Wednesday, December 14, 2011

ADAKAH JENAYAH MAKIN BERTAMBAH NI...TAK MEMBIMBANGKAN KITA KER....HUKUM ALLAH SAJE YANG MAMPU MENGURANGKAN...

Perompak guna Steyr tersungkur



BANK di Taman Muda, Ampang Jaya yang menjadi sasaran perompak yang mati ditembak semalam.



AMPANG JAYA - Seorang ahli perniagaan bagaikan tidak percaya bahawa kelibat seorang lelaki lengkap bersenjata raifal Steyr yang berada dalam sebuah bank di Taman Muda di sini semalam merupakan aksi rompakan yang benar-benar berlaku.
Semasa kejadian pada pukul 3.30 petang itu, Mohd. Ayuhamdi Md. Hamdani, 25, yang sedang minum di sebuah warung yang terletak dalam jarak 50 meter dari bank menjadi sasaran perompak tersebut.
"Macam adegan dalam filem apabila saya tiba-tiba nampak orang berlari keluar dari bank sebelum saya menghampiri bank itu untuk melihat apa yang berlaku.
"Dari dekat saya kemudian nampak seorang lelaki memakai topi keledar, pakai sarung tangan hitam, menggalas sebuah beg dan bersenjata api memberi arahan kepada kakitangan bank supaya memasukkan duit dalam beg galas yang dibawanya," cerita saksi itu ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.
Pada masa sama, cerita saksi itu, suspek yang bengis sambil menghalakan senjata api (Steyr) itu secara rambang, mengarahkan semua pelanggan dalam bank tersebut menundukkan kepala menyebabkan ada antara pelanggan itu menangis kerana terlalu takut.
Namun Ayuhamdi berkata, ketika perompak itu mahu melarikan diri bersama beg galas, dia tiba-tiba rebah dalam bank tersebut akibat terkena tembakan yang dilepaskan seorang pengawal keselamatan menggunakan pump gun.
Pengawal keselamatan bank itu melepaskan tembakan dari sebalik tiang di bangunan bank berkenaan iaitu dalam jarak 50 meter dari suspek.
"Topi keledar yang dipakai oleh suspek tertanggal dan serentak itu banyak darah keluar dari kepalanya," cerita Ayuhamdi lagi.


Parti goyang Tekno Batam



SEBAHAGIAN daripada 28 remaja menunggu untuk menjalani ujian air kencing selepas ditahan di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya, Melaka semalam.



MELAKA – Muslihat licik sekumpulan 28 anak muda yang menempah sebuah bilik karaoke kononnya untuk menyambut hari lahir seseorang terbongkar apabila mereka didapati menukarkan ‘majlis’ itu kepada parti menghisap dadah beramai-ramai semalam.
Perbuatan tidak berakhlak remaja berusia di antara 13 dan 29 tahun tersebut terbongkar apabila parti liar di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya di sini diserbu pada pukul 2.45 pagi. Mereka mula masuk ke situ kira-kira dua jam sebelum serbuan.
Ketika serbuan kesemuanya sedang asyik menggoyangkan kepala masing-masing mengikut rentak irama muzik Tekno Batam.
Polis yang menyertai serbuan Ops Pusat Hiburan itu turut terperanjat apabila bukan sahaja menemui pelbagai jenis dadah seperti syabu, ekstasi dan eramin 5 malah terdapat sebuah dulang yang dipenuhi serbuk ketamin dipercayai diambil melalui hidung oleh pengunjung.
Kesemua dadah itu ditemui di atas lantai bilik dan di dalam beg tangan pengunjung selepas pemeriksaan rapi dilakukan.
Serbuan itu turut menahan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun bersama ibunya berusia 29 tahun yang merupakan pelayan premis termasuk enam remaja bawah umur.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Md. Azmi Othman memberitahu, pihaknya menyerbu dua buah bilik di premis itu.


11 penyamun ditahan sekitar JB



MOKHTAR (dua dari kiri) memegang parang yang dirampas daripada penyamun di Johor Bahru semalam.



JOHOR BAHRU – Polis berjaya menahan 11 lelaki yang dipercayai terlibat dalam empat kes samun berasingan di sekitar negeri ini dan merampas pelbagai barangan berharga dalam tempoh seminggu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dengan tertangkapnya suspek berusia antara 17 hingga 36 tahun itu, pihaknya telah berjaya menyelesaikan lebih 10 kes samun di sekitar negeri ini.
Jelasnya, pada 9 Disember lalu, polis menahan sekumpulan empat lelaki yang disyaki terlibat dengan kes samun di Tampoi, Taman Universiti dan Skudai.
Katanya, tangkapan dibuat di sebuah flat Kangkar Tebrau di sini selepas pihak polis menerima laporan berlaku kejadian samun di ketiga-tiga tempat itu antara pukul 4 hingga 5 pagi.
“Ekoran itu, kita menahan empat suspek dan merampas pelbagai barang dipercayai hasil samun antaranya dua bilah parang, tiga telefon bimbit, wang tunai dan dua motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, pada 8 Disember lalu, pihaknya menangkap tiga lelaki kerana disyaki terlibat dalam kes samun bersenjatakan parang ke atas sebuah kenderaan di Jalan Hang Lekiu, Taman Skudai kira-kira pukul 10 malam.
Polis juga merampas sebuah kenderaan yang dilaporkan hilang di Johor Jaya, dua bilah parang, tiga bilah pisau, lapan buah telefon bimbit dan satu cota besi.


Pasangan ditahan miliki pistol



MOKHTAR menunjukkan pistol yang dirampas pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.



JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita serta merampas sepucuk pistol jenis Revolver .38 beserta peluru dalam satu tangkapan di Kawasan Rehat Simpang Renggam di sini Ahad lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Syariff berkata, kedua-dua suspek berusia 32 dan 29 tahun itu ditangkap pada pukul 4.30 pagi selepas pihaknya menerima maklumat hasil pemeriksaan di sebuah rumah di Jalan Belibis, Taman Perling di sini.
Ujar beliau, hasil pemeriksaan di rumah terbabit pada pukul 1.30 pagi, pihaknya menemui dua kotak yang mengandungi 203 butir peluru di dalam sebuah bilik.
"Bertindak atas maklumat yang diberikan, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita di kawasan rehat Simpang Renggam dipercayai dalam perjalanan ke utara dan polis menjumpai sepucuk pistol jenis Revolver beserta tujuh butir peluru dan satu kelongsong peluru," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini semalam.


Kanak-kanak hidup selepas dilanggar kereta


Reuters
SEJUMLAH orang bertindak
mengangkat sebuah kereta yang
melanggar seorang kanak-kanak
perempuan di Wenzou, China dalam usaha untuk menyelamatkannya.



WENZOU, China - Sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang disiarkan semalam di China menunjukkan usaha menyelamat seorang kanak-kanak perempuan yang dilanggar sebuah kereta.
Rakaman CCTV menunjukkan kanak-kanak berusia lima tahun itu duduk di tengah sebatang jalan raya di sini.
Ibu kanak-kanak itu cuba untuk memaksanya berjalan ke sebuah tadika tetapi anaknya itu enggan dan duduk di tengah-tengah jalan raya.
Justeru, ibunya berjalan dengan meninggalkan kanak-kanak berkenaan.
Dia menganggap kanak-kanak itu akan mengikutinya.
Namun, sebuah kereta berwarna hitam membelok dan bergerak ke arah kanak-kanak itu.
Kereta tersebut kemudian melanggar kanak-kanak berkenaan.
Ibu kanak-kanak itu dan pemandu kereta berkenaan serta orang ramai bergegas untuk menyelamatkan si mangsa.
Seramai 16 orang membantu untuk mengangkat kereta berkenaan bagi menyelamatkan kanak-kanak tersebut yang terperangkap di bawah kenderaan itu.
Kanak-kanak itu dihantar ke sebuah hospital dan dilaporkan hanya mengalami cedera ringan. - Agensi

No comments:

Post a Comment