Saturday, January 22, 2011

OLEH FATHI YAKAN

Apa Ertinya Saya Menganut Islam

Bab 1: Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akidah
Siri 1: Apa Ertinya Saya Menganut Islam karangan Ustaz Fathi Yakan.
Berpegang dengan akidah yang benar lagi murni adalah syarat pertama bagi seseorang mengaku dirinya beragama Islam dan menjadikan Islam sebagai cara hidupnya. Pegangan tersebut mestilah selari dengan apa yang terkandung di dalam Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w. Ia mestilah beriman dengan apa yang telah diimani oleh orang-orang Islam terdahulu yang terdiri dari angkatan Salafus-Saleh serta para Imam penyampai agama ini yang telah diakui kebaikan, kebaktian serta ketakwaan mereka. Mereka ini mempunyai kefahaman yang mendalam lagi bersih dalam urusan agama.

Bagi memastikan saya benar-benar Muslim dalam akidah maka saya mestilah beriman dengan perkara-perkara berikut:

Saya mestilah beriman bahawa pencipta alam ini adalah Allah, Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapapun. Buktinya jelas pada kejadian alam ini yang penuh dengan keindahan, kerapian dan keseimbangan, saling perlu memerlukan di antara juzuk dengan juzuk yang lain. Adalah mustahil semua kejadian ini akan kekal dan berterusan sekiranya tidak berada di bawah penjagaan Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha Kuasa. Firman Allah s.w.t:

لَوْ كَانَ فِيهِمَا ءَالِهَةٌ إِلَّا اللَّهُ لَفَسَدَتَا فَسُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ

Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.
(Surah Al-Anbiya' 21: Ayat 22)


Saya mestilah beriman bahawa Tuhan yang Maha Mulia tidaklah mencipta segala kejadian alam secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan. Kerana mustahil bagi Allah yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan itu mencipta sesuatu secara sia-sia. Adalah mustahil seseorang itu dapat memahami maksud tujuan Allah menjadikan sesuatu secara terperinci melainkan melalui penjelasan Rasulullah s.a.w dan wahyu dari Allah s.w.t sendiri. Firman Allah s.w.t:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ

Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia.
(Surah Al-Mu'minun 23: Ayat 115-116)


Saya mestilah beriman bahawasanya Allah s.w.t telah mengutuskan Rasul-rasul dan diturunkan untuk mereka kitab-kitab dengan tujuan mengajar manusia supaya mengenali Allah dan memahami matlamat kejadian mereka, mengetahui asal-usul mereka dan ke mana mereka akan kembali. Saya juga beriman bahawa Rasul terakhir dari kalangan Rasul-rasul yang mulia itu ialah Nabi Muhammad s.a.w yang Allah kurniakan kepadanya Al-Quran Al-Karim sebagai satu mukjizat yang berkekalan. Firman Allah s.w.t:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اُعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ


Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayat petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.
(Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)


Saya mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan insan ialah mengenali Allah 'Azzawajalla seperti mana yang Allah s.w.t sendiri menjelaskannya, memberi penuh ketaatan kepadaNya dan mengabdikan diri kepadaNya. Firman Allah s.w.t:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ مَا أُرِيدُ مِنْهُمْ مِنْ رِزْقٍ وَمَا أُرِيدُ أَنْ يُطْعِمُونِ إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.
(Surah Al-Zariyat 51: Ayat 56-58)



Saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang taat kepada Allah ialah syurga. Manakala balasan ke atas orang kafir lagi derhaka ialah api neraka. Allah menjelaskan:

فَرِيقٌ فِي الْجَنَّةِ وَفَرِيقٌ فِي السَّعِيرِ
"....sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk Neraka."
(Surah Al-Syura 42: Ayat 7)


Saya mestilah beriman bahawa sekalian manusia melakukan kebaikan dan kejahatan dengan pilihan dan kehendak mereka sendiri. Namun demikian kebaikan yang dilakukan itu tidaklah berlaku, melainkan dengan taufik dan 'inayah dari Allah. Manakala amalan jahat pula tidaklah merupakan paksaan dari Allah tetapi ianya termasuk dalam batasan keizinan dan kehendakNya. Firman Allah s.w.t:

وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا


Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).
(Surah al-Syams 91: Ayat 7-10)

Dan firman Allah s.w.t;

كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ

Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya.
(Surah Al-Muddathir 74: Ayat 38).


Saya juga mestilah beriman bahawa urusan penciptaan undang-undang itu adalah hak mutlak Allah s.w.t. Tidak harus sama sekali manusia mendahului atau membelangkanginya. Apa yang dibolehkan ialah ilmuan Muslim atau para ulama' berijtihad mengeluarkan hukum-hukum dari nas-nas Syari'at dalam batas-batas yang diizinkan. Firman Allah s.w.t:

وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِنْ شَيْءٍ فَحُكْمُهُ إِلَى اللَّهِ ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبِّي عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan).
(Surah Al-Syura 42: Ayat 10)
Saya mestilah berusaha mengetahui nama-nama dan sifat-sifat Allah yang layak bagi kemuliaanNya. Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda:


لِلَّهِ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ اسْمًا مِائَةٌ إِلَّا وَاحِدًا لَا يَحْفَظُهَا أَحَدٌ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ وَهُوَ وَتْرٌ يُحِبُّ الْوَتْرَ

"Allah s.w.t mempunyai sembilan puluh sembilan nama, kurang satu seratus. Sesiapa yang menghafaznya akan memasuki syurga. Allah itu ganjil (tunggal) dan menyukai (bilangan) yang ganjil." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)


Saya mestilah berfikir merenungi kehebatan kejadian-kejadian Allah, bukan memikirkan tentang ZatNya sebagai mengikuti dan mentaati perintah Rasulullah s.a.w:

تفكروا فى خلق الله ولا تتفكروا فى الله فإنكم لن تقدروا قدره

"Berfikirlah kamu tentang makhluk ciptaan Allah dan janganlah kamu memikirkan tentang ZatNya kerana kamu tidaklah mengetahui keadaan sebenarnya."
(Hadis diriwayatkan oleh Abu Nu'aim di dalam Al-Halyah dan Al-Asbahani meriwayatkannya di dalam Al-Taghrib wa Al-Tarhib)


Berhubung dengan sifat-sifat Allah s.w.t terdapat banyak ayat-ayat suci Al-Quran Al-Karim yang membuktikan kesempurnaan ketuhanan(UluhiyyahNya). Kita dapati beberapa ayat Al-Quran membuktikan kewujudan Allah, sifat baqa' (kekal), sifat qadim (sedia ada), sifat Ia berlainan dengan segala makhluk, tidak mempunyai anak, tidak ada yang menandingiNya. Kita juga menemui ayat-ayat yang menunjukkan Tuhan itu wujud dengan sendirinya, Maha Kaya dari segala makhlukNya dan makhluk berhajat berhajat kepada kebesaranNya. Demikian juga kita menemui ayat-ayat yang menunjukkan keEsaan Allah pada ZatNya, sifat-sifatNya dan perbuatanNya, kekuasaanNya, keagunganNya dan keluasan ilmuNya ke atas sesuatu. Kita temui lagi ayat-ayat yang menunjukkan iradah Allah mengatasi segala iradah yang lain dan Allah itu bersifat hidup yang penuh dengan kesempurnaan.

Selain dari sifat-sifat yang disebut tadi, masih banyak lagi ayat-ayat yang menerangkan sifat-sifat kesempurnaan lain bagi Allah s.w.t yang tidak tercapai oleh daya pemikiran manusia yang terbatas, tentang hakikat sebenarnya. Maha Suci Allah, kita tidaklah dapat membataskan pujian kita terhadapNya sebagaimana memuji dirinya sendiri.

Saya mesti meyakini bahawa pendapat dan pandangan para salaf adalah lebih utama untuk diikuti supaya dapat menyelesaikan perbahasan tentang penta'wilan dan pentha'thilan sesetengah ayat suci Al-Quran, yakni membiarkan sebahagian dari sifat-sifat Allah di dalam Al-Quran dengan menyerahkan hakikat sebenar mengenai maknanya kepada Allah s.w.t.

Saya juga mesti meyakini bahawa berbagai bentuk penta'wilan sesetengah ayat-ayat tertentu oleh golongan khalaf (terkemudian) tidak wajar dijadikan sebab kepada perselisihan yang berlarutan dan jangan sampai timbul kembali perbalahan di antara golongan khalaf di masa lampau mahupun masa kini.

Saya juga mesti mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata tidak menyekutukan dengan yang lain. Ini saya lakukan kerana menyahut seruan Allah dan RasulNya yang menyeru manusia supaya mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata dan tidak tunduk kepada sesuatu selain Allah. Amaran ini jelas dalam firman Allah s.w.t:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اُعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut.
(Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)


Saya juga mestilah takut hanya kepadaNya dan tidak takut kepada yang lain. Perasaan takut tersebut seharusnya menyebabkan saya menjauhi kemurkaan Allah dan larangan-laranganNya.
Allah s.w.t menjelaskan:

وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَخْشَ اللَّهَ وَيَتَّقْهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.
(Surah Al-nur 24: Ayat 52)

Firman Allah s.w.t seterusnya:

إِنَّ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ بِالْغَيْبِ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ كَبِيرٌ

Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.
(Surah Al-Mulk 67: Ayat 12)


Saya mesti sentiasa mengingati Allah dan berzikir menyebut namaNya untuk menjadikan diam saya itu adalah dalam keadaan berfikir dan apabila bercakap adalah kerana berzikir. Ini paling mujarab untuk jiwa dan senjata paling ampuh untuk menghadapi serangan-serangan zaman ini, pancaroba kehidupan serta asam garamnya. Inilah penawar yang sangat diperlukan oleh manusia zaman ini. Sungguh benar peringatan Allah yang menyatakan:

الَّذِينَ ءَامَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.
(Surah Al-Ra'ad 13: Ayat 28)

FirmanNya lagi:

وَمَنْ يَعْشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ السَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ مُهْتَدُونَ

Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. 37- Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.
(Surah Al-Zukhruf 43: Ayat 36-37).

Dr. Briel sendiri mengakui kenyataan ini dengan menegaskan "sesungguhnya orang-orang yang berpegang teguh dengan agama, ia tidak akan dihinggapi penyakit jiwa. Manakala seorang pakar jiwa Dr. Riel Karienji menyatakan: "Sebenarnya para doktor penyakit jiwa menyedari bahawa keimanan yang kukuh dan pegangan yang teguh terhadap ajaran agama oleh seseorang adalah satu jaminan untuk menyembuhkan mereka darri penyakit gelisah, tegang perasaan, penyakit saraf dan lain-lain.

Saya juga wajib menyintai Allah dengan sebenar-benar cinta. Cinta yang menjadikan hati saya sentiasa merasa rindu dan terikat denganNya. Kecintaan itu juga mendorong saya menambah amalan-amalan kebaikan, berkorban dan berjihad di jalannya di sepanjang masa. Sekalipun hidup dalam kemewahan dan keseronokan dunia serta kecintaan terhadap kaum kerabat, semuanya tidak sepatutnya menghalang saya dari mencintai Allah. Ini adalah sejajar dengan seruan Allah yang mengingatkan:

قُلْ إِنْ كَانَ ءَابَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka).
(Surah Al-Taubah 9: Ayat 24)

Pengorbanan demikian saya lakukan adalah untuk dapat merasai kelazatan dan kemanisan iman seperti yang disyaratkan oleh Rasul yang mulia s.a.w:

ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ


"Barang siapa yang ada padanya tiga syarat ini, ia dapat merasai kemanisan iman:
  • Jika ia mencintai Allah dan rasulNya mengatasi kasihnya kepada yang lain.
  • Jika ia menyintai seseorang, tidaklah ia cintai melainkan kerana Allah.
  • Jika ia benci untuk kembali ke dalam kekufuran sebagaimana ia benci untuk memasuki api neraka."
Saya mesti bertawakal sepenuhnya kepada Allah dalam setiap keadaan dan menyandarkan setiap urusan kepadanya. Sifat tawakal inilah yang membangkitkan kekuatan zahir dan batin di dalam jiwa dan diri saya yang menyebabkan segala kepayahan dapat dihadapi dengan mudah. Sifat ini menepati seruan Allah s.w.t:

وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

"....sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).
(Surah Al-Talaq 65: Ayat 3)

Lihat betapa indahnya pesanan Rasulullah s.a.w untuk kita, di dalam sebuah hadisnya:

احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْالْأَقْلَامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ قَالَ هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ


"Pelihara titah perintah Allah nescaya ia akan memelihara engkau (sepanjang masa), peliharalah larangan Allah nescaya engkau dapati ia selalu di hadapanmu. Apabila kamu meminta, hendaklah kamu meminta kepada Allah dan apabila kamu engkau memohon hendaklah engkau memohon petolongan dari Allah. Ketahuilah, seandainya umat manusia sepakat untuk memberi sesuatu manfaat untukmu, mereka tidak dapat memberinya melainkan mengikut apa yang telah Allah tetapkan untukmu dan sekiranya mereka sepakat untuk menimpakan engkau dengan sesuatu keburukan tidaklah mereka dapat melakukannya melainkan dengaan sesuatu yang Allah Taala telah tentukan ke atas dirimu, kerana telah terangkat pena dan telah kering kertas (telah ditentukan kesemuanya)."

Saya mestilah mensyukuri nikmat-nikmatnya ke atas diri saya yang merupakan kurniaan dan rahmat yang tidak terhitung jumlahnya. Bersyukur itu adalah satu dari tanda kemuliaan adab seseorang penerima terhadap pemberi dan pengurnia. Allah menyatakan:
وَاللَّهُ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لَا تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.
(Surah Al-Nahl 16: Ayat 78)

Seterusnya Allah berfirman:

وَءَايَةٌ لَهُمُ الْأَرْضُ الْمَيْتَةُ أَحْيَيْنَاهَا وَأَخْرَجْنَا مِنْهَا حَبًّا فَمِنْهُ يَأْكُلُونَ(33)وَجَعَلْنَا فِيهَا جَنَّاتٍ مِنْ نَخِيلٍ وَأَعْنَابٍ وَفَجَّرْنَا فِيهَا مِنَ الْعُيُونِ(34)لِيَأْكُلُوا مِنْ ثَمَرِهِ وَمَا عَمِلَتْهُ أَيْدِيهِمْ أَفَلَا يَشْكُرُونَ


Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan ia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan. 34- Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur dan kami pancarkan padanya beberapa mata air, 35- Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?.
(Surah Yasin 36: Ayat 33-35)

Sebenarnya Allah s.w.t telahpun menambahkan kurnianya kepada orang-orang yang bersyukur dan mengugut akan menambah kerugian terhadap golongan yang ingkar. Firman Allah:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ


Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.
(Surah Ibrahim 14; Ayat 7)


Saya mestilah sentiasa beristighfar memohon keampunan kepada Allah, istighfar itu dapat membersihkan diri dari dosa di samping memperbaharui taubat dan iman. Istighfar juga dapat memberikan kerehatan dan keheningan kepada jiwa.

Allah berfirman:

وَمَنْ يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَحِيمًا

Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah Al-Nisa' 4: Ayat 110)

Firman Allah seterusnya:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
(Surah Ali-'Imran 3: ayat: 135)


Akhir sekali saya juga mestilah sentiasa bermuraqabah (merasai berada di bawah pengawasan) dengan Allah s.w.t dalam keadaan terang mahupun tersembunyi kerana mengingatkan firman Allah:

مَا يَكُونُ مِنْ نَجْوَى ثَلَاثَةٍ إِلَّا هُوَ رَابِعُهُمْ وَلَا خَمْسَةٍ إِلَّا هُوَ سَادِسُهُمْ وَلَا أَدْنَى مِنْ ذَلِكَ وَلَا أَكْثَرَ إِلَّا هُوَ مَعَهُمْ أَيْنَ مَا كَانُوا ثُمَّ يُنَبِّئُهُمْ بِمَا عَمِلُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dialah yang keempatnya dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dialah yang keenamnya dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Dia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Dia akan memberitahu kepada mereka pada hari kiamat, apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
(Surah Al-Mujadalah 58: 7)

BANYAKNYA SAMPAH...HINGGA BOLEH BUAT HOTEL.....

DUN Pel. Klang Kosong: SPR Telah Dimaklumkan - Speaker


SHAH ALAM: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Teng Chang Khim telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang.
Pada Jumaat, Teng berkata beliau difahamkan SPR telah menerima surat tersebut.
Beliau juga mengecam kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah kerana ‘berbohong’ apabila mengatakan beliau menghadiri pembukaan sidang dewan pada November.
Teng menambah, satu-satunya pembukaan sidang dewan telah diadakan pada April dan bukannya pada November, seperti yang didakwa oleh Badrul Hisham.
Beliau turut mengedarkan minit mesyuarat yang menunjukkan Bandrul Hisham tidak menandatangani borang kehadiran.
Beliau juga menafikan kenyataan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Wan Ahmad bahawa kekosongan itu mesti diisytiharkan secara konsensus oleh dewan dan bukannya hanya oleh speaker.
Teng berkata, perkara itu tidak termasuk di bawah Perlembagaan Selangor.


Waris ragui punca kematian

JERTIH - Punca sebenar kematian seorang lelaki dari di Lorong Kubur dekat Masjid Hadhari Jertih di sini kelmarin menimbulkan persoalan dalam kalangan warisnya, memandangkan dalam sijil kematiannya dinyatakan sebab kematian adalah kerana kegagalan organ berfungsi, sedangkan doktor yang merawatnya memaklumkan si mati disyaki diserang virus kencing tikus (Leptospirosis).

Sepupu lelaki berkenaan, Rosli Othman, 50, berkata, Allahyarham Ahmad Rosni Awang, 37, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan malam Rabu selepas sehari koma.

Menurutnya, pada awalnya, pegawai perubatan di HUSM mengesyaki sepupunya diserang demam denggi, namun kemudian dia disahkan bukan sakit akibat bawaan nyamuk Aedes, sebaliknya disyaki pula diserang virus kencing tikus.

“Andaian itu dibuat kerana simptom dihadapinya menyamai mangsa yang diserang virus air kencing tikus iaitu demam tinggi, sakit anggota badan dan masalah lain,” katanya kepada Sinar Harian selepas majlis pengebumian Ahmad Rosni di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tandak kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin.

Rosli yang lebih dikenali sebagai Pak Awang berkata, bagaimanapun laporan pada sijil kematian yang dikeluarkan HUSM menyatakan kematian sepupunya hanya disebabkan organ gagal berfungsi dan ia benar-benar meresahkan ahli keluarga.

Menurutnya, sekarang ahli keluarga tidak berani memasuki rumah Allahyarham kerana bimbang dijangkiti virus memandangkan doktor di HUSM pernah mengatakan sakitnya berkemungkinan besar disyaki berpunca daripada virus itu.

Ahmad Rosni yang masih bujang bekerja sendiri dan tinggal sendirian di rumah peninggalan arwah keluarganya selepas ibu bapanya meninggal dunia lebih 10 tahun lalu, pada mulanya mengadu demam pada Sabtu lalu.

Keadaannya bertambah parah dan koma pada Selasa lalu sebelum menghembuskan nafas terakhir pada malam esoknya.

Pemergiannya mengejutkan ramai ahli keluarga dan rakannya kerana selama ini beliau sihat dan aktif dalam sukan pingpong, malah sering mewakili kelab pingpong daerah ini dalam perlawanan sukan itu di merata tempat.


Semua alami simptom sama

BESUT – Kematian dua lelaki dalam tempoh dua hari berturut-turut dan seorang lagi kini terlantar koma di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, menimbulkan rasa bimbang dan keliru dalam kalangan keluarga si mati mengenai adakah benar punca kematian mereka disebabkan virus kencing tikus.

Seorang lelaki, Ahmad Rosni Awang, 37, meninggal dunia di HUSM pada Rabu lalu selepas sehari koma apabila mengadu demam sejak Sabtu lalu.

Ahli keluarga si mati memberitahu, doktor yang merawat mangsa mengatakan Ahmad Rosni kemungkinan besar dijangkiti virus kencing tikus, namun keputusan ujian makmal bagi mengenal pasti sampel darah belum diperoleh ketika itu.

Akibat tanggapan awal itu, ahli keluarga tidak berani membawa jenazah Ahmad Rosni pulang ke rumahnya untuk diuruskan kerana bimbang kemungkinan virus itu berpunca dari rumah berkenaan di Lorong Kubur dekat Masjid Hadhari di sini.

Sehari sebelum itu, difahamkan seorang warga emas berusia 50-an yang berniaga kedai makan di Jertih juga meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Lelaki itu juga dikatakan koma dan mempunyai simptom sama seperti Ahmad Rosni, iaitu bermula dengan demam.

Jenazahnya juga dikatakan diuruskan di hospital dan terus dikebumikan.

Kini, Sinar Harian diberitahu, seorang lagi pesakit dari Kampung Gong Nering sedang terlantar koma di HUSM sejak beberapa hari lalu dan juga didakwa terkena virus air kencing tikus.

Mangsa seorang periang, peramah

KUALA BERANG -“Makcik tidak sangka dia akan pergi dengan cara begini, malah sukar untuk membayangkan keadaannya ketika lemas tadi. Makcik baru berjumpanya kira-kira seminggu lalu dalam keadaan sihat,” luah Maimun Talib, 63, penuh kesayuan.

Maimun adalah nenek kepada seorang juru x-ray di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Mohd Alif Mahade, 23, dari Pulau Kerengga, yang ditemui lemas dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam di Air Terjun Belukar Bukit sewaktu sedang manda-manda bersama 10 rakan sekerjanya yang lain.

Menurut Maimun, walaupun berat menerima berita pemergiannya cucu keduanya itu, namun dia sekeluarga tetap akur dan reda dengan ketentuan Ilahi.

Malah, dia menyifatkan ia satu kehilangan besar baginya kerana mangsa begitu akrab dengannya selain sering menjenguknya di rumah di Rusila.

“Cucu makcik ini (mangsa), anak kedua daripada empat beradik dan seorang yang periang serta peramah. Malah, dia sering datang ke rumah dan seingat makcik, kali terakhir berjumpa dengannya kira-kira seminggu lalu.



“Sebagai nenek, pastinya berita kematiannya mengejutkan, apatah lagi disebabkan lemas. Namun, kami sekeluarga tabah dan menganggap ini ketentuan-Nya,” katanya kepada Sinar Harian, di Hospital Hulu Terengganu (HHT), di sini, semalam.

Sementara itu, sepupu mangsa, Ahmad Azmi Ngah, 38, berkata, bapa mangsa, Mahade Ismail, 49, menerima panggilan kira-kira jam 11 pagi daripada salah seorang rakan mangsa yang turut sama berada di tempat kejadian dan terus bergegas ke lokasi.

“Mangsa bekerja sebagai juru x-ray sejak enam bulan lalu sebaik menamatkan pengajian di Kolej Universiti Mahsa dan sebagai sepupu, saya turut berasa kehilangannya,” katanya.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan Bilik Forensik HHT apabila bukan sahaja ibu mangsa, Rosmani Embong, 47, mengalirkan air mata kesedihan dan cuba ditenangkan ahli keluarga lain, tetapi beberapa kanak-kanak yang juga sanak-saudara mangsa turut diselubungi kepiluan.


Pengunjung diminta patuhi amaran



BELUKAR BUKIT - Orang ramai yang berkunjung ke Air Terjun Belukar Bukit, di sini, diharap dapat mematuhi segala peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa, termasuk mematuhi papan tanda amaran sebagai langkah awal mengelakkan berlakunya kejadian lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, PBK 1 Mohd Zazuli Badru berkata, kegagalan pengunjung mematuhi papan tanda amaran dipasang pihak berkuasa boleh mengundang perkara tidak diingini.

Menurutnya, papan tanda amaran memainkan peranan penting sebagai notis pemberitahuan khususnya kepada pengunjung yang baru pertama kali berkunjung ke sesuatu lokasi dan seharusnya dipatuhi.

“Mengulas lanjut kejadian lemas di Air Terjun Belukar Bukit ini, kebiasaannya ia berlaku di lokasi yang sama kerana terdapat kawasan air berpusar di situ.

“Malah, papan tanda amaran juga telah dipasang di sini. Pengunjung dinasihatkan agar mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian sewaktu mengetuai operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas, Mohd Alif Mahade, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian berkenaan jam 11.01 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bersama enam anggota.

Namun, setibanya di tempat kejadian mangsa telah ditemui oleh orang awam.


Mohd Nazri bawa keluar mangsa



BELUKAR BUKIT - “Sebelum menerima panggilan memaklumkan ada kejadian lemas oleh salah seorang rakan, saya berada di rumah jiran kerana ada kenduri. Kemudian, saya terus bergegas ke tempat kejadian dan terjun ke kawasan air berpusar kerana kebiasaannya mangsa lemas akan terperangkap di situ,” kata Mohd Nazri Mat Sharif, 30.

Mat Sharif adalah salah seorang penduduk tempatan yang berjaya membawa keluar Mohd Alif dalam kejadian di Air Terjun Belukar Bukit, di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Menurutnya, kira-kira lima minit menyelam di sekitar kawasan air berpusar itu, dia ternampak kaki mangsa dan kemudian menariknya keluar sebelum dibantu beberapa orang awam serta penduduk tempatan di situ.

“Kejadian lemas di sini sering berlaku kerana adanya kawasan air berpusar, namun kejadian hari ini (semalam) adalah kes pertama tahun ini.

“Kebiasaannya suhu air lebih sejuk selepas musim tengkujuh dan bagi penduduk setempat ia dipanggil ‘air sejuk’. Keadaan ini juga menyebabkan orang ramai lebih mudah kekejangan otot. Jadi, pengunjung dinasihatkan agar lebih berhati-hati,” katanya.

 Remaja pendiam mati tergantung


SEDAKA - Seorang remaja lelaki yang berusia 19 tahun ditemui mati tergantung di stor belakang rumahnya di Kampung Sedaka, petang semalam.

Ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, anak bongsunya itu dari lima orang adik beradik.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari. Ketika itu saya berada di dalam rumah, kemudian saya keluar untuk cari daun pisang untuk diberikan kepada arnab.

“Selepas saya keluar, saya nampak arwah anak saya tergantung di stor. Saya panik dan tidak tahu nak buat apa. Saya ambil keputusan untuk menghubungi suami yang tiada di rumah pada masa itu,” katanya.

Menurutnya, suaminya sampai ke rumah pada jam 2 petang.

“Suami saya pun dalam keadaan bingung dan sedih. Suami memanggil rakan-rakan untuk berbincang kerana keadaan suami bercelaru dan tidak mampu membuat keputusan. Kemudian, suami menghubungi polis kira-kira jam 3.15 petang,” katanya.

Ibu mangsa yang masih dalam keadaan bersedih itu mengatakan bahawa tiada perubahan yang berlaku sebelum anaknya ditemui mati.

“Dia (mangsa) memang macam biasa. Tetapi anak saya ini memang jenis pendiam dan tidak banyak bergaul dengan rakan-rakan.

“Dia banyak menghabiskan masa di rumah dan di bilik. Perkara yang arwah minat adalah mencantikkan motosikalnya,” katanya.

Selain itu, ibu mangsa menafikan wujudnya perselisihan faham antara keluarga dan anaknya itu.

Dia berkata, anaknya itu seorang yang pembersih.

“Arwah memang seorang pembersih dan biliknya sentiasa kemas. Semua barang-barangnya berada dalam keadaan yang tersusun.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian mendapati bilik arwah memang kemas sehingga peralatan di dalam laci komputer tersusun rapi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu mengesahkan kejadian tersebut.

Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Biar lembu berkeliaran langgar hukum syarak

KUANTAN – Sikap penternak yang mengambil jalan mudah dan membiarkan binatang peliharaan mereka mengganggu ketenteraman jiran serta penduduk setempat sebenarnya dilarang dalam Islam.

Kadi Daerah Kuantan, Ahmad Nizam Abdul Manan (gambar) berkata, lembu yang dipelihara perlu dijaga dengan baik termasuk membina kandang bagi mengelakkan ia merayau di dalam tanah hak milik orang lain.

“Mereka tidak menepati hukum syarak apabila gagal mengikut kaedah yang betul memelihara binatang ternakan dan tidak halus menjaga harta dalam aspek Islam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau turut menasihatkan pemilik membina kandang supaya lebih sistematik sekali gus mengelakkan binatang itu merayau dan memakan hasil tanaman penduduk lain.

Katanya, jika lembu itu dilepas bebas, pendapatan pemilik atau penjaga binatang itu tidak bersih di sisi agama.

“Pembinaan kandang juga memerlukan kebenaran daripada tuan tanah kerana ia benar-benar mengikut syariat Islam. Mereka perlu lebih bertanggungjawab jika mahu rezeki halal terutama ketika menjalankan ibadah korban.

“Jika mahu meningkatkan pendapatan, mereka perlu menjaga lembu dan tidak membiarkan mereka lepas bebas sehingga mengganggu penduduk,” katanya.

Umat Islam perlu bijak cari kerja halal

KUALA TERENGGANU – Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Abu Bakar Abdullah menyokong kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung kewajaran untuk tidak membenarkan orang Islam bekerja di premis-premis yang menyediakan makanan atau minuman haram.

Menurutnya, umat Islam dalam komuniti masyarakat majmuk perlu peka dengan keadaan sedemikian selain bijak mencari pekerjaan halal.

“Umat Islam tidak boleh sesekali bekerja dalam sektor yang dilarang Islam, mereka perlu tahu perkara ini kerana pekerjaan adalah untuk keperluan hidup yang perlu dicari melalui cara halal,” katanya.

Dalam laporan Sinar Harian sebelum ini, Nik Aziz berpendapat, orang Islam tidak sewajarnya dibenarkan bekerja di premis arak yang jelas mengenai pengharamannya.

Kenyataan sedemikian dibuat susulan tindakan Exco Kerajaan Tempatan Selangor, Ronnie Liu membantah keputusan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melarang umat Islam bekerja di premis menjual alkohol di negeri itu.

Abu Bakar bagaimanapun meminta isu itu tidak dipolitikkan untuk tujuan memperlihatkan ketidaksefahaman yang berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR).



Suami Normala mungkin letak jawatan

LABIS – Suami calon Pas, Maarof Abd Mutalib mungkin akan meletak jawatan sebagai guru jika isterinya, Normala Sudirman,38, memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Maarof, 45, berkata, ia bagi membantu Normala sepenuh masa andai isterinya dipilih sebagai wakil rakyat.

“Bagaimanapun, ia bergantung pada kesesuaian dan saya bersedia dengan segala kemungkinan,” katanya kepada media selepas penamaan calon hari ini.

Beliau turut menyatakan sejak Normala dipilih, beberapa urusan rumahtangga perlu dilaksanakan.

Beliau yang sudah berumahtangga dengan Normala selama 14 tahun mempunyai tiga anak yang berusia lapan hingga 13 tahun.



Hotel sampah pertama dibuka di Madrid



MADRID - Hotel pertama yang dibina dengan :menggunakan sampah dan bahan terbuang yang di kitar semula, kini dibuka di Madrid, Sepanyol, semalam.

:Hotel Sampah Pantai (Beach Garbage Hotel) yang terletak di tengah bandar Madrid dihasilkan oleh seorang artis Jerman, Ha Schult :(gambar): bersempena dengan Pesta Industri Pelancongan Tahunan negara itu.

:Menurut Schult, antara bahan terbuang yang digunakan untuk membina hotel tersebut adalah botol plastik, kayu, bingkai gambar, alat muzik, stoking koyak, tayar dan buku cerita kanak-kanak.

:Schult turut mengalu-alukan kedatangan pemenang sebuah pertandingan dalam laman sosial :Facebook: untuk penginapan percuma sebagai hadiah pertama.

:"Sampah yang dikutip adalah daripda lautan kerana ia merupakan satu tempat pembuangan sampah terbesar di dunia" katanya.

:Hotel itu dicipta untuk memberi kesedaran kepada pengunjung mengenai kepentingan kebersihan dunia di masa hadapan.

:Hampir 40 peratus hotel itu dibina menggunakan sampah yang ditinggalkan pengunjung yang dikutip daripada pantai di seluruh negara Amerika Latin.

Friday, January 21, 2011

TUNTUT SERTA AMAL DENGAN IKHLAS...BUKAN MENUNTUT UNTUK DUNIA...KERJAYA DAN PANGKAT....MAKA KALAU BEGITU MASUK NERAKA...MAKSUD HADIS....BIARLAH NIAT UNTUK TAKWA KEPADA ALLAH SWT.....

Menuntut ilmu jalan menuju syurga

Ilmu ialah pengetahuan (maklumat) yang merupakan lawan kepada ketidaktahuan atau kejahilan. Ilmu secara syarie adalah ilmu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW yang berupa penjelasan dan petunjuk yakni al-Quran, as-Sunnah dan kefahaman yang benar terhadapnya. Iaitu ilmu yang membimbing kehidupan di dunia hingga ke akhirat.

Ilmu bermanfaat pula merujuk kepada dua perkara, iaitu ilmu tentang keagungan Allah Taala yang diketahui melalui nama-nama-Nya yang indah (al-Husna) dan sifat-sifat-Nya mulia yang menjadi hak-hak-Nya. Dengan mengetahuinya, akan membawa kepada pengagungan, rasa takut, cinta, harapan, sabar, reda dan tawakal hanya kepada Allah.

Keduanya, ilmu yang bermanfaat membawa kepada segala apa yang diredai dan dicintai Allah. Melalui ilmu tersebut menjadikan kita menjauhi segala apa dibenci dan dilarang oleh-Nya. Ini adalah sebagaimana yang disebut al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H) dalam risalahnya yang berjudul Fadhlu ‘Imli as-Salaf ‘ala al-Kholaf.

Dari sini menunjukkan adanya ilmu yang tidak bermanfaat bagi diri seseorang, iaitu apabila ilmu tersebut tidak membawa untuk taat dan bertakwa, sebaliknya membawa pula kepada apa yang dibenci oleh Allah SWT.

Ini juga berdasarkan kefahaman terhadap firman-Nya (yang bermaksud): “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (Surah adz-Dzariyat, 51: 56). Maka, atas sebab itulah setiap ilmu yang kita pelajari seharusnya menuju kepada jalan tersebut, iaitu jalan ubudiyyah kepada Allah SWT.

Apabila memahami hakikat ini, sudah seharusnya kita meletakkan usaha dan prioriti yang tinggi untuk menekuni ilmu-ilmu tersebut. Itulah yang merupakan tradisi ulama dan ilmuwan Islam dari dahulu hingga kini.

Jika kita melihat Imam asy-Syafie rahimahullah - imam yang kita ikuti mazhabnya sebagai pedoman, beliau hafaz dan menguasai al-Quran seawal usianya sembilan tahun. Manakala dalam sebahagian riwayat mengatakan tujuh tahun. Pada ketika usianya 13 tahun pula, beliau menguasai kitab hadis yang unggul pada zamannya, iaitu al-Muwaththa’ karya Imam Malik rahimahullah. Jika kita bandingkan dengan usia kanak-kanak di sekitar kita hari ini, pada usia tersebut kebanyakan mereka masih lagi membaca al-Quran dengan merangkak atau mungkin ada yang masih tidak tahu walaupun untuk mengeja. Bahkan kebanyakan mereka mungkin lebih seronok dibuai khayalan kartun Doraemon, Sin Chan, Sponge Bob, Naruto dan Ben10 sambil memeluk bantal busuk.

Demikianlah keadaannya, ketika ilmuwan-ilmuwan itu menyibukkan umur-umur mereka dengan al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW, sebahagian kita ada yang lebih gembira untuk memilih kartun, muzik, dan permainan video sebagai santapan rohani anak-anaknya.

Sehingga masuk ke sekolah dan universiti pun kita lebih risau jika anak-anak gagal dalam peperiksaan dan tidak meraih peluang pekerjaan yang lumayan. Tetapi amat jarang sekali risau sekiranya anak-anak tidak bersolat dan gagal memahami aqidah benar.

Sebenarnya kita perlu sentiasa membudayakan tradisi ilmu yang ditinggalkan oleh ulama-ulama. Lebih-lebih lagi untuk menangkis syubhat-syubhat yang dihantar oleh musuh-musuh Islam melalui muzik, kartun, massa, pemakanan dan pelbagai bentuk lainnya yang hebat melanda ketika ini, iaitu dengan menghidupkan budaya membaca, memahami, dan menghayati sunnah-sunnah Rasulullah SAW.

Berapa ramai di antara kita yang menempatkan buku-buku ulama di rumah-rumah sebagai bahan bacaan dan rujukan, sama ada dari rangkaian kitab-kitab aqidah seperti Syarah ath-Thahawiyah oleh Ibnu Abil Izz, Syarhus Sunnah Imam al-Barbahari, Syarah Ushulus Sunnah Imam Ahmad, dan selainnya dari kitab-kitab ilmuwan generasi awal. Diikuti pula kitab-kitab tafsir al-Quran seperti Tafsir Ibnu Katsir dan kitab-kitab hadis seperti Riyadhus Sholihin Imam an-Nawawi, asas-asas Mustholahul Hadis, sehinggalah kepada rangkaian kitab-kitab hadis yang utama seperti Shohih al-Bukhari, Muslim, serta siri kitab-kitab syarahannya.

Jangan biarkan anak-anak memenuhi rohaninya dengan majalah artis dan bintang bola, komik-komik, atau surat khabar-surat khabar yang sering bermain isu. Sehingga risalah hadis 40 (al-Arba’in an-Nawawiyyah) pun terasa janggal untuk dibelek sampai ada yang tidak pernah mengetahui kewujudannya. Bimbinglah mereka untuk mengenali ulama-ulama dan karya-karyanya.

Jangan biarkan tokoh-tokoh jalanan lebih kita kenali berbanding tokoh-tokoh ulung agama ini. Kerana ilmu yang bermanfaat itu hanya dapat diperoleh dengan menekuni warisan tinggalan ulama berupa aqidah dan akhlak peribadi mereka melalui karya-karya agungnya yang berisi penjelasan al-Quran dan as-Sunnah.

Atas sebab itulah Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para Nabi dan para Nabi itu tidaklah mewariskan dinar mahu pun dirham. Namun, mereka mewariskan ilmu. Maka, sesiapa yang mengambil ilmu tersebut, benar-benar dia telah mendapat bahagian yang sangat besar.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Melalui ilmu darjat seseorang beriman diangkat Allah, jiwa menjadi bahagia dan tenteram, dengan ilmu kita diberi kefahaman menghadapi pelbagai ujian dan cabaran, ilmu mengajak untuk memilih kebaikan berbanding keburukan, dengannyalah juga kita dibimbing untuk berjalan menuju syurga Allah yang luas terbentang. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah sebuah rumah Allah (masjid) untuk membaca kitabullah dan mempelajarinya di antara mereka, melainkan ketenangan (sakinah) turun kepada mereka, rahmat Allah meliputi mereka, dan Allah menyebut-nyebut mereka di khalayak para malaikat yang berada di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Tidak terhenti sekadar di dunia, ilmu bermanfaat ini pahalanya akan terus kekal mengalir walaupun ditinggal mati. Rasulullah SAW bersabda: “Apabila manusia itu meninggal dunia, maka terputuslah amalan-amalannya melainkan tiga perkara, (iaitu) 1 – Sedekah jariah yang pernah dilakukannya, 2 – Ilmunya yang dimanfaatkan, atau 3 – Anak soleh yang mendoakannya. (Hadis Riwayat Muslim)

Selain dalil ini, terdapat dalil-dalil lain yang menyebutkan bahawa amalan kebaikan anak-anak yang soleh juga turut mengalirkan pahalanya kepada ibu dan bapa yang telah meninggal dunia walaupun tidak pernah diadakan ritual-ritual khas sedekah pahala seperti tahlil dan Yasin.

Jadi, manfaatkanlah umur yang ada untuk menyuburkan budaya ilmu dan mendidik anak-anak dengannya. Kerana dengan membudayakan ilmu yang bermanfaat, ia membantu meraih keredaan Allah SWT sekali gus jalan menuju syurga yang kekal abadi.

Sebagai penutup, penulis tinggalkan dengan pesanan Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H), “Kita memohon kepada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah kamu apa ilmu yang bermanfaat tersebut? Iaitu ilmu yang turun bersama al-Quran dan ditafsirkan oleh Rasulullah SAW dengan ucapan, perbuatan, dan yang tiada larangan daripadanya. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia tidak termasuk golonganku.” Jauhilah syubhat pemikiran ahli falsafah, perbuatan ahli sufi, ajaran para pendeta, dan khayalan orang-orang yang suka menyendiri. Seluruh kebaikan itu adalah dengan mengikuti jalan yang lurus. Mintalah pertolongan kepada Allah. Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan-Mu yang lurus.” (Siyar A’lam an-Nubala’, 19/339-340) Wallahu a’lam...

BILA LACUR DAN ZINA DAH TAK NAMPAK HINA...MALAH MACAM JADI PERKARA BIASA....SYAITAN TELAH BERJAYA MEMPERDAYAKAN MANUSIA....

Bayi ditemui dalam beg

Oleh Rosman Shamsudin
am@hmetro.com.my

TANJUNG MALIM: “Saya tidak dapat bayangkan nasib bayi lelaki ini jika dia lewat ditemui kerana banyak anjing liar berkeliaran di sini,” kata R Retinadevi, 25, yang menemui bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan dan ditinggalkan di hadapan sebuah klinik swasta di Nombor 11, Jalan Chong Ah Peng, malam kelmarin.
Retinadevi yang juga pekerja klinik itu berkata, dia bersama seorang rakan sekerjanya menemui bayi itu dalam sebuah beg pakaian bayi kira-kira jam 9 malam.

“Saya sedang mengemas kini data pesakit apabila dimaklumkan anak pesakit, dia mengesyaki ada bayi ditinggalkan dalam beg di kaki lima depan klinik.
“Saya bersama rakan kemudian keluar dan melihat beg itu. Sebaik membuka beg itu, saya dan rakan sebak melihat seorang bayi lelaki dibungkus sehelai kain sedang nyenyak tidur.

“Saya percaya ia baru dilahirkan beberapa jam sebelum itu kerana tali pusatnya masih ada di perutnya. Saya gembira kerana bayi itu ditemui selamat kerana banyak anjing liar berkeliaran sekitar kawasan ini,” katanya.

“Saya bersetuju dengan iklan ditayangkan di sebuah stesen tempatan mengenai kes pembuangan bayi yang mengatakan dalam dunia haiwan tiada manusia tapi dalam dunia manusia terdapat haiwan.

“Kejadian malam tadi (kelmarin) membuktikannya, malah saya menangis ketika mendukung bayi itu kerana ia begitu comel dan langsung tidak berdosa. “Dia tidur dengan nyenyak dan hanya menangis setengah jam kemudian kerana lapar,” katanya sambil menambah, selepas doktor di klinik melakukan pemeriksaan, bayi itu kemudian dihantar ke Balai Polis Tanjung Malim.

Sementara itu, Ketua Polis Tanjung Malim, Superintendan Mohd Ali Mat Nayan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan bayi lelaki terbabit.


Suami isteri raih RM500 sehari jual lempeng



LABIS: Siapa sangka dengan hanya menjual lempeng semurah 40 sen sekeping mampu menjana keuntungan lumayan buat sepasang suami isteri yang memperoleh RM500 dengan berniaga dari jam 5 petang sehingga 5 pagi setiap hari.
Restoran Lempeng Purba di Taman Gunung Emas, di sini, bagaikan ikon makanan tradisional di Pekan Labis sepanjang musim pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang hingga menjadi buruan selera petugas pilihan raya.

Lebih istimewa lagi, lempeng ini turut diadun pelbagai bahan asas lain mengikut kehendak selera pelanggan seperti telur, sardin, daging atau bawang.
Lempeng itu juga enak dimakan bersama kuah dan pelbagai lauk termasuk rendang, asam pedas ikan mayung, sambal ikan bilis dan kari ayam.

Tidak hairanlah restoran milik Abu Hafiz Abu Samah, 57, yang dibuka sejak lima tahun lalu kini dipenuhi orang ramai setiap petang.

Abu Hafiz berkata, harga lempeng yang murah membuatkan dia tidak menang tangan melayan pelanggan dan ketibaan pilihan raya kecil ini merancakkan lagi perniagaannya.

“Saya tidak rakus seperti sesetengah peniaga yang mengambil kesempatan sempena PRK ini dengan menaikkan harga barangan makanan mahupun mengenakan caj perkhidmatan.

“Sekeping lempeng dijual pada harga 40 sen saja manakala hidangan lengkap dengan minuman tidak sampai RM2 selain itu pelanggan boleh memilih lauk-pauk dan kuah termasuk rendang,” katanya ketika ditemui, semalam.
Abu Hafiz berkata dia berniaga lempeng sejak 10 tahun lalu dan sepanjang tempoh itu hanya dinaikkan harga 10 sen daripada 30 sen.


Angkara 3 setan

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

MARAN: “Mereka begitu kejam dan seperti setan apabila tergamak menoreh muka anak saya hingga berlumuran darah,” kata wanita warga emas, Habesah Maamor, 61, ketika menceritakan detik cemas selepas rumahnya di Kampung Bukit Lada, dekat sini, diceroboh tiga penyamun, kelmarin.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu, tiga penyamun bersenjatakan parang melarikan wang tunai RM600 dan barangan kemas dianggarkan bernilai RM3,000 dari rumah mangsa.

Habesah berkata, sebelum kejadian, dia dan anaknya Roshadi Rosli, 39, sedang tidur dalam bilik masing-masing sebelum dia terjaga apabila terdengar bunyi seperti pergaduhan diikuti jeritan anaknya.
Menurutnya, dia mulanya menyangkakan Roshadi mengigau lalu memanggil nama anaknya itu, namun panggilan itu dijawab dengan nada kurang difahami kecuali jeritan sekuat hati anaknya yang meminta dia melarikan diri.

Katanya, dia tidak mengendahkan permintaan itu kerana masih kabur dengan kejadian yang berlaku, apatah lagi suasana kembali sunyi sebelum dia baring semula.

“Tidak sampai setengah jam melelapkan mata, tiba-tiba pintu bilik diketuk kuat diikuti diterajang hingga tercabut sebelum saya melihat tiga penyamun dengan dua daripada mereka bertopeng tercegat di depan pintu.

“Mereka terus menghunus parang di leher dan mengugut membunuh anak jika saya bersuara. Tangan saya diikat dengan kain sebelum mereka menyelongkar bilik dan ruang tamu,” katanya.

Menurutnya, dia yang berjaya membuka ikatan tangan kemudian bergegas meminta bantuan penduduk kampung sebaik tiga penyamun terbabit melarikan diri bersama barang kemas dan wang tunai.
Katanya, selepas meminta bantuan, dia pulang semula ke rumah untuk melihat keadaan anaknya sebelum menemuinya dalam keadaan separuh sedar dan berlumuran darah di muka.

Katanya, dia mendapati anaknya tidak mampu bercakap kecuali mengerang menahan kesakitan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

“Saya begitu sebak selepas melihat anak dalam keadaan separuh sedar dan berharap dia cepat sembuh. Saya juga membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat segera tampil bagi membantu siasatan.


Tetak kepala geram dapat emas tiruan



SUBANG: Seorang wanita cedera di belakang kepala selepas ditetak wanita lain yang datang bersama tiga rakan untuk menyamun rumah mangsa di Taman Pinggiran Subang USJ di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, mangsa, N Ananthi, 44, yang sedang berehat di rumahnya tiba-tiba didatangi empat orang termasuk dua wanita menaiki sebuah Perodua Kancil.

Katanya, seorang daripada wanita itu turun dari kereta sebelum memanggil mangsa dengan berpura-pura bertanyakan anak mangsa yang ketika itu tiada di rumah sebelum meminta segelas air.
“Saya masuk mengambil air yang diminta sebelum keempat-empat mereka menyerbu masuk dan mengikat tangan serta kaki saya.

“Bukan itu saja, mereka mengugut saya menggunakan parang agar menyerahkan barang kemas,” katanya.

Ananthi berkata, selepas menggeledah rumahnya, mereka menemui beberapa barangan kemas miliknya tetapi ia adalah emas tiruan.

“Menyedari barang kemas itu tiruan, seorang daripada wanita terbabit bertindak menetak belakang kepala saya menyebabkan saya menjerit kesakitan,” katanya.

Katanya, jeritannya didengari jiran sebelum dia datang untuk memeriksa apa yang berlaku. Kehadiran jirannya itu disedari suspek yang kemudian bertindak mengejar jirannya itu sehingga memaksa dia melarikan diri dan bersembunyi di dalam rumah.
Menurutnya, mereka mengambil masa hampir 20 minit menyelongkar rumahnya sebelum melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Subang, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata. Katanya, anaknya yang pulang selepas itu terkejut dengan apa yang berlaku sebelum membawanya ke klinik berhampiran dan menerima sembilan jahitan.

Sementara itu, Ketua Polis Subang, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.


The World ‘ditelan laut’



PROJEK BERMASALAH ...kedudukan The World dilihat dari udara.
PROJEK BERMASALAH ...kedudukan The World dilihat dari udara.
DUBAI: Deretan pulau buatan manusia yang membentuk corak seperti peta dunia - dikenali sebagai projek mewah The World - kini dilaporkan berdepan dengan ancaman kemusnahan.
Berdasarkan keterangan saksi di sebuah tribunal hartanah, pulau buatan manusia terletak empat kilometer di luar pantai Dubai itu dikatakan mula tenggelam ke dalam laut.

Pulau itu dibangunkan untuk menempatkan villa mewah dan kompleks hotel khusus untuk golongan jutawan.
Ia hanya boleh dimasuki menggunakan perahu layar atau bot.

Peguam Britain yang mewakili syarikat Penguin Marine, Richard Wilmot-Smith, berkata pasir yang dijadikan pulau itu semakin terhakis, manakala terusan di antaranya semakin berkeladak.

“Pulau itu mendap perlahan-lahan akibat hakisan,” katanya di depan hakim.

Penguin Marine mengemukakan saman ke atas konglomerat milik kerajaan Dubai, Nakheel, terpaksa diselamatkan akibat bebanan hutang melampau - dianggarkan bernilai RM76.5 bilion pada akhir 2009.

Ekoran penstrukturan semula syarikat itu, sebuah tribunal ditubuhkan bagi mengendalikan sebarang kes berkaitan dengannya.
Sebelum masalah kewangan muncul, hanya satu daripada pulau buatan manusia itu belum lagi dibangunkan dengan sebarang projek.

Bagaimanapun, ketika ini kebanyakan projek pembangunan terbengkalai akibat krisis kewangan.

Kebanyakan pelabur yang membeli pulau itu akhirnya enggan atau tidak mampu meneruskan pembangunan apabila harga hartanah Dubai menjunam ekoran masalah berkenaan.

Seorang daripada pemiliknya, John O’Dolan, membunuh diri kerana kerugian, manakala seorang lagi dipenjara tujuh tahun kerana mengeluarkan cek tendang. -


Wanita dagang 7 pelajar di Facebook



JAKARTA: Polis menahan seorang wanita kerana disyaki menjadi ibu ayam kepada tujuh pelajar sekolah melalui Facebook, kata polis, semalam.
Pegawai polis Jakarta Selatan, Yoyon Toni Saputra, berkata wanita itu dikenali sebagai Dede, 28, diberkas pada Isnin lalu.

“Dia dipercayai bergiat dalam bisnes pelacuran selama dua tahun,” katanya.
Menetap di Manggarai, Jakarta Selatan, Dede didakwa melatih ramai anak jirannya menjadi pelacur dan menggunakan Facebook untuk mencari pelanggan.

Kata Yoyon, semua pelacur itu berusia di antara 13 dan 16 tahun dan dilanggan pada harga RM680 seorang.

Katanya, Dede menghantar pelajar terbabit ke mana saja diminta pelanggan sebaik saja persetujuan dicapai.

Kegiatan Dede terbongkar selepas seorang guru memeriksa akaun Facebook seorang pelajarnya. Dia kemudian memaklumkan penemuan itu kepada bapa pelajar terbabit sebelum polis dihubungi untuk membolehkan tindakan selanjutnya diambil. - JP

Wartawan bunuh diri kerana tekanan jiwa



JEDDAH: Seorang wartawan Arab Saudi yang membunuh diri Isnin lalu dikatakan mengalami tekanan jiwa, lapor sumber yang dipercayai, semalam.
Menurut jurucakap polis Jeddah, Kolonel Misfar Al-Juaid, laporan bedah siasat terhadap wartawan berusia 62 tahun itu mengesahkan punca kematiannya disebabkan oleh bunuh diri.

“Polis menemui mangsa menggantung diri dengan tali dalam bilik air di apartmennya di utara daerah Al-Safa,” ujar Misfar.
Menurut satu sumber lain, wartawan itu ada meninggalkan nota sebelum kematiannya.

Sumber itu menambah, mangsa turut bercakap dengan adiknya sebelum menamatkan riwayat hidupnya. Laporan juga menunjukkan dia ada menerima rawatan di sebuah hospital jiwa di Jeddah dan pernah cuba untuk membunuh diri dua tahun lalu tetapi gagal.

Mangsa adalah Editor Ekonomi bagi akhbar harian berbahasa Arab dan Inggeris di Arab Saudi.


Beberapa rakan juga menyatakan mangsa dilanda kekecewaan ekoran gagal mengekalkan prestasi dalam pekerjaan.

Mangsa mendapat pendidikan di Amerika Syarikat dan kembali ke Arab Saudi pada 1995 bersama anak perempuan tunggal hasil perkahwinan dengan isteri berbangsa Amerika.
Menurut pakar psikologi di Jeddah, Yousuf Ibrahim, kecenderungan untuk membunuh diri semakin meningkat di negara itu khususnya sejak tiga bulan lalu. - AN

AKHIR KEZALIMAN TERKUBUR JUGA....BALASAN ALLAH MENUNGGU DIAKHIRAT....PADA SEMUA ORANG YANG ZALIM...FASIK...DAN SEWAKTUNYA.....

DUNIA


Kuan Yew mahu rumahnya dirobohkan selepas mati


LEE KUAN YEW (kiri) mendedahkan gambar beliau dan isterinya, mendiang Kwa Geok Choo dalam pelancaran buku berjudul Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Goingdi Singapura semalam.


SINGAPURA - Bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew mahu rumah keluarganya dirobohkan bagi tujuan pembangunan semula selepas beliau meninggal dunia.
Kuan Yew yang kini memegang jawatan menteri mentor berkata, beliau tidak mahu rumahnya dijadikan sebuah bangunan bersejarah.
Dipetik daripada sebuah buku yang dilancarkan semalam, beliau telah mengarahkan pemerintah merobohkan rumahnya itu yang merupakan banglo era kolonial British yang terletak di lokasi beli-belah utama, Orchard Road.
"Saya sudah memberitahu Kabinet, apabila saya meninggal dunia, runtuhkannya. Saya melihat rumah-rumah lain seperti rumah Jawaharlal Nehru (hero kemerdekaan India) dan Shakespeare akhirnya tidak teratur," kata Kuan Yew yang berusia 87 tahun.
Syarikat Singapore Press Holdings menerbitkan buku bertajuk Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going yang berdasarkan kepada temu ramah eksklusif bersama wartawan-wartawan akhbar Straits Times.
Kuan Yew yang terkenal dengan sikap jujur dan tidak sentimental itu menjelaskan rumahnya yang dibina sejak lebih seabad lalu oleh seorang ahli perniagaan Yahudi itu merupakan sebuah rumah besar yang uzur.
Ia mempunyai lima bilik tidur dan tiga lagi bilik pada ruang belakangnya selain retakan-retakan pada dinding.
Kuan Yew yang ditemu ramah sebelum kematian isterinya, Kwa Geok Choo pada Oktober tahun lalu menyatakan ahli keluarganya tidak akan merindui rumah tersebut yang dimilikinya sejak tahun 1940-an.
"Saya tidak fikir anak perempuan saya atau isteri saya atau saya yang tinggal di dalamnya atau anak-anak lelaki saya yang membesar di dalamnya (rumah itu) akan meratapi kehilangannya. Mereka mempunyai gambar-gambar lama untuk mengingati mereka pada masa lampau," katanya.
Mesyuarat-mesyuarat penting yang akhirnya membentuk Parti Tindakan Rakyat (PAP) dianggotai Kuan Yew diadakan di bahagian bawah rumah tersebut.
Menyuarat itu bertujuan membentuk strategi sewaktu tahun-tahun awal pembentukan Singapura. Parti PAP memerintah Singapura sejak tahun 1959.
Kuan Yew yang menjadi perdana menteri dari tahun 1959 hingga 1990 sangat pragmatik terhadap nilai ekonomi Singapura.
"Disebabkan rumah saya, jiran-jiran saya tidak boleh membina rumah yang tinggi. Sekarang robohkan rumah saya dan tukar peraturan perancangan pembinaan. Bina bangunan tinggi dan nilai tanah akan meningkat," kata Kuan Yew.
Sementara itu, dalam majlis pelancaran bukunya, Kuan Yew turut menggesa rakyat Singpura supaya memelihara keharmonian agama dan antara kaum.
"Saya tidak menipu diri saya walaupun satu detik bahawa perbezaan kaum, budaya, bahasa, agama telah hilang.
"Mesej yang ingin saya sampaikan adalah mudah. Kita merupakan sebuah negara dalam pembinaan. Adakah kita akan berjaya melakukannya? Adakah saya yakin kita akan dapat mencapainya. Tidak, kita tidak boleh berkata begitu. Mungkin akan berlaku kesilapan dan kita akan berpecah.
"Ini adalah urusan generasi anda dan generasi yang membuatkan anda berjaya untuk memahami betapa rapuhnya masyarakat ini dan pastikan masyarakat dalam kepaduan, teruskan bersatu dan kekalkan seperti yang ada pada hari ini, bertoleransi dan bersikap tolak ansur antara satu sama lain.
"Anda mempunyai sebuah negara seperti China atau Jepun. China boleh musnah, dirobohkan tetapi rakyatnya kembali bersatu untuk membina semula negara. Saya tidak pasti jika Singapura rosak, musnah atau dirobohkan, rakyatnya akan mampu untuk datang bersatu bersatu semula. Menurutnya, negara yang telah dibina itu mesti diperkukuhkan dan dibina secara berhati-hati. - Agensi


DUNIA


Komando serbu kapal ditawan


ANGGOTA-ANGGOTA komando Korea Selatan melakukan persediaan menyerang lanun-lanun di atas sebuah kapal kontena di Lautan Hindi semalam.


SEOUL - Pasukan komando tentera laut Korea Selatan, SEAL menyerbu sebuah kapal milik negara itu yang dirampas oleh lanun Somalia di Lautan Hindi dan menyelamatkan semua 21 orang anak kapal, membunuh lapan orang lanun serta menangkap lima lanun yang lain.
"Operasi ini membuktikan kesungguhan bahawa pemerintah tidak akan bertolak-ansur dengan aktiviti-aktiviti lanun," jelas Ketua Turus Angkatan Tentera Korea Selatan, Leftenan Jeneral Lee Sung-Ho.
Seorang kakitangan kapal pengangkut bahan kimia warga Korea Selatan terkena tembakan di bahagian perut, namun keadaannya tidak membimbangkan.
Tiada komando yang cedera dalam operasi tersebut.
Operasi yang berlaku pada jarak sejauh 1,300 kilometer dari utara Somalia dilihat sebagai pemberi semangat kepada tentera Korea Selatan.

BEBERAPA anggota komando Korea Selatan merampas bot yang digunakan lanun Somalia.


Tentera itu sebelum ini dikritik hebat kerana dikatakan lambat bertindak atas serangan Korea Utara pada November lalu.
Presiden Korea Selatan, Lee Myung-Bak menyatakan pasukan komando telah menjalankan tugas yang sempurna walaupun berdepan kesukaran.
Kumpulan lanun tersebut telah merampas kapal seberat 11,500 tan pada 15 Januari lalu di Laut Arab.
Kapal itu dalam pelayaran ke Sri Lanka dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Kapal itu membawa 21 orang anak kapal terdiri daripada lapan orang warga Korea Selatan, dua rakyat Indonesia dan 11 dari Myanmar.
Pemerintah Korea mengarahkan sebuah kapal pemusnah untuk mengejar kapal yang dirampas lanun itu sebelum ini. - AFP









DUNIA


Ferrari bekas Presiden Tunisia dicuri


GAMBAR fail menunjukkan Zine El Abidine Ben Ali dan isterinya dalam satu kempen pilihan raya presiden di Tunis pada 11 Oktober 2009.


TUNIS - Sebuah kereta mewah Ferrari 599 GBB Fiorano bernilai AS$199,189 (RM610,514) milik bekas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali dicuri dengan menggunakan sebuah forklift, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang pencuri yang mengendalikan forklift itu sempat tersenyum ketika membawa kereta curi tersebut di lebuh raya pada waktu tengah hari.
Imej kereta sport itu dicuri boleh dilihat di laman YouTube.
Isteri bekas presiden itu, Leila Trabelsi yang berusia 53 tahun dikenali kerana sangat menyukai kereta-kereta mewah.
Keluarganya dikatakan memiliki lebih 50 buah kereta yang disifatkan sebagai simbol penting perbuatan rasuah.
Digelar sebagai Imelda Marcos dunia Arab, bekas pendandan rambut itu juga memiliki banyak rumah mewah dan sering membeli-belah di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan menghabiskan ratusan ribu dolar.
Sejak Zine El Abidine melarikan diri dan tinggal dalam buangan di Arab Saudi, keadaan di bandar Tunis, Tunisia masih belum aman sepenuhnya.
Para penunjuk perasaan dilihat mencium anggota tentera dan meletakkan bunga di atas kereta-kereta kebal selepas Zine El Abidine melarikan diri pada minggu lalu.
Pentadbiran baru yang dipimpin oleh presiden sementara, Fouad Mbazaa menjauhkan dirinya daripada rejim Zine El Abidine dan mula membebaskan 1,800 banduan.
Selepas Zine El Abidine meletakkan jawatan dan melarikan diri itu, Tunisia mengumumkan aset-aset yang dimiliki oleh bekas presiden tersebut akan disiasat.

IMEJ di YouTube menunjukkan sebuah forklift mengangkut kereta Ferrari milik bekas presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali.


Sebelum ini isteri Zine dilaporkan membawa jongkong-jongkong emas bernilai AS$55.7 juta (RM171 juta) yang diperolehi dari Bank Negara Tunisia semasa melarikan diri.
Selain itu, para pegawai-pegawai pemerintah turut dikatakan telah menyimpan hampir AS$618 juta (RM1.89 bilion) di dalam akaun-akaun rahsia di bank Switzerland.
Walaupun Zine El Abidine yang berkuasa selama 23 tahun itu telah tumbang, penunjuk perasaan menuntut rakan-rakan presiden tersebut supaya melepaskan jawatan.
Zine meletakkan jawatan dan melarikan diri selepas sejumlah penunjuk perasaan mendesaknya berbuat demikian ekoran masalah pengangguran, rasuah dan sekatan kebebasan bersuara di negaranya. - Agensi


DUNIA


Dua bangkai makhluk misteri ditemui


SATU bangkai tanpa kepala yang ditemui di di pantai Shadmoor State Park, Montauk, Long Island, New York pada Ahad lalu.


NEW YORK - Dua bangkai makhluk ganjil dijumpai di pantai Shadmoor State Park, Montauk di Long Island dan Pelabuhan Three Mile, New York pada Ahad lalu, lapor akhbar The East Hampton Star semalam.
Seorang lelaki, Arthur Beckenstein menemui bangkai seperti seekor anjing yang besar, rusa atau anjing laut di tepi pantai Shadmoor State Park.
"Saya yakin terdapat penerangan logik tentang apakah binatang yang saya temui ini.
"Pada awalnya, saya ingat ia bangkai seekor anjing yang besar, rusa atau anjing laut. Ukuran tulang rusuknya ialah sepanjang 61 hingga 76.2 sentimeter. Bentuk tulang belakangnya kelihatan seperti buaya sedangkan tiada reptilia besar hidup di kawasan ini," katanya.
Menurut akhbar itu, penemuan itu menimbulkan persoalan sama ada ia merupakan makhluk asing atau hasil eksperimen pentadbiran Amerika Syarikat (AS).
Pada jarak sejauh 32 kilometer dari pantai itu, Eileen Murphy dan Jane Bimson terjumpa satu bangkai haiwan tanpa kepala yang mempunyai tulang rusuk serta ekor seperti ikan duyung.
Mereka kemudian merakamkan dua keping gambar dan menghantarnya ke Yayasan Penyelidikan dan Pemuliharaan Marin Riverhead.
Pakar biologi dari yayasan itu, Kim Durham menyatakan dia tidak dapat mengenal pasti makhluk tersebut dan memerlukan sampel asid deoksiribonukleik (DNA).
Namun, apabila mereka kembali ke lokasi sama pada keesokan harinya, bangkai itu telah hilang.
Kedua-dua bangkai itu ditemui tanpa kepala. - Agensi


DUNIA


Seludup dadah ke penjara guna merpati


SEORANG anggota polis melihat paket yang mengandungi dadah ganja pada tubuh seekor burung merpati di luar


BUCARAMANGA, Colombia - Pihak berkuasa Colombia menangkap seekor burung merpati yang membawa dadah untuk diseludup ke dalam sebuah penjara, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Seekor burung merpati yang membawa dadah seberat 0.05 kilogram itu terbang menuju ke arah sebuah penjara namun ia telah ditangkap oleh dua orang anggota polis selepas mereka melihat ia berada di tanah dan seolah-olah memerlukan pertolongan.
Burung itu jatuh kerana paket dadah ganja yang diikat pada tubuhnya itu terlalu berat untuk dibawa terbang.
"Ini merupakan kes terbaru dalam jenayah licik. Mereka cuba menyeludup dadah ke dalam penjara dengan menggunakan burung merpati terlatih," kata Ketua Polis Burcaramanga, Jose Angel Mendoza.
Geng dadah Columbia sering menggunakan pelbagai taktik pelik untuk melakukan jenayah termasuk mengguna burung kakak tua terlatih sebagai pengintip. - Agensi

BILA MANUSIA MENGIKUT HAWA NAFSU....DAN TAK BERFIKIR PANJANG....KESANNYA PADA DIRI SENDIRI.....HUKUM DIDUNIA DAPAT...DIAKHIRAT MENUNGGU LAGI....MAKA BERTAKWALAH DAN BERTAUBATLAH.....

Hayun kuali hentak kepala suami

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

AMPANG: Gelaran isteri derhaka layak buat seorang wanita apabila tergamak menghentak kepala suaminya dengan kuali sehingga lelaki berkenaan yang sedang menderita akibat penyakit kencing manis pengsan seketika sewaktu berada di rumah mereka di Pandan Perdana, di sini.
Tindakan tidak berperikemanusiaan itu dibuat selepas wanita terbabit terdesak kerana pada masa sama seorang lelaki lain yang dipercayai teman lelakinya turut berada di dalam rumah dan tidak menyangka suaminya datang ke kediaman itu.

Ini kerana pasangan berkenaan dalam proses bercerai selepas tinggal berasingan sejak dua tahun lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, Selasa lalu, mangsa yang berusia 45 tahun dan bekerja sebagai pemandu van pulang ke rumah untuk menjenguk anak dan memberi wang belanja kepada mereka.

Namun, sebaik menjejakkan kaki masuk ke dalam rumah, isterinya terus menghentak kuali ke kepalanya sebelum mangsa yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi pengsan.

Menurut sumber polis, mangsa bernasib baik kerana anak perempuannya yang berusia 16 tahun terus menghubungi ambulans untuk meminta bantuan selepas melihat bapanya tidak sedarkan diri.

“Mangsa kemudian dihantar ke hospital berhampiran dan dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan. Dia juga membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Susulan laporan itu, polis menahan seorang wanita yang juga isteri mangsa berusia 38 tahun sehari selepas kejadian sebelum dibebaskan dengan dijamin ahli keluarganya,” katanya.
Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, pasangan terbabit sudah 17 tahun mendirikan rumah tangga dan mempunyai tiga anak berusia belasan tahun, namun mempunyai masalah rumah tangga sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Malah, suaminya sudah dua tahun tinggal berasingan dan menumpang di rumah ibu saudaranya di sebuah flat di Kuala Lumpur, namun dia sesekali pulang ke rumah untuk menjenguk anaknya.

Bagaimanapun, perbuatannya itu tidak disukai isterinya yang dikatakan sudah mempunyai kekasih lain dan sebelum ini juga pernah memarahi suaminya yang melawat anak-anak mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat mangsa.



Petanda rindu ibu

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my

KENANGAN...Nor Jam’atul dan suami, Mazlan Razali, 36, serta anak kedua mereka bersama gambar Nur Shazwani yang maut  akibat tersedak bubur nasi.
KENANGAN...Nor Jam’atul dan suami, Mazlan Razali, 36, serta anak kedua mereka bersama gambar Nur Shazwani yang maut akibat tersedak bubur nasi.
 
PUCHONG: Rasa rindu seorang ibu untuk melihat bayi perempuannya yang ditinggalkan bersama pengasuh berhampiran rumahnya di Taman Putra Perdana di sini, bertukar pilu, apabila dimaklumkan bayinya itu meninggal dunia akibat tercekik bubur nasi.
Ketika menerima berita kejadian menyayat hati itu, dia masih dalam perjalanan pulang untuk mengambil anak bongsunya itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Selasa lalu, ibu berkenaan, Nor Jam’atul Mohd Nordin, 31, pulang awal ke rumah untuk mengambil anak bongsunya, Nur Shazwani Izni Mazlan berusia lima bulan kerana berasa terlalu rindu untuk memeluk dan menciumnya.
Menurutnya, pada kebiasaannya, dia pulang kira-kira jam 7.40 malam, namun pada hari kematian anaknya, dia mengambil keputusan untuk pulang awal kerana perasaan rindu terhadap anaknya itu terlalu kuat.

“Saya tidak menyangka perasaan rindu kepada anak bongsu pada hari kejadian terpaksa saya tanggung buat selama-lamanya apabila dia kini sudah tiada.

“Lebih menyedihkan saya tidak dapat bersama ketika saat akhirnya, malah tidak menyangka anak saya maut akibat makanan yang diberikan,” katanya.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu meninggal dunia selepas pengasuhnya menyuapkan bubur nasi menggunakan botol susu sebelum meninggalkan mangsa bersama dua bayi lain yang turut dijaganya.

Mangsa dipercayai tercekik bubur berkenaan.
Menceritakan kejadian itu, ibu malang terbabit berkata, ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Shah Alam, tiba-tiba pengasuh anaknya menelefon memaklumkan anak bongsunya itu mengalami kesukaran bernafas akibat tercekik selepas disuapkan bubur nasi menggunakan botol susu.

“Saya mengarahkan agar membawanya ke hospital.

“Bagaimanapun, pengasuh berkenaan menghantar anak saya ke klinik berdekatan dan doktor yang merawatnya mengesahkan anak sudah meninggal dunia,” katanya.

Katanya, selepas disahkan meninggal dunia, dia menghantar jenazah anaknya ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Meranti, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Deputi Superintendan Baharuddin Ayob ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kematian mengejut.


Wajib pasang beg udara


CHO HA memasang pelekat keselamatan jalan raya pada cermin sebuah teksi di Rantau Panjang, Kelantan semalam.


RANTAU PANJANG - Mulai tahun depan, semua kenderaan baru kecuali kenderaan pacuan empat roda diwajibkan memasang beg udara untuk tujuan keselamatan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, langkah itu bertujuan mengelak risiko lebih tinggi termasuk kematian terhadap pemandu atau penumpang yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius kadar kemalangan jalan raya sekarang terutama yang membabitkan kemalangan maut akibat tiada peralatan keselamatan yang cukup pada kenderaan awam.
"Mulai tahun depan, kerajaan akan mewajibkan semua kenderaan dipasang beg udara bagi keselamatan pemandu dan penumpang kenderaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina 2011 di sini semalam.
Pemasangan beg udara itu hanya terhad kepada kereta baru sahaja manakala kereta lama sedia ada tidak diwajibkan.


NEGARA


Suami isteri dituduh bunuh anak sendiri


KERATAN Kosmo! 11 Januari 2011.


JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri bakal berdepan hukuman gantung sampai mati apabila mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua tuduhan membunuh dan mendera anak sendiri sejak empat bulan lalu.
Norafizan Ludin, 30, dan Dewi Nadia Alias, 25, dituduh menyebabkan kematian Nor Dania Qistina Norafizan, 3, pada 9 Januari lalu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah beralamat 1284-6, Jalan Tengku Mariam, Batu 17 1/2 Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini di antara pukul 9 pagi, 8 Januari hingga 9 pagi, 9 Januari.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hafizah Johor Ariff Johor.
Norafizan dan Dewi Nadia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, mereka mengaku tidak bersalah mendera kakak dan adik mangsa iaitu Nor Dania Batrisha Norafizan, 5, dan Danish Irsyad Norafizan, 1, di lokasi yang sama.


NEGARA


Warga emas ditembak


ISTERI mangsa, Thevapriyen menunjukkan kesan darah di tempat suaminya ditembak di Taman Garing Utama, Rawang semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang peniaga cedera di lutut kiri selepas terkena tembakan ketika bergelut dengan penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Jalan 2/9, Taman Garing Utama, Rawang dekat sini semalam.
Kejadian pukul 7.45 pagi itu berlaku ketika P. Murugaiyah, 65, didatangi dua suspek ketika dia berada di hadapan rumah teres dua tingkat itu untuk ke tempat kerja.
Difahamkan, suspek menaiki sebuah kereta Proton Waja bersama tiga lagi rakan mereka yang menunggu di dalam kenderaan. Suspek-suspek itu memakai topeng.
Sebaik masuk ke dalam rumah, suspek telah meminta mangsa dan isterinya tidak membuat bising sebelum menggeledah rumah mangsa.
Mangsa yang enggan kemudian telah melawan menyebabkan suspek bertindak melepaskan satu das tembakan lalu mengenai lutut kiri mangsa.


Konstabel didakwa bakar kekasih


Nur Rashidah menunjukkan tangan kiri dan mukanya yang melecur dibakar teman lelakinya di Jalan Bukit Kubu, Kuala Perlis. Gambar kiri Nur Rashidah ketika sihat.


KANGAR – Seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar semalam atas tuduhan membakar teman wanitanya kerana berselisih faham di Kuala Perlis minggu lalu.
Konstabel Ahmad Faiz Ramli, 24, didakwa membakar teman wanitanya, Nur Rashidah Rashid, 18, dengan pemetik api setelah menyimbah gadis terbabit dengan petrol di Jalan Bukit Kubu, Kuala Perlis pada pukul 9 malam 12 Januari lalu.
Ahmad Faiz bertindak demikian selepas gagal mengawal emosinya ketika berlaku perselisihan faham dan pergelutan dengan Nur Rashidah ketika mereka menghabiskan masa di kawasan terbabit.
Ekoran perbuatan tertuduh itu, gadis tersebut mengalami cedera parah apabila melecur di muka, leher dan juga lengan kiri.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad.
Ahmad Faiz dituduh melakukan kesalahan dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serius dan boleh dihukum sehingga 20
tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.


NEGARA


Duda mati dibelasah 6 lelaki

RANTAU PANJANG - Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian membelasah seorang duda anak tiga hingga mati hanya kerana dituduh mencuri getah beku dalam kejadian di Kampung Bakat Hilir di sini semalam.
Mohd. Saupi Mohamad, 38, dari Gual Tok Deh di sini disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan selama 55 minit di klinik Rantau Panjang akibat cedera parah di belakang kepala dipukul dengan benda keras. Dia dihantar ke situ pada pukul 1.50 petang.
Difahamkan, Mohd. Saupi dipukul di sebuah kawasan padang untuk tambatan lembu pada pukul 12 tengah hari selepas dikatakan dihambat sejauh 12 kilometer dari Gual Meso di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner, Haliluddin Rahim, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati mangsa mengalami kecederaan teruk di kepala sebelum dihantar ke klinik tersebut pada pukul 1.50 petang.


NEGARA


'Jangan cuba cabar saya'


KERATAN Kosmo! semalam.


KEPALA BATAS - "Jangan cuba cabar kesabaran saya kerana kesabaran saya ada batasnya."Itu amaran Mohd. Rashidi Mohd. Rashid, 46, kepada seorang lelaki bernama Faizal yang dipercayai kekasih anaknya, Norhafiza, 21, yang didakwa telah menyembunyikan anaknya itu sejak bulan lalu.
Menurut Mohd. Rashidi, dia telah menahan sabar hampir sebulan setelah menunggu anaknya dipulangkan semula ke pangkuannya sejak dilarikan pada 25 Disember lalu.
Katanya, selama sebulan itu, dia hanya bertindak mendiamkan diri dan membiarkan pihak polis menjalankan siasatan sambil menaruh harapan Norhafiza dipulangkan secara elok.
"Tapi nampaknya, dia (Faizal) telah mencabar kesabaran saya dengan cuba berdolak-dalih setiap kali kami bertanyakan di mana Norhafiza berada.
"Jangan sampai saya hilang sabar dan jika itu berlaku, saya akan gunakan segala sumber yang saya ada untuk mencarinya sampai jumpa," katanya ketika dihubungi semalam.


NEGARA


Kontraktor dijel kerana samun RM1j


MATHANA dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen setelah dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun kerana menyamun barangan melebihi RM1 juta di Melaka semalam.


MELAKA – Seorang kontraktor dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah menyamun barangan melebihi RM1 juta bersama rakan-rakannya empat tahun lalu.
Hakim Al-Baishah Abd. Manan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, K. Mathana Mogan, 29, selepas meneliti semua fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asri Abdul Rahman Sidik.
Tertuduh didakwa telah melakukan rompakan bersama rakan subahat yang masih bebas dengan bersenjatakan parang terhadap tiga lori treler dan kontena membawa muatan tembaga dan komponen kenderaan di Lot 22 Terminal Kenderaan Berat Durian Tunggal, Alor Gajah pada pukul 3 pagi hingga 3.30 pagi 22 Jun 2007.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Terdahulu peguam tertuduh Joseph Methew meminta mahkamah meringankan hukuman kerana tertuduh mempunyai empat orang anak berumur setahun hingga 11 tahun.

Thursday, January 20, 2011

PAKAI BUDI BICARA DAN TIMBANGRASA BUKAN PAKAI AKAL DAN KUASA...KUASA AKAN HILANG BILA PENCEN....DOA ORANG DIZALIMI MAKBUL....INGAT! MASA JADI GURU BIASA...BUKAN MASUK2 JADI PENGETUA ATAU GURU BESAR....JANGAN SAMPAI ORANG KATA GILA KUASA....KALAU DIAKHIRAT CONFIRM MASUK SYURGA....OK LA JUGA...PATUTLAH BOLEH BERLAGAK....BEGITU JUGA PENTADBIR2 YANG LAIN....SOMBONG NI PAKAI ALLAH....BUKAN MANUSIA...JANGAN CUBA2 NAK MELONTAR DIRI DALAM NERAKA ALLAH SWT.....BERTAKWA DAN BERTAUBATLAH....(WALAUPUN TAK SEMUA BEGITU...ADA YG BAIK SERTA BERTIMBANG RASA...DAN TAHNIAH)

Usah paksa kerja Sabtu

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Pengetua dan guru besar sekolah di seluruh negara diminta tidak memaksa guru mereka bertugas pada Sabtu, selain patuh pada peraturan dikeluarkan kerajaan yang menetapkan hari berkenaan sebagai cuti buat kakitangan sekolah.
Sehubungan itu, guru yang tidak berpuas hati ditugaskan pengetua mereka untuk bekerja pada setiap Sabtu di sekolah masing-masing, diminta tampil membuat aduan bertulis kepada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya hak mereka untuk berehat pada hari itu dapat dibela.

Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, masih ada pengetua atau guru besar sekolah yang tidak memahami peraturan serta ingkar dengan arahan kerajaan yang menetapkan Sabtu sebagai hari cuti berehat untuk semua guru.
Bagaimanapun, beliau berkata, peraturan itu masih fleksibel kerana guru berkenaan boleh dipanggil oleh pengetua untuk bertugas pada mana-mana dua Sabtu dalam sebulan jika keadaan benar-benar memerlukan bagi menjayakan sesuatu acara yang tidak dapat dilakukan pada hari persekolahan biasa.

“Ada pengetua menganggap keputusan mereka mengarah guru bertugas pada Sabtu terutama untuk mengadakan kelas tambahan kononnya untuk mempertingkatkan lagi pencapaian pelajar sedangkan kelas yang sudah diadakan dari Isnin hingga Khamis sepatutnya sudah mencukupi “Pengetua yang mahu mengarah guru bekerja pada Sabtu sepatutnya mengeluarkan arahan dalam bentuk surat arahan rasmi dan bukannya secara lisan kerana jika apa-apa perkara tidak diingini berlaku, pihak sekolah dan pengetua akan bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi semalam.

Hashim berkata, guru mempunyai hak untuk berehat pada Sabtu bersama keluarga serta menenangkan fikiran dan tidak sepatutnya dikerah bekerja hingga mengganggu masa senggang mereka.

Katanya, beliau memahami keadaan guru yang tersepit dan serba salah dengan arahan pengetua serta akan mengikut saja berikutan bimbang dikenakan tindakan jika enggan bertugas pada Sabtu walaupun ia sudah diisytiharkan sebagai hari cuti buat mereka.

“Ada guru yang sukarela bertugas dengan mengadakan kelas tambahan pada Sabtu atau menganjurkan program berbentuk sukan, tetapi bagi mereka yang tidak rela, jangan duduk diam dan kita minta mereka membuat aduan supaya hak mereka terbela.
“Manakala guru yang terpaksa bertugas pada Sabtu perlu berani meminta pengetua mengeluarkan satu surat rasmi yang tertera arahan mengenai tugas supaya pihak sekolah akan bertanggungjawab jika ada masalah,” katanya.

Sementara itu, Hashim turut memberi pandangan supaya beberapa perkataan yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kaum India di negara ini seperti yang terkandung dalam novel Interlok dihitamkan saja dengan dakwat bagi memuaskan hati semua pihak.