Sunday, December 23, 2012

NEGARA AKAN SEJAHTERA JIKA MENGIKUT SYARIAT ISLAM...KERANA ALLAH LAH MILIK@EMPUNYA SEGALA2NYA

Rakyat Mesir undi draf perlembagaan

PENENTANG dan penyokong Presiden Mohamed Morsi bertempur di bandar pelabuhan Iskandariah kelmarin.


KAHERAH - Rakyat Mesir keluar mengundi semalam dalam pusingan terakhir pungutan suara draf perlembagaan baharu yang dicadangkan oleh Presiden Mohamed Morsi dan sekutu-sekutunya dari pergerakan Islam tetapi ditentang hebat oleh pembangkang sekular di negara itu.
Draf tersebut dijangka diluluskan selepas memperoleh 57 peratus sokongan dalam pusingan pertama pungutan suara tersebut seminggu lalu.
Namun, kemenangan tipis dan sambutan hambar daripada pengundi berdaftar dalam pengundian pertama digunakan oleh penentang Morsi dalam kempen mereka untuk menggagalkan referendum tersebut.
Mesir sebelum ini digegarkan oleh bantahan dengan kebanyakannya bertukar ganas sejak sebulan lalu.
Pada 5 Disember, lapan orang terbunuh manakala beratus-ratus lagi cedera dalam beberapa pertempuran antara penyokong dan penentang draf berkenaan di luar Istana Presiden di sini.
Menjelang pengundian semalam, lebih banyak pertempuran berlaku di Iskandariah yang merupakan bandar raya kedua terbesar di negara itu.
Seramai 62 orang termasuk 12 anggota polis cedera dalam kekacauan tersebut dengan 12 orang telah ditangkap.
Sekitar 250,000 anggota polis dan tentera dikerahkan untuk mengawal ketenteraman ketika referendum diadakan.
Draf perlembagaan itu dihasilkan oleh panel yang didominasi pergerakan Islam terbesar di Mesir, Ikwanul Muslimin yang menyokong Morsi.
Draf berkenaan ditentang oleh penduduk Kristian dan golongan liberal kerana dianggap menyisihkan hak asasi manusia dan hak wanita.
Keputusan awal pusingan terakhir pungutan suara itu dijangka diketahui hari ini.
"Saya mengundi menyokongnya kerana Mesir memerlukan sebuah perlembagaan yang stabil," kata seorang pemandu lori berusia 49 tahun, Mohamed Mamza semasa beratur untuk mengundi di Giza, dekat sini.
Di satu lokasi berhampiran, seorang pengundi lain, Sayyed Mostafa, 25, menyatakan, dia akan mengundi menentang draf perlembagaan tersebut.
"Draf ini tidak menghormati rakyat Mesir," tegasnya.
Jika draf perlembagaan baharu itu dikuatkuasakan, Morsi perlu mengadakan pilihan raya Parlimen dalam tempoh dua bulan lagi untuk menggantikan dewan berkenaan yang didominasi wakil rakyat Islam.
Parlimen Mesir diarahkan dibubar oleh Mahkamah Agung negara berkenaan pada Jun lalu. - AFP

China akan buka laluan kereta api laju terpanjang


SEBUAH kereta api laju tiba di sebuah platform dalam wilayah Hebei semalam.


BEIJING/ZHENGZHOU - China bakal mempunyai landasan kereta api laju terpanjang di dunia apabila laluan tren itu yang menghubungkan bandar raya ini dengan kota metropolitan Guangzhou, di selatan negara berkenaan dirasmikan minggu depan, kata beberapa pegawai semalam.
Landasan sepanjang 2,298 kilometer itu yang kini beroperasi, akan memulakan perkhidmatan penuh pada Rabu depan dengan laluan tersebut menjimatkan separuh masa perjalanan kereta api antara dua kota utama itu.
Perjalanan dengan kereta api laju antara dua bandar raya berkenaan kini mengambil masa kurang 10 jam pada kelajuan mencecah 300 kilometer sejam.
Laluan baharu itu memberikan peluang kepada Kementerian Kereta Api China yang dihimpit pelbagai skandal dan kesilapan untuk menebus maruahnya.
Pada Julai 2011, satu kemalangan kereta api laju meragut 40 nyawa dan mencetuskan kebimbangan berhubung tahap keselamatan laluan kereta api laju di negara berkenaan.
Beijing membelanjakan 2.3 trilion yuan (RM981 bilion) di bawah pelan lima tahun yang tamat pada 2015 untuk membangunkan sistem perkhidmatan kereta api laju di China. - Reuters

Gangnam Style lakar sejarah


PSY beraksi di konsert Jingle Ball tajaan stesen radio KIIS FM di Los Angeles, California pada 3 Disember lalu.


SEOUL - Penyanyi rap Korea Selatan, Psy menyambut gembira kejayaan klip video lagu tarian kudanya, Gangnam Style yang mencecah angka satu bilion tontonan di laman perkongsian video YouTube semalam.
Gangnam Style mencipta sejarah apabila menjadi klip video pertama melepasi angka 10 digit berkenaan.
Lagu Gangnam Style yang dimuat naik di laman web berkenaan pada 15 Julai lalu mencecah angka satu bilion tontonan sekitar pukul 11.50 malam waktu Malaysia kelmarin.
Setakat pukul 2.30 petang semalam, lagu rap popular itu sudah ditonton sebanyak 1,010,321,921 kali.
"Gangnam Style akhirnya menjadi #BillionStyle!!!" kata Psy di laman Twitternya berhubung pencapaian tersebut.
Antara mereka yang pertama mengucapkan tahniah kepada Psy, 34, berhubung kejayaannya termasuk bintang rap era 90-an yang popular dengan lagu U Can't Touch This, Mc Hammer.
Psy mengucapkan terima kasih kepada pengurus baharunya Scooter Braun kerana membantu mempromosikan klip video lagu berkenaan.
"Saya mencipta 100 juta (tontonan) dan anda mencipta 900 juta lagi, saudaraku yang berlainan ibu (Braun)," kata Psy di laman Twitternya.
Braun turut menguruskan bintang pop kelahiran Kanada, Justin Bieber yang sebelum ini mengungguli senarai tontonan terbanyak di YouTube menerusi lagunya, Baby.
Bieber masih di tempat kedua apabila lagu popular itu mencatat lebih 813 juta tontonan setakat ini.
Laman web agensi carta lagu Amerika Syarikat, Billboard.com pula melaporkan lagu Gangnam Style menjana perolehan AS$2,000,000 (RM6.1 juta) daripada siarannya di YouTube atau pada kadar AS$2 untuk setiap 10 tontonan.
Pendapatan daripada muat turun lagu digital lagu 'panas' itu kini mencecah angka AS$6.01 juta (18.3 juta) sejak lima bulan lalu. - AFP

'Wabak' penembak gila landa AS

SEORANG pembantu syerif berbincang dengan anggota peronda lain berikutan kejadian tembakan yang membunuh empat orang di Frankstown, Pennsylvania semalam.


NEW YORK - Seramai empat orang maut kelmarin manakala beberapa anggota polis cedera dalam satu kejadian tembakan di pedalaman negeri Pennsylvania, kata pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).
Bercakap mengenai tragedi terbaharu itu, jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Daerah Blair, Diane Meling berkata, insiden tembakan itu meliputi 'satu kawasan sekitar beberapa kilometer' dekat bandar Frankstown di negeri berkenaan.
"Empat orang ditembak mati. Jumlah itu termasuk penyerang.
"Terdapat beberapa anggota keselamatan Pennsylvania yang cedera namun, saya difahamkan kecederaan mereka tidak serius," tambah Meling.
Beberapa pegawai lain memberitahu, serangan melibatkan seorang lelaki yang menembak mati seorang wanita ketika mangsa menghias dewan sebuah gereja untuk persediaan parti kanak-kanak di Geeseytown, Pennsylvania sekitar pukul 9 pagi waktu tempatan.
Menurut mereka, penyerang turut membunuh dua lelaki lain di sekitar bandar itu sebelum dia mati ditembak pasukan polis dalam satu kejadian tembak-menembak.
Dalam satu lagi serangan, dua orang ditembak mati di sebuah kelab malam di Birmingham, dalam negeri Alabama kelmarin.
Seorang pegawai polis, Kapten Jim Coker berkata, kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian dalam serangan yang berlaku sekitar pukul 11.30 malam waktu tempatan.

Anne Ngasri sah jadi isteri Sumali


MOHD. Sumali (kiri) mencium dahi isterinya, Anne bagi membatalkan air sembahyang selepas majlis pernikahan mereka di Pontian, Johor semalam.


PONTIAN – Pelakon Anne Ngasri akhirnya sah menjadi isteri kepada Setiausaha Kerja Pemuda UMNO, Mohd. Sumali Reduan dalam satu majlis yang diadakan di Homestay Citra, Kampung Parit Pinang, Benut di sini semalam.
Dengan mas kahwin sebanyak RM22.50 dan seutas gelang tangan emas, pasangan tersebut selamat diijabkabulkan oleh Kadi Daerah Segamat, Abdul Mutalib Abdul Rahim tepat pukul 11.10 pagi semalam.
Mohd. Sumali, 40, yang telah menduda sejak tiga tahun lalu sebelum ini sah bergelar suami kepada Anne atau nama sebenarnya Naszriah Ngasri, 26, dengan sekali lafaz sahaja.
Pada majlis itu, pengantin bertukar-tukar hantaran iaitu lima dulang daripada Mohd. Sumali dan Anne juga membalas dengan lima dulang hantaran. Wang hantaran pula berjumlah RM11, 111.11.
“Syukur Alhamdulillah kerana penantian saya selama tiga tahun berakhir apabila saya ditemukan dengan lelaki yang terbaik iaitu Sumali yang sudah sah menjadi suami saya," kata Anne. Sebelum ini, selain pernah menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz, pelakon berkenaan juga pernah mendirikan rumah tangga dengan Abdul Wafi Hassan pada 2006, namun kedua-duanya bercerai empat tahun kemudian.
Sepanjang berkahwin mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Abdul Warits, 6, Abdul Wafri, 4, dan Nazhara Afroza, 1.

Murid tahun 5 maut dibaham buaya


ANGGOTA bomba dan penduduk melancarkan gerakan memburu buaya membaham Jerry di Sungai Suai, Miri semalam. Gambar kecil Jerry.


MIRI – Seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Iran Suai maut selepas diserang seekor buaya dalam kejadian di Sungai Suai dekat sini pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, mangsa, Jerry Apat Angsa, 11, berasal dari Rumah Panjang Sulang Suai difahamkan turun ke sungai berkenaan bersama dua lagi rakannya untuk mandi.
Namun, niatnya tidak kesampaian selepas seekor buaya sepanjang empat meter dipercayai membaham paha kiri budak malang itu sebelum mengheretnya masuk ke tengah sungai.
Menurut sumber, berdasarkan keterangan rakan yang enggan dikenali, Jerry sempat membasuh bajunya di jeti sebelum diserang oleh reptilia ganas itu.
“Rakannya yang tergamam melihat badan mangsa dilambung dan ditarik buaya ke tengah sungai terus menyelamatkan diri dan berlari pulang ke kampung untuk memaklumkan kejadian kepada keluarga Jerry.
“Selepas menerima berita itu, bapa mangsa, Angsa Ludang, 45, bersama penduduk kampung bergegas ke lokasi kejadian namun kelibat buaya ganas tersebut sudah tidak kelihatan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tarikan baharu Bandar Baru Bangi


KEADAAN bilik khas yang dijadikan pusat judi dalam sebuah kedai makan di Bangi.


BANGI - Sebuah pusat judi haram yang menjadi tumpuan golongan remaja dikesan beroperasi di Jalan P/19 Kawasan Perindustrian Bandar Baru Bangi di sini dengan berselindung di sebalik operasi sebuah kedai makanan.
Lebih buruk, premis tersebut turut menjadi sarang bagi mereka yang ponteng solat Jumaat di sebuah masjid berdekatan untuk berjudi internet.
Disebabkan leka berjudi, terdapat dalam kalangan kaki judi terbabit yang lambat masuk kerja mengikut waktu pejabat.
Jarak premis tersebut dengan masjid berdekatan lebih kurang 1.5 kilometer.
Kedai makanan yang menyajikan roti bakar, makanan bergoreng seperti mi dan minuman itu tidak putus-putus dikunjungi tahi judi yang berusia lingkungan 20an dan dewasa.
Premis tersebut yang dilengkapi dengan kamera litar tertutup di setiap penjuru dipercayai digunakan untuk memantau kehadiran pihak berkuasa.
Difahamkan, premis terbabit telah beroperasi sejak beberapa tahun lepas dan mempunyai bilangan pengunjung tetap terdiri daripada orang Melayu setiap hari.

Yuran agensi amah perlu munasabah

KUALA LUMPUR - Yuran agensi pembantu rumah perlu ditetapkan pada kadar yang lebih munasabah dan relevan dengan keperluan masyarakat.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, beberapa agensi menetapkan yuran tinggi sehingga RM12,000 bagi setiap amah yang dianggap terlalu mahal bagi kebanyakan penduduk Malaysia.
"Dalam jangka panjang, saya bersetuju kuasa pasaran yang sebenarnya menjadi penentu kepada yuran ini, namun pada masa sama mereka perlu bersikap munasabah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen pertama dunia mengenai Shirdi Sai Baba di bangunan Sri Maha Mariamman di sini semalam.
Rabu lepas, Malaysia dan Indonesia bersetuju menyemak semula struktur kos untuk membawa masuk pembantu rumah dari republik itu. Kedua-dua negara sebelum ini mempersetujui bayaran RM4,511 bagi setiap pembantu rumah.

Terima diploma selepas elok koma


ALIMUDDIN (kiri) menyampaikan diploma kepada
Muhammad Fareezuddin pada konvokesyen Cybernetics
International College of Technology di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Meskipun koma selama tiga minggu dan hilang ingatan selepas terbabit kemalangan sebulan sebelum majlis konvokesyen, seorang graduan Cybernetics International College of Technology, Muhammad Fareezzuddin Yaakub bersyukur kerana berpeluang menerima diploma di sini semalam.
Beliau berkata, meskipun kemalangan itu hampir meragut nyawanya, graduan jurusan Diploma Pengurusan Penerbangan yang mendapat purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 3.7 bertekad untuk kembali ke alam pekerjaan sebaik sahaja sembuh.
Pemuda berumur 21 tahun ini terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Shah Alam pada 6 November lalu selepas habis waktu bekerja apabila motosikalnya dilanggar sebuah kereta yang masih tidak dapat dikesan sehingga kini.
Muhammad Fareezzuddin yang dibantu ibunya Zaitun Adrus semasa ditemui berkata, beliau dalam proses mengingati semula peristiwa yang berlaku sebelum kemalangan termasuk kehidupan semasa belajar dan semasa bekerja sementara sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan sebuah syarikat telekomunikasi.
"Ingatan saya semakin pulih dengan bantuan keluarga dan rakan-rakan. Tetapi saya berharap akan dapat mengingati sepenuhnya semua perkara dan menjalani kehidupan normal," katanya yang berkerusi roda semasa menerima diploma pada Majlis Konvokesyen ke-9 Cybernetics International College of Technology di sini semalam.

No comments:

Post a Comment