Thursday, January 26, 2012

MEMANG ROHANI@KEAGAMAAN SEBAGAI DINDING..TAPI BAGAIMANA NAK ADA ROHANI..SOLAT DAN SURUHAN LAIN DITINGGALKAN...YANG DITEGAH DIBUAT..PENGAJIAN2 DIMASJID DAN SURAU TAK DATANG...UNDANG2 ALLAH MESTI DILAKSANAKAN..DENGAN UNDANG2 DIKUATKUASA MAKA TAKUTLAH MEREKA...INI DAPAT MEMBENDUNG SERTA MENYEKAT AGAR LARANGAN2 ALLAH TAK DILANGGAR...NAK KERJA PUN TENGOK DARI SYARAK..DIBENARKAN ATAU TIDAK...

Amuk hutang RM10

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my

ALOR GAJAH: Hanya kerana hutang RM10, enam sahabat menjadi mangsa amukan sekumpulan 20 remaja bermotosikal bersenjatakan parang, pedang samurai, cota dan kayu di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi itu, enam sahabat terbabit yang berusia antara 18 dan 25 tahun sedang duduk di luar pagar rumah apabila tiba-tiba didatangi kumpulan remaja lelaki berkenaan yang tidak berpuas hati dan mencari seorang rakan mereka yang dikatakan berhutang.

Kumpulan remaja yang bersenjatakan parang, pedang samurai, cota serta kayu tanpa berkata apa-apa terus menyerbu ke arah mereka yang bertempiaran lari masuk ke halaman rumah dan cuba menutup pagar.

Bagaimanapun, kumpulan remaja itu terus menghayun senjata ke arah semua mangsa.


Seorang mangsa yang juga saksi kejadian, Mohd Ridzuan Md Isa, 25, berkata, kumpulan remaja terbabit datang ke rumahnya secara berkumpulan dengan menunggang pelbagai jenis motosikal dan sebuah kereta Perodua Kenari.

Tidur beralas kotak

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Saya bawa pisau untuk pertahankan diri dan bila tidur, satu beg dijadikan bantal, manakala dua lagi, talinya saya lilit di pinggang.
“Walaupun cuma beg baju, ia amat penting bagi saya,” kata gelandangan warga emas Man Ahmad, 79 yang ditemui di penjuru kaki lima sebuah bank terkemuka, di sini.

Dia menyusun kotak usang sebelum merebahkan badannya, manakala satu daripada tiga begnya dijadikan bantal.

Ini rutin hariannya sejak setahun lalu selepas memutuskan berhijrah dari Kota Tinggi, Johor ke ibu kota.


Ditanya sama ada pernah menjadi mangsa samun, Man berkata, ia belum berlaku cuma ada cubaan melarikan begnya beberapa kali.

Bekas penjawat awam itu memilih berhijrah ke bandar raya selepas bosan tinggal di kampung, menakala tiga anaknya sudah berkeluarga.

Kuat kerohanian elak dipengaruh

KUALA LUMPUR: “Dalam keadaan berwuduk jin dan syaitan tidak dapat menguasai diri kita, sekali gus menjadi cara paling mudah seseorang mengelakkan diri daripada terkena ilmu pukau,” kata perunding motivasi dan pendakwah, Datuk Mohd Zawawi Yusoh.
Katanya, selagi seseorang dalam keadaan berwuduk malaikat menjaga dan melindunginya menyebabkan jin dan syaitan tidak mudah mendekati serta dapat mematahkan semua niat jahat yang ingin diperlakukan terhadapnya termasuk pukau dan sihir.

“Bagaimanapun, dalam Islam apabila seseorang menjadi mangsa sihir atau pukau, perbuatannya sebelum itu dimaafkan apabila sedar. “Namun yang dibimbangi, perangai atau perbuatan ketika dipukau sukar dibuang.
“Justeru, mangsa yang terkena sihir atau pukau perlu mendapatkan rawatan dan pada masa sama sentiasa mengamalkan bacaan tertentu dalam al-Quran selain solat berjemaah kerana ia benteng paling kuat untuk merawat mangsa pukau,” katanya.

Beliau mengulas muka depan Harian Metro, semalam mengenai kehidupan seorang lelaki gelandangan yang pernah bekerja sebagai pegawai bank musnah namun dipukau sebelum dibawa ke merata negeri termasuk negara jiran, dua tahun lalu. Masalahnya bermula selepas perkenalan dengan seorang mubaligh yang kerap berurusan di bank tempat kerjanya.

Katanya, daripada pelanggan, lelaki itu menjadi kawan baik hingga begitu akrab dan mangsa seperti dicucuk hidung mengikut ke mana saja dia pergi hingga meninggalkan larangan agama.

seperti minum arak dan makan babi serta pernah minum air suci agama berkenaan.

Mohd Zawawi berkata, pukau menggunakan khidmat jin menyebabkan seseorang itu dikuasai makhluk berkenaan yang akhirnya perasaannya terperangkap dan menjadi seperti kuda tunggangan pihak yang mengkehendaki.
Katanya, banyak cara boleh dilakukan bagi mengelak daripada terkena ilmu pukau iaitu mengamalkan ayat suci al-Quran dan zikir sebagai benteng untuk diri. “Pukau ini mempunyai pelbagai cara seperti menggunakan angin atau sentuhan dan bila berlaku mangsa mudah terpengaruh. “Apabila terkena pukau, kebanyakannya menjadi bodoh atau pak turut tanpa disedarinya,” katanya.

Penyanyi banyak auta

Oleh Muhd Izawan Baharin, Mior Azlan Mior Kamarulbaid dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my

KESAL...Abang Yusuf (kiri) dan isterinya, Noor Maszura bersama Khiarul ketika sidang media.
KESAL...Abang Yusuf (kiri) dan isterinya, Noor Maszura bersama Khiarul ketika sidang media.
KUALA LUMPUR: “Bukan mahu mengaibkan dia, tetapi perbuatannya yang tidak bertanggungjawab menyebabkan kami sekeluarga hidup sengsara sejak lapan tahun lalu,” kata sepasang suami isteri yang menanggung hutang hampir RM1 juta dan diisytiharkan muflis, didakwa akibat diperdaya seorang penyanyi terkenal.
Abang Yusuf Abang Daud, 36, yang juga bekas vokalis kumpulan Baji dan isterinya, Noor Maszura Abu Bakar, 30, mendakwa mereka hidup tertekan selepas diisytiharkan muflis pada 2008 disebabkan penyanyi terbabit gagal menjelaskan pelbagai jenis pinjaman bank berjumlah RM929,503.
Noor Maszura berkata, semuanya bermula apabila dia dan suaminya dilantik oleh penyanyi terbabit sebagai pengarah syarikat rakaman miliknya pada Disember 2002.

 

“Rupa-rupanya dia mempergunakan kami berdua untuk dia membuat pelbagai pinjaman bank dan kami diarahkan menjadi penjamin dengan alasan kami pengarah syarikat,” katanya ditemui selepas membuat aduan kepada Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat, di sini, semalam.

Menurutnya, pada 2003 penyanyi terbabit membeli sebuah Mercedes Benz berharga lebih RM400,000 diikuti kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima pada tahun sama.


Apek keliru tarikh latihan

Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

SEDIA...Apek (kanan) dilihat tenang jalani latihan bersama skuad Olimpik.
SEDIA...Apek (kanan) dilihat tenang jalani latihan bersama skuad Olimpik.
KELIBAT penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat akhirnya kelihatan pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, petang semalam selepas gagal melaporkan diri tanpa sebarang alasan bersama skuad Olimpik negara kelmarin sehingga menimbulkan keresahan pengendalinya, Ong Kim Swee.
Kapten skuad Olimpik negara itu tampil bersemangat menjalani latihan bersama-sama rakan sepasukan lain sebagai persiapan menghadapi aksi kelayakan Olimpik 2012 menentang Bahrain di Manama pada Ahad depan.
Ketika ditanya punca sebenar kegagalannya untuk melaporkan diri, Khairul Fahmi menjelaskan mungkin berlaku kesilapan komunikasi antara dirinya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan FAM sehingga menyebabkan insiden itu berlaku.

“Surat (melapor diri) sampai, namun mungkin terdapat kekeliruan mengenai tarikh sebenar saya perlu menghadirkan diri, sama ada sebelum aksi Liga Super (menentang Kuala Lumpur pada Sabtu) atau selepas itu dan sebagainya,” katanya ketika diminta mengulas dengan lebih lanjut kesilapan komunikasi itu.

 

 “Saya mendapat pelepasan tengah hari tadi (semalam). Apa yang penting adalah saya sudah hadir di sini dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk terus memberikan fokus untuk aksi ini (menentang Bahrain),” katanya.

Dia bagaimanapun menegaskan insiden itu tidak menjejaskan semangatnya untuk terus menabur bakti kepada skuad negara serta pasukan diwakilinya, Kelantan.

“Saya hormati kontrak bersama Kelantan selain tugas besar untuk negara yang perlu digalas,” katanya yang dijangka pulang ke Kelantan hari ini bagi membantu Red Warriors menentang Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super sebelum kembali ke pangkuan skuad Olimpik.

Khidmat Khairul Fahmi amat ditagih skuad Olimpik negara dan Kelantan selain skuad senior berikutan ketangkasannya mengawal gawang negara sehingga menjulang Piala AFF 2010 buat kali pertama dan mempertahankan pingat emas Sukan Sea 2011.


Musnah dalam 25 minit

Oleh Isma Ismail
isma@hmetro.com.my

TERUK...sebahagian rumah kedai yang terbakar.  FOTO Rosli Ahmad
TERUK...sebahagian rumah kedai yang terbakar. FOTO Rosli Ahmad
USAHA...anggota Bomba dan Penyelamat berjaya mengawal kebakaran dalam 25 minit. FOTO Rosli Ahmad
USAHA...anggota Bomba dan Penyelamat berjaya mengawal kebakaran dalam 25 minit. FOTO Rosli Ahmad
BUTTERWORTH: Sebuah tangki simpanan petroleum nyaris meletup ketika 25 rumah kedai papan hangus dalam satu kebakaran, berdekatan kompleks Penang Sentral, di sini, kira-kira jam 11.30 malam tadi.
Bagaimanapun, tindakan pantas kakitangan syarikat petroleum terbabit yang menyejukkan tangki dengan menyembur penyejuk berjaya mengurangkan risiko kejadian menjadi lebih buruk.
Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Tamat, berkata tangki berkenaan hanya kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

“Lima dari balai Prai, Butterworth dan Perda dikejarkan ke tempat kejadian. Jentera pertama tiba di tempat kejadian kira-kira jam 11.41 malam. Anggota bomba berjaya mengawal keadaan 25 minit kemudian,” katanya.


Menurutnya, kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan manakala mangsa juga masih belum dapat dipastikan.

Difahamkan, rumah kedai berkenaan berpenghuni tetapi sehingga ini tidak dapat dipastikan sama isi rumah berkenaan berjaya menyelamatkan diri daripada kebakaran besar berkenaan.

MENOLAK..MEMPERLEKEH..MENAFIKAN..BERDALIH2..TAK YAKIN@RAGU HUKUM ALLAH ADAKAH TAK SATU PENGHINAAN PADA ALLAH DAN RASUL SAW KE......

Maut kena hentak



KAJANG: Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dengan kesan kecederaan parah di kepala termasuk di dagu dan mata berhampiran pusat hiburan Ceria Box, Jalan Bukit, di sini, kelmarin.
Difahamkan, sebelum kejadian jam 11 malam itu, mangsa bergaduh dengan rakannya di kawasan berkenaan. Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, siasatan awal mendapati terdapat kesan hentakan kuat di kepala mangsa.

“Kami masih menunggu keputusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa walaupun hasil pemeriksaan mendapati mangsa dipukul dengan senjata tumpul,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Berikutan itu, polis menahan dua lelaki warga Myanmar berusia 30-an di tempat kejadian bagi membantu siasatan dan direman lima hari bermula semalam.

Ribut ‘sedut’ bangunan sekolah



IPOH: “Saya mungkin buta jika serpihan kayu dan batu siling itu menikam ke mata kiri saya. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana masih terselamat dan hanya cedera ringan,” kata murid Sekolah Agama Rakyat (SAR) al-Ansari Ulu Chemor, Ubaidilah Mohd Zamri, 12, yang terselamat dalam kejadian ribut taufan petang Isnin lalu.
Dalam kejadian jam 7 malam itu, bangunan sekolah yang menempatkan 39 pelajar tahfiz terbabit seolah-olah ‘disedut’ ke udara sebelum ranap menyembah bumi. Mangsa berkata, kejadian ribut dan hujan lebat itu berlaku ketika semua pelajar berehat dan menunggu masa untuk menunaikan sembahyang Maghrib.

“Ketika itu saya bersama pelajar lain berada di ruang rehat sekolah untuk bersembahyang kerana ruang solat basah terkena tempias hujan lebat.
“Ustazah mengarahkan saya melaungkan azan. Ketika itu ribut menggoncang bangunan sekolah sebelum siling jatuh menimpa kami,” katanya.

Menurutnya, serpihan siling dan batu itu melayang mengenai mukanya menyebabkan dia menahan sakit sambil mencari tempat berlindung.

“Kami kelam-kabut lari menyelamatkan diri apabila sebatang pokok kelapa tumbang dan menimpa pula bangunan sekolah serta empat rumah berhampiran.

“Saya yang berada di bawah runtuhan itu, bagaimanapun amat bernasib baik kerana tidak ditimpa batang pokok kepala itu,” katanya.

Penyamun pistol palsu dibalun



KAJANG: Tindakan nekad dua lelaki menyamun dua pengawal syarikat keselamatan yang membawa karung mengandungi wang tunai di Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi, di sini, menggunakan sepucuk pistol palsu mengundang padah apabila mereka bukan saja gagal dalam cubaan berkenaan, malah turut dibelasah orang ramai hingga seorang daripadanya ditangkap.
Dalam kejadian jam 10.40 pagi semalam, dua pengawal keselamatan membawa satu karung berisi wang tunai RM552,583.05 yang dikeluarkan dari mesin deposit tunai milik sebuah bank dihampiri dua suspek terbabit yang menaiki sebuah motosikal dan bersenjatakan pistol.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata seorang daripada suspek meluru ke arah pengawal terbabit serta mengacukan pistol sebelum cuba melarikan karung berkenaan.
Menurutnya, mangsa mengesyaki pistol digunakan palsu berdasarkan bentuknya sebelum nekad melawan dan bergelut dengan suspek.

Kempen satu penghinaan



PUTRAJAYA: Pelancaran kempen ‘Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam’ oleh Kelab Taat Suami seolah-olah menunjukkan satu penghinaan kepada Nabi Muhammad s.a.w, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Beliau berkata, ini kerana kempen dengan tema berkenaan boleh mengundang kekeliruan kepada masyarakat memandangkan perkataan seks itu sendiri pada pandangan umum memberi tanggapan berbeza.

“Penganjuran kempen seperti ini adalah dilarang sama sekali kerana ia seolah-olah penghinaan kepada Rasulullah. “Walaupun Rasulullah berkahwin dengan 11 perempuan, tetapi Baginda bukan gila seks. Jika kita sebut mengenai seks ia memberi maksud yang lain pada pandangan umum,” katanya ketika dihubungi, bagi mengulas kempen itu.
Semalam, Kelab Taat Suami dilaporkan melancarkan kempen ‘Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam’ sempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini. Presidennya, Fauziah Ariffin dipetik berkata, kempen berkenaan bagi mengajak umat Islam terutama pasangan suami isteri supaya mengamalkan kehidupan Rasulullah. Katanya, Rasulullah menjadi panduan kepada umat Islam dan ia termasuk aspek ibadat keluarga dan kehidupan seks.

Bom makan tuan

Oleh Adnan Mohamad
am@hmetro.com.my

PASIR MAS: Seorang penoreh getah ditemui mati dalam keadaan pergelangan tangan kanan putus manakala tangan kiri berkecai dipercayai akibat letupan bom yang digunakannya untuk menangkap ikan di Sungai Jelor, Kampung Sungai Keladi, Chetok, dekat sini.
Kejadian berlaku jam 5.30 petang kelmarin, namun mayat mangsa, Mohd Yunus Yusoff, 46, hanya ditemui kira-kira jam 9.15 pagi semalam oleh anggota bomba dan penyelamat yang menjalankan gerakan mencari.

Mayat mangsa ditemui tersangkut pada akar kayu tiga meter di dasar sungai berkenaan dan di muka serta dadanya mempunyai kesan kecederaan parah.
Penduduk yang enggan dikenali mendakwa mangsa dipercayai menggunakan bom ikan kerana dia terdengar satu letupan kuat dari arah sungai tempat lelaki itu menangkap ikan.

“Selepas terdengar letupan itu, saya bersama beberapa penduduk lain berusaha mencari mangsa, namun hari hampir malam menyukarkan mengesannya.

“Selain itu, keadaan sungai yang bersambung dengan Danau Tok Uban dalamnya lebih 10 meter,” katanya ketika ditemui di Hospital Pasir Mas (HPM), semalam.

Isteri mangsa, Azizah Abdul Samat, 38, berkata, arwah suaminya sering ke sungai berseorangan, namun tidak tahu bagaimana caranya menangkap ikan.

“Suami saya mencari rezeki dengan menoreh getah, cuma sekali-sekala membuat sarang burung bagi menambah pendapatan.
“Sebelum kejadian itu, dia tidak menunjukkan sikap pelik dan hanya memberitahu mahu menangkap ikan di kawasan itu kerana sudah lama tidak menikmati masakan ikan,” katanya yang mempunyai tiga anak berusia antara enam hingga 17 tahun.

Difahamkan, sepasukan 10 anggota bomba dan penyelamat termasuk unit skuba ke tempat kejadian selepas menerima laporan pada jam 10 malam kelmarin, namun usaha mencari mayat mangsa dihentikan jam 2 pagi sebelum disambung jam 9 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian.

Lelaki cuba pecah rumah mati dibelasah



IPOH: Seorang lelaki yang cuba melakukan jenayah pecah rumah berakhir tragedi apabila suspek dibelasah beramai-ramai hingga mati oleh beberapa individu yang mengejarnya.
Mangsa, Mohd Fairus Razali, 31, berasal dari Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2, Manjoi, di sini, mati pada jam 1.50 pagi kelmarin, di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, selepas dihantar bagi mendapatkan rawatan kecemasan dipercayai akibat kecederaan teruk di kepala.

Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahlan berkata, mangsa sebelum itu dilihat cuba menceroboh pintu pagar sebuah rumah di Taman Mas di sini, jam 8 malam Khamis lalu, sambil memegang sebilah pisau.

Anak mati tercampak



SEREMBAN: “Sejurus van itu terbalik, semua ahli keluarga termasuk saya menyahut apabila nama kami dipanggil kecuali arwah yang kemudian disedari sudah tidak bernyawa lagi,” kata mangsa yang juga saksi kejadian kemalangan, Suhana Sofia Omar, 27.
Ketika kejadian jam 6.45 pagi, semalam mereka dalam perjalanan ke Johor Bahru selepas di Langkawi.

Sebaik tiba di Kilometer 254.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, Senawang, tiba-tiba van yang dinaiki terbabas menyebabkan seorang kanak-kanak, Danish Abdul Latif, 6, tercampak keluar sebelum dihempap van itu.
Mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Kemalangan itu turut menyebabkan ibu mangsa, Zurina Omar, 36, yang mengandung dan bapanya, Abdul Latif Abdul Rahim, 38, enam ahli keluarga lain termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia setahun dan 10 tahun tercedera. Suhana berkata, mereka sekeluarga bercuti di Langkawi selama beberapa hari terlebih dulu pergi ke Pulang Pinang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, saya nyenyak tidur terkejut apabila mendapati van dinaiki berpusing dan terbalik. Saya kemudian berasa pelik apabila arwah tidak menyahut,” katanya.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

BERGEMBIRA MELAMPAU BATAS..KESAN SENDIRI TANGGUNG...BILA PENYELEWENGAN@PENIPU BANYAK...LAGI HARU KALAU ADA PIHAK MELINDUNGINYA...HANYA HUKUM DIAKHIRAT SEDANG MENUNGGU....

Lepas pelukan setelah dipujuk


ANGGOTA polis memerhatikan seorang lelaki memeluk mayat Kah Kah selepas dia tidak dapat menerima hakikat wanita itu telah mati setelah terjatuh dari tingkat 17 Flat Taman Utara, Batu Uban, George Town semalam.



GEORGE TOWN - Penduduk di Flat Taman Utara di Batu Uban di sini semalam menyaksikan satu kejadian ngeri bercampur sayu apabila mendapati seorang lelaki bertindak memeluk mayat kekasihnya yang terbujur selepas terjatuh dari tingkat 17 selama satu jam sebelum dia mengalah dengan pujukan polis.
Sebelum itu, sepasukan polis telah bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan mengatakan terdapat dua mayat yang terjatuh dari flat tersebut pada pukul 1.20 pagi.
Bagaimanapun, selepas diteliti, polis kemudian mendapati hanya wanita itu sahaja yang mati manakala lelaki berusia 21 tahun itu berbaring di sebelah mangsa sambil memeluk mayat kekasihnya itu.
Dia yang enggan menerima hakikat kematian wanita itu bagaimanapun akur dengan pujukan polis supaya melepaskan mayat kekasihnya kira-kira sejam kemudian.
Difahamkan, wanita itu, Lau Kah Kah, 22, terjatuh selepas dia dikatakan telah berselisih faham dengan kekasihnya menerusi telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) pada pukul 12.30 malam.

Pindaan sekat salah laku



TREND mencarut dan memfitnah di Internet semakin berleluasa dengan antara yang terlibat adalah generasi muda yang menganggap ia satu ekspresi diri. - Gambar hiasan



KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan meminda peraturan mengenai 'salah guna talian atau jaringan' dalam Akta Komunikasi Multimedia 1998 (AKM) bagi mencegah trend penyalahgunaan Internet sebagai medan maki hamun serta penyebaran fitnah dan ugutan daripada terus berleluasa.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sudah tiba masa isu itu ditangani dengan lebih serius kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan identiti masyarakat Malaysia malah satu bentuk jenayah.
"Berdasarkan undang-undang sedia ada, kita tidak boleh meletakkan kesalahan ini di bawah kategori saman malu kerana kriterianya masih tidak mencukupi, justeru akan berlaku pindaan terhadap undang-undang tersebut.
"Usaha ini dijalankan bagi memastikan penjenayah alam siber ini tidak terlepas daripada tindakan undang-undang," jelasnya sewaktu dihubungi di sini semalam.
Beliau mengulas laporan khas Kosmo! semalam yang memaparkan sikap segelintir masyarakat gemar menjadikan laman sosial dan sembang di Internet sebagai medan untuk melepaskan kemarahan dan komen dengan menggunakan bahasa provokasi dan lucah.

Tipu KWSP, enam pencarum didenda

KUALA LUMPUR - Enam pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah diambil tindakan undang-undang kerana kesalahan menipu pengeluaran simpanan antara Oktober dan Disember 2011.
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, mereka didapati bersalah dan didenda RM5,900 oleh mahkamah mengikut Seksyen 59, Akta KWSP 1991 atas kesalahan melibatkan pengeluaran perumahan dan hilang upaya.
"Mengikut Akta KWSP, mereka yang didapati bersalah melakukan penipuan atau cubaan menipu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Nik Affendi berkata, KWSP juga telah memfailkan 52 kes saman atas kesalahan yang sama dari Januari hingga Disember 2011.
"Pada 2011, seramai 47 ahli telah didapati bersalah oleh mahkamah kerana menipu pengeluaran perumahan, hilang upaya dan kesihatan manakala 13 kes lagi dalam tindakan mahkamah," katanya.
Beliau turut mengingatkan ahli-ahli KWSP agar tidak dipengaruhi sindiket yang menawar untuk membantu mereka mengeluarkan simpanan KWSP secara penipuan.

Tiada penyelewengan dalam laporan audit PFN - Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR - Jabatan Audit Negara (JAN) menjelaskan, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010 tidak menyebut perkataan-perkataan seperti kucar-kacir, in a mess atau penyelewengan dalam laporan pengauditannya terhadap projek Pusat Fidlot Nasional (PFN).
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam kenyataannya semalam berkata, perkataan-perkataan itu digunakan oleh pihak-pihak lain dan JAN tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan.
Katanya, pada pendapat JAN, sama ada terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam pelaksanaan projek itu terpulang kepada penyiasatan pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Beliau berkata, pada perspektif audit, terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek itu yang menyebabkan kerajaan menangguhkan pelaksanaannya pada Mei 2009 iaitu sebelum pengauditan dijalankan sehingga satu kajian daya maju dan model perniagaan dibuat.
"Perkara ini ada dinyatakan dalam LKAN 2010. Ia membayangkan kerajaan sememangnya sedar kelemahan-kelemahan dalam pelaksanaan projek ini dan mengambil tindakan untuk menentukan hala tuju projek," katanya.

Pejabat dipecah masuk lapan kali



JASON menunjukkan alat pendingin hawa yang dirosakkan pencuri yang memecah masuk pejabatnya di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Sambutan perayaan Tahun Baru Cina pada Isnin dan Selasa lalu tidak lagi bermakna buat seorang pengurus syarikat perkakas teknologi apabila pejabatnya di Jalan 6E/91, Taman Shamelin Perkasa di sini dipecah masuk buat kali kelapan semalam.
Termasuk kejadian pada pukul 6 pagi itu, Jason Ong, 52, mendakwa dia terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM120,000 sejak awal tahun lalu sebaik projek pembinaan jejambat dekat Jalan Cheras di sini bermula.
Mengimbau semula kejadian itu, Jason memberitahu, dia menyedari pejabatnya dipecah masuk pencuri selepas telefon bimbitnya menerima isyarat dari alat penggera di premis itu berbunyi.
Katanya, dia kemudian bergegas ke situ sebelum menghubungi polis.
"Termasuk kejadian ini, pejabat saya sudah dipecah masuk sebanyak lapan kali dan saya rugi RM120,000. Selain kehilangan komputer, wang dan pelbagai barang berharga, saya juga terpaksa mengeluarkan wang untuk membaik pulih.

1,200 pembeli rumah ditipu



SEBAHAGIAN daripada pembeli rumah projek perumahan pangsapuri Pulau Indah, Klang yang menghantar laporan kepada SPRM di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya semalam.



PUTRAJAYA - Kira-kira 1,200 pembeli rumah projek perumahan pangsapuri Pulau Indah, Klang berada dalam dilema apabila rumah yang dibeli sejak 1999 masih belum dapat didiami.
Paling menyedihkan sebahagian mereka kini telah diisytiharkan muflis dan disenarai hitam akibat kegagalan melunaskan bayaran pinjaman kepada pihak bank.
Lebih mengecewakan lagi, para pembeli tersebut berasa teraniaya dan mendakwa kemungkinan wujudnya komplot yang dilakukan oleh beberapa pihak dalam urusan penjualan perumahan tersebut.
Wakil pembeli projek perumahan itu, Anuar Ibrahim, 41, komplot itu timbul apabila mendakwa pemaju telah menjual perumahan tersebut tanpa mendapat arahan pembangunan daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK).
"Kami ditipu selama ini apabila pemaju menggunakan nama MPK sebagai 'batu loncatan' bahawa projek tersebut telah diluluskan dengan menyertakan surat pengesahan dari pihak berkuasa tersebut.
"Tapak tanah yang dibangunkan juga adalah berstatus pertanian yang tidak pernah ditukar kepada status kediaman," dedahnya lagi ketika ditemui di luar bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam.
Anuar mendakwa pihak bank meluluskan bayaran penuh kepada pemaju tanpa mengikuti perkembangan kerja-kerja pembinaan pangsapuri yang terbengkalai itu walaupun mengikut jadual sepatutnya siap pada tahun 2003.

Culik pemuda Lombok, enam lelaki Madura ditahan

MELAKA - Gara-gara cemburu wanita mereka digoda pemuda Lombok, enam lelaki Indonesia berketurunan Madura yang disyaki terlibat dalam pergaduhan di stesen bas Melaka Sentral di sini menerima padah apabila ditahan pada pukul 12.30 pagi semalam.
Kejadian berlaku apabila dua kumpulan berusia di antara 28 dan 36 tahun telah berkelahi sebelum sekumpulan lelaki Madura itu bertindak menculik lelaki Lombok lalu meminta wang RM1,500 sebagai ganti rugi daripada rakan-rakannya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, polis yang tiba di tempat kejadian sejam kemudian menahan enam lelaki Madura sebelum sempat mereka mengambil wang tersebut.
"Polis kemudian telah menyerbu sebuah rumah di Taman Bachang Permai dan berjaya menyelamatkan lelaki Lombok berusia 28 tahun yang cedera ringan di badannya," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, siasatan mendapati cemburu merupakan motif kejadian selepas lelaki Lombok itu menggoda wanita Madura.
Menurut Raja Shahrom, pergaduhan itu tidak menggunakan senjata dan enam suspek yang merupakan buruh binaan itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan iaitu melakukan peras ugut.

Lelaki mati lemas terkena bom buatan sendiri

PASIR MAS - Seorang lelaki ditemui mati lemas selepas terjatuh dari perahu dipercayai akibat terkena bom buatan sendiri ketika menangkap ikan di Sungai Lemal berhampiran Kampung Lubok Keli, Chetok dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 5.15 petang itu, Yunus Yusoff, 46, dipercayai ke sungai yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah untuk menangkap ikan.
Pegawai Kanan Bomba II Pasir Mas, Azuhan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis pada pukul 10 malam dan bergegas ke tempat kejadian untuk membuat pemantauan.
Menurutnya, cuaca gelap menyebabkan 10 anggota unit skuba Balai Bomba Kota Bharu dan Pengkalan Kubor serta tiga anggota dari Balai Bomba Pasir Mas hanya memulakan operasi mencari dan menyelamat pukul 9 pagi semalam.
"Kami menemui mayat mangsa berhampiran bot yang dinaikinya pada pukul 9.55 pagi dan ketika ditemui, mangsa mengalami kecederaan di muka dan dada manakala pergelangan tangan kirinya hancur dipercayai terkena bom buatan sendiri ketika dia menangkap ikan.

Rundingan gagal, pilih lembaga siasatan



UMI KALSUM mendukung Nur Amani Nasuha sambil diperhatikan oleh Mohd. Hasmadi selepas mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Hospital Taiping semalam.



TAIPING - Bapa kepada bayi kudung, Nur Amani Nasuha mahu satu lembaga siasatan bebas ditubuhkan bagi mencari penyelesaian punca anaknya itu yang terpaksa dipotong pergelangan kaki kanannya sewaktu mendapat rawatan di Hospital Taiping pada 1 Disember tahun lalu.
Mohd. Hasmadi, 30, berkata, ia selaras dengan jaminan Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir sebelum ini mengenai penubuhan lembaga berkenaan bagi mengenal pasti punca kaki bayi malang itu terpaksa dipotong.
"Demi keadilan kepada anak saya, lembaga siasatan itu perlu ditubuhkan. Saya hargai penjelasan pengurusan Hospital Taiping hari ini (semalam) namun ia tidak cukup memuaskan hati kami sekeluarga," katanya ketika ditemui selepas menghadiri perjumpaan tertutup dengan pengurusan hospital itu di bilik mesyuarat hospital berkenaan di sini semalam.
Perjumpaan yang turut dihadiri ibu bayi itu, Umi Kalsum Baharuddin, 24, bertujuan menjelaskan insiden yang membawa kepada tindakan memotong kaki Nur Amani Nasuha.
Ia dipengerusikan oleh Pengarah Hospital Taiping, Dr. Mohd. Yassin Abdul Rahman.

Empat mati kerana letupan bunga api



KEBAKARAN (kanan) akibat bunga api yang berlaku di wilayah Suphan Buri, Bangkok kelmarin.



BANGKOK - Satu letupan besar bunga api pada sambutan Tahun Baru Cina di Thailand menyebabkan empat orang mati dan hampir 90 lagi cedera manakala lebih 100 buah rumah terbakar, kata beberapa pegawai semalam.
Pihak berkuasa percaya, letupan yang berlaku kelmarin disebabkan oleh api daripada bunga api yang tersilap dibakar di bandar Suphan Buri, 100 kilometer ke barat daya Bangkok.
Tiga penganjur terbunuh dengan serta-merta, kata seorang pegawai kerajaan, Somjate Phromsunthorn manakala seorang penonton wanita mati kerana cedera semalam.
"Saya melihat bunga api datang ke arah rumah saya," kata seorang saksi, Krianee Kitpat.
Seorang sami, Suran Sahaidee dari sebuah kuil berdekatan berkata, bunga api tersebut meletup pada ketinggian rendah dan memasuki sebuah khemah yang menyimpan bunga api sekali gus mengakibatkan satu letupan besar dan kebakaran.
Pihak berkuasa mendirikan khemah kelmarin bagi menempatkan penduduk yang berpindah daripada kawasan kebakaran. - AFP

JODOH MAUT DAN SEGALANYA DALAM KEKUASAAN ALLAH...BILA ILMU AGAMA YANG SEDIKIT MAKA PERKARA PELIK2 AKAN TIMBUL ATAU DIPERJUANGKAN...BANYAK PERKARA2 LEBIH AULA DAN BESAR PATUT DIJUANGKAN SERTA DIKETENGAHKAN....

Boleh cemar imej Nabi

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

CABUT...sebahagian risalah  kempen diambil untuk siasatan.
CABUT...sebahagian risalah kempen diambil untuk siasatan.
PERIKSA...anggota penguat kuasa memeriksa tayangan slaid  dalam komputer riba yang dirampas, semalam.
PERIKSA...anggota penguat kuasa memeriksa tayangan slaid dalam komputer riba yang dirampas, semalam. 
 
IPOH: Lima puluh ahli Kelab Taat Suami (KTS) disoal siasat Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ketika mahu melancarkan kempen ‘Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam’ di sebuah banglo mewah di sini, semalam.
Sepasukan penguat kuasa JAIPk menyerbu banglo itu kira-kira jam 4 petang selepas mendapat maklumat mengenai program berkenaan yang dikhuatiri boleh menimbulkan imej negatif kepada Nabi Muhammad s.a.w.
KTS diketuai Khadijah Aam atau lebih dikenali sebagai Ummu Jah dan beliau adalah isteri kepada Allahyarham Ashaari Muhammad, pengasas pertubuhan Al-Arqam yang diharamkan kerajaan sebelum ini.

Pengarah JAIPk, Mohd Yusop Husin berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas poster kempen dan risalah selain memeriksa komputer riba yang terdapat di ruang pameran majlis berkenaan.


“Kami menyoal siasat semua ahli KTS untuk mendapatkan maklumat mengenai program yang diadakan dan siasatan lanjut berhubung kes ini masih dilakukan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pakej unsur gharar

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop dan Rosyahaida Abdullah
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Niat halal cara haram. Itu ungkapan paling sesuai apabila sebuah koperasi dikesan menggunakan kaedah pemasaran pelbagai peringkat (MLM) yang lazimnya diamalkan syarikat jualan langsung untuk menawarkan pakej umrah dengan harga amat murah.
Dengan modal RM1,700, koperasi terbabit mempromosi jumlah berkenaan sudah mencukupi untuk umat Islam mengerjakan umrah dengan syarat mereka perlu menaja tujuh peserta lain untuk berada di bawah mereka.
Peserta terbabit juga disyaratkan mengeluarkan modal dalam jumlah sama dan ia berturutan menjadi rantaian tanpa had, malah pakej itu juga boleh dihadiahkan kepada sesiapa saja termasuk bukan ahli skim berkenaan.

Penolong Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Aduan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), A Mogan berkata, pihaknya melakukan siasatan terhadap kegiatan koperasi itu selepas menerima aduan orang ramai.


“Siasatan awal setakat ini mendapati kegiatan mereka itu bertentangan dengan undang-undang. Antara kesalahan paling ketara ialah mereka tidak memiliki lesen untuk menganjurkan pakej umrah seperti yang dipromosikan,” katanya ketika dihubungi.

Sejam peluk mayat kekasih

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

PUJUK...anggota polis memujuk lelaki yang meniarap di sisi mayat teman wanitanya.
PUJUK...anggota polis memujuk lelaki yang meniarap di sisi mayat teman wanitanya.
TRAGIS...teman lelaki mangsa bersandar di dinding berhampiran mayat kekasihnya.
TRAGIS...teman lelaki mangsa bersandar di dinding berhampiran mayat kekasihnya.
GEORGETOWN: Hampir sejam diperlukan untuk memujuk seorang lelaki yang tidak mahu melepaskan pelukan terhadap teman wanitanya yang sudah meninggal dunia selepas ditemui di tingkat bawah satu blok flat di Taman Utara, Batu Uban, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, lelaki terbabit tidak dapat menerima hakikat teman wanitanya, Lau Kah Kah, 22, maut selepas terjun dari tingkat 17 flat berkenaan.
Lelaki terbabit dilihat meniarap di sisi mayat teman wanitanya sambil memeluknya, tetapi langsung tidak bersuara dan hanya sesekali kelihatan menangis.

Orang ramai yang mengerumuni tempat kejadian pada mulanya menyangkakan ada dua mayat di situ, tetapi terkejut apabila melihat lelaki berkenaan tiba-tiba bergerak.


Lelaki itu langsung tidak mempedulikan orang ramai yang mengerumuninya dan dia terus memeluk erat mayat teman wanitanya sebelum penduduk menghubungi ambulans.

Suspek miliki tujuh rekod jenayah



KUALA LUMPUR: Suspek yang ditembak mati dalam drama tebusan kanak-kanak di Kampung Baru, di sini, Isnin lalu, disahkan mempunyai tujuh rekod lampau, empat daripadanya membabitkan penyalahgunaan dadah manakala tiga lagi bersabit kes jenayah.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 3, Akta Culik 1961 walaupun suspek sudah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kelmarin.

Zulkarnain berkata, pakar psikiatri turut menolak kemungkinan suspek mempunyai masalah mental dan polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat daripada HKL.
“Mayat suspek dituntut ahli keluarganya jam 8 malam semalam di HKL dan dibawa pulang untuk diuruskan jenazahnya,” katanya.

Katanya, doktor mengesahkan terdapat kesan calar di anggota badan kanak-kanak perempuan terbabit akibat terkena pisau suspek.

“Menyedari tahap ancaman terhadap nyawa mangsa semakin tinggi, polis melepaskan tembakan.

“Laporan awal bedah siasat menunjukkan hanya terdapat lapan kesan luka akibat empat das tembakan yang dilepaskan polis dan tiada kesan kecederaan lain,” katanya.

Menurutnya, suspek dipercayai dikejar penduduk kampung berkenaan selepas dilihat berjalan tanpa seurat benang sambil membawa plastik berisi pakaian dan sebatang besi.
“Namun, laporan perubatan menunjukkan tiada kesan pukul atau luka selain kesan tembakan. Jadi, kami minta semua pihak menghentikan andaian yang mengatakan suspek dipukul atau dibelasah orang ramai,” katanya.


10 PETANDA DIA JODOH KITA…

Firman Allah SWT, bermaksud “Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu” (Surah Muhammad, ayat 7)

Gunakan seluruh pancaindera

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?

Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.

1.Bersahaja

Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2.Senang bersama

Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3.Terima kita seadanya

Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4.Sentiasa jujur

Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5.Percaya Mempercayai

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6.Senang Bekerjasama

Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7.Memahami diri kita

Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, “lidah sendiri lagikan tergigit”, inikan pula suami isteri’. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8.Tampilkan kelemahan

Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9.Kata hati

Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10.Solat Istikharah dan Tawakkal

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

Wednesday, January 25, 2012

PERLU ADA PENJAGA PANTAI@PENYELAMAT2 YANG BERTAULIAH SERTA MAHIR BAB LAUT...CEKAP BERENANG DAN ALAT2 PENYELAMAT YANG CUKUP...

20 juta rokok seludup dirampas


Semua negara Eropah bekerjasama mencegah penyeludupan rokok haram. - Gambar hiasan


ATHENS, Greece - Pihak berkuasa Greece kelmarin menyatakan mereka merampas sekitar 20 juta rokok seludup daripada beberapa buah kontena yang tiba dari Malaysia di Pelabuhan Piraeus di sini, lapor agensi berita AFP semalam.
Pihak berkuasa Greece dalam satu kenyataan memberitahu, rampasan besar itu dibuat pada Jumaat lalu ekoran maklumat daripada pihak berkuasa Britain.
Menurut pihak berkuasa Greece, setakat ini, polis masih menyiasat pihak penerima kargo berkenaan selepas nama yang tercatat pada dokumen pengangkutan didapati palsu.
Kenyataan itu menyatakan bahawa rokok yang dirampas itu adalah daripada jenama Jack Man dan Walton, dua jenama rokok yang tidak memiliki persijilan atau kebenaran untuk diedarkan di Eropah.


Rintihan sayu Fifi ketika ditawan


FIFI RAMADHANI yang dapat diselamatkan dari menjadi tebusan seorang penagih dadah masih kelihatan lemah ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur semalam. Turut kelihatan ibunya, Santi (kiri).


KUALA LUMPUR – Mangsa tebusan, Fifi Ramadhani Syafruddin hanya mampu merintih dan merayu kepada seorang lelaki bogel dan bersenjatakan pisau agar tidak membunuhnya sepanjang enam jam dia dijadikan tawanan di rumah sendiri kelmarin.
Bapa mangsa, Syafruddin Marlis, 47, memberitahu, dia masih teringat bagaimana keadaan mencemaskan itu berlaku ketika hanya mereka bertiga berada di rumah yang terletak di Lorong Raja Muda Musa, Kampung Baru di sini.
Katanya, dia dapat mendengar rintihan dan rayuan anaknya minta dilepaskan suspek yang merupakan penagih dadah jenis syabu terbabit.
“Anak saya kerap mengatakan jangan bunuh, jangan mengapa-apakan dia dan minta dilepaskan sambil tidak henti-henti menangis. Saya yang tidak mampu melawan kerana kudung kaki sebelah kanan juga merayu perkara yang sama.
“Rayuan kami tidak diendahkan dan suspek memberi amaran supaya tidak mendekatinya jika tidak mahu kami dibunuh,” ceritanya ketika ditemui.

Tiga lemas di pantai Desaru


JENAZAH Mohamad Izzuddin dan Mohamad Aqhmal yang ditemui lemas di pantai Tanjung Buloh, Desaru dibawa menaiki van untuk dikebumikan di Ulu Tiram, Johor Bahru kelmarin.


KOTA TINGGI – Seorang wanita tidak menyangka akan kehilangan dua anaknya sekali gus apabila mereka ditemui lemas ketika sedang mandi-manda di pantai Tanjung Buloh, Sedili Kecil dekat Desaru di sini kelmarin.
Kejadian pukul 2.30 petang itu mengakibatkan Mohamad Izzuddin Sanudin, 12, dan Mohamad Aqhmal, (gambar kecil) 21, dari Ulu Tiram, Johor Bahru mati selepas ditemui dalam keadaan terapung oleh orang ramai.
Sebelum kejadian, mangsa bersama ibu, Norhayati Ibrahim, 43, bapa, Sanudin Abu, 45, dan empat beradik lain tiba di situ untuk berkelah sejak pagi.
Bagaimanapun, menurut Norhayati, ketika asyik mandi, mereka dikejutkan dengan kejadian seorang kanak-kanak lain yang lemas. Kanak-kanak itu bagaimanapun dapat diselamatkan.

Tiga maut kereta bertembung


ANGGOTA polis melihat keadaan dua buah kereta yang remuk selepas
bertembung hingga mengakibatkan tiga maut di Nilai, Negeri Sembilan semalam.


NILAI - Tiga maut termasuk satu pasangan suami isteri selepas kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga di Jalan Mantin-Beranang di sini semalam.
Kejadian pukul 12.30 tengah hari itu mengakibatkan Lim Fong Len, 74, dan isterinya, Chong Yoon Ying, 57, maut. Mereka merupakan penumpang belakang kereta Toyota Vios itu.
Turut maut ialah pemandu Proton Saga, Tee Chan Hen, 23.
Tiga lagi mangsa dalam kereta Toyota Vios terbabit termasuk pemandu dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dilaporkan parah.
Seorang saksi, Zakaria Mohd. Kadir, 23, berkata, ketika kejadian dia bersama tiga lagi rakannya sedang melakukan kerja-kerja membaiki paip bocor di tepi jalan berkenaan.

18 rumah rosak dilanda ribut

IPOH - Sebanyak 18 rumah rosak teruk manakala empat lagi serta sebuah sekolah agama rakyat (SAR) hampir ranap dihempap pokok besar apabila ribut melanda Kampung Ulu Chemor dekat sini malam kelmarin.
Bumbung sebahagian besar rumah terbabit rosak ekoran angin kencang yang bermula pukul 7 malam hingga 9 malam.
Seorang murid SAR al-Ansari Ulu Chemor, Ubaidilah Mohd. Zamri, 12, cedera di muka akibat terkena batu yang melayang ketika menyelamatkan diri selepas bumbung sekolahnya diterbangkan angin.
"Kami berehat dalam bangunan sekolah, tiba-tiba semua bumbung tercabut dan diterbangkan angin, kami lari lintang-pukang menyelamatkan diri dan saya rasa ada sesuatu terkena muka saya," katanya yang merawat lukanya dengan minyak gamat.

Ibu bimbang keselamatan anak gadis lari ikut tomboy




KEMAMAN – Ibu kepada seorang gadis sunti berusia 15 tahun yang didakwa melarikan diri dari rumah mengikut kekasihnya yang merupakan seorang ‘tomboy’ berusia 19 tahun mula bimbang dengan keselamatan anak keduanya itu.
Anita Othman, 44, dari Bandar Chukai berkata, sejak meninggalkan rumah pada 9 Januari lalu, Wan Suhana Wan Rohin (gambar kecil) yang bersekolah di tingkatan tiga langsung tidak dapat dihubungi malah usahanya untuk menjejakinya sehingga ke Kuantan dan Pekan di Pahang tidak berhasil.
“Saya sudah bertanya kepada beberapa orang dan bomoh, mereka kata anak saya masih hidup tetapi tidak tahu di mana dia berada ketika ini.
“Apa yang saya bimbangkan adalah keselamatannya. Saya sendiri tidak tahu bagaimana keadaannya dan di mana dia tinggal,” jelasnya ketika dihubungi kelmarin.



Menara Big Ben di London condong


Bangunan jam Big Ben (kanan) di London kelihatan dalam gambar yang dirakamkan pada Isnin lalu.


LONDON, Britain - Menara jam yang terletak di Istana Westminster dan digelar Big Ben didapati condong manakala media tempatan kelmarin melaporkan bangunan Parlimen Britain pula semakin mengelincir ke dalam Sungai Thames di sini.
Menara setinggi 96 meter itu yang menjadi mercu tanda bandar raya ini didapati condong sekitar 46 sentimeter ke kiri puncaknya.
Perkembangan membimbangkan itu mendorong suruhanjaya Dewan Perwakilan yang bertanggungjawab menyelia bangunan Parlimen dan kawasan sekitarnya sejak kurun ke-19 mengadakan satu pertemuan pada Isnin depan bagi membincangkan isu tersebut.
Media tempatan melaporkan suruhanjaya berkenaan akan membincangkan laporan juruukur yang mencadangkan anggota-anggota Parlimen berpindah manakala kerja-kerja membaiki kerosakan tersebut dianggar mencecah £1 bilion (RM4.8 bilion).
Namun, seorang jurucakap suruhanjaya itu menafikan terdapat laporan juruukur manakala pertemuan tersebut diadakan bagi menubuhkan satu kumpulan untuk menyelidik proses membaiki dan menyelia bangunan tersebut pada masa panjang.
Jurucakap berkenaan turut memberitahu, bangunan tersebut dipercayai condong sejak ia dibina pada tahun 1859.
Mengulas tentang isu sama, seorang pakar pembinaan pula berkata, perkara tersebut tidak membimbangkan kerana ia mengambil masa 1,000 tahun sebelum Big Ben condong pada sudut yang menyebabkan menara berkenaan berisiko untuk tumbang. - Reuters

TAK KAN HUKUM YANG BIASA TAK TAHU..MENUTUP KEPALA@BERTUDUNG ITU WAJIB

Kepala berkecai dihentam bunga api

Oleh Junaidi Ladjana
djuns@hmetro.com.my

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut apabila kepalanya berkecai ketika cuba memeriksa satu daripada tiga bunga api disangkakan tidak berfungsi, tetapi meletup secara tiba-tiba dalam kejadian di Taman Seputeh, Luyang, di sini, awal pagi kelmarin.
Sebelum kejadian, mangsa dikenali sebagai By Shaow Yong, 26, dikatakan menyalakan tiga bunga api berkuasa tinggi yang mampu membentuk objek di udara, berhampiran rumahnya sempena Tahun Baru Cina, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Dua daripada bunga api dipercayai sama jenis digunakan pihak berkuasa bagi menyambut sesuatu perayaan meletup di udara, manakala satu lagi tidak berfungsi, menyebabkan mangsa cuba melakukan pemeriksaan sebelum ia meletup.

Letupan secara tiba-tiba itu menyebabkan mangsa terpelanting beberapa meter dan ahli keluarga yang cuba memberikan bantuan terkejut apabila mendapati sebahagian daripada kepalanya hancur.


Difahamkan, bunga api berkenaan dibeli dengan harga RM500 dan dipercayai dibawa masuk secara haram dari China.


Lori bawa cecair kimia terbalik



JOHOR BAHARU: Sebuah lori tangki seberat 15 tan yang membawa muatan cecair kimia terbalik ketika pemandunya membuat pusingan U di kilometer 19, Jalan Johor Baharu-Ayer Hitam menghala ke Kulaijaya hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 9.50 pagi itu, lori yang dipandu A Hamid Md Said, 56, dalam perjalanan dari Pasir Gudang untuk menghantar cecair kimia jenis 'caustic soda' ke sebuah kilang di Taman Teknologi di sini.

"Pemandu lori berkenaan cedera ringan di kepala dan telinganya. Punca sebenar kejadian masih disiasat," kata Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara, ACP Ruslan Hassan di sini hari ini.

Sementara itu, Shahrir Abu Bakar, Pengurus Pentadbiran dan Akaun, New Port Bulk Terminal Sdn Bhd, syarikat lori tangki itu berkata tiada tumpahan bahan kimia berlaku.


Beliau yang ditemui di tempat kejadian berkata bahan cecair kimia itu kebiasaanya diguna oleh pihak industri untuk merawat air. - Bernama

Tiga kesan calar pada mangsa tebusan: Polis



KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengesahkan kanak-kanak yang menjadi mangsa tebusan seorang lelaki bersenjatakan pisau di Kampung Baru di sini pada Isnin lepas mengalami tiga kesan calar berpunca daripada pisau yang digunakan suspek sebelum polis bertindak melepaskan empat das tembakan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata, kesan calar itu sudah disahkan oleh doktor yang merawat mangsa di Hospital Kuala Lumpur(HKL).

"Kesan calar itu ada dua pada bahagian dada dan satu calar di tangan sebelah kiri...kita percaya kesan itu datang dari pisau yang digunakan suspek semasa menjadikan mangsa sebagai tebusan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata buat masa ini mangsa masih diberikan rawatan dan tidak dibenarkan diganggu oleh mana-mana pihak, dan polis akan menunggu keputusan daripada doktor sama ada boleh berjumpa mangsa atau sebaliknya.


Zulkarnain berkata tindakan polis melepaskan empat das tembakan pada waktu itu adalah wajar bagi menyelamatkan mangsa kerana keadaan suspek semakin agresif dan risiko keselamatan mangsa semakin meningkat. - Bernama

Pegawai bank hidup di jalanan

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Sebelum ini semuanya berjalan lancar, malah kehidupan saya sebagai pegawai bank agak stabil, tetapi semuanya hancur berkecai selepas menjadi mangsa pukau sebelum dipaksa menganut agama lain,” kata lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Anwar, 30-an, di sini, semalam.
Anwar, lulusan ijazah sarjana muda kewangan dari sebuah universiti tempatan pada 1993, kini mendapatkan perlindungan di Anjung Singgah, di sini, dan kini dalam proses mencari kerja bagi membina kehidupan baru.
Dia seorang dari beberapa gelandangan berkelulusan universiti yang hidup merempat dengan mendapatkan bantuan makanan dan tempat tinggal daripada beberapa pertubuhan sukarela di ibu kota.

Menceritakan kejadian yang memusnahkan hidup dan kerjayanya, Anwar berkata, kerjaya perbankan diceburi hampir 13 tahun musnah selepas dipukau sebelum dibawa ke merata negeri termasuk negara jiran, dua tahun lalu.


Masalah itu, katanya, bermula dengan perkenalan dengan seorang mubaligh yang kerap datang berurusan di bank tempat kerjanya.

Buah hati Serina



COMEL...Serina bersama Isabella.
COMEL...Serina bersama Isabella.
KUALA LUMPUR: Pelakon, Serina Redzuawan selamat melahirkan bayi perempuan yang diberi nama Isabella Saffiya O’ Luanaigh, kira-kira jam 3.45 petang, kelmarin di Pusat Perubatan Prince Court, di sini.
Serina berkata, anak keduanya itu dilahirkan dalam keadaan normal seberat 3.3 kilogram dan hasrat suaminya, Gavin O’ Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar menyaksikan anak mereka dilahirkan pada Tahun Naga tercapai.

“Salahudin memang mengimpikan Isabella dilahirkan pada Tahun Naga dan ia bertepatan dengan sambutan Tahun Baru Cina kelmarin,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, di sebalik kelahiran Isabella, bapanya, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan adalah individu yang terkilan apabila tidak dapat bersama menyambut kelahiran anak keduanya itu.

“Kebiasaannya, ayah (Chef Wan) insan yang begitu fanatik dan gembira dengan kelahiran cucunya, namun kali ini dia tidak dapat berbuat demikian kerana berada di luar negara,” katanya.

Sementara itu, Chef Wan dalam kenyataannya menerusi facebook berkata, dia bersyukur kepada Allah s.w.t kerana Serina selamat melahirkan anak keduanya dan mereka sekeluarga gembira dengan kehadiran cahaya mata baru itu.

“Biarpun saya kecewa tidak dapat bersama, saya gembira dengan kelahiran Isabella dan dimaklumkan Serina bersama anaknya dalam keadaan sihat,” katanya.

Menurut Chef Wan, dia kini berada di Bangkok, Thailand atas urusan kerja dan tidak sabar pulang ke ibu kota membeli pakaian dan barang keperluan untuk cucu barunya.
Serina dan Salahudin yang bernikah pada 1 Januari 2010 sebelum ini dikurniakan seorang anak, Tristan yang berusia setahun lima bulan.

Rintihan pilu minta tolong

Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

REMUK...keadaan dua kereta dalam kemalangan yang menyebabkan tiga maut.
REMUK...keadaan dua kereta dalam kemalangan yang menyebabkan tiga maut.
MANTIN: “Sebaik terdengar bunyi letupan, saya melihat pemandu daripada dua kenderaan yang bertembung merintih meminta pertolongan.
“Melihat keadaan ngeri itu, saya membantu mengeluarkan empat penumpang termasuk kanak-kanak perempuan yang cedera,” kata kakitangan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains), Zakaria Mohd Fazir, 23, yang membaiki paip pecah bersama beberapa rakan lain menyaksi kemalangan di Jalan Mantin-Kajang, berdekatan Kolej Tuanku Jaafar, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu pasangan suami isteri berkenaan, Lim Fong Len, 70-an, dan Chong Yoon Ying, 56, dalam perjalanan ke rumah saudara mereka di Puchong, Selangor bagi meraikan perayaan Tahun Baru Cina.
Selain kedua-dua mangsa, kereta Toyota Vios dipandu anak lelaki mereka berusia lingkungan 30-an itu dinaiki menantu, 40-an dan cucu perempuan mereka berusia tiga tahun.

Kereta lima sekeluarga dari Mantin ke Kajang itu berlanggar dengan kereta Proton Saga dari arah bertentangan menyebabkan kedua-dua pemandu tersepit. Kemalangan itu mengakibatkan pemandu kereta Proton Saga, Tee Chan Hen, 23, mati di tempat kejadian.

Pasangan suami isteri terbabit pula disahkan meninggal dunia ketika diberikan rawatan di Klinik Kesihatan Mantin dan Hospital Tuanku Jaafar Seremban. Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke Bilik Mayat HTJS untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Sunday, January 22, 2012

BILA GOLONGAN PENIPU LEBIH DIPERCAYAI...MAKA TANGGUNGLAH AKIBATNYA...

2 anak lemas

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my

ANGKAT...orang ramai membantu seorang daripada mangsa  lemas.
ANGKAT...orang ramai membantu seorang daripada mangsa lemas.
KUANTAN: “Semuanya berlaku terlalu pantas. Anak-anak saya sebelum itu sedang mandi apabila tiba-tiba ketiga-tiga mereka tenggelam timbul dan terkapai-kapai.
“Saya cuba menyelamatkan mereka namun hanya berjaya menyelamatkan seorang saja,” kata Zaleha Abdul Ghani, 42, yang kehilangan dua anaknya, Mohd Zaiful Mohamad, 13, dan adiknya, Mohd Saiful, 11, akibat lemas di Pantai Sepat, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, enam orang termasuk tiga anak Zaleha lemas. Bagaimanapun, seorang anak wanita itu dan tiga anak saudaranya berusia antara lapan hingga 16 tahun, berjaya diselamatkan orang ramai dan kini dirawat di di Hospital Tuanku Ampuan Afzan (HTAA).
Zaleha bersama keluarganya dari Sungai Isap, berkelah di pantai itu sempena cuti umum Tahun Baru Cina.

Dua anaknya yang maut, Mohd Zaiful dan Mohd Saiful berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan ketika diselamatkan dan meninggal dunia di HTAA akibat sesak nafas. Seorang lagi anak Zaleha masih lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dia mengharapkan anaknya itu selamat.

Pada masa sama, Zaleha meluahkan kekesalannya terhadap pihak berkuasa yang tidak melakukan pemantauan di sepanjang pantai itu biarpun sebelum ini banyak kejadian lemas berlaku.

“Mereka (pihak berkuasa) sepatutnya mengambil langkah sewajarnya untuk mengelak kejadian ini berulang kembali,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha, berkata enam orang lemas dalam kejadian itu dengan dua daripada mereka maut.
Menurutnya, pihaknya masih melakukan siasatan terperinci punca kejadian.

Aib hari pernikahan

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my

GOMBAK: Seorang wanita dan keluarganya bukan saja menanggung malu apabila majlis perkahwinan yang dirancang tidak menjadi kenyataan sebaliknya kerugian lebih RM30,000 selepas ditipu teman lelaki kasanova yang mendakwa dirinya bergelar ‘Datuk’ dalam kejadian di Taman Sri Gombak, di sini.
Mangsa, 22, menanggung malu dengan saudara-mara, kawan dan jiran serta kadi selepas pengantin lelaki berusia 32 tahun terbabit tidak menghadirkan diri bersama rombongan pada hari pernikahan mereka, Khamis lalu.
Majlis sepatutnya berlangsung jam 10 pagi di sebuah masjid di sini, tetapi sehingga tengah hari, kelibat lelaki dan rombonganya itu tidak muncul dan gagal dihubungi.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Farhana, 22, berkata sebaik menyedari tertipu dia menghubungi pihak bank dan mendapati wangnya dalam bank berbaki RM8 kerana tanpa sedar sudah membuat pemindahan beberapa kali ke akuan lelaki itu.


Menceritakan kejadian menimpanya itu, dia pelik kerana sanggup dan rela mendirikan rumah tangga dengan lelaki terbabit walaupun baru lebih sebulan mengenalinya, selain sudah menyerahkan wang ribuan ringgit.


Urat putus lengan terbelah

Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

BERBALUT...Ain disuapkan ubat oleh ibunya, Rahayu Mustapa Al Bakri untuk menahan kesakitan dialaminya.
BERBALUT...Ain disuapkan ubat oleh ibunya, Rahayu Mustapa Al Bakri untuk menahan kesakitan dialaminya.
PUTRAJAYA: “Nak tunggu ada nyawa melayang agaknya, baru nak turun buat kerja,” kata seorang kakitangan kerajaan, Idrus Ismail, 38, yang tidak berpuas hati dengan pihak penyelenggara di kawasan kediamannya di Kuarters Kerajaan Fasa C, Presint 8, di sini.
Perasaan kecewa dan tidak puas hati itu bertambah, berikutan kemalangan yang menimpa anaknya Ain Damia Yusra, berusia tujuh tahun, apabila singki di bilik air rumahnya yang rosak terjatuh Khamis lalu dan serpihan sinki menimpanya.
“Pada pagi hari itu Ain Damia menggunakan bilik air untuk mandi sebelum ke sekolah. Ketika dia mahu mengambil berus gigi, singki itu terjatuh dan serpihan tajam sinki terkena tangan kanannya.

“Dia terus dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan. Doktor memaklumkan urat tangannya terputus dan perlu dijahit, malah dijangka mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk sembuh,” katanya.


Menurutnya dia kesal dengan sikap pihak terbabit kerana lewat mengambil tindakan terhadap aduan yang dibuat, sehingga menyebabkan kemalangan itu.

Adik pemain badminton ditikam

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my

GEORGETOWN: “Saya pulang bercuti untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga, tetapi dikejutkan pula dengan kejadian buruk menimpa adik saya ini,” kata pemain beregu campuran badminton negara, Chan Peng Soon.
Peng Soon tidak menyangka kejadian itu boleh menimpa adiknya ketika mereka sekeluarga bersedia untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

Adiknya, Chan Peng Kiat, 21, ditemui berlumuran darah dalam tandas di sebuah pusat hiburan pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa parah selepas ditikam.

Menurut Peng Soon, adiknya itu seorang yang baik dan tidak mungkin memulakan sebarang pertelingkahan.

Katanya, dia berharap polis dapat melakukan siasatan dan menahan individu bertanggungjawab menikam adiknya itu.

30 lelaki pecah 28 kereta

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my

SEREMBAN: Sekumpulan lebih 30 lelaki dipercayai bersenjatakan parang mengamuk membabi buta dengan memecahkan cermin dan merosakkan 28 kereta di Rumah Pangsa Lobak, di sini, pagi semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, penduduk di rumah pangsa berkenaan dikejutkan dengan bunyi bising daripada kumpulan terbabit yang bertindak merusuh ketika penghuni sedang nyenyak tidur.

Harian Metro difahamkan, kumpulan lelaki terdiri daripada pelbagai bangsa bertindak ‘biadab’ dipercayai berdendam dengan salah seorang penduduk di situ, sebelum memecahkan cermin kenderaan sekitar rumah pangsa berkenaan.

Salah seorang mangsa, R Papthiban, 31, berkata, sebahagian anggota kumpulan itu bising dengan memecahkan cermin tingkap kereta Nissan Sunny miliknya menggunakan parang panjang.


“Saya dikejutkan oleh seorang jiran kira-kira jam 2 pagi memberitahu kereta saya ‘dicincang’ oleh kumpulan lelaki itu dan bergegas turun.

“Namun, kami semua tidak berani mendekati kereta masing-masing berikutan kumpulan itu menggunakan senjata dipercayai parang untuk merosakkan cermin kereta,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

RM500,000 ditipu penyamun online

Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my

MELAKA: Bermodalkan kepakaran menggodam Internet, ‘penyamun online’ dipercayai mengaut keuntungan kira-kira RM500,000 dalam tempoh dua bulan daripada sebuah syarikat pengeluar jubin apabila dapatmemintas urusan perbualan syarikat itu bersama pelanggannya dalam Internet.
Perkara itu hanya terdedah kelmarin apabila pengarah urusan syarikat berkenaan, Lim Boon Choy, 46, hairan apabila pelanggannya dari Vietnam, Thailand, Kemboja, Indonesia, Filipina dan Denmark masih belum membuat bayaran penghantaran jubin sudah diterima mereka sejak Disember lalu.

Menurutnya, dia menghubungi wakil syarikat itu menerusi telefon di negara berkenaan kerana masih belum mendapat sebarang bayaran walaupun semua bekalan diminta sudah dihantar.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila pelanggannya menyatakan semua bayaran sudah lama dibuat menyebabkannya hairan dan menafikannya.


“Bagi membuktikan bayaran dibuat, pelanggan kami menghantar salinan slip pemindahan telegrafik dan transkrip perbualan menerusi ‘chatting’ antara wakil syarikat dengan pekerja mereka yang menunjukkan syarikat kami ada meminta bayaran dibuat tetapi perlu dimasukkan ke dalam akaun bank lain.

“Saya terkejut dan menafikan perbualan menerusi perisian ‘chatting’ popular itu dan tidak menyangka urusan yang tidak pernah ada masalah sejak hampir tiga tahun lalu itu ditimpa bala seperti ini.

“Mereka (pelanggan) turut terkejut apabila diminta membuat bayaran segera dan secara tergesa-gesa ketika perbualan menerusi ‘chatting’ itu, kerana sebelum ini kami tidak pernah bertindak demikian,” katanya, di sini, semalam.