Monday, January 17, 2011

BILA SOAL ZINA...ROGOL@PERKOSA ...BUANG ANAK....SUDAH JADI BERITA BIASA....AKHIRNYA HUKUM YANG ADA JADI BIASA...HINGGA HUKUM ALLAH DILUPAKAN.....

Pengantin baru hilang

Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my

SUNGAI PETANI: “Saya dan isteri (Muzalifah) tiada sebarang perselisihan faham, apatah lagi kami berdua baru saja berkahwin awal Disember lalu,” kata Hidayat Hasan Saari, 25, suami kepada Muzalifah Md Isa, 23, yang menghilangkan diri sejak awal bulan ini.
Hidayat yang bertugas sebagai anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berpangkalan di Bintulu, Sarawak, berkahwin dengan Muzalifah dari Sungai Gelam, Merbok, dekat sini pada 6 Disember lalu.

Katanya, isterinya tinggal bersama ibu bapanya dan dia terkejut apabila diberitahu bapa mentuanya Muzalifah keluar dari rumahnya membawa beg pakaian dengan alasan mahu mencari kerja di Alor Setar pada 1 Januari lalu.
Katanya, sebelum itu kira-kira jam 11 pagi hari sama, isterinya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menyatakan hasrat hendak ke Johor bagi memulakan kehidupan baru.

“Dia memohon maaf dan meminta saya menghalalkan makan minumnya selama kami hidup bersama. “Saya sangat terkejut kerana sebelum itu isteri begitu mesra dan manja dengan saya ketika menghubunginya pada 31 Disember lalu.

“Saya cuba menelefonnya berulang kali, namun gagal kerana telefon bimbitnya dimatikan. Saya tidak menyangka sama sekali Muzalifah keluar daripada rumah keluarganya tanpa memberitahu ke mana dia pergi.

“Itulah mesej terakhir daripadanya dan selepas itu tiada berita malah usaha mencari oleh keluarganya di rumah saudara serta rakan gagal menemuinya,” katanya.

Hidayat berkata, dia segera pulang dari Bintulu pada 4 Januari lalu bagi mencari isterinya, namun gagal menemuinya sehingga ke hari ini.
“Mungkin dia kecil hati kerana saya tidak membawanya pulang ke Bintulu selepas kami berkahwin selain tertekan kerana diberhentikan kerja pada hujung tahun lalu.

“Bukan saya tidak mahu membawanya tinggal di Bintulu, tetapi saya mahu membuat sedikit kejutan, sebab itu saya tidak memberitahunya terlebih dahulu, tetapi tidak menyangka ini yang berlaku.

“Saya merayu supaya dia segera pulang ke pangkuan saya dan saya minta maaf jika ada salah faham sehingga dia berkecil hati,” katanya.

Berikutan itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Sungai Petani mengenai kehilangan Muzalifah.

Mereka yang mengetahui atau ternampak Muzalifah diminta menghubungi Hidayat di talian 017-4780813 dan bapanya, Md Isa Samsudin di talian 019-5693203 atau balai polis berhampiran.


Serah RM200 elak diperkosa drebar teksi



KUALA LUMPUR: Bimbang diperkosa, seorang wanita berusia awal 20-an menyerahkan wang tunai lebih RM200 dan telefon bimbit miliknya kepada seorang pemandu teksi selepas lelaki terbabit mengugut mahu merogolnya, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam di Bukit Bintang, di sini, pemandu teksi berusia lewat 30-an itu mendakwa mahu merogol mangsa kerana tertarik dengan kecantikannya.

Menurut sumber, mangsa yang baru pulang dari bekerja diugut suspek sebaik memasuki teksinya.
“Mangsa yang bersendirian dan panik dengan ugutan itu merayu berulang kali supaya tidak diperlakukan demikian.

“Pada mulanya suspek tidak mengendahkan rayuan itu sebaliknya berkeras untuk membawa mangsa ke tempat sunyi dan merogolnya,” katanya.

Sumber berkata, mangsa mengugut membunuh diri dalam teksi berkenaan membuatkan suspek terdiam seketika.


“Suspek meminta mangsa menyerahkan wang tunai dan barangan berharga kepadanya.

“Mangsa yang akur dengan arahan suspek dibenarkan keluar daripada teksi berkenaan sebelum suspek melarikan diri,” katanya.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Bapa mentua enggan ulas

SEREMBAN: “Perkara mengenai kematian menantu saya itu diketahui pada pagi Jumaat lalu,” kata Cheng Soon Tek, 63, bapa mentua kepada seorang pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) yang dijumpai mati di sebuah hotel di Amsterdam, Belanda, awal pagi Jumaat lalu.
Menurut Cheng, anaknya Cheng Yin Chet, yang juga Ketua Pemuda Gerakan Bahagian Seremban, sudah ke negara itu sejurus dimaklumkan kematian isterinya.

“Setakat ini, saya tidak boleh memberitahu apa-apa maklumat lain mengenai perkara itu dan hanya menunggu sehingga anak saya pulang ke tanah air.
“Saya kini juga sedang menunggu panggilan telefon daripadanya,” katanya ringkas di sini, semalam.

Usaha wartawan untuk menemu bual lanjut keluarga mangsa yang menetap di sekitar bandar ini bagaimanapun gagal kerana mereka masih bersedih dengan apa yang berlaku. Akhbar tempatan semalam melaporkan seorang pramugari MAS dijumpai mati di tempat letak kereta hotel penginapannya di Amsterdam, Belanda, Jumaat lalu.


Tolak unsur jenayah



KUALA LUMPUR: Polis Belanda menolak kemungkinan wujud unsur jenayah dalam kematian pramugari Malaysia Airlines (MAS) Chin Swee Len di tempat letak kereta di Hotel Radisson , Amsterdam pagi Jumaat lalu.
Jurucakap Wisma Putra berkata, polis negara itu memaklumkan kementerian semalam buat masa ini belum ada maklumat lanjut berhubung kematian Chin. Mayat Chin, 34, ditemui kira-kira jam 9 pagi oleh tetamu hotel, tempat beliau menginap.


Kematian masih misteri



KUALA LUMPUR: Kematian seorang pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) Jumaat lalu, masih misteri dan kini Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunggu maklum balas polis Amsterdam, Belanda berhubung siasatan kejadian itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi Jumaat lalu, mangsa, Chin Sew Lin, 34, ditemui mati di tempat letak kereta Hotel Radisson, dihuninya bersama pramugari lain.

Mangsa dipercayai diserang sebelum dicampak dari tingkat empat hotel berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin Ismail berkata pihaknya belum dapat mengulas lanjut berhubung kejadian itu berikutan masih menunggu laporan daripada polis di Amsterdam.

“Kita (polis) tidak mendapat sebarang maklum balas dari sana lagi. Namun, kita difahamkan polis Amsterdam sudah menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan kita berharap ia akan siap dalam tempoh terdekat.

“Setakat ini masih belum ada perkembangan terbaru dan saya tidak mahu mengulas lanjut berhubung kejadian itu,” katanya ketika sidang media di Pusat Beli Belah Summit, Subang Jaya, di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment