Sunday, July 1, 2012

BILA MANUSIA HILANG RASA MALU...PERKARA ITU TELAH JADI BIASA...AKHIR JADI BUDAYA...MAKA ISLAM MELARANG HINGGA HUDUD PERLU MEMBENTERAS GEJALA2 YANG TIDAK SIHAT DAN TAK BERMORAL....

Lima tahun jadi tebusan ibu tiri

MOHD. KHAIRUN memeluk Nurmasyita Amiera (kiri) dan Nurul Safiza sambil
diperhatikan oleh Nordi dan Muhammad Nurhan (kanan) di KLIA, Sepang semalam.


SEPANG - "Kami hanya diberi makanan dua senduk nasi sehari, dipaksa masuk ke hutan dari pagi hingga ke petang dan mencari hasil hutan untuk dijual sebelum duit jualan dibahagikan kepada ibu tiri kami.
"Kalau kami buat salah walaupun kecil, kami akan dipukul," kata seorang daripada tiga kanak-kanak rakyat Malaysia yang 'diselamatkan' Pemuda UMNO selepas hidup bersama ibu tiri mereka di Lampung, Sumatera untuk dijadikan tebusan bagi memeras ugut bapa kandung tiga beradik itu.
Nurul Safiza Fitri, 11, anak kedua daripada empat adik-beradik itu mengadu, sejak tinggal dengan ibu tiri, Kasini Kaslam, 25, mereka dipaksa bekerja dan selalu dipukul walaupun atas kesalahan kecil, selain tidak dibenarkan bersekolah.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Mohd. Khairun Aseh berkata, kejayaan misi membawa pulang Nurul Safiza serta dua adiknya, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurmasyita Amiera, 8, adalah berkat kerja keras kakitangan biro itu yang bertolak ke Lampung pada 26 Jun lalu.
Bagaimanapun, kakak mereka, Siti Norzana, 12, gagal dibawa pulang kerana tinggal dengan saudara Kasini di Temusuci, Jawa Timur.
"Walaupun pelbagai halangan yang perlu ditempuhi pegawai kami dalam misi membawa pulang tiga beradik itu di sana, termasuk memandu hampir tujuh jam, namun itu tidak mematahkan semangat mereka untuk mengeluarkan adik-beradik itu daripada kehidupan yang daif di sana.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kedutaan kita di Indonesia dan pihak berkuasa republik itu kerana telah membantu dalam proses membawa pulang kanak-kanak itu," katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan tiga beradik itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Mohd. Khairun berkata, rentetan masalah itu bermula apabila ibu kandung kanak-kanak terbabit, Mohaina Asmad, 34, yang berasal dari Sabah, meninggalkan mereka dan suaminya, Nordi Adi, 57, pada 2005.
Nordi kemudian berkahwin dengan Kasini yang kerap membantunya dalam menguruskan perniagaan baja pertanian semasa di Pontian, Johor pada tahun 2007.
Dia kemudian membawa keempat-empat anaknya itu berhijrah ke Lampung, Sumatera untuk memulakan hidup baharu bersama keluarga Kasini di Lampung.
Namun setahun kemudian, Nordi pulang ke Malaysia seorang diri untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.
"Dia (Nordi) pernah berhasrat membawa pulang anak-anak tetapi isterinya menghalang.
"Kasini juga mengugut supaya diberikan wang sebagai syarat untuk Nordi membawa pulang keempat-empat anaknya," kata Mohd. Khairun.
Kosmo! pada 26 Jun lalu melaporkan dakwaan Nordi bahawa dia telah mengeluarkan RM27,000 daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan wang itu kemudian diberikan kepada Kasini.
Namun tindakan itu nyata sia-sia kerana wanita tersebut didakwa tetap berkeras untuk tidak membenarkan empat beradik terbabit dibawa pulang.
"Nordi kemudian meminta bantuan kami dan syukurlah usaha kita berjaya," katanya.
Menceritakan pengalamannya dalam misi itu, Penolong Pegawai Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Zuhairi Selamat, 39, berkata, pelbagai halangan terpaksa ditempuhi beliau dan rakannya, termasuk berdepan masyarakat kampung yang tidak memahami situasi sebenar semasa proses rundingan dilakukan.
"Kita terpaksa berdepan masalah dengan pihak Imigresen kerana kanak-kanak tersebut memasuki Indonesia secara tidak sah. Mereka tidak mempunyai dokumen ketika memasuki republik itu. Namun hasil perbincangan kedua-dua pihak, akhirnya mereka dibenarkan berlepas ke negara ini," katanya.
Sementara itu, Nordi tidak dapat membayangkan keadaan anak-anaknya jika tidak dibawa pulang ke Malaysia.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana sudi membawa pulang anak-anak saya. Tanpa bantuan mereka, mungkin saya tidak dapat lagi bertemu dengan mereka," katanya sambil menambah isteri keduanya itu telah diceraikan kelmarin dengan talak satu.

Jumpa anak selepas tujuh tahun dilarikan isteri




KUALA LUMPUR - Seorang bapa, Hanafi Salleh, 36, tidak mampu menahan air mata kegembiraan setelah dipertemukan semula dengan dua anak lelakinya yang didakwa dilarikan ke New Zealand oleh isterinya tujuh tahun lalu.
Dia yang ditemani Setiausaha Agung Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Abdul Khalid Chairul sempat beramah mesra dengan dua anaknya, Muhammad Syayden Ingham, 12, dan Muhammad Jamey Alano Ingham, 9, di sebuah taman permainan di Nelson City, New Zealand semalam.
Menurut Abdul Khalid, pertemuan yang turut dipantau wakil Kementerian Pembangunan Masyarakat New Zealand iaitu Nelson Site Child Youth and Family (CYF) bakal menentukan keputusan permohonan membawa pulang dua kanak-kanak itu ke Malaysia.
"Dua kanak-kanak tersebut gembira berjumpa Hanafi dan teruja untuk mengetahui lebih lanjut kehidupan di Malaysia.
"CYF amat mementingkan kebajikan kanak-kanak tersebut. Jika respon positif, mereka akan dibawa pulang hujung minggu ini," ujarnya ketika dihubungi.
Kosmo! pada 15 Jun lalu memaparkan kesedihan yang terpaksa ditanggung Hanafi apabila dua anaknya itu dilarikan isterinya ke New Zealand sejak tujuh tahun lalu.

108,650 pelajar terlibat salah laku

KUALA LUMPUR - Sebanyak 108,650 daripada 5.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara terlibat dengan salah laku disiplin di sekolah tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata, daripada jumlah tersebut, isu ponteng sekolah merupakan penyumbang terbesar salah laku disiplin iaitu 18,550 pelajar.
Katanya, kes-kes disiplin lain yang dicatatkan oleh kementerian ialah memukul, bergaduh dan kekemasan diri.
"Walaupun jumlah pelajar yang melakukan kesalahan disiplin hanyalah sedikit, sekiranya tidak diberi perhatian serius, ia boleh menjadi masalah yang parah," katanya pada majlis perasmian Program Pemantapan dan Jati Diri Sahsiah Remaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2012 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dalam mengatasi masalah disiplin melibatkan pelajar sekolah, kementerian telah melakukan pelbagai inisiatif termasuklah menjalankan satu kajian terperinci mengenai punca sebenar berlakunya gejala ponteng sekolah tahun ini.

Tiga anak kahwin serentak


MOHD. IRFAN (dua dari kiri), Mohd. Hafiz (empat dari kiri) dan Mohd. Fariz (tiga dari kanan) bersama pasangan masing-masing memotong pulut sambil disaksikan Che Aziz (kanan) dan Zaleha (kiri) pada majlis persandingan di Balai Polis Batu Melintang, Jeli semalam.


JELI - Tiada apa yang lebih menggembirakan kepada sepasang suami isteri apabila melihat tiga anak mereka bersanding serentak pada satu majlis perkahwinan.
Itulah yang berlaku di pekarangan Balai Polis Batu Melintang di sini semalam apabila tiga anak lelaki Che Aziz Hassan, 54, yang merupakan Ketua Balai Polis berkenaan dan isterinya, Zaleha Johari disandingkan serentak dengan program Community Policing.
Mohd. Hafiz, 29; Mohd. Fariz, 24; dan Mohd. Irfan, 22, melangsungkan perkahwinan dengan pilihan masing-masing iaitu Nor Zalila Ayoe, 24; Wan Norhayati Wan Abd. Aziz, 24, dan Nor Hakiah Mohd. Razi, 20.
Che Aziz berkata, anak sulung, kedua dan keempatnya sebelum ini memilih tarikh berlainan tetapi selepas berbincang, semua sepakat mengadakannya serentak.

Tiga beradik Arab, pemandu teksi maut nahas

LANGKAWI - Tiga beradik dari Arab maut bersama pemandu teksi selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah lori simen di Jalan Ayer Hangat berhampiran tempat membakar sampah di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Harrith Kam Abdullah berkata, kejadian berlaku pada pukul 4 petang ketika teksi jenis Cherry Alado yang dipandu Zubir Ibrahim, 42, dalam perjalanan dari Kilim ke Kuah.
Katanya, akibat kemalangan itu, Zubir dan tiga pelancong terdiri daripada dua beradik perempuan berusia 19 dan 26 tahun serta adik lelaki mereka berusia 18 tahun maut di tempat kejadian.
Difahamkan, ketiga-tiga pelancong tersebut baru selesai menyertai aktiviti 'mangrove tour' iaitu aktiviti melawat pelantar pemeliharaan ikan dan memberi makan burung helang di sini.
"Dua beradik perempuan ini sedang mengikuti pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Cyberjaya dan mereka bersama adik lelaki datang ke sini untuk bercuti," katanya.

Tolak belajar ke Jerman berbaloi


TUANKU ABDUL HALIM (dua dari kanan) berkenan menyampaikan anugerah kepada Mohammad Syaaban di KTU Kepala Batas, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Demi menunaikan impian ibu bapa untuk melihatnya menjadi seorang juruterbang, anak kepada seorang pemandu lori sanggup menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara untuk mengikuti kursus Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Aeronautik) di Kolej Tentera Udara (KTU) di sini.
Leftenan Muda Mohammad Syaaban Zainal Abidin, 22, berkata, walaupun berat hati untuk menolak tawaran belajar di Jerman dalam jurusan kejuruteraan automotif tajaan Majlis Amanah Rakyat tersebut, dia rela berbuat demikian demi kedua ibu bapanya.
"Pengorbanan saya untuk menunaikan impian kedua ibu bapa akhirnya berbalas apabila hari ini (semalam) saya diumumkan sebagai Pemenang Terbaik Keseluruhan dengan menerima Piala Pusingan Sultan Haji Ahmad Shah dan Pedang Kehormatan," katanya di sini semalam.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima anugerah tersebut pada Istiadat Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Siswa Diploma Kelas 2012 kepada 34 pegawai kadet di KTU, Kepala Batas di sini semalam.
Mereka merupakan pengambilan terakhir bagi Skim Pegawai Kadet Siswa KTU usahasama antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kerana bermula tahun hadapan, TUDM hanya akan mengambil bakal pegawai daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Mohammad Syaaban yang berasal dari Petaling Jaya memberitahu, dia kini telah jatuh cinta dengan bidang aeronautik dan bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang orang kenamaan.

Presiden baharu Mesir ikrar sokong Palestin

MOHAMMED MORSI mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir di Mahkamah Agung Perlembagaan di Kaherah semalam.


KAHERAH - Presiden Mesir, Mohamed Morsi mengumumkan sokongannya kepada Palestin sehingga penduduk wilayah berkenaan "mendapat semula, semua hak mereka".
Dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden Mesir di Universiti Kaherah di sini semalam, beliau turut meminta supaya pertumpahan darah di Syria ditamatkan.
"Saya mengumumkan dari sini bahawa Mesir, rakyatnya dan institusi Presiden berdiri teguh bersama bangsa Palestin sehingga mereka mendapat semula semua hak mereka," kata Morsi.
"Kami juga menyokong rakyat Syria. Kami mahu pertumpahan darah di negara berkenaan dihentikan," tambahnya.
Beliau mengulangi bahawa Mesir akan menghormati semua perjanjian antarabangsa yang pernah ditandatanganinya.
Negara Arab berkenaan memeterai satu perjanjian damai dengan Israel pada 1979.
"Kami membawa mesej keamanan kepada dunia, diiringi oleh perutusan mengenai hak dan keadilan," ujarnya."
Morsi, 60, yang meletak jawatan daripada pegerakan Islam, Ikhwanul Muslimin selepas memenangi pilihan raya Presiden bulan ini, berucap dengan nada tegas berhubung sokongannya kepada Palestin semasa berkempen.
Ikhwanul Muslimin turut menentang Bashar Al-Assad dan menyokong kebangkitan rakyat menentang Presiden Syria berkenaan.
Namun, sebagai Presiden, Morsi dijangka tidak melakukan perubahan besar ke atas dasar luar Mesir terutamanya berhubung Israel.
Terdahulu, beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir dalam satu upacara ringkas di Mahkamah Agung Perlembagaan di sini.
"Saya bersumpah dengan nama Tuhan yang Maha Besar akan mengekalkan pemerintahan republikan dan menjunjung perlembagaan dan undang-undang negara serta menjaga kepentingan rakyat," katanya dalam upacara di mahkamah berkenaan.
Morsi merupakan Presiden Mesir pertama yang dipilih menerusi proses pilihan raya sejak Hosni Mubarak disingkirkan dalam kebangkitan rakyat awal tahun lalu. - Agensi

Adele hamil

NEW YORK - Penyanyi lagu Set Fire To The Rain, Adele (gambar) kini berbadan dua.
Seorang jurucakap penyanyi popular berkenaan mengesahkan di sini, Amerika Syarikat kelmarin bahawa Adele, 24, mengandungkan anak teman lelakinya, Simon Konecki.
Berita mengenainya disiarkan di laman web rasmi penyanyi berkenaan.
"Saya gembira untuk mengumumkan bahawa saya dan Konecki bersama-sama menanti kelahiran anak pertama kami," kata penyanyi Britain itu.
Adele memenangi enam anugerah Grammy awal tahun ini untuk album telarisnya, 21. - AP

No comments:

Post a Comment