Monday, December 24, 2012

BILA DAH TAK TAKUT NERAKA ALLAH...ANCAMAN ALLAH...ZINA DAN PENOLAKKAN HUKUM TAK DE RASA MALU LAGI...SEOLAH2 DAH TAK BERIMAN HARI AKHIRAT

‘Bukan tubuhku’

Oleh Na’imah Mohamed
naimah@hmetro.com.my

BUKAN SAYA...Tan menunjukkan gambar ghairah daripada laman sosial terbabit yang menggunakan wajahnya.
BUKAN SAYA...Tan menunjukkan gambar ghairah daripada laman sosial terbabit yang menggunakan wajahnya.
KUALA LUMPUR: Seorang wanita terpaksa berdepan cemuhan rakan dan keluarga apabila mukanya digunakan di sebuah laman sosial yang mempromosikan khidmat seks.
Bukan itu saja, gambar mukanya itu turut diubah suai menggunakan teknik ‘super imposed’ bersama gambar tubuh badan yang mengghairahkan.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 20, mengetahui mengenai laman sosial terbabit sejak Mei tahun lalu, namun tidak menyangka ia berlarutan.
“Saya diberitahu rakan mengenai laman sosial terbabit yang menggunakan gambar muka saya dan melaporkannya kepada pengurusan laman sosial itu.

“Selepas itu, saya tidak lagi dapat melihat profil berkenaan yang menggunakan nama ‘Jessy Srikembangan’ dan menganggap ia sudah dikenakan tindakan oleh pengurusan laman sosial terbabit,” katanya ketika sidang media di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, di Jalan Ampang, di sini, semalam.

Tetapi, dia sekali lagi dihubungi rakannya pada Ogos lalu dan bertanya sama ada dia terdesak memerlukan wang kerana terjumpa laman sosial menawarkan perkhidmatan seks menggunakan gambarnya.
Katanya, dia membuat siasatan sendiri dan menemui profil ‘Jessy Srikembangan’ serta ‘Lisa Carino’ yang menggunakan gambar wajahnya.

“Saya menghubungi nombor telefon yang disertakan di satu daripada profil berkenaan menggunakan SMS dan mereka memberikan nombor akaun bank atas nama ‘Jessy Ling Kok Diong’ sebelum meminta saya memasukkan wang ke akaun itu.
“Kini saudara-mara saya juga mengetahui mengenai profil berkenaan selepas rakan-rakan memasuki profil itu,” katanya.

Wanita berasal dari Shah Alam itu membuat laporan di Balai Polis Shah Alam sebelum mendapatkan bantuan Biro Pengaduan Awam MCA bagi membersihkan namanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro, Datuk Seri Michael Chong berkata, ini kes pertama diterima pihaknya menggunakan modus operandi berkenaan.

“Ini cara penipuan baru digunakan sindiket untuk mengaut keuntungan segera dengan menggunakan maklumat peribadi serta gambar individu lain.

“Kami serahkan pada polis menyiasat perkara ini supaya tindakan lanjut boleh diambil,” katanya.

Beban dosa lampau

Oleh Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my

BINGUNG...Wani  bersama anak-anaknya.
BINGUNG...Wani bersama anak-anaknya.
PUCHONG: “Kami bersekedudukan hampir 10 tahun sejak 1998 dan hanya bernikah selepas mempunyai empat anak dan masa itu saya sedang mengandung anak kelima pada awal 2007 lalu.
“Setelah melahirkan tujuh anak dan bakal melahirkan anak kelapan pada Januari depan, suami pula menceraikan saya pada Mei lalu,” kata seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Wani, 30.
Menurut Wani, dia kini bingung memikirkan masa depan tujuh anaknya walaupun suaminya masih tinggal bersama dan berjanji akan rujuk semula selepas melahirkan anak perempuan dalam kandungannya itu.

“Suami pernah hanya memberikan saya RM2 sehari untuk perbelanjaan makan minum kami lapan beranak walaupun sebelum ini ada juga dia beri RM50 atau RM100 seminggu.

“Saya faham dengan kerjanya yang cuma bergaji antara RM500 dan RM700 sebulan, tetapi apa dikesalkan, saya diceraikan kerana perempuan lain,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Dilema pasangan terlanjur

Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my

CHUKAI: Akibat terlanjur dengan teman lelaki, seorang remaja berusia 15 tahun bakal bergelar ibu muda apabila kandungannya kini sudah berusia sembilan bulan.
Kandungan remaja terbabit terbongkar selepas teman lelakinya berusia 21 tahun membawa wanita berkenaan ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan selepas mendapati bayi dalam kandungannya tidak bergerak.

Sumber berkata, mengesyaki bayi dalam kandungannya meninggal dunia, remaja dari Felda Cerul, dekat sini, itu kemudian ke hospital ditemani teman lelakinya juga dari Felda sama kira-kira jam 2 petang, Selasa lalu.

“Selesai menjalani pemeriksaan, hospital menghubungi polis memaklumkan kejadian itu sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada jam 2 petang hari sama,” katanya.

Difahamkan, keluarga pasangan terbabit menyedari hubungan anak mereka dan merestuinya apabila mendapati wanita berkenaan mengandung.

Dinoda ikut rakan lelaki balik rumah

PETALING JAYA: Tindakan seorang pelajar tidak terus pulang ke rumah sebaik tamat bekerja sambilan sebaliknya mengikut tiga rakan lelaki ke rumah sewa mereka mengundang padah apabila dirogol di PJ Oldtown, di sini, kelmarin.
Menurut sumber, pelajar berusia 16 tahun dan bekerja di restoran makanan segera pada mulanya dipelawa tiga rakan lelaki ke kafe siber sebaik tamat kerja jam 11 malam.

“Kira-kira jam 5 pagi, seorang daripada lelaki terbabit kemudian mengajak mangsa pulang ke rumah sewa mereka dengan alasan untuk mengambil barang.
“Sebaik tiba, mangsa dibawa masuk ke sebuah bilik tidur dan lelaki terbabit meminta mangsa berehat dalam bilik itu,” katanya.

Katanya, ketika sedang berehat, mangsa didatangi lelaki terbabit yang kemudian mencabul mangsa sebelum merogolnya.

“Mangsa cuba melawan tetapi tidak berdaya dan selepas dirogol, seorang lagi rakan lelakinya masuk ke dalam bilik dan mahu melakukan perbuatan sama.
“Kali ini mangsa melawan sebelum meminta dihantar ke tempat kerja,” katanya.

Sumber berkata, sebaik tiba tempat kerja, mangsa mengadu kepada pengurus restoran sebelum dibawa ke Balai Polis Petaling Jaya untuk membuat laporan.

Setiap kelahiran wajib didaftarkan



KUALA LUMPUR: “Setiap kelahiran bayi di negara ini tanpa mengira status termasuk anak pendatang haram sekali pun wajib didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” kata Pegawai Perhubungan Awam JPN, Jainisah Mohd Noor.
Beliau berkata, sekiranya terlewat mendaftarkan kelahiran, ibu bapa masih boleh mendaftarkan anak mereka tanpa dikenakan sebarang denda.

Menurutnya, jika tiada sijil lahir, ibu bapa hanya perlu membuat proses daftar lewat kelahiran di mana-mana pejabat JPN yang terdekat.
“Pada borang itu ada senarai dokumen diperlukan seperti bukti kelahiran. Kalau lahir di hospital kena ada pengesahan dari hospital dan jika lahir di rumah, diperlukan bukti bidan yang menyambut kelahiran bayi. “Ibu bapa hanya perlu membayar yuran proses RM10 untuk setiap permohonan dan sijil lahir akan siap dalam tempoh 30 hari bekerja, tetapi bergantung kepada dokumen lengkap yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, selepas mendapat sijil lahir, ibu bapa boleh membuat proses mendapatkan MyKad melalui prosedur biasa dan kad itu boleh siap dalam tempoh 10 hari bekerja.

“Di JPN kami mendaftarkan setiap kelahiran tanpa mengira status kerana soal status sama ada anak pendatang asing atau luar nikah itu adalah di luar bidang kuasa kami,” katanya.

Pengeras dara sunti

Oleh Muhammad Saufi Hassan dan Nordiana Shafiee
am@hmetro.com.my

ALOR SETAR: Tidak perlu membawa peralatan pelik seperti tanah kubur, senjata peninggalan nenek moyang, syiling lama atau aneka jenis bunga sebagai syarat untuk mengubati penyakit, sebaliknya bawa gadis sunti dan penyakit mampu diubati.
Seorang bekas pesakit dikenali Zana, 24, yang pernah mendapatkan khidmat bomoh berkenaan bagi mengubati penyakit ibunya di satu daerah di pinggir bandar raya berkata, dia mengenali bomoh berusia 52 tahun, melalui rakan abangnya yang dikatakan mampu mengubati penyakit misteri dihidapi ibu.

Menurutnya, penyakit misteri ibunya bermula pada 2010 apabila sering mengalami sakit badan serta berasa seperti dibakar menjelang senja dan tengah malam.

“Seorang rakan menyuruh saya berjumpa bomoh berkenaan kerana mendakwa lelaki itu mampu mengubati sebarang penyakit asalkan syarat dipenuhi.

“Saya akur dan meminta rakan berkenaan menunjukkan rumah bomoh berkenaan. Pada rawatan pertama, bomoh itu mendakwa emak diganggu ‘makhluk halus’ dan meminta saya membawa seorang perempuan yang masih sunti sebagai syarat.

Tak sentuh, tak salah



ALOR SETAR: Bomoh berkenaan tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah memandangkan lelaki itu tidak melakukan sentuhan terhadap gadis yang digunakan sebagai pengantara ketika upacara rawatan dijalankan.
Jurucakap polis berkata, berdasarkan ritual dimaklumkan, bomoh berkenaan tidak melakukan sebarang kesalahan yang boleh diambil tindakan memandangkan ia dilakukan di hadapan orang ramai selain tiada sentuhan fizikal.

“Jika bomoh berkenaan menyentuh atau berduaan dalam bilik, ia boleh dianggap kesalahan yang mungkin boleh dikaitkan dengan jenayah pencabulan atau sebagainya. Namun, jika tiada sentuhan fizikal, bomoh berkenaan tidak melakukan kesalahan,” katanya.
Katanya, pihaknya tetap akan menjalankan pemantauan.

Gagal cam mayat budak

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Seorang wanita berusia 30-an yang bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak, tampil membantu polis dengan membuat pengecaman di Rumah Mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, semalam.
Wanita itu tampil bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun yang ditemui dengan 80 peratus badannya terbakar manakala perutnya terburai di kaki bukit Jalan Salleh, Taman Ungku Aziz, di sini, Jumaat lalu.

Terdahulu, wanita berkenaan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) pada kira-kira jam 12 tengah hari semalam, sebelum dibawa sepasukan anggota polis ke Rumah Mayat HSA, kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dr Hashim Haron berkata, wanita itu gagal mengecam mangsa berikutan wajah termasuk 80 peratus anggota badannya rentung.

“Wanita itu bukanlah waris dan tidak mempunyai sebarang pertalian persaudaraan dengan mangsa.

“Dia hanya seorang awam yang prihatin dan tampil untuk mengenal pasti mangsa,” katanya.
Menurutnya, pihaknya masih belum mendapat petunjuk baru termasuk dakwaan kononnya sudah menahan seorang suspek yang juga bapa saudara mangsa.

“Kami masih belum mengetahui identiti mangsa, jadi adalah mustahil kami sudah berjaya menahan bapa saudaranya.
“Kenyataan itu tidak tepat, namun kami masih menjalankan siasatan bagi menahan suspek,” katanya.

Berikutan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Idris Sith di talian 07-223 2222 atau talian 07-221 2999 / 07-225 4422.

Nasib baik tersangkut pada pokok ceri

SUNGAI PETANI: “Tarikh 26 Disember sentiasa kekal tidak akan dilupa sepanjang hidup kerana pada tarikh itu saya nyaris maut dibawa ombak besar.
“Syukur nasib saya baik kerana tersangkut pada pokok ceri tidak jauh dari pantai,” kata Azman Abdul Hamid,15, dari Kampung Tepi Sungai, Kota kuala Muda, di sini, yang terselamat ketika tsunami lapan tahun lalu.

Dalam tsunami pada 26 Disember 2004 (Ahad), antara jam 1 hingga 1.30 tengah hari, lebih 10 kampung di sini, dilanda ombak besar setinggi lapan meter, termasuk Kampung Kuala Tepi Sungai, Kampung Keda, Kampung Kepala Jalan, Kampung Masjid, Kampung Padang Salim, Kampung Hujung Matang, Kampung Paya, Kampung Sungai Meriam, Kampung Sungai Yu dan Kampung Pulau Sayak membabitkan lebih 3,000 mangsa.
Tragedi hampir setengah jam itu meranapkan lebih 100 rumah dan meragut 11 nyawa termasuk bayi berusia 11 bulan manakala lebih 75 kenderaan serta lebih 50 bot nelayan rosak.

Azman berkata, ketika kejadian itu, dia baru berusia tujuh tahun dan sedang bermain bersama rakan di atas batu di tepi pantai tidak jauh dari pusat pendaratan ikan Kampung Tepi Sungai di sini.

Katanya, dia mengikut orang ramai melihat sesuatu yang pelik di tengah laut dan menyedari air di tepi pantai surut sebelum mendengar jeritan memberitahu ombak besar, tetapi mereka tidak lari menyelamatkan diri.
“Ombak pertama tidak berapa kuat tapi beberapa rakan serta orang lain lari dari situ. Saya tidak lari kerana mahu lihat ombak lagi.

“Belum sempat turun dari batu tiba-tiba saya dipukul ombak dengan kuat. Tidak tahu apa nak buat ketika itu, saya pula tidak tahu berenang lalu dihanyut ombak besar.
“Saya bernasib baik kerana tersangkut pada pokok ceri, tetapi tiada siapa nampak saya kerana ketika itu keadaan kelam kabut,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Air naik 1.5m

Oleh Asrol Awang dan Shalfarina Shahriman
am@hmetro.com.my

TENGGELAM...keadaan bandar Kuantan yang dinaiki air, semalam.
TENGGELAM...keadaan bandar Kuantan yang dinaiki air, semalam.
KUANTAN: Hujan lebat selama tiga jam menyebabkan beberapa jalan utama terutama di pusat bandar dilanda banjir sedalam 1.5 meter (m).
Antara jalan ditenggelami air ialah Jalan Tun Ismail Satu, Jalan Beserah, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Lim Hoe Lek, Jalan Abd Aziz, Jalan Mahkota, Jalan Bukit Ubi, Jalan Air Putih dan Jalan Pasar.

Difahamkan, banjir kilat itu berlaku jam 11 pagi semalam menyebabkan banyak kenderaan terkandas di jalan raya selain beberapa premis perniagaan ditutup kerana dinaiki air.
Walaupun daerah ini mula hujan sejak malam kelmarin, hujan lebat selama tiga jam bermula jam 8 pagi semalam menyebabkan berlaku banjir kilat.

Keadaan itu menyebabkan kebanyakan pemilik kenderaan panik dan menyelamatkan diri dengan meredah jalan yang ditenggelami air.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Jalan Tun Ismail, di sini, mendapati 10 kenderaan terkandas dan orang ramai membantu mengalihkan kenderaan mereka.
Bagaimanapun, lima jam kemudian, air mula surut dan beberapa jalan boleh dilalui semua kenderaan.

Tinjauan juga mendapati beberapa taman perumahan iaitu di Taman LKNP, Bukit Setongkol, Taman Perumahan Transit Quarters, Taman Teratai dan Semambu turut ditenggelami air antara 0.1 meter hingga satu meter.
Keadaan itu menyebabkan penduduk mengalami kerugian apabila beberapa barang dan kelengkapan rumah tidak dapat diselamatkan berikutan kejadian tidak diduga itu.

Sementara itu, jurucakap pusat pemindahan banjir negeri berkata, seramai 787 mangsa banjir membabitkan 179 keluarga ditempatkan di enam pusat pemindahan di sekitar daerah ini, Pekan dan Rompin.

Antara kampung terbabit di daerah ini adalah Kampung Galing, Taman Seri Kuantan, Kampung Cenderawasih, Kampung Tengah, Kampung Tanjung Lumpur dan beberapa buah kampung di sekitar Pandan.

Manakala mangsa di Pekan adalah di Kampung Sungai Miang serta Kampung Cenderawasih dan di Rompin adalah Kampung Perpat.

Mangsa ditempatkan sementara di pusat pemindahan di bandar ini adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Galing seramai 362 mangsa membabitkan 64 keluarga, SK Cenderawasih seramai 200 mangsa membabitkan 52 keluarga ,Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan seramai 93 mangsa membabitkan 41 keluarga dan Balai Raya Tanjung Lumpur seramai 21 mangsa membabitkan empat keluarga.

Manakala di Pekan pusat pemindahan adalah di SK Sinar Mutiara, Sungai Miang menempatkan 60 mangsa daripada 10 keluarga dan Masjid Kampung Perpat di Rompin menempatkan 51 mangsa membabitkan lapan keluarga.

Bah di Terengganu makin buruk



KUALA TERENGGANU: Keadaan banjir di negeri ini semakin buruk apabila seramai 975 orang dipindahkan ke 21 pusat pemindahan sehingga jam 6 petang semalam berbanding 144 mangsa di lima pusat pemindahan kelmarin.
Mendahului senarai, Dungun mencatatkan jumlah tertinggi dengan 317 penduduk dipindahkan diikuti Setiu (269), Marang (171), Besut (101), Kuala Terengganu (91) dan Hulu Terengganu (26) manakala Kemaman tiada pemindahan.

Mangsa banjir, Azmi Md Ali, 45, dari Taman Desa Darul Iman 6, di sini, berkata, hujan yang tidak berhenti sejak pagi kelmarin membuatkan dia dan keluarga tidak sedap hati serta membuat persediaan awal untuk berpindah.
“Sudah tiga tahun kami sekeluarga menjadi mangsa banjir, jadi kami membuat persiapan awal dengan menyimpan semua dokumen penting di tempat selamat.

“Banjir di kawasan ini bukanlah berpunca daripada paras air sungai atau air laut yang meningkat, tetapi ia berpunca daripada saiz longkang yang kecil sehingga mengakibatkan air tidak dapat mengalir dengan cepat,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Tanjung Gelam, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, berkata Mat Husin Ghani berkata, sebagai langkah segera mengatasi bencana banjir yang melanda di semua daerah di negeri ini kecuali Kemaman, pihaknya akan membaiki serta membesarkan parit utama untuk mengalirkan air tersumbat.

Sebelum ini, sebanyak lapan laluan utama terpaksa ditutup dan dibuka semula selepas surut namun jalan di Jambatan Sungai Caru, Jalan Sungai Lembing, di sini, masih ditutup berikutan air naik sehingga ke paras 10 meter.

Awas bah besar

Oleh Mohammad Ishak dan Nojie Nadzirah
am@hmetro.com.my

JERTIH: Penduduk negeri ini terutama yang tinggal di pesisiran pantai diminta bersiap sedia berdepan kemungkinan banjir besar pada hari ini dan esok berikutan berlakunya ombak besar disebabkan air pasang.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, jika air pasang dan hujan berterusan dikhuatiri banjir besar akan melanda di beberapa kawasan rendah negeri ini berikutan pertembungan kejadian itu.

Katanya, beliau mengarahkan semua agensi berkenaan mengambil tindakan segera menyelamatkan mangsa yang terbabit dengan banjir bagi memastikan tiada nyawa terkorban.
“Masalah logistik dan keperluan lain termasuk bekalan makanan, selimut, perubatan, pusat pemindahan dan bot lama disediakan pihak terbabit.

“Kami juga menyediakan peruntukan khas membina rumah baru jika mendapati mangsa banjir kehilangan tempat tinggal dalam bencana berkenaan malah kerosakan jalan raya juga diberi perhatian,” katanya ketika melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Anak Ikan, Jabi, dekat sini, semalam.

Terdahulu Ahmad melawat dua pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Tanjong Gelang, Tepoh, Kuala Terengganu dan Dewan Sivik Kampung Langkap, Setiu.
Beliau berkata, kerajaan bersiap sedia menghadapi banjir dengan menyediakan 347 pusat pemindahan.

Ibu sarat hamil naik empat bot ke hospital



PERMAISURI: Tindakan pantas pasukan penyelamat membawa keluar seorang ibu muda sarat mengandung yang terperangkap akibat banjir berjaya menyelamatkannya daripada kejadian tidak diingini.
Nor Syawani Zulkifli, 22, dari Kampung Hulu Seladang, dekat sini, menaiki empat bot sebelum dapat diselamatkan untuk dihantar ke Hospital Setiu berikutan jalan yang menghubungkan rumahnya ke bandar Permaisuri ditenggelami air.

Nor Syawani yang mengandung anak kedua hanya menunggu masa untuk bersalin apabila kandungannya kini berusia sembilan bulan.
“Saya bersama keluarga serta seorang anak berusia dua tahun sentiasa berdoa dan mengingati Allah supaya selamat dalam perjalanan kerana bimbang bot dinaiki rosak.

“Lebih mendebarkan, kami terpaksa menaiki empat bot lain untuk sampai ke bandar Permaisuri dan ia amat menakutkan menjadikan pengalaman ini akan saya ingat sampai bila-bila.

“Hanya Tuhan tahu betapa takutnya kami ketika mengharungi arus deras dalam keadaan hujan lebat,” katanya.
Menurutnya, dia berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permaisuri, Abd Halim Jusoh dan pasukan bantuan daripada Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Permaisuri yang bertungkus-lumus menyelamatkannya walaupun mereka sendiri berdepan risiko.

Pasukan penyelamat menggunakan bot untuk membawa keluar mangsa yang terperangkap di rumahnya di Kampung Hulu Seladang sejauh 10 kilometer dari bandar Permaisuri berikutan paras air semakin naik.
Selain itu, jalan bandar Permaisuri-Hulu Seladang yang dinaiki air kira-kira tiga meter ditutup kepada semua lalu lintas sejak awal pagi semalam dan pasukan penyelamat terpaksa menggunakan bot untuk mengangkut mangsa banjir ke pusat pemindahan banjir di Surau Kampung Buloh.

‘Ampunkan saya’

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my

BERLALU PERGI...ahli keluarga lain membawa ibu Siti Fazurina keluar dari hotel.
BERLALU PERGI...ahli keluarga lain membawa ibu Siti Fazurina keluar dari hotel.
GEORGETOWN: Pelakon drama bersiri Trilogi Cinta, Siti Fazurina Mohd Famir hanya sempat memeluk ibunya selama beberapa saat sebelum ibunya itu ditarik ahli keluarganya yang lain meninggalkan sidang media dibuat pelakon berusia 30 tahun itu di Bayan Baru di sini, bagi menjelaskan kontroversi perkahwinannya, semalam.
Ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 60, hadir pada sidang media itu bersama abang tiri Fazurina, Shahzuri Shaharudin, 36, serta adik-beradiknya yang lain, Mohd Fauzi Mohd Famir, 24, dan Mohd Firdaus Mohd Famir, 22. Bagaimanapun, mereka hanya berdiri berhampiran kumpulan media dan hanya mendengar sidang media tanpa berkata apa-apa.


Siti Fazurina kelihatan tersentak dan menangis apabila ibunya mengikut saudara-maranya yang lain selepas dia berkejar mendapatkan Zubaidah berhampiran tangga selepas ibunya bergegas meninggalkan sidang akhbarnya.

Bagaimanapun, dia hanya sempat memeluk ibunya selama beberapa saat sambil meminta ampun manakala Zubaidah didengar meluahkan kekesalannya dengan tindakan Siti Fazurina (berkahwin secara senyap) sebelum dia ditarik adik-beradiknya meninggalkan tempat itu.

Usaha Harian Metro untuk mendapatkan penjelasan Zubaidah mengenai perkahwinan anaknya itu gagal kerana dia enggan ditemu ramah media, termasuk ketika dihubungi melalui telefon, malam tadi.

Ibu, anak bersekongkol bekal dadah



TAIPING: Biasanya ibu melarang anak melakukan kejahatan tetapi seorang wanita berusia 54 tahun bersekongkol dengan anak lelakinya berusia 31 tahun sebagai pembekal dadah di sini.
Dua beranak itu diberkas polis selepas selesai membungkus dadah di sebuah rumah di Jalan Raja Muda, Aulong di sini, 21 Disember lalu, oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, pasukan berkenaan merampas beberapa bungkusan dadah jenis heroin seberat 450 gram.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah, berkata dadah berkenaan ditemui di bawah katil dalam bilik wanita berkenaan manakala sebahagian lagi ditemui dalam bilik anak lelakinya.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa peralatan memproses dan membungkus dadah, termasuk alat penimbang serta alat menghisap dadah di dalam rumah berkenaan.

Tilam dijadikan alat kedap bunyi elak dikesan



KUALA LUMPUR: Tilam dijadikan alat kedap bunyi bagi memastikan pergerakan, perbualan dan aktiviti di dalam banglo yang disewa sebagai ‘markas’ kegiatan mereka gagal dikesan jiran mahu pun pihak berkuasa.
Lebih licik, sindiket penipuan Macau yang beroperasi sejak Jun lalu tidak lagi bersekongkol dengan warga tempatan sebaliknya segala urusan mereka dilakukan seorang penyelia warga Taiwan yang mahir mengenai negara itu.

Bagaimanapun, taktik mereka gagal apabila diserbu sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman hasil maklumat polis China di dua banglo di Seksyen 12, Petaling Jaya dan Lengkok Setiabistari, Bukit Damansara, di sini, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, seramai 51 anggota sindiket terdiri daripada 46 warga Taiwan, empat warga China dan seorang lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan.

Penolong Pengarah Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia, JSJK Bukit Aman, Asisten Komisioner Kamarudin Md Din, berkata rentetan daripada kerjasama dengan polis China itu, pihaknya menjalankan risikan selama seminggu di kedua-dua rumah berkenaan bagi melihat pergerakan anggota sindiket.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, semua anggota sindiket berkenaan sedang sibuk mengemas peralatan dan barangan mereka untuk berpindah ke lokasi baharu.
“Siasatan awal mendapati, sindiket berkenaan tidak akan tinggal lama di satu-satu lokasi bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Malah individu yang menjadi anggota sindiket ini juga silih berganti sama ada mereka dihantar pulang atau dihantar ke negara lain seperti Thailand, Singapura dan Indonesia yang turut menjadi markas mereka,” katanya.
Katanya, hasil serbuan yang disertai 10 pegawai dan 40 anggota itu, polis merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk membuat panggilan termasuk komputer riba, gagang telefon dan modem Internet selain dokumen pengenalan diri.

Kunyah kaca macam keropok

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my

GEMAS: Seorang anak peneroka Felda Jelai, di sini, mempunyai tabiat pemakanan pelik dan membahayakan apabila memakan apa saja jenis lampu terutama, lampu kalimantang.
Malah, Mohd Fahmi Mohd Nadzri, 20, menjadikan lampu bagaikan ulam atau keropok dimakan bersama nasi dan mencecah serpihan kaca itu dengan sambal belacan.

Wartawan dan jurugambar Harian Metro yang menemui Mohd Fahmi di rumahnya semalam, terkejut apabila hidangan bihun disediakan untuknya dimakan bersama kaca.

Mohd Fahmi berhadapan masalah itu ketika berada di darjah tiga apabila melihat ayah meletakkan lampu kalimantang yang rosak di dapur, tiba-tiba dan memiliki keinginan kuat untuk memakan lampu itu.

“Keinginan meluap-luap menyebabkan saya ambil lampu itu lalu mengunyah dan menelan, malah tabiat itu berterusan sampai sekarang dan sukar dihapuskan,” katanya.

Usus tak cedera

SEREMBAN: Proses penghadaman benda pepejal yang dimakan termasuk kaca dan paku biasanya tidak menyebabkan kecederaan kepada usus kerana sifat usus yang lembut selain boleh menyesuaikan dengan bendasing sebelum disalurkan keluar.
Pakar Perunding Kanan Telinga, Hidung dan Tekak, Hospital Pakar KPJ Tawakal, Profesor Datuk Dr Lokman Saim berkata, ada kes banduan yang bosan di penjara menelan paku supaya dapat keluar sebentar dari penjara.

Menurutnya, apabila kes seumpamanya tiba dan X-ray menunjukkan terdapat paku, pihak hospital biasanya menyuruh individu terbabit buang air besar kerana lazimnya bendasing akan keluar menerusi najis.
“Berhubung tabiat pelik makan kaca umpamanya. Ia akan membahayakan ketika kaca digigit termasuk melukakan mulut atau menelan dalam saiz besar hingga tersangkut di tekak.

“Jika kaca itu digigit kecil dan boleh ditelan, ia tidak menyebabkan luka pada bahagian usus dan keluar menerusi saluran najis,” katanya.

Tidak panggil wali

Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Seorang saksi mengaku di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam sebagai Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Daerah Gombak Timur, dia tidak memanggil wali nasab iaitu bapa mentua artis 1980-an, Raisuddin Hamzah ketika menjalankan siasatan pernikahan terhadap Raisuddin dengan isteri keduanya, Siti Fatimah Suberi.
Mohd Hidayat Mohd Suhaimi berkata, dia tidak memanggil Suberi Abdullah, 52, yang juga plaintif dalam kes itu untuk ditemu bual kerana pernikahan pasangan itu pada 2 Januari 2007 berlangsung di negeri lain iaitu di Songkhla, Thailand.

Dalam keterangannya semalam, Mohd Hidayat berkata, dia hanya menjalankan siasatan berdasarkan dokumen yang dibekalkan Siti Fatimah (defendan pertama) termasuk surat pengesahan perkahwinan di Selatan Thailand oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Songkla dan surat daripada Islamic Community of Songkhla.

Katanya, dia tidak ingat sama ada pernah bertanya kepada Siti Fatimah sama ada dia meminta izin daripada bapanya untuk bernikah atau izin bernikah di luar negara.

“Saya tidak ingat. Saya tidak panggil kerana wali nasab tiada ketika pernikahan itu,” katanya ketika disoal balas peguam syarie, Rosdan Sujak Raffi yang mewakili Suberi.

Rumah merekah

Oleh Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my

MEREKAH...Setiausaha Jawatan Kuasa Bertindak Terowong Sungai Bunus, Abdul Ghani Muhammad Nor menunjukkan rumah penduduk yang retak di Kampung Pindah.
MEREKAH...Setiausaha Jawatan Kuasa Bertindak Terowong Sungai Bunus, Abdul Ghani Muhammad Nor menunjukkan rumah penduduk yang retak di Kampung Pindah.
KUALA LUMPUR: Hampir setiap malam sembilan pemilik tanah di Kampung Pindah, di sini, tidak lena tidur memikirkan risiko kejadian tanah mendap di rumah mereka berikutan kejadian terowong ‘meletup’ di situ dua tahun lalu.
Sejak kejadian itu sembilan pemilik tanah terbabit masih tidak mendapat pampasan di sebalik kerosakan rumah serta kerugian dialami mereka.
Penduduk, Sulaiman Hassan, 50, berkata, pihaknya difahamkan berdasarkan kajian dilakukan, masalah itu berpunca daripada terowong Sungai Bunus yang dibina di bawah perumahan mereka tidak diselenggara sehingga ia tersumbat.

“Kemuncak masalah itu berlaku apabila terowong itu tidak dapat menampung tekanan pecah menyebabkan rumah di sini rosak teruk dan struktur tanah tidak stabil.

“Sehingga kini, belum ada penyelesaian muktamad diambil pihak berkuasa.
Mereka mahu kami berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas bagi membolehkan mereka membaiki terowong itu tanpa memberi pampasan,” katanya.

Menurut Sulaiman, penduduk menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda selain hilang punca pendapatan rumah sewa memandangkan penyewa berpindah keluar selepas insiden itu.

Menyingkap kembali sejarah terowong itu, Osman Kasmadi, 75, berkata, penduduk diminta berpindah ke tempat lain bagi membolehkan pembinaannya dilakukan pada 1969.

“Ketika itu, kami difahamkan pembinaan terowong itu bertujuan mengatasi banjir yang kerap melanda kampung bersebelahan.

“Walaupun tiada hitam putih antara penduduk dan kontraktor, atas dasar persaudaraan dan ingin membantu penduduk kampung lain kami membenarkan pembinaan terowong itu, sebelum membina semula rumah penduduk.

“Saya masih ingat bagaimana kontraktor terbabit meyakinkan kami terowong itu mampu bertahan 100 tahun, tetapi tidak membenarkan pembinaan rumah konkrit di atas tapak itu, walaupun ia masih tanah kami,” katanya.

Beliau yang kecewa dengan keadaan itu, berharap pemilik tanah mendapat pembelaan sewajarnya dari pihak berkuasa kerana masalah itu berpunca daripada penduduk.

“Kami membenarkan terowong itu dibina, tetapi apabila masalah ini berlaku, tiada pihak membantu kami,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Terowong Sungai Bunus, Kampung Pindah, Zainal Frederick berharap pihak berkuasa terutama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menangani masalah penduduk dengan lebih berkesan.

“Menurut laporan Institut Latihan dan Penyelidikan Jabatan Kerja Raya Malaysia (Ikram), kawasan ini tidak selamat diduduki.

“Disebabkan kelalaian JPS dan DBKL yang tidak menyelenggara terowong berkenaan selain jangka hayatnya yang sudah tamat tempoh antara punca masalah ini berlaku.

“Mengikut perancangan DBKL, kami akan dipindahkan ke PPR Air Panas, tetapi sehingga kini tiada hitam putih mengenai perpindahan itu.

“Malah kami juga tidak menerima sebarang pampasan atau ganti rugi walaupun masalah ini sudah berlaku dua tahun,” katanya.

Cinta antara 2 ‘darjat’



ELISANY bersama kekasihnya, Carvalho bercanda di tepi pantai di Salinopolis, Brazil.
ELISANY bersama kekasihnya, Carvalho bercanda di tepi pantai di Salinopolis, Brazil.
BRASILIA: Walaupun memiliki ketinggian luar biasa, ia tidak menghalang Elisany da Cruz Silva menjalani kehidupan seperti remaja lain, termasuk menjalinkan percintaan dengan lelaki pilihan.
Elisany, 17, ketika ini diiktiraf sebagai remaja perempuan tertinggi di dunia dengan ketinggian 2.07 meter, manakala teman lelakinya 40.6 sentimeter lebih rendah. Apabila perlu, Elisany terpaksa membongkok untuk mencium kekasihnya, Francinaldo da Silva Carvalho, 22.

Berasal dari Salinopolis, ketinggian Elisany meningkat ketara akibat ketumbuhan pada kelenjar pituitari yang mengawal tumbesaran.

Ketumbuhan itu telah dibuang melalui pembedahan sebelum ini.

Menurut Elisany, dia terpikat kepada Carvalho kerana pemuda itu memiliki personaliti yang menyenangkan.

Katanya, Carvalho bijak berinteraksi, sama ada dengan orang lain atau dirinya sendiri.
“Satu-satunya aspek yang menjejaskan hubungan kami ialah ketinggian.

“Apabila kami keluar berpegangan tangan, Carvalho kelihatan seolah-olah adik atau anak saya,” katanya.
Bagaimanapun, kata Elisany, bukan dia yang memilih Carvalho menjadi kekasih, sebaliknya ia berlaku atas kehendak Tuhan. Sementara itu, Carvalho berkata, rakannya tertanya-tanya bagaimana dia memeluk Elisany.

Kata pekerja pembinaan itu, ia tidak menjadi halangan kerana setiap masalah ada penyelesaian.

“Elisany seorang yang jelita walaupun ketinggiannya sangat ketara.

“Saya tiada masalah memiliki kekasih yang sangat tinggi,” katanya. Sementara itu, Elisany berkata, selain bermasalah untuk menaiki bas sekolah, dia berhenti belajar apabila ketinggiannya menjadi bahan ejekan rakan sekelas. Di rumah pula, Elisany mengaku berdepan banyak masalah apabila sering terhantuk kayu siling. - DM

Ucapan Hari Natal diharam

JAKARTA: Pemimpin konservatif Islam bukan saja mengharamkan orang Islam mengucapkan “Selamat Hari Krismas” kepada orang beragama Kristian, malah mereka kini mahu Presiden mereka untuk tidak mengambil bahagian dalam perayaan itu sama ada dalam acara rasmi ataupun peribadi.
Wakil dari Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengingatkan fatwa yang melarang umat Islam memberi ucapan itu kepada mereka yang beragama Kristian dan berkata, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono tidak perlu menghadiri sambutan hari Krismas peringkat kebangsaan yang dijadualkan pada 27 Disember ini.

Naib Pengerusi MUI, Ma’ruf Amin berkata: “Fatwa ini mengharamkan orang Islam daripada hadir di mana-mana upacara Krismas. Seorang Islam tidak perlu menghadiri mana-mana upacara keagamaan yang hanya perlu dihadiri oleh penganut Kristian.”

Ma’ruf berkata, Susilo seorang beragama Islam dan tidak patut menghadiri sambutan Krismas peringkat kebangsaan yang akan mengandungi elemen agama Kristian.

Susilo dan Naib Presiden, Boediono, juga seorang Islam, adalah antara pegawai tertinggi yang dijadualkan menghadiri perayaan itu.

Menteri Hal Ehwal Agama, Suryadharma Ali pernah bersama-sama Presiden dan Naib Presiden hadir dalam sambutan yang sama tahun lalu.

Beberapa kumpulan Islam turut berkongsi pandangan dengan MUI.

Persatuan Islam Indonesia (Persis) juga berkata, tidak sesuai untuk seorang Presiden hadir di majlis sambutan Krismas peringkat kebangsaan.

Pengerusi Persis, Maman Abdurrahman seperti yang dipetik dari laman web persatuan konservatif Islam, Hizbut Tahrir Indonesia, berkata: “Walaupun mereka adalah pemimpin negara, mereka dilarang menghadiri sambutan Krismas itu.”

Katanya, Susilo dan Boediono sepatutnya hanya menghantar pegawainya dari direktorat Kristian Protestan dan Katolik Kementerian Agama untuk menghadiri upacara itu bagi pihak mereka. - Jakarta Post

2 kali cuba bunuh diri



LONDON: Jururawat yang membunuh diri selepas menjawab panggilan palsu mengenai isteri Putera William, Kate Middleton, pernah cuba membunuh diri dua kali musim sejuk lalu.
Jacintha Saldanha yang menggantung dirinya selepas menerima panggilan palsu daripada dua pengacara radio Australia yang menyamar sebagai Ratu Elizabeth dan Putera Charles, cuba membunuh diri Disember lalu dengan mengambil beberapa pil secara berlebihan ketika mengunjungi keluarganya di India.

Dia berjaya diselamatkan selepas dikejarkan ke hospital tetapi mengulangi cubaannya sembilan hari kemudian dengan cuba terjun dari sebuah bangunan.
Jacintha, 46, menghabiskan masa beberapa hari di unit rawatan rapi sebelum menerima rawatan psikiatrik dan dinasihat memakan ubat penenang.

Sebuah akhbar India yang mendedahkan mengenai cubaan membunuh diri itu juga melaporkan, keluarga Jacintha berkata, jururawat itu terlalu malu selepas menerima panggilan palsu itu. Dia bagaimanapun tidak menceritakannya kepada suami atau anaknya sebelum kematiannya walaupun berbual dengan mereka menerusi telefon beberapa kali.

Menurut keluarganya di Mangalore, selatan India, Jacintha hanya memberitahu suaminya, Ben Barboza bahawa dia menjadi tumpuan berita beberapa hari sebelum bertindak membunuh diri.
Mayatnya ditemui tergantung di kuartersnya di Hospital King Edward VII pada 7 Disember lalu. - DM

Bukan mudah untuk baham ular



TALLAHASSEE (Florida): Niat seekor burung pucung biru membaham mangsanya tergendala beberapa ketika selepas ular yang dipatuknya melawan.
Aksi itu dirakam seorang jurugambar, Peter Brannon, 35, ketika dia melawat kawasan perlindungan hidupan liar Green Cay Wetlands, di Delray Beach, Florida.

Katanya, dia nampak seekor burung pucung biru menggerak-gerakkan kepalanya lebih agresif dari biasa.
“Burung itu melompat-lompat untuk melepaskan lilitan ular pada mulutnya,” katanya. Selepas 15 minit, kata Brannon, ular itu masih enggan mengalah sehingga burung berkenaan menukar taktik dengan menggoyangkan kepalanya supaya reptilia itu terhempas ke bawah.

“Akhirnya ular itu kepenatan dan melonggarkan belitannya untuk menjadi santapan burung berkenaan,” katanya. - DM

No comments:

Post a Comment