhlasan setiap mereka yang terbabit memberikan aura positif di lokasi penggambaran. Katanya lagi, apa yang bakal dipertontonkan di layar perak nanti adalah perjalanan hidup Zaiton yang tidak diketahui orang ramai dan mesej di sebalik cerita berkenaan diharap dapat membuka mata masyarakat untuk menyayangi dan menghargai penyanyi terkenal itu. “Saya tidak boleh menjadi Zaiton, apa yang boleh saya buat adalah menyampaikan hasrat hatinya kepada orang ramai. Saya melakonkan gambaran Zaiton daripada kaca matanya, apa yang dia percaya dan rasa.

“Yang boleh saya simpulkan, dia juga seperti kita, menjalani kehidupan normal dan ada perasaan. “Ketika di kemuncak populariti, diva kesayangan ramai ini hilang segala-galanya dalam sekelip mata. Tragedi nahas jalan raya yang berlaku pada 21 Februari 1990 di Batang Kali, meragut nyawa anak tunggal kesayangannya, Azirwan Abu Bakar yang berusia 13 tahun, bahkan hidupnya bagaikan hilang arah selepas itu. Dia tidak tahu ke mana mahu melangkah.

“Lebih menyedihkan, masyarakat seakan-akan menghukumnya, malah ramai hilang kepercayaan dengan keupayaannya.

“Macam-macam yang pernah saya dengar tetapi apabila bertemu dengannya, saya rasa sangat kagum dengan ketabahannya.
“Biarpun melalui kehidupan yang sangat menyedihkan, dia masih teguh berdiri dan meletakkan harapan tinggi supaya diterima menyanyi semula di atas pentas. Bagi saya dia ‘bionic woman’. “Penderitaan yang dilaluinya tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata.

“Bayangkanlah, sedar saja daripada koma, dia hilang segala-galanya, termasuk anak. Adalah normal jika dia berpelakuan seperti mana yang orang cakap sebelum ini,” katanya. Ditanya adakah dia bersedia menerima kritikan berikutan penangan kontroversi yang pernah menghimpit Zaiton pada zaman kegemilangannya, sambil ketawa Nadia berkata, menerima tugas ini bermakna dia sanggup berdepan apa saja kemungkinan yang mendatang. “Terus-terang saya tidak tahu betapa hebat kontroversi wanita bernama Zaiton Sameon. Dulu saya cuma tahu lagu Menaruh Harapan yang pernah menjuarai Juara Lagu 1987.

“Apapun, skrip filem ini tidak memfokus perihal kontroversi, sebaliknya menjelaskan akibat dan apa yang berlaku dalam hidup Zaiton.

“Kita tidak memanaskan kembali kontroversi lalu, cuma memandangkan filem ini mengangkat kisah benar yang berlaku dalam hidup Zaiton, adalah sedikit yang kita sentuh seperti bajunya. “Selebihnya, pengarah mahu mengetengahkan sisi berbeza Zaiton yang belum diketahui ramai sebelum ini,” kata Nadia.


Pemandu panjat kereta

Oleh IBRAHIM ISA
ibrahim@hmetro.com.my

ANGKAT...anggota  bomba berusaha mengeluarkan kereta  terjatuh ke dalam Sungai Pandan.
ANGKAT...anggota bomba berusaha mengeluarkan kereta terjatuh ke dalam Sungai Pandan.
JOHOR BAHRU: Seorang wanita maut manakala suaminya cedera apabila kereta Toyota Vios dipandu lelaki berkenaan merempuh penghadang jalan sebelum terjunam ke Sungai Pandan di Kilometer 9.5 Jalan Johor Bahru — Kota Tinggi, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7 pagi, kereta itu dipercayai dipandu laju sebelum pemandunya disyaki gagal mengawal kenderaan apabila tiba di lokasi sebelum terjunam ke sungai.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail berkata, kereta berkenaan dipandu laju sebelum cuba mengelak sebuah motosikal ketika tiba di lokasi.
Katanya, ketika itu pemandu berkenaan dipercayai hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan sebelum terbabas ke sungai.

“Pemandu terbabit berjaya memanjat kereta dan menjerit meminta bantuan, menyebabkan beberapa pemancing di kawasan berhampiran cuba menyelamatkan isterinya.

“Bagaimanapun, orang ramai gagal menyelamatkan isterinya yang tenggelam bersama kereta sebelum menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Difahamkan, pemandu berkenaan, Tan Lay Choon, 49, warga Singapura terselamat dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala isterinya, Pan Sua Yean, 45, berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, kereta berkenaan dari Kota Tinggi dan dalam perjalanan ke Singapura.
Katanya, apabila tiba di lokasi, pemandu berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan lalu merempuh penghadang jalan, sebelum terbabas ke Sungai Pandan.

“Isteri mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suaminya terselamat dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

“Kereta Toyota Vios milik mangsa dikeluarkan dari sungai dua jam kemudian dan kami menyiasat kes ini mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Berikutan itu, sesiapa yang melihat kejadian diminta tampil memberi kenyataan bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat berkata, unit menyelam pasukan berkenaan mengambil masa sejam bagi mengeluarkan mayat Sua Yean yang terperangkap di dalam kereta sebelum dihantar ke HSI untuk bedah siasat.

Makanan halal sukar

Oleh ADHA GHAZALI
am@hmetro.com.my

SONGKHLA (Thailand): Kira-kira 30,000 penduduk beragama Islam yang terjejas akibat bencana banjir di empat wilayah di utara Bangkok sejak Julai lalu, kini turut berdepan masalah mendapatkan bekalan makanan halal.
Malah, keadaan penduduk Islam di wilayah Pathum Thani, Nontanburi, Ayutthaya dan Nakhon Sawan dilaporkan semakin terdesak berikutan meragui status halal bantuan makanan yang diterima daripada kerajaan Thailand.

Pengarah Pusat Perhubungan Sheikhul Islam Songkhla, Abdul Halim Lateh berkata, walaupun menerima bantuan makanan daripada kerajaan, ia tidak dapat dimanfaatkan sebaik mungkin kerana status halal makanan terbabit diragui.

Menurutnya, status halal tetap menjadi keutamaan masyarakat Islam di kawasan yang terjejas berkenaan walaupun mereka kini ditimpa bencana.

“Kami (Pejabat Perhubungan Sheikhul Islam Songkhla) baru saja menghantar dua lori mengandungi stok air mineral berharga lebih RM40,000 ke pejabat Seikhul Islam di Bangkok untuk diagihkan kepada mangsa banjir, dua hari lalu.

“Bantuan itu diperoleh hasil kutipan daripada 376 masjid sekitar wilayah ini sejak pertengahan Oktober lalu, dan kini kami terima dua lori bantuan daripada Malaysia di mana keutamaan akan diberikan kepada penduduk Islam yang terjejas,” katanya di sini, kelmarin.


Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam Songkhla (Mais) sebelum itu menerima dua treler stok bantuan kemanusiaan disalurkan Malaysia meliputi air mineral dan bekalan makanan bernilai lebih RM26,000 di pejabat Mais, di sini.

Semua stok sumbangan Persatuan Keselamatan Sukarela Kerian (PKSK) dan Skuad Bantuan Krisis Malaysia (CSRM) Alor Setar itu disampaikan Penyelaras Misi yang juga Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Latt Shariman Abdullah.

Sementara itu, Latt Shariman berkata, penghantaran stok bantuan kemanusiaan itu adalah kali kedua selepas penghantaran 1,000 kotak air mineral yang diserahkan kepada Ketua Polis Hatyai, Jirawat Payungtham, minggu lalu.

“Hari ini (kelmarin) kita hantar 1,600 kotak air mineral dan pelbagai stok makanan lain yang diserahkan kepada pejabat Sheikhul Islam sebagai saluran pengagihan.

“Selepas ini tiga lori air mineral lagi akan menyusul yang dijangka dihantar dalam tempoh terdekat.

“Kita mengalu-alukan mana-mana NGO untuk membantu mangsa banjir dan mereka yang berminat boleh menghubungi CSRM atau Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) sebagai saluran bantuan,” katanya.

Jumpa bayi dalam parit

Oleh FAIRUL ASMAINI MOHD PILUS
asmaini@nstp.com.my

LEDANG: “Saya sangka saya berkhayal atau ia hanya suara kucing apabila terdengar sayup suara menangis, namun terkejut apabila menemui seorang bayi di dalam parit,” kata penoreh getah, Mohd Shuib Md Dasin, 53, ketika ditemui di Kampung Melayu Raya, Sagil, di sini, semalam.
Shuib mengimbau kembali penemuan bayi perempuan berkenaan ketika dia menoreh getah di kebunnya yang terletak bersebelahan ladang kelapa sawit, jam 9 pagi semalam.

Menurut Shuib, dia terdengar suara seakan-akan bunyi menangis tanpa henti lantas mendorongnya untuk menyiasat.
“Saya mencari dari mana suara itu datang dan selepas beberapa minit, bayi perempuan itu ditemui dalam keadaan bogel di dalam parit yang tidak berair dan kelihatan letih kerana menangis tanpa henti.

“Saya bergegas memanggil isteri dan kemudian membalut bayi itu dengan kain untuk mengelakkannya kesejukan sebelum memaklumkan penemuan kepada penduduk kampung supaya menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Muhammad Salleh Abd Razak ketika dihubungi berkata, anggota di Balai Polis Sagil menerima panggilan telefon daripada penduduk memaklumkan penemuan bayi itu.

“Kami bergegas ke sana sejurus kemudian dan mendapati bayi berkenaan dalam keadaan sihat. Bayi itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh kurang 24 jam sebelum ditinggalkan di kebun getah.

“Bayi itu dihantar ke Hospital Tangkak untuk pemeriksaan sebelum ditempatkan di wad bagi pemerhatian lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi, dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut Salleh, pihaknya akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap mana-mana suspek bagi mengenal pasti ibu bapa bayi berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perkara ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Ledang di talian 06-9781222 bagi membantu siasatan.


Bieber bukan lelaki pertama



TIDAK MENGAKU...Bieber mendakwa tidak pernah bertemu Mariah selama ini.
TIDAK MENGAKU...Bieber mendakwa tidak pernah bertemu Mariah selama ini.
LOS ANGELES: Wanita yang mendakwa melahirkan anak Justin Bieber dilaporkan pernah membuat tuduhan sama ke atas lelaki lain tahun lalu.
Mariah Yeater, 20, didakwa mengaitkan teman lelakinya, John Terranova, menyebabkan dia hamil ketika mereka terbabit dalam pertengkaran ganas dan membawa kepada penangkapannya.
Laman sesawang TMZ melaporkan, Mariah berpacaran dengan Terranova menjelang akhir persekolahannya dan membuat tuduhan berkenaan ketika melawat rumah lelaki terbabit di Las Vegas pada Disember tahun lalu.

Memetik kenyataan nenek Terranova, Frances Lippe, cucunya itu menafikan sekeras-kerasnya menyebabkan Mariah hamil.


“Penafian itu menyebabkan Mariah berang dan memecahkan satu daripada tingkap kereta kami,” katanya.

Berdasarkan laporan polis dibuat keluarga Terranova, Mariah juga didakwa menampar Terranova dalam tiga kejadian berasingan apabila dia dituntut membayar ganti rugi ke atas cermin kereta yang dipecahkannya.

Sementara itu, sumber polis berkata, Mariah ditahan atas tuduhan menyebabkan kecederaan, tetapi dia mendakwa mabuk ketika serangan dilakukan.

Menurut Frances, selepas insiden itu mereka tidak lagi tahu di mana Mariah.

Pada 6 Julai lalu, Mariah melahirkan bayi lelaki di San Diego.

Dia kemudian memfailkan permohonan untuk mendapat pengesahan mahkamah bahawa Bieber adalah bapa kepada anaknya itu.

Permohonan Mariah akan didengar pada 15 Disember itu.

Bieber, 17, segera menafikan dakwaan itu.

“Saya tak pernah bertemu wanita terbabit,” katanya.

Jika dakwaan Mariah itu benar, dia berdepan pula dengan tuduhan merogol kanak-kanak kerana tahun lalu, Bierber baru berusia 16 tahun. - NYDN

Dipecat hina Hamid Karzai



KABUL: Seorang jeneral tentera AS dipecat selepas menuduh beberapa pemimpin, termasuk Presiden Afghanistan, Hamid Karzai, tidak berterima kasih atas sokongan Washington, kata pegawai kerajaan semalam.
Mejar Jeneral Peter Fuller yang sebelum ini menjadi Timbalan Komander Nato untuk melatih tentera Afghanistan dilepaskan daripada jawatannya kerana membuat komen tidak wajar dalam temuramah disiar laman sesawang Politico pada Khamis lalu.

Dalam temubual itu, Fuller mendakwa beberapa pemimpin Afghanistan tidak menghargai sepenuhnya kos kemanusiaan dan kewangan ditanggung AS di negara itu.
Mereka juga, kata Fuller, didapati terpisah daripada realiti.

Fuller turut mengecam Hamid kerana akan menyokong Pakistan jika Islamabad berperang dengan AS satu hari nanti.

“Kamu pasti bergurau. Kami baru saja memberi kamu AS$11.6 bilion (RM36 bilion) dan kini kamu berkata kepada saya bahawa kamu langsung tak peduli? “Apabila mereka akan mengadakan pilihan raya presiden, kamu wajar berharap Afghanistan akan mendapat lelaki yang lebih waras,” katanya.

Menurut komander Nato, Jeneral John Allen, kenyataan Fuller itu tidak menggambarkan pendirian pertubuhan ketenteraan berkenaan terhadap Hamid.

“Komen tidak wajar itu tidak membayangkan hubungan erat kami dengan kerajaan Afghanistan atau kegagalan misi Nato di negara ini,” katanya.
Sementara itu, jurucakap tentera Nato berkata, Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta, menyokong penuh keputusan memecat Fuller. - AFP

No comments:

Post a Comment