Wednesday, March 6, 2013

LAWAK...SYARIKAT TIADA PERSAINGAN MEMANGLAH UNGGUL...MANA ADA SYARIKAT LAIN YANG MEMBEKALKAN TENAGA LETRIK

10 mayat pengganas ditemui


AHMAD ZAHID dan Hishammuddin menunjukkan gambar mayat pengganas yang ditemui di Kampung Tanduo pada sidang akhbar di Lahad Datu semalam.



LAHAD DATU - Operasi mencari dan menggeledah Ops Daulat yang masuk hari kedua di Kampung Tanduo di sini semalam menemui sepuluh mayat kumpulan pengganas Sultan Sulu dengan sembilan daripada mayat itu sudah berulat dan berbau busuk.
Sembilan daripada mayat itu ditemui dalam satu lubang besar yang ditutup dengan kayu dipercayai ditanam oleh kumpulan pengganas sebelum mereka berjaya menyelinap keluar meninggalkan Kampung Tanduo kelmarin.
Mayat sembilan pengganas yang ditemui di dalam lubang itu disahkan sebagai sebahagian daripada 12 mayat anggota pengganas yang mati dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan pada 1 Mac lalu. Dalam pertempuran tersebut, dua anggota polis turut terbunuh.
Sehingga semalam, pasukan keselamatan belum menemui mayat pengganas yang terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan menggunakan lapan buah jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kelmarin.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Zulkefili Mohd. Zin berkata, satu lagi mayat yang ditemui dalam operasi penggeledahan merupakan mayat pengganas yang ditembak mati pada pukul 6.45 pagi semalam.
"Sembilan mayat yang ditemui dalam satu lubang besar di kampung itu merupakan mayat sekumpulan 12 pengganas yang ditembak mati pada hari Jumaat lalu.
"Buat masa ini pasukan forensik sedang mengesan baki tiga lagi mayat yang mungkin ditanam atau berada di tempat lain," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, operasi mencari dan menggeledah di kampung berkenaan yang bermula sejak petang kelmarin turut menemui beberapa senjata api milik musuh.
"Kita terpaksa menggeledah beberapa kawasan lagi untuk mencari senjata-senjata yang mungkin ditanam atau disembunyikan pengganas itu," kata beliau.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan telah berlaku dua lagi pertempuran antara pasukan keselamatan dengan kumpulan pengganas di kampung tersebut pagi semalam.

4 disyaki pengganas dicekup



ANGGOTA pasukan keselamatan memberkas seorang lelaki disyaki pengganas Sultan Sulu di Sri Jaya, Simunul, Semporna.



SEMPORNA - Empat lelaki yang dipercayai anggota pengganas Sultan Sulu ditahan oleh polis di Kampung Sri Jaya, Simunul yang terletak kira-kira lima kilometer dari sini semalam.
Kesemua lelaki berusia antara 20 hingga 50-an itu ditahan dalam operasi dan serbuan yang dilakukan dari pukul 11 pagi hingga pukul 1 petang.
Satu sumber berkata, serbuan itu dilakukan hasil maklumat risikan dan orang awam yang mendakwa terdapat pergerakan luar biasa pada waktu senja dan malam dua hari lalu di kampung tersebut.
Bertindak atas maklumat tersebut, sumber itu memberitahu, sepasukan polis menyerbu Kampung Sri Jaya dan menggeledah sebuah rumah di kampung tersebut.
"Pemeriksaan di rumah yang digeledah berjaya menahan dua lelaki dipercayai anggota pengganas, namun polis tidak menemui sebarang senjata di dalam rumah atau di kawasan sekitar rumah itu," kata sumber itu.
Selepas itu, sumber tersebut memberitahu, polis menahan dua lagi lelaki juga dipercayai daripada kumpulan pengganas di kawasan belukar di kampung berkenaan

2,000 penduduk terpaksa pindah



PENDUDUK Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu semalam menerima bantuan makanan ekoran pencerobohan pengganas yang belum berakhir.



LAHAD DATU - Insiden pencerobohan yang berlaku di Kampung Tanduo di sini sejak 24 hari lalu memaksa kira-kira 2,000 penduduk dari lapan buah kampung di kawasan sekitar yang dilanda krisis itu meninggalkan rumah masing-masing.
Kesemua penduduk dari Kampung Tanduo, Labian, Kampung Tanjung Batu, Sungai Bilis, Lok Buani, Lok Sembuang, Tagupi dan Tanagian kini ditempatkan di penempatan sementara di Dewan Endera Budi dan Bandar Fajar Harapan dekat sini.
Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman (gambar kecil) berkata, seramai 600 penduduk ditempatkan di Dewan Endera Budi, manakala 1,603 penduduk yang lain pula menumpang di beberapa buah rumah di Bandar Fajar Harapan.
Menurut beliau, penduduk yang meninggalkan rumah masing-masing kini hidup dalam keadaan tertekan kerana bimbang dengan keselamatan mereka.
"Kita sedar dengan kesukaran yang dihadapi penduduk ekoran kejadian pencerobohan yang berlaku di Kampung Tanduo.
"Saya difahamkan ada sebuah rumah di Fajar Harapan terpaksa dikongsi bersama oleh kira-kira 60 orang penduduk," kata beliau ketika melakukan lawatan ke kawasan perumahan tersebut di sini semalam.

TNB kekal syarikat utiliti unggul



NAJIB menandatangani buku catatan yang dihulurkan seorang
kakitangan TNB kepada beliau.



KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan terus kekal menjadi sebuah syarikat utiliti unggul bersepadu dan tidak akan dipecahkan kepada syarikat-syarikat lebih kecil.
Beliau berkata, pada mesyuarat Majlis Ekonomi Negara pada 4 Februari lalu, kerajaan memutuskan untuk tidak sama sekali memecahkan syarikat utiliti negara itu.
Katanya, TNB harus menjadi sebuah syarikat juara di rantau ini serta bertindak sebagai organisasi yang dikagumi.
"Saya difahamkan dan dengar di hujung telinga, warga TNB sebelum ini menghadapi sedikit kerisauan kononnya kerajaan hendak memecahkan TNB kepada kelompok atau syarikat lebih kecil.
"Saya ingin menafikan perkara ini dan ia sama sekali bukan hasrat kerajaan," katanya ketika berucap pada majlis Lawatan Kerja Perdana Menteri ke Ibu Pejabat TNB di Bangsar di sini semalam.
Lebih 20,000 warga kerja TNB mengikuti ucapan Najib itu yang turut dipancarkan menerusi persidangan video ke semua cawangan TNB di seluruh negara.

Kakitangan Felcra maut dibelasah 4 penyamun



MASITAH (kanan) dan Nor Farah Izzaty melihat lokasi Mohd. Suhaili dibelasah sekumpulan penyamun di Kampung Gajah semalam.



KAMPUNG GAJAH - Sekumpulan penyamun bertindak kejam apabila membelasah seorang kakitangan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) sehingga mati dalam kejadian pecah rumah di Kampung Sungai Badak, Jejawi dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Suhaili Abdul Salim, 27, dipukul dengan paip besi dan seterika di hadapan isteri, Masitah Zamberi, 26, dan anak perempuannya, Nor Farah Izzaty, 7.
Menceritakan kejadian tersebut, Masitah berkata, mereka sekeluarga yang sedang tidur terjaga apabila kumpulan penjenayah itu menendang pintu bilik mereka.
"Suami saya cuba melawan menyebabkan empat lelaki terbabit bertindak memukulnya dengan paip besi menyebabkan dia rebah ke lantai.
"Mereka mengikat kami sekeluarga dan menggeledah rumah namun gagal menemui barangan kemas.
"Mereka kemudian memukul suami saya dengan belakang parang serta seterika dan mengugut saya agar memberitahu tempat barangan kemas," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dua lelaki hilang dibaham buaya



ANGGOTA bomba dan penduduk mencari Manja yang hilang dipercayai dibaham buaya di Sungai Seblak, Saratok semalam.



SARATOK - Dua lelaki dipercayai dibaham buaya ketika mereka menangkap ikan dalam kejadian berasingan di Kabong di sini dan Saribas, Betong.
Lokasi antara kedua-dua tempat kejadian dianggarkan kira-kira 100 kilometer.
Mangsa pertama, Manja Salman, 29, berasal dari Kampung Sessang dekat Kabong dipercayai diserang oleh seekor buaya sepanjang tiga meter di muara Sungai Seblak kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Saratok, Asisten Superintendan Zamrul Ahmad berkata, lelaki itu turun ke sungai berkenaan kira-kira pukul 12 tengah malam untuk memasang pukat ikan.
"Selepas kira-kira 10 minit mangsa tidak naik ke tebing sungai, seorang rakannya mencari mangsa.
"Rakannya terkejut apabila melihat mangsa terkapai-kapai di dalam sungai sebelum tenggelam ke dasar sungai," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam

Geng curi kereta mewah tumpas



ARJUNAIDI melihat dua buah kereta Audi yang dicuri dan berjaya ditemui semula di Petaling Jaya semalam.



PETALING JAYA - Enam lelaki berusia antara 28 hingga 37 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan sekurang-kurangnya sembilan kes curi kenderaan mewah di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suspek merupakan anggota kumpulan yang aktif menyamun kereta di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor selain dipercayai turut melakukan jenayah itu di Negeri Sembilan dan Perak.
Katanya, dua daripada suspek ditahan bersama sebuah kereta Honda Civic yang dilaporkan hilang di Sri Damansara pada 11 Februari lalu hasil serbuan oleh polis di Manjalara, Kepong pada 17 Februari lalu.
"Ia membawa kepada penahanan seorang lagi anggota kumpulan sama di Selayang bersama dua buah kereta Audi yang masing-masing dilaporkan hilang di Kelana Jaya dan Sri Damansara.
"Pada 4 Mac lalu, pihak polis berjaya menahan tiga lagi anggota kumpulan itu di Desa Jaya, Kepong bersama peralatan pecah rumah, kunci kereta, geran kenderaan, komputer riba dan telefon bimbit," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Gerai Afrika dibuka semula



SEBAHAGIAN daripada pelanggan yang terdiri daripada warga Afrika mengunjungi premis berkenaan di Kepong baru-baru ini.



KUALA LUMPUR – Warga Afrika yang premisnya pernah diserbu pihak penguat kuasa pada Jun tahun lepas, kini membuka semula gerai African Chicken di Desa Aman Puri, Kepong di sini baru-baru ini.
Sikap keras kepala warga asing itu ternyata seakan-akan mencabar pihak berkuasa di negara ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati, warga Afrika yang berniaga di Jalan Desa 1/2 itu membuka premisnya sekitar pukul 5 petang dan beroperasi sehingga awal pagi.
Bezanya, modus operandi warga Afrika itu semakin licik apabila tidak lagi meletakkan papan tanda African Chicken di gerai mereka bagi mengelakkan dihidu pihak berkuasa.
Menjelang pukul 8 malam, gerai tersebut mula dipenuhi pelanggan yang kebanyakannya terdiri daripada warga Afrika sendiri.
Menurut sumber, wanita Afrika yang mengendalikan premis itu dipercayai menjalankan perniagaan dengan menyewa gerai tersebut daripada warga tempatan selain bijak menggunakan warga tempatan bagi mendapatkan permit perniagaan.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad berkata, pihak berkuasa perlu bertindak tegas terhadap penduduk tempatan yang terlibat menyewakan premis kepada warga asing.

Penyanyi Nouri direman kes kematian suami



NOURI, penyanyi yang popular pada tahun 90-an



KUALA LUMPUR - Penyanyi yang popular pada tahun 90-an, Nouri (gambar) semalam ditahan reman bagi membantu siasatan kes kematian suaminya di sebuah kondominium di Ampang Utara di sini.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan penahanan Nouri atau nama sebenarnya Norin Ramli, 39, bersama dua anak saudaranya bermula semalam hingga Ahad ini di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
"Wanita itu dan dua individu lagi telah ditahan di Ampang pagi tadi (semalam) bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang Isnin lalu, suami penyanyi tersebut, Khairul Azmi Jaafar, 39, ditemui mati dengan tangan dan kakinya terikat.
Mangsa yang merupakan ejen jualan langsung dikatakan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Penyanyi belasah suami hingga mati

Posted on the March 6th, 2013 under Artis by admin
Amiruddin Jamaluddin
AMPANG – Seorang penyanyi wanita sanggup membelasah suaminya dalam keadaan kaki dan tangan terikat hingga mati gara-gara tidak mahu mangsa bertemu dengan anak perempuan mereka berusia setahun.
Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, suspek bersama dua anak saudaranya bertindak sedemikian selepas berang apabila mangsa mendesak meminta bertemu dengan anaknya meskipun tidak dibenarkan berbuat demikian.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, pihaknya yang menerima maklumat tentang kejadian, bergegas ke rumah itu sebelum menemui mangsa tidak sedarkan diri di dalam sebuah bilik dengan keadaan terikat.

Menurutnya, mangsa cuba diberi bantuan kecemasan oleh anggota paramedik namun disahkan sudah meninggal dunia.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut kerana serangan jantung akibat pergelutan dan kekasaran. Suspek dan dua anak saudaranya ditahan reman untuk membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, polis merakamkan percakapan suspek dan kes dijangka dibawa ke pendakwaan pada masa terdekat
Difahamkan, pasangan berusia 39 tahun itu tidak tinggal bersama sejak setahun lalu dan dalam proses penceraian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sinar

Kiram marah digelar pengganas


LEMAH... Jamalul Kiram III berjalan dengan menggunakan tongkat di rumahnya
di Kampung Maharlika, Manila kelmarin.



MANILA - Sultan Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya Sultan Sulu menolak dakwaan Malaysia yang melabelkan pengikut-pengikutnya sebagai pengganas di Sabah, menurut beberapa laporan semalam.
Menurutnya, para pengikutnya yang diketuai adiknya, Raja Muda Azzumuddie hanya cuba pulang ke tanah air mereka.
"Adakah orang di tanah air sendiri pengganas? Adakah orang di kediaman sendiri di tanah air sendiri pengganas," kata Jamalul Kiram dalam satu temu bual bersama stesen radio dzMM.
Menurut portal berita ABS-CBNnews.com, Jamalul Kiram menyatakan tujuan melabel penggikutnya sebagai pengganas adalah untuk menghalang campur tangan antarabangsa di Sabah.
Sebelum ini, media Malaysia memetik Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sebagai berkata bahawa Setiausaha Luar Filipina, Alberto Del Rosario bersetuju kumpulan yang menceroboh Sabah itu dianggap sebagai pengganas.
Sementara itu, Jamalul Kiram sekali menegaskan bahawa Tentera Diraja Kesultanan Sulu itu tidak akan menyerah diri.
Katanya, mereka selamat daripada serangan pasukan keselamatan Malaysia.
Beliau berkata, adiknya dan para pengikutnya tidak akan kembali ke Filipina.
Jamalul Kiram menyatakan, beliau tidak akan mengarahkan para pengikutnya itu kembali ke tanah air.
Para pengikut Jamalul Kiram menceroboh Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu kerana menganggap ia merupakan tanah milik Kesultanan Sulu.
- Agensi

Hugo Chavez meninggal dunia



SEORANG penyokong Chavez menangis apabila mengetahui berita kematiannya di Caracas kelmarin.



CARACAS - Presiden Venezuela, Hugo Chavez meninggal dunia kelmarin akibat komplikasi penyakit kanser yang dihidapinya di sebuah hospital di sini.
Ekoran kematian Chavez, 58, Naib Presiden, Nicolas Maduro akan terus memerintah Venezuela sebagai pemangku Presiden sehingga pilihan raya yang akan diadakan dalam tempoh 30 hari.
Menteri Luar, Elias Jaua mengesahkan pelantikan tersebut kelmarin, beberapa jam selepas Maduro mengumumkan pemergian Chavez yang mentadbir negara mengikut cara tersendiri selama lebih 14 tahun.
Menurutnya, tempoh berkabung tujuh hari telah diisytiharkan dengan semua sekolah ditutup selama seminggu manakala majlis pengebumiannya akan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin negara sahabat Venezuela esok.
Semasa mengumumkan kematian Chavez, Maduro meminta rakyat Venezuela supaya meneruskan legasi Presiden tersebut.
Perasaan sedih turut dinyatakan oleh pemimpin pembangkang, Henrique Capriles yang tewas kepada Chavez dalam pilihan raya Presiden pada Oktober lalu.
Beliau yang dijangka menjadi calon pembangkang untuk menentang Maduro pada pilihan raya akan datang berkata: "Ini bukan masa untuk mengetengahkan perbezaan. Ini merupakan masa untuk penyatuan, masa untuk keamanan."
Dalam pada itu, Venezuela turut mengusir seorang daripada dua kuasa usaha Amerika Syarikat di negara itu selepas kematian Chavez.
Maduro memberitahu bahawa beliau yakin bahawa penyakit barah Chavez yang dikenal pasti pada Jun 2011 berpunca daripada perbuatan khianat musuh-musuh negara itu.
Beliau turut menyamakan situasi tersebut dengan kematian pemimpin Palestin, Yasser Arafat.
Sebelum ini terdapat tanggapan bahawa Arafat mati kerana diracun Israel.
Beberapa pemimpin kanan Chavez sudah lama mendakwa bahawa Amerika Syarikat (AS) mendalangi satu cubaan menggulingkan Presiden itu pada 2002.
Chavez juga kerap memainkan sentimen anti-AS bagi meraih sokongan rakyat.
Venezuela tidak menerima duta AS sejak Julai 2010 dan mengusir seorang lagi pegawai tentera AS pada 2006.
"Saya terlalu sedih sehingga saya tidak boleh bercakap," kata seorang kerani wanita berusia 39 tahun, Yamilina Barrios yang bekerja di Kementerian Industri.
"Beliau merupakan pemimpin terbaik negara ini," tambahnya.
Namun, semasa era pemerintahannya, Venezuela merekodkan kadar kes pembunuhan kedua tertinggi di dunia selepas Honduras dengan 56 orang untuk setiap 100,000 penduduk.
Presiden AS, Barack Obama ketika memberikan reaksinya tentang kematian Chavez berkata, kematiannya akan membuka lembaran baharu untuk Venezuela. - Agensi


Ratusan penduduk Filipina larikan diri dari Sabah

MANILA - Beratus-ratus rakyat negara ini yang menetap di Sabah telah melarikan diri kerana bimbang terperangkap dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan pengikut Sultan Jamalul Kiram III, kata seorang pegawai semalam.
Kira-kira 280 rakyat Filipina dilaporkan tiba di Tawi-Tawi dari Sabah malam kelmarin.
"Mereka berasa begitu takut mereka akan terperangkap dalam pertempuran tersebut. Justeru, mereka melarikan diri dan membawa bersama keluarga masing-masing," kata seorang pengarah pertahanan tempatan, Ramon Santos.
Katanya, pejabat Pertahanan Awam telah bekerjasama dengan kerajaan tempatan di selatan wilayah Mindanao untuk memberi perkhidmatan sokongan kepada rakyat negara ini yang pulang dari Sabah.
"Perkara paling utama adalah memastikan keselamatan mereka, memberi sesi kaunseling dan membantu mereka membina kehidupan baharu," katanya. - dpa

Aquino marah kedegilan pengikut Sultan Sulu

BANDAR GENERAL SANTOS - Presiden Filipina, Benigno Aquino III menyatakan kedegilan pengikut Sultan Jamalul Kiram III untuk kekal berada di Sabah telah menyebabkan perang propaganda berlaku, lapor portal berita ABS-CBNnews.com semalam.
Aquino menggambarkan tindakan oleh Jamalul Kiram menghantar para pengikut bersenjatanya ke Kampung Tanduo, Sabah sebagai satu kesilapan dan telah mengheret negara ini ke kancah bahaya.
Pihak pemerintah berkali-kali berkata, ia bimbang mengenai status kira-kira 800,000 rakyat Filipina di Sabah.
Ramai penduduk Filipina merupakan pendatang haram yang bekerja di ladang-ladang dan beberapa sektor ekonomi lain di Sabah.
Dalam ucapan beliau semasa program bersama calon senator pentadbiran, Aquino menjelaskan tindakannya meminta para pengikut Jamalul Kiram menyerah diri dibuat kerana memikirkan kebajikan rakyat Filipina yang terjejas akibat tindakan mereka menceroboh Sabah.
Aquino menegaskan tuntutan Jamalul Kiram tentang Sabah perlu dibincang secara aman.
Beliau melahirkan rasa bimbang mengenai hubungan negara ini dengan Malaysia kerana tindakan Jamalul Kiram itu.
Katanya, hubungan dua hala di antara kedua-dua negara sudah lama terjalin dengan Malaysia menjadi fasilitator rundingan damai antara pihak pemerintah dengan Barisan Pembebasan Islam Moro.
Menurut Aquino, hubungan antara Malaysia dengan Filipina mencapai tahap yang paling merosot pada tahun 1960-an semasa negara ini diperintah oleh Ferdinand Marcos.
Menurutnya, hubungan itu merosot selepas terdedahnya rancangan Oplan Merdeka yang menunjukkan Marcos mahu menjadikan Sabah tidak stabil bagi membolehkan satu serangan dilancarkan. - Agensi

Ahli perniagaan ternak ikan sturgeon gergasi



SEORANG ahli biologi, Robinson Orozco memegang seekor ikan sturgeon betina seberat 181 kilogram di Sturgeon
Aquafarms, Bascom, pada 8 Februari lalu.



BASCOM, Florida - Seorang ahli perniagaan, Mark Zaslavsky menternak sejumlah ikan sturgeon gergasi di sebuah kolam ternakannya di sini, Amerika Syarikat.
Zaslavsky, 60, yang berasal dari Ukraine menternak ikan itu untuk tujuan mendapatkan telur-telur haiwan tersebut untuk dijadikan kaviar yang merupakan makanan untuk golongan kaya.
Terdapat ikan sturgeon di kolam ternakannya yang mempunyai berat sehingga 181 kilogram.
Dia mula mengusahakan ternakan ikan sturgeon itu pada tahun 2001 di ladang Sturgeon Aquafarms.
Zaslavsky mempunyai 2,000 pelanggan.
Antara pelanggannya ialah beberapa buah restoran Rusia di New York.
Ikan tersebut boleh hidup lebih 100 tahun di habitat liar. - Reuters

Kereta Koenigsegg RM4.96j



KERETA sport model baharu Koenigsegg Agera SHundra yang berharga RM4.96 juta dipamerkan pada Pertunjukan Kereta Antarabangsa Geneva Kali Ke-83 di Geneva kelmarin.



GENEVA, Switzerland - Sebuah kereta sport model terbaharu Koenigsegg Agera SHundra yang berharga AS$1.6 juta (RM4.96 juta) telah ditempah oleh seorang pengumpul kereta di Malaysia, lapor portal kereta WorldCarFans.com semalam.
Model kereta itu telah dipamerkan pada Pertunjukan Kereta Antarabangsa Geneva Kali Ke-83 di sini sejak Selasa lalu.
Reka bentuk kereta itu dihasilkan oleh seorang artis dari Itali.
Kereta tersebut dilengkapi dengan rim gentian karbon.
Pengeluaran kereta tersebut dibuat bagi meraikan pengeluaran kereta dari Sweden itu yang ke-100.
Ia menggunakan enjin V8 5.0 liter dengan 1,040 kuasa kuda.
Badan kereta berkenaan mengandungi jalur emas 24 karat. - Agensi

Misuari desak Presiden Filipina letak jawatan

MANILA, Filipina - Pengerusi dan Pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari mendesak Presiden Filipina, Benigno Aquino III dan semua pegawai pemerintah yang terbabit dalam krisis di Sabah meletak jawatan.
Misuari berkata demikian dalam satu wawancara dengan stesen radio Radyo Inquirer semalam.
"Mereka menggunakan kuasa mereka sebagai pegawai pemerintah untuk bersubahat dengan kuasa asing bagi menentang warganegara mereka sendiri dan ia amat teruk," kata Misuari.
Pada Selasa lalu, Misuari mengkritik Aquino kerana menyebelahi Malaysia.
Dalam wawancara itu, dia mengecam Setiausaha Luar Negara, Alberto Del Rosario kerana bersetuju menggelar tentera Sultan Sulu di Sabah sebagai pengganas.
- Agensi

Belalang Mesir 'serang' selatan Israel



SEBUAH pesawat menyembur racun serangga di kawasan yang 'diserang' belalang di Kampung Kmehin, Gurun Negev semalam.



KEMEHIN - Israel memulakan perang ke atas sejumlah besar belalang dari Mesir kelmarin untuk menghalang serangga tersebut daripada memusnahkan tanaman di selatan negara itu.
Serangga tersebut yang terbang dalam berkumpulan sehingga membentuk awan di langit.
Ia 'menyerang' Israel tiga minggu sebelum hari perayaan Yahudi, Passover.
Beberapa pegawai berkata, belalang itu melitupi kawasan seluas hampir 800 hektar di padang pasir dalam tempoh semalaman.
Pihak berkuasa pertanian Israel menyembur racun serangga dan darat untuk cuba menghapuskan belalang-belalang itu pada awal pagi sebelum embun pada sayapnya kering.
"Kami berharap tindakan kami berkesan," kata seorang juruterbang berkenaan kepada stesen radio tentera.
"Harap-harap kerosakan yang dibawa serangga itu hanya minimum," tambahnya.
Menurut juruterbang itu, kehadiran sejumlah besar belalang yang membawa bencana dengan memakan tanaman penduduk pernah berlaku sebelum ini pada tahun 2004.
Sementara itu seorang penanam ubi kentang yang tinggal sekitar tiga kilometer dari sempadan Mesir, Pavel Rosenfeld berkata, setakat ini 30 hingga 40 peratus tanamannya sudah rosak.
"Semuanya bergantung kepada tiupan angin dan kami berdoa agar angin tidak akan membawa lebih banyak belalang," katanya. - Reuters

Ramai suami isteri bercerai kerana mahu jual rumah di Shanghai



SEORANG pegawai polis mengawal sejumlah penduduk yang mahu menjual rumah mereka di sebuah pusat penjualan kediaman di Shanghai kelmarin.



SHANGHAI - Sejumlah pasangan suami isteri di China memutuskan untuk bercerai bagi mengelakkan mereka membayar cukai jualan hartanah baharu.
Tindakan itu dibuat kerana pasangan yang telah bercerai tidak akan dikenakan cukai jika mereka menjual rumah berdasarkan peraturan baharu.
Pejabat-pejabat pendaftaran pemerintah yang menguruskan perceraian dipenuhi pasangan suami isteri yang ingin berpisah dengan seorang wanita baru bercerai memberitahu agensi berita AFP semalam bahawa dia kini mahu menjual hartanahnya.
Pada Jumaat lalu, pihak pemerintah mengeluarkan arahan untuk mengawal harga rumah termasuk cukai 20 peratus bagi keuntungan jualan sesebuah kediaman rumah oleh pemiliknya.
Namun, terma itu membolehkan pasangan suami isteri yang bercerai dan memiliki dua kediaman boleh menjual hartanah mereka secara bebas cukai berdasarkan beberapa syarat tertentu.
Kelemahan tersebut menyebabkan ramai pasangan suami isteri bercerai untuk menjual hartanah mereka sebelum berkahwin semula selepas itu.
Akhbar Shanghai Daily melaporkan bahawa mereka yang bercerai itu termasuk sekurang-kurangnya seorang wanita hamil.
Undang-undang baharu hartanah itu turut menyebabkan kadar perceraian di sini meningkat sekali ganda.
Harga kediaman di 100 buah bandar utama di China naik pada setiap tahun. - AFP

Imej lubang gergasi di tapak rumah di Florida



IMEJ yang dirakamkan dari udara pada 4 Mac lalu menunjukkan lubang yang terbentuk di tapak rumah Bush yang telah diruntuhkan di Seffner.



SEFFNER, Florida - Imej sebuah lubang gergasi yang muncul secara tiba-tiba di bilik tidur rumah Jeff Bush (gambar kecil) di sini disiarkan kelmarin.
Lubang tersebut muncul sehingga mengakibatkan Bush, 37, yang sedang tidur terhumban ke dalamnya pada Khamis lalu.
Mayat Bush sehingga kini masih tidak ditemui kerana pihak berkuasa menghentikan kerja-kerja menyelamat kerana lubang berkenaan semakin membesar.
Ia dikenali sebagai lubang benam.
Lubang itu terbentuk kerana kebanyakan tanah di negeri Florida terletak di atas permukaan batu kapur menyebabkan ia mudah terbenam.
Rumah Bush itu kemudian diruntuhkan oleh pihak berkuasa bagi memantau perkembangan lubang tersebut.
Anggota-anggota pihak berkuasa turut meletakkan batu-batu di dalam lubang tersebut. - Agensi

IMAN DAN AKIDAH MEREKA SUDAH HILANG

Pengganas tanam senjata sebelum lari

Lahad Datu: Kumpulan pengganas dipercayai menanam senjata api milik mereka sebelum melarikan diri apabila kedudukan mereka di Kampung Tanduo digempur habis-habisan pasukan keselamatan kelmarin.
Anggota tentera dan polis yang melakukan operasi mencari dan menggeledah di sekitar kampung terbabit, yakin menemui semua senjata milik pengganas itu.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, pasukan keselamatan kini sedang menggeledah ke untuk mencari senjata yang kemungkinan ditanam pengganas.

“Selepas memasuki kampung, kami menemui satu kawah besar mengandungi sembilan mayat.
FotoKETUA Polis Negara Tan Sri Ismail Omar bersama Zulkifeli pada sidang media, semalam.

“Kami yakin mereka menanam senjata sebelum beredar dari lokasi ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam

Barua serangan diberkas

Semporna: Polis menahan empat lelaki di Kampung Airport, di sini, semalam yang dipercayai menjadi tali barut pengganas dari Sulu, Filipina, termasuk seorang daripada mereka disyaki terbabit secara langsung dengan kejadian serang hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul, yang mengorbankan enam anggota pasukan keselamatan, petang Sabtu lalu.
Empat lelaki keturunan Sulu berusia antara 20-an dan 50-an itu ditahan dalam operasi khas oleh sekumpulan anggota polis daripada Bahagian Jenayah Berat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, bermula jam 12 tengah hari semalam.
Jurucakap pasukan itu berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai aktiviti mencurigakan di dua rumah di kampung berkenaan yang lokasinya berhampiran Kem Tentera Darat, Seri Wangsa.

“Kami mula melakukan siasatan dan risikan terhadap penghuni dua rumah itu sejak Ahad lalu iaitu selepas kejadian tembak menembak di Kampung Sri Jaya. “Sebelum menyerbu rumah terbabit, polis terlebih dulu menahan seorang lelaki berusia 25 tahun ketika dia keluar dari kawasan belukar berhampiran rumah disasarkan dan pemeriksaan mendapati dia turut memiliki syabu.
FotoANGGOTA polis dari Bahagian Jenayah Berat IPK Sabah membawa dua suspek yang ditahan, semalam.

“Pada mulanya, kami menyangka dia mungkin sekadar penagih atau pengedar dadah, namun selepas siasatan lanjut didapati berkemungkinan besar lelaki itu ada kaitan dengan kejadian serang hendap di Kampung Sri Jaya yang mengorbankan enam nyawa pegawai dan anggota polis kita,” katanya ketika ditemui selepas melakukan operasi.

Bantuan sudah tiba

Oleh Yusri Abd Malek, Mohd Razlan Salleh dan Muhaamad Hafiz Nawawi
Lahad Datu: Bantuan makanan untuk penduduk Kampung Tanduo, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Sungai Merah yang dipindahkan ke Dewan Embara Budi, Felda Sahabat di sini, tiba semalam, melegakan kira-kira 600 penduduk yang berlindung di dewan berkenaan sejak Jumaat lalu.
Sebelum ini, mereka menggesa pihak berkuasa membekalkan pakaian dan bahan makanan yang mencukupi kepada mereka berikutan berpindah ke dewan berkenaan dalam tergesa-gesa tanpa sempat membawa pakaian dan makanan.
Seorang penduduk, Alimuddin Kadir, 35, berkata sejak tinggal di dewan itu, dia dan isteri serta empat anaknya terpaksa berkongsi makanan kerana setiap keluarga hanya dibekalkan dua bungkus makanan.

Katanya, bekalan air minum juga sangat terhad sehingga memaksa mereka berkongsi untuk mengelakkan kehabisan bekalan air.
FotoKANAK- kanak dari Kampung Tanjung Labian serta Tanjung Batu berlindung di Dewan Embara Budi.

“Jumlah makanan yang dibekalkan kurang daripada yang diperlukan dan pada masa ini kami dibekalkan hanya dua bungkus.

Risau nasib keluarga

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Kuala Lumpur: “Sejak insiden pencerobohan di Lahad Datu, Jumaat lalu tercetus, saya runsing memikirkan keadaan keluarga di sana.
“Setiap hari saya menghubungi mereka untuk tahu keadaan semasa. Syukurlah semua adik-beradik dilaporkan selamat,” kata pelakon popular, Nur Hawa Zainal Abidin, 22 atau Wawa Zainal.
Itu nafas lega dilahirkan Wawa selepas mengetahui seluruh anggota keluarganya di Lahad Datu selamat sejak kemasukan kumpulan pengganas di daerah itu yang mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu, Jumaat lalu.

Wawa yang berasal dari Kampung Muhibbah iaitu kira-kira 30 minit dari Kampung Tanduo yang menjadi sasaran utama pengganas berkata, dia terkejut dengan kehadiran kumpulan pengganas yang memasuki daerah terbabit tambahan pula Kampung Tanduo berhampiran tempat kelahirannya.
FotoWawa Zainal

“Selepas mendapat tahu pencerobohan itu di media, saya menghubungi keluarga di sana (Lahad Datu), bimbang sesuatu yang buruk berlaku.

Pakatan samun penumpang

Oleh Zaitie Satibi
Petaling Jaya: Seorang lelaki menyamar sebagai pemandu teksi dan berpakat dengan dua rakannya untuk menjalankan kegiatan jenayah dengan menjadikan penumpang sebagai mangsa samun sebelum meninggalkan mereka di tepi jalan di sekitar daerah ini sejak awal bulan ini.
Bagaimanapun, kegiatan tiga sahabat itu tumpas apabila teksi dua daripadanya ditahan dalam pemeriksaan ‘Berhenti dan Periksa’ oleh anggota Balai Polis Kota Damansara sebelum menemui pelbagai barangan curi dipercayai milik mangsa, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima 15 hingga 20 kes berkaitan pemandu teksi menyamun penumpang sejak awal tahun ini sebelum pihaknya mengesan penjenayah terbabit melalui kaedah ‘Berhenti dan Periksa’.

“Siasatan awal mendapati, pemandu teksi itu menyewa kenderaan berkenaan daripada rakannya dan menggunakannya pada sebelah malam.
FotoARJUNAIDI menunjukkan barang ditemui dalam teksi dipercayai digunakan untuk menyamun penumpang.

“Namun, pemandu teksi ini hanya berpura-pura sebelum dia berpakat dengan dua lagi rakan termasuk seorang anggota polis yang tidak hadir bertugas untuk melakukan kegiatan samun penumpang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, semalam.

Suami ‘hilang’ di ibu kota

Oleh Hamid Karim
Shah Alam: Ada pelacur yang mahu pulang ke pangkal jalan, tetapi tidak tahu kepada siapa mahu mengadu. Ada keluarga merempat bawah jambatan bersama anak kecil, ada pula yang mahu mengundi, tapi kehilangan kad pengenalan. Desakan hidup menyebabkan golongan ini mesti dibantu.
Itu antara 1001 rencah hidup gelandangan yang direkodkan Pertubuhan Bantuan Malaysia Bersatu Selangor (PBMBS) dalam usaha badan bukan kerajaan (NGO) itu turun padang dan membantu golongan berkenaan, terutama di Klang, Banting, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Dalam banyak kes dikesan, PBMBS berdepan satu kes menyedihkan apabila seorang isteri yang mengandung tujuh bulan dan berasal dari Kelantan ditemui merayau-rayau sekitar sebuah masjid di Kuala Lumpur dalam misi mencari suaminya yang menghilangkan diri dipercayai berada di ibu negara.
Mendedahkan perkara itu, Presiden PBMBS Datin M Mageswary berkata, isteri berusia 27 tahun itu ditemuinya dua kali sejak beberapa hari lalu dalam keadaan keletihan kerana menyusur jalan di Kuala Lumpur mencari suami kesayangannya.

“Ini adalah antara rencah kehidupan golongan yang memerlukan pertolongan. Kami cuba membantu wanita itu, tetapi dia keberatan kerana mahu mencari suaminya sehingga dapat walaupun dalam keadaannya yang berbadan dua. “Begitu juga beberapa kes lain yang unik, misalnya membabitkan pelacur. Dia mendakwa ditinggalkan suami dan sudah mempunyai anak yang ditinggalkan di kampung.

“Mereka amat memerlukan bantuan terutama dari segi pekerjaan dan tempat tinggal, tetapi kami sebagai NGO tidak mampu membantu semua kerana dihalang ketiadaan dana mencukupi. Golongan ini membabitkan 65 peratus Melayu dan 30 peratus India,” katanya.
FotoPEGAWAI PBMBS mengambil keterangan wanita terbabit pelacuran yang mahu pulang ke pangkal jalan di Klang.
Mageswary memberitahu Harian Metro, sebelum ini pihaknya melakukan kerja amal serupa di beberapa bandar lain seperti Pelabuhan Klang.

Menurutnya, dalam kerja amal itu pihaknya menemui golongan gelandangan yang layak mengundi, tetapi tidak pernah melaksanakan tanggungjawab mereka kerana terlalu dihimpit desakan hidup.
“Mereka tinggal di bawah jambatan melakukan kerja seperti mencuci kereta selama bertahun-tahun. Mereka tiada rumah dan lebih menyedihkan pengaruh persekitaran yang tidak sihat menyebabkan ada antara mereka terbabit kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pihak yang lebih berkemampuan membantu golongan terbabit dengan segera kerana dibimbangi jumlah mereka meningkat, sekali gus mencetuskan gejala sosial luar biasa di beberapa bandar sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, sehingga kini PBMBS sudah kehabisan dana untuk membantu golongan itu kerana terbabit beberapa kerja amal menyediakan makanan dan perlindungan sewajarnya sebelum ini.

“Kalau boleh kami mohon agensi atau pihak yang lebih mampu berhubung dengan PBMBS menerusi talian 03-33418021 atau e-mel di alamat mages_pbmbs@ yahoo.com. Kita mesti membantu golongan itu kerana sebahagian besar mereka mahu kembali ke dalam masyarakat,” katanya.

Tatu biji mata

London: Kira-kira 80 peratus daripada badannya dipenuhi tatu dan dianggap orang paling banyak bertatu di Britain.
Bagaimanapun, keunikan itu tidak menguntungkan Mathew Whelan apabila dia terpaksa bergelut mencari pekerjaan.

Kata Whelan, 33, keadaan tubuhnya menyukarkan dia diterima mana-mana majikan. Untuk mendapat tatu sebanyak itu, Whelan menghabiskan masa 300 jam di kerusi tukang tatu selain membelanjakan lebih RM100,000 mendapatkan rekaan diingini.
Kata Whelan, ketika ini dia menjadi sukarelawan di pejabat Ahli Parlimen Parti Demokrat Liberal di Yardley, Birmingham.

Dia juga menukar namanya menjadi King Body Art The Extreme Ink-ite, atau lebih mudah disebut, King Of Inkland.

Whelan berkata, mengubah suai tubuh kini menjadi budaya dan diterima sebagai cara hidup yang istimewa.
FotoGAMBAR terbaru Whelan (kiri) dan gambar sebelumnya.
“Ia diikuti hampir menyamai ketaatan beragama,” katanya. Whelan berkata, dia mahu mendidik orang ramai mengenai keyakinannya kepada tatu. Menurut Whelan, pengetahuannya yang mendalam mengenai sejarah tatu membolehkan dia dihormati ramai. “Tatu adalah seni dan budaya.

“Apabila ada kanak-kanak merenung saya, saya menegur serta menjelaskan sejarah tatu,” katanya. Mengenai sejarah tatu di badannya, Whelan berkata, dia berniat menghias tubuhnya sejak berusia sembilan tahun.
Ketika itu, katanya, dia ternampak tatu pada badan bapa dan bapa saudaranya. “Tatu pertama saya ialah seekor anjing Bulldog yang dibuat ketika berusia 16 tahun,” katanya. Selain anjing, imej lain yang menghias badan Whelan ialah ular, kala jengking, biji mata dan pontianak. Membuktikan kecintaannya kepada Seni itu, Whelan turut mentatu satu daripada biji matanya. - Daily Mail

Tuesday, March 5, 2013

MATI TETAP MATI...MATI PELBAGAI CARA....BIARLAH KITA MATI DALAM AKIDAH YANG BENAR...DAN IBADAH YANG SAH.....KALAU TIDAK SIA2 SAJA

pix_topright

Gempur pengganas

Oleh Mohd Razlan Salleh dan Muhaamad Hafis Nawawi
LAHAD DATU: Empat kilometer persegi di Kampung Tanduo, dekat sini, diisytiharkan sebagai zon pertempuran selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggempur pengganas di kawasan itu, kira-kira 7 awal pagi ini.
Sementara itu, 10 kilometer persegi pula berada dalam kawalan pasukan keselamatan dan laluan masuk ke kampung terbabit turut ditutup bagi menjamin keselamatan orang awam.
Serangan yang dilancarkan itu dipercayai menggunakan dua jet pejuang F18 dan empat jet Hawk bagi menumpaskan pengganas yang sudah berkampung di kawasan berkenaan sejak 12 Februari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, serangan itu dilancarkan selepas pengganas enggan menyerah diri walaupun diberi peluang berbuat demikian sebelum ini.

"Pengganas tidak mahu menyerah diri seperti yang kita minta menyebabkan tindakan terpaksa diambil untuk menjaga keselamatan negara terutama keamanan di Sabah.

"Kawasan operasi serangan juga tertumpu di empat kilometer persegi Kampung Tanduo sementara 10 kilometer persegi berada dalam kawalan pasukan keselamatan," katanya kepada pemberita pada sidang media Ops Sulu, hari ini.

Ismail berkata, sebelum serangan itu, pihaknya sudah melakukan pemeriksaan dan penggeledahan di semua rumah penduduk sebelum serangan dilakukan bagi memastikan tiada orang awam ketika serangan.

"Ketika serangan itu, kita juga mendapat tentangan daripada pengganas yang melepaskan tembakan. Sehingga ini, kita tidak dapat sahkan jumlah kematian dan yang tercedera di pihak musuh," katanya.

Beliau berkata, dalam serangan itu pasukan keselamatan juga tiada yang kehilangan nyawa dan serangan ke atas pengganas masih berterusan.

Kronologi

7.00 pagi: Jet pejuang mula menggempur Kampung Tanduo dengan menggunakan sekurang-kurangnya empat bom dari udara.

7.30 pagi: Dua helikopter Nuri kelihatan menuju ke arah Felda Sahabat 17.

9.00 pagi: Polis melakukan sekatan jalan raya di semua laluan masuk dalam lingkungan kira-kira 30 kilometer dari Kampung Tanduo.

9.15 pagi: Beberapa ambulans dari Hospital Lahad Datu dilihat menuju ke arah Felda Sahabat 17

Musuh tumpas

Semporna: Kira-kira 30 penduduk Kampung Simunul semalam mengambil inisiatif mengangkat tiga mayat penceroboh dari kampung itu untuk diserahkan kepada pihak berkuasa.
Ketua kampung, Ramli Saraman berkata tindakan mengangkat mayat itu dilakukan bagi mengelak bau busuk berterusan yang terpaksa dihadapi penduduk sejak kelmarin.
Sabtu lepas, enam anggota pasukan keselamatan negara terkorban dalam insiden berbalas tembakan yang turut mengorbankan tiga penceroboh.

Dalam pada itu, Ramli turut menasihati penduduk di situ agar tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab kerana ia dapat mengeruhkan keadaan.
Foto

“Saya diberitahu penduduk, mereka mengatakan pihak penceroboh akan membalas dendam dengan membakar kampung ini (Kampung Simunul) jadi saya beritahu mereka jangan cepat percaya berita sebegitu, kerana saya sentiasa berhubung dengan pihak polis,” katanya.

Penduduk cabut lari

Oleh Yusri Abd Malek, Mohd Razlan Salleh, Shamran Sarahan, Alias Rani, Mohd Firdaus Ibrahim, Raja Noraina Raja Rahim, Junaidi Ladjana, Nurhidayatidayu Razali, Muhamaad Hafis Nawawi, Asmah Rusman, Ekhwan Haque Fazlul Haque, Rabi’Atul ‘Adawiyah Ismail, Siti Naimah Mohamed Fardy Bungga dan Rizanizam Abd Hamid
Lahad Datu: “Kamu pergi buat laporan polis kerana saya mahu berunding dengan polis,” kata seorang lelaki yang mengetuai sekumpulan 100 penceroboh dari Sulu, Filipina yang masuk ke rumah beberapa Kampung Tanjung Batu, dekat sini, semalam.
Ludokus Laku, 33, berkata, lelaki berusia pertengahan umur itu memperkenalkan dirinya sebagai Haji Musa masuk ke rumahnya ketika dia bersama ayah dan dua rakan menikmati sarapan, jam 8 pagi.
Menurutnya, lelaki itu bersama tiga pengikutnya masuk dalam rumahnya melalui pintu belakang dan mengarahkan dia serta tiga yang lain berdiam diri.

“Lelaki itu yang memakai kopiah putih dan berselepang serta bersenjata kemudian bersalam dengan kami dan memperkenalkan diri sebagai Haji Musa. “Dia menyuruh saya membuat laporan polis mengenai kehadirannya di kampung kami dan memberitahu ingin mengadakan rundingan dengan polis,” katanya.
FotoSEBAHAGIAN penduduk Kampung Tanjung Labian dan Tanjung Batu menyelamatkan diri ke jalan utama selepas kumpulan penceroboh memasuki kampung terbabit dan menawan beberapa rumah.

Ludokus berkata, selepas lelaki itu berkata demikian, dia terus keluar daripada rumah dan menyedari pergerakannya tidak dihalang dia berlari ke jalan utama masuk ke kampung itu.

Suami syahid

Tawau: Meninggal dunia ketika bertempur di medan perang sememangnya menjadi impian Koperal Salam Togiran, 42, seorang daripada enam anggota polis yang terkorban dalam insiden serangan hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabtu lalu.
“Malah, arwah sering membayangkan untuk mati syahid setiap kali kami menonton televisyen yang menayangkan insiden peperangan terutama di Palestin.
"Sejurus tiba di Semporna, arwah menelefon dan antara kata terakhirnya meminta saya mendoakannya. Jadi, saya bangga suami saya mati syahid sebagai pejuang negara," kata balunya, Marlina Utan, 38.

Marlina yang ditemui di rumahnya di Bandar Sri Indah, Batu 10, Jalan Apas, di sini, semalam, berkata selepas dua komando polis maut dalam kejadian di Kampung Tanduo, Lahad Datu, pada 1 Mac lalu, arwah suaminya menyatakan hasrat untuk mati seperti mereka.
FotoMarlinah (kiri) ditenangkan oleh keluarganya di kediamannya Bandar Seri Indah Tawau.

“Kata-katanya itu membuatkan kami bertengkar kecil dan anak-anak juga menegur ayah mereka supaya tidak berkata sedemikian.

2 mati ngeri

Oleh Iskandar Shah Mohamed
Melaka: Dua individu termasuk seorang wanita yang juga pekerja kedai makan terbunuh apabila motosikal dinaiki mereka terbabit dalam dua kemalangan ngeri berasingan malam kelmarin dan semalam.
Difahamkan, dalam kejadian pertama jam 10.10 malam kelmarin, motosikal Honda EX5 ditunggang Mohd Nizam Hassan, 31, merempuh belakang sebuah kereta dan ‘melekat’ pada cermin kenderaan itu di Persimpangan Bukit Katil, di sini.
Sumber berkata, siasatan mendapati kereta Hyundai Matrix dipandu lelaki berusia 45 tahun itu berhenti di laluan kanan persimpangan lampu isyarat berikutan lampu merah.

“Pada waktu itu, tiada kenderaan lain berada di lokasi kejadian sebelum lelaki terbabit menyedari keretanya dirempuh sebuah motosikal dari belakang hingga penunggangnya melekat pada cermin.
FotoMAYAT mangsa nahas terbaring atas jalan di Jalan Tun Kudu, Bukit Katil.

“Terkejut dengan keadaan itu, lelaki yang dipercayai turut bersama isteri dan dua anaknya memandu keretanya sedikit ke depan sebelum mangsa terjatuh ke jalan dan terbaring tidak sedarkan diri,” katanya.

Gagal seludup tembakau

Oleh Norul Awatif Romli
Pelabuhan Klang: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor mematahkan cubaan menyeludup tembakau kunyah seberat 10,200 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM408,000 di Persiaran Bandar Sultan Sulaiman, di sini, Sabtu lalu.
Dalam serbuan jam 11 pagi itu, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan KDRM Selangor yang melakukan rondaan terserempak sebuah lori 10 tan dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah KDRM negeri Datuk Azis Yaacub berkata, hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan sarat dengan tembakau kunyah berjenama Golden Khaini keluar melalui pintu utama Zon Bebas tanpa menyerahkan sebarang dokumen.
Katanya, hasil soal siasat terhadap pemandu berusia 55 tahun itu mendapati lori berkenaan digunakan untuk memindahkan barang yang belum diluluskan cukai oleh kastam dari kawasan gudang di Zon Bebas Pelabuhan Utara.

“Pihak berkuasa mengekori lori berkenaan berhampiran Lebuhraya Selat Klang, di sini, sebelum mengarahkan pemandu berhenti bagi melakukan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa tembakau kunyah dengan nilai cukai RM624,240,” katanya pada sidang media di Pejabat KDRM Pelabuhan Utara, di sini, semalam.
FotoTEMBAKAU kunyah yang dirampas kastam.
Azis berkata, pihaknya menahan pemandu terbabit bagi membantu siasatan manakala barang yang dirampas dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan Selangor untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati tembakau berkenaan diseludup dari India dan dibawa ke Malaysia untuk dipasarkan ke seluruh pasaran tempatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barangan belum lulus kastam dengan niat menipu kerajaan terhadap apa-apa duti ke atasnya.

“Jika disabitkan kesalahan pesalah boleh dihukum denda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barang rampasan dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan itu atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Kecewa dengan skuad Densus 88

Jakarta: Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia, Marzuki Alie menyatakan kekecewaannya apabila rakaman video kekejaman skuad elit antipengganas terhadap suspek, semalam.
Mendesak supaya polis menjalankan siasatan secara telus, Marzuki berkata, apa yang berlaku itu menyalahi prosedur yang ditetapkan dan mesti dihentikan.

“Jika skuad itu tidak mengkaji semula tindakan mereka yang memperlekehkan Islam, kita bimbang akan timbul persepsi bahawa mereka sebenarnya memusuhi Islam,” katanya.
Baru-baru ini, satu klip video memaparkan anggota skuad Densus 88 menyoal siasat suspek tersebar secara meluas.

Densus 88 (nama asalnya ialah Detasemen Khusus 88) adalah unit elit polis Indonesia bagi menangani isu pengganas di negara itu.

Dianggarkan skuad itu dianggotai kira-kira 400 orang yang mempunyai kemahiran tersendiri, termasuk penembak tepat.
FotoANGGOTA Densus 88 menjalani latihan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Majlis Perwakilan Rakyat, Hajriyanto Y Tohari berkata, anggota Densus 88 melakukan pelanggaran hak asasi manusia serius dan perlu dihukum sewajarnya.

“Densus 88 perlu faham, negara ini didirikan dengan tujuan utamanya untuk melindungi setiap rakyat daripada sebarang penindasan dan memberikan keamanan kepada mereka,” katanya. - republika.co.id

Ligan trak lepas nahas

Mumbai: Seorang wanita lasak yang dilanggar sebuah trak ketika dia menunggang skuter mengejutkan orang ramai apabila dia bangun semula dan mengejar pemandu trak berkenaan.
Rakaman video pengawasan menunjukkan wanita itu dilanggar pemandu terbabit yang tidak menyedari wanita itu ada di depan trak berkenaan di satu simpang yang sibuk. Video itu merakam wanita berkenaan membelok ke lorong bersebelahan di depan sebuah kenderaan yang besar di Nagpur, sebuah bandar di negeri Maharashtra, kira-kira 525 batu dari Mumbai.

Pemandu trak tidak memperlahankan kenderaannya apabila wanita itu dan skuternya terperangkap di bawah tayar hadapan kiri trak.
Pemandu itu terus memandu menyeret wanita berkenaan dan skuternya sambil melintasi jalan yang sibuk. Mangsa yang hanya berpakaian sari dan topi keledar bernasib baik kerana skuternya melindunginya daripada digilis trak itu. Apa yang cukup mengejutkan ialah wanita itu bangun dan terus mengejar trak terbabit yang masih menyeret skuter miliknya.

Video menunjukkan seorang lelaki mengekori wanita itu, mungkin cuba untuk membantu atau memaki hamun pemandu trak berkenaan.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, India mencatat lebih 130,000 kematian akibat kemalangan jalan raya setiap tahun.
Menurut rekod, 14 kematian akibat kemalangan jalan raya berlaku setiap jam di negara itu, kadar paling tinggi di dunia. Kebanyakan kemalangan jalan raya di India membabitkan pemanduan secara laju, memandu dalam keadaan mabuk dan pemakaian topi keledar secara tidak betul, tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak memasang kerusi bayi dalam kenderaan.

Trak dan kenderaan dua roda menyumbang kepada lebih 40 peratus kematian. - Agensi

Bapa mati dakap anak

Tokyo: Seorang bapa mati beku sambil mendakap anak perempuannya berusia sembilan tahun yang terselamat daripada ribut salji semalam.
Mikio Okada mati ketika cuba melindungi anaknya, Natsune daripada angin kencang selaju 109 kilometer sejam dalam keadaan suhu jatuh ke paras enam selsius di bawah paras beku.

Okada adalah antara sembilan orang yang terbunuh dalam kejadian berkait dengan ribut salji di Pulau Hokkaido semalam.
Mayatnya ditemui pasukan penyelamat dalam keadaan dia memeluk anaknya yang dibalut dengan jaketnya. Lelaki itu dikatakan berjalan kaki untuk pulang ke rumah selepas traknya rosak. Mereka ditemui kira-kira 300 meter dari trak berkenaan.

Menurut penyelamat, Nasune yang dalam keadaan lemah, menangis dalam dakapan bapanya.

Kanak-kanak itu dibawa ke hospital dan didapati tidak mengalami sebarang kecederaan. - AFP

Jual mayat jadi pengantin

Beijing: Empat orang dipenjara kerana menggali mayat untuk dijual sebagai pengantin dalam ‘perkahwinan hantu,’ majlis yang menyaksikan lelaki bujang yang sudah mati dikebumikan bersama seorang ‘isteri.’
Perkahwinan adalah bahagian penting dalam masyarakat China. Meskipun amalan seumpama itu kini semakin jarang, ia masih dilakukan beberapa keluarga yang anak lelaki mereka mati muda sebelum sempat berkahwin.

Biasanya, persetujuan dicapai antara keluarga si mati. Bagaimanapun, akhbar Xian Evening News berkata, kumpulan itu mencuri mayat wanita dan membersihkan mereka sebelum menjual dengan harga tinggi.
Sebuah mahkamah di utara Shaanxi menjatuhkan hukuman penjara antara 28 hingga 32 bulan.

Menurut hakim, pencuri terbabit mengambil kesempatan terhadap amalan yang sudah lapuk, tetapi masih diamalkan sebahagian penduduk Shaanxi dan Shanxi. - AFP

Bayi HIV berjaya diubati

Washington: Penyelidik buat kali pertama berjaya menyembuhkan seorang bayi yang dilahirkan dengan HIV.
Ia disifatkan perkembangan yang dapat membantu memperbaiki rawatan bayi yang dijangkiti wabak itu ketika dilahirkan.

Bayi itu mula dirawat 30 jam selepas dilahirkan.
Bagaimanapun, virus itu tidak dapat dibasmikan sepenuhnya. Namun, kehadirannya dikurangkan ke tahap terendah yang boleh dikawal tubuh tanpa memerlukan rawatan ubat standard.

Pesakit Aids sebelum ini yang sembuh sepenuhnya ialah warga Amerika Syarikat Timothy Brown yang digelar ‘Pesakit Berlin,’ yang selepas menjalani pembedahan pemindahan sum-sum tulang. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/05

Sunday, March 3, 2013

PATUT PILIH YANG SOLEHA....BAB PENGECUT INI RAMAI....SALAH SATUNYA BERANI DAN RIUH DITEMPAT SENDIRI AJE...AJAK BERDEBAT SENYAP AJE

5 terkorban serang hendap di Semporna

Oleh Mohd Razlan Salleh dan Muhaamad Hafis Nawawi
LAHAD DATU: Lima anggota polis terkorban selepas diserang hendap beberapa penjenayah bersenjata api di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, polis yang menerima maklumat terdapat beberapa individu bersenjata di perkampungan atas air berkenaan bergegas ke tempat kejadian.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, satu pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna yang tiba ke tempat kejadian tiba-tiba diserang sekumpulan penjenayah yang melepaskan tembakan.

Menurutnya, bagaimanapun dalam serangan terbabit lima orang terdiri pegawai dan anggota polis terkorban. Dua penjenayah yang menyerang polis turut terbunuh.

"Kita juga sudah menghantar pasukan tambahan ke Semporna bagi meningkatkan keselamatan di sana.

"Sementara itu, pada 10 malam tadi kita mengesan 10 orang telah menceroboh Kampung Lormalong dan Kampung Dasar Lama di Kunak, dekat sini. Kita percaya mereka ini adalah orang luar dan bukan rakyat negara ini," katanya pada sidang media Ops Sulu di Felda Sahabat 16, di sini, hari ini.

Ismail berkata, tiga daripada penceroboh terbabit dipercayai bersenjata dan pihaknya kini sedang berusaha mengesan kumpulan itu.

"Setakat ini hanya tiga kawasan terbabit dan daerah lain tiada apa yang berlaku.

"Kita juga sedang menyiasat sama ada ketiga-tiga kejadian ini mempunyai kaitan dengan pencerobohan di Kampung Tanduo," katanya.

[Terkini] Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Senior Asisten Komisioner Hasanuddin Hassan mengesahkan Superintendan Ibrahim Lebar, 52, terbunuh dalam serangan di Semporna.

Musuh guna taktik pengecut

Oleh EKHWAN HAQUE FAZLUL HAQUE DAN NA’IMAH MOHAMED
SUBANG: “Mereka mengibarkan bendera putih sebagai tanda menyerah diri sebelum menembak anggota pasukan keselamatan kita. Itu taktik pengecut!,” demikian tegas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai tindakan kumpulan penceroboh yang mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu yang menembak mati dua anggota komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mencederakan tiga yang lain.
Itu adalah laporan diterima Najib dan disahkan oleh anggota pasukan komando PDRM yang diperangkap kumpulan penceroboh berkenaan dalam kejadian tembakan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, pagi kelmarin.
“Pasukan keselamatan kita terperangkap kerana tidak menyangka apabila melihat bendera putih, tiba-tiba tembakan dilepaskan. Ini satu perangkap dan jika taktik itu digunakan, ini bermakna mereka pengecut.

“Tindakan itu menyebabkan dua anggota komando terkorban,” katanya dalam sidang media di Pangkalan Udara Subang, di sini, semalam.
FotoNAJIB, isteri dan ahli keluarga terdekat menyambut ketibaan jenazah dua komando yang terkorban.

Beliau berkata, Malaysia bertegas dalam menangani isu ini kerana apa dilakukan kumpulan penceroboh adalah jenayah serius iaitu menceroboh negara dengan senjata dan membunuh dua serta mencederakan tiga lagi anggota pasukan keselamatan.

Masih cantik, masih bergetah

Oleh RUDY IMRAN SHAMSUDIN
Kuala Lumpur: “Saya selalu melihat Rozita bakal menjadi seperti ibunya. Walaupun sudah berusia, masih cantik dan bergetah,” kata pelakon kacak, Mohamad Zain Mohd Saidin, 29, atau lebih mesra disapa Zain Saidin mengenai faktor penarik yang ada pada aktres jelita, Rozita Che Wan, 42, hingga memilih wanita berstatus janda itu sebagai teman hidupnya.
Bagi Zain, jarak usia 13 tahun di antara mereka tidak menjadi masalah kerana Rozita atau Che Ta memiliki ciri-ciri wanita idamannya untuk dijadikan isteri.
Mengakui pernah bercinta dengan wanita lain tetapi tidak bertahan lama kecuali sepanjang bersama Rozita, Zain berkata, ada beberapa perkara dilakukan Che Ta membuatkan hubungan mereka kekal.

“Mungkin apa dilakukan Rozita pada saya nampak kecil, tapi bagi saya ia sungguh besar dan meyakinkan. Pertamanya, setiap kali bertemu, dia membuatkan saya rasa selesa.
FotoRozita Che Wan

“Sebagai wanita dia sungguh lengkap, sama ada fizikal mahupun dalaman. Rozita sangat penyabar dan penyayang. Malah, pengalamannya pernah berkahwin sebelum ini menjadikan dia matang dan dapat digunakan untuk membimbing saya.

17 rosak dipukul ribut

Oleh NORDIANA SHAFIEE
Jitra: “Saya bergegas pulang sejurus mengetahui rumah saya dipukul ribut, apatah lagi bimbang memikirkan keadaan bapa mentua yang uzur dan tinggal sendirian.”
Begitu kata suri rumah, Mashitah Ahmad, 31, apabila rumahnya antara 17 kediaman yang mengalami kerosakan bumbung akibat ribut di Kampung Pida 3, Ayer Hitam, di sini, jam 5 petang kelmarin.
Mashitah berkata, sebelum kejadian dia bersama tiga anaknya menghadiri majlis bacaan Yasin di rumah seorang penduduk kampung pada jam 3 petang, dan dimaklumkan sepupunya mengenai kejadian itu.

Katanya, sebaik mendengar berita buruk itu, dia segera balik dan mendapati bumbung bahagian dapur dan bilik bapa mentuanya, Md Saad Mahmud, 70, diterbangkan angin kencang.
FotoSEORANG penduduk melihat kerosakan bumbung rumahnya.

“Saya terkejut melihat keadaan rumah ketika itu lalu terus ke bilik untuk mendapatkan bapa mentua kerana risaukan keadaannya.

Keasyikan diulit GRO terbantut

Cheras: Keasyikan pelanggan diulit pelayan pelanggan (GRO) warga asing di sebuah pusat hiburan di sini, terbantut apabila premis itu diserbu polis dalam Ops Noda, awal pagi semalam.
Sepasukan anggota polis dari Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menyerbu premis itu jam 1 pagi selepas mendapat maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohan Singh berkata, serbuan dilakukan 10 anggota bersama dua pegawai diketuai Inspektor Zaili Zakaria.
“Kami menahan seorang lelaki dipercayai penjaga kelab itu selain lapan wanita warga China serta lima wanita warga Thailand. Ini serbuan ketiga sejak pusat hiburan itu beroperasi.

“Sebelum ini kami turut mengadakan operasi di kawasan ini tapi di kelab lain dan semua mereka ditahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959 dan Peraturan 11(7) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Semua mereka dibawa ke IPD Cheras untuk siasatan lanjut.
FotoANTARA GRO yang ditahan dalam operasi.
Menurutnya, polis masih mengumpul maklumat daripada semua yang ditahan selain mengalu-alukan maklumat orang ramai bagi membolehkan pihaknya mengekang kegiatan jenayah serta membanteras pusat hiburan yang sering melanggar syarat ditetapkan.

“Operasi seperti itu akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, Zaili yang ditemui ketika serbuan berkata, operasi dilakukan bagi memastikan pusat hiburan mematuhi syarat lesen dengan tidak membenarkan remaja bawah umur mengunjungi premis itu.

Sorok banduan dalam beg

Caracas: Pihak berkuasa penjara kini melarang semua pelawat daripada membawa beg pakaian ke premis itu selepas pengawal nyaris diperdaya melalui percubaan banduan melarikan diri, lapor media semalam.
Baru-baru ini, seorang pembunuh, Gavinson Garcia, masuk ke sebuah beg pakaian dibawa teman wanitanya, Susana Blanco, dalam cubaannya memboloskan diri dari Penjara Yare II.

Bagaimanapun, rancangan itu terbongkar apabila pengawal melihat Susana, 22, bersusah-payah menarik beg pakaian berkenaan ketika melepasi pintu penjara.
Apabila beg berkenaan diperiksa, pengawal penjara menemui Garcia yang cuma bersinglet dan berseluar pendek berkerekot di dalamnya.

Akhbar El Nuevo Herald melaporkan, Garcia meletakkan kepalanya di antara kedua-dua lututnya.

Sumber berkata, Susana dibayar kira-kira RM3,500 untuk membantu Garcia melarikan diri.
FotoPENGAWAL penjara menemui Garcia dalam sebuah beg pakaian hitam dibawa teman wanitanya ketika cuba memboliskan diri dari penjara.
“Kami percaya Garcia juga mungkin memberi wang kepada banduan lain untuk bersekongkol dengannya,” katanya.

Sumber itu berkata, Garcia mungkin tersilap kerana menyangka pihak berkuasa penjara hanya menjalankan pemeriksaan ke atasnya ketika dia masuk ke situ.
“Barangkali dia tak menjangkakan kami turut memeriksanya ketika dia cuba keluar dari sini,” katanya. Keadaan fizikal Garcia yang agak kecil dengan tinggi kira-kira 1.6 meter memudahkan dia dimuatkan di dalam beg berkenaan. - Daily Mail

Mayat terikat dalam belukar

Oleh WAN ASRUDI WAN HASAN
Ipoh: Seorang lelaki dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dicampakkan ke dalam belukar berhampiran padang permainan berhampiran Pos Slim, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, di sini, petang kelmarin.
Mayat dipercayai warga tempatan dan dianggarkan berusia antara 35 hingga 45 tahun itu ditemui penduduk Orang Asli yang tinggal di kawasan berkenaan jam 12 tengah hari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, polis menemui mayat terbabit dalam keadaan lengkap berpakaian dan tangan terikat di belakang.
“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tangan terikat di belakang dan mulut dililit dengan pita pelekat berwarna hitam.

“Mangsa memakai baju-T berkolar jalur putih, hitam dan ungu, berseluar pendek paras lutut serta memakai kasut putih jenama Nike.

“Ada juga kesan tatu berbentuk kumbang dan bunga di keliling pinggang mayat terbabit,” katanya.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul di sebelah kanan kepala berdasarkan kecederaan dialami.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.
“Jabatan Patologi menganggarkan mangsa meninggal dunia antara 12 hingga 36 jam,” katanya.

Dzuraidi berkata, hasil pemeriksaan pakar patologi turut menemui kecederaan di atas kepala dengan kesan lubang yang dalam dan lebar.

“Siasatan lanjut dijalankan dan buat masa ini identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti kerana tiada pengenalan diri ditemui.

“Hasil siasatan awal juga mendapati mangsa mungkin dibunuh di tempat lain sebelum dicampakkan ke kawasan itu berdasarkan keadaan tapak kasut mangsa yang masih bersih selain tiada kesan pergelutan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Sehubungan itu, orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian itu atau kehilangan anggota keluarga diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan

‘Air merah’ serang Labuan

Labuan: Fenomena air merah atau ‘Red Tide’ dikesan mula menyerang perairan Wilayah Persekutuan Labuan sejak kelmarin, kira-kira 600 meter dari Pulau Papan.
Tinjauan Jabatan Perikanan mendapati, fenomena itu mula menyerang perairan itu pada jam 11.40 pagi dan keluasan meliputi kira-kira tiga hingga empat hektar dan sedang hanyut menghampiri Pulau Papan.

Pengarah Jabatan Perikanan Labuan, Zainuddin Abd Wahab berkata, sampel sudah dihantar ke makmal perikanan Likas, Sabah. “Ujian makmal mendapati spesies Red Tide adalah dari jenis’ Pyrodinium bahamense var compressum’ dengan jumlah kepekatan amat tinggi dan ini dikenali sebagai ‘Ledakan Alga’,” katanya.

Berhenti universiti mahu jadi polis

Oleh ZAID SALIM
Besut: “Semangat arwah untuk menjadi anggota polis amat tinggi menyebabkan dia sanggup berhenti belajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) sebaik menerima tawaran kerja itu tetapi menyambung semula pengajiannya dalam jurusan komunikasi menerusi program Pengajian Jarak Jauh,” kata Ismail Ahmad, bapa angkat Inspektor Zulkifli Mamat, 29, yang terkorban dalam operasi pengusiran penceroboh di Lahad Datu, kelmarin.
Menurutnya, arwah baru saja tamat pengajiannya dalam bidang berkenaan yang diambilnya di universiti sama pada Januari lalu.

“Arwah memang berminat menjadi anggota polis dan walaupun sedih dengan pemergiannya, perasaan bangga tetap tersemat di hati saya apabila mengenangkan arwah meninggal dunia kerana mempertahankan negara tercinta,” katanya.
Ismail yang tinggal di Pengkalan Hulu, Perak, berkata dia mengenali Zulkifli sejak 2003 apabila terpilih menjadi keluarga angkat kepada arwah yang menyertai satu Program Khidmat Bakti Siswa UUM di kampungnya.

“Walaupun hanya seminggu tinggal bersama kami, tetapi sikapnya yang mudah mesra dan pandai melayan serta menghormati orang tua menjadikan hubungan kami berterusan hingga kini.

“Malah, saya dan keluarga menganggap arwah sebagai anak kandung kami dan hubungan baik ini bukan sahaja dengan arwah tetapi juga dengan keluarga dan saudara maranya termasuk isteri dan anak,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga arwah di Kampung Kubang Ikan, di sini, semalam.
Ismail tiba di kampung berkenaan dengan ditemani adiknya, Nur Fadzilah, 44, dan anak saudara, Nurul Yusaila Mohd Zin, 24, serta tiga lagi saudara maranya pada jam 4.30 pagi semalam.

Menurut Ismail, dia menerima berita kematian arwah daripada seorang lagi anak angkatnya yang menetap di Sabah.
“Selepas menerima panggilan telefon kira-kira jam 2 petang kelmarin, saya bersama adik dan anak saudara serta tiga lagi saudara bergegas ke rumah keluarga arwah di Besut dengan menaiki van untuk menziarah dan memberikan penghormatan terakhir kepadanya,” katanya.

Nurul Yusaila berkata, arwah yang dianggap sebagai abang kandung seorang yang periang dan mudah mesra.

“Kali terakhir arwah menghubungi saya pada 22 Februari lalu untuk memberikan ucapan selamat hari jadi kepada saya.

“Saya terkejut apabila mendapat panggilan telefon daripada ibu, Nur Fadzilah yang memberitahu arwah terkorban dalam satu operasi di Lahad Datu,” katanya yang menuntut dalam bidang pengurusan pembangunan di UUM.

Cuba lemas kekasih dengan payu dara

Unna (Jerman): Seoranq wanita dihadapkan ke mahkamah semalam atas tuduhan cuba menyebabkan teman lelakinya lemas dengan mengguna payu daranya.
Karin Hoffer dituduh mengepit muka teman lelakinya dengan payu daranya ketika mereka melakukan seks.

Mahkamah diberitahu, lelaki itu, Andreas Koller terpaksa bergelut untuk bernafas dalam kejadian berkenaan.

Pendakwa raya berkata, sebaik Koller berjaya melepaskan diri daripada dada Karin, wanita berusia 33 tahun itu cuba mencekiknya pula.

Hakim menangguhkan kes itu apabila peguam memberitahu mahkamah, tertuduh mengalami ‘trauma psikologi’ dan tidak berdaya menjalani perbicaraan.

“Saya sungguh mencintainya. Dia tidak memerlukan hukuman penjara. Yang diperlukan ialah terapi psikiatrik,” kata Koller. - The Sun

Kereta jadi barang mewah

Singapura: Ketika penduduk republik ini mengeluh dengan harga tinggi Sijil Pemilikan (COE) kereta, beberapa lagi masalah perlu mereka hadapi sebelum dapat memiliki kenderaan.
Pertama, Lembaga Kewangan Singapura (MAS) mengambil langkah mengehadkan pembiayaan untuk kenderaan bermotor.

Ini bermakna, untuk membeli sebuah kereta, mereka memerlukan bayaran pendahuluan 40 hingga 50 peratus, tidak termasuk cukai berkaitan dan COE.

Selain itu, tempoh pinjaman diubah kepada lima daripada 10 tahun. Ia membabitkan kereta baru dan terpakai, tetapi tidak motosikal dan kenderaan komersial.

Selain itu, pihak berkuasa Singapura juga akan mengenakan kadar cukai berperingkat untuk kereta penumpang berdasarkan nilai pasaran terbuka.

Langkah ini menjadikan pemilikan kereta semakin sukar bagi golongan sederhana di republik itu.

Dalam pada itu, Singapura juga akan melaksanakan denda terhadap kereta yang mengeluarkan asap pada tahap tertentu mulai Julai ini sementara sesetengah bank sudah mengumumkan kenaikan kadar faedah pinjaman.

Sebahagian besar penduduk negara itu menyuarakan rasa tidak puas hati dengan ramai berkata, tindakan terbaru itu hanya menjarakkan lagi jurang antara golongan kaya dengan miskin.

Penduduk yang enggan namanya disiarkan berkata: “Saya terfikir untuk membeli sebuah BMW3. tetapi, selepas pengumuman langkah itu, segala impian saya musnah.

“Saya perlu membayar wang pendahuluan S$200,000 (RM440,000) untuk pinjaman pinjaman 50 peratus. Sudah tiba masanya saya pindah ke luar negara.”

Wang pendahuluan yang tinggi juga akan mendorong orang ramai membeli kereta lebih kecil. Ini bermakna peningkatan jumlah kereta kecil di republik itu dan menjadikan kereta eksotik lebih eksotik.

Mereka yang pasti terjejas ialah pasangan muda, keluarga dan pegawai pemasaran yang memerlukan kenderaan untuk tugas masing-masin