Thursday, November 29, 2012

BILA MISKIN DAN PAPA@FAKIR@TERLALU MISKIN....PUSAT ZAKAT WAJIB BANTU....MEREKA TERMASUK DALAM ASNAF YANG LAPAN...BERDOSA KITA JALANKAN TANGGUNG JAWAB

Tawan pelajar bahana hutang


ANGGOTA polis mengelilingi suspek (dalam bulatan) yang menjadikan Wan Nor Hayati sebagai tebusan di Samarahan kelmarin.



SAMARAHAN – Seorang pelajar perempuan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menghadapi detik paling mencemaskan dalam hidupnya apabila dijadikan tebusan selama sejam oleh seorang lelaki Indonesia yang menghadapi masalah hutang kelmarin.
Kejadian pukul 5.15 petang berhampiran Koperasi Kolej Cempaka, kampus tersebut di sini itu menyebabkan Wan Nor Hayati Wan Mahmud, 22, dari Kelantan trauma apabila diacu pisat lipat oleh suspek.
Bagaimanapun, pelajar tahun tiga jurusan Ijazah Sarjana Muda Seni Gunaan dengan Kepujian (Pengurusan Seni) universiti tersebut tidak dicederakan.
Polis yang tiba sebaik menerima maklumat kemudian telah membuat rundingan dengan suspek sebelum lelaki itu bersetuju melepaskan mangsa.
Difahamkan, suspek dari Lempur Danau, Jambi Indonesia berusia 30 tahun tersebut datang ke negara ini pada Sabtu lalu untuk mencari pekerjaan.
Sebaik tiba di Kuching, suspek telah tinggal di rumah kongsi bersama seorang rakannya yang bekerja sebagai buruh binaan di dalam kawasan kampus tersebut.
Sebelum kejadian, suspek dikatakan telah menerima panggilan dari kampung mengatakan anak dan isterinya telah ditahan dan diugut ah long kerana hutang yang dibuatnya.
Suspek yang berang apabila majikan tidak mengizinkannya pulang kemudian nekad menggunakan jalan mudah untuk dihantar pulang dengan menjadikan mangsa sebagai tebusan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Zulkifli Hassan berkata, semasa menahan mangsa, suspek memberitahu pelajar itu supaya ‘jangan bimbang saya takkan cederakan kamu, panggil polis saya banyak lakukan dosa.’


SITI NURFARAWAHIDA (kanan) menunjukkan bagaimana suspek mengacukan pisau ke leher Wan Nor Hayati.



Katanya, sebaik tiba, pihaknya tidak mengambil masa yang lama untuk membuatkan suspek menyerah diri dan melepaskan tebusan.
“Kita masih menyiasat motif sebenar kejadian tetapi tidak menolak kemungkinan suspek berbuat demikian kerana masalah keluarga di kampungnya.
“Kita juga percaya suspek berbuat demikian untuk mendapat perhatian polis supaya dihantar pulang,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambahnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Zulkifli, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah.
Sementara itu, Wan Noor Hayati memberitahu, dia tidak dapat melupakan saat-saat cemas ketika ditawan selama sejam.
Katanya, sebelum kejadian, dia sedang berjalan bersama rakan, Siti Nurfarawahida Abdul Rahim, 22, untuk ke kelas sebelum suspek menerpa dari belakang.
“Saya cuba leraikan pelukan lelaki tersebut dengan cara memukul menggunakan payung tetapi bukan sahaja gagal malah, pelukan itu semakin kuat. Ketika itu saya hanya memikirkan mengenai nyawa saya melayang,” cerita anak ketiga daripada lima beradik itu yang masih trauma ekoran kejadian tersebut.
Tambahnya, dia ada bertanya mengapa dia dijadikan sasaran tetapi suspek tidak menjawab. Dia bagaimanapun bersyukur apabila dilepaskan sebaik polis tiba.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Unimas, Mohd. Fadzil Abd. Rahman berkata, pihaknya telah memaklumkan mengenai kejadian tersebut kepada keluarga mangsa.

Maut ditimpa durian 2 kilogram



ZAINAL menunjukkan buah durian yang menimpa anak sulungnya sambil diperhatikan Samimi.



NIBONG TEBAL – Seorang bayi lelaki berusia sebulan maut apabila dihempap sebiji durian seberat dua kilogram yang luruh ketika berada dalam dukungan ibunya di belakang rumah sewa mereka di Kampung Badak Mati, Jawi dekat sini kelmarin.
Muhd. Yusuf Zainal disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Bakap (HSB) pada pukul 5 petang akibat kecederaan parah di kepala.
Sejam sebelum disahkan meninggal dunia, durian kampung tersebut luruh dari sebatang pokok setinggi 13 meter yang tumbuh bersebelahan dengan ampaian tempat ibu mangsa, Samimi Kasmin, 40-an, menjemur pakaian.
Samimi merupakan seorang warga Indonesia manakala suaminya, Zainal Abedin, 46, merupakan rakyat Bangladesh dan bekerja sebagai buruh binaan di Permatang Tinggi.
Kedua-dua pasangan tersebut telah mendirikan rumah tangga pada 2010 dan menetap di rumah papan itu sejak berkahwin.
MUHD. YUSUF menemui ajal selepas kepalanya ditimpa durian kampung seberat dua kilogram di Nibong Tebal kelmarin.


Mengimbau semula kejadian itu, Samimi memberitahu, sebelum kejadian dia sedang mengangkat pakaian di ampaian dan mendengar tangisan Muhd. Yusuf yang ketika itu sedang tidur di buaian di dalam rumah.
“Saya kemudian masuk lalu mendukungnya sebelum meneruskan semula kerja mengangkat pakaian. Tanpa disangka, sebiji durian tiba-tiba luruh lalu terkena kepala dia dan tangan kiri saya,” ceritanya ketika ditemui di HSB di sini.
Tambahnya, dia kemudian cemas apabila mendapati Muhd. Yusuf terus terdiam dan tidak sedarkan diri sebelum menjerit dan memanggil jiran untuk membawa anaknya ke HSB. Ketika itu suaminya keluar bekerja.
Sementara itu, Zainal berkata, dia reda dengan kejadian yang menimpa anak sulungnya itu namun enggan mengulas lanjut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Kepala koyak main gelongsor air



SHARINA menunjukkan kesan luka di kepala anaknya, Muhammad Aiman selepas mendakwa terjatuh ketika mandi-manda di sebuah taman tema air di Melaka 20 November lalu.



KANGAR – Keseronokan seorang pelajar mandi-manda di sebuah taman tema air di Ayer Keroh, Melaka bertukar menjadi igauan buruk ketika bermain salah satu gelongsor air di situ.
Akibat kejadian itu, pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di sini, Muhammad Aiman Afzal Suhaizam, 14, mengalami pendarahan otak dan tempurung kepalanya retak selepas terjatuh pada ketinggian kira-kira empat meter dari permainan gelongsor air boomerang dalam kejadian 20 November lalu.
Mengimbau semula kejadian itu, ibu mangsa, Sharina Wahab, 39, mendakwa, dalam kejadian itu, kepala anaknya terhantuk sehingga terpaksa menerima 30 jahitan selain lebam di lutut, tangan dan tengkuk.
Dakwanya, anaknya pergi ke situ selepas mengikuti percutian selama empat hari anjuran Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perlis melibatkan rombongan kira-kira 80 orang terdiri daripada pelajar dan guru bermula 19 November lalu.
“Kejadian disebabkan kecuaian petugas yang menyelia permainan gelongsor tersebut apabila dia melepaskan Aiman dalam keadaan berpusing-pusing sehingga anak saya terpelanting keluar.
“Ekoran itu, Aiman terjatuh ke lantai konkrit dari ketinggian empat meter menyebabkan kepala anak saya terhantuk selain kesan lebam di lutut, tangan dan tengkuk sehingga menerima 30 jahitan,” dakwanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bunga Padi di sini semalam.
Dakwanya lagi, sebelum itu, Aiman telah meminta penyelia terbabit supaya tidak memusingkan pelampung yang dinaiki namun tidak diendahkan.
Menurut Sharina, dia kini resah dan risau apabila doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang merawat anaknya memaklumkan yang Aiman bakal mengalami simptom pening dan sakit kepala seumur hidup.
“Kini anak saya sering mengantuk selain lesu setiap kali bangun tidur dan keadaan itu telah mengubah kehidupan anak saya yang sebelum ini ceria,” dakwanya.
Ujar Sharina, apa yang dikesalkan pihak taman rema air tersebut dan JPN Perlis mendiamkan diri selepas kejadian itu.
Sementara itu Pengarah Pelajaran Negeri, Dun Kasa ketika dihubungi menyatakan, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.
Dalam pada itu di Melaka, jurucakap taman tema tersebut memberitahu, pihaknya tidak pernah lepas tangan mengenai kejadian berkenaan dan sedang menunggu laporan penuh perubatan untuk tindakan lanjut.
“Kami telah menyediakan ambulans untuk menghantar mangsa ke Hospital Melaka sebaik kejadian sebelum dia dirujuk ke HKL.
“Kes ini pertama kali berlaku sejak kami mula beroperasi pada 15 Mei 2010,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, kejadian mungkin berlaku apabila posisi badan mangsa yang ketika itu menggunakan pelampung tidak stabil sehingga dia tercampak keluar.

Suspek samun, rogol diburu


IMEJ CCTV menunjukkan kelibat tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian samun dan rogol di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur Ahad lalu.



KUALA LUMPUR – Penjenayah yang menyamun sebuah premis urut sebelum merogol dua wanita Vietnam di Jalan Genting Klang dekat Setapak di sini Ahad lalu kini ibarat cacing kepanasan apabila polis mengedarkan gambar suspek-suspek terlibat.
Gambar suspek yang dapat dirakam melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) itu menunjukkan kelibat seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an memakai baju berwarna biru yang mempunyai logo Superman.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, selain itu, pihaknya turut mengedarkan gambar dua lagi rakan suspek yang menaiki sebuah motosikal dan memakai topi keledar yang dipercayai terlibat dalam kes samun dan rogol tersebut.
“Kita percaya kesemua suspek berada di bawah pengaruh dadah. Dalam kejadian itu, dua tukang urut warga Vietnam telah dirogol selepas suspek menyamun premis berkenaan dengan melarikan sejumlah wang,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Semalam Kosmo! melaporkan, dua tukang urut warga Vietnam ditimpa nasib malang berganda apabila mereka dirogol setelah disamun oleh empat lelaki berparang ketika sedang bersiap untuk pulang.
Dalam kejadian antara pukul 1 hingga 1.30 pagi itu, dua lagi lelaki yang merupakan penjaga premis berkenaan masing-masing putus telinga kiri dan cedera di tangan akibat ditetak ketika cubaan melawan suspek.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Rakan Cop di talian 03-2115 9999 bagi membantu siasatan.

Culik sebab anak kelaparan, tiada wang



KERATAN Kosmo! 24 November 2012.



SEREMBAN - Kehabisan wang, terdesak, anak kelaparan serta hilang kawalan merupakan alasan yang dibuat seorang bekas pekerja kedai makan di Mahkamah Majistret di sini semalam ketika mengaku salah atas tuduhan menculik tiga kanak-kanak dan melarikan sebuah kereta dekat Senawang 22 November lalu.
Rose Azrool Mohd. Arshad, 34, dijatuhi hukuman penjara lima tahun lapan bulan atas kedua-dua kesalahan tersebut bermula dari tarikh tangkapan oleh Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.
"Saya mengaku salah. Saya bertindak demikian kerana terdesak, kehabisan duit, anak di rumah kelaparan dan hilang kawalan. Saya mohon mahkamah meringankan hukuman," rayunya.
Bagaimanapun Mohamad Izwan menegaskan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tertuduh melakukan jenayah.
"Cara awak salah. Melakukan jenayah bukan menghalalkan cara," tegasnya.
Mengikut pertuduhan, Rose Azrool didakwa menculik tiga beradik iaitu Muhammad Hazimi Khairul Anwar, 12, Muhammad Hanif, 3, dan Muhammad Haziq, 1, dari jagaan Norhayati Shahimi, 42 pada pukul 2.20 petang di hadapan pasar mini di Taman Desa Dahlia dekat Senawang di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh mencuri kereta jenis Proton Wira nombor pendaftaran KAH 4537 milik Khairul Anwar Zakaria di tempat, hari dan masa yang sama mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda.
Sabtu lalu, Kosmo! melaporkan seorang wanita menghadapi debaran hampir tiga jam apabila anak lelakinya yang berusia tiga tahun hilang bersama kereta Proton Wira miliknya yang ditinggalkan dalam keadaan enjin dihidupkan berhampiran sebuah pasar mini di Taman Desa Dahlia.
Suspek kemudian ditahan dalam sekatan jalan di Labu di sini tidak lama kemudian.

Suratan hidup Pak Ya

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Elrafaei Sapi
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Jika kaya, saya tidak duduk di flat. Malah, saya sendiri tidak mampu memiliki kereta dan hanya berjalan kaki ke kedai atau membeli ubat,” kata pelakon komedi popular era 70-an, Datuk Yahya Sulong atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Ya.
Mungkin tidak ramai menyangka kehidupan sebenar Yahya bukanlah sehebat atau semewah digambarkan. Status sebagai artis mahupun Datuk bukan jaminan padanya melalui kehidupan senang.

Hakikatnya, pelakon berusia 84 tahun ini menghabiskan sisa hidup bersama isteri, Datin Alisah Ali di satu penempatan perumahan awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Sentul.
Lebih malang, pasangan itu masing-masing menghidap penyakit kronik dan sering keluar masuk hospital.

Yahya sendiri menghidap penyakit asma yang serius manakala Alisah pula terpaksa bertarung dengan kanser paru-paru.

Berbeza ketika berada pada zaman kegemilangan membintangi pelbagai filem dan drama pada 70-an dan 80-an, Yahya ketika ini berdepan kesempitan hidup sehingga terpaksa berhutang.
Ketika wartawan Harian Metro berkunjung ke rumahnya baru-baru ini, beliau hanya duduk seorang diri termenung di bangku memikirkan nasibnya manakala isterinya di dalam rumah menguruskan diri memasukkan susu ke dalam tiub yang disalurkan menerusi hidung.

Yahya berkata, duit pencen anggota polis RM500 sebulan tidak mencukupi. Beliau yang menghidap penyakit asma perlu membelanjakan RM200 sebulan membeli ubat.
Belanja membeli susu isterinya pula RM120 seminggu untuk satu tin. Akibat kesempitan wang membeli ubat dan keperluan makan, beliau berhutang sewa rumah RM124 yang sudah tertunggak lima bulan.

“Sekarang susah saya nak cari duit kerana tidak bekerja. Dulu masa senang, ramai kawan datang pinjam duit, tapi sekarang siapa pun tak dapat bantu,” katanya.

Pernah membintangi filem Putus Sudah Kasih Sayang arahan Tan Sri P Ramlee pada 1971 dan Gila-Gila (1979) beliau kini turut runsing memikirkan nasib isterinya yang menghidap penyakit kanser paru-paru menunggu masa menjalani pembedahan tulang belakang.

Katanya, tarikh dan kos pembedahan belum dipastikan lagi tetapi apa yang pasti beliau tidak mempunyai wang membayar kos pembedahan jika mencecah ribuan ringgit.

Beliau mula aktif berlakon bersama Merdeka Film pada 1950 termasuk membintangi filem Miang-Miang Keladi bersama P Ramlee pada 1952. Pernah berkhidmat sebagai anggota polis di zaman British selama 20 tahun sejak 1948, Yahya melalui detik cemas diseksa komunis pada 1949. Beliau dibogelkan dan dibalut dengan bendera Jepun sebelum digantung tiga hari.

“Ketika itu, orang fikir saya sudah mati, tetapi umur saya masih panjang. Kejadian itu membuatkan saya koma selama dua bulan,” katanya.

Bantah MPPP tebang pokok Jalan Masjid Negeri



S.M. MOHAMED (kanan) dan seorang kanak-kanak memeluk sebatang pokok angsana semasa membuat bantahan kepada MPP di George Town semalam.



GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) membantah cadangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menebang pokok di sepanjang Jalan Masjid Negeri di sini.
Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris berkata, pihaknya kesal dengan rancangan MPPP yang akan menebang 44 batang pokok dan memindahkan 20 pokok di kawasan tersebut.
Kebanyakan pokok itu adalah dari spesies angsana dan selebihnya jati.
Menurutnya, tindakan itu dilakukan atas alasan projek pelebaran jalan dan kerja-kerja perparitan.
“Pokok-pokok ini mempunyai kepentingan seperti meneduhkan kawasan, mengurangkan kebisingan dan dapat mempertingkatkan mutu udara,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Sehubungan itu, Mohamed menggesa MPPP supaya memberhentikan rancangan tersebut sekali gus memikirkan cara terbaik menyelamatkan pokok-pokok itu.
“Selain tidak mahu pokok ditebang, kami mahu jaminan daripada kerajaan negeri dan MPPP agar pokok di kawasan terbabit diselamatkan.
“Penduduk Pulau Pinang perlu bangkit bersuara dan membantah penebangan tumbuhan hijau itu sekali gus memulihara alam semulajadi yang sedia ada di negara ini,” jelasnya.
Seorang penduduk perumahan di Jalan Udini, George Cheah, 62, memberitahu, usia pokok-pokok yang terdapat di sepanjang jalan itu mencecah lebih 50 hingga 100 tahun.
“Saya tinggal di sini sejak umur lima tahun dan ketika itu pokok-pokok ini sudah ada di sepanjang jalan. Jadi saya kesal dan tertanya-tanya kenapa MPPP mahu menebang pokok di situ semata-mata mahu melebarkan jalan berkenaan,” jelasnya.

Ratusan berkhemah di Dataran Tahrir


RIBUAN penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Tahrir kelmarin.



KAHERAH - Beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di Dataran Tahrir di sini yang masuk hari keenam semalam bagi menuntut Presiden Mesir, Mohamed Morsi (gambar kecil) membatalkan dekri yang membolehkan semua keputusannya tidak boleh dicabar di mahkamah.
Polis turut melepaskan bedilan gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan yang membaling batu di dataran berkenaan.


BEBERAPA pemuda melontar batu ke arah kumpulan anggota polis dekat Dataran Tahrir, Kaherah semalam.



Seramai 40 orang cedera dalam pertempuran itu yang dianggap sebagai kejadian yang kelihatan seperti ketika para penunjuk perasaan menentang pemerintahan bekas presiden, Hosni Mubarak pada awal tahun lalu.
Hosni meletakkan jawatan pada Februari tahun lalu selepas tunjuk perasaan berlaku di serata negara ini.
Beliau meletakkan jawatan setelah para penunjuk perasaan menganggap pemerintahannya korup.
Morsi mengeluarkan dekri itu pada minggu lalu.





Kumpulan-kumpulan penentang menuduh Morsi sebagai pemimpin bersifat kuku besi.
Pergerakan Ikhwanul Muslimin yang menyokong Morsi menyatakan, dekri itu hanya dilaksanakan buat sementara waktu.
Menurut pergerakan itu, ia bertujuan untuk menjamin keselamatan bagi mengelak pemberontakan berlaku seperti pada era Hosni yang menyebabkannya meletak jawatan.
Morsi menjadi presiden menerusi pilihan raya pada Jun lalu.
Hakim-hakim di Mahkamah Rayuan di Mesir juga akan melancarkan mogok sehingga Morsi membatalkan dekri tersebut. - Agensi

Kumpulan saintis Iran didakwa buat pengiraan letupan nuklear



GAMBAR RAJAH yang menunjukkan pengiraan letupan nuklear oleh saintis Iran.



VIENNA - Satu gambar rajah yang diperolehi oleh agensi berita The Associated Press menunjukkan bahawa para saintis di Iran telah mengendalikan simulasi komputer untuk sebuah senjata nuklear yang mampu menghasilkan kuasa letupan tiga kali ganda lebih kuat daripada bom atom pada Perang Dunia Kedua yang memusnahkan Hiroshima, Jepun.
Maklumat mengenai gambar rajah itu telah dibocorkan oleh pegawai-pegawai dari sebuah negara yang tidak bersetuju dengan program nuklear Iran.
Ia didedahkan sebagai hujah sokongan kepada dakwaan mereka yang mahukan program nuklear Iran dihentikan.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa yang merupakan pemerhati nuklear untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Vienna, Austria melaporkan pada tahun lalu bahawa pihaknya telah menerima gambar rajah tersebut.
Menurut agensi tersebut, gambar rajah itu menunjukkan Iran melakukan pengiraan tentang letupan nuklear. - AP

54 maut letupan bom di pinggir Damsyik



SEBUAH jet tentera Syria terhempas selepas ditembak jatuh kumpulan penentang Bashar
di Daret Ezza semalam.



JARAMANA, Syria - Serangan 2 bom kereta secara serentak membunuh sekurang-kurang 54 orang dan menyebabkan kemusnahan di bandar Jaramana di pinggir Damsyik semalam.
Bahan letupan yang diletakkan di dalam kedua-dua kereta itu diletupkan pada waktu subuh di kawasan penempatan pro-Presiden Syria, Bashar Al-Assad.
Menurut laporan media tempatan, kebanyakan penduduk di kawasan tersebut didiami penganut Kristian.
Tiada pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu.
Jurugambar agensi berita AFP berkata, jalan-jalan raya dipenuhi darah dan cebisan daging manusia.
Sementara itu, para penentang Bashar berjaya menembak jatuh sebuah jet tentera Syria di Daret Ezza, wilayah utara negara ini.
Juruterbang jet itu kemudian ditawan kumpulan penentang.
Pergolakan di Syria bermula sejak Mac tahun lalu yang telah menyebabkan lebih 40,000 orang terbunuh.
Pertempuran antara kumpulan penentang dengan tentera Syria berlaku hampir pada setiap hari.
Kumpulan penentang itu mahu menggulingkan Bashar selepas beliau gagal untuk membawa pembaharuan dalam bidang pentadbiran dan kebebasan hak asasi manusia. - Agensi

Pemuda Mesir miliki lengan terbesar dunia



MOUSTAFA mengangkat kedua-dua lengannya.



MILFORD, Massachusetts - Seorang pemuda berketurunan Mesir, Moustafa Ismail yang tinggal di sini dipercayai memiliki lengan paling besar di dunia.
Ukur lilit lengan Moustafa yang berusia 24 tahun itu ialah 79 sentimeter.
Pemuda itu makan tiga kilogram (kg) protein, 4.08kg karbohidrat dan minum air sebanyak 11.35 liter pada setiap hari .
Pihak Guinness World Records kini menimbang sama ada akan mengiktiraf Moustafa sebagai pemilik lengan terbesar di dunia.
"Mereka (penduduk) memanggil saya Popeye, Popeye Mesir.
"Bagaimanapun, tidak seperti watak kartun Popeye, saya suka makan ayam, daging dan apa jua makanan kecuali bayam," katanya.
Dia juga mengambil vitamin dan makanan tambahan lain.
Moustafa juga sukar untuk mencari baju yang sesuai dengan tubuhnya.
Dia mula berusaha untuk memperoleh bentuk lengan itu di bandar kelahirannya, Alexandria di Mesir sebelum berpindah ke Amerika Syarikat pada 2007 dan menetap di Franklin, barat daya Boston.
Moustafa melakukan senaman angkat berat selama dua jam hampir setiap hari.
Pemuda itu pernah mengangkat bebanan seberat 272kg.
Dia sanggup melakukan dua pekerjaan termasuk sebagai pembantu di sebuah stesen minyak untuk membiayai senamannya di sebuah pusat kecergasan dan makanannya.
Namun, isterinya meminta dia meninggalkan salah satu pekerjaan kerana menganggap suaminya itu bekerja terlalu keras.
Pihak Guinness kemudian menghubunginya dengan menawarkan pemuda itu lawatan ke London, Britain untuk muncul bersama beberapa pemegang pelbagai rekod dunia termasuk wanita paling kecil di dunia.
Moustafa memenuhi undangan itu.
Bagaimanapun, kontroversi muncul kerana terdapat dakwaan di internet bahawa dia menggunakan dadah steroid dan menanam implan pada lengannya.
Beberapa pihak lain mendakwa, dia menyuntik minyak synthol yang digunakan oleh ahli bina badan.
Dia pernah pergi ke Tokyo untuk muncul dalam program dokumentari stesen televisyen Fuji yang menunjukkan beberapa doktor mengambil sampel darah manakala ototnya turut menjalani ujian X-ray.
Doktor-doktor itu bagaimanapun tidak menemui sebarang bahan terlarang dalam tubuhnya.
Namun, pihak Guinness mengeluarkan nama Moustafa dalam laman webnya.
Jurucakap Guinness, Sara Wilcox berkata pada Oktober lalu, pihaknya masih melakukan penyelidikan dengan pakar-pakar perubatan berhubung kes Moustafa sebelum mengiktiraf lengannya. - AP

Menara condong sejak tahun 1960-an di China



BEBERAPA pelajar bermain bola keranjang di tepi
Menara Wanshousi yang condong di Xi'an, wilayah Shaanxi kelmarin.



XI'AN, China - Menara Wanshousi di sini yang terletak berdekatan sebuah sekolah di sini condong sejak tahun 1960-an.
Ia dibina sejak zaman dinasti Ming yang memerintah pada tahun 1368 hingga 1644.
Bagaimanapun, beberapa rangka besi dipasang bagi menyokong menara itu bagi mengelak ia tumbang.
- Reuters

Lahar Gunung Kilauea mengalir ke laut



LAHAR mengalir ke laut dekat Taman Negara Gunung Berapi di Kampung Kalapana, Hawaii kelmarin.



KALAPANA, Hawaii - Sebuah gunung berapi dekat Taman Negara Gunung Berapi di sini mengalirkan lahar ke laut sejak Sabtu lalu.
Beberapa pegawai menyatakan, jika lahar tersebut berterusan mengalir ke laut dari Gunung Kilauea, ia akan menarik kehadiran ramai pelancong.
- Reuters

100,000 banjiri majlis tayangan filem The Hobbit



Kira-kira 100,000 orang membanjiri kawasan di Pawagam Embassy.



WELLINGTON, New Zealand - Kira-kira 100,000 peminat filem The Hobbit: An Unexpected Journey menghadiri majlis tayangan perdana filem itu di Pawagam Embassy di sini semalam untuk berjumpa pelakon-pelakon pujaan mereka.
"Ia sangat beremosi dan menyentuh perasaan apabila melihat orang ramai dari bandar di negara kelahiran saya datang memberikan sokongan.


BARISAN pelakon filem The Hobbit: An Unexpected Journey berdiri di atas pentas
di Pawagam Embassy di Wellington semalam.



"Apabila penggambaran tamat dan 100,000 orang datang ke tayangan perdana, ia seperti dunia sedang tunggang- terbalik," kata pengarah filem berkenaan, Peter Jackson.
Filem itu mengisahkan watak Bilbo Baggins lakonan Martin Freeman mencari kerajaan Erebor yang hilang.
Menurut Jackson, teknologi baharu yang digunakan dalam pembikinan filem tersebut dapat mencetuskan pengalaman luar biasa yang akan menarik orang ramai ke pawagam.
Filem itu bakal menemui peminat seluruh dunia pada bulan depan. - Agensi

Psy dikerumuni peminat di Bangkok



PSY dikerumuni peminatnya di sebuah pusat beli-belah di Bangkok semalam.



BANGKOK - Penyanyi rap Korea Selatan yang terkenal di seluruh dunia menerusi tarian kuda dalam muzik video Gangnam Style, Psy dikerumuni sejumlah peminatnya semalam.
Para peminat turut meminta autografnya semasa dia muncul di sebuah pusat beli-belah di sini.
Beberapa pekerja di pusat beli-belah tersebut dan sebahagian peminatnya menari tarian kuda sebelum Psy membuat sidang akhbar.
Dia membuat sidang akhbar itu sebelum konsert percumanya berlangsung pada waktu malam.
Konsert itu diadakan sebagai tanda penghormatan terhadap pemerintah Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej yang berusia 85 tahun pada bulan depan.
Penyanyi itu merancang untuk menerbitkan album yang mengandungi muzik berentak tarian pada Mac depan.
"Saya berasa amat bimbang tentang muzik video (baharu).
"Mampukah saya mengatasi Gangnam Style," katanya.
Muzik video itu telah ditonton lebih 850 juta kali di laman YouTube.
Ia menjadi muzik video yang paling banyak ditonton di laman tersebut buat masa ini mengatasi jumlah tontonan muzik video Baby nyanyian Justin Bieber.
"Ia menakjubkan. Saya membuat video itu hanya untuk penduduk Korea Selatan." katanya.
Menurutnya, dia tidak pernah bermimpi akan menjadi seorang penyanyi bertaraf antarabangsa. - AP

No comments:

Post a Comment