Wednesday, July 4, 2012

PENIPU...PENCURI...PENJAHAT MISKIN ...MEREKA BEGINI SEBAB MISKIN ATAU TERLALU MISKIN...TAPI KALAU SIKAYA BUAT...TANDA MEREKA NAK KAYA RAYA....TAMBAH UNTUNG...TAK MAU RUGI...AKHIRAT MEREKA JAWABLAH...

Tiga ditahan kes bakar kerani bank

KUALA LUMPUR - Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang pemuda yang lamarannya dipercayai ditolak keluarga P. Yoga Ambiga yang mati dibakar hidup-hidup di depan pintu rumahnya di tingkat sembilan Apartmen Mesra Prima, Kampung Ampang Campuran pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, suspek pertama berusia 33 tahun yang dipercayai pernah meminang Yoga, 27, ditahan ketika dia datang menyerah diri di Balai Polis Ampang pada pukul 5.20 petang kelmarin.
"Sebelum ditahan, suspek yang bekerja sebagai juruteknik bersama peguamnya datang menyerah diri selepas dicari polis," kata beliau ketika dihubungi.

130,000 guna komuter sehari



CHO HA (dua dari kiri) meninjau operasi Pusat Kawalan Arahan Tren ketika mengadakan lawatan ke pusat berkenaan di Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur semalam.



SERDANG - Pengguna tren komuter dijangka meningkat kepada 130,000 orang setiap hari pada akhir tahun ini apabila 13 set tren enam gerabak (SCS) yang dikenali sebagai MyKomuter memulakan perkhidmatan hujung bulan ini.
Pada masa ini, sebanyak 25 set tren SCS dari China yang berkemampuan membawa 1,118 penumpang pada satu masa telah mula beroperasi Mac lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, melalui perkhidmatan 25 set tren SCS dan 22 Unit Tren Elektrik Pelbagai Guna (EMU) tiga gerabak, jumlah penumpang yang direkodkan setiap hari adalah hampir 100,000 orang.
"Melalui penambahan ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yakin bilangan penumpang akan terus meningkat kerana ia merupakan pilihan utama pengangkutan awam pada masa kini.
"Banyak maklum balas yang kami terima daripada penumpang dan mereka mengakui tren baharu ini lebih selesa, efisien, menepati masa dan lebih yakin dengan perkhidmatan MyKomuter," katanya selepas melawat Pusat Kawalan Arahan Tren di stesen KL Sentral dan tapak projek tempat letak kereta di stesen komuter Serdang dekat sini semalam.

Rentung akibat litar pintas



ANGGOTA bomba mengangkat salah satu daripada lima mayat yang rentung dalam kebakaran di Taman Puchong Perdana, Puchong semalam.



PUCHONG – Lima sahabat warga Bangladesh menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila kesemuanya ditemui rentung selepas rumah teres dua tingkat yang disewa bersama dua lagi rakan mereka terbakar dalam kejadian di Jalan Teratai 5A, Taman Puchong Perdana di sini semalam.
Kejadian pukul 3.25 pagi itu mengakibatkan mangsa yang dikenali sebagai Sarova Baboo, Ruman, Mohd. Basir, Mohd. Farouq dan Abdullah Al-Farhad rentung hampir 90 peratus. Kesemua mangsa berusia antara 24 hingga 27 tahun.
Mohd. Basir dan Mohd. Farouq merupakan adik- beradik dan mereka bekerja sebagai pencuci kereta. Ketika kejadian kesemua mangsa sedang tidur di dalam bilik di tingkat atas.
Dua lagi rakan senegara mereka, M. Drubel, 27, dan Bilal Husin, 29, terselamat dalam kejadian itu tetapi cedera di kaki serta tangan ketika cuba keluar dari rumah tersebut. Mereka pula tidur di bilik tingkat bawah dan ruang tamu.
Abdullah merupakan pelajar di sebuah universiti swasta dalam bidang perhotelan manakala Sarova, Drubel, Bilal dan Ruman bekerja di sebuah kilang berdekatan. Kesemua mereka masuk ke negara ini sejak beberapa tahun lalu.

Thilaiyangan nafi kenal Sosilawati



Thilaiyangan (baju belang) diiringi anggota polis hadir membela diri di atas pertuduhan membunuh Sosilawati dan tiga rakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.



SHAH ALAM - Tertuduh kedua kes pembunuhan jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dua tahun lalu, T. Thilaiyangan menafikan pernah berjumpa dengan mangsa apatah lagi membunuh mereka.
Thilaiyangan, 21, yang bekerja di Ladang Gadong milik bekas peguam, N. Pathmanabhan sebaliknya mendakwa dia pernah dipaksa oleh pihak polis untuk membuat pengakuan membunuh kesemua mangsa dengan dijanjikan pembebasan daripada tahanan.
Dia berkata demikian di Mahkamah Tinggi di sini semalam dengan merujuk kepada sesi soal siasat oleh pihak polis semasa dia ditahan reman apabila ditunjukkan gambar keempat-empat mangsa bunuh untuk dicam.
"Saya memang tidak pernah lihat dan kenal mereka, hanya mengenali mereka selepas ditunjuk keratan akhbar mengenai kes tersebut," kata tertuduh dengan selamba semasa disoal peguam Gurbachan Singh yang mewakili dirinya.

Sarjan didakwa cabul wanita

MARANG - Seorang anggota polis berpangkat Sarjan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mencabul seorang wanita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang pada tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh tidak mengaku salah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab. Latif.
Mengikut pertuduhan, Che Sulaiman Che Sof, 51, didakwa melakukan kesalahan ke atas Hasmalizza Ramli, 31, antara pukul 4.30 pagi hingga 5 pagi di tingkat satu, bilik pegawai penyiasat jenayah IPD Marang, 4 Ogos tahun lalu.

Tunggu kakak untuk sambut raya



NORDI bersama Nurul Safiza Fitri (kanan), Muhammad Nurhan (kiri) dan Nurmasyita Amiera di Taman Kempas, Johor Bahru semalam, manakala gambar kecil, Siti Norzana (kanan) yang kini masih berada di Temusuci, Jawa Timur.



JOHOR BAHRU – Seorang bapa, Nordi Adi, 57, berharap agar anak sulungnya, Siti Norzana, 12, yang kini berada di Jawa Timur, Indonesia berjaya dibawa pulang sebelum Aidilfitri ini bagi membolehkan mereka sekeluarga menyambut hari raya bersama-sama.
Menurut Nordi, meskipun gembira kerana tiga anaknya, Nurul Safiza Fitri, 11, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurmasyita Amiera, 8, telah berjaya dibawa pulang, namun mereka sekeluarga masih menunggu Siti Norzana walaupun terlalu risau dengan nasib kanak-kanak itu.
Katanya, pada masa ini, Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO masih berusaha membawa pulang Siti Norzana yang kini menetap bersama saudara ibu tirinya, Karsini Kaslam, 25, di Temusuci, Jawa Timur.
“Tiga daripada empat anak saya sudah berada di depan mata dan saya amat bersyukur kerana kami dapat ditemukan semula. Namun, setiap kali mengenangkan Siti Norzana, hati saya jadi sayu.
“Saya amat berharap agar dapat menyambut Aidilfitri tahun ini bersama semua empat anak saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kempas di sini semalam.

Pemaju curi air RM382,000


KAKITANGAN Syabas memeriksa sambungan paip secara haram di tapak sebuah projek perumahan di Puchong semalam.



PUCHONG - Sebuah syarikat pemaju perumahan bertindak licik menggunakan air curi menerusi penyambungan paip haram untuk tapak pembinaan 360 unit rumah pangsa lima blok di Bandar Lestari Puchong di sini sejak beberapa bulan lalu.
Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Abdul Halem Mat Som berkata, helah pemaju perumahan itu terbongkar ekoran siasatan dan pemeriksaan pihak Syabas di situ sejak dua minggu lalu.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati pemaju terbabit menggunakan lebih tiga punca air haram yang disambung daripada paip besar Syabas dalam tanah.
"Mereka menggunakan beratus meter paip PVC berwarna hitam berukuran 32 milimeter untuk menyalurkan air dengan menebuk paip utama Syabas bukan sahaja untuk tujuan pembinaan tetapi kegunaan puluhan buah rumah kongsi pekerja asing di situ.
"Hasil siasatan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai rekod pendaftaran akaun bekalan air yang sah dengan Syabas.
"Penyambungan paip haram dan kecurian air Syabas itu menyebabkan kerugian lebih RM382,000," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian semalam.

Penganggur dituduh bunuh pemilik butik

04/07/2012 1:34pm

SUNGAI PETANI — Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini, atas tuduhan membunuh seorang usahawan wanita di sini, pada 19 Jun lepas.
Thines Sathasiwam, 22, dari Taman Sinar Mentari, Sungai Lalang di sini, dituduh membunuh pemilik butik perkahwinan, Revathy Mariemuthoo, 23, pada pukul 11.30 malam, 19 Jun lepas di kawasan ladang kelapa sawit, Jalan Mahkamah, Amanjaya, di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati jika sabit kesalahan. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli.
Mayat pemilik butik perkahwinan Rakshata Bridal House di Taman Ria itu ditemui orang ramai di dalam longkang berdekatan Kompleks Mahkamah Sungai Petani kira-kira 7.30 pagi, 20 Jun lepas.—

Dakwaan berlaku liwat di rumah perlindungan

04/07/2012 11:56am

MELAKA - Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak) mendakwa, berlaku penderaan seksual dan liwat ke atas penghuni sebuah rumah perlindungan di negeri ini.
Presidennya, Muhammad Khairul Hafiz mendakwa, kejadian liwat dan penderaan seksual itu bukan sahaja dilakukan penghuni rumah itu malah oleh staf rumah perlindungan itu termasuk pengawal keselamatan dan atendan.
"Dipercayai berlaku lebih 100 kes sejak 2004 sehingga Jun tahun ini. Saya juga difahamkan, tahun ini saja, tujuh laporan polis berhubung kes liwat di rumah perlindungan berkenaan dibuat,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Sambil menyatakan Perbak mempunyai kenyataan pengakuan seorang kakitangan di rumah perlindungan itu yang mengesahkan kejadian liwat dan penderaan seksual, Muhammad Khairul berkata, pihaknya telah membuat dua laporan polis di Putrajaya berhubung perkara itu baru-baru ini.
Sementara itu, seorang pemuda yang mendakwa pernah menjadi mangsa liwat dan penderaan seksual di rumah perlindungan itu turut hadir pada sidang akhbar itu. - BERNAMA

Mayat bayi ditemui terapung di loji kumbahan

04/07/2012 12:56pm

KUALA LUMPUR - Mayat seorang bayi perempuan ditemui terapung di loji kumbahan Indah Water Sepakat Indah, Sg. Chua, Kajang dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, mayat bayi perempuan yang cukup sifat itu dijumpai pada pukul 4.41 petang oleh seorang lelaki yang kebetulan lalu di kawasan loji kumbahan itu.
"Siasatan awal polis mendapati mayat bayi itu dibuang dalam ruang kumbahan pangsapuri sebelum hanyut ke loji utama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Pereka kereta Ferrari meninggal dunia


SEBUAH kereta Ferrari P4/5 yang direka syarikat Pininfarina dipamerkan pada Pameran Kenderaan Paris di Paris pada 29 September 2006.(gambar kecil) Sergio Pininfarina


MILAN - Pereka bentuk kereta sport Ferrari, Sergio Pininfarina meninggal dunia pada usia 85 tahun di kediamannya di sini semalam.
Punca kematiannya tidak didedahkan tetapi dia pernah sakit sebelum ini.
Sergio dibimbing bapanya, Gian Battista yang merupakan pengasas firma reka bentuk kereta Farina pada tahun 1930-an, untuk menggantikannya sejak beliau masih kanak-kanak.
Dilahirkan pada 1926, beliau menyertai firma keluarga itu selepas memperoleh ijazah kejuruteraan mekanikal daripada Universiti Politeknik Turin.
Sergio dilantik ketua eksekutif Farina pada 1961 dan pengerusi apabila bapanya meninggal dunia pada 1966.
Ketika itu, firma berkenaan telah mencipta nama dalam mereka bentuk kereta bercirikan aerodinamik terkini yang menjadi tumpuan orang ramai.
Nama Farina kemudian ditukar kepada Pininfarina pada 1961 selepas mendapat restu presiden syarikat berkenaan.
Antara kereta terkenal yang direka bentuk firma tersebut termasuk kereta coupe Cisalfa pada 1947 yang kini dipamerkan di Muzium Seni Moden di New York.
Hubungan Pininfarina dengan Ferrari dimulakan oleh Gian Battista pada 1952 dan dipopularkan oleh Sergio sehingga menjadi jenama yang terkenal di seluruh dunia.
Sejak 50 tahun beliau menerajui Pininfarina, pengeluaran kenderaan syarikat itu meningkat daripada 524 unit setahun kepada lebih 50,000 kenderaan.
Selain perkongsian bersejarah dengan Ferrari, Alfa Romeo dan Maserati (kesemuanya dimiliki oleh Fiat), Pininfarina turut mereka bentuk kereta untuk Rolls-Royce dan beberapa jenama luar lain.
Antaranya kereta Chevrolet Corvette Rondine pada 1963, Cadiilac Alante pada 1986, Bentley Azure pada 1996 dan kereta coupe Peugeot 406 pada 1996.
Sergio turut mereka bentuk kereta Fiat 124 Spider keluaran 1986, Ferrari Testarossa pada 1984 dan dan Ferrari Scagliettia pada 2004. - Reuters

Ketua Eksekutif Bank Barclays letak jawatan


DIAMOND


LONDON - Ketua Eksekutif Bank Barclays, Bob Diamond meletak jawatan semalam dalam skandal terbaharu yang melanda pasaran kewangan.
Skandal tersebut turut menyaksikan pengerusi bank berkenaan mengumumkan hasratnya untuk meletak jawatan dengan pihak berkuasa melancarkan siasatan terhadap sektor perbankan di Britain.
Peletakan jawatan Diamond yang berkuat kuasa serta-merta, berlaku sehari selepas pengerusi bank berkenan, Marcus Agius turut terpalit dalam skandal tersebut.
Bagaimanapun, Agius akan mengetuai usaha mencari seorang ketua eksekutif baharu dan akan meninggalkan institusi perbankan tersebut selepas seorang pengerusi baharu dilantik.
Pengurusan Barclays dikecam sejak bank tersebut didenda AS$453 juta (RM1.42 bilion) oleh pihak berkuasa perbankan Amerika Syarikat dan Britain pada minggu lalu kerana menyerahkan laporan palsu berhubung kadar faedah pinjaman antara tahun 2005 hingga 2009.
Kebanyakan aktiviti tersebut berasa daripada pedagang Barclays Capital yang merupakan divisyen pelaburan perbankan diketuai oleh Diamond.
"Tekanan luar ke atas Barclays mencapai satu tahap yang berisiko menjejaskan bank ini, saya tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku," kata Diamond semalam dalam satu kenyataan bersama peletakan jawatannya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pejabat Penipuan Serius Britain kelmarin menyatakan, pihaknya akan memutuskan dalam masa sebulan sama ada untuk mengemukakan dakwaan jenayah dalam kes tersebut. - Agensi

No comments:

Post a Comment