Saturday, May 12, 2012

MASA TETAP BERJALAN..SAMA KITA KEJAR ATAU TIDAK...KESABARAN ITU PENTING...IA IBU ILMU DAN SEPARUH DARI IMAN...

Sukat dosa guna lilin

PENGIKUT Ajaran Ibu Puteri kononnya boleh mengetahui dosa mereka dengan hanya membakar lilin. - Gambar hiasan


SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini memantau penyebaran satu ajaran sesat yang dipercayai mengenakan bayaran kepada para pengikut untuk mengukur tahap keimanan masing-masing serta menghapuskan dosa dengan sekadar membakar lilin.
Ajaran sesat ini yang dipanggil Ajaran Ibu Puteri dipercayai didalangi oleh seorang individu bergelar Datuk sejak tahun 2007.
Lelaki itu bagaimanapun telah meninggal dunia tahun lalu, namun ajarannya terus berkembang.
Pihak berkuasa setakat ini mengesan kewujudan ajaran tersebut di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang seperti Shah Alam, Puchong dan Petaling Jaya.
Apa yang mengejutkan, ajaran sesat ini turut disertai imam, jemaah haji dan umrah.
Seorang bekas pengikut ajaran itu yang dikenali sebagai Pak Ungku, 50, menceritakan, mereka kebiasaannya membakar lilin di dalam pinggan berisi air.
Katanya, jika kesan cairan lilin itu banyak, maka individu tersebut didakwa mempunyai banyak dosa.
Seterusnya, nama individu itu akan dimasukkan dalam satu senarai untuk upacara berasingan bagi menghapuskan dosa dan sesi pengampunan yang dilakukan oleh pengikut kanan ajaran berkenaan.

3 maut dalam nahas awal pagi


SEBAHAGIAN daripada mangsa menunggu rawatan selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Seremban semalam.


SEREMBAN - Sepasang suami isteri antara tiga korban nahas jalan raya membabitkan tiga buah bas ekspres serta dua buah lori dalam kejadian berasingan di Kilometer 258.8, Lebuh Raya Utara- Selatan dekat sini serta Jalan Kuala Kangsar-Gerik awal pagi semalam.
Kedua-dua nahas itu juga mengakibatkan 94 orang yang menaiki ketiga-tiga bas tersebut cedera, termasuk dua mangsa mengalami cedera parah.
Kejadian pertama berlaku kira- kira pukul 2.58 pagi semalam apabila sebuah bas yang membawa 44 penumpang menuju ke Batu Pahat, terlanggar belakang sebuah treler di lebuh raya berkenaan.
Ia disusuli dengan bas itu dilanggar pula dari belakang oleh sebuah lagi bas yang mengekorinya dengan membawa 40 penumpang menuju ke Melaka.
Nahas tersebut menyebabkan seorang warga emas, Roha Dol, 79, dari Batu Pahat yang duduk di kerusi barisan empat belakang pemandu cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini.
Seorang mangsa, Samika Salim, 55, berkata, mereka dalam perjalanan pulang ke Batu Pahat selepas menghadiri perhimpunan raksasa sambutan ulang tahun UMNO ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam kelmarin.
"Saya dan ramai penumpang lain sedang tidur sebelum terdengar bunyi dentuman kuat.
"Ada yang menjerit, melaungkan Allahuakbar! manakala beberapa orang penumpang panik cuba keluar daripada bas," ceritanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja'afar di sini semalam.

Nikah beramai-ramai


SEBAHAGIAN pasangan pengantin yang menyertai Program Selangkah Ke Alam Perkahwinan 2012 di Putrajaya semalam.


DETIK MANIS. Sebanyak 20 pasangan selamat dinikahkan secara beramai-ramai sempena program Selangkah Ke Alam Perkahwinan di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin Putrajaya semalam.
Kesemua pasangan pengantin muda itu dinikahkan oleh lapan jurunikah bertauliah daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang turut disaksikan oleh kaum keluarga masing-masing.Majlis anjuran Yayasan Patriotik Bangsa itu bertujuan menyemai keinginan golongan muda untuk berkahwin awal, sekali gus mengelakkan maksiat dengan setiap pasangan yang menyertai program itu hanya perlu membayar RM5,000. Bayaran itu bagi membiayai pakej penginapan hotel dua hari satu malam, sesi fotografi, kad jemputan sebanyak 150 keping, tajaan pakaian dan solekan serta jamuan untuk 300 tetamu berserta cenderamata bagi setiap pasangan.

Pecah rekod himpunan teleskop terbanyak

KUALA LUMPUR – Acara himpunan teleskop terbanyak dalam segmen Junior World dan Candy Island bakal memecah rekod Malaysia Book of Records sempena Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya pada 26 Mei ini.
Pada acara tersebut, peserta segmen berkenaan akan mengumpulkan teleskop di samping melakukan pencerapan secara serentak di kawasan lapang belakang Istana Kehakiman, Putrajaya pada pukul 8 malam.
Pengarah Urusan Double Road Care Sdn. Bhd., Noraini Ishak berkata, rekod terdahulu telah dicatatkan oleh Kelab Astronomi Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2005 yang berjaya mengumpul sebanyak 138 teleskop.
Menurutnya, pihaknya yang mendapatkerjasama daripada Kelab Astronomi USM serta Kementerian Belia dan Sukan menyasarkan mengumpul sebanyak 300 teleskop bagi memecahkan rekod sedia ada.

Pecut punca kemalangan maut

MIRI - Sikap masyarakat yang suka 'pecut maut' tanpa menghiraukan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain dikenal pasti sebagai punca utama peningkatan kes kemalangan maut di negara ini.
Ketua Trafik Pasukan Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan kurangnya sikap timbang rasa dan berhemah dalam kalangan pemandu.
"Sarawak mencatat peningkatan kes kemalangan maut sebanyak 15 peratus bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Peratusan ini mewakili peningkatan 15 kes berbanding 78 kes direkodkan dari 1 Januari hingga 31 April 2011," katanya selepas mengadakan sesi dialog bersama ketua bahagian ketenteraman awam/ketua trafik daerah, pegawai dan penolong pegawai penyiasat trafik dari seluruh Sarawak di sini kelmarin.
Justeru, katanya, masyarakat perlu melakukan sesuatu untuk mengurangkan kadar kes kemalangan maut.
Katanya, polis trafik akan meningkatkan lagi penguatkuasaan undang-undang di jalan raya tetapi ia tidak akan berjaya jika tidak mendapat kerjasama pengguna.

Bekas abang ipar aktres Dreamgirls bersalah kes bunuh

KELUARGA dan rakan Jennifer Hudson meninggalkan bilik perbicaraan Mahkamah Jenayah Daerah Cook di Chicago kelmarin.


CHICAGO, Amerika Syarikat (AS) – William Balfour yang merupakan bekas abang ipar bintang filem Dreamgirls, Jennifer Hudson (gambar) didapati bersalah membunuh ibu mertua, adik lelaki dan anak saudara aktres berkenaan.
Balfour boleh dipenjara seumur hidup kerana jenayah tersebut.
“Ini pembunuhan kejam tanpa rasa kasihan terhadap tiga orang termasuk seorang budak lelaki berusia tujuh tahun yang baru pulang dari sekolah,” kata pendakwa raya, Attorney Anita Alvarez kelmarin.
“Kami amat berpuas hati dengan keputusan juri,” tambahnya.
Balfour, 31, dituduh menembak mati ibu Hudson, Darnell Donerson, 57, adik lelakinya, Jason Hudson, 29, dan anak saudaranya, Julian King pada Oktober 2008.
Balfour turut menyembunyikan mayat anak tirinya untuk menutup jenayah tersebut.
Pihak pendakwa raya menyatakan, Balfour meluru ke rumah keluarga Hudson di sini dan menembak mati semua penghuninya dengan sepucuk pistol selepas bertengkar dengan isterinya, Julia.
Wanita itu bercerai selepas pembunuhan tersebut berlaku.
Ketika kejadian, kakak Hudson itu terselamat kerana berada di tempat kerja.
Setibanya dia di rumah, Julia terkejut melihat ibunya yang sudah tidak bernyawa, terbaring berlumuran darah di lantai.
Dengan spontan, dia berlari keluar untuk menghubungi pihak polis tanpa menyedari adik lelakinya, Jason juga sudah mati manakala anaknya pula hilang.
Mayat Julian ditemui di dalam kenderaan utiliti sukan milik Jason yang ditinggalkan di kawasan bandar raya ini, tiga hari selepas kejadian.
Pendakwa raya memberitahu, Balfour membawa Julian keluar dan menembak mati anak tirinya di dalam kenderaan SUV tersebut.
Dalam pada itu, Hudson, 30, dan Julia tidak dapat menahan sebak apabila seorang juri membacakan keputusan kes tersebut.
“Kami menerima sokongan dan kasih sayang daripada orang ramai di seluruh dunia sepanjang perbicaraan selama 14 hari ini dan kami amat berterima kasih,” kata Julia.
Terdahulu, pihak peguam bela Balfour berhujah bahawa mangsa mungkin dibunuh oleh sindiket dadah ekoran Jason pernah terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.
Hudson, 30, terkenal selepas menjadi finalis program pencarian bakat nyanyian popular, American Idol pada tahun 2005. – AFP

Kamera Leica termahal di dunia


AFP kamera Leica siri O.


VIENNA, Austria – Sebuah kamera prototaip Leica buatan 1923 dijual pada harga 2.16 juta euro (RM8.57 juta) dalam satu lelongan di sini sekali gus mencatat rekod baharu kamera paling mahal di dunia.
Kamera prototaip Leica siri O berkenaan dibeli oleh seorang pembida misteri semalam.
Cuma 25 buah kamera siri O dihasilkan bagi menguji pasaran kamera lensa 35 milimeter sebelum pengeluaran secara besar-besaran dibuat pada 1925.
Rekod sebelum ini dicatat pada tahun lalu juga oleh sebuah kamera siri O.
Kamera berkenaan dijual pada harga 1.32 juta euro (RM4.05 juta) manakala lelongan pertama kamera siri O pada 2007 cuma meraih 336,000 euro (RM1.03 juta). – AFP

BUATLAH YANG FARDZU2 AJE...YANG PENTING KASIH SAYANG..SUNNAH SERTA SAH NIKAHNYA...LEBIH2 TUJUAN MENUNJUK2..MENGIRA TARAF KEILMUAN DAN PEKERJAAN...TAK DITEKAN SANGAT DALAM ISLAM...JIKA MINTA DIPUJI DAN MENUNJUK2 TENTUNYA DILARANG DALAM ISLAM

Abang kahwin adik sendiri

Oleh HADZLAN HASSAN
hadzlan@hmetro.com.my

TERPENCIL... rumah panjang di kawasan Tinja, Long Baram yang dikatakan mengamalkan perkahwinan sesama mahram.
TERPENCIL... rumah panjang di kawasan Tinja, Long Baram yang dikatakan mengamalkan perkahwinan sesama mahram.
SEIRAS... pasangan muda yang mendakwa suami isteri.
SEIRAS... pasangan muda yang mendakwa suami isteri.
ULU BARAM: Mungkin pelik bagi kita, tetapi satu kumpulan suku kaum Penan di sebuah perkampungan di sini masih mengamalkan perkahwinan sesama ahli keluarga, termasuk anak dengan ibu, bapa atau sesama saudara kandung.
Siasatan dan tinjauan Metro Ahad mendapati, kira-kira 15 keluarga yang mendiami kawasan itu secara berpindah-randah walaupun disediakan rumah panjang, mempunyai pertalian darah, malah 10 pasangan berkahwin dengan darah daging sendiri.
Ia dipercayai menjadi antara faktor kebanyakan remaja dan kanak-kanak di situ tidak memiliki kad pengenalan kerana mereka biasanya tidak mendaftarkan kelahiran hasil perkahwinan cacamarba itu, selain tidak sempat ke klinik.

Bagi masyarakat tempatan, terutama pada zaman dulu, ia perkara biasa kerana mereka yang hidup nomad dalam jumlah kecil tidak banyak pilihan untuk mencari pasangan hidup, namun ia janggal bagi masyarakat luar.


Walaupun perkahwinan sesama mahram, termasuk antara dua beranak, semakin terhakis selepas mereka mula mendiami rumah panjang, komuniti yang mendiami kediaman itu sebenarnya masih adik-beradik.

Pasangan boleh dihukum

Oleh ABDUL RAHMAN ADAM dan RABI 'ATUL 'ADAWIYAH ISMAIL
metahad@hmetro.com.my

KUCHING: Perkahwinan sesama ahli keluarga di kalangan masyarakat Penan masih berlaku, namun ia hanya kes terpencil dan jarang didengar ketika ini.
Ahli antropologi, Kelvin Egay John berkata, memang kes perkahwinan sesama ahli keluarga pernah dilaporkan di kawasan Tinja, berhampiran Long Baram di Miri, tetapi ia sebenarnya melanggar norma masyarakat itu.

Bagaimanapun, katanya, perkahwinan seumpama itu menjadi isu dan mendapat tentangan ahli keluarga serta kaum masyarakat Penan lain kerana melanggar norma masyarakat dan pohok (adat) mereka.

“Jelas perkahwinan sesama ahli keluarga dilarang, malah perkahwinan sesama saudara turut dilarang dan ia bukan adat masyarakat Penan.


“Masyarakat Penan tidak membenarkan perkahwinan dengan sepupu pertama, kedua dan ketiga, apa lagi sesama adik-beradik, walaupun mereka berasal daripada komuniti kecil. Apa yang berlaku mungkin kes terpencil atau diperbesarkan pihak tertentu.

Asap penuhi bas

Oleh WAN ASRUDI WAN HASAN dan DJ DOLASOH
am@hmetro.com.my

REMUK... anggota polis memeriksa keadaan lori dan bas rombongan ahli Wanita Umno yang bertembung di Kampung Gua Badak, Lenggong, semalam. Gambar kecil, Jamilah, berusaha keluar melalui tingkap
REMUK... anggota polis memeriksa keadaan lori dan bas rombongan ahli Wanita Umno yang bertembung di Kampung Gua Badak, Lenggong, semalam. Gambar kecil, Jamilah, berusaha keluar melalui tingkap
LENGGONG: “Saya menjerit berulang kali supaya pintu dibuka segera kerana tidak dapat bernafas akibat asap yang mula memasuki ruang dalam bas,” kata Jamaliah Kassim, 54, penumpang bas yang menceritakan detik cemas ketika terbabit dalam kemalangan sebuah bas yang bertembung dengan lori di Kilometer 45.2, Jalan Kuala Kangsar - Gerik di sini.
Dalam kejadian jam 6 pagi itu, bas dinaiki 38 penumpang Wanita Umno Bahagian Gerik bertembung dengan sebuah lori ketika dalam perjalanan pulang daripada perhimpunan di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena Ulang Tahun Umno ke-66, malam kelmarin.
Menurut Jamaliah, dia yang berada di tempat duduk penumpang bas terkandas hampir sejam akibat kemalangan itu. Namun, dia bersyukur kerana terselamat.

“Saya dan penumpang lain tidak boleh keluar kerana pintu bas tertutup tetapi dalam keadaan kelam kabut itu, beberapa wanita nekad terjun melalui bahagian cermin depan bas yang pecah.


“Tidak lama kemudian, beberapa penduduk kampung datang dan cuba memecahkan cermin tingkap bas dengan batu, tetapi gagal,” katanya.

Lima terbunuh

Oleh ALIAS ABD RANI
lias@hmetro.com.my

BERGELIMPANGAN... nahas yang mengorbankan empat sekeluarga.
BERGELIMPANGAN... nahas yang mengorbankan empat sekeluarga.
BINTULU: Empat sekeluarga antara lima terbunuh apabila pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki bertembung dengan sebuah lagi kenderaan sama dalam kemalangan di Kilometer 10, Jalan Tatau-Bintulu, petang kelmarin.
Mereka yang terbunuh ialah pasangan suami isteri, Gelau anak Demang, 60, dan Bunsi anak Nyeng, 52; serta dua lagi saudaranya, Embuang anak Adang, 64, dan Aziz Abdullah, 60, manakala anak lelaki pasangan berkenaan berusia lapan tahun cedera parah.

Seorang lagi yang terbunuh dalam kejadian jam 3.45 petang adalah pemandu sebuah lagi Hilux, Ling Tuong Kong, 38, sementara rakannya yang belum diketahui identiti berusia 30-an cedera parah.
Ketua Polis Daerah Tatau, Deputi Superintendan Wan Zaizudin Wan Jaafar berkata, kemalangan berlaku apabila Toyota Hilux dipandu Ling gagal memotong ketika menghampiri satu selekoh sebelum merempuh Hilux dinaiki lima bersaudara terbabit.

Katanya, akibat rempuhan itu, tiga daripada mereka terbunuh di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Tatau dan Bintulu.

“Siasatan awal mendapati Gelau yang memandu Hilux dikatakan dalam perjalanan dari Tatau ke Bintulu, manakala Ling dari Bintulu ke Sibu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba pacuan empat roda dipandu Ling memasuki laluan bertentangan selepas gagal memotong kenderaan di depan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Wan Zaizudin berkata, akibat itu, kenderaan dipandu Ling bertembung dengan Hilux dinaiki lima keluarga sekeluarga berkenaan.
“Bagaimanapun, seorang kanak-kanak lelaki yang turut berada dalam kenderaan dipandu Gelau parah di beberapa anggota dan masih dirawat di Hospital Bintulu.

“Polis masih menjalankan siasatan mengenai punca sebenar kejadian, termasuk mendapatkan kenyataan daripada rakan Ling yang terselamat dan kini dirawat di hospital sama.

“Justeru, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Suami isteri maut

LENGGONG: Sepasang suami isteri terbunuh manakala 17 lagi cedera, termasuk tiga parah, apabila bas rombongan membawa 38 ahli Wanita Umno Bahagian Gerik bertembung dengan lori dinaiki pasangan itu di kilometer 45.2 Jalan Kuala Kangsar-Gerik, di sini, jam 6 pagi semalam.
Bas itu dipercayai dari Bukit Jalil, Kuala Lumpur, bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

Pasangan menaiki lori membawa barangan dari arah Gerik dan dalam perjalanan berniaga di Pekan Sehari Lenggong, di sini, dikenali sebagai Ong Khian Hock, 51, dan isteri, Loh Weng Chan, 46, beralamat di Taman Pengkalan Makmur, Taiping.
Mereka yang parah ialah Norliza Che Moh, 40, yang patah kaki kiri dan luka di badan, Fadilah Mahmud, 43, patah tulang selangka dan cedera di badan, dan pemandu bas, Azmi Abdul Rahman, 48, patah tulang selangka, lengan serta cedera di badan dan dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar.

Ketua Polis Gerik, Superintendan Abdul Manab Bahrum, berkata siasatan awal kemalangan membabitkan bas persiaran dan lori satu tan itu mendapati kedua-dua kenderaan bertembung di satu kawasan selekoh.

Anjur kahwin jimat

Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI
sitiaisyah@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Tidak bersedia di segi mental, kurang pengetahuan agama serta kos perkahwinan tinggi menyebabkan ramai pasangan muda tidak mampu berkahwin, sekali gus menjadi antara faktor penyumbang kahwin lari dan peningkatan kes pembuangan bayi.
Berikutan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Patriotik Bangsa (YPB) buat julung kalinya menganjurkan Program Selangkah Ke Alam Perkahwinan (Proskap) membabitkan 20 pasangan pelbagai taraf kehidupan dan golongan, termasuk mualaf.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Mohamed Nordin Ibrahim, berkata program itu bertujuan mengumpulkan pasangan di kalangan belia yang ada keinginan dan keupayaan berkahwin tetapi belum bersedia di segi material.
Menurutnya, inisiatif dilaksanakan bersama YPB harus dipuji kerana dapat mengajak masyarakat meneliti kepentingan hubungan sah kahwin dan sah nasab bagi pembentukan sebuah keluarga Muslim.

“Semua sedia maklum, pelbagai kes sejak akhir-akhir ini membabitkan kahwin lari, pembuangan bayi serta gejala tidak sihat lain meningkat setiap tahun.

“Malah, berdasarkan sumber Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan indeks gejala negatif meningkat daripada 30 hingga 50 peratus sejak 2005 hingga 2011. Gejala ini termasuk wanita hilang dan lari mengikut teman lelaki,” katanya pada pemberita pada majlis Proskap di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, semalam.

Melalui Proskap, setiap pasangan hanya membayar RM5,000 membabitkan majlis akad nikah dan resepsi yang diuruskan sepenuhnya oleh penganjur.

Bayaran itu termasuk jamuan untuk 300 jemputan setiap pasangan, penginapan dua hari satu malam, penajaan dua pasang pakaian bagi majlis akad nikah dan pakej solekan.
Mohamed Nordin berkata, penganjuran program itu dapat mengelakkan pasangan bernikah di luar negara, khususnya Thailand dan Indonesia, dengan alasan kos perbelanjaan perkahwinan yang semakin tinggi.

“Daripada kajian dan pemantauan bersama Jabatan Agama Negeri, ada tiga sebab rakyat Malaysia kahwin lari di negara berkenaan iaitu poligami, hamil sebelum nikah dan wali enggan, tetapi sejak mutakhir ini kita lihat kos perbelanjaan perkahwinan tinggi turut menyumbang kepada faktor itu,” katanya.

Kakitangan swasta, Ridhwan Ibrahim, 26, berkata dia dan pasangannya, Siti Nurhafizah Muhamad Fadzil, 26, memilih pakej itu kerana berpatutan dan mereka tertarik dengan konsep bersederhana untuk majlis perkahwinan seperti disarankan ajaran Islam.

“Zaman sekarang, nak kahwin memerlukan RM10,000 ke atas. Bagi orang muda yang baru bekerja dan ada keinginan berumah tangga, tentu mengambil masa lama untuk menabung.

“Malah, ada yang terpaksa berhutang semata-mata nak buat majlis besar-besaran kerana terlalu mengikut budaya masa kini. Justeru, program ini memudahkan pasangan muda berkahwin secara sederhana seperti digalakkan Islam,” katanya.

ARTIS YANG TERLIBAT DENGAN DADAH..KES KHALWAT..BERGAUL BEBAS...MASALAH DEDAH AURAT DLL... ADAKAH MEREKA NI BOLEH JADI IDOLA...BILA MANUSIA MELAWAN KEHENDAK ALLAH...MENEGAH BERKAHWIN SEJENIS...ADAKAH INI TANDA AKHIR ZAMAN...

Perompak ditinggal rakan dicekup


Shamir menunjukkan pagar kawasan rumahnya yang dipotong sebelum tiga perompak menceroboh masuk ke dalam rumahnya.



ALOR GAJAH – Tiga penjenayah bukan saja tersilap sasaran memilih rumah untuk dirompak malah terpaksa lari bertempiran apabila ditembak tuan rumah sebelum sempat menggeledah rumah tersebut.
Lebih malang, dua daripada mereka cedera ditembak pemilik rumah itu dengan seorang daripada mereka berjaya diberkas. Suspek itu diberkas ketika mengerang kesakitan di kawasan lapang tidak jauh dari rumah mangsa selepas ditinggal rakan-rakannya.
Sebelum itu, tiga penjenayah Indonesia itu menceroboh rumah seorang petani, Mohd. Shamir Fauzi, 28, di Pantai Belimbing, Durian Tunggal di sini.
Sebelum kejadian pukul 4 pagi, Shamir berkata, dia bersama isterinya, Azarita Abd. Rahim, 28, serta anak mereka, Mohamad Reza Fauzi, 4, berada di dalam bilik.
Turut berada di rumah itu, ibu Shamir, Nory Md. Noor, 58, yang tidur di bilik lain.
“Isteri saya ketika itu tidak tidur kerana Reza meragam.
“Saya yang tidur kemudian dikejutkan Azarita apabila dia terdengar bunyi tombol pintu yang dikunci cuba dipusing selain nampak bayang-bayang melalui bawah pintu bilik,” cerita Shamir ketika ditemui di rumahnya itu.
Kata petani itu yang telah mendiami rumah tersebut sejak 21 tahun lalu, dia kemudian mengambil senapang patah dalam bilik tidurnya lalu mengisi dua butir peluru sebelum membuka pintu bilik tersebut.

Air kencing Saiful Apek, tiga rakan ada kandungan dadah


Saiful Apek



PETALING JAYA - Mahkamah Majistret di sini diberitahu bahawa bacaan ujian pengesanan kanabis terhadap air kencing pelakon komedi Mohd. Saifulazam Mohamed Yusoff atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek dan tiga rakannya adalah melebihi takat pengesanan dadah.
Rozita Abdullah, 41, pegawai Sains Jabatan Patologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang berkata, keputusan bacaan ujian itu diketahui selepas ujian pengesanan kanabis dibuat terhadap sampel air kencing empat tertuduh itu pada 22 Jun 2010.
"Begitu juga dengan ujian saringan dadah yang dilakukan ke atas kesemua tertuduh, keputusan kesemua bacaan air kencing melebihi takat yang diperlukan," kata beliau ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad semasa pemeriksaan utama.
Pada 1 November 2011, Saiful Apek, 42, dan tiga rakannya iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28; Shaiful Baharom, 24; dan Noremy Mohamad, 28, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memasukkan dadah kanabis ke dalam badan mereka.

4 ditembak dalam Ford Ranger



KENDERAAN Ford Ranger yang ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki menunggang motosikal.



SEREMBAN – Dua lelaki mati manakala dua rakannya cedera selepas ditembak dua penjenayah ketika empat sahabat itu menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Datuk Bandar Tunggal di sini kelmarin.
Sebelum kejadian pada pukul 9.50 malam, kenderaan Ford Ranger dinaiki empat sahabat itu tiba-tiba dihampiri dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal sebelum pembonceng motosikal terbabit melepaskan tembakan ke arah empat sahabat itu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, empat mangsa dalam kenderaan itu cedera kerana masing-masing terkena tembakan menyebabkan pemandu kenderaan itu terus memandu kenderaan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini untuk mendapatkan rawatan.
Jarak antara lokasi kejadian dengan HTJ kira-kira dua kilometer.
“Semasa kejadian, kenderaan dinaiki empat mangsa bergerak perlahan kerana menghampiri persimpangan lampu isyarat. Pada masa sama sebuah motosikal dinaiki dua lelaki melepaskan tembakan ke arah kenderaan itu,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini semalam.

Hajat ke Chiangmai berakhir di HTJ



KEADAAN bas persiaran yang terbabas selepas melanggar sebatang pokok di Jalan Gadong Jaya, Nilai semalam.



NILAI - Hajat 28 penumpang sebuah bas persiaran untuk bercuti di Chiangmai, Thailand tidak kesampaian apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di Jalan Gadong Jaya berhampiran Kampung LBJ di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu menyebabkan pemandu bas, K. Gunachandar, 52, maut ketika dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJ) manakala semua penumpang cedera.
Jurucakap polis berkata, bas terbabit membawa sembilan lelaki dan 19 wanita berusia 40 hingga 72 tahun dalam perjalanan dari Tampin dekat sini menuju ke Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang.
Semua penumpang itu berasal dari beberapa kawasan sekitar Tampin di sini.
Jarak antara Tampin dan lokasi kejadian kira-kira 80 kilometer.
Menurut beliau, sampai di lokasi kejadian pemandu bas berkenaan dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika melalui satu selekoh sebelum terbabas ke tepi jalan lalu melanggar sebatang pokok.

Letupan buat Afendi terpelanting



UMI NURUL AEISYATUN menunjukkan sepasang kain baju Melayu yang dibeli oleh Mohd. Rosli untuk majlis perkahwinan mereka di Kampung Baru Kuala Abang, Dungun semalam.



DUNGUN – “Sebelum kejadian, saya dengar bunyi gas bocor sebanyak tiga kali sebelum terdengar bunyi letupan kuat yang menyebabkan saya terpelanting.”
Itu pengalaman ngeri dialami salah seorang mangsa, Mohd. Afendi Yahya, 32, dalam kejadian letupan gas di Loji Pemprosesan Petronas, Kerteh, Kemaman kelmarin yang meragut nyawa rakannya Mohd. Rosli Mansor, 31.
Menurutnya, beberapa saat sebelum letupan kuat itu berlaku, dia berada hanya beberapa meter dari penutup bay hole loji berkenaan iaitu tempat gas itu bocor dan meletup.
Jelas Mohd. Afendi, pada mulanya dia cuba mencari punca bunyi kebocoran gas itu dan apabila bunyi sama berulang sebanyak tiga kali, dia yang dapat menjangkakan sesuatu perkara buruk akan berlaku cuba melarikan diri.
Bagaimanapun, jelasnya, belum sempat dia berbuat apa-apa, satu letupan kuat berlaku diikuti dengan percikan api dan pada masa itu dia tidak menyedari bahawa rakannya terjatuh ke dalam bay hole itu.
“Saya bernasib baik kerana hanya melecur sikit sebab kena percikan api tetapi nasib tak menyebelahi rakan saya,” katanya ketika menghadiri majlis pengkebumian Mohd. Rosli di Kampung Baru Kuala Abang dekat sini, semalam.

Pesakit bakal dibebani kos rawatan



KOS rawatan pesakit di Hospital Serdang dijangka meningkat sekiranya pengurusannya diambil alih oleh UPM.



KUALA LUMPUR – Kira-kira satu juta pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Serdang bakal berhadapan masalah bayaran kos rawatan lebih tinggi jika pengurusannya diambil alih oleh pihak Universiti Putra Malaysia (UPM).
Setiausaha Ahli Lembaga Pelawat (ALP) Hospital Serdang, Dr. M. Mahendran (gambar) berkata, sewajarnya hospital itu terus berada di bawah pengurusan Kementerian Kesihatan Malaysia agar rakyat yang tidak berkemampuan mendapatkan rawatan di situ.
“Pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital ini bukan sahaja terdiri daripada penduduk sekitar Serdang malah pesakit dari negeri lain seperti Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Wilayah Persekutuan dan Selangor.
“Hospital Serdang merupakan hospital pakar yang menawarkan kos rawatan yang rendah dan mampu dibayar oleh para pesakit serta menjadi tumpuan bagi pesakit jantung menjalani rawatan selain Institut Jantung Negara,” katanya pada sidang akhbar di Hospital Serdang dekat sini semalam.

Wanita kelihatan tua jalani rawatan


WAJAH baharu Mai (dua dari kiri) kelihatan muda semasa dia bergambar dengan adik lelakinya (dua dari kanan) dan Chen (kiri) di Taipei semalam.



TAIPEI - Seorang wanita muda Vietnam, Nguyen Thi Ngoc Mai yang kelihatan seperti berumur 70 tahun walaupun usianya baru 28 tahun kini menjalani rawatan perubatan di Taiwan, kata beberapa doktor semalam.
Mai mula menghidap sindrom Werner yang menyebabkan dia kelihatan tua sejak berumur 10 tahun.
Dia sebelum ini tidak mampu menjalani rawatan kerana mengalami masalah kewangan.
Menurut beberapa doktor di Hospital Universiti Perubatan China, dia sukar berjalan dan mengalami masalah kesihatan sebelum datang ke Taiwan pada April lalu.
Mai menjalani pembedahan plastik dan beberapa pembedahan lain bagi mempermudakan penampilannya, kata mereka.
Dia turut menjalani rawatan kulit dan paru-paru.
Doktor-doktor menyatakan, dia merupakan pesakit pertama sindrom tersebut di negara ini.
Wanita itu akan mengambil ubat-ubatan dan mengelak diri daripada terkena cahaya matahari.
"Saya seperti dilahirkan semula dan terdapat harapan dalam kehidupan saya," katanya menerusi jurubahasa di sini.
Semasa dia bergambar dengan adik lelakinya dan doktor pembedahan plastik, Hung-Chi Chen di sini semalam, wajahnya kelihatan semakin muda selepas dia menjalani rawatan. - Agensi

Obama perjelas isu perkahwinan gay


OBAMA



LOS ANGELES - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyatakan perkahwinan sejenis merupakan perkembangan munasabah ke arah menjadikan negara AS yang lebih adil dan saksama.
Obama membuat penjelasan itu pada majlis makan malam bagi mengumpul dana kempen politik beliau di bandar Studio, California kelmarin.
"Walaupun sokongan saya terhadap perkahwinan sejenis mengejutkan, ia merupakan perkembangan yang munasabah buat AS. Bukankah kita merupakan sebuah negara untuk semua (temasuk golongan gay dan lesbian)?"
"Adakah ia (sokongan kepada golongan gay) akan menjadikan kita lebih kuat? Saya percaya ia dapat mencapai objektif tersebut," kata Obama.
Sekitar 150 tetamu membayar tiket AS$40,000 (RM122,847) bagi menghadiri majlis itu yang berjaya mengumpul sekitar AS$15 juta (RM46 juta).
Ketua Animasi DreamWorks, Jeffrey Katzenberg mengendalikan kempen kutipan derma itu untuk kempen politik Obama.
Turut hadir pada majlis itu ialah pelakon terkenal, George Clooney, aktres Salma Hayek, aktor Tobey Maguire, Barbra Streisand, Jack Black dan Robert Downey Jr.
Obama akan bertanding semula dalam pilihan raya presiden AS pada hujung tahun ini. - Agensi

KADANG2 DE BETULNYA...BAGAIMANA KES LEMBU 250 JUTA....KES MAS LUPUS HUTANG JUTAAN RINGGIT...HANYA MELIBAT DUA INDIVIDU AJE...

2 madu pegang amanat

Oleh Haidhar Hilmi
am@hmetro.com.my

SEHATI SEJIWA...Jainah dan Minah menghabiskan sisa hidup bersama.
SEHATI SEJIWA...Jainah dan Minah menghabiskan sisa hidup bersama.
BATU PAHAT: Walaupun suami mereka sudah enam tahun meninggal dunia, dua wanita warga emas yang hidup bermadu tetap selesa tinggal sebumbung di rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kampung Muhibbah, Jalan Peserai Lama, di sini.
Keikhlasan dua wanita itu membuktikan persefahaman utuh antara mereka yang terjalin sejak puluhan tahun lalu ketika tinggal bersebelahan di rumah panjang tanpa bilik di Batu 3, Tanjung Labuh, dekat sini, ketika suami masih hidup.
Berbekalkan beberapa petua, kedua-dua madu itu bukan saja mengelak perselisihan faham, malah hidup bahagia sejak berkahwin walaupun dihimpit kemiskinan.

Jainah Diso, 61, isteri pertama arwah Abdul Aziz Asot berkata, arwah suami berpesan supaya mereka saling menjaga diri masing-masing dan hidup bersama tanpa mengira keadaan susah atau senang.


Menurutnya, sejak arwah suami memberitahu hasrat berkahwin dengan seorang wanita dari Minyak Beku, di sini, pada pertengahan 1980-an, dia menerima berita itu dengan reda.

‘Pisau lekat di dada’

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Husni Mohd Noor
am@hmetro.com.my

PARAH...Norziatul Akma terlantar 
di hospital akibat ditikam penjenayah.
PARAH...Norziatul Akma terlantar di hospital akibat ditikam penjenayah.
TAIPING: “Biarpun bermandi darah akibat ditikam bertubi-tubi oleh perompak, saya tetap melawan dalam keadaan pisau masih tertusuk di dada,” kata Norziatul Akma Tajuddin, 22, yang menjadi mangsa serangan seorang perompak, tengah hari semalam.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa yang menjaga kedai dobi milik kakaknya di Jalan Air Kuning, Changkat Jering, dekat sini, ditikam empat kali oleh seorang lelaki yang menyamar pelanggan.
Norziatul Akma berkata, lelaki tempatan yang berusia awal 20-an itu masuk ke kedai dan berpura-pura bertanya harga upah bagi membasuh kain langsir seberat satu kilogram.

“Disebabkan tidak pasti berapa harganya, saya segera menghubungi kakak (Rosliana Tajuddin, 28) yang ketika itu berada di rumah untuk mendapatkan kepastian.


“Bagaimanapun, lelaki itu tiba-tiba meluru sebelum mengeluarkan pisau dan meletakkannya di leher saya. Dia kemudian mengarahkan saya supaya jangan melawan dan menyuruh saya berjalan ke arah belakang premis,” katanya yang masih dirawat di Wad 17, Hospital Taiping, di sini.

Serangan kamikaze

Oleh Yusmawati Mhd Yusof dan Arifin Salleh
am@hmetro.com.my

SIASAT...anggota polis forensik mengumpul bahan bukti dalam kes pecah rumah, semalam.
SIASAT...anggota polis forensik mengumpul bahan bukti dalam kes pecah rumah, semalam.
BUKTI...Raja Shahrom menunjukkan peralatan yang digunakan suspek.
BUKTI...Raja Shahrom menunjukkan peralatan yang digunakan suspek.
ALOR GAJAH: “Sebaik membuka pintu bilik, saya nampak seorang lelaki sebelum dia membaling pemotong besi yang mengenai kepala menyebabkan saya melepaskan sedas tembakan ke arah kaki kirinya,” kata mangsa samun bersenjata, Mohd Shamir Fauzi, 28.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi di Pantai Belimbing, Durian Tunggal, dekat sini, rumah didiami Mohd Shamir bersama isteri, Azarita Abd Rahim, 28, ibunya Nory Md Noor, 58, serta anak tunggal mereka, Muhammad Reza Fauzi, 2, dipecah masuk tiga lelaki bersenjatakan parang, pisau dan pemotong besi.
Bagaimanapun, cubaan ketiga-tiga suspek untuk menyamun rumah berkenaan gagal apabila seorang daripada mereka cedera di kaki kiri dan seorang lagi cedera di perut akibat terkena tembakan senapang patah dilepaskan Mohd Shamir yang turut cedera di dahi.

Seorang lelaki warga Indonesia berusia 37 yang ditembak di kaki, berjaya ditahan polis kira-kira 100 meter dari rumah mangsa dalam keadaan mengerang kesakitan manakala rakannya yang cedera di perut serta seorang lagi sempat melarikan diri.


Mohd Shamir berkata, sejurus dia melepaskan satu tembakan, seorang rakan penjenayah itu yang turut berada dalam rumah, menjerit sambil membaling basikal, kerusi dan pelbagai peralatan ke arah saya yang mengarahkan mereka menyerah diri.

Empat ‘polis’ samun RM58,000

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Berbekalkan lencana polis dan mendakwa pegawai siasatan dari Bukit Aman, empat lelaki tempatan nekad menyamun sebuah pejabat swasta di Menara Haw Par, di sini, jam 4 petang, kelmarin.
Difahamkan, dalam kejadian berkenaan, keempat-empat suspek yang bersenjatakan pistol itu melarikan mata wang asing berjumlah AS$11,000 (RM33,000) dan wang tempatan, RM25,000 serta barangan berharga lain di pejabat berkenaan.

Bagi meyakinkan mangsa mereka pegawai polis, kumpulan lelaki itu mengarahkan pengarah syarikat dan semua stafnya menjalani ujian air kencing kerana mendakwa mereka ke pejabat itu atas arahan pihak atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sumber polis berkata, pengarah syarikat berkenaan dipaksa membuka peti keselamatan sebelum melarikan wang bernilai lebih RM58,000 termasuk mata wang asing. Mereka turut merampas telefon bimbit dan komputer riba milik staf syarikat berkenaan.

“Tidak cukup dengan itu, kumpulan terbabit turut mengugut meletakkan sepeket kecil serbuk putih dipercayai dadah di pejabat berkenaan sekiranya mangsa enggan bekerjasama dengan ‘siasatan’ mereka,” katanya.

Sumber berkata, pengarah syarikat berkenaan yang tertipu dengan penyamaran suspek meminta kebenaran mereka untuk menghubungi peguam syarikat bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, kumpulan suspek naik angin selepas mangsa memaklumkan akan menghubungi peguam dan ketika itu, pengarah syarikat berkenaan baru tersedar mereka penjenayah dan bukan polis.

Katanya, akibat risau penyamaran mereka terbongkar, suspek menolak pengarah syarikat itu ke dalam pantri dan menguncinya dari luar sebelum melarikan diri.
Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan dijalankan.

Kembar seiras, rakan

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

KUANTAN: Selama 16 tahun menggunakan kad pengenalan milik rakan yang mempunyai wajah miripnya, seorang pendatang tanpa izin warga Indonesia dikesan melakukan pelbagai urusan termasuk membuat pinjaman bank, memohon lesen memandu serta mendaftarkan perkahwinan dengan seorang wanita tempatan.
Lelaki berasal dari Jawa Barat yang masuk ke negara ini 18 tahun lalu menggunakan pasport sah, tidak pulang ke negaranya, sebaliknya menetap secara haram di beberapa negeri sebelum melarikan diri ke Kuantan dan bertemu seorang warga tempatan yang menjadi rakan karibnya.

Secara kebetulan, wajah mereka hampir sama dan selepas berkawan baik selama beberapa tahun, rakannya itu menyerahkan kad pengenalan miliknya kerana kasihankan warga asing berkenaan.
Rakan lelaki terbabit membuat aduan mendakwa kad pengenalan miliknya hilang dan membawa salinan laporan polis ketika memohon membuat MyKad baru di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Dengan kad pengenalan itu, pendatang asing berkenaan memulakan hidup baru sebagai buruh dan menyamar diri sebagai rakyat negara ini sehingga membolehkan dia membuat pinjaman bank untuk membeli kereta, mendapatkan lesen memandu dan berkahwin dengan seorang gadis tempatan hingga mendapat tiga cahaya mata.

Sekali imbas, sukar bagi mana-mana pihak mengatakan bahawa lelaki itu warga Indonesia kerana gaya pertuturannya sudah menyamai rakyat tempatan.

Bagaimanapun, tembelang lelaki berusia 40 tahun itu terbongkar apabila ditahan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Pahang, Mohd Rozi Ghazali bersama pegawainya ketika membuat serbuan di kediaman lelaki terbabit di Jalan Darat Makbar, di sini, jam 11 pagi kelmarin.

Pengarah Imigresen Pahang, Datuk Mohamad Nasir Osman berkata, pihaknya mengintip gerak-geri lelaki terbabit sejak sebulan lalu termasuk mengenal pasti kediaman, jenis kenderaan serta pekerjaannya.
Menurutnya, ketika pintu rumah lelaki terbabit dibuka selepas diketuk beberapa kali, warga asing berkenaan kelihatan tenang memperkenalkan dirinya dan dengan senang hati menunjukkan ‘kad pengenalan bermutu tinggi’ yang didakwa miliknya itu.

Katanya, ketika meneliti kad pengenalan itu, pegawainya mendapati gambar terpampang padanya sama dengan wajah lelaki berkenaan, sekali gus menyebabkan pihaknya sukar mengesan identiti sebenar lelaki terbabit.

“Atas rasa curiga, kami membawa lelaki berkenaan ke JPN untuk pemeriksaan lanjut dan ketika itu, lelaki terbabit mula kelihatan tidak senang duduk dan cemas sepanjang perjalanan ke JPN.

“Belum sempat tiba di JPN, dia akhirnya mengaku statusnya sebagai pendatang dan menggunakan kad pengenalan bermutu tinggi milik rakannya sejak 16 tahun lalu iaitu selepas tarikh pasport miliknya tamat tempoh,” katanya di sini, semalam.

Mohamad Nasir berkata, lelaki terbabit dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Ajil, Terengganu manakala pihaknya mengesan pemilik sebenar kad pengenalan dipegang lelaki itu.

Penjenayah mengerang tepi rumah

ALOR GAJAH: Seorang penjenayah warga asing ditemui mengerang kesakitan di tepi rumah yang disamunnya di Kampung Pantai Belimbing, Durian Tunggal, di sini, selepas terkena tembakan senapang patah, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, suspek berusia 37 tahun cedera di kaki kiri selepas ditembak pemilik rumah, Mohd Shamir Fauzi, 28, yang cuba disamunnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, tiga suspek menceroboh masuk rumah mangsa melalui pintu depan selepas memotong jeriji besi.
“Mereka pergi ke bilik mangsa, namun kehadirannya disedari penghuni rumah yang melepaskan dua das tembakan senapang patah.

“Mangsa yang terpaksa mempertahankan diri selepas dibaling dengan alat pemotong besi dan diserang menggunakan parang, melepaskan dua tembakan dan mencederakan dua suspek,” katanya.

“Seorang suspek yang cedera kaki kiri ditahan polis yang tiba tidak lama kemudian manakala seorang lagi dipercayai cedera di perut, berjaya melarikan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, suspek yang ditahan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan itu mempunyai pasport sah dan baru masuk ke negara ini enam hari lalu.

Empat rakan suspek belasah isteri ditahan



KUCHING: Penahanan seorang lelaki yang terbabit dalam kes mendera isteri, petang kelmarin, membawa kepada penahanan empat lagi rakannya yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah di dua lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini, petang semalam.
Menurut jurucakap polis, hasil soal siasat, suspek pertama berusia 45 tahun yang ditahan di rumahnya di Pangsapuri Batu Kawa, semalam kerana dipercayai memukul isterinya seorang warga Indonesia dengan kayu golf dan tali pinggang sehingga tidak sedarkan diri. Polis mendapati dia pernah terbabit dalam kegiatan pecah rumah.

Beliau berkata, susulan penahanan itu, polis melakukan soal siasat yang menyaksikan serbuan pertama di sebuah Pangsapuri di Batu Kawa di sini, jam 3 petang semalam yang berjaya menahan tiga lelaki berusia antara 28 dan 44 tahun.
“Dalam serbuan kedua di sebuah rumah teres di Tabuan Desa ini, polis menahan seorang lelaki yang juga ahli kumpulan yang sama berusia 40 tahun.

“Ada antara suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah pecah rumah dan kumpulan ini terbabit aktif dalam kegiatan pecah rumah di sekitar bandar raya ini.

“Semua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan polis percaya penangkapan itu dapat menyelesaikan kes pecah rumah yang berlaku kebelakangan ini,” katanya.

Harian Metro, semalam melaporkan, seorang isteri dibelasah sehingga pengsan oleh suaminya menggunakan kayu golf dan tali pinggang apabila mendakwa wanita itu mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Perbuatan lelaki itu terbongkar selepas anak perempuannya berusia 12 tahun menulis nota ‘Tolong selamatkan ibu saya’ di atas sekeping kertas dan membuangnya dari tingkat 13 pangsapuri berkenaan untuk mendapatkan pertolongan gara-gara tidak tahan melihat ibunya didera lelaki terbabit.

‘Maaf kutuk awak’



KUALA LUMPUR: “Saya meminta maaf kerana kutuk awak. Apa pun, terima kasih kerana buka mata banyak pihak mengenai hal ini.”
Itu antara maklum balas pembaca akhbar ini menerusi laman facebook Harian Metro, semalam selepas membaca pengakuan Noor, rakan kepada ibu yang mendera bayi berusia 10 bulan yang disiarkan kelmarin.

Menerusi siaran secara ’online’ di facebook Harian Metro, berita itu mencatatkan 381 ulasan pembaca yang majoritinya menerima penjelasan terbabit walaupun ada segelintir yang masih marah dengan rakaman yang dibuat Noor walaupun dia sudah memberitahu keadaan sebenar mengapa video terbabit dirakam.
Pada masa sama, seramai 422 pembaca berkongsi rangkaian berita berkenaan diselangi video temuramah wartawan kami di facebook masing-masing yang rata-ratanya memihak kepada Noor.

Menerusi siaran melalui laman Youtube pula, sejak semalam, seramai 63,334 yang menyaksikan rakaman itu termasuk 262 ulasan dibuat yang turut menerima penjelasan berkenaan.

Antara syukur, sindiran sinis

Oleh Lokman Zainal Abidin

Cerita 1: “RM15,000 je? Saya langsung tidak heran, sekali kait buah boleh dapat lebih daripada itu. Memang tak ikhlas langsung nak beri kat kita. Kalau setakat RM15,000 tu, baik tak payah...” Itu antara nada-nada tidak puas hati atau riak yang penulis dengar ketika melepak di warung kopi di perkampungan Felda berdekatan Jerantut, Pahang.
Mulanya, penulis ingin memberi pendapat tetapi belum sempat mencelah, seorang lelaki tua yang duduk semeja dengan individu berkenaan bangun menepuk meja sambil berkata: “Jika kamu tak heran, ada beratus ribu peneroka lagi yang heran. Sedarlah sikit bukan semua peneroka bernasib baik macam awak yang sekali kait buah boleh dapat berpuluh-puluh tan.

“Awak tahu tak, sebahagian besar peneroka tak pernah tengok pun duit sebanyak itu? Kalau awak rasa tak heran dan tak nak duit tu, awak sedekahkan kat masjid kampung kita, dapat juga pahala,” kata warga emas itu sambil menghidupkan enjin motosikal buruknya dan beredar, mungkin enggan perbalahan itu berpanjangan.
Cerita 2: “Aku nak beli bot fiber, pacuan empat roda terpakai dan besarkan rumah. Bakinya aku nak simpan. Untuk anak-anak, tak payah la sebab mereka pun dah bekerja di Kuala Lumpur dan dapat gaji besar.

“Aku dah lama hidup susah. Biarlah aku nak merasa senang sikit. Dengan bot dan pacuan empat roda tu nanti, bolehlah aku masuk hutan untuk menjala dan memancing.” Itu satu lagi fakta yang mungkin boleh memakan diri sendiri kerana sepatutnya wang itu digunakan untuk perkara lain yang berfaedah seperti menabung atau menunaikan haji.

Begitupun, individu berkenaan terduduk dan tidak berkata apa selepas jumlah yang diumumkan lebih rendah daripada yang difikirkan sebelum ini kerana apa yang ada di dalam benaknya ialah kerajaan akan memberi durian runtuh berjumlah lebih RM30,000.

Cerita 3: “Nasib baik Perdana Menteri tetapkan RM5,000 untuk ketua keluarga, RM5,000 untuk isteri dan RM5,000 lagi untuk anak-anak. Jika tidak aku bimbang kes seperti di Felda Sendayan (di Negeri Sembilan) berulang semula.

“Pak cik aku yang duduk di Felda Sendayan pernah dapat duit lebih sejuta tetapi rumah tangga berantakan. Dia siap kahwin baru dan anak-anaknya berterabur. Semuanya gara-gara dapat duit banyak tetapi tidak pandai menguruskan.
“Dengan pengumuman RM5,000 untuk anak-anak, aku yakin mereka (anak-anak) tidak akan berebut kerana ia lebih mudah untuk dibahagikan sama rata.

“Jika pasal duit ni, adik-beradik pun boleh berparang dan bermasam muka. Aku harap perkara tu tak terjadi kerana bukan banyak sangat sampai kita nak berpatah arang berkerat rotan dengan adik-beradik,” kata seorang anak peneroka yang juga teman penulis sejak kecil. KETIGA-TIGA cerita disebelah bukanlah rekaan semata-mata sebaliknya kisah benar yang penulis dengar sendiri ketika pulang ke kampung di di Felda Kota Gelanggi 4, Jerantut, Pahang, pada hari sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan durian runtuh RM15,000 kepada 112,635 peneroka, isteri dan anak masing-masing membabitkan peruntukan RM1.689 bilion.

Durian runtuh itu dibahagikan kepada tiga fasa iaitu sebanyak RM5,000 diserahkan kepada setiap ketua keluarga peneroka manakala fasa kedua dengan jumlah sama akan diserahkan kepada isteri peneroka sebaik fasa pertama selesai.

Baki RM5,000 lagi akan diagihkan kepada anak-anak peneroka selepas selesai proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) di Bursa Malaysia, bulan depan.

Selain wang itu, kira-kira 20,000 pegawai dan kakitangan Kumpulan Felda akan menerima bonus tambahan dua setengah bulan gaji.

“Saya juga suka untuk mengumumkan durian gugur iaitu tabung amanah khas yang membolehkan peneroka menerima dividen menerusi keuntungan FGVH selepas disenaraikan dalam Bursa Malaysia.

“Tawaran borang biru untuk pemilikan saham dan tambahan bantuan dana Yayasan Felda bagi membantu program baik pulih kampung-kampung lama dan tradisional sekitar Felda,” kata Perdana Menteri ketika mengumumkan perkara itu, baru-baru ini.

Sebenarnya apa yang berlaku dan kata-kata sinis itu bukan berkaitan jumlah yang diumumkan sebaliknya ia lebih kebencian atau tidak senang mereka terhadap kerajaan menghargai warga Felda. Mereka bukan tidak mahukan duit berkenaan dan penulis fikir tidak ada siapa yang menolak rezeki, cuma sebagai manusia mereka sentiasa berasakan tidak puas hati atau tidak pernah bersyukur.

Itu jugalah yang berlaku ketika kerajaan mengumumkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sedikit masa lalu.

Walaupun ramai mendakwa wang RM500 itu tidak lebih daripada sekadar rasuah untuk rakyat, mereka turut berebut-rebut malah tidak segan silu beratur panjang mendaftarkan diri untuk menerima habuan itu.

Benarlah kata Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad bahawa berapa saja yang diumumkan kerajaan, pasti ada pihak yang tidak puas hati dan mencari alasan atau kata-kata sinis untuk menghentam kerajaan.

Banyak lagi yang diperkatakan peneroka berhubung pemberian durian runtuh itu dan ketika sebahagian besar peneroka menadah tangan sambil mengucapkan syukur atas pemberian itu, ada yang masih merungut dan mendakwa mereka sepatutnya mendapat habuan lebih besar.

Inilah yang dikatakan manusia tidak pandai bersyukur dan jika ada sikap ini dalam diri mereka, berapa banyak pun yang diberikan, mereka tetapi tidak berpuas hati.

Selaku generasi kedua, penulis berpendapat jumlahnya soal kedua tetapi faktor keikhlasan dan keprihatinan kerajaan untuk membantu warga Felda sepatutnya dihargai.

Bayangkan sepanjang 50 tahun penubuhan Felda, inilah kali pertama kerajaan bermurah hati memberikan wang kepada warga peneroka dan tidak salah jika kita mengucapkan terima kasih, mungkin ada lagi rezeki yang akan diberikan.

Namun, sebagai waris peneroka, penulis amat berharap masalah-masalah yang masih membelenggu warga Felda seperti isu geran tanah dan keperluan asas dapat diselesaikan dengan segera kerana lagu-lagu inilah yang sering didendangkan peneroka sehingga kini.

Penulis Ketua Biro Harian Metro Pahang

Terpelanting ikut tingkap

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my

NILAI: “Saya serta suami panik apabila bas terhuyung-hayang dan beberapa minit kemudian kami terpelanting keluar melalui tingkap depan. Semua penumpang bas ketika itu menjerit dan ada yang memecahkan tingkap bas untuk menyelamatkan diri,” kata Law Tau Fong, 62, semalam.
Warga emas itu antara 28 penumpang bas dari Tampin yang terbabas dan melanggar pokok lalu terbalik di Batu 11, Jalan Gadong Jaya, dekat sini, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu mengorbankan pemandu bas, K Gunachandar, 52, yang mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) akibat mengalami kecederaan parah selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Difahamkan, rombongan itu dalam perjalanan ke Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang untuk bercuti ke Chiangmai, Thailand.


Menurut Law, kejadian berlaku sejam selepas bas berkenaan bertolak dan sebahagian besar penumpang sedang tidur

Bas melekat di pokok



NILAI: Pemandu sebuah bas persiaran yang dalam perjalanan membawa 28 penumpang ke Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang, terbunuh selepas kenderaan itu terbabas dan merempuh pokok di Batu 11, Jalan Gadong Jaya, dekat sini, awal pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu turut menyebabkan tujuh penumpang, rata-ratanya wanita warga emas cedera termasuk seorang masih kritikal.

Pemandu bas berkenaan, K Gunachandar, 52, maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), dekat sini. Jurucakap polis berkata, bas yang membawa sembilan lelaki dan 19 wanita berusia antara 40 hingga 72 tahun itu dalam perjalanan dari Tampin ke LCCT.
“Setiba di tempat kejadian, pemandu bas dipercayai gagal mengawal kenderaannya di satu selekoh lalu terbabas dan melanggar pokok serta terbalik.

“Mangsa meninggal dunia akibat cedera teruk di kepala dan badan manakala semua penumpang yang cedera dirawat di HTJS termasuk seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU),’’ katanya di sini, semalam.

Menurutnya, kemalangan mengakibatkan bahagian depan bas itu remuk teruk yang terpaksa dipotong pihak bomba untuk mengeluarkan mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Tiga ibu rayu anak pulang

Oleh Muhammad Izzat Mustafa
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Bersempena Hari Ibu, Ahad ini, tiga ibu merayu agar anak perempuan masing-masing pulang ke pangkuan keluarga selepas melarikan diri dari rumah.
Bagi mereka, kepulangan anak tersayang itu adalah paling bermakna sempena hari berkenaan.

Seorang suri rumah, Che Nolia Hassan, 54, berkata anak bongsunya daripada tiga beradik tidak pulang ke rumah di Rawang, sejak Julai tahun lalu.
Beliau berkata, anaknya yang juga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor, Noor Haffiza Ibnu Hajar, 24, disedari hilang kira-kira jam 9 pagi dipercayai lari mengikut teman lelaki dengan menaiki kereta Proton GEN 2 yang sudah menunggu berhampiran rumahnya.

“Ada seorang saksi iaitu pengawal keselamatan di kawasan perumahan melaporkan ternampak Noor Haffiza mengikut dua lelaki dalam kereta berkenaan. Sebelum kejadian, kami tidak bertengkar dan anak saya itu berkelakuan seperti biasa menyebabkan saya sekeluarga tidak mengesyaki apa-apa.

“Namun, saya terkejut apabila mendapati biliknya kosong manakala pakaiannya tiada dalam almari ketika mahu mengajaknya bersarapan sebelum diberitahu pengawal keselamatan yang ternampak anak saya bersama dua lelaki,” katanya pada sidang media di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, semalam.

Seorang lagi suri rumah, Yong Mai Hoe, 44, turut melaporkan anak perempuannya, Kong Wei Yan, 16, lari mengikut teman lelakinya yang dipercayai warga Nigeria dikenali sebagai Prince, Selasa lalu. “Saya khuatir anak tunggal saya ditipu lelaki kulit hitam yang baru dikenalinya selama lapan bulan itu dan dipaksa melacur dalam sindiket pelacuran membabitkan gadis bawah umur,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ibu malang, Lee Eng Leng, 45, berharap anak perempuannya, Toh Poh Kiew, 20, pulang ke rumah selepas keluar rumah pada Disember tahun lalu kerana merajuk akibat tidak dapat melanjutkan pelajaran berikutan masalah kewangan dihadapi keluarga.
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, berkata, pihaknya menerima enam laporan kes sama sejak awal tahun ini membabitkan gadis berusia 20 tahun ke bawah.

“Oleh itu, kami merayu sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai gadis berkenaan boleh menghubungi kami di talian 03- 2203388,” katanya.

Cincin jadi kenangan

Oleh Mohd Nasif Badruddin, Zatul Iffah Zolkiply, Zaid Salim dan Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my

DUNGUN: “Kain baju Melayu dan cincin pertunangan ini akan saya jadikan sebagai kenangan hari perkahwinan kami pada hujung tahun ini,” kata Umi Nurul Aeisyatun Jaafar, 22, tunang kepada Rosli Mansor, 31, yang maut dalam kejadian letupan gas di tapak Loji Pemprosesan Gas (GPP) 3 di kawasan Perindustrian Petronas Kerteh, di sini jam 3 petang kelmarin.
Umi yang disenangi dengan panggilan Along berkata, sebelum kejadian, arwah membeli kain berkenaan sebanyak dua pasang untuk dibuat baju Melayu bagi dipakai ketika majlis akad nikah dan hari raya Aidilfitri.

“Saya sedih apabila hajatnya memakai baju berkenaan tidak kesampaian kerana dia pergi terlebih dulu meninggalkan saya dan keluarga buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di Kampung Baru, Kuala Abang, di sini, kira-kira jam 2 pagi, semalam.
Umi yang mengenali arwah sejak lima tahun sebelum mengikat tali pertunangan pada 11 November tahun lalu berkata, kali terakhir dia bertemu tunangnya pada dua minggu lalu di kedai makan tempat dia bekerja di bandar ini dan ketika itu arwah hanya melihat dia dari jauh.

“Ketika itu saya sedang sibuk melayani pelanggan dan berhasrat menghampiri mejanya, tetapi dalam kesibukan itu saya tidak menyedari arwah keluar semula daripada kedai.

“Saya kesal kerana kami tidak sempat berbual dan arwah hanya memandang saya daripada jauh saja,” katanya yang bercadang melangsungkan perkahwinan pada 12 Disember depan.

Katanya, arwah seorang lelaki penyayang serta ringan tulang selain disenangi keluarganya dan reda dengan pemergiannya selain mendoakan semoga arwah ditempatkan bersama orang yang soleh.

Sementara itu, seorang daripada kakak mangsa, Yati, 38, berkata arwah adiknya seorang yang disenangi dalam keluarga dan penduduk kampung.
Menurutnya, sejak pemergian bapa, Mansor Abd Rahman, 50, dia serta adik-beradik lain banyak bergantung harap kepada arwah. Jenazah Rosli selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Kuala Abang, semalam

Friday, May 11, 2012

ADAKAH PERSEMBAHAN ARTIS TIDAK HARAM...BERCAMPUR GAUL BEBAS...PAKAIAN TAK IKUT SYARIAT...MAJLIS MELALAIKAN...APA KOMEN MAJLIS FATWA...

Restoran guna sos babi diserbu


SEORANG penguat kuasa JAIS melihat menu makanan yang dijual di sebuah restoran menggunakan logo halal swasta di Kuching semalam.


KUCHING – Sebuah premis makanan di pusat beli-belah The Hills di sini diserbu Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) kerana menggunakan logo halal tidak sah yang dikeluarkan pihak swasta.
Premis makanan itu juga didapati menggunakan sos tomato yang disahkan tidak halal selepas ujian oleh Jabatan Kimia sebelum ini mendapati ia mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Kuala Lumpur, Azizan Shaari berkata, pemeriksaan dilakukan selepas mendapat maklumat daripada orang awam yang meragui logo halal di premis terbabit.
“Justeru, kita telah memberi amaran kepada pengusaha restoran itu dan memberi peluang untuk mereka memohon logo halal yang sah dikeluarkan oleh Jakim atau JAIS.
“Jika pemeriksaan seterusnya mendapati mereka masih menggunakan logo yang sama, tindakan akan diambil mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dikenakan denda RM200,000 bagi kesalahan pertama manakala RM500,000 untuk kesalahan kedua,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

6 artis popular beraksi di Sarawak


MISHA OMAR


KUCHING - Enam penyanyi terkenal tanah air iaitu Amy Search, Misha Omar, Bob, Akim, Nera dan Iwan Dasri akan menghiburkan peminat pada konsert Fiesta Bumi Kenyalang Kosmo! yang akan diadakan di sini pada Ahad ini.
Konsert yang bakal berlangsung di The Square Tower, Tebingan Kuching di sini dari pukul 8 hingga 11 malam itu diadakan sempena pelancaran akhbar kompak Kosmo! di Sarawak. Kosmo! mula masuk pasaran Sarawak pada 7 Mei lalu.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman ketika dihubungi mengakui teruja untuk membuat persembahan pada konsert tersebut.
"Saya memang tidak sabar untuk kembali mengadakan konsert di Sarawak setelah setahun tidak membuat persembahan di negeri itu," ujarnya semalam.

Polis didakwa bunuh rakan


INILAH lokasi tempat Muhammad Sobri ditembak ketika bertugas di pintu masuk Istana Anak Bukit, Alor Setar pada 26 April lalu.


ALOR SETAR - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh rakan sekerjanya pada bulan lepas.
Rosli Abu Hasan, 25, dituduh membunuh Konstabel Muhammad Sobri Md. Sidek, 22, di pintu masuk utama Istana Anak Bukit di sini pukul 5.45 petang pada 26 April lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sobri dan Rosli kedua-duanya anggota polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kedah bertugas sebagai pengawal Istana.
Tertuduh mengangguk kepala sebagai tanda memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd. Azhar Hamzah.

Wanita hidap kanser cari suami hilang


LEE TING menunjukkan gambar suaminya, Chee Mee di ibu pejabat PGRM, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang wanita penghidap penyakit kanser paru-paru merayu suaminya yang hilang sejak empat tahun lalu pulang untuk menguruskan penjualan rumah teres milik mereka bagi menampung kos perubatannya.
Wanita malang tersebut, Law Lee Ting, 42, yang tinggal di Taman Sri Sinar, Segambut di sini berkata, dia tidak mampu untuk menampung kos perubatan yang tinggi memandangkan dia tidak bekerja sejak Oktober tahun lalu disebabkan penyakit yang dihidapinya itu.
“Dalam tempoh tujuh bulan ini, saya telah membelanjakan kira-kira RM30,000 untuk merawat penyakit saya.
“Kini saya terpaksa menjual rumah teres saya untuk membiayai kos perubatan tersebut namun saya memerlukan tandatangan suami saya memandangkan rumah itu di bawah nama kami berdua,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) di sini semalam.

Budak lapan tahun pandu BMW


ANGGOTA-ANGGOTA bomba menyaksikan kereta BMW yang dipandu seorang budak lelaki berusia lapan tahun selepas ia merempuh rumah jirannya di Boston kelmarin.


BOSTON, Amerika Syarikat - Seorang budak lelaki berusia lapan tahun merempuh anjung rumah jiran semasa dia mengundurkan kereta BMW milik ibunya di sini kelmarin.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 8.30 pagi waktu tempatan, wanita berkenaan berkata, dia meminta anaknya menghidupkan enjin terlebih dulu sebelum menunggunya memasuki kereta.
Budak itu kemudian mengundurkan kereta tersebut sehingga ia melanggar anjung rumah jiran mereka pada kelajuan 48 kilometer sejam.
Pihak berkuasa menyatakan, kerosakan pada rumah berkenaan mencecah AS$80,000 (RM245,639) manakala kos membaiki kereta BMW itu pula berjumlah $20,000 (RM61,390).
Menurut pasukan bomba, budak lelaki tersebut bernasib baik kerana hanya cedera ringan dalam insiden itu. - Agensi
Wanita cantik Pakistan jadi mangsa simbah asid
Wartawan Sinar Harian
11 Mei 2012
Wanita cantik Pakistan jadi mangsa simbah asid
Wajah Shama selepas disimbah asid. Gambar kecil - Wajah Shama sebelum
tragedi yang meragut kecantikkan dan seluruh kehidupannya.
– Foto ihsan BBC
SEIRING dengan namanya, Shama yang bermaksud ‘lilin’, wanita malang ini telah disimbah asid sehingga wajahnya berparut dengan 15 peratus badanya terbakar bagaikan sebatang lilin oleh suaminya sendiri hanya kerana tidak berpuas hati ketika bertengkar.
Kini, ibu muda kepada empat cahaya mata itu tersenarai sebagai mangsa simbahan asid di kalangan wanita Pakistan dan menjadi mangsa kepada kecantikannya sendiri.
“Saya dan suami saya sering bertengkar di rumah. Pada hari itu sebelum tidur suami saya berkata,’anda terlalu bangga dengan kecantikan anda'. Kemudian, di tengah malam, tiba-tiba dia menyimbah asid ke badan saya dan melarikan diri," katanya ketika ditemui wartawan di hospital.
Lebih parah lagi kata Shama, suaminya turut membawa telefon bimbitnya ketika melarikan diri supaya wanita malang itu tidak dapat membuat panggilan bagi mendapatkan bantuan.
Sedangkan, empat bulan lalu, wanita malang yang mempunyai raut wajah yang jelita itu sedang menikmati kehidupan yang gembira ketika sambutan hari lahir anaknya tetapi kini semuanya tersimpan dalam lipatan sejarah sehingga menyebabkan keyakinan dirinya terlupus.
“Apa yang berlaku benar-benar melukakan hati saya,” katanya dipetik BBC baru-baru ini.
“Saya berasa sakit pada apa yang saya, dan apa yang saya telah menjadi," katanya.
“Semua warna telah pergi dari hidup saya. Saya rasa seperti saya mayat hidup, malah lebih teruk daripada mayat yang hidup. Saya kini seolah-olah tidak mempunyai hak untuk hidup," katanya sambil mengesat air mata.
Laporan BBC menyebut, menurut sukarelawan di Pakistan,  kes-kes serangan asid bertambah di kebanyakan kawasan, walaupun tindakan undang-undang sukar diperkenalkan pada tahun lepas.
Sementara itu, satu dokumentari yang memenangi anugerah Oscar telah meletakkan jenayah itu di bawah perhatian dengan memfokuskan lebih 150 wanita mangsa simbahan asid yang dilaporkan setiap tahun.
Jenayah ini biasanya dilakukan oleh suami mangsa sendiri tetapi sehingga kini masih tiada undang-undang yang dapat memberikan wanita Pakistan keadilan.
Sementara itu, di Karachi, seorang bekas penari, Fakhra Younis turut mengalami nasib sama dengan Shama akhirnya memilih untuk mengakhiri nyawanya.
Fakhra dikatakantelah ‘mati’ dua kali. Kali pertama ketika dia disimbah asid dan kali kedua ketika dia membunuh diri di Itali bulan lalu.
Sebelum membunuh diri, gadis malang itu terpaksa menjalani hampir 40 kali pembedahan bagi mengembalikan kecantikan wajahnya namun, masih tetap gagal.
Aktivis berkata, Fakhra telah putus harapan untuk mendapatkan keadilan dan bekas suaminya yang berasal dari keluarga politik telah dibebaskan dari dituduh membuat serangan itu.
Dalam pada itu, kematian Fakhra telah menjadi tajuk utama di sini, tetapi menurut aktivis, sebaliknya mangsa sering dipulaukan.
“Hanya kira-kira 10 peratus kes seperti ini sampai ke mahkamah.
“Walaupun dalam kes-kes berprofil tinggi seperti Fakhra, terdapat pendakwaan yang dikemukakan lemah. Ada ketika, mangsa tidak dapat pun membuat laporan polis," kata Zohra Yusuf, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan.
Namun, menurut seorang bekas ahli parlimen, Marvi Memon, pesalah terpaksa berhadapan dengan kesukaran apabila undang-undang baru yang diluluskan tahun lepas menetapkan hukuman penjara 14 tahun atau hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah.
Tetapikatanya, masih ramai penyerang masih bebas walaupun undang-undang baru itu telah dikuatkuasakan.
“Malah jika dia (penyerang) ditangkap, mereka akan merasuah polis dan mereka akan melarikan diri.
Golongan mereka berpendapat, ini adalah cara paling mudah untuk menghukum seorang wanita. Anda hanya boleh membuang asid dan memusnahkan seluruh hidupnya dalam satu saat," katanya.
Dalam pada itu, Marvi berkata, kurangnya kesungguhan ahli politik untuk melaksanakan undang-undang adalah penyebab kepada semua masalah ini.
“Saya mahu hukuman berat dijatuhkan kepada beliau supaya hukuman itu dapat memberi pengajaran kepada semua orang agar berfikir panjang sebelum melakukan sebarang jenayah.
"Amat sukar untuk mendapatkan kerjasama antara pihak polis dengan wanita kerana mereka turut tertekan untuk berbuat demikian," katanya.
Kerajaan mengakui perlu lebih banyak lagi cara dalam membantu mangsa asid dan perlaksanaan undang-undang adalah satu cabaran besar.
“Kelulusan” undang-undang adalah langkah pertama, kata Shahnaz Wazir Ali, seorang penasihat kerajaan.
Namun beliau mempersoalkan mengapa kes ini tidak mendapat keadilan dengan cepat? Inilah sebahagian yang kita perlu buat, kita perlu lebih peka dengan polis, mahkamah dan masyarakat.

* Diterjemah dari laporan BBC
Amah ditemui mati terbakar
SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
11 Mei 2012
Amah ditemui mati terbakar
Kesan bakar dalam stor yang terletak di sebelah rumah majikan mangsa
SUNGAI DUA, Penang - Seorang pembantu rumah warga India ditemui mati di stor simpanan barang yang terletak bersebelahan rumah majikannya semalam.

Difahamkan, hampir 90 peratus tubuh mangsa terbakar.

Jurucakap polis berkata, mangsa berusia lingkungan 20-an baru dua bulan berada di negara ini dan bekerja dengan majikan berbangsa Punjabi di Taman Pekaka dekat sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa pertama kali datang ke negara ini menggunakan permit sah.

“Mengikut anak majikan, pada jam 9 pagi tadi (semalam), beliau mencari mangsa dan tidak menemuinya. Kemudian beliau keluar rumah dan mendapati pintu stor simpanan barang yang terletak di tepi rumah terbuka dan masuk ke dalamnya.

“Sebaik memasuki stor, anak majikannya terkejut apabila mendapati wanita itu dalam keadaan terbaring dengan 90 peratus badannya terbakar dan tidak bernyawa lagi,” katanya kepada media semalam.

Sinar Harian difahamkan, anak majikan yang terkejut dengan kejadian itu kemudian menghubungi ibu bapanya sebelum memaklumkan kepada polis.

Menurutnya, pemeriksaan polis mendapati sekotak mancis dan dua botol minyak ditemui bersebelahan mangsa.

“Kita masih menyiasat kandungan minyak yang digunakan, Bagaimanapun, kita masih menyiasat sama ada mancis dan minyak itu digunakan oleh mangsa.

“Motif kejadian masih disiasat sama ada mangsa mengalami masalah dengan majikan atau percintaan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, jiran yang enggan namanya disiarkan berkata, beliau tidak mendengari sebarang jeritan atau kekecohan di stor berkenaan.

Katanya, beliau hanya menyedari mengenai kejadian itu setelah mendapati beberapa anggota polis memasuki kawasan rumah itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes itu masih dalam siasatan.

Beliau berkata mangsa dikenali sebagai Ratwinder Kaur.
Seorang lagi ditahan bantu kes guru melecur
Wartawan Sinar Harian
11 Mei 2012
BUKIT MERTAJAM - Polis menahan seorang lagi wanita kelmarin bagi membantu siasatan berhubung kes seorang guru wanita melecur hampir 45 peratus dalam kebakaran di rumahnya di Flat Taman Tun Hussein di Seberang Jaya, di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Azman Abd Lah berkata wanita berusia 60 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan semasa dia menyerah diri di Balai Polis Seberang Jaya.

Sebelum ini, polis menahan seorang wanita berusia 62 tahun apabila wanita itu menyerah diri di balai polis yang sama. Kedua-dua wanita direman sehingga Sabtu ini.

Bercakap kepada pemberita di sini semalam, Azman berkata siasatan awal mendapati kepala Julie Yeoh Kartin, 39, dihentak dengan senjata tajam sehingga cedera dalam kejadian kebakaran itu.

KELUARGA BERCELARU...BILA KITA SUDAH MENGABAIKAN SURUHAN AGAMA...SEPERTI TAK SOLAT..BERGAUL BEBAS...TUTUP AURAT TAK IKUT SYARIAT...BANYAKKAN KERJA DUNIA DARI KERJA2 AKHIRAT...INGAT LAMBAT MATI...DISAMPING BUTA HUKUM AGAMA...TAHU BERDOSA TAPI LANGGAR AJE...

‘Saya rakam untuk dedah’

Oleh Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

NOOR...dipukul ketika cuba selamatkan mangsa
NOOR...dipukul ketika cuba selamatkan mangsa
KUALA LUMPUR: “Saya membuat rakaman semata-mata untuk diserahkan kepada polis kerana saya sudah tidak tahan melihat bayi itu kerap dikasari ibunya. Jadi, jangan kata saya bersubahat (mendera) atau tidak bertimbang rasa.”
Itu penjelasan wanita dikenali sebagai Noor yang merakam adegan seorang bayi perempuan berusia 10 bulan didera ibunya dan rakaman video itu dimuat naik dalam Internet kelmarin, sekali gus menimbulkan kemarahan orang ramai.
Harian Metro semalam menyiarkan berita mengenai adegan rakaman video berkenaan serta kenyataan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed yang kes itu berlaku Mei tahun lalu dan ia sudah disiasat polis, malah ibu terbabit sudah dijatuhi hukuman penjara 18 bulan.

Noor, 30-an, berkata, dia tidak tahu siapa yang memuat naik rakaman video itu dalam Internet dan sedih apabila sebahagian besar maklum balas pengguna Internet mengenainya menyalahkan dia kerana dianggap bersubahat apabila tidak menyelamatkan bayi itu daripada didera ibunya.


“Itu ikhtiar terakhir saya untuk selamatkan bayi berkenaan. Saya sangat sedih kerana sebelum itu sudah empat kali wanita terbabit yang juga rakan saya memukul bayinya dengan teruk termasuk menghumban ke dinding,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Petaling Jaya.

 


Bukti institusi keluarga celaru



KUALA LUMPUR: Perbuatan seorang isteri dan anak yang mendera suaminya terlantar sakit dan membuat rakaman video penyeksaan yang dilakukan menunjukkan institusi kekeluargaan yang bercelaru.
Ketua Biro Belia dan Cinta Rakyat (Citra), Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu), Ahmad Tajuddin Idris berkata, suatu tindakan perlu diambil membabitkan orang ramai dan pihak berkuasa kerana semakin banyak perkara pelik berlaku dalam institusi kekeluargaan sekarang.

“Sekarang banyak berita mengenai perkara pelik membabitkan institusi kekeluargaan yang dulu kita tidak pernah dengar. Sesuatu perlu dilakukan bagi mengelak kejadian sebegini menular antaranya memperkukuhkan pegangan agama dalam institusi kekeluargaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai seorang wanita berusia 50 tahun dan anak lelaki mendera suaminya yang terlantar sakit di Kampung Tanggung Unggar, Limbang, Sarawak.

Tindakan wanita dan remaja berusia 15 tahun itu terbongkar selepas polis menemui tiga rakaman video memaparkan perbuatan keji mereka dalam komputer riba milik remaja berkenaan di rumah mereka. Lebih mengejutkan, rakaman video itu memaparkan wanita berusia 50 tahun itu memukul suaminya dengan rotan manakala anak lelakinya ‘tumpang sekaki’ mendera bapanya, termasuk menarik alat sulit lelaki berusia 64 tahun itu. Ahmad Tajuddin berkata, mungkin anak beranak itu ada sebab tertentu sehingga tergamak menzalimi suami dan bapa mereka yang tidak terdaya mempertahankan diri.

Bela diri kes khalwat



PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam memerintahkan seorang lelaki dan pasangannya membela diri atas tuduhan berkhalwat, dua tahun lalu.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad membuat keputusan itu terhadap Ahmad Naim Abdul Mutalib, 36, dan Norazlinda Mohamed Mahidin, 30, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap kes itu. Wan Mahyuddin berkata, pendakwaan yang dijalankan Pendakwa Syarie, Shafezan Rusli membuktikan wujudnya elemen khalwat utama dalam kes berkenaan seperti tarikh, masa dan tempat kejadian. Kesalahan khalwat itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Puchong dekat sini, jam 12.50 tengah malam, pada 8 Oktober 2010.

Mahkamah menetapkan 5 Julai ini untuk bela diri.

Dicerai lepas ‘kantoi’ SMS cinta pada anak

PETALING JAYA: Hati isteri mana yang tidak remuk apabila mendapati suami kedua yang dikahwini enam tahun lalu mencintai anak tiri berusia 10 tahun.
Lebih malang, ketika mahu mendapatkan penjelasan, wanita itu dibelasah dan diceraikan dalam kejadian di kediaman mereka di Sungai Buloh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, wanita terbabit yang berusia 46 tahun dan bekerja sebagai pembantu klinik swasta mendakwa cedera di kepala selepas dihentak suaminya sebelum diceraikan talak satu ketika mereka bertengkar mengenai hal berkenaan.
Menurut sumber, wanita berkenaan terbaca khidmat pesanan ringkas (SMS) ayat cinta yang dihantar suaminya dalam telefon bimbit anak perempuan berusia 10 tahun hasil perkahwinan pertama.

“Mangsa yang curiga dengan kandungan SMS berkenaan kemudian cuba memeriksa telefon bimbit suaminya itu untuk mendapatkan kepastian ketika lelaki itu mandi. “Malangnya, telefon bimbit suaminya itu tidak dapat diaktifkan kerana kata laluannya dikunci,” katanya.

Sumber berkata, sebaik suaminya keluar dari bilik air, mangsa terus bertanyakan soalan bertubi-tubi mengenai luahan cinta kepada anaknya menerusi SMS itu.

“Tindakan mangsa mengundang kemarahan sebelum suaminya memaki hamun mangsa sebelum mengemas pakaiannya dan menghentak kepala serta tengkuk mangsa lalu melafazkan cerai talak satu,” katanya.

Katanya, lelaki terbabit memadam semua SMS menyebabkan mangsa yang tidak berpuas hati serta bimbang dengan keselamatan anak membuat laporan di Balai Polis Sungai Pelong.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian malang menimpa wanita itu.

Lempar nota cemas

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my

PENGSAN...keadaan muka Juliani yang lebam selepas dibelasah  suaminya dengan kayu golf dan tali pinggang.
PENGSAN...keadaan muka Juliani yang lebam selepas dibelasah suaminya dengan kayu golf dan tali pinggang.
KUCHING: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menulis nota “tolong selamatkan ibu, kami di W1310” dan melontarnya dari tingkat 13 sebuah kondominium di Batu Kawa, di sini, bagi mendapatkan pertolongan selepas ibunya dibelasah bapanya sehingga tidak sedarkan diri, malam kelmarin.
Nyata usaha itu tidak sia-sia, apabila nota berkenaan ditemui seorang penghuni kondominium sama yang kebetulan melalui blok pangsapuri itu, biarpun agak lewat iaitu kira-kira jam 1 tengah hari semalam, selepas 14 jam ia ditulis.

Wanita mahu dikenali sebagai Mei, 40, berkata, dia menemui nota berkenaan di kaki lima berhampiran pintu utama blok itu dan membuang kertas itu ke dalam tong sampah berhampiran selepas membacanya.
“Saya sempat membaca nota di atas kertas itu, tetapi agak ragu dengan kesahihannya sebelum membuangnya ke dalam tong sampah dan pulang ke rumah.

“Namun, saya berasa tidak sedap hati sebelum kembali semula ke tong sampah tadi untuk mengambil kertas itu dan pergi ke rumah yang dinyatakan.

“Saya menekan loceng beberapa kali sebelum seorang kanak-kanak perempuan dalam keadaan trauma sedang menangis membuka pintu, saya lihat seorang wanita terbaring tidak sedarkan diri di ruang tamu dengan kesan lebam di muka dan kepala,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Mei berkata, terkejut dengan apa yang dilihatnya, dia terus menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, mangsa seorang warga Indonesia dikenali sebagai Juliani, berusia 26 tahun, seorang suri rumah dipukul suaminya menggunakan kayu golf dan tali pinggang sehingga tidak sedarkan diri.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku pada jam 10 malam kelmarin, apabila suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain ketika dia keluar bekerja.

“Berdasarkan keterangan mangsa, dia kerap dipukul suaminya, tetapi kejadian kelmarin paling teruk sehingga mangsa tidak sedarkan diri kerana mendakwa suaminya memukul dan menendangnya tanpa belas kasihan.

“Suspek seorang ahli perniagaan berusia 45 tahun kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Mangsa yang sudah sedar masih dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Roslan berkata, pihaknya sudah memaklumkan kejadian itu kepada Konsul Indonesia dan kes disiasat mengikut bawah Seksyen 324, Kanun Keseksaan.

Saiful tuntut RM200,000

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Pelawak terkenal, Saiful Apek, 43, melancarkan ‘perang’ terhadap produser, David Teo dengan mendakwa penerbit filem terkemuka terbabit gagal melunaskan pulangan pelaburan RM200,000 filem Lady Boss dan Anak Mami Kembali kepadanya selepas dia yang membintangi kedua-dua filem berkenaan melaburkan wang hasil lakonannya RM100,000 sejak 2005.
Katanya, selain isu berkenaan perkara lain dibangkitkan adalah kegagalan David menyiapkan album nyanyiannya sedangkan kontrak dimeterai setahun ditandatangani pada tahun yang sama.

 
  • Foto Saiful Apek

 
Foto Menurutnya, berikutan tidak berpuas hati dan tidak mempunyai saluran memperjuangkan haknya, dia tampil membuat kenyataan di laman sosial facebook dan twitter sehinggalah menyedari menerima kritikan hebat pengguna rangkaian sosial berkenaan.

Saiful berkata, Ahad ini jam 2 petang, dia dan lebih 50 selebriti yang mahu menuntut hak masing-masing terhadap David dengan mengadakan sidang media bersama bukti dan dokumen yang pernah ditandatangani bagi menerangkan keadaan sebenar.


Katanya, pada 2005, dia ditawarkan membintangi filem Lady Boss dan Anak
Foto