Saturday, December 29, 2012

TULIS BOLEH...CAKAP BOLEH...PEMIMPIN2 KENA PRAKTIS ISLAM CARA NABI LEBIH DULU TERMASUK YANG BERCAKAP SERTA PENULIS

‘Kami mangsa dendam along’

Oleh Na’imah Mohamed
naimah@hmetro.com.my

BUKTI...Jonathan (dua dari kanan) bersama isteri, Serene dan Chong menunjukkan gambar rumahnya disimbah cat merah dan pagar dirantai.
BUKTI...Jonathan (dua dari kanan) bersama isteri, Serene dan Chong menunjukkan gambar rumahnya disimbah cat merah dan pagar dirantai.
KUALA LUMPUR: Hasrat sepasang suami isteri berpindah ke rumah yang baru dibeli Februari lalu terbantut apabila diganggu along yang memburu pemilik lama rumah dua tingkat itu selepas tidak membayar hutang along terbabit.
Pasangan terbabit yang menunggu 20 tahun untuk membeli rumah sepatutnya mendiami rumah berkenaan Ogos lalu, namun akibat takut dengan gangguan along, mereka membatalkan niat itu.

Mangsa Jonathan Rasiah, 46 dan isteri, Serene Rasiah, 39, diganggu along sejak Mac lalu ketika rumahnya di Bandar Kinrara 4, dekat Puchong, dalam proses pengubahsuaian disimbah cat merah.
“Saya menghubungi pemilik lama dan dia mengaku membuat pinjaman daripada along serta berjanji membayar hutang itu bagi menghentikan gangguan terbabit.

“Pemilik lama menyerahkan semua nombor telefon along terbabit sebelum saya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan saya dan isteri,” katanya ketika sidang media di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, di Jalan Ampang, di sini, semalam.

Beliau berkata, hidupnya kembali tenang selama sebulan, namun along terbabit sekali lagi mengganggu mereka sebulan selepas itu dengan menyimbah cat dan kejadian berlarutan sehingga Mei apabila pagar rumahnya dirantai dua kali.
“Bukan itu saja, along terbabit memaksa kontraktor yang membuat pengubahsuaian rumah kami supaya menghentikan kerja mereka dengan mendakwa rumah berkenaan berada dalam keadaan tidak selamat.

“Kami sepatutnya berpindah masuk sejak Ogos lalu, bagaimanapun, kejadian ini membantutkan niat kami untuk menduduki rumah yang kami beli itu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menggesa peminjam along terbabit membayar hutangnya segera sekiranya tidak mahu identitinya didedahkan.

“Tahun ini saja, kami merekodkan 588 kes membabitkan along dengan jumlah kerugian RM38.7 juta dan jumlah ini sangat membimbangkan,” katanya.

Sukar kawal api parkir berlapis



KUALA LUMPUR: Penduduk rumah flat termasuk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar ibu negara diancam bahaya ekoran sikap kebanyakan penghuninya yang tidak mengambil berat isu keselamatan terutama ketika berdepan insiden kebakaran.
Sikap penghuni yang sering meletakkan kenderaan mereka secara tidak tersusun dan berlapis hingga menghadang laluan, menyukarkan anggota keselamatan untuk menjalankan operasi sekiranya berlaku kecemasan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pihaknya sering berdepan masalah sedemikian dan khuatir sekiranya ia tidak ditangani segera menjadi lebih buruk termasuk mungkin membabitkan kehilangan nyawa.
“Antara insiden terbaru yang kami alami ialah ketika operasi memadam kebakaran sebuah kediaman di Flat Sri Kelantan pada sambutan Krismas lalu.

“Dalam kejadian itu, bomba menerima panggilan kecemasan jam 11.05 pagi dan segera ke lokasi kejadian, namun jentera bomba mengalami kesukaran untuk masuk akibat kenderaan awam tidak diletakkan secara teratur selain kehadiran gerai makanan di bahu jalan,” katanya di sini, semalam.

3 beranak berpantang ajal



MERSING: Tiga beranak yang menaiki sebuah kereta terselamat dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Endau-Mersing, dekat sini, walaupun kereta berkenaan remuk teruk, semalam.
Mangsa, Siti Norfazlina Zaini, 25, yang memandu Proton Inspira bersama dua anaknya, Siti Norfatiah Mohd Shukri, 4, dan Siti Norfatirah, 16 bulan, terselamat walaupun kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum terbabas dalam semak, jam 10.30 pagi.

Dalam kejadian itu, Siti Norfazlina luka di kepala, Siti Norfatiah cedera ringan di kaki manakala Siti Norfatirah tidak cedera.
Suami Siti Norfazlina, Mohd Shukri Mohammad, 34, berkata, ketika kejadian dia berada di Sekolah Kebangsaan Sawah Datuk.

“Saya menghadiri mesyuarat guru sebagai persiapan sesi persekolahan dan bersyukur walaupun kereta rosak teruk, isteri dan anak terselamat.

“Keadaan mereka stabil dan dijangka dibenarkan keluar selepas proses rawatan selesai,” katanya ketika ditemui di Hospital Mersing.
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa terperanjat kerana mendapati ada kelopak air di tengah jalan.

“Mangsa membrek sebelum kereta dipandunya hilang kawalan. Kami menasihati pengguna jalan raya berhati-hati ketika memandu memandangkan keadaan jalan licin akibat hujan,” katanya.

Dibiar mati kesejukan

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my

DARO: Selepas bertarung nyawa 19 jam, seorang bayi perempuan tidak cukup bulan yang ditemui dalam keadaan hanya dibalut plastik lutsinar dan ditinggalkan kesejukan di bawah rumah seorang penduduk di Kampung Baru Daro, di sini, akhirnya meninggal dunia, kelmarin.
Bayi malang itu disahkan meninggal dunia jam 8 malam selepas pelbagai usaha menyelamatkannya dilakukan pihak hospital gagal berikutan keadaannya dipercayai tidak cukup bulan selain kesejukan.

Sumber berkata, bayi itu ditemui seorang penduduk yang terdengar tangisan dari bawah sebuah rumah pada jam 1 pagi.

“Individu itu mendapati bayi perempuan itu masih bertali pusat selain badan masih berlumuran darah.

“Lebih menyedihkan apabila bayi itu bukan saja dibuang seperti sampah, malah dibiarkan tanpa seurat benang dan hanya dibungkus dengan plastik lutsinar.
“Individu terbabit terus memaklumkan kepada penduduk kampung sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Wanita bogel maut jatuh tingkat 12



KUALA LUMPUR: Dentuman kuat di belakang blok A Kuarters Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, awal pagi semalam membawa kepada penemuan satu mayat wanita dalam keadaan bogel.
Difahamkan, pengawal keselamatan yang dimaklumkan mengenai penemuan itu terkejut sebaik mendapati mayat terbabit adalah seorang wanita yang diselamatkannya ketika cuba melarikan diri dari kuarters berkenaan 10 minit sebelum itu.

Wanita berusia 25 tahun itu yang juga kakitangan HKL dipercayai terjun dari rumahnya di tingkat 12 blok berkenaan sebelum ditemui terlentang di tempat letak kenderaan.
Menurut saksi yang enggan dikenali, dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa dikatakan berbogel dan cuba berlari keluar dari pekarangan kuarters.

“Pengawal keselamatan yang bertugas ketika itu melihat mangsa dan menahannya. Kejadian itu turut disedari keluarga mangsa yang melihatnya keluar dari rumah mereka. “Pengawal keselamatan dan salah seorang ahli keluarga mangsa membawanya pulang ke rumah bagi menenangkan wanita terbabit yang meraung,” katanya.

Beliau berkata, 10 minit kemudian, seorang penghuni lain yang dikejutkan dengan dentuman memberitahu pengawal keselamatan sebelum pemeriksaan menemui wanita terbabit dalam keadaan terlentang.
Saksi berkata, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkap bilik rumah keluarganya itu di tingkat 12.

Menurutnya, polis dipanggil membantu siasatan dan mayat dihantar ke HKL untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 5 pagi.

“Hasil siasatan mangsa dikatakan mengalami masalah sakit mental sejak dua minggu lalu. Kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Tragedi pesta hidu gam



KAJANG: Angkara 'berpesta' hidu gam bersama dua lelaki yang juga rakan kekasihnya di sebuah rumah sewa di Taman Putra, di sini, seorang remaja perempuan menerima padah apabila dirogol bergilir-gilir oleh dua lelaki terbabit.
Lebih memalukan, perbuatan keji itu turut disedari adik lelaki kekasih mangsa berusia 11 tahun yang kebetulan berada di rumah berkenaan.

Sumber berkata, mangsa yang berusia 17 tahun membuat laporan polis mengenai kejadian itu kelmarin sebelum diarah ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.
Beliau berkata, kejadian berlaku jam 6 petang Jumaat lalu ketika mangsa bersama adik teman lelakinya sedang menonton televisyen di rumah.

Difahamkan, mangsa tinggal serumah bersama kekasihnya dan dua rakan kekasihnya itu sejak bekerja sementara di sebuah syarikat swasta berhampiran rumah mereka.

“Dua rakan kekasihnya itu kemudian pulang ke rumah berkenaan. Kedua-dua lelaki itu dikatakan menghidu gam dan memaksa mangsa menghidu gam bersama mereka.
“Selepas beberapa jam menghidu gam, mereka dipercayai menarik mangsa ke dalam bilik dengan salah seorang daripada mereka memperkosa mangsa dan seorang lagi mengarahkan adik teman lelaki mangsa mendiamkan diri,” katanya.

Menurut sumber, mangsa dipercayai diperkosa kedua-dua lelaki itu ketika dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tidak berdaya melawan.
“Selepas kejadian itu, mangsa berasa sakit pada kemaluannya menyebabkan dia mengesyaki dirogol dua lelaki itu. Namun, apabila mangsa bertanya, lelaki terbabit tidak mengaku,” katanya.

Ekoran tidak puas hati, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kajang, di sini, untuk siasatan polis selanjutnya.

Jurucakap polis mengesahkan kejadian itu.

Praktis Islam cara Nabi

Oleh Ahmad Tajuddin Idris al-Manhaji

SEPERTI dikhabarkan oleh Nabi s.a.w umat Islam akan terpecah kepada 73 golongan dan semuanya ke neraka kecuali satu golongan. Golongan yang akan selamat ini adalah mereka mengikuti Islam sesuai dengan kefahaman Nabi dan sahabat.
Hal ini dapat dibuktikan dengan hadis Nabi yang berbunyi: “Ketahuilah, sesungguhnya orang sebelum kamu daripada ahli kitab sudah berpecah menjadi 72 golongan. Dan sesungguhnya agama ini (Islam) akan terpecah menjadi 73 golongan, 72 golongan tempatnya di neraka dan satu golongan di dalam syurga, iaitu al-Jama’ah.” (HR Ahmad dan yang lainnya, hadis hasan) Dalam riwayat lain Nabi bersabda: “Semua golongan itu tempatnya di neraka, kecuali satu iaitu aku dan sahabatku berada di atasnya.” (HR at-Tarmizi, hadis hasan) Maka sesiapa yang tidak mengikuti seperti mana Nabi dan sahabat dalam beragama, mereka akan terjatuh dalam salah satu kelompok dikhabarkan oleh Nabi tadi. Di antara satu kelompok sesat yang dijelaskan oleh ulama di kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah golongan Khawarij.

Bahkan di antara sejarah munculnya istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah untuk membezakan dengan 72 golongan itu. ‘Ahli Sunnah’ memberi maksud mereka yang mengikuti sunnah Nabi manakala ‘al-Jamaah’ memberi maksud bersama-sama dengan kaum muslimin dan pemerintahnya bukan Khawarij yang sentiasa mencabut ketaatan kepada kaum muslimin dan pemerintahnya, sekali gus menentangnya.
Golongan Khawarij bukanlah manusia yang tidak sayangkan Islam bahkan mereka bersemangat untuk menegakkan Islam, terutama hukum berkaitan jenayah seperti hudud dan qisas. Tetapi sayangnya semangat dan sayang mereka terhadap Islam itu tidak berlandaskan ilmu Islam yang benar, dalam masa sama bercanggah dengan amalan dilakukan oleh Nabi, sahabat dan salaf.

Kebiasaannya golongan Khawarij dalam menyampaikan Islam kepada masyarakat dengan pendekatan selalu menghukum orang Islam lain yang tidak menegakkan hukum hudud dan pelaku dosa besar dengan mengkafirkan mereka. Buktinya kemuncak kemunculan golongan Khawarij dalam sejarah Islam adalah terbunuhnya Saidina Ali r.a di tangan Abdul Rahman bin Muljam atau lebih dikenali sebagai Ibnu Muljam. Apakah alasan Ibnu Muljam membunuh Saidina Ali, khalifah Islam keempat yang dijamin syurga oleh Nabi? Alasan Ibnu Muljam yang mengangkat pedangnya menebas kepala Saidina Ali kerana Saidina Ali dianggap kafir olehnya disebabkan tidak melaksanakan hukum hudud dan qisas ke atas pembunuh Uthman r.a. Ibnu Muljam dikenali sebagai seorang yang warak dan pernah diutus oleh Saidina Umar r.a ke Mesir sebagai guru untuk mengajarkan al-Quran kepada penduduk Mesir.

Namun, kewarakan dan keikhlasan Ibnu Muljam untuk menegakkan Islam tidak menghalangnya untuk terjatuh ke dalam mazhab Khawarij yang akhirnya dia mengkafirkan Saidina Ali, sekali gus membunuhnya.
Di antara permulaan sifat golongan Khawarij, pertamanya akan menunjukkan dengan lisan mereka terlebih dulu seperti memaki-hamun di atas nama Islam kepada musuhnya. Selepas itu mereka akan menzahirkannya dengan tindakan melakukan kekacauan dan hura-hara dengan melakukan segala macam bentuk ancaman yang boleh menggugat orang lain. Kemuncak tindakan golongan Khawarij akan diakhiri dengan pembunuhan dan peperangan kepada golongan yang tidak bersama dengan mereka. Siapakah yang selalu dimusuhi dan dikafirkan oleh golongan Khawarij ini? Selalunya mereka suka memusuhi dan mengkafirkan sesebuah kerajaan Islam dan pemerintah Islam di dalamnya seperti yang menimpa kerajaan Saidina Ali.

Mereka sentiasa menggunakan ayat al-Quran untuk menegakkan mazhab dan akidah Khawarij. Mereka tanpa segan silu mentafsirkan ayat al-Quran dengan pemikiran dan hawa nafsu mereka agar bersesuaian dengan kelompok mereka, padahal ayat al-Quran yang mereka bacakan itu tidak sama seperti apa ditafsirkan oleh Nabi dan sahabat baginda.
Benarlah perkataan Saidina Ali kepada golongan Khawarij ketika mereka mengangkat ayat al-Quran yang menjadi slogan mereka “dan sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, mereka adalah orang kafir”. Ayat inilah yang menjadi modal kepada Ibnu Muljam untuk membunuh Saidina Ali.

Apabila Saidina Ali mendengar ayat ini diangkat menjadi slogan Ibnu Muljam dan pengikutnya, beliau berkata “kalimah yang benar, tetapi ia berkehendak kepada kejahatan (kebatilan)”. Kenapakah Saidina Ali berkata demikian? Kerana ayat yang dilaungkan itu memang benar daripada sisi Allah manakala pemahaman dan maksud ayat itu tidak sama seperti mana Nabi dan sahabat memahaminya.

Kerana itulah manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam mentafsirkan ayat al-Quran dan hadis Nabi sentiasa mengikuti petunjuk Nabi dan sahabat. Kerana jika tidak menafsirkan ayat al-Quran dan hadis Nabi seperti mana Nabi dan sahabat nescaya akan tergolong dalam salah satu 72 golongan yang diancam neraka.

Bahayanya kesan akidah dan mazhab Khawarij antaranya kefahaman dan amalan mereka akan sentiasa bercanggah dengan golongan Ahli Sunnah Wal Jammah dalam beragama.

Ahli Sunnah menuntut kepada kaum Muslimin agar mendoakan kebaikan kepada pemerintah Islam serta menyuruh manusia mentaati pemerintah Islam dalam hal-hal kebaikan.

Ahli Sunnah turut menasihati agar berhati-hati untuk mengkafirkan manusia yang tidak dapat menegakkan hukum Islam sepenuhnya dan pelaku dosa besar selain manusia diajak bersatu padu sesama Islam di atas dasar tauhid.

Adapun golongan Khawarij akan sentiasa ada di sepanjang zaman hingga tiba hari kiamat. Kepada Allah kita mohon perlindungan daripada fitnah golongan Khawarij ini.

Penulis Ketua Biro Massa Ilmuan Malaysia berkelulusan Syariah Fiqh dan Usul UM

Tembak tayar kereta polis

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my

PARIT BUNTAR: Empat anggota polis nyaris maut apabila tiga perompak bertindak melepaskan lebih lima das tembakan ke arah kereta peronda polis yang muncul sebaik mendapat maklumat kejadian rompakan kedai emas, di sini.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari semalam, kumpulan perompak yang bersenjatakan senapang patah dan pistol turut menembak tayar kereta peronda polis hingga bocor sebelum melarikan diri bersama barang kemas dianggarkan bernilai lebih RM500,000 dari sebuah kedai emas di Pekan Baru, di sini.

Difahamkan, suspek yang menaiki sebuah kereta muncul di hadapan kedai emas itu sebelum menyerbu masuk dan memecahkan cermin pameran menggunakan tukul besi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan, berkata kejadian berlaku apabila dua suspek bertopeng menyerbu masuk ke dalam kedai emas berkenaan dan menghalau tiga pelanggan yang berada di dalam premis.

Menurutnya, salah seorang penjenayah kemudian mengacukan senjata api terhadap pekerja premis itu, manakala seorang lagi suspek bertindak memecahkan kaca pameran barang kemas menggunakan penukul.

Jadi pelarian angkara anak



IPOH: Sepasang suami isteri warga emas terpaksa menjadi ‘pelarian’ dan menyorok di beberapa hotel murah berikutan bimbang dibunuh samseng along selepas anak mereka gagal menjelaskan hutang sindiket haram itu.
Mangsa, Chan Kwai Woh, 77, dan isterinya, Yong Yin Yoke, 70, terpaksa berpindah randah dari satu hotel ke hotel yang lain sejak 17 Disember lalu selepas kumpulan samseng along menyerang rumah mereka di Taman Cempaka, di sini, gagal menjejaki anak lelaki mereka.

Chan yang bekerja sebagai juruteknik sambilan berkata, musibah itu mula menimpanya selepas anak lelaki mereka yang berusia 48 tahun membuat pinjaman wang dalam jumlah besar daripada along.
Menurutnya, dia hanya mengetahui perkara itu selepas rumahnya dibaling dengan cat merah oleh sekumpulan along pada awal pagi 15 Disember lalu.

“Saya kemudian menyoal anak lelaki kami berhubung punca insiden itu, namun anak lelaki kami menghilangkan diri keesokan harinya dari rumah.

“Beberapa orang samseng kemudian muncul di hadapan rumah dan mengugut kami supaya melangsaikan semua hutang itu. Jumlah hutang diambil terlalu banyak dan kami tidak mampu melangsaikannya,” katanya ketika membuat aduan kepada ketua biro aduan MCA Ipoh, Datuk Lee Kon Yin.
Dia yang bimbang keselamatan nyawanya bertindak meninggalkan rumah dengan hanya membawa beberapa helai pakaian sebelum tinggal menyewa di beberapa hotel murah di bandaraya ini.

“Saya meninggalkan rumah dalam keadaan tergesa-gesa hinggakan ubat penyakit darah tinggi kami turut tertinggal di rumah. Kami kemudian mencari perlindungan dan menyorok di beberapa hotel murah.
“Kami berpindah-randah dari satu hotel ke hotel yang lain kerana bimbang dijejaki oleh samseng along,” katanya yang sudah membuat laporan polis berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata, dia tertekan dengan kejadian itu dan menyifatkan anak lelakinya itu tidak bertanggungjawab.

“Saya tidak teragak-agak memutuskan hubungan kekeluargaan dengan anak kami itu jika masalah ini berterusan. Saya rayu supaya along membebaskan kami dan mencari anak kami itu untuk menuntut semua hutang berkenaan.

“Kami sudah tua dan tidak lagi berdaya. Entah sampai bila kami perlu hidup dalam keadaan ketakutan dan lari dari rumah sendiri,” katanya sedih.

Difahamkan, anak lelaki mangsa sebelum ini menetap di Australia selama 20 tahun sebelum pulang ke tanah air pada Jun lalu.

“Saya tidak tahu aktiviti dan jenis perniagaan dijalankannya kerana dia tidak pernah bercerita. Saya harap masalah ini dapat diatasi segera,” katanya.

Whitney dibunuh pengedar dadah?



WHITNEY ditemui mati di Beverly Hills Februari lalu.
WHITNEY ditemui mati di Beverly Hills Februari lalu.
LOS ANGELES: Kematian Whitney Houston pada Februari lalu bukan disebabkan lemas dalam tab mandi di sebuah bilik hotel, sebaliknya dia dibunuh pengedar dadah.
Seorang penyiasat persendirian mendakwa, satu salinan video daripada kamera litar tertutup (CCTV) membuktikan Whitney dibunuh kerana berhutang kepada pengedar dadah.

Menurut Paul Huebl, bukti berkenaan sudah diserahkan kepada agensi Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Penyiasat perubatan sebelum ini mengesahkan, Whitney mati kerana lemas dalam tab mandi selepas mengambil pelbagai jenis dadah serta ubat-ubatan.

Akhbar tabloid National Enquirer melaporkan, Huebl yakin Whitney menjadi sasaran beberapa “pengedar dadah digeruni” yang menghantar samseng bagi memungut hutang penyanyi bermasalah itu.

Sesetengah laporan menyatakan, Whitney menanggung hutang sehingga AS$1.5 juta (RM4.6 juta) daripada pengedah dadah. Bagaimanapun, Huebl berkata, dia tidak tahu secara pasti bahawa Whitney dibunuh, sebaliknya bukti yang dikumpulnya membayangkan penyanyi itu memang menjadi mangsa penjenayah.
“Whitney menerima kokain daripada pengedar dadah di bilik hotelnya di Beverly Hilton sehari sebelum dia ditemui mati,” katanya.

Menurut Huebl, daripada rakaman video itu dapat didengar Whitney merungut dengan berkata: “Aku bosan dengan segala benda mengarut ini!” Sebelum itu, kata Huebl, Whitney memang menjadi sasaran gangguan pengedar dadah yang menuntut supaya hutangnya dilangsaikan.
Huebl mendakwa, dia menerima salinan rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki tidak dikenali pergi ke Hotel Beverly Hilton berkali-kali dan bergaul dengan anggota rombongan Whitney.

“Ada kemungkinan dua lelaki terbabit menyelinap masuk ke bilik hotel Whitney dan membunuhnya,” katanya.

Huebl juga tidak bersetuju dengan keputusan Koroner Daerah Los Angeles yang memutuskan kematian Whitney disebabkan “kemalangan.” Kata Huebl, tubuh Whitney menunjukkan ada kesan kecederaan mempertahankan diri yang mungkin berlaku ketika dia bergelut cuba menyelamatkan diri.

“Namun, kesan pada tangan dan kuku itu mungkin berlaku akibat kejadian lain.

“Saya cuma mengesyaki ia adalah kecederaan kerana mempertahankan diri,” katanya.

Huebl, bekas anggota polis Chicago yang menjadi pelakon selepas bersara mendakwa melakukan siasatan selepas diupah seorang pelanggan. Huebl enggan menyatakan siapa pelanggannya itu. - DM

Aksi berani mati wanita bogel di Mai Leung



BANGKOK: Peminat aksi lasak, Hayley Ashburn, mempamerkan keberaniannya berjalan meniti tali setinggi 36.5 meter pada waktu senja tanpa sebarang alat keselamatan atau pakaian.
Hayley, 24, menunjukkan kemahirannya itu di kawasan pelancongan Mai Leung.

Menurut wanita dari San Francisco, Amerika Syarikat (AS) itu, dia berbogel untuk berasa “bebas” dan menikmati detik penuh ketegangan itu walaupun tahu air di bawahnya cuma sedalam 0.3 meter.
“Sangat seronok dapat berbogel di tempat terbuka tanpa sesiapa boleh melihat saya,” katanya. Walaupun begitu, seorang rakan Hayley merakamkan aksi berkenaan untuk tatapan ramai. Hayley mula aktif dalam aktiviti berjalan di atas tali itu sejak 2008. - TS

Hotel mewah dekat Masjidil Haram



MAKKAH: Sebuah hotel mewah bertaraf lima bintang mengandungi 5,000 bilik akan dibuka dekat Masjidil Haram di sini sebelum Ramadan sebagai sebahagian daripada projek perumahan Jabal Omar, kata Pengerusi Lembaga Syarikat Pembangunan Jabal Omar, Abdul Rahman Faqeeh.
“Hotel baru itu akan diuruskan oleh Hilton International,” kata ahli perniagaan Arab Saudi itu dan menambah, hotel baru itu mempunyai dua menara 20 tingkat setiap satu.

Hotel itu terletak di bahagian S1, kawasan projek itu dan akan menghadap laman sebelah barat Masjidil Haram.

Terdapat tempat solat untuk muslimin dan muslimat dan juga pusat beli-belah empat tingkat.

Fasa pertama termasuk membina empat lagi hotel; Marriot Makkah, Hyatt Makkah, Conrad Makkah dan Hotel Konvensyen Hilton Makkah, kata Abdul Rahman.

Katanya, projek Jabal Omar ini akan membuka 11,000 peluang pekerjaan kepada warga Arab Saudi selepas tiga fasa pembinaannya selesai, termasuk 3,800 pekerjaan di bidang perhotelan.

“Sepanjang 18 bulan akan datang, kami akan mengambil 1,350 pekerja Arab Saudi,” katanya.

Abdul Rahman berkata, beratus-ratus pekerja Arab Saudi akan dilatih untuk bekerja di Hotel Hilton pertama sebelum bulan Ramadan.

Akhbar Al-Sharq melaporkan, syarikat itu merancang untuk mengambil 4,000 lagi pekerja Arab Saudi dalam masa tiga tahun.

Syarikat Jabal Omar membangunkan kawasan seluas 2.2 juta meter persegi dekat Masjidil Haram.

Antara rancangan pembangunan di kawasan itu termasuk, 38 menara hotel dan pusat beli-belah terbesar di negara ini.

Projek itu akan dapat memenuhi keperluan peningkatan jumlah jemaah haji dan umrah.

Kira-kira 10 juta jemaah tiba di Makkah sepanjang tahun dan 3 juta jemaah datang ke Makkah menunaikan haji setiap tahun.

Tiga puluh lapan hotel yang dalam pembinaan, diuruskan oleh 28 syarikat dan menambah 13,500 bilik lagi dalam industri perhotelan apabila ia siap lima tahun lagi, kata seorang pegawai kanan.

Projek itu dibina dalam lima fasa dan menelan belanja Sr20 bilion (RM16.32 bilion). - Arab News

No comments:

Post a Comment