Saturday, December 22, 2012

SOLAT WAJIB PATUT DITITIK BERATKAN

Dua banduan larikan diri dari penjara

TALI yang diperbuat daripada cadar katil digunakan oleh dua banduan lelaki untuk melarikan diri.


CHICAGO, Amerika Syarikat - Dua banduan berjaya melarikan diri dengan menggunakan cadar katil sebagai tali dari sebuah penjara di sini awal kelmarin.
Kedua-dua banduan tersebut yang disabitkan kesalahan merompak bank didapati hilang pada pukul 5 pagi waktu tempatan semasa para pengawal penjara membuat pengiraan bilangan penghuni.
Menurut polis, banduan-banduan tersebut didapati bertindak melarikan diri antara pukul 5 dan 8.45 pagi.
Seorang pegawai polis, Sarjan Mark Lazarro berkata, kedua-dua banduan tersebut, Joseph 'Jose' Banks, 37, dan Kenneth Conley, 38, memakai baju banduan berwarna oren semasa mereka melarikan diri.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua mereka mungkin memakai baju T berwarna putih, seluar panjang berwarna kelabu dan kasut sukan selepas melarikan diri.
Menurut Biro Penyiasatan Pusat (FBI), kali terakhir kelibat kedua-dua lelaki itu dilihat adalah di Taman Tinley, 40 kilometer ke barat daya bandar raya ini.
Sejumlah anggota pasukan tindakan khas dihantar ke taman tersebut untuk memburu mereka.
Namun, kedua-dua banduan tersebut gagal ditemui.
Kedua-dua lelaki berkenaan didapati turun dari sebuah tingkap yang kecil di sebuah bangunan penjara.
Sejumlah orang mengerumuni kawasan di luar penjara kerana mereka tidak percaya kedua-dua banduan berkenaan boleh melarikan diri.
Penjara itu menempatkan kira-kira 700 banduan dan setinggi 27 tingkat.
Ia merupakan bangunan penjara tertinggi di dunia.
Bangunan tersebut direka oleh seorang arkitek, Harry Weese pada tahun 1970-an.
Setiap bilik penjara mempunyai tingkap.
Pada tahun 2010, Matthew Nolan yang merupakan adik pengarah filem Hollywood, Christopher Nolan dihukum penjara 14 bulan kerana merancang untuk melarikan diri dari penjara tersebut dengan menyembunyikan tali yang diperbuat dari cadar katil. - Agensi

Bantahan ganas di New Delhi


SEORANg penunjuk perasaan tidak menghiraukan tembakan meriam air dari sebuah kenderaan polis di New Delhi semalam.


NEW DELHI – Polis rusuhan India melepaskan tembakan meriam air semalam bagi menyuraikan tunjuk perasaan di sini yang diadakan bagi membantah kejadian merogol secara berkumpulan ke atas seorang pelajar wanita berusia 23 tahun di dalam sebuah bas, kata beberapa saksi.
Pihak polis melepaskan tembakan air ke arah penunjuk perasaan ketika sebahagian daripada mereka cuba meruntuhkan penghadang besi di luar kediaman rasmi Ketua Menteri Delhi, Sheila Dikshit.
Para penunjuk perasaan turut bertempur dengan anggota polis.
Siri bantahan itu bermula sejak malam Ahad lalu.
Mangsa rogol yang dihumban keluar dari bas kini dilaporkan kritikal dan sedang menerima rawatan di hospital.
Teman lelaki wanita itu turut cedera parah selepas diserang kumpulan yang sama.
Empat orang suspek termasuk pemandu bas telah ditahan dan misi memburu dilancarkan bagi mencari dua lagi suspek.
Pelajar wanita yang dirogol itu belajar dalam jurusan perubatan di sebuah universiti.
Ribuan penunjuk perasaan memenuhi jalan raya di depan ibu pejabat polis dan dekat bangunan Parlimen bagi membantah perbuatan tersebut.
Sebahagian pelajar universiti yang marah membuat sekatan di beberapa batang jalan raya di sini menyebabkan kesesakan teruk berlaku. – Agensi

Tengkorak 'makhluk asing' ditemui di Mexico


GAMBAR yang dirakamkan di laman YouTube semalam menunjukkan tengkorak manusia berbentuk lonjong yang ditemui di Kampung Onavas, Mexico.


BANDAR RAYA MEXICO - Sekumpulan ahli arkeologi menemui sebuah tengkorak manusia yang berbentuk lonjong dekat Kampung Onavas di Mexico, menurut akhbar dalam talian, MailOnline kelmarin.
Tengkorak itu dipercayai berusia 1,000 tahun dan ia kelihatan seperti gambaran watak makhluk asing dalam filem-filem keluaran Hollywood.
Ia ditemui tertanam di sebuah kawasan yang mengandungi 25 rangka tulang manusia.
Tengkorak tersebut mempunyai bentuk lonjong disebabkan amalan tradisi penduduk yang tinggal di utara Mexico.
Penduduk tersebut mengamalkan tradisi menghasilkan pelbagai bentuk kepala dengan menggunakan pelbagai kaedah.
Antara kaedah itu ialah dengan menggunakan dua kepingan kayu yang diikat di bahagian kepala.
Ia dilakukan ketika tengkorak tersebut masih di peringkat kanak-kanak.
Seorang ahli arkeologi, Cristina Garcia Moreno berkata, tengkorak tersebut mempunyai bentuk sedemikian kerana untuk membezakan status sosial penduduk dan disebabkan upacara keagamaan.
Moreno mengetuai projek penyelidikan tersebut bagi pihak Universiti Negeri Arizona, Amerika Syarikat.
Projek itu mendapat kelulusan Institut Antropologi dan Sejarah Kebangsaan Mexico. - Agensi

10 warga Indonesia mati lemas


PENDUDUK kampung membantu mencari dan mengangkat mayat mangsa lemas di pantai Teluk C, Bandar Penawar, Kota Tinggi semalam.


KOTA TINGGI – Sepuluh warga Indonesia ditemui mati lemas apabila bot pancung yang dinaiki dipercayai karam di pantai Teluk C, Bandar Penawar dekat sini petang semalam.
Kesemua mangsa masing-masing terdiri daripada empat lelaki dan enam wanita itu ditemui terdampar di tepi pantai Teluk C dan di sebuah kolam udang berdekatan oleh penduduk kampung berhampiran.
Hanya dua mangsa yang ditemui dikenali iaitu Ahmad Marwin Ajmain Amrulla, 33, dan Norhasanah Nafi, 14, yang bertaraf penduduk tetap (PR), manakala lapan mangsa yang lain tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
Difahamkan dua daripada mangsa dalam keadaan sarat mengandung dan sehingga malam tadi polis masih menjalankan gerakan mencari kerana ada lagi mangsa yang belum ditemui.
Bot yang membawa 15 penumpang warga Indonesia itu dikatakan berlepas Isnin lalu dari Bandar Penawar melalui laluan haram menuju ke Batam, Indonesia sebelum karam lima kilometer dari lokasi mereka berlepas.

Rompak: Polis cari 3 lelaki


KOMBINASI gambar CCTV menunjukkan imej tiga lelaki yang dicari bagi membantu siasatan kes rompakan premis KK Mart di Taman Sri Rampai, Setapak Isnin lalu.


KUALA LUMPUR - Polis semalam mengedarkan imej tiga lelaki yang dicari bagi membantu siasatan berhubung kes rompakan premis KK Mart di Taman, Sri Rampai, Setapak di sini Isnin lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, salah seorang lelaki itu merupakan orang yang dapat melarikan diri selepas rakannya yang berusia 19 tahun mati ditembak dalam kejadian pukul 4 pagi itu.
Katanya, imej ketiga-tiga lelaki berusia antara 19 hingga 25 tahun itu dirakam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.
"Kita menerima 31 laporan mengenai rompakan melibatkan kedai itu sepanjang tahun ini yang dilakukan oleh dua kumpulan bersenjatakan parang yang telah dikenal pasti.
"Modus operandi mereka ialah akan menyamun antara pukul 3 hingga 6 pagi dan antara pukul 6 petang hingga 8 malam," katanya pada sidang akhbar di sini.

Ugut sebar gambar bogel di Facebook


TAN (kiri) menunjukkan gambar bekas teman lelakinya kepada Michael di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang guru kini dalam ketakutan selepas dipaksa membayar RM50,000 oleh bekas teman lelakinya bagi mengelakkan gambar bogel dan video seks miliknya tersebar di laman sosial Facebook.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 30, berkata, dia telah berpisah dengan lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Lai, 34, pada 3 Disember lalu.
Katanya, dia tidak menyangka lelaki itu sanggup bertindak demikian disebabkan perasaan tidak puas hati dengan keputusannya yang mahu berpisah.
“Saya mengenalinya menerusi seorang rakan, bagaimanapun saya tidak sangka dia telah berkahwin, malah mempunyai seorang anak perempuan berusia lima tahun tidak lama selepas kami bersama,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.
Mengulas lanjut, kata Tan, lelaki yang bekerja sebagai jurujual itu sebelum ini beberapa kali mengugut mahu membunuh diri setiap kali dia meminta untuk berpisah menyebabkan dia membatalkan niatnya itu dalam tempoh tiga tahun bercinta.

Pekerja menjerit, penyamun mati


ANGGOTA polis memeriksa mayat seorang lelaki yang mati ditembak ketika cuba menyerang polis selepas gagal menyamun sebuah pusat internet di Taman Len Seng, Cheras kelmarin.


KUALA LUMPUR – Malang berganda buat dua penyamun bersenjatakan parang apabila bukan sahaja gagal menyamun sebuah pusat internet, malah salah seorang mereka mati selepas ditembak polis dalam kejadian di Taman Len Seng, Cheras di sini kelmarin.
Kejadian pukul 10 malam itu berlaku ketika suspek berusia 33 tahun dan mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes curi kereta bersama rakannya terserempak dengan anggota polis yang sedang melakukan rondaan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, selepas diarahkan berhenti, salah seorang penyamun cuba menyerang anggota polis berkenaan.
Katanya, anggota polis itu terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek untuk mempertahankan diri.
“Suspek mati selepas ditembak di dada manakala rakannya dapat melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.
“Siasatan mendapati mereka cuba menyamun premis itu namun gagal selepas pekerjanya menjerit. Suspek dari Desa Baiduri di sini itu pernah ditahan berhubung kes dadah,” katanya ketika ditemui.

Skim pelaburan beras haram

KUCHING - Syarikat yang menganjurkan skim pelaburan beras melibatkan penduduk Kampung Menjau, Batu 21 di sini yang kerugian RM2 juta sejak Mei lalu dipercayai menjalankan operasi berkenaan secara haram.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun syarikat tersebut berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), skim yang ditawarkan tidak pernah diluluskan Bank Negara Malaysia (BNM).
Katanya, mana-mana syarikat yang menganjurkan skim pelaburan melibatkan deposit perbankan perlu mendapat kelulusan BNM manakala skim berkepentingan melibatkan barangan seperti ikan keli atau jual beli beras perlu mendapat kelulusan SSM.
"Setiap hasil pelaburan tersebut kemudiannya hendaklah dimasukkan ke tabung amanah yang juga perlu mendapat kelulusan SSM.
"Oleh sebab itu, kita mengesyaki syarikat terbabit menjalankan operasi secara haram kerana siasatan awal mendapati kegiatannya selama ini tidak melalui kesemua proses tersebut," katanya ketika dihubungi semalam.

Produk wajib lawat di dunia


LANGKAWI SkyCab menjadi tumpuan pelancong kerana pemandangan sekitarnya yang menakjubkan.


LANGKAWI - Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) mahu menjadikan Langkawi SkyCab atau kereta kabel Langkawi sebagai antara kereta kabel terunggul di dunia dan 10 produk wajib dilawati masyarakat dunia menjelang 2015.
Dengan sasaran 1.3 juta pelawat, Lada mengunjurkan perolehan RM32.5 juta dengan keuntungan RM4.5 juta pada 2015, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Khalid Ramli .
"Hasil itu bukan hanya kutipan jualan tiket, tetapi juga hasil non-fare," katanya selepas melancarkan Pelan Perniagaan SkyCab Langkawi 2013-2015 di sini semalam.
Menurutnya, bagi tahun ini, Lada berusaha mencapai sejuta pengunjung selepas sasaran awal 850,000 orang berjaya dicapai.
Langkawi SkyCab kini menerima 950,000 pelawat setakat semalam.
Khalid berkata, kereta kabel Langkawi dianggap paling unik di dunia kerana kedudukannya dalam kawasan ekosistem hutan berbanding kereta kabel lain yang terletak di bandar.

JANGAN BANYAK PROTOKOL...BAGAIMANA WARGA ASING

Bertemu Jemaah Kerdil di Masjidil Haram

Posted on the December 19th, 2012 under Agama by admin
Sejak dahulu, saya sudah biasa dengar pelbagai cerita tentang perkara aneh yang menimpa jemaah di Tanah Suci.
Misalnya, ada jemaah semasa di Malaysia waras tapi apabila sampai di Tanah Suci jadi gila. Ada jemaah yang sesat sampai berhari-hari angkara bermulut celupar dan bongkak.
Ada juga jemaah semasa di Malaysia sakit tak boleh berjalan bertahun-tahun. Tapi apabila sampai di Tanah Suci, jemaah ini terus sihat dan boleh berjalan seperti biasa.
Pendek kata di Mekah pelbagai perkara yang tak masuk akal dan mustahil boleh berlaku.

Itulan yang terjadi kepada saya ketika menjadi mutawif membawa rombongan umrah pada tahun 2008.
Ketika itu, saya baru sahaja bertugas dengan De Mawardah. Seingat saya, baru tiga kali saya membawa rombongan ke Tanah Suci.
Ketika itu saya membawa rombongan seramai 40 orang terdiri daripada lelaki dan wanita. Setibanya di sana segala proses dan urusan menempatkan jemaah beralan lancer. Semua jemaah berpuashati dengan tugas saya lakukan. Saya gembira.
Suatu hari, saya bersama jemaah masuk ke Masjidil Haram untuk melakukan ibadah. Kami sembahyang sunat, berzikir dan berdoa mengikut kemampuan masing-masing.
Entah kenapa hari itu tiba-tiba sahaja saya bersifat seperti kebudak-budakan. Saya kata begini di dalam hati.
“Eh, bagilah tengok benda ajaib. Selam dating Mekah tak pernah tengok benda-benda ajaib lagi!” detik di hati saya.
Saya berkata begitu sebab saya biasa dengar cerita-cerita aneh dari mutawif-mutawif lain sebelum ini. Mudah-mudahan dapatlah saya bertemu benda-benda aneh yang tidak pernah terfikit untuk melihatnya.
Waktu itu saya lihat semua jemaah sedang melakukan ibadah masing-masing. Ada yang bersolat sunat dan ada yang membaca al-Quran.
Saya dan pembantu saya bernama Iskandar pula pergi ke suatu kawasan di dalam Masjidil Haram dan kami terus bersolat sunat.
Ketika kepala saya berpusing ke kanan untuk member salam pada tahiyat terakhir, saya terkejut. Betul-betul –betul di hadapan saya berdiri seorang lelaki berjubah putih.
Apa yang paling mengejutkan saya ialah saiz jemaah lelaki berjubah putih itu hanya sebesar botol  air mineral 500 milimeter.
Lelaki kenit berusia 40-an itu persis pelakon Bollywood. Wajahnya kacak, kulitnya putih, hidung mancung dan matanya bersinar.
Sebaik melihatnya saya terpaku tanpa dapat berkata apa-apa. Hanya mata saya yang bergerak memandang jemaah kenit tadi.
Wajah jemaah kenit tadi berseri-seri. Mukanya seperti bercahaya. Cantik sungguh. Saya lihat jemaah kenit itu melangkah setapak demi setapak ke arah saya.
Bersambung esok..

Larangan pemakaian tudung pelajar Muslimah di Filipina

Posted on the December 19th, 2012 under Luar Negara by admin

Satu keputusan yang dikeluarkan oleh Sekolah Menengah Atas Mindanao yang melarang para pelajar Muslimah untuk mengenakan jilbab menyebabkan kemarahan dari masyarakat Muslim Filipina dan kelompok-kelompok HAM atas pelanggaran hak asasi pelajar Muslim untuk mempraktikkan ajaran agama mereka.
“Kami meminta mereka untuk mematuhi hukum yang ada karana kebijakan mereka melanggar hak asasi manusia,” kata Alih S. Aiyub, sekretaris jenderal Konferensi Ulama Nasional Filipina di Mindanao Bara.
Pilar College di Mindanao telah melarang para siswi Muslimah memakai jilbab di lingkungan sekolah.

Meskipun dewan kota telah mengeluarkan resolusi yang mempertanyakan kebijakan tersebut, sekolah Katolik itu, salah satu institusi akademik di Mindanao Barat, tetap pada keputusannya.
Pada Senin (9/7), seorang biarawati bernama Maria Nina Balbas mengirim surat kepada Mayor Celso Lobregat, presiden Pilar College, mengatakan bahwa sekolah itu akan tetap menegakkan larangan itu.
“Kami asli Katolik Roma dan kami tidak bisa menyimpang dari asal kami,” kata Balbas.
“Benar bahwa kami melayani para siswa dari berbeda agama, tetapi sebelum mereka secara resmi terdaftar, selama interview para calon siswa, aturan dan peraturan menjelaskan kepada mereka, terutama yang tidak menggunakan jilbab atau kerudung.”
Edilwasif Baddiri, komisi hukum di Komisi Nasional atau Muslim Filipina (NCMF), mengkritik kebijakan sekolah tersebut terkait jilbab.
“Ini adalah pelanggaran Klausa Pelaksanaan Kebebasan 1987 Konstitusi Filipina dan pasal 32 Undang-Undang Republik No. 9710, Magna Carta Perempuan, katanya.
Baddiri juga mengatakan bahwa hukum pendidikan memberikan para siswi Muslim hak-hak untuk memakai jilbab atau kerudung ke sekolah. (siraaj/arrahmah.com)

PA Ahli Parlimen dihentak sampai mati

Posted on the December 19th, 2012 under Tempatan by admin

SHAH ALAM: Perselisihan faham yang berlarutan sekian lama antara seorang ketua penduduk dengan tukang kebun sebuah pangsapuri di sini, mencapai kemuncaknya semalam apabila pemimpin masyarakat terbabit mati akibat dihentak di kepala dengan penyodok tanah.
Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, mangsa, K S Natchymuthu, 53, parah di kepala dan badan, namun sempat menunggang motosikal sejauh 30 meter sebelum jatuh dan meninggal dunia.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Deputi Superintendan Muhammad Idzam Jaafar berkata, mangsa ialah Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Seri Sinar, Sunway Kayangan, Seksyen U9, di sini, yang juga pembantu peribadi kepada Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurutnya, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran di antara Natchymuthu dengan tukang kebun yang berusia 43 tahun itu sebelum suspek hilang pertimbangan lalu memukul mangsa di kepala dan badan menggunakan penyodok tanah.
Beliau berkata, biarpun parah mangsa masih sempat melarikan diri menaiki motosikal, namun rebah berhampiran pondok pengawal keselamatan 30 meter dari tempat dia dipukul.
Harian Metro

Bom tentera Syria tidak meletup

GAMBAR menunjukkan sebutir lagi bom tidak meletup di Ain Terma.


DAMSYIK - Beberapa butir bom yang digugurkan di Ain Terma, timur Damsyik dalam peperangan saudara di Syria didapati tidak meletup pada 19 Disember lalu.
Bom-bom tersebut jatuh di beberapa batang jalan raya tetapi ia tidak meletup sekali gus menjadi tontonan penduduk dan para penentang Presiden Bashar Al-Assad.
Kawasan di Ain Terma itu merupakan lokasi serangan tentera Syria terhadap askar-askar Tentera Pembebasan Syria yang menentang rejim Bashar.
Pertempuran itu meletus sejak Mac tahun lalu dan lebih 43,000 orang dilaporkan telah terkorban.
Para penentang itu terdiri daripada penduduk tempatan yang mahu menggulingkan rejim Bashar.
Bashar dianggap gagal membawa pembaharuan dalam bidang pentadbiran dan kebebasan hak asasi manusia.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menyatakan pihaknya akan menyediakan bekalan makanan kepada lebih 100,000 orang yang melarikan diri dari kem pelarian Palestin di Syria.
Kem itu terletak di Yarmuk, lapan kilometer dari Damsyik.
Ia turut menempatkan penduduk Syria yang menjadi mangsa peperangan tersebut.
Para pelarian itu melarikan diri ekoran serangan pesawat tentera Syria di kawasan berdekatan kem itu.
Kelmarin, konflik di Syria telah menjadi pertempuran antara fahaman Syiah dengan Sunni.
Ia diumumkan oleh agensi penyiasat PBB, Suruhanjaya Siasatan Syria selepas melakukan lawatan ke negara ini.
Bashar merupakan penganut Islam fahaman Syiah Alawi manakala ramai penduduk di negara ini berfahaman Sunni. - Agensi

Kiamat tidak berlaku Kiamat tidak berlaku

SEJUMLAH orang berhimpun di Stonehenge, England sempena ramalan hari kiamat.


SYDNEY - Bumi yang diramalkan kiamat berdasarkan ramalan sebahagian peminat fanatik kalendar kaum Maya di Amerika Tengah didapati tidak berlaku semalam.
Akaun Facebook agensi yang mempromosikan pelancongan di Australia, Tourism Australia dihujani dengan pertanyaan sama ada penduduk di negara itu terselamat pada 21 Disember.
Australia merupakan antara negara pertama di dunia yang menerima cahaya matahari pada hari yang diramalkan kiamat itu.
"Ya, kami masih hidup," kata agensi tersebut di laman berkenaan.
Menurut ahli-ahli arkeologi, kalendar Maya yang bermula antara 11 dan 13 Ogos 3114 Sebelum Masihi (SM) akan berakhir pada 21 Disember atau 23 Disember 2012.
Bagaimanapun, sebahagian pihak membuat tafsiran kemusnahan Bumi akan berlaku dengan menyebabkan ketibaan hari kiamat pada tarikh tersebut.
Negara-negara Asia semalam tidak dilanda bencana alam yang besar dengan penduduk di benua tersebut meneruskan kegiatan harian mereka.
Di Taichung, Taiwan, sejumlah pelajar sekolah dan orang dewasa menunggu ketibaan hari kiamat seperti yang diramalkan itu di depan sebuah binaan piramid.
Perhimpunan itu dianjurkan Muzium Kebangsaan Sains Semula Jadi Taiwan bagi membuktikan kepada orang ramai bahawa kiamat tidak akan berlaku pada tarikh tersebut.

Beg kalis peluru untuk kanak-kanak dijual


UY menunjukkan cara untuk menggunakan beg galas keluaran syarikatnya.- REUTERS


BILLERICA, Amerika Syarikat - Syarikat Amendment II menjual beg galas kalis peluru untuk kanak-kanak sekolah pada harga kurang daripada AS$300 (RM916.80).
Beg itu yang mengandungi watak-watak komik adiwira Avengers untuk kanak-kanak lelaki dijual selepas kejadian tembakan berlaku di Sekolah Rendah Newton, Connecticut pada 14 Disember lalu.
Dalam kejadian itu, seorang pemuda berusia 20 tahun, Adam Lanza menembak ibunya dan 20 kanak-kanak termasuk enam kakitangan sekolah tersebut.
Lanza kemudian menembak mati dirinya.
Beg untuk kanak-kanak perempuan mengandungi gambar ikan duyung.
Syarikat Bullet Blocker turut menjual beg galas kalis peluru yang berharga antara AS$$250 (RM764) hingga AS$600 (RM1,833) bergantung kepada saiz.
"Ringan, mudah untuk digunakan," kata naib presiden syarikat itu, Elmar Uy.
Beliau berkata, sejak minggu lalu, jualan beg tersebut meningkat sehingga 40 peratus. Beg itu dicipta oleh seorang pencipta, Joe Curran.
Ia dihasilkan dengan tujuan untuk melindungi kanak-kanak daripada kejadian tembakan seperti tragedi di Connecticut itu. - Agensi

Culpo dari AS menang pertandingan Ratu Cantik Universe


CULPO memberi senyuman kepada penonton selepas dia memenangi pertandingan Ratu Cantik Universe di Las Vegas kelmarin.- Agensi


LAS VEGAS, Nevada - Peserta berusia 20 tahun dari Amerika Syarikat (AS), Olivia Culpo menewaskan 88 jelitawan lain untuk memenangi pertandingan Ratu Cantik Universe 2012 di Planet Hollywood di sini kelmarin.
Pemenang tahun lalu, Leila Lopes dari Angola menyampaikan mahkota kemenangan kepada Culpo selepas dia diumumkan sebagai pemenang.
Peserta dari Filipina, Janine Tugonon menduduki tempat kedua manakala tempat ketiga menjadi milik Irene Sofia Esser Quintero dari Venezuela pada pertandingan kali ke-61 itu.
Para peserta menyertai acara pakaian renang, gaun malam dan wawancara pada peringkat separuh akhir yang disertai 16 peserta.
Culpo dari Pulau Rhode bakal menerima gaji yang jumlahnya tidak didedahkan, pelbagai koleksi pakaian, produk kecantikan dan seunit apartmen mewah di New York.
Ketika ditanya tentang perbuatan yang dikesalinya, gadis tersebut berkata: "Sesuatu yang telah dilakukan sehingga menyebabkan saya berasa kesal ialah mengganggu adik-beradik saya kerana anda akan menghargai mereka selepas anda menjadi dewasa."
Culpo merupakan pelajar Universiti Boston dan anak kepada dua ahli muzik profesional.
Ia merupakan kemenangan pertama buat warga AS selepas Brook Lee memenangi pertandingan tersebut pada 1997.
Para peserta pertandingan itu tidak boleh berkahwin atau mempunyai anak selain berumur di bawah 27 tahun.
Malaysia diwakili Kimberley Leggett pada pertandingan itu. - Agensi

Buaya tembaga ancam penduduk


SALAH seekor buaya tembaga yang muncul di Sungai Lubak Bodoh berhampiran Taman Semariang Aman, Kuching semalam.


KUCHING – Seramai 2,000 penduduk di Taman Semariang Aman di sini hidup dalam ketakutan berikutan tiga ekor buaya tembaga kerap muncul di Sungai Lubak Bodoh di sini sejak seminggu.
Meskipun tiada kes serangan reptilia lebih empat meter itu terhadap masyarakat setempat setakat ini namun kehadiran haiwan itu tetap menjadi ancaman.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Dendy, 44, berkata, dia sering melihat kelibat sang bedal itu ‘bermain-main’ di tepi sungai berkenaan terutamanya ketika air pasang dan surut.
Lebih menarik, ceritanya, dia pernah ternampak seekor buaya melompat keluar dari permukaan sungai ketika cuba memakan umpan daging yang diikat oleh pemancing pada sebatang kayu.
“Saya tidak menjangkakan perkara seperti ini berlaku. Pada mula saya tidak dapat percaya namun buaya itu berada begitu hampir dengan saya.
“Jadi, apa yang kita bimbang adalah keselamatan kaki pancing dan kanak-kanak yang gemar memancing di tepi sungai berkenaan khususnya pada musim cuti sekolah ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mayat gadis dibungkus plastik hitam ditemui di dalam kereta

KULAIJAYA – Mayat seorang wanita yang dibungkus dengan plastik hitam yang kemudian cuba dibakar ditemui di dalam sebuah kereta di Kampung Desa Idaman, Bukit Batu, Sedenak di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Dr. Hashim Haron berkata, semasa ditemui pada pukul 7.30 pagi, mangsa yang dikenali sebagai Nor Roziah Zakaria, 25, dipercayai sudah mati dibunuh lebih 14 jam sebelum itu.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati mangsa yang berasal dari Peringgit, Melaka mati akibat dijerut di leher sebelum cuba dibakar di dalam kereta Perodua Viva di kawasan dusun buah-buahan itu.
“Terdapat kesan bakar di tempat duduk depan dan belakang kereta itu. Kita mengesyaki pembunuh cuba memadamkan bukti pembunuhan dengan membakar kereta tersebut namun gagal,” kata beliau.

Kecewa JPN enggan daftar bayi


NURUL NATRAH (kiri) dan Sakidan kecewa kerana gagal mendaftarkan kelahiran bayi perempuan mereka di Kangar semalam.


KANGAR – Gara-gara MyKad miliknya ditarik balik oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kira-kira tiga tahun lalu, seorang wanita mendakwa tidak dapat mendaftarkan kelahiran bayinya yang berusia dua bulan.
Wanita tersebut, Nurul Natrah Abdullah, 32, berkata, dia dan suaminya, Sakidan Ahmad, 41, bimbang memikirkan masa depan anak mereka itu sekiranya tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Katanya, masalah itu berpunca ekoran identiti pada MyKad miliknya didapati sama dengan individu lain di Klang, Selangor pada tahun 2009 menyebabkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN melarangnya menggunakan MyKad tersebut.
Menurutnya, berikutan itu, dia hanya memiliki sijil kelahiran dengan taraf warganegara yang belum ditentukan kerana dibesarkan di rumah anak yatim manakala identiti ibu bapanya tidak diketahui.

IKAN BILIS KENA...PATUT PUN...BAGAIMANA JERUNG2

Bekas bos MPS dijel tiga tahun

Posted on the December 21st, 2012 under Tempatan by admin


BAKARUDDIN dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.
SHAH ALAM – Bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Bakaruddin Othman dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM132,500 oleh Mahkamah Sesyen semalam selepas didapati bersalah menggunakan wang pihak berkuasa tempatan itu bagi penyelenggaraan rumahnya sendiri.
Hakim Asmadi Hussin menjatuhkan hukuman tersebut selepas berpuas hati kerana pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bakaruddin juga boleh dipenjara setahun lagi sekiranya gagal membayar denda.
Asmadi bagaimanapun membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi tetapi memerintahkan tertuduh membayar denda.
Beliau turut menaikkan jumlah jaminan daripada RM8,000 kepada RM10,000 dan memerintahkan Bakaruddin melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad pertama setiap bulan.
Kosmo

Bakso tidak ditanggung halal

Posted on the December 20th, 2012 under Luar Negara by admin


JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) sukar menentukan status halal bakso di pasaran negara itu kerana urusan jual beli daging di pasar terdedah kepada percampuran daging lembu dan babi.
Ketua Hariannya, Maruf Amin, berkata kemungkinan itu berlaku kerana tidak semua pasar menyediakan lot khas yang memisahkan daging halal dan haram. “Kami sukar menentukan status halal itu kerana aliran proses daging lembu tidak dikawal.
“Peralatan digunakan peniaga juga tidak boleh dipastikan sama ada benar-benar terpisah atau tidak,” katanya.

Turut menjadi pertimbangan, kata Maruf, adalah mesin pengisar yang digunakan untuk semua jenis daging.
“Keadaan itu menyebabkan ada kemungkinan berlaku percampuran antara daging lembu dan babi,” katanya. Menurut Maruf, isu percampuran daging lembu dan babi memang merugikan peniaga.
Bagaimanapun, katanya, tanggungjawab memisahkan jual beli daging halal dan haram di pasar terletak pada pihak berkuasa tempatan.
Justeru, kata Maruf, pihak berkenaan sepatutnya mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi isu berkenaan.
“MUI tidak ada kuasa mengatur urusan jual beli daging di pasar,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Lembaga Penyelidikan Makanan, Ubat-ubatan dan Kosmetik MUI, Lukmanul Hakim, berkata daripada kira-kira 50,000 produk bakso, hanya 100 mendapat sijil halal daripada badan itu. Katanya, sijil dikeluarkan selepas seluruh proses pengeluaran berkenaan diselidik.
Menurut Lukmanul Hakim, banyak yang tidak lulus kerana diberi makanan yang mungkin terdedah kepada percampuran daging lembu dan babi.
“Daging babi juga direndam dengan darah lembu bagi mengurangkan warna pucat, sekali gus menjadikan ia kelihatan seperti daging lembu,” katanya. – Kompas.com

9 pelabur emas saman Genneva Malaysia

Posted on the December 20th, 2012 under Tempatan by admin


KUALA LUMPUR – Sembilan pelabur emas memfailkan saman terhadap Genneva Malaysia Sdn Bhd dan empat pengarahnya termasuk anakanda Sultan Pahang, Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah untuk menuntut dipulangkan wang pelaburan mereka, melebihi RM2 juta.
Daud Mohamad, 63, Sofiah Halili, 42, Fazilahtun Ahmad, 42, Izuan Daud, 32, Mahmud Idris, 73, Mohd Sabri Ibrahim, 55, Noor Asykeen Abu Bakar, 36, Noorazylawati Abu Bakar, 35, dan Noraini Jasneh, 30, memfail writ saman tersebut di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Azman & Affendy.
Mereka menamakan syarikat tersebut sebagai defendan pertama manakala Tengku Muhaini, 56, Philip Lim Jit Meng, 55, Ahmad Khairuddin Ilias, 54, dan Tan Liang Keat, 40, sebagai defendan kedua hingga kelima.

Menerusi pernyataan tuntutan, mereka mendakwa telah terlibat dalam skim pelaburan emas berasaskan syariah yang diwujudkan oleh syarikat Geneva Malaysia yang memberi jaminan ia menguntungkan.
Mereka mendakwa bagi menyertai skim tersebut, kesemua plantif dikehendaki mendeposit sejumlah wang untuk membeli jongkong atau kepingan emas daripada defendan dan akan diberi ganjaran sebanyak dua hingga lima peratus sebulan, bergantung kepada jumlah berat emas yang dibeli.
Menurut mereka, Daud telah membayar sebanyak RM405,250; Sofiah RM307,755; Fazilahtun RM424,000; Izuan RM119,900; Mahmud RM60,300; Mohd Sabri RM20,100; Noor Asykeen RM20,100; Noorazylawati RM671,455 dan Noraini sebanyak RM40,000.
Dalam tuntutan itu mereka menyatakan sehingga kini plaintif masih gagal mendapatkan emas mereka dan mendakwa defendan membuat representasi palsu dengan menyatakan skim pelaburan itu adalah menurut syariah sedangkan ia adalah sebaliknya.
Mereka memohon satu perintah untuk mengarahkan Bank Negara Malaysia atau mana-mana pihak berkenaan memulangkan kembali wang pelaburan mereka itu.
Turut dituntut ialah kadar faedah, kos serta relif lain.
Peguam Mohamad Siddiq Azani yang mewakili kesemua plantif memberitahu Bernama bahawa writ saman tersebut akan diserahkan kepada defendan minggu depan. – Bernama

Chef Riz Secara Rasmi Lepaskan Ana Dahlia Talak Satu

Posted on the December 20th, 2012 under Artis by admin

PETALING JAYA: Teka-teki mengenai status pelakon Ana Dahlia dan Chef Riz terjawab apabila kedua-dua mereka bercerai secara rasmi dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Selangor dekat sini pada 10 Disember lalu.
Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan, 31, mengesahkan perkara itu secara ringkas ketika dihubungi mStar Online, di sini, pada petang Rabu.
“Benar, kemelut perhubungan kami sudah selesai. Kami telah pun bercerai talak satu secara sah,” katanya ringkas kerana sibuk berada di gimnasium.

Keretakan perkahwinan pasangan tersebut mula dihidu pada Oktober lalu selepas Ana dan Riz dikatakan sedang menghadapi masalah rumah tangga walaupun perkahwinan mereka belum menjangkau setahun lagi.
Penceraian itu dikatakan berpunca kerana tiada persefahaman di antara mereka selain perkenalan singkat iaitu selama lapan bulan yang turut menjadi penyebab perpisahan itu.
Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar dan Riz telah diijabkabulkan pada 11 Disember 2011.
Ia adalah perkahwinan kedua buat Ana.
Sementara itu, Ana yang dihubungi pula berkata, dia berasa sedikit sunyi sejak berpisah dengan anak lelaki tukang masak selebriti popular Chef Wan itu.
“Saya berasa sunyi sedikit, mungkin kerana saya tinggal bersendirian. Tetapi kesannya tidaklah teruk mana kerana sebelum ini pun saya tinggal sendiri juga.
“Inilah ketentuan dan takdir Tuhan. Saya terima seadanya dan berharap agar kami dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik, Insya-Allah,” tuturnya yang kini sedang sibuk dengan penggambaran drama Kerana Lelaki Itu.
Tambah Ana, walaupun kedua-dua mereka telah bercerai, namun dia tidak pernah menganggap Riz sebagai musuhnya dan masih lagi berkawan seperti biasa.
“Saya tidak pernah memusuhinya, kami kawan seperti biasa. Cuma hubungan kami tidaklah seperti dahulu lagi,” ujarnya.
mStar

Rumah perlindungan untuk hari kiamat dijual

Posted on the December 20th, 2012 under Luar Negara by admin


BENTUK rumah perlindungan yang dibina Seyfried di Salt Lake Utara, Utah pada 12 Disember lalu.
WASHINGTON – Syarikat Utah Shelter System yang dikendalikan Paul Seyfried menghasilkan beberapa buah rumah perlindungan untuk kegunaan orang ramai menghadapi pelbagai bencana seperti peperangan nuklear, kimia, biologi, bencana alam dan hari kiamat.
Harga rumah itu adalah antara AS$51,000 (RM155,738) hingga AS$64,000 (RM195,471).

Seyfried menghasilkan rumah tersebut dengan menggunakan keluli di Salt Lake Utara, Utah.
Rumah itu turut dilengkapi dengan tandas. – Agensi

Budak 3 tahun hancur diseret 10 km

Posted on the December 20th, 2012 under Tempatan by admin


BEGINILAH keadaan kereta Ford Laser Said Ibnu Aslam setelah terlibat dalam kemalangan di Nibong Tebal hingga mengakibatkan anaknya, Muhammad Aslam Maricar maut selepas diseret sejauh 10 kilometer.
NIBONG TEBAL – Seorang kanak-kanak menemui ajal dalam keadaan dahsyat apabila mayatnya hancur selepas dia diseret sejauh 10 kilometer oleh sebuah kenderaan dalam kemalangan di Kilometer 168.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara di sini kelmarin.
Kejadian menyayat hati pada pukul 8.45 malam itu mengakibatkan Muhammad Aslam Maricar Said Ibnu Aslam, 3, maut.

Mayatnya ditemui tiga jam kemudian iaitu pada pukul 11 malam di lorong kecemasan lebuh raya oleh orang awam yang membantu mencari selepas bapanya, Said Ibnu Aslam G. M. Ismail, 47, mengadu salah seorang anaknya hilang selepas kemalangan.
Sebelum kejadian, Muhammad Aslam Maricar bersama tujuh lagi ahli keluarganya dalam perjalanan pulang ke Ayer Itam, Pulau Pinang selepas seharian bercuti di Bukit Merah Laketown Resort di Taiping, Perak.
Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu bapa mangsa, Said Ibnu Aslam GM Ismail, 47, cuba mengelak daripada melanggar seekor binatang, menyebabkan kenderaan itu berpusing sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.
Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan diheret kenderaan lain, sementara tiga lagi adik beradik mangsa tercampak ke dalam longkang, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Mereka dikenali Zulqarnain Aslam, 14, Sharol Ramadhan, 12 dan Nur Aisyah Aslam, 2. Semua mereka termasuk bapa hanya mengalami cedera ringan, katanya.
Menurut Mohd Shafien, dua lagi penumpang iaitu ibu mangsa Nuris Berutu, 40, dan adik perempuannya Nurjadi, 28, tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Difahamkan keluarga berkenaan dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang dari Ipoh dan polis yakin kereta itu dipandu dengan begitu laju,” katanya.
Menurutnya semua mangsa kini dirawat di Hospital Seberang Jaya dan keadaan mereka dilapor stabil.
Shafien berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM10,000 serta digantung lesen memandu selama setahun, jika sabit kesalahan
Kosmo

Detik-detik lelaki China tikam 23 kanak-kanak

Posted on the December 20th, 2012 under Luar Negara by admin


IMEJ dari sebuah kamera keselamatan menunjukkan Yongjun yang memegang sebilah pisau menyerang seorang kanak-kanak di sebuah sekolah rendah di Kampung Chenpeng, daerah Guangshan, China pada Jumaat lalu.
BEIJING – Pihak polis kelmarin menyiarkan imej yang dirakamkan dari kamera keselamatan mengenai detik-detik seorang lelaki, Min Yongjun mengamuk dengan menikam 23 kanak-kanak di sebuah sekolah rendah di Kampung Chenpeng, daerah Guangshan, wilayah Henan.
Yongjun, 36, menikam seorang wanita di rumahnya dekat sekolah tersebut sebelum dia bertindak mengamuk dengan mencederakan kanak-kanak itumenggunakan pisau.

Anggota-anggota polis dan guru kemudian berjaya menangkapnya dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu.
Menurut siasatan awal polis, Yongjun melakukan perbuatan tersebut kerana terpengaruh dengan khabar angin bahawa kiamat akan berlaku pada Jumaat ini.
Ekoran kejadian itu, agensi berita Xinhua melaporkan pada Selasa lalu, dua guru besar, dua pegawai polis, seorang pegawai keselamatan dan pegawai pelajaran dipecat.
Kanak-kanak yang cedera itu berusia enam hingga 12 tahun.
Kebanyakan mereka mengalami luka yang serius di kepala dan tangan. – Agensi

SEX TELAH MENJADI PERKARA BIASA...BILA HUKUM ALLAH DIKETEPIKAN

Telinga terkulai ditetak

Posted on the December 22nd, 2012 under Tempatan by admin
Mangsa terlantar dengan kecederaan di kepala, telinga dan tangan yang berbalut.
KOTA BHARU – Seorang peniaga makanan haiwan hampir putus telinga kirinya akibat ditetak seorang lelaki dalam kejadian cubaan samun di Bukit Marak, Bachok, awal pagi semalam.
Lebih malang, mangsa yang baru sahaja menutup kedainya itu turut cedera di kepala dan lengan kiri ketika usaha dia menyelamatkan diri.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, Mohd Kamaruzaman Ibrahim diserang seorang lelaki tidak dikenali dipercayai cuba menyamun hasil perniagaannya pada hari terbabit.
Katanya, sebelum itu, dia yang menuju ke keretanya di hadapan kedai tidak menyedari kehadiran lelaki berkenaan.
“Sampai di tepi kereta lelaki bertopi keledar itu membaling serbuk lada ke dalam mata saya.
“Dalam keadaan mata yang pedih, saya lari menyelamatkan diri, bagaimanapun dikejar lelaki itu sebelum dia menetak saya dengan senjata dipercayai pedang,” katanya ditemui Sinar Harian di wad Hospital Universiti Sains Malaysia di sini, semalam.
Menurutnya, sejurus serangan itu, lelaki berkenaan melarikan diri dengan membonceng sebuah motosikal yang ditunggang seorang lagi lelaki lain.
Mohd Kamaruzaman kemudian mengagah akan dirinya menandu ke hospital sejauh lapan kilometer dari tempat kejadian.
“Pada masa itu, keadaan sunyi, tidak ada orang untuk saya minta tolong jadi saya terpaksa memandu sendiri dalam keadaan berlumuran darah untuk sampai ke hospital setengah jam kemudian,” katanya.
Akibat kejadian itu, mangsa menerima 15 jahitan.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis daerah Bachok, Deputi Superintenden Ab Rahim Che Ghani berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian.
Sinar

Saya Tidak Terlibat Dengan Skandal Seks – Ganesan

Posted on the December 22nd, 2012 under Politik by admin

IPOH: Speaker DUN Perak, Datuk R. Ganesan menafikan sebarang pembabitan dalam skandal seks dan akan membuat laporan polis mengenai dakwaan tersebut.
“Saya akan meminta pihak polis menyiasat dakwaan. Saya tidak terkejut kerana ia hanyalah cerita yang dibuat-buat,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Beliau mengulas mengenai sampul surat yang diterima V.Sivakumar dan A. Sivasubramaniam di luar perhimpunan awal hari ini.

Sampul surat itu mengandungi artikel yang dicetak dari dalam talian dan cakera padat (CD) dengan gambar lucah, gambar Ganesan dan gambar wanita pada bahagian kulit hadapan.
mStar

Mayat bayi rentung ditemui

Posted on the December 22nd, 2012 under Tempatan by admin
BEGINILAH keadaan mayat seorang budak perempuan yang ditemui rentung dengan perut terburai di Bukit Chagar, Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun dijumpai mati dibakar dengan perut terburai sebelum dibuang di kaki sebuah bukit di Jalan Salleh, Bukit Chagar di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Johor Bahru Selatan (JBS), Superitendan Abdul Samad Salleh berkata, anggota badan mangsa didapati rentung 80 peratus.

Pihaknya juga percaya, kanak-kanak malang itu dibakar dengan sejenis minyak dan kemudian dibungkus dalam plastik.
Bagaimanapun, identitinya masih belum dikenal pasti.
“Mayat itu dipercayai berada di kawasan ini kira-kira 12 jam yang lalu dan perut kanak-kanak terbabit juga didapati terburai,” katanya kepada Kosmo!.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kosmo

Keterujaan Ayu, Zaquan, bakal timang putera

Posted on the December 21st, 2012 under Artis by admin

Jika tahun lalu, Ayu Raudhah dan suami Zaquan Adha yang juga pemain bola sepak negara, dirundung kedukaan kerana insiden keguguran. Namun pada April depan, segala kedukaan itu akan berbalas dengan kelahiran anak sulung mereka.
Ayu yang kini hamil enam bulan turut mendedahkan, hasratnya untuk menimang anak lelaki akan terlaksana dan dia amat teruja dan berdebar menanti kelahiran putera mereka.
“Alhamdulillah, saya dah pergi ‘scan’ kandungan dan doktor sahkan lelaki. Saya memang seronok bila dapat tahu jantina bayi kerana memang saya mahukan anak lelaki. Tapi, suami lebih teringin anak perempuan. Bagi saya, tidak kisah perempuan atau lelaki, yang penting adalah didikan yang sempurna.

“Kalau suami mahukan anak perempuan juga, mungkin untuk anak kedua atau ketigalah pula. Insya-Allah, dengan izinnya,” kata Ayu sambil ketawa kecil.
Berehat demi kandungan
Mengambil pengajaran daripada insiden keguguran lalu, Ayu membuat keputusan berehat sementara untuk menumpukan perhatian pada kandungan. Enggan melalui episod duka itu lagi, Ayu berharap agar kandungannya berada dalam keadaan baik.
“Alhamdulillah, setakat ini, kandungan dan kesihatan saya tiada masalah. Cuma, sejak mencecah usia enam bulan ini, berat badan semakin naik. Tapi, tak ada mendadak sangat. Cuma, saya semakin mengah dan cepat penat. Jalan sikit saja, dah termengah-mengah. Sebab itulah, di awal kandungan, saya tidak mengambil sebarang tawaran lakonan.
“Saya ingin memastikan, tiada kemudaratan pada kandungan dan saya sendiri kerana saya pernah keguguran akibat terlalu banyak bekerja. Bila dah bersalin nanti, saya akan kembali aktif dalam lakonan,” katanya adik kepada aktres jelita, Rozita Che Wan ini.
Semakin tenang
Mula mengenakan hijab setelah pulang dari menunaikan ibadah umrah pada 4 Ogos lalu, Ayu akui semakin selesa dan tenang dalam penampilan barunya itu. Menurut Ayu, hasrat untuk berhijab sudah lama terdetik di hatinya, namun niat itu semakin jelas setelah pulang dari kota suci.
“Insya-Allah, penampilan ini akan kekal untuk selamanya. Lagipun, semasa membuat keputusan untuk berhijrah, saya memang nekad dan tiada sangsi lagi. Suami dan keluarga merupakan pendorong kuat saya untuk kekal begini. Lagipun, suami pernah meluahkan rasa yang dia lagi suka kalau saya bertudung.
“Perubahan ini mungkin secara tidak langsung kerana faktor watak yang sering saya bawa sebagai wanita Muslim yang berhijab. Jadi, pintu hati saya dibuka dengan cara itu,” kata pemilik nama sebenar, Raudhah Abu Bakar@Che Wan.
Kepercayaan kunci kebahagiaan
Menyedari tuntutan karier suami yang sukar menghabiskan masa panjang bersamanya, Ayu tetap positif dan memahami tugas pemain bola sepak. Mengakui sikap saling memahami dan mempercayai antara satu sama lain amat penting dalam meniti alam rumah tangga, Ayu sedia maklum mengenai hal itu.
“Sebelum kami kahwin lagi, suami memang pemain bola. Jadi, saya harus menerima dia seadanya dan memahami jadual kerjanya. Jika tiada ‘game’, dia akan menemani saya, malah jika perlawanan itu berlangsung berdekatan, dia akan pulang menjenguk saya setiap hari untuk memastikan saya selamat.
“Dia terlalu risaukan saya dan kandungan. Bila dia terpaksa ke luar negara atau daerah, dia akan hantar saya ke rumah Kak Ta (Rozita),” katanya mengakhiri perbualan.
Zaquan bawa Ayu ke Johor
Umum mengetahui, penglibatan Zaquan dalam arena bola sepak sememangnya menyukarkan bintang ini memberi ruang khusus buat keluarga. Setelah mengikat kontrak bersama Pasukan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Zaquan diarahkan untuk berpindah ke negeri itu untuk memudahkan proses latihan.
“Buat masa ini, memang saya memang sibuk berpindah rumah. Saya juga membawa Ayu bersama kerana saya lebih selesa jika dia berada dekat dengan saya. Lagipun, dia sedang sarat dan saya tidak sampai hati nak tinggalkan dia seorang diri. Sehingga kini, kami masih belum membeli kelengkapan bayi. Hanya beberapa helai baju sahaja yang dibeli Ayu ketika bercuti di London baru-baru ini.
“Saya bertuah kerana memiliki isteri yang sangat memahami dan tidak pernah mempersoalkan tugas saya. Malah, saya lebih risaukan dia bila saya terpaksa berada di luar daerah,” katanya yang masih belum memilih nama anak.
Sukar mendapatkan cuti dan waktu khas untuk bersama keluarga, Zaquan bagaimanapun berharap agar dapat menemani Ayu ketika melalui proses bersalin nanti.
“Kami memang susah nak dapat cuti, apatah lagi cuti panjang kerana ia boleh menjejaskan stamina. Tapi, saya berdoa agar dapat menemani Ayu nanti. Kebetulan pada ketika itu, saya sibuk dengan perlawanan Liga Super Malaysia. Jadi, saya tidak pasti lagi dapat cuti atau tidak. Perkara ini telah dibincangkan bersama Ayu dan Ayu sentiasa positif.
“Mujurlah mertua saya akan datang menemani Ayu sehingga proses berpantang nanti. Namun, jika mertua tidak dapat datang, saya akan hantar Ayu ke rumah mereka,” katanya yang berjanji akan memberi yang terbaik buat keluarganya.
Sinar

Pecah mesin top-up guna benang

Posted on the December 21st, 2012 under Tempatan by admin

SUBANG JAYA: Seorang wanita berusia 40-an dianggap penyamun profesional apabila memiliki kepakaran membuka mesin tambah nilai kad prabayar telefon bimbit dengan hanya menggunakan benang.
Dia dibantu tiga lelaki disyaki terbabit dengan sekurang-kurangnya empat kes mencuri wang tunai dan kad prabayar telefon bimbit di sekitar Lembah Klang yang nilai keseluruhannya dianggarkan lebih RM150,000, sejak November lalu.
Dalam kejadian terbaru di sebuah hospital swasta di sini, kira-kira jam 4 pagi Selasa lalu, wanita terbabit bersama tiga pembantunya sekali lagi melarikan kad prabayar telefon bimbit dan wang tunai daripada mesin tambah nilai dianggarkan bernilai lebih RM40,000.

Sumber polis berkata, berbeza dengan tiga kes sebelum ini, dalam kejadian terbaru Selasa lalu, suspek bertindak lebih drastik apabila turut melarikan mesin kad tambah nilai berkenaan.
Menurutnya, selain berkemahiran membuka mesin kad tambah nilai telefon bimbit, suspek licik memperdaya pengawal keselamatan dengan menyamar sebagai juruteknik syarikat mesin berkenaan.
Harian Metro

Gelagat tunggu hari kiamat

Posted on the December 21st, 2012 under Luar Negara by admin
BEBERAPA buah kenderaan polis menuju ke Gunung Pic de Bugarach di pekan Bugarach, selatan Perancis kelmarin. – REUTERS
BEIJING – China menangkap hampir 1,000 orang dalam operasi memburu sebuah kumpulan Kristian yang menyebarkan khabar angin tentang hari kiamat akan berlaku pada hari ini, lapor media negara ini semalam.
Kumpulan yang dikenali sebagai Tuhan Maha Besar itu dituduh menyebarkan khabar angin tentang hari kiamat tersebut.

Hari kiamat tersebut dipercayai beberapa pihak akan berlaku kerana kalendar kaum Maya yang bermula pada 3114 Sebelum Masihi akan berakhir pada hari ini.
Menurut laporan stesen televisyen CCTV, operasi memerangi kumpulan itu bermula pada minggu lalu.
Akhbar Beijing Times melaporkan, polis menahan lebih 350 anggota kumpulan tersebut di wilayah Guizhou, barat daya China manakala lebih 400 lagi ditangkap di wilayah Qinghai, timur laut negara ini.
Agensi berita Xinhua menyatakan, kumpulan tersebut menjanjikan keselamatan penduduk yang menyertai kumpulan tersebut.
Di Kootwijkerbroek, Belanda, seorang penduduk, Pieter Van Der Meer menyediakan sebuah bot penyelamat di pekarangan rumahnya.
Menurutnya, bot tersebut mampu menyelamatkan 35 orang jika kiamat berlaku pada hari ini.
Di pekan Bugarach, selatan Perancis, pihak polis mengawal laluan masuk ke Gunung Pic de Bugarach setinggi 1,231 meter yang dikatakan akan terbuka pada 21 Disember ini.
Kawalan itu dilakukan bagi mengelak kebanjiran pengunjung ke gunung tersebut.
BEBERAPA lelaki kaum Maya mengadakan upacara keagamaan bagi meraikan kedatangan era baharu di bandar raya Guatemala, Guatemala kelmarin. – Agensi
Beberapa pihak percaya makhluk asing akan muncul bersama kapal angkasa untuk menyelamatkan golongan yang mempercayai hari tersebut.
Seramai 254 wartawan dari seluruh dunia telah berada di pekan tersebut untuk membuat liputan tentang kepercayaan hari kiamat itu.
Di Moscow, Rusia, sebuah kubu bawah tanah yang digunakan semasa Perang Dingin akan menjadi lokasi sebuah parti selama 24 jam bagi meraikan kedatangan hari kiamat.
Tiket sebanyak AS$1,000 (RM3,056) perlu dibayar kepada pengunjung yang mahu memasuki kubu tersebut untuk menyelamatkan diri. Kubu itu sedalam 56 meter.
Bagaimanapun, Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, beliau tidak percaya kiamat akan berlaku pada hari ini.
Menurutnya, Bumi akan wujud bagi tempoh 4.5 bilion tahun lagi.
“Saya tahu bila dunia akan berakhir. Ia akan berlaku dalam tempoh 4.5 bilion tahun lagi,” katanya.
Ketika ditanya jika beliau takut menghadapi hari kiamat, Putin berkata: “Kenapa perlu takut jika ia tidak dapat dielakkan?”
Sejumlah anggota polis turut mengawal di jalan-jalan yang terdapat di Kampung Sirince, barat Turki semalam bagi menangani kebanjiran pengunjung pada hari ini.
Sebahagian orang percaya kampung itu merupakan satu-satunya tempat yang tidak akan terjejas dengan hari kiamat kerana ibu Nabi Isa, Mariam dipercayai pernah tinggal di situ.
Beberapa upacara keagamaan turut dilakukan oleh kaum Maya di Guatemala kelmarin.
Upacara itu diadakan bagi meraikan kedatangan era baharu selepas kalendar Maya berakhir pada hari ini. – Agensi
Kosmo

Permintaan misteri Presiden Organisasi Zionis Dunia

Posted on the December 21st, 2012 under Luar Negara by admin

Chaim Azriel Weizmann lahir pada tahun 1874. Dia merupakan seorang pakar kimia yang menjadi Presiden Organisasi Zionis Dunia dan Presiden Israel pertama yang terpilih pada pertengahan Mei 1948. Dia juga menubuhkan institut penyelidikan Israel yang akhirnya menjadi Lembaga Ilmu Pengetahuan Weizmann.
Setelah mempelajari biokimia di Switzerland dan Jerman, Weizmann berhijrah ke England pada tahun 1905 dan dipercayai sebagai Juru cakap Zionis Eropah. Dalam perang dunia pertama, Jerman selangkah lebih maju dalam teknologi persenjataan berbanding pihak Bersekutu. Namun berkat penemuan Weizmann, yang berjaya mensintesiskan aseton melalui proses penapaian yang digunakan dalam menghasilkan cordite iaitu bahan pembakar yang berguna bagi pemangkin peluru, British berjaya bersaing dengan Jerman.
Banyak kalangan berkata tanpa penemuan Weizmann, British akan menderita kekalahan dalam perang dunia pertama. Sebab itulah, Weizmann sangat dihormati dikalangan elit Inggeris dan menjadi rakyat dihormati. Sejak itu lobi Weizmann menjadi sangat kuat di England.

Permintaan Weizmann
Selepas perang dunia pertama, PM Britain David LloydmGeorge secara khas mengundang Weizmann. George memberi Weizmann sejumlah wang dan berjanji bahawa British akan memberikan apa saja permintaan Weizmann.
Pucuk dicinta ulam mendatang. Sebagai salah seorang tokoh gerakan Zionis ini merupakan kesempatan terbaik bagi dirinya untuk meminta tanah air bagi bangsa Yahudi yang ketika itu masih berselerak di beberapa negara dan benua.
Weizmann menjawab, “Tuan, hanya satu yang saya inginkan … Hal itu adalah ‘rumah’ bagi saudara-saudara saya …”
Lloyd George faham. Permintaan khusus Weizmann itu menjadi perhatian utama Kabinet British. Menteri Luar Negeri Balfour setengah tidak percaya dengan apa yang diminta Weizmann.
Balfour bertanya kembali kepada Weizmann, seolah ingin mendengar melalui telinganya sendiri, “Tuan Weizmann, mengapa harus Palestin?”
“Tuan Balfour, jika pun saya mahukan Paris atau London apakah anda akan berikan? ” Weizmann bertanya.
Balfour mengangguk, “Mengapa tidak?”
Weizmann tersenyum. “Saya percaya Tuan Balfour. Namun sayang, kami telah mempunyai Jerusalem, ketika London masih berupa kawasan paya. ”
Balfour terdiam. Dia sangat faham bahawa permintaan Weizmann tersebut sangat dilema. Di pihak British sangat berterima kasih kepada Weizmann dan juga tokoh-tokoh Yahudi Antarabangsa lain namun jika permintaan itu dituruti maka Dunia Arab akan memusuhi British.
Sebab itulah, draft Deklarasi Balfour yang dikeluarkan pada tarikh 2 November 1917 ditulis dengan sangat berhati-hati dan tidak secara jelas menyenaraikan kata “tanah air”. Namun demikian, pihak Zionis tetap menterjemah deklarasi ini sebagai surat sakti untuk menjajah Tanah Palestin yang ketika itu memang dikuasai British.
Deklarasi Balfour dianggap sebagai mandat British kepada gerakan Zionis Antarabangsa untuk mendirikan sebuah negara Israel di Palestin. Pada 1918, Weizmann diangkat sebagai ketua Suruhanjaya Zionis dan dihantar ke Palestin oleh pemerintah British untuk menganjurkan pembangunan masa depan di negera itu. Di sana, dia meletakkan batu asas Universiti Ibrani.
Pada tahun yang sama Weizmann bertemu di Aqaba dengan Emir Feisal, putra Syarif Husain dari Mekah iaitu orang Arab yang telah bersekongkol dengan Perancis dan British menumbangkan khilafah Turki Uthmaniyah untuk rundingan untuk penubuhan negara Arab dan Yahudi yang ‘merdeka’.
Selepas itu, Weizmann mengetuai delegasi Zionis pada Persidangan Keamanan di Versailles. Pada tahun 1920, dia menjadi pimpinan Organisasi Zionis Dunia (WZO) dan mengetuai Agen Yahudi yang ditubuhkan pada tahun 1929. Pada tahun 1930-an, Weizmann meletakkan dasar Institut Penyelidikan Daniel di Rehovot, yang kemudian menjadi Institut Weizmann iaitu tenaga penggerak utama di belakang penyelidikan ilmiah Israel.
Pada tahun 1937, dia membina rumahnya di Rehovot. Chaim Weizmann kembali semula menjawat jawatan sebagai pemimpin WZO pada tahun 1935-1946. Sepanjang zaman Perang Dunia ke II, dia menyumbang banyak usaha dalam membentuk angkatan bersenjata Israel.
Selepas berakhirnya Perang Dunia II dan konspirasi Barat yang kemudian membentuk “negara” Israel pada 29 November 1947, Weizmann diangkat sebagai presiden pertama Israel hingga si laknatullah ini meninggal dunia pada tahun 1952.
Diterjemahkan dari sumber islampos.com
Detik Islam

Leher dijerut tali layang-layang

Posted on the December 21st, 2012 under Tempatan by admin
KEADAAN leher Mohd. Azizi yang cedera akibat terjerut tali layang-layang di Kampung Hilir Darat, Saratok semalam.
SARATOK – Seorang pelajar lelaki tingkatan empat cedera apabila lehernya dibelit dan dijerut tali layang-layang bersalut kaca yang merentang jalan di Kabong dekat sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 11 pagi itu dikatakan berlaku ketika mangsa, Mohd. Azizi Ibrahim, 16, sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya di Kampung Hilir Darat selepas membeli barang keperluan di sebuah kedai di pekan Kabong.

Mengimbau kejadian itu, Mohd. Azizi berkata, ketika melalui kawasan kejadian, dia yang menunggang seorang diri tidak menyedari tali layang-layang melintang di jalan tersebut kerana ia terlalu halus lalu merempuhnya.
Difahamkan, tali layang-layang bersalut kaca itu ditinggalkan di kawasan tersebut oleh pemiliknya selepas layang-layangnya tersangkut pada sebatang pokok.
Kosmo