DUNIA
Kitab al-Quran 500 tahun dipamerkan di Internet
LONDON - Satu manuskrip antara naskhah al-Quran paling penting dan jarang dilihat di dunia akan dipamerkan di Internet, lapor sebuah akhbar semalam.
Kitab suci tulisan tangan itu yang dianggarkan berusia sekitar 500 tahun, amat berharga dan rapuh sehinggakan para ilmuwan tidak dapat meletakkannya untuk dipamerkan.
Setiap helaian daripada 470 muka surat kitab itu yang berukuran 88x60 sentimeter, menyamai saiz skrin televisyen plasma besar dan ia disimpang di Perpustakaan John Rylands, Universiti Manchester, Britain.
Kini, pakar-pakar di perpustakaan berkenaan menggunakan teknologi digital untuk merakamkan setiap muka surat dan menyiarkan kitab suci itu di Internet bagi membolehkan para ilmuwan dan pelajar mengkajinya.
Kitab al-Quran itu dipercayai berasal dari perpustakaan Kansuh al-Ghuri, Kaherah, Mesir dan disimpan pada zaman dinastik terakhir Mamluk.
Ia dibeli oleh pihak pengurusan Perpustakaan John Rylands pada 1901 sebagai sebahagian daripada koleksi artifak Earls of Crawford. - Agensi
DUNIA
Tunisia siasat aset milik bekas presiden
TUNIS - Seorang pendakwa raya Tunisia telah membuka kertas siasatan terhadap aset seberang laut milik bekas presiden Tunisia yang melarikan diri, Zine El Abidine Ben Ali dan keluarganya.
Agensi berita rasmi Tunisia, TAP menyatakan, pejabat pendakwa raya semalam memutuskan untuk menyiasat akaun-akaun bank, hartanah dan aset lain milik Zine, isterinya Leila Trabelsi dan saudara-mara mereka.
Bekas presiden Tunisia itu melarikan diri ke Arab Saudi pada Jumaat lepas selepas pentadbirannya selama 23 tahun gagal membendung tunjuk perasaan rakyat yang memprotes pemerintahannya yang dicemari rasuah dan kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan golongan muda.
Pentadbiran Tunisia kini diambil alih oleh Speaker Parlimen, Foued Mebazaa yang menjadi presiden sementara dengan Mohammed Ghannouchi sebagai Perdana Menteri.
Sementara itu, pentadbiran Switzerland semalam mengarahkan supaya dana milik bekas presiden Tunisia itu yang disimpan di Switzerland, dibekukan.
"Pentadbiran Switzerland mahu mengelak industri kewangannya daripada digunakan bagi menyembunyikan dana," kata Menteri Luar Switzerland, Micheline Calmy-Rey.
Kelmarin, sebuah akhbar Perancis menyatakan Leila bertindak melarikan diri ke luar negara bersama jongkong-jongkong emas seberat 1.5 tan bernilai lebih £35 juta (RM171.3 juta).
Leila, 53, telah mengarahkan Bank Negara Tunisia supaya menyerahkan jongkong-jongkong emas itu pada minggu lalu.
Sementara itu, ribuan penunjuk perasaan melakukan protes bagi menentang kewujudan pemerintah sementara kerana ia masih dikuasai ahli-ahli parti politik milik bekas presiden yang melarikan diri itu. - Agensi
NEGARA
Lari lintang-pukang diserbu khalwat
BESUT - Dua lelaki lari lintang-pukang meninggalkan kekasih masing-masing apabila rumah yang mereka jadikan sarang maksiat dan penagihan dadah di Kampung Lak Lok di sini diserbu sepasukan penguat kuasa dari Pejabat Agama Daerah Besut kelmarin.
Ketika serbuan pada pukul 2.40 petang itu, seorang daripada lelaki berusia 24 tahun itu memanjat siling rumah untuk bersembunyi manakala rakannya yang berusia 29 tahun pula naik ke atas bumbung rumah tersebut.
Bagaimanapun, usaha kedua-dua lelaki itu untuk bersembunyi memakan diri apabila seorang suspek yang bersembunyi di atas bumbung terjatuh selepas atap yang dipijaknya pecah.
Selain suspek yang terjatuh itu dicekup, penguat kuasa dari pejabat agama itu turut menahan suspek yang bersembunyi di atas siling rumah dan dua gadis yang masing-masing berusia 17 tahun.
NEGARA
Polis tak siasat jika tiada laporan
SEREMBAN – Polis mengesahkan belum melakukan siasatan berhubung duit syiling berjumlah RM75,000 yang habis dikebas orang ramai ketika bertaburan di Kilometer 243 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Pedas di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azli Kamaruddin (gambar kecil) berkata, kehilangan duit syiling itu tidak disiasat kerana polis tidak menerima laporan daripada mana-mana pihak yang memaklumkan kehilangan wang milik mereka.
“Dalam kejadian itu, hanya ada seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dikatakan membawa duit syiling itu membuat laporan polis tetapi ia berkaitan dengan kemalangan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Sehubungan itu, menurut beliau, polis kini melakukan siasatan berhubung dua buah kenderaan yang berlanggar iaitu membabitkan sebuah Toyota Hilux dan sebuah kereta BMW.
NEGARA
Maut terkena renjatan elektrik
ALOR SETAR - Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini maut akibat terkena renjatan elektrik ketika membaiki perkakas elektrik di rumahnya di Taman Nuri di sini kelmarin.Ketika kejadian pada pukul 2.30 petang, Mohd. Shamil Sahid Abdullah, 26, membaiki barangan elektrik di dalam biliknya di tingkat atas rumah.
Menurut bapanya, Sahid Abdullah Ismail, 62, anaknya masuk ke bilik pada pukul 2 petang manakala dia pula berehat di tingkat bawah rumah.
Namun selepas lebih sejam, apabila menyedari anaknya tidak turun dari bilik, dia yang rasa tidak sedap hati naik ke tingkat atas dan menjenguk ke bilik anaknya itu.
"Saya terkejut apabila melihat Shamil terlentang di atas katil dan bila dipanggil dia sudah tidak sedarkan diri," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini semalam.
NEGARA
Misteri kematian akan didedah
SEREMBAN - Mayat pramugari Malaysia Airlines (MAS), Chin Swee Len, 35, yang ditemui mati di Hotel Radisson, Amsterdam, Belanda Jumaat lalu selamat tiba di rumahnya di Taman Oakland, Seremban 2 di sini semalam.
Mayat Swee Len tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang sebelum dibawa ke kediamannya pada pukul 1.45 petang.
Mengikut jadual awal, suami mangsa, Cheng Ying Chet, 39, dan mayat mendiang isterinya sepatutnya tiba Jumaat ini namun, dia pulang awal dari Belanda kerana semua proses dokumen kematian Swee Len dapat diselesaikan lebih cepat.
"Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih khususnya kepada Kementerian Luar, MAS, pihak kedutaan dan Wisma Putra yang membantu menguruskan proses membawa pulang mayat isteri saya," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
NEGARA
Pemborong ikan ke tali gantung
SHAH ALAM – Seorang pemborong ikan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas dia didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah seberat 371.3 gram tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Bakri menjatuhkan hukuman itu terhadap T'ng Chee Woon, 37, selepas beliau berpuas hati bahawa pihak pembelaan yang diwakili Thong Seng Kong gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.
Berdasarkan pertuduhan, Chee Woon didakwa memiliki dadah jenis methaphetamine seberat 371.3 gram di kawasan padang Jalan Tembaga SD 5/2B, Bandar Sri Damansara, Sungai Buloh dekat sini, pada pukul 3 petang, 13 November 2008.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.
NEGARA
Mangsa pasrah hilang tangan
KLANG - Mangsa renjatan kabel elektrik, Muhamad Hairuman Miskon, 22, akhirnya pasrah untuk kehilangan kedua-dua belah tangannya melalui pembedahan setelah doktor mengesahkan ia tidak boleh diselamatkan lagi.
Selain itu, ibu jari kaki kiri Muhamad Hairuman juga difahamkan turut dipotong setelah sarafnya sudah tidak lagi berfungsi.
Muhamad Hairuman dimasukkan ke dewan bedah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini kira-kira pukul 4.45 petang semalam.
Kakaknya, Maryuni Miskon, 32, berkata, walaupun pihak keluarga rasa berat hati untuk memberi kebenaran, namun mereka terpaksa akur demi masa depan Muhamad Hairuman.
Malah, Maryuni, juga bersyukur apabila ada pihak yang menawarkan sepasang tangan palsu buat adiknya nanti.
No comments:
Post a Comment