Saturday, December 29, 2012

KERANA SENI HINGGA SANGGUP LANGGAR HUKUM SYARAK...SENI PUN KENA IKUT LUNAS2 SYARAK BUKAN MAIN BELASAH...NANTI DIBELASAH DALAM NERAKA

Fatimah Anis dipercayai maut gara-gara cemburu

Posted on the December 29th, 2012 under Tempatan by admin

ALOR SETAR – Pembunuhan Nur Fatimah Anis Md Radzi dalam satu pergaduhan dipercayai berpunca daripada cemburu.
Seorang jiran Nur Fatimah yang enggan dikenali memberitahu, dia terdengar pertelingkahan antara seorang lelaki dan perempuan kira-kira jam 2 pagi semalam.
“Saya bangun, buka tingkap dan dengar suara orang bergaduh. Saya dengar suara seorang lelaki sedang memaki-hamun seorang perempuan. Saya juga dengar perempuan itu mengadu sakit dan meminta air,” katanya.

Katanya, pasangan itu kemudian keluar dengan motosikal dan pulang semula tidak lama kemudian dengan diikuti seorang lelaki, yang turut menunggang motosikal.
Difahamkan kedua lelaki itu juga bergaduh di luar kawasan rumah tersebut sebelum Nur Fatimah dihentak dengan objek keras.
Menurut jiran itu, suami wanita itu membawa isterinya masuk ke dalam rumah dan selepas itu dia tidak lagi dengar bunyi bising.
Katanya, dia difahamkan pasangan ini selalu bergaduh, dipercayai akibat cemburu.
Menurut jiran itu lagi, dia menasihatkan lelaki tersebut supaya tidak bergaduh dengan isterinya jika sayangkan isterinya.
“Tidak sangka kira-kira pukul 6.30 pagi, perempuan itu ditemui sudah meninggal dunia,” katanya.
Nur Fatimah dikatakan tinggal bersama ibu bapa suaminya, tetapi ketika kejadian, mentuanya dipercayai berada di rumah seorang lagi anak mereka di Pahang.
Sinar

Pelajar tingkatan empat ditemui mati tergantung

Posted on the December 29th, 2012 under Tempatan by admin
Mayat mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.
GUA MUSANG – “Saya dakap seerat-eratnya sebaik melihat dia (arwah) tergantung, dengan harapan dia masih selamat, tetapi meninggal dunia beberapa minit selepas itu.” kata Che Mat Daud, 65, bapa kepada pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chiku 2, yang mati tergantung, petang kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang di rumahnya di Tanah Rancangan Felda Chiku 2, ketika pelajar tersebut berada dalam bilik tidur seorang diri.

Che Mat berkata, dia menyedari kejadian berkenaan ketika terdengar jeritan kuat daripada abang mangsa, Mohamad, 22, yang terkejut melihat adiknya tergantung dalam bilik tidur.
Katanya, ketika itu dia baru pulang dari bekerja sebagai tukang rumah dan mangsa bersama abangnya sahaja yang berada di rumah.
“Saya pulang dari kerja, terus menunaikan solat Asar dan keluar semula dari rumah untuk membersihkan kereta sambil memeriksa bateri kerana ingin ke luar lagi.
“Ketika sedang melakukan kerja, saya terdengar suara kuat abang mangsa yang menjerit, lalu saya bergegas naik ke rumah menuju ke bilik,” katanya.
Menurut Che Mat yang juga peneroka Felda, hanya beberapa minit selepas dia memotong tali yang menjerut leher anaknya, terus meninggal dunia dan gagal diselamatkan.
“Setahu saya, dia (arwah) tidak bercinta dengan mana-mana budak perempuan hingga sanggup bertindak demikian, tetapi yang saya tahu dia berkeadaan muram selepas kemalangan jalan raya sejak lima bulan lalu,” katanya.
Che Ma berkata, arwah pernah terbabit dengan kemalangan jalan raya apabila motosikal ditunggangi dirempuh sebuah kereta dan kepalanya terhantuk di permukaan jalan.
“Bermula dari situ, dia anak bongsu daripada 13 beradik, tidak lagi ceria dan kerap berkurung dalam bilik, tetapi dia memang bersedia untuk bersekolah semula di tingkatan lima apabila persekolahan dibuka Januari ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian dan motifnya dalam siasatan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanah Rancangan Felda Chiku 2, pagi semalam.
Sinar

Doktor terkenal di Amerika adalah orang Islam

Posted on the December 29th, 2012 under Agama by admin
Penonton acara talk show popular Amerika, The Oprah Winfrey Show, pasti sudah tidak asing lagi dengan Doktor Oz. Seorang doktor yang kerap mengisi segmen kesihatan dalam talk show paling popular di dunia itu.
Selain di acara Oprah, Oz juga kerap mengisi sagmen Larry King Live. Sejak tahun 2009, Doktor Oz mempunyai program acara televisyen yang dihasilkan Harpo Productions berjudul The Dr Oz Show.
Namun, tahukah anda siapa sebenarnya doktor yang paling terkenal di Amerika saat ini dikenali Dr Oz atau nama lengkapnya Dr Mehmet Cengiz Oz. Dia adalah pakar bedah jantung dari Harvard University.

Dari namanya, orang boleh meneka bahawa Oz alias Mehmet mempunyai darah Turki. Ibunya bernama Suna dan berayahkan Mustafa Oz. Kedua-duanya merupakan orang yang dihormati di Turki. Ayah dan ibu Oz kemudian berhijrah ke Amerika pada 1955. Lima tahun selepas itu, lahirlah Oz.
Dalam sebuah wawancara yang disiarkan The Root, Oz mendedahkan bahawa sejak kecil dirinya didik oleh dua gaya muslim berbeza. “Saya dididik oleh ibu yang Islam sekular, Namun ayah saya sangat teguh memegang prinsip Islam,” ujarnya.
Hingga kini, dia mengaku masih memeluk Islam. Oz mengatakan bahawa gaya sufi islam sangat mempengaruhi dirinya. Walaupun menjadi doktor yang paling terkenal di Amerika ketika ini, Oz tidak melupakan identitinya sebagai seorang Turki.
Oz bahkan tetap mempertahankan kewarganegaraan Turkinya bersama statusnya sebagai seorang Amerika. Dalam cintanya pada Turki, Oz rela menjadi sukarelawan di tentera Turki.
Diterjemah dari sumber globalmuslim
Detik Islam

Musa Hasan Akan Sertai Himpunan Kemarahan Rakyat pada 12 Januari ini?

Posted on the December 29th, 2012 under Politik by admin
Desas desus semakin bertiup kencang bilamana ada perkhabaran dalam kem polis sendiri bahawa bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hasan bakal hadir pada petang 12 januari 2013 untuk bersama rakyat Malaysia untuk hari Himpunan Kemarahan dan Kebangkitan Rakyat di Dataran Kuala Lumpur atau Stadium merdeka.
Perkara dan khabar angin ini sudah merebak dalam kem-kem Polis dan juga kem Kementerian Dalam Negeri sendiri, di katakan turut hadir sama pada petang hari sejarah anak muda itu adalah bekas orang nombor 3 dalam Polis dan bekas Pengerusi SPR sendiri.
Bekas ketua polis negara ini juga di katakan akan bersama sama dengan rakyat dalam kempen kebangkitan rakyat untuk menghumban Barisan Nasional yang selama ini mengganggu tugasan polis serta membuat pelbagai arahan yang tidak sepatutnya kepada pihak polis yang di paksa bekerja untuk umno.

Menurut sumber bocor dari wisma putra, berkemungkinan musa hasan akan menyertai Pakatan Rakyat bagi meneruskan agendanya untuk memastikan polis adalah polis di raja malaysia kembali dan bukannya polis di raja umno.

Pelakon Iklan Fahd Rafael Disuruh Berbogel

Posted on the December 29th, 2012 under Artis by admin

PETALING JAYA: Pendatang baru yang juga pelakon iklan, Fahd Rafael (gambar) melalui detik cemas kerana ada pihak cuba mengambil kesempatan terhadapnya apabila disuruh beraksi bogel untuk sebuah sesi fotografi.
Fahd Rafael atau nama sebenarnya Fadhlan Izham, 21, berkata, peristiwa itu terjadi beberapa tahun lalu ketika dia sibuk melalui uji bakat untuk berlakon iklan televisyen tempatan.
“Saya terkejut apabila beberapa pihak meminta saya melakukan aksi pelik iaitu berbogel untuk sesi fotografi dengan alasan untuk karya hasil seni bagi dipertandingkan di sebuah acara,” katanya kepada mStar Online di sini.

Tambahnya, selepas meneliti permintaan itu, dia mendapati acara yang dimaksudkan tidak wujud menyebabkan dia mula mencurigai tawaran berkenaan.
Kata Fahd, dia sudah banyak kali menerima tawaran sedemikian apatah selepas dia berjaya membina otot-otot badannya agar kelihatan sasa.
Ditanya adakah sebelum ini dia pernah berkasi keterlaluan sehingga tawaran sedemikian sering diberikan kepadanya, pelakon iklan minuman berkarbonat Coca Cola ini berkata, dia hanya memenuhi undangan pelajar fotografi sebelum ini untuk Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bagi tujuan pendidikan.
“Saya mengaku, saya pernah beraksi sedemikian untuk projek fotografi seorang pelajar Aswara, apabila badan saya yang seperti tidak berbaju itu di simbah dengan cecair coklat.
“Sebenarnya saya tidak berbogel tetapi memakai seluar pendek. Cuma gayanya sahaja menampakkan saya seperti tidak memakai apa-apa. Ia adalah bagi tujuan pendidikan pelajar itu,” katanya.
Jelas pemuda ini lagi, dia tidak berhasrat mengulangi perkara itu lagi kerana bimbang ada pihak yang mahu menjatuhkan kerjayanya pada masa akan datang.
Ditanya mengenai arah tujunya dalam bidang seni Fahd berhasrat untuk menjadi pelakon drama dan sedang berjinak-jinak dalam bidang berkenaan.
“Saya perlu memberi tumpuan pada bidang lain juga untuk perkembangan bakat saya. Tidak hanya menjadi model iklan semata-mata kerana setiap hari ada saja model-model baru yang akan muncul dengan kelebihan masing-masing,” katanya.
Selain Coca Cola, Fahd turut terlibat dalam beberapa iklan lain dengan memegang peranan utama seperti iklan Suzuki (2010), Mcdonald’s (2010), Digi (2011), Suzuki Nex (2012) dan Shieldtox Watercolour (2012).
Dia juga pernah berlakon dalam sebuah telefilem untuk siaran Astro iaitu Arca Cinta terbitan PTV Film Production.
mStar

Banjir di Terengganu semakin buruk

Posted on the December 29th, 2012 under Tempatan by admin
LIMA penduduk kampung menaiki perahu untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Bendang Pak Yong, Tumpat semalam.
KUALA TERENGGANU – Keadaan banjir di Terengganu bertambah buruk apabila jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat kepada 18,392 orang berbanding 15,226 orang kelmarin.
Mangsa-mangsa banjir itu ditempatkan di 68 pusat pemindahan di lima daerah di Terengganu.

Kemaman masih mencatatkan jumlah mangsa dipindahkan paling ramai apabila 12,249 orang dipindahkan ke pusat pemindahan diikuti Dungun (5,034 orang).
Portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu memberitahu, sehingga pukul 5 petang mangsa dari Kuala Terengganu yang masih berada di pusat pemindahan seramai 1,002 orang, Marang (24 orang) dan Hulu Terengganu (83 orang).
Semua pusat pemindahan di Setiu dan Besut ditutup apabila banjir di kedua-dua daerah itu pulih semalam.
Kejadian banjir di Terengganu setakat ini telah mengorbankan seramai enam mangsa.
Di Kota Bharu, keadaan banjir di Kelantan semakin pulih apabila 15 buah lagi pusat pemindahan ditutup sehingga pukul 6 petang semalam berbanding 28 buah kelmarin berikutan banjir yang semakin surut.
Seramai 5,127 orang daripada 1,723 keluarga masih ditempatkan di 13 buah pusat pemindahan di tiga jajahan iaitu Tumpat, Pasir Mas dan Kota Bharu.
Jajahan Pasir Mas masih mencatat jumlah mangsa yang paling tinggi dengan 2,506 orang daripada 871 keluarga masih ditempatkan di lapan pusat pemindahan manakala tiga pusat pemindahan di Tumpat menempatkan 815 keluarga dengan 2,467 orang.
Di Kuantan, bilangan mangsa banjir di Pahang terus menurun kepada 182 orang melibatkan 46 keluarga di daerah ini sehingga pukul 5.30 petang semalam.
Sementara itu, kesemua 206 orang daripada 43 keluarga di Pekan sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kelmarin.
Kosmo

Isteri dipukul sampai mati, suami ditahan

Posted on the December 29th, 2012 under Tempatan by admin

ALOR SETAR – Pertengkaran sepasang suami isteri yang disyaki berpunca daripada perasaan cemburu berakhir dengan tragedi apabila wanita yang baru berkahwin enam bulan lalu itu ditemui mati di rumah mertuanya di Kampung Alor Gelegah di sini semalam.
Kejadian pukul 2 pagi itu mengakibatkan pembantu kedai, Nor Fatimah Anis Md. Radzi, 17, mati dengan kesan kecederaan di kedua-dua belah kaki dan tangan selain kesan luka di dahi.
Dia dipercayai dipukul dengan dua batang buluh sepanjang 0.89 meter di hadapan rumah tersebut.

Difahamkan, ketika kejadian, ibu dan bapa mertua mangsa tiada di rumah kerana pergi ke rumah anak mereka di Pahang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, polis percaya kejadian itu bermotifkan cemburu namun pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca sebenar.
“Sebelum kejadian, pasangan itu dikatakan bertengkar di depan rumah sebelum mereka keluar dengan menunggang motosikal dan pulang 15 minit kemudian sambil diekori seorang lelaki yang menaiki motosikal berasingan.
“Sebaik tiba di rumah, suami wanita itu dan lelaki tersebut bergaduh. Semasa pergaduhan itu, mangsa cedera selepas dipukul di kepala dengan objek keras,” katanya kepada pemberita di sini.
Lelaki itu kemudian beredar manakala suami mangsa membawa isterinya masuk ke dalam rumah.
Menurut Mohd. Zakaria, polis telah menahan tiga lelaki termasuk suami mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kesemua lelaki itu berusia dalam lingkungan 20-an. Dua lelaki itu merupakan kenalan pasangan tersebut.
“Kita anggap kes ini selesai dengan penangkapan tersebut,” katanya yang memberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk bedah siasat.
Sementara itu, salah seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu, dia bergegas ke rumah mangsa yang terletak berdekatan dengan kediamannya selepas terdengar pasangan itu bertengkar.
Kosmo

20 banglo terjejas akibat tebing runtuh

Posted on the December 29th, 2012 under Tempatan by admin

KUALA LUMPUR – Penduduk kawasan Puncak Setiawangsa di sini gempar apabila sebahagian daripada tebing konkrit setinggi 43 meter di situ runtuh mengakibatkan Jalan Bukit Setiawangsa yang merupakan jalan hubungan utama ditutup kepada kenderaan malam tadi.
Kawasan yang terjejas dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu melibatkan 15 hingga 20 buah rumah banglo di atas kawasan bukit Jalan Puncak Setiawangsa 2 di sini dengan tiga daripadanya berada pada tahap zon kritikal.
Difahamkan, antara rumah yang terjejas milik bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang juga ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan seorang warga asing dikenali sebagai Maulana.

Penolong Pengerusi Persatuan Penduduk Puncak Setiawangsa, Fauziah Jamaluddin berkata, penduduk di kawasan yang terjejas telah diarahkan berpindah bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.
“Keadaan sekarang sangat bahaya kerana masih berlaku pergerakan tanah. Apa yang kita bimbang ialah lebih banyak rumah lain akan turut terjejas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.
Kosmo

Ulama’ Kyrgyztan Larang sambut Perayaan Tahun Baru

Posted on the December 28th, 2012 under Agama,Luar Negara by admin

KYRGYZTAN – Ulama Islam di Kyrgyzstan telah mengeluarkan fatwa melarang perayaan Tahun Baru di negeri ini, sehingga mengundang reaksi pelbagai daripada warganya.
“Tahun Baru ini bukanlah hari raya keagamaan,” kata Ravshan Eratov, ketua Pentadbiran Agama Islam Kyrgyztan, kepada website Al-Jazeera, sebagaimana dilaporkan oleh onislam.net, Rabu 26 Disember.
“Hal ini tidak berkaitan dengan Islam sama sekali.”

Eratov menekankan bahawa umat Islam mempunyai hari raya mereka sendiri iaitu Aidil Fitri, yang menandakan akhir puasa di bulan Ramadhan, dan Aidil Adha, yang menandakan akhir haji dan solat Jumaat tiap minggu.
“Hanya itu hari raya kita. Selebihnya adalah bukan dari Islam,” katanya.
Perayaan Tahun Baru adalah tradisi di pelbagai negara di serata dunia, termasuk Kirgistan yang merupakan bekas bahagian uni Soviet. Eratov mengatakan duit yang dihabiskan untuk merayakan Tahun Baru boleh digunakan dalam cara yang lebih baik seperti membantu anak-anak yatim dan orang miskin.
Islam membentuk 75 peratus dari 5-juta penduduk Kyrgyzstan. Kira-kira 50,000 orang menganut Kristian evangelis dan banyak yang lain beragama Kristian Ortodoks.
Meskipun banyak warga yang menentang, namun tidak sedikit yang menyokong seruan ulama tersebut.
“Tidak, jika mereka (ulama) mengatakan tidak dibenarkan menurut syariah maka tidak dibenarkan,” kata Ramil 23 tahun. “Bahkan tidak untuk perbincangan. Jika itu berlaku, sebaiknya kita mematuhi undang-undang Syariah,” tambahnya.
Tahun Baru tetap merupakan hari cuti umum rasmi di Kyrgyzstan walaupun terdapat fatwa tersebut.

Rasuah: Ketua Umno Pandan dipenjara 8 tahun

Posted on the December 28th, 2012 under Tempatan by admin

Ketua Umno Bahagian Pandan dihukum penjara lapan tahun dan didenda RM977,560 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah terhadap 10 pertuduhan rasuah membabitkan RM193,512 antara Mei 2006 hingga Mac 2007.
Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Abd Ghani Ismail, 46, di akhir kes pembelaan.
Dalam penghakimannya, beliau berkata keterangan tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata serta satu pembelaan yang berbentuk “difikirkan kemudian”.

“Penjelasan tertuduh semasa pembelaannya adalah tidak konsisten, ia direka bagi menyesuaikan keterangan saksi pendakwaan,” katanya.
Rozilah turut tidak membenarkan Abd Ghani untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah mengambil kira bantahan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Roziza Sidek yang berhujah bahawa tiada sebarang alasan yang membolehkan mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara berikutan ia bukan sesuatu keadaan yang istimewa.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun serta denda RM120,945 terhadap tertuduh yang didakwa secara rasuah memperoleh satu suapan daripada seorang kontraktor Abdul Rahman Yaacob (sudah meninggal dunia) sebanyak RM24,189.
Ia sebagai balasan menolong Abdul Rahman mendapatkan Tender Zon SP 23 iaitu kerja perkhidmatan kutipan sisa pepejal di Taman Lembah Maju dan Taman Kencana serta Tender Zon PB 16 iaitu kerja pembersihan kawasan di Pandan Cahaya daripada
MPAJ.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Restoran Islah Tomyam, Jalan 5/76B, Desa Pandan di sini pada 9 malam, 4 Ogos 2006.
Untuk pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh dikenakan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM120,945 bagi kesalahan menerima rasuah daripada Abdul Rahman berjumlah RM24,189.
Rozilah turut menjatuhkan hukuman lima tahun penjara serta denda berjumlah RM725,670 bagi enam lagi pertuduhan lain yang dikenakan terhadap Abd Ghani bagi kesalahan sama iaitu menerima rasuah sebanyak RM145,134 daripada Abdul Rahman.
Bagi pertuduhan kedua hingga kesembilan itu, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di hadapan Blok E 15, Jalan 4/76B, Desa Pandan di ibunegara, antara 20 Oktober 2006 hingga 31 Mac 2007.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan hukuman penjara bagi sembilan pertuduhan tersebut berjalan serentak iaitu lima tahun.
Sementara itu bagi pertuduhan ke-10 Abd Ghani dihukum penjara tiga tahun serta denda RM10,000 bagi kesalahan memperoleh suapan bagi dirinya iaitu pelantikan Syarikat Lembah Rimbun sebagai sub-kontraktor kepada Syarikat Dwisakti Mewah Sdn Bhd yang mana dia mempunyai kepentingan dalam Syarikat Lembah Rimbun, di No. 27, Jalan Pandan 7, Pandan Jaya pada 1 Mei 2006.
Ia sebagai upah menolong Syarikat Dwisakti Mewah Sdn Bhd mendapatkan Tender Zon SP 21 iaitu kerja pelupusan sisa pepejal di kawasan Bandar Pandan Indah daripada MPAJ.
Bagi kesemua pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 11 (a) dan Seksyen 10 (a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.
Terdahulu ketika penghakiman dibacakan, Abd Ghani yang diwakili peguam Md Yunos Shariff, pitam di kandang tertuduh secara tiba-tiba sehingga prosiding terpaksa ditangguhkan selama lima belas minit sebelum diteruskan semula.
- Bernama

Wanita tidak pernah sembahyang mati ketika berdandan

Posted on the December 28th, 2012 under Agama by admin
Temanku berkata kepadaku, “Ketika perang teluk berlaku, aku masih berada di Mesir dan sebelum perang meletus, aku sudah terbiasa menguburkan mayat di Kuwait yang aku ketahui dari masyarakat tempatan. Salah seorang keluargaku menghubungiku meminta agar menguburkan ibu mereka yang meninggal. Aku pergi ke perkuburan dan aku menunggu di tempat memandikan mayat.
Di sana aku melihat empat wanita berhijab bergegas meninggalkan tempat memandikan mayat tersebut. Aku tidak bertanya sebab kenapa mereka keluar dari tempat itu kerana memang bukan urusanku. Beberapa minit kemudian wanita yang memandikan mayat keluar dan meminta agar menolongnya memandikan mayat tersebut. Aku katakan kepadanya, ‘Ini tidak boleh, kerana tidak halal bagi seorang lelaki melihat aurat wanita.’ Tetapi dia mengemukakan alasannya bahawa jenazah wanita yang satu ini sangat besar.
Kemudian wanita itu kembali masuk dan memandikan mayat tersebut. Setelah selesai dikafankan, dia memanggil kami agar mayat tersebut diusung. Kerana jenazah ini terlalu berat, kami berjumlah sebelas orang masuk ke dalam untuk mengangkatnya. Setelah sampai di lubang kubur (kebiasaan penduduk Mesir membuat perkuburan seperti bilik lalu dengan menggunakan tangga, mereka menurunkan mayat ke bilik tersebut dan meletakkannya di dalamnya dengan tidak ditimbun).

Kami buka lubang, masuk dan kami turunkan dari bahu kami. Namun tiba-tiba jenazahnya terlepas dan terjatuh ke dalam dan tidak sempat kami sambut semula hingga aku mendengar dari gemeretak tulang-tulangnya yang patah ketika jenazah itu jatuh. Aku melihat ke dalam ternyata kain kafannya sedikit terbuka sehingga kelihatan auratnya. Aku melompat ke jenazah dan menutup aurat tersebut.
Lalu dengan susah payah aku menyeretnya ke arah kiblat dan aku buka kafan di bahagian mukanya. Aku melihat pemandangan yang aneh. Matanya terbe-lalak dan berwarna hitam. Aku menjadi takut dan memanjat ke atas dengan tidak menoleh ke belakang lagi.
Setelah sampai di apartmen, aku menghubungi salah seorang anak perempuan jenazah. Dia bersumpah agar aku menceritakan apa yang berlaku semasa memasukkan jenazah ke dalam kubur. Aku berusaha untuk mengelak, namun dia terus mendesakku hingga akhirnya terpaksa memberitahu. Dia berkata, “Ya Syeikh (panggilan yang sering diucapkan kepada seorang ustaz-red), ketika anda melihat kami bergegas keluar kerana kami melihat wajah ibu kami menghitam, kerana ibu kami tidak pernah sekalipun melaksanakan solat dan meninggal dalam keadaan berdandan.”
Kisah nyata ini menegaskan bahawa Allah SWT menghendaki agar sebahagian hamba-Nya melihat bekas Su’ul khatimah hamba-Nya yang derhaka agar menjadi pelajaran bagi yang masih hidup. Sesungguhnya yang demikian itu merupakan pelajaran bagi orang-orang yang berakal.
Detik Islam

Tentera Yahudi redah masjid cari batu kuno

Posted on the December 28th, 2012 under Luar Negara by admin

Tentera Israel kembali mengganas, pada hari Isnin lalu (24/12/2012) mereka menyerbu sebuah masjid di kawasan kampung di Jenin. Seorang pegawai tempatan berkata Askar Yahudi menyerbu dengan alasan untuk mencari barang antik Yahudi.
Ketua Majlis Kampung Fahma, Muhammad Eid Nawasra mengatakan kepada Ma’an bahawa pasukan Israel masuk dan menyerbu masjid ketika solat subuh.
Tentera Yahudi laknatullah ini menggeledah masjid dan jemaah, mempersoalkan tentang sebuah batu kuno yang diukir dengan tulisan Ibrani.


Penduduk kampung berkata kepada tentera bahawa mereka tidak tahu sama sekali mengenai batu itu.
“Bangunan itu telah ada sejak zaman Rom dan diubah menjadi masjid beberapa dekad lalu,” jelas Nawasra.
Seorang jurucakap tentera Israel enggan untuk memberi komen atas insiden ini.
Diterjemah dari sumber islampos
Detik Islam

Diana Amir sebak jumpa Tuan Guru Nik Aziz

Posted on the December 28th, 2012 under Artis by admin

KOTA BHARU: Artis Diana Amir atau nama sebenarnya Nur Diyana Amir Hashim, tidak dapat menahan sebak apabila bersua dan mula berbicara dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Pertemuan 25 minit itu berlangsung di Pejabat Menteri Besar kira-kira jam 11.35 pagi tadi.
Diana terpaksa berdiam diri seketika mengumpul ketenangan agar sebak berlalu pergi sebaik sahaja dijemput duduk di hadapan Tuan Guru dan mendengar bicara.

Diana yang akhirnya tenang semula akhirnya sebak kembali apabila Tuan Guru bertanya apa kisah di sebalik sehingga Diana berhasrat untuk berhijrah.
“Saya teringat pesanan Rasulullah s.a.w. sebelum baginda wafat, pesanan terakhir baginda ummati…ummati…di saat kematian baginda, masih lagi mengingati umatnya, betapa sayangnya baginda pada umatnya, tetapi kita…” ujarnya dengan nada yang tersekat-sekat.
Tuan Guru tidak menafikan perkara itu, malah baginda sebenarnya adalah rujukan yang sebenar untuk manusia di dunia ini.
“Baginda tidak berpesan pada saudara mara terdekatnya, tetapi pada umat baginda termasuk kita semua,” ujarnya.
Beliau juga berkata tidak kira artis atau sesiapa sahaja rujukan atau model sebenarnya yang patut dijadikan contoh adalah baginda Rasulullah.
Diana ketika ditemui selepas itu, mengakui tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja melihat wajah Tuan Guru Nik Aziz.
“Hati saya lagi tersentuh sebaik sahaja mendengar suaranya seorang ulama yang lemah lembut,” ujarnya.
Menurutnya, beliau sudah lama berhasrat untuk bertemu dengan Tuan Guru sekiranya berpeluang untuk berbuat demikian.
Jelasnya, pertemuannya dengan Tuan Guru kerana menghormatinya sebagai seorang ulama yang dihormati semua kaum dan bukan atas kepentingan politik.
“Bab politik saya tak nak campur, itu hak masing-masing, tetapi bagi saya Tuan Guru seorang ulama, banyak ilmu yang boleh kita pelajari,” ujarnya ketika ditemui.
Diana Amir pernah melakonkan drama bersiri Sunsilk Impian, filem 3,2,1 Cinta, Senario The Movie Ops Pocot.
Diana nampak ayu dengan jubah hitam, mengenakan mekap yang agak pudar, jauh jika dibandingkan dengan watak-watak yang dilakonkan sewaktu belum berhijrah terutama dengan watak-watak ‘kasar’.
Beliau kini masih aktif berlakon, bagaimanapun terpaksa memilih watak-watak yang sesuai dengan ‘penghijrahan’ kini.
Harakahdaily.net

HIDUP DIBUKIT MEWAH TAPI BAHAYA NAK BUAT APA...ALLAH KATA BUKIT2 DIJADIKAN UNTUK MENJADI PASAK2 BUMI...NI ADA YANG KITA GONDOLKAN...SENDIRI MAU INGATLAH

Banglo mewah terperangkap

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

pix_middle
KUALA LUMPUR: Ratusan penduduk Bukit Setiawangsa dikejutkan dengan bencana tanah runtuh yang mengakibatkan sebahagian besar benteng konkrit yang dibina pada lereng bukit terbabit runtuh, semalam.
Benteng konkrit setinggi kira-kira bangunan 25 tingkat itu dilaporkan tiba-tiba jatuh dan menimbus satu-satunya jalan keluar masuk ke Taman Puncak Setiawangsa, kira-kira pukul 10 malam tadi.


Malah, sehingga lewat malam tadi, pergerakan tanah di situ masih berlaku dan situasi difahamkan kritikal hingga memaksa sekurang-kurangnya penghuni di empat banglo mewah di puncak bukit berkenaan di arahkan keluar.

Difahamkan antara penghuni yang terlibat adalah keluarga Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique; keluarga Duta Khas Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis serta seorang warga asing bernama Maulana.

Penolong Pengerusi Persatuan Penduduk Puncak Setiawangsa, Fauziah Jamaluddin, berkata hanya penghuni di perumahan Jalan Puncak 2 yang terlibat dalam kejadian itu dan mereka telah diarahkan keluar segera.

"Sekurang-kurangnya ada 15 rumah mewah di jalan berkenaan dan mereka yang terjejas akibat tanah runtuh di benteng terbabit.

"Lebih kurang 200 rumah lagi di sini tidak terbabit tetapi satu-satunya jalan yang menghubungkan Taman Puncak Perdana tertimbus dan setakat ini kami masih belum dimaklumkan keadaan sebenar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Difahamkan, rumah milik individu bernama Maulana paling terjejas teruk kerana terletak paling tepi dan berdekatan dengan lereng tersebut.

Penyewa yang menyewa di situ juga dikatakan telah pun berpindah awal disebabkan berlaku keretakan teruk pada kediaman mewah itu.

Tambah Fauziah, tiada kejadian hujan lebat dalam tempoh dua hari ini malah pihak berkuasa tempatan juga sering menyelia keadaaan benteng konkrit berkenaan.

Sementara Ketua Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

‘Aku nak ajar hang’

Oleh Muhammad Saufi Hassan
saufi@hmetro.com.my

ANGKAT...anggota polis membawa keluar jenazah Nor Fatimah Anis dari rumahnya. Gambar kecil, Nor Fatimah Anis, ditemui mati.
ANGKAT...anggota polis membawa keluar jenazah Nor Fatimah Anis dari rumahnya. Gambar kecil, Nor Fatimah Anis, ditemui mati.
ALOR SETAR: “Aku bukan nak bunuh hang (kau), aku nak ajar hang.” Itu antara kata-kata yang didengar jiran beberapa jam sebelum seorang isteri muda, Nor Fatimah Anis Md Radzi, 17, ditemui mati di rumahnya di Kampung Alor Gelagah, dekat sini, semalam.
Mangsa yang baru enam bulan berkahwin dipercayai mati akibat hentakan objek tumpul di kepala dan polis menahan suaminya berusia 20-an yang disyaki terbabit kejadian itu. Turut ditahan bagi membantu siasatan, dua lagi lelaki, juga berusia 20-an.
Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, dia menyedari pertengkaran antara mangsa dan suaminya jam 2 pagi selepas terdengar wanita itu menjerit kesakitan dipercayai akibat dipukul.

“Ini bukan kali pertama mereka bergaduh kerana kebelakangan ini saya kerap terdengar mereka bertengkar. Namun selalunya, pertengkaran mereka tidak lama...hanya beberapa minit.

“Tetapi, kali ini (pertengkaran awal pagi semalam) berlainan kerana saya percaya wanita itu dipukul suaminya. Saya dapat mendengar dengan jelas wanita itu merayu suaminya supaya jangan memukulnya.

Telefon ayah ucap selamat hari jadi



ALOR SETAR: “Dia menelefon saya jam 9 malam tadi (kelmarin) untuk mengucapkan selamat hari lahir kepada saya. Tak sangka itu kali terakhir saya berbual dengannya,” kata Md Radzi Dahari, 47, bapa arwah Nor Fatimah Anis, 17, yang ditemui mati di rumahnya, awal pagi semalam.
Selain itu, Md Radzi berkata, dia turut menerima SMS daripada menantunya yang turut mengucapkan selamat hari jadi pada malam sebelum kejadian.

Md Radzi berkata, dia mengetahui berita kematian anaknya jam 8 pagi selepas dimaklumkan kakak ipar anak perempuannya itu.
Menurutnya, dia bersama keluarga yang tinggal di Kampung Hutan Palas, Kodiang, Jitra, bergegas ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

“Selepas dimaklumkan polis, baru saya tahu apa sebenarnya berlaku hingga menyebabkan kematian anak saya. Sebelum ini kakak ipar arwah menghubungi isteri saya memaklumkan arwah dan suaminya sering bertengkar.

“Tapi, saya tidak mengendahkannya kerana berpendapat itu hanya perselisihan faham biasa.
“Saya langsung tak sangka pertengkaran mereka itu berakhir dengan kematian anak saya, tapi saya reda,” katanya yang berharap polis melakukan siasatan dengan teliti supaya individu yang bersalah dibawa ke muka pengadilan.

Dapur meletup

Oleh Junaidi Ladjana
djuns@hmetro.com

pix_middle
TAMPARULI: Seorang nenek dan cucunya yang mengalami masalah lembam, rentung dalam kebakaran rumah rumah mereka dipercayai berpunca daripada letupan dapur gas ketika warga emas itu mahu menyediakan sarapan, semalam.
Mayat Sunah Mindur, 79, ditemui tertiarap berhampiran pintu depan rumah mereka di Kampung Rani, Tenghilan, dekat sini, manakala mayat Fanddy Votoh@Walter, 23, yang juga orang kelainan upaya (OKU), ditemui di dapur.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Zaharudin Rasip berkata, kebakaran jam 6.25 pagi itu dipercayai disebabkan dapur gas yang tiba-tiba meletup ketika Sunah mahu memasak.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai cuba menghidupkan api untuk memasak air tanpa menyedari gas sudah terbuka. Apabila mangsa menyalakan mancis berlaku letupan yang seterusnya mengakibatkan kebakaran,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, siasatan juga mendapati walaupun keadaan tubuhnya disambar api, Sunah mungkin berusaha berlari ke luar rumah bagi mendapatkan pertolongan, namun rebah di berhampiran pintu sebelum menemui ajal.

Buka kereta tanpa bunyi

Oleh Asmah Rusman
asmah@hmetro.com.my

BUKTI...Zainuddin menunjukan peralatan elektronik yang digunakan suspek.
BUKTI...Zainuddin menunjukan peralatan elektronik yang digunakan suspek.
KUALA LUMPUR: Menggunakan sejenis peralatan elektronik buatan Taiwan, seorang lelaki mampu mematikan sistem penggera kereta dengan mudah sebelum menyamun barang berharga dalam kenderaan terbabit.
Alat berkenaan dikatakan mampu memintas frekuensi sistem penggera kenderaan dan suspek dengan mudah masuk ke dalam kenderaan berkenaan selepas sistem penggera dimatikan, membolehkan pintu kereta dibuka tanpa bunyi.

Perkara itu terbongkar selepas polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang terbabit dengan jenayah samun kenderaan dalam serbuan di sebuah kondominium di Petaling Jaya, 13 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pemeriksaan di rumah berkenaan menemui empat komputer riba, satu cakera keras mudah alih dan pelbagai dokumen atas nama individu lain dipercayai yang dicuri suspek.

“Modus operandi suspek ialah menunggu dalam kereta di parkir pusat beli-belah dan menggunakan alat berkenaan untuk memintas frekuensi penggera kereta mangsa.

“Sebaik berjaya membuka kereta mangsa, suspek mengambil barang berharga dalam kereta berkenaan sebelum melarikan diri,” katanya.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari kenderaan mereka disamun apabila mendapati pintu kereta mereka terbuka atau kenderaan berkenaan tidak berkunci selain keadaan di dalamnya berselerak.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek yang dibebaskan dari penjara awal tahun lalu, mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.
“Siasatan mendapati suspek sudah beberapa kali melakukan jenayah ini dan tidak menolak kemungkinan ada individu lain yang melakukan samun menggunakan taktik sama,” katanya.

8 lelaki ditahan kes curi kedai 24 jam



KUALA LUMPUR: Lapan lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun yang terbabit jenayah samun kedai serbaneka 24 jam, ditahan dalam operasi khas pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, Rabu lalu.
Dalam serbuan jam 11 malam itu, lima yang ditahan ialah anggota kumpulan samun terbabit manakala tiga lagi pembeli yang disyaki membeli barangan hasil samun mereka.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, semua yang ditahan berusia 17 hingga 44 tahun dan siasatan mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah.
“Serbuan serentak dilakukan di rumah mereka di empat lokasi berasingan iaitu dua di Sungai Besi manakala dua lagi di Keramat dan Seri Alam.

“Dalam serbuan itu, polis merampas dua parang, dua motosikal dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah samun serta pelbagai jenis rokok bernilai RM7,500,” katanya.

Menurut Zainuddin, dengan tertangkapnya anggota kumpulan itu, polis menumpaskan sindiket samun kedai serbaneka 24 jam yang aktif di Lembah Klang, terutama di daerah Dang Wangi sejak September lalu.
Beliau berkata, modus operandi kumpulan terbabit ialah berlagak sebagai pelanggan yang ingin membeli kad prabayar telefon bimbit dan masuk dalam kedai tanpa membuka topi keledar bagi mengelak wajahnya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

“Ketika petugas kaunter kedai sibuk mengambil barang diminta, suspek mengacukan parang dan mengarahkannya membungkus semua rokok serta melarikan wang,” katanya.
Katanya, suspek melarikan diri bersama seorang lagi rakan yang menunggu di luar kedai dengan motosikal.

Katanya, tangkapan itu menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes samun iaitu lima di Dang Wangi dan empat di daerah lain.

Doa ayah dari kejauhan

Oleh Muhamaad Razis Ismail, Siti Rohana Idris dan Nuraishah Ya
razis@hmetro.com.my

TUMPAT: “Tiada harta yang dapat saya berikan melainkan doa mengiringi kebahagiaan anak dan menantu dengan harapan ikatan perkahwinan mereka kekal hingga akhir hayat,” kata Jaafar Mohamad, 51, bapa kandung Nur Eilunie Natasha, 21, atau Leuniey yang sah bergelar isteri kepada penjaga gawang kebangsaan dan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, 23, semalam.
Khairul Fahmi atau Apek melafazkan akad nikah dengan sekali lafaz di kediaman keluarga Leuniey di Pasir Pekan, di sini, tepat jam 10.25 pagi dan pasangan berkenaan dinikahkan Imam Masjid Mukim Pasir Pekan, Abd Ghani Abd Mutalib.

Apek yang tiba dengan pakaian kuning muda menaiki kereta mewah Bentley berwarna putih dan diiringi polis trafik pada jam 10 pagi menyediakan hantaran RM19,000 sempena nombor jersi yang dipakainya dengan pasukan Kelantan selain tujuh dulang hantaran manakala Leuniey membalasnya dengan tujuh dulang.

Bapa tiri Leuniey, Nazri Adnan, 40, dan ibu Leuniey, Norlaila Abu Bakar, 40, serta bapa dan ibu Apek, Che Mat Hussin, 60, dan Bidah Ibrahim, 55, bersama lebih 2,000 tetamu menyaksikan detik bersejarah itu.

Menurut Jaafar yang bekerja sebagai pesawah, dia hanya mampu mengucapkan tahniah dari jauh kepada Leuniey yang dipanggilnya Kak Long.

Sampainya hati bapa...

Oleh Ahmad Ismail
am@hmetro.com.my

SEGAMAT: Seorang lelaki sanggup membohongi isterinya dengan mendakwa dua anak lelaki mereka mati lemas di Sungai Buloh Kasap, di sini, selepas ketiga-tiga beranak berkenaan cuba membunuh diri pada jam 1 pagi, 6 Disember lalu.
Lelaki terbabit mendakwa selepas terjun, dia bertukar fikiran dan cuba menyelamatkan dua anak mereka, namun kedua-duanya yang berusia dua tahun serta lima tahun hilang ditelan arus sungai.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Hanafi Daud berkata, bagaimanapun, ia hanya helah lelaki terbabit kerana kedua-dua anak mereka sebenarnya kini hilang sejak hari berkenaan.

“Berdasarkan siasatan, pasangan suami isteri terbabit bertengkar di rumah mereka di Taman Sri Alam, Batu Anam pada jam 7 pagi, 3 Disember lalu.

“Si isteri kemudian keluar meninggalkan kediaman berkenaan dan pergi ke Kuala Lumpur. Dia meninggalkan dua anak mereka bersama suaminya,” katanya.

Pengamal perubatan Islam wajib ikut panduan



KUALA LUMPUR: Semua pengamal perubatan Islam mesti mengikut garis panduan yang ditetapkan dan disaran berdaftar sebagai ahli Gabungan Persatuan Pengubatan Islam Malaysia (Gappima).
Perkara itu ditekankan Pengarah Pusat Perubatan Islam Seiring Syariat (PPISS), Datuk Dr Basharuddin Panjang Ahmad selepas Gappima mengadakan mesyuarat bersama ahli jawatankuasanya, kelmarin.

Menurutnya, Garis Panduan Amalan Perubatan Islam dikeluarkan Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia sejak September 2011 menjadi panduan terbaik buat pengamal perubatan melaksanakan tanggungjawab merawat pesakit.
“Semua pengamal perubatan Islam yang mahu menyertai bidang ini mesti mengikut garis panduan. Begitu juga, Gappima mempunyai jawatankuasa penilai menapis keahlian mereka yang layak,” katanya dihubungi, semalam.

Mati minum ubat datuk

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai tersalah minum ubat yang disangkanya minuman di rumah neneknya di Sri Gombak, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, Chee Wan Seng, 2, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.

Difahamkan, Chee tinggal bersama neneknya berusia 50-an selepas ibu dan bapanya berusia 20-an berpisah hampir setahun lalu.

Siasatan kes bakar bayi hampir selesai

JOHOR BAHRU: Siasatan kes bunuh dan bakar seorang bayi perempuan berusia setahun setengah yang ditemui berhampiran longgokan sampah di Jalan Salleh, Taman Ungku Aziz di sini, 21 Disember lalu hampirselesai.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pihaknya mendapat petunjuk baru bagi mengesan individu bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu.

“Kami yakin dapat menahan dalang di sebalik kejadian ini dalam tempoh terdekat. Bagaimanapun, maklumat berkenaan tidak dapat didedahkan untuk tidak mengganggu siasatan,” katanya pada pelancaran Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di sini, pagi semalam.
Menurut beliau, pasukan khas juga ditubuhkan bagi menjejak individu terbabit dan ia diselia Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Dr Hashim Haron.

Mokhtar berkata, setakat semalam, mayat mangsa masih ditempatkan di rumah mayat Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

“Belum ada pihak yang datang menuntut mayatnya. Kami harap waris atau pihak yang mengenali mangsa datang melakukan pengecaman,” katanya.
Mangsa ditemui dengan kesan 80 peratus terbakar selain perutnya terburai.

Berkaitan program itu, menurut Mokhtar, 74 unit motosikal Honda 250cc diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor.
“Jentera diubahsuai khas itu digunakan bagi membanteras jenayah samun, ragut, pecah rumah dan lumba haram.

“Jumlah ini untuk fasa pertama dan diagihkan bagi kegunaan 10 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya, Johor Bahru Utara (JBU), Johor Bahru Selatan (JBS) dan Kulaijaya,” katanya.

Menceritakan kejadian itu, sumber berkata, ketika kejadian nenek mangsa yang mencuci pakaian di bilik mandi melihat Chee ke dapur dan membuka peti sejuk mengambil minuman.

“Dia (nenek) yang tidak menyangka apa-apa meneruskan kerja namun melihat botol ubat ditinggalkan di lantai dapur.

Dr Basharuddin yang juga bendahari Gappima berkata, pelaksanaan amalan perubatan Islam dimasukkan ke dalam Rang Undang-Undang Perubatan Tradisional dan Komplementari (PTK) sebelum ini memberikan impak positif dalam meraih kepercayaan orang ramai sebagai pengguna.

“Undang-undang ini, akan membolehkan orang ramai mengetahui lebih lanjut mengenai perubatan Islam yang sah dan mereka membuka mata agar yakin menggunakan perubatan ini,” katanya.
Katanya, perubatan Islam menggunakan konsep rukyah dan syariah dipantau Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memastikan pelaksanaan mengikut garis panduan.

“Gappima berharap lebih ramai pengamal perubatan Islam menyertai kami sebagai ahli dalam memastikan segala tindakan perubatan diamalkan secara sah dan berdaftar,” katanya.

Banjir terburuk

Oleh Shalfarina Shahriman
am@hmetro.com.my

KUANTAN: “Sejak sekolah ini ditubuhkan kira-kira 94 tahun lalu, inilah kejadian banjir yang terburuk pernah dialami sekali gus mengakibatkan kerugian hampir RM200,000.
“Bagaimanapun, kami tetap berusaha memastikan sekolah ini dapat dibuka untuk sesi tahun baru seperti yang ditetapkan minggu depan kerana tidak mahu pelajar ketinggalan mengikuti jadual Jabatan Pelajaran Negeri (JPN),” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sultan Abdullah (SKSA), Mohd Zaki Zainudin ketika operasi gotong royong membersihkan sekolah itu di sini, semalam.

Mohd Zaki berkata, ketika kejadian banjir Isnin lalu, beberapa kakitangan hanya sempat menyelamatkan sedikit peralatan penting seperti komputer dan dokumen lain.
Menurutnya, walaupun banjir terbabit mengakibatkan kerosakan terhadap beberapa peralatan sekolah namun mereka tetap berusaha memberikan kelengkapan yang terbaik kepada murid supaya dapat belajar seperti biasa.

“Kami berusaha mencapai dasar 1Murid, 1Kerusi, 1Meja dan 1Set buku bagi memudahkan pelajar mengikuti pelajaran di dalam bilik darjah. Antara yang paling teruk terjejas adalah bilik guru, bilik prasekolah dan koperasi yang menyebabkan hampir 80 peratus peralatan rosak dan tidak boleh digunakan,” katanya.

Beliau berkata, minggu orientasi untuk pelajar tahun satu akan tetap dijalankan dengan menggunakan dewan sekolah, ketika sesi yang akan bermula minggu depan.
Katanya, pihaknya juga sudah berbincang dengan pembekal buku untuk menghantar semula barangan terbabit dan pihaknya difahamkan semua bahan bacaan akan diterima minggu depan.

“Justeru, disebabkan kerosakan yang berlaku agak teruk, kami terpaksa membuat gotong-royong sebanyak tiga kali untuk membersihkan kawasan sekolah ini secara keseluruhan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Majlis Perbandaran Kuantan (MPK),” katanya.

Cinta lintang-pukang

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

JITRA: Seorang wanita menjalin hubungan sulit dengan rakan baik bekas suaminya manakala bekas suaminya itu pula mempunyai hubungan dengan adik iparnya dan lebih mengejutkan apabila kedua-dua pasangan itu tinggal serumah.
Bagaimanapun onar yang dicipta mereka terbongkar apabila rumah mereka diami di Kampung Sanglang, dekat sini, diserbu Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP) pada awal pagi semalam.

Lebih mengejutkan lagi apabila janda terbabit melahirkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan hasil hubungan sulitnya dengan rakan bekas suaminya itu.

Difahamkan, janda terbabit bersama bekas suaminya tinggal bersama di rumah itu bersama teman lelakinya serta adik perempuan wanita itu yang berusia 18 tahun.

Adik wanita itu dikatakan menjalinkan hubungan sulit dengan abang iparnya sendiri yang berusia 39 tahun sejak beberapa bulan lalu selepas kakaknya bercerai dengan abang iparnya itu.

Paksa adik abang ipar dagang tubuh


ALOR GAJAH: Seorang gadis mendakwa dipaksa menjadi pelacur oleh adik ipar kepada abangnya sendiri sejak awal bulan ini.
Mangsa yang berusia 17 tahun itu dipaksa melayan nafsu serakah beberapa lelaki pertengahan usia dengan dikenakan bayaran tertentu di beberapa lokasi termasuk sekitar hotel bajet di negeri ini.

Difahamkan, mangsa tinggal bersama kakak ipar dan abangnya di sebuah rumah di Pulau Sebang dan datang ke rumah seorang saudaranya di Selangor awal bulan ini.
Menurut sumber, suspek yang turut tinggal bersama mangsa di Pulau Sebang menjemput gadis itu di Selangor beberapa hari kemudian dan membawanya pulang ke Melaka.

“Bagaimanapun, suspek tidak terus membawa gadis itu pulang ke rumah sebaliknya membawanya bersiar-siar di sekitar Bandaraya Melaka.

“Selepas bersiar-siar, suspek menyewa sebuah hotel bajet dan sebaik berada di hotel itu, mangsa diperkenalkan dengan seorang lelaki pertengahan usia,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, gadis itu kemudian dipaksa melayan nafsu lelaki terbabit dan dikenakan bayaran sebanyak RM200.

Katanya, mangsa yang mula menyedari niat sebenar suspek cuba melarikan diri dan merayu tidak diperlakukan sedemikian, namun tidak diendahkan.
“Gadis itu turut mendakwa dibawa ke beberapa daerah tidak dikenal pasti untuk diperdagangkan kepada pelanggan yang sedia menunggu di tempat dijanjikan.

“Malah, suspek dikatakan turut mengawasi setiap pergerakan gadis itu bagi mengelak dia melarikan diri,” katanya.

Sumber itu berkata, gadis malang itu yang tidak tahan diperlakukan sedemikian nekad melarikan diri daripada kawalan suspek sebelum membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah, kelmarin.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut sedang dilakukan.

Menurutnya, kes dirujuk ke Jabatan Keganasan Rumahtangga, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka untuk tindakan selanjutnya.

Jodoh pemuda kudung Iraq



KECACATAN fizikal Ali tidak pernah menjadi halangan cinta Ankam terhadapnya.
KECACATAN fizikal Ali tidak pernah menjadi halangan cinta Ankam terhadapnya.
LONDON: Tanpa kedua-dua tangan yang terpaksa dibuang akibat perang Iraq, tuah dialami Ali Abbas memang sangat menggembirakannya.
Dalam serba kekurangan itu, Ali berpeluang mengahwini gadis yang menjadi pujaannya sejak kecil. Kini menetap di Britain, Ali, 21, berkahwin dengan Ankam Hamza, 18, dalam majlis penuh emosi yang dilangsungkan selama dua hari di bumi kelahirannya.

Menceritakan pengalaman itu untuk kali pertama, Ali berkata, dia bukan saja tidak menyangka dapat menikahi Ankam, malah tidak menyangka terselamat dalam serangan peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) di Baghdad sembilan tahun lalu.


Sebagai seorang daripada mangsa paling parah dalam perang Iraq, Ali tidak diberi banyak harapan untuk hidup bagi meraikan ulang tahun ke-13. Banyak pihak juga tidak menjangkakan Ali berpeluang menjadi seorang suami. Selain kehilangan kedua-dua tangan, Ali juga mengalami kesan melecur pada 60 peratus badannya.

Ali juga kehilangan 16 anggota keluarga, termasuk ibu bapanya. Gambar penderitaan Ali itu tersebar ke seluruh dunia dan dia menjadi wajah ikon bagi konflik berkenaan. Kata Ali, dia tidak sangka diberi peluang untuk terus hidup.

“Saya tak pernah membayangkan dapat mencintai seorang wanita dan yang paling pasti, tidak sangka ada peluang berkahwin,” katanya. Menurut Ali, pada hari pernikahan, emosinya bercampur-baur antara sedih dan gembira.
Bagaimanapun, katanya, dia lebih terfikir bahawa dia sangat bertuah kerana dapat bertemu seorang wanita seperti Ankam.

“Memang saya tahu Ankam adalah pilihan tepat kerana dia tidak pernah membiarkan saya terfikir bahawa saya memiliki kekurangan.
“Apabila bersama Ankam, saya berasa seperti lelaki normal,” katanya. Menurut Ali, dia sentiasa dibayangi tragedi pada 2003 itu dan ia turut mengubah hidupnya. Katanya, pada ketika tertentu, dia terdengar jeritan ahli keluarganya ketika bumbung dan siling rumah runtuh menimpa mereka akibat peluru berpandu AS. Ali bernasib baik kerana dikesan seorang jiran masih bernafas di bawah runtuhan bangunan berkenaan.

Selepas dikeluarkan, dia dikejarkan ke hospital.

Penderitaan Ali menyentuh perasaan berjuta orang di seluruh dunia apabila anggota perubatan di Iraq merayu supaya dia diterbangkan ke Kuwait bagi menjalani pembedahan menyelamatkan nyawanya. Akhirnya Ali diterbangkan ke Britain dan diberi bantuan tangan palsu di Hospital Ratu Mary di selatan London. Pada Jun 2010, Ali lulus ujian kewarganegaraan dan disahkan sebagai warga Britain. Sejak itu, Ali pulang ke Iraq beberapa kali untuk bertemu saudara-maranya yang terselamat dalam perang. Dalam kesempatan itu Ali diperkenalkan kepada Ankam yang pernah menjadi temannya ketika zaman kanak-kanak. - DM

Wanita bersalin selepas kereta dirempuh perompak di depan rumah



LONDON: Seorang wanita bersalin selepas kereta dinaikinya dirempuh perompak yang melarikan diri dari rumahnya, lapor media semalam.
Ceri Fiddes, 33, sebelum itu dinasihati kakitangan hospital supaya pulang dan menunggu beberapa jam lagi walaupun dia mengalami tanda bakal bersalin.

Ketika Ceri dan suaminya, Daniel Fiddes menghampiri rumah mereka, seorang perompak menyerbu keluar, manakala rakan penjenayah itu menunggu di halaman.
Jurucakap polis berkata, Fiddes keluar dari kereta dan cuba menahan perompak terbabit.

Bagaimanapun, perompak terbabit melompat masuk ke kereta dan merempuh kenderaan Fiddes walaupun ketika itu Ceri ada di dalamnya. Jurucakap polis berkata, penjenayah terbabit melanggar kereta Fiddes berulang kali sebelum dapat melarikan diri dari rumah mangsa di Stoney Stratton.

“Apabila polis selesai membuat siasatan, Ceri mengalami kesakitan dan terpaksa dikejarkan ke hospital semula dua jam kemudian,” katanya.
Dia akhirnya selamat melahirkan anak lelaki yang diberi nama Jude pada 6 Disember lalu. Menceritakan pengalaman itu, Ceri berkata, ia memang mengerikan.

Katanya, ketika keretanya dirempuh berkali-kali, dia terhuyung-hayang dan Jude hampir dilahirkan di dalam kenderaan.
“Selepas bersalin di hospital pun, saya terpaksa kembali semula ke situ kerana uri saya tidak keluar.

“Anda mungkin dapat membayangkan bagaimana kecohnya hari kami,” katanya. - TS

Warga Kuwait maut bergaduh berebut wanita

JAKARTA: Seorang rakyat Kuwait dikenali sebagai Husain maut pagi semalam selepas ditikam di dada ketika bergaduh dengan tiga warga Iran di sebuah kafe di Menteng, Jakarta Pusat.
Ketua Polis Jakarta Pusat, Komisioner Kanan AR Yoyol berkata, pergaduhan berpunca daripada isu perebutan seorang wanita, lapor kompas.com.

Husain dikatakan meminta wanita yang datang dengan tiga warga Iran itu meninggalkan kafe berkenaan bersamanya menyebabkan pergaduhan tercetus.
Pengawal kafe itu cuba untuk campur tangan tetapi cedera akibat terkena objek tajam di tangan kanannya.

Menurut Yoyol dua daripada warga Iran itu sudah ditahan, manakala suspek ketiga masih bebas. - kompas.com

Korban ribut Wukong meningkat 11 orang



MANILA: Jumlah kematian akibat ribut tropika yang melanda tengah Filipina pada hari Krismas meningkat kepada 11 orang, manakala ribuan lagi terpaksa meninggalkan kediaman mereka ekoran banjir dan tanah runtuh, kata pihak berkuasa semalam.
Ribut tropika Wukong menyebabkan kemusnahan baru hanya beberapa minggu selepas taufan Bopha melanda selatan negara itu, menjejaskan ramai penduduk dan membunuh lebih 1,000 orang.

Kebanyakan mangsa Wukong mati akibat lemas, manakala tiga lagi mati selepas sebatang pokok menghempap kediaman mereka, menurut pihak berkuasa majlis pemantauan bencana yang menambah dua lagi mangsa masih hilang.
Lebih 13,000 penduduk berada di pusat pemindahan ekoran banjir dan tanah runtuh yang disebabkan oleh ribut terbaru itu yang melanda kepulauan Samar, Leyte Cebu dan Panay.

Bagaimanapun, pegawai bencana daerah, Celeste Milan menyuarakan keyakinan bahawa jumlah kematian itu tidak meningkat lebih banyak kerana penduduk telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan sesetengahnya berpindah dari kediaman mereka sebelum ribut melanda. “Ia bukan seperti Bopha. Ribut ini lebih banyak membawa hujan. Bopha taufan yang lebih besar. Wukong hanya ribut tropika kecil,” katanya. Wukong semakin lemah ketika bertiup keluar ke arah barat ke Laut China Selatan.

Usaha menyelamat masih diteruskan di kawasan di selatan Filipina di mana kebanyakan bandar terjejas akibat Bopha, taufan terkuat yang melanda negara itu tahun ini.
Filipina dilanda kira-kira 20 ribut utama atau taufan setiap tahun yang berlaku terutama ketika musim hujan antara Jun hingga Oktober. - MT

TULIS BOLEH...CAKAP BOLEH...PEMIMPIN2 KENA PRAKTIS ISLAM CARA NABI LEBIH DULU TERMASUK YANG BERCAKAP SERTA PENULIS

‘Kami mangsa dendam along’

Oleh Na’imah Mohamed
naimah@hmetro.com.my

BUKTI...Jonathan (dua dari kanan) bersama isteri, Serene dan Chong menunjukkan gambar rumahnya disimbah cat merah dan pagar dirantai.
BUKTI...Jonathan (dua dari kanan) bersama isteri, Serene dan Chong menunjukkan gambar rumahnya disimbah cat merah dan pagar dirantai.
KUALA LUMPUR: Hasrat sepasang suami isteri berpindah ke rumah yang baru dibeli Februari lalu terbantut apabila diganggu along yang memburu pemilik lama rumah dua tingkat itu selepas tidak membayar hutang along terbabit.
Pasangan terbabit yang menunggu 20 tahun untuk membeli rumah sepatutnya mendiami rumah berkenaan Ogos lalu, namun akibat takut dengan gangguan along, mereka membatalkan niat itu.

Mangsa Jonathan Rasiah, 46 dan isteri, Serene Rasiah, 39, diganggu along sejak Mac lalu ketika rumahnya di Bandar Kinrara 4, dekat Puchong, dalam proses pengubahsuaian disimbah cat merah.
“Saya menghubungi pemilik lama dan dia mengaku membuat pinjaman daripada along serta berjanji membayar hutang itu bagi menghentikan gangguan terbabit.

“Pemilik lama menyerahkan semua nombor telefon along terbabit sebelum saya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan saya dan isteri,” katanya ketika sidang media di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, di Jalan Ampang, di sini, semalam.

Beliau berkata, hidupnya kembali tenang selama sebulan, namun along terbabit sekali lagi mengganggu mereka sebulan selepas itu dengan menyimbah cat dan kejadian berlarutan sehingga Mei apabila pagar rumahnya dirantai dua kali.
“Bukan itu saja, along terbabit memaksa kontraktor yang membuat pengubahsuaian rumah kami supaya menghentikan kerja mereka dengan mendakwa rumah berkenaan berada dalam keadaan tidak selamat.

“Kami sepatutnya berpindah masuk sejak Ogos lalu, bagaimanapun, kejadian ini membantutkan niat kami untuk menduduki rumah yang kami beli itu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menggesa peminjam along terbabit membayar hutangnya segera sekiranya tidak mahu identitinya didedahkan.

“Tahun ini saja, kami merekodkan 588 kes membabitkan along dengan jumlah kerugian RM38.7 juta dan jumlah ini sangat membimbangkan,” katanya.

Sukar kawal api parkir berlapis



KUALA LUMPUR: Penduduk rumah flat termasuk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar ibu negara diancam bahaya ekoran sikap kebanyakan penghuninya yang tidak mengambil berat isu keselamatan terutama ketika berdepan insiden kebakaran.
Sikap penghuni yang sering meletakkan kenderaan mereka secara tidak tersusun dan berlapis hingga menghadang laluan, menyukarkan anggota keselamatan untuk menjalankan operasi sekiranya berlaku kecemasan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pihaknya sering berdepan masalah sedemikian dan khuatir sekiranya ia tidak ditangani segera menjadi lebih buruk termasuk mungkin membabitkan kehilangan nyawa.
“Antara insiden terbaru yang kami alami ialah ketika operasi memadam kebakaran sebuah kediaman di Flat Sri Kelantan pada sambutan Krismas lalu.

“Dalam kejadian itu, bomba menerima panggilan kecemasan jam 11.05 pagi dan segera ke lokasi kejadian, namun jentera bomba mengalami kesukaran untuk masuk akibat kenderaan awam tidak diletakkan secara teratur selain kehadiran gerai makanan di bahu jalan,” katanya di sini, semalam.

3 beranak berpantang ajal



MERSING: Tiga beranak yang menaiki sebuah kereta terselamat dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Endau-Mersing, dekat sini, walaupun kereta berkenaan remuk teruk, semalam.
Mangsa, Siti Norfazlina Zaini, 25, yang memandu Proton Inspira bersama dua anaknya, Siti Norfatiah Mohd Shukri, 4, dan Siti Norfatirah, 16 bulan, terselamat walaupun kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum terbabas dalam semak, jam 10.30 pagi.

Dalam kejadian itu, Siti Norfazlina luka di kepala, Siti Norfatiah cedera ringan di kaki manakala Siti Norfatirah tidak cedera.
Suami Siti Norfazlina, Mohd Shukri Mohammad, 34, berkata, ketika kejadian dia berada di Sekolah Kebangsaan Sawah Datuk.

“Saya menghadiri mesyuarat guru sebagai persiapan sesi persekolahan dan bersyukur walaupun kereta rosak teruk, isteri dan anak terselamat.

“Keadaan mereka stabil dan dijangka dibenarkan keluar selepas proses rawatan selesai,” katanya ketika ditemui di Hospital Mersing.
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa terperanjat kerana mendapati ada kelopak air di tengah jalan.

“Mangsa membrek sebelum kereta dipandunya hilang kawalan. Kami menasihati pengguna jalan raya berhati-hati ketika memandu memandangkan keadaan jalan licin akibat hujan,” katanya.

Dibiar mati kesejukan

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my

DARO: Selepas bertarung nyawa 19 jam, seorang bayi perempuan tidak cukup bulan yang ditemui dalam keadaan hanya dibalut plastik lutsinar dan ditinggalkan kesejukan di bawah rumah seorang penduduk di Kampung Baru Daro, di sini, akhirnya meninggal dunia, kelmarin.
Bayi malang itu disahkan meninggal dunia jam 8 malam selepas pelbagai usaha menyelamatkannya dilakukan pihak hospital gagal berikutan keadaannya dipercayai tidak cukup bulan selain kesejukan.

Sumber berkata, bayi itu ditemui seorang penduduk yang terdengar tangisan dari bawah sebuah rumah pada jam 1 pagi.

“Individu itu mendapati bayi perempuan itu masih bertali pusat selain badan masih berlumuran darah.

“Lebih menyedihkan apabila bayi itu bukan saja dibuang seperti sampah, malah dibiarkan tanpa seurat benang dan hanya dibungkus dengan plastik lutsinar.
“Individu terbabit terus memaklumkan kepada penduduk kampung sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Wanita bogel maut jatuh tingkat 12



KUALA LUMPUR: Dentuman kuat di belakang blok A Kuarters Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, awal pagi semalam membawa kepada penemuan satu mayat wanita dalam keadaan bogel.
Difahamkan, pengawal keselamatan yang dimaklumkan mengenai penemuan itu terkejut sebaik mendapati mayat terbabit adalah seorang wanita yang diselamatkannya ketika cuba melarikan diri dari kuarters berkenaan 10 minit sebelum itu.

Wanita berusia 25 tahun itu yang juga kakitangan HKL dipercayai terjun dari rumahnya di tingkat 12 blok berkenaan sebelum ditemui terlentang di tempat letak kenderaan.
Menurut saksi yang enggan dikenali, dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa dikatakan berbogel dan cuba berlari keluar dari pekarangan kuarters.

“Pengawal keselamatan yang bertugas ketika itu melihat mangsa dan menahannya. Kejadian itu turut disedari keluarga mangsa yang melihatnya keluar dari rumah mereka. “Pengawal keselamatan dan salah seorang ahli keluarga mangsa membawanya pulang ke rumah bagi menenangkan wanita terbabit yang meraung,” katanya.

Beliau berkata, 10 minit kemudian, seorang penghuni lain yang dikejutkan dengan dentuman memberitahu pengawal keselamatan sebelum pemeriksaan menemui wanita terbabit dalam keadaan terlentang.
Saksi berkata, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkap bilik rumah keluarganya itu di tingkat 12.

Menurutnya, polis dipanggil membantu siasatan dan mayat dihantar ke HKL untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 5 pagi.

“Hasil siasatan mangsa dikatakan mengalami masalah sakit mental sejak dua minggu lalu. Kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Tragedi pesta hidu gam



KAJANG: Angkara 'berpesta' hidu gam bersama dua lelaki yang juga rakan kekasihnya di sebuah rumah sewa di Taman Putra, di sini, seorang remaja perempuan menerima padah apabila dirogol bergilir-gilir oleh dua lelaki terbabit.
Lebih memalukan, perbuatan keji itu turut disedari adik lelaki kekasih mangsa berusia 11 tahun yang kebetulan berada di rumah berkenaan.

Sumber berkata, mangsa yang berusia 17 tahun membuat laporan polis mengenai kejadian itu kelmarin sebelum diarah ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.
Beliau berkata, kejadian berlaku jam 6 petang Jumaat lalu ketika mangsa bersama adik teman lelakinya sedang menonton televisyen di rumah.

Difahamkan, mangsa tinggal serumah bersama kekasihnya dan dua rakan kekasihnya itu sejak bekerja sementara di sebuah syarikat swasta berhampiran rumah mereka.

“Dua rakan kekasihnya itu kemudian pulang ke rumah berkenaan. Kedua-dua lelaki itu dikatakan menghidu gam dan memaksa mangsa menghidu gam bersama mereka.
“Selepas beberapa jam menghidu gam, mereka dipercayai menarik mangsa ke dalam bilik dengan salah seorang daripada mereka memperkosa mangsa dan seorang lagi mengarahkan adik teman lelaki mangsa mendiamkan diri,” katanya.

Menurut sumber, mangsa dipercayai diperkosa kedua-dua lelaki itu ketika dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tidak berdaya melawan.
“Selepas kejadian itu, mangsa berasa sakit pada kemaluannya menyebabkan dia mengesyaki dirogol dua lelaki itu. Namun, apabila mangsa bertanya, lelaki terbabit tidak mengaku,” katanya.

Ekoran tidak puas hati, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kajang, di sini, untuk siasatan polis selanjutnya.

Jurucakap polis mengesahkan kejadian itu.

Praktis Islam cara Nabi

Oleh Ahmad Tajuddin Idris al-Manhaji

SEPERTI dikhabarkan oleh Nabi s.a.w umat Islam akan terpecah kepada 73 golongan dan semuanya ke neraka kecuali satu golongan. Golongan yang akan selamat ini adalah mereka mengikuti Islam sesuai dengan kefahaman Nabi dan sahabat.
Hal ini dapat dibuktikan dengan hadis Nabi yang berbunyi: “Ketahuilah, sesungguhnya orang sebelum kamu daripada ahli kitab sudah berpecah menjadi 72 golongan. Dan sesungguhnya agama ini (Islam) akan terpecah menjadi 73 golongan, 72 golongan tempatnya di neraka dan satu golongan di dalam syurga, iaitu al-Jama’ah.” (HR Ahmad dan yang lainnya, hadis hasan) Dalam riwayat lain Nabi bersabda: “Semua golongan itu tempatnya di neraka, kecuali satu iaitu aku dan sahabatku berada di atasnya.” (HR at-Tarmizi, hadis hasan) Maka sesiapa yang tidak mengikuti seperti mana Nabi dan sahabat dalam beragama, mereka akan terjatuh dalam salah satu kelompok dikhabarkan oleh Nabi tadi. Di antara satu kelompok sesat yang dijelaskan oleh ulama di kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah golongan Khawarij.

Bahkan di antara sejarah munculnya istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah untuk membezakan dengan 72 golongan itu. ‘Ahli Sunnah’ memberi maksud mereka yang mengikuti sunnah Nabi manakala ‘al-Jamaah’ memberi maksud bersama-sama dengan kaum muslimin dan pemerintahnya bukan Khawarij yang sentiasa mencabut ketaatan kepada kaum muslimin dan pemerintahnya, sekali gus menentangnya.
Golongan Khawarij bukanlah manusia yang tidak sayangkan Islam bahkan mereka bersemangat untuk menegakkan Islam, terutama hukum berkaitan jenayah seperti hudud dan qisas. Tetapi sayangnya semangat dan sayang mereka terhadap Islam itu tidak berlandaskan ilmu Islam yang benar, dalam masa sama bercanggah dengan amalan dilakukan oleh Nabi, sahabat dan salaf.

Kebiasaannya golongan Khawarij dalam menyampaikan Islam kepada masyarakat dengan pendekatan selalu menghukum orang Islam lain yang tidak menegakkan hukum hudud dan pelaku dosa besar dengan mengkafirkan mereka. Buktinya kemuncak kemunculan golongan Khawarij dalam sejarah Islam adalah terbunuhnya Saidina Ali r.a di tangan Abdul Rahman bin Muljam atau lebih dikenali sebagai Ibnu Muljam. Apakah alasan Ibnu Muljam membunuh Saidina Ali, khalifah Islam keempat yang dijamin syurga oleh Nabi? Alasan Ibnu Muljam yang mengangkat pedangnya menebas kepala Saidina Ali kerana Saidina Ali dianggap kafir olehnya disebabkan tidak melaksanakan hukum hudud dan qisas ke atas pembunuh Uthman r.a. Ibnu Muljam dikenali sebagai seorang yang warak dan pernah diutus oleh Saidina Umar r.a ke Mesir sebagai guru untuk mengajarkan al-Quran kepada penduduk Mesir.

Namun, kewarakan dan keikhlasan Ibnu Muljam untuk menegakkan Islam tidak menghalangnya untuk terjatuh ke dalam mazhab Khawarij yang akhirnya dia mengkafirkan Saidina Ali, sekali gus membunuhnya.
Di antara permulaan sifat golongan Khawarij, pertamanya akan menunjukkan dengan lisan mereka terlebih dulu seperti memaki-hamun di atas nama Islam kepada musuhnya. Selepas itu mereka akan menzahirkannya dengan tindakan melakukan kekacauan dan hura-hara dengan melakukan segala macam bentuk ancaman yang boleh menggugat orang lain. Kemuncak tindakan golongan Khawarij akan diakhiri dengan pembunuhan dan peperangan kepada golongan yang tidak bersama dengan mereka. Siapakah yang selalu dimusuhi dan dikafirkan oleh golongan Khawarij ini? Selalunya mereka suka memusuhi dan mengkafirkan sesebuah kerajaan Islam dan pemerintah Islam di dalamnya seperti yang menimpa kerajaan Saidina Ali.

Mereka sentiasa menggunakan ayat al-Quran untuk menegakkan mazhab dan akidah Khawarij. Mereka tanpa segan silu mentafsirkan ayat al-Quran dengan pemikiran dan hawa nafsu mereka agar bersesuaian dengan kelompok mereka, padahal ayat al-Quran yang mereka bacakan itu tidak sama seperti apa ditafsirkan oleh Nabi dan sahabat baginda.
Benarlah perkataan Saidina Ali kepada golongan Khawarij ketika mereka mengangkat ayat al-Quran yang menjadi slogan mereka “dan sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, mereka adalah orang kafir”. Ayat inilah yang menjadi modal kepada Ibnu Muljam untuk membunuh Saidina Ali.

Apabila Saidina Ali mendengar ayat ini diangkat menjadi slogan Ibnu Muljam dan pengikutnya, beliau berkata “kalimah yang benar, tetapi ia berkehendak kepada kejahatan (kebatilan)”. Kenapakah Saidina Ali berkata demikian? Kerana ayat yang dilaungkan itu memang benar daripada sisi Allah manakala pemahaman dan maksud ayat itu tidak sama seperti mana Nabi dan sahabat memahaminya.

Kerana itulah manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam mentafsirkan ayat al-Quran dan hadis Nabi sentiasa mengikuti petunjuk Nabi dan sahabat. Kerana jika tidak menafsirkan ayat al-Quran dan hadis Nabi seperti mana Nabi dan sahabat nescaya akan tergolong dalam salah satu 72 golongan yang diancam neraka.

Bahayanya kesan akidah dan mazhab Khawarij antaranya kefahaman dan amalan mereka akan sentiasa bercanggah dengan golongan Ahli Sunnah Wal Jammah dalam beragama.

Ahli Sunnah menuntut kepada kaum Muslimin agar mendoakan kebaikan kepada pemerintah Islam serta menyuruh manusia mentaati pemerintah Islam dalam hal-hal kebaikan.

Ahli Sunnah turut menasihati agar berhati-hati untuk mengkafirkan manusia yang tidak dapat menegakkan hukum Islam sepenuhnya dan pelaku dosa besar selain manusia diajak bersatu padu sesama Islam di atas dasar tauhid.

Adapun golongan Khawarij akan sentiasa ada di sepanjang zaman hingga tiba hari kiamat. Kepada Allah kita mohon perlindungan daripada fitnah golongan Khawarij ini.

Penulis Ketua Biro Massa Ilmuan Malaysia berkelulusan Syariah Fiqh dan Usul UM

Tembak tayar kereta polis

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my

PARIT BUNTAR: Empat anggota polis nyaris maut apabila tiga perompak bertindak melepaskan lebih lima das tembakan ke arah kereta peronda polis yang muncul sebaik mendapat maklumat kejadian rompakan kedai emas, di sini.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari semalam, kumpulan perompak yang bersenjatakan senapang patah dan pistol turut menembak tayar kereta peronda polis hingga bocor sebelum melarikan diri bersama barang kemas dianggarkan bernilai lebih RM500,000 dari sebuah kedai emas di Pekan Baru, di sini.

Difahamkan, suspek yang menaiki sebuah kereta muncul di hadapan kedai emas itu sebelum menyerbu masuk dan memecahkan cermin pameran menggunakan tukul besi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan, berkata kejadian berlaku apabila dua suspek bertopeng menyerbu masuk ke dalam kedai emas berkenaan dan menghalau tiga pelanggan yang berada di dalam premis.

Menurutnya, salah seorang penjenayah kemudian mengacukan senjata api terhadap pekerja premis itu, manakala seorang lagi suspek bertindak memecahkan kaca pameran barang kemas menggunakan penukul.

Jadi pelarian angkara anak



IPOH: Sepasang suami isteri warga emas terpaksa menjadi ‘pelarian’ dan menyorok di beberapa hotel murah berikutan bimbang dibunuh samseng along selepas anak mereka gagal menjelaskan hutang sindiket haram itu.
Mangsa, Chan Kwai Woh, 77, dan isterinya, Yong Yin Yoke, 70, terpaksa berpindah randah dari satu hotel ke hotel yang lain sejak 17 Disember lalu selepas kumpulan samseng along menyerang rumah mereka di Taman Cempaka, di sini, gagal menjejaki anak lelaki mereka.

Chan yang bekerja sebagai juruteknik sambilan berkata, musibah itu mula menimpanya selepas anak lelaki mereka yang berusia 48 tahun membuat pinjaman wang dalam jumlah besar daripada along.
Menurutnya, dia hanya mengetahui perkara itu selepas rumahnya dibaling dengan cat merah oleh sekumpulan along pada awal pagi 15 Disember lalu.

“Saya kemudian menyoal anak lelaki kami berhubung punca insiden itu, namun anak lelaki kami menghilangkan diri keesokan harinya dari rumah.

“Beberapa orang samseng kemudian muncul di hadapan rumah dan mengugut kami supaya melangsaikan semua hutang itu. Jumlah hutang diambil terlalu banyak dan kami tidak mampu melangsaikannya,” katanya ketika membuat aduan kepada ketua biro aduan MCA Ipoh, Datuk Lee Kon Yin.
Dia yang bimbang keselamatan nyawanya bertindak meninggalkan rumah dengan hanya membawa beberapa helai pakaian sebelum tinggal menyewa di beberapa hotel murah di bandaraya ini.

“Saya meninggalkan rumah dalam keadaan tergesa-gesa hinggakan ubat penyakit darah tinggi kami turut tertinggal di rumah. Kami kemudian mencari perlindungan dan menyorok di beberapa hotel murah.
“Kami berpindah-randah dari satu hotel ke hotel yang lain kerana bimbang dijejaki oleh samseng along,” katanya yang sudah membuat laporan polis berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata, dia tertekan dengan kejadian itu dan menyifatkan anak lelakinya itu tidak bertanggungjawab.

“Saya tidak teragak-agak memutuskan hubungan kekeluargaan dengan anak kami itu jika masalah ini berterusan. Saya rayu supaya along membebaskan kami dan mencari anak kami itu untuk menuntut semua hutang berkenaan.

“Kami sudah tua dan tidak lagi berdaya. Entah sampai bila kami perlu hidup dalam keadaan ketakutan dan lari dari rumah sendiri,” katanya sedih.

Difahamkan, anak lelaki mangsa sebelum ini menetap di Australia selama 20 tahun sebelum pulang ke tanah air pada Jun lalu.

“Saya tidak tahu aktiviti dan jenis perniagaan dijalankannya kerana dia tidak pernah bercerita. Saya harap masalah ini dapat diatasi segera,” katanya.

Whitney dibunuh pengedar dadah?



WHITNEY ditemui mati di Beverly Hills Februari lalu.
WHITNEY ditemui mati di Beverly Hills Februari lalu.
LOS ANGELES: Kematian Whitney Houston pada Februari lalu bukan disebabkan lemas dalam tab mandi di sebuah bilik hotel, sebaliknya dia dibunuh pengedar dadah.
Seorang penyiasat persendirian mendakwa, satu salinan video daripada kamera litar tertutup (CCTV) membuktikan Whitney dibunuh kerana berhutang kepada pengedar dadah.

Menurut Paul Huebl, bukti berkenaan sudah diserahkan kepada agensi Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Penyiasat perubatan sebelum ini mengesahkan, Whitney mati kerana lemas dalam tab mandi selepas mengambil pelbagai jenis dadah serta ubat-ubatan.

Akhbar tabloid National Enquirer melaporkan, Huebl yakin Whitney menjadi sasaran beberapa “pengedar dadah digeruni” yang menghantar samseng bagi memungut hutang penyanyi bermasalah itu.

Sesetengah laporan menyatakan, Whitney menanggung hutang sehingga AS$1.5 juta (RM4.6 juta) daripada pengedah dadah. Bagaimanapun, Huebl berkata, dia tidak tahu secara pasti bahawa Whitney dibunuh, sebaliknya bukti yang dikumpulnya membayangkan penyanyi itu memang menjadi mangsa penjenayah.
“Whitney menerima kokain daripada pengedar dadah di bilik hotelnya di Beverly Hilton sehari sebelum dia ditemui mati,” katanya.

Menurut Huebl, daripada rakaman video itu dapat didengar Whitney merungut dengan berkata: “Aku bosan dengan segala benda mengarut ini!” Sebelum itu, kata Huebl, Whitney memang menjadi sasaran gangguan pengedar dadah yang menuntut supaya hutangnya dilangsaikan.
Huebl mendakwa, dia menerima salinan rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki tidak dikenali pergi ke Hotel Beverly Hilton berkali-kali dan bergaul dengan anggota rombongan Whitney.

“Ada kemungkinan dua lelaki terbabit menyelinap masuk ke bilik hotel Whitney dan membunuhnya,” katanya.

Huebl juga tidak bersetuju dengan keputusan Koroner Daerah Los Angeles yang memutuskan kematian Whitney disebabkan “kemalangan.” Kata Huebl, tubuh Whitney menunjukkan ada kesan kecederaan mempertahankan diri yang mungkin berlaku ketika dia bergelut cuba menyelamatkan diri.

“Namun, kesan pada tangan dan kuku itu mungkin berlaku akibat kejadian lain.

“Saya cuma mengesyaki ia adalah kecederaan kerana mempertahankan diri,” katanya.

Huebl, bekas anggota polis Chicago yang menjadi pelakon selepas bersara mendakwa melakukan siasatan selepas diupah seorang pelanggan. Huebl enggan menyatakan siapa pelanggannya itu. - DM

Aksi berani mati wanita bogel di Mai Leung



BANGKOK: Peminat aksi lasak, Hayley Ashburn, mempamerkan keberaniannya berjalan meniti tali setinggi 36.5 meter pada waktu senja tanpa sebarang alat keselamatan atau pakaian.
Hayley, 24, menunjukkan kemahirannya itu di kawasan pelancongan Mai Leung.

Menurut wanita dari San Francisco, Amerika Syarikat (AS) itu, dia berbogel untuk berasa “bebas” dan menikmati detik penuh ketegangan itu walaupun tahu air di bawahnya cuma sedalam 0.3 meter.
“Sangat seronok dapat berbogel di tempat terbuka tanpa sesiapa boleh melihat saya,” katanya. Walaupun begitu, seorang rakan Hayley merakamkan aksi berkenaan untuk tatapan ramai. Hayley mula aktif dalam aktiviti berjalan di atas tali itu sejak 2008. - TS

Hotel mewah dekat Masjidil Haram



MAKKAH: Sebuah hotel mewah bertaraf lima bintang mengandungi 5,000 bilik akan dibuka dekat Masjidil Haram di sini sebelum Ramadan sebagai sebahagian daripada projek perumahan Jabal Omar, kata Pengerusi Lembaga Syarikat Pembangunan Jabal Omar, Abdul Rahman Faqeeh.
“Hotel baru itu akan diuruskan oleh Hilton International,” kata ahli perniagaan Arab Saudi itu dan menambah, hotel baru itu mempunyai dua menara 20 tingkat setiap satu.

Hotel itu terletak di bahagian S1, kawasan projek itu dan akan menghadap laman sebelah barat Masjidil Haram.

Terdapat tempat solat untuk muslimin dan muslimat dan juga pusat beli-belah empat tingkat.

Fasa pertama termasuk membina empat lagi hotel; Marriot Makkah, Hyatt Makkah, Conrad Makkah dan Hotel Konvensyen Hilton Makkah, kata Abdul Rahman.

Katanya, projek Jabal Omar ini akan membuka 11,000 peluang pekerjaan kepada warga Arab Saudi selepas tiga fasa pembinaannya selesai, termasuk 3,800 pekerjaan di bidang perhotelan.

“Sepanjang 18 bulan akan datang, kami akan mengambil 1,350 pekerja Arab Saudi,” katanya.

Abdul Rahman berkata, beratus-ratus pekerja Arab Saudi akan dilatih untuk bekerja di Hotel Hilton pertama sebelum bulan Ramadan.

Akhbar Al-Sharq melaporkan, syarikat itu merancang untuk mengambil 4,000 lagi pekerja Arab Saudi dalam masa tiga tahun.

Syarikat Jabal Omar membangunkan kawasan seluas 2.2 juta meter persegi dekat Masjidil Haram.

Antara rancangan pembangunan di kawasan itu termasuk, 38 menara hotel dan pusat beli-belah terbesar di negara ini.

Projek itu akan dapat memenuhi keperluan peningkatan jumlah jemaah haji dan umrah.

Kira-kira 10 juta jemaah tiba di Makkah sepanjang tahun dan 3 juta jemaah datang ke Makkah menunaikan haji setiap tahun.

Tiga puluh lapan hotel yang dalam pembinaan, diuruskan oleh 28 syarikat dan menambah 13,500 bilik lagi dalam industri perhotelan apabila ia siap lima tahun lagi, kata seorang pegawai kanan.

Projek itu dibina dalam lima fasa dan menelan belanja Sr20 bilion (RM16.32 bilion). - Arab News