Wednesday, March 6, 2013

LAWAK...SYARIKAT TIADA PERSAINGAN MEMANGLAH UNGGUL...MANA ADA SYARIKAT LAIN YANG MEMBEKALKAN TENAGA LETRIK

10 mayat pengganas ditemui


AHMAD ZAHID dan Hishammuddin menunjukkan gambar mayat pengganas yang ditemui di Kampung Tanduo pada sidang akhbar di Lahad Datu semalam.



LAHAD DATU - Operasi mencari dan menggeledah Ops Daulat yang masuk hari kedua di Kampung Tanduo di sini semalam menemui sepuluh mayat kumpulan pengganas Sultan Sulu dengan sembilan daripada mayat itu sudah berulat dan berbau busuk.
Sembilan daripada mayat itu ditemui dalam satu lubang besar yang ditutup dengan kayu dipercayai ditanam oleh kumpulan pengganas sebelum mereka berjaya menyelinap keluar meninggalkan Kampung Tanduo kelmarin.
Mayat sembilan pengganas yang ditemui di dalam lubang itu disahkan sebagai sebahagian daripada 12 mayat anggota pengganas yang mati dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan pada 1 Mac lalu. Dalam pertempuran tersebut, dua anggota polis turut terbunuh.
Sehingga semalam, pasukan keselamatan belum menemui mayat pengganas yang terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan menggunakan lapan buah jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kelmarin.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Zulkefili Mohd. Zin berkata, satu lagi mayat yang ditemui dalam operasi penggeledahan merupakan mayat pengganas yang ditembak mati pada pukul 6.45 pagi semalam.
"Sembilan mayat yang ditemui dalam satu lubang besar di kampung itu merupakan mayat sekumpulan 12 pengganas yang ditembak mati pada hari Jumaat lalu.
"Buat masa ini pasukan forensik sedang mengesan baki tiga lagi mayat yang mungkin ditanam atau berada di tempat lain," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, operasi mencari dan menggeledah di kampung berkenaan yang bermula sejak petang kelmarin turut menemui beberapa senjata api milik musuh.
"Kita terpaksa menggeledah beberapa kawasan lagi untuk mencari senjata-senjata yang mungkin ditanam atau disembunyikan pengganas itu," kata beliau.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan telah berlaku dua lagi pertempuran antara pasukan keselamatan dengan kumpulan pengganas di kampung tersebut pagi semalam.

4 disyaki pengganas dicekup



ANGGOTA pasukan keselamatan memberkas seorang lelaki disyaki pengganas Sultan Sulu di Sri Jaya, Simunul, Semporna.



SEMPORNA - Empat lelaki yang dipercayai anggota pengganas Sultan Sulu ditahan oleh polis di Kampung Sri Jaya, Simunul yang terletak kira-kira lima kilometer dari sini semalam.
Kesemua lelaki berusia antara 20 hingga 50-an itu ditahan dalam operasi dan serbuan yang dilakukan dari pukul 11 pagi hingga pukul 1 petang.
Satu sumber berkata, serbuan itu dilakukan hasil maklumat risikan dan orang awam yang mendakwa terdapat pergerakan luar biasa pada waktu senja dan malam dua hari lalu di kampung tersebut.
Bertindak atas maklumat tersebut, sumber itu memberitahu, sepasukan polis menyerbu Kampung Sri Jaya dan menggeledah sebuah rumah di kampung tersebut.
"Pemeriksaan di rumah yang digeledah berjaya menahan dua lelaki dipercayai anggota pengganas, namun polis tidak menemui sebarang senjata di dalam rumah atau di kawasan sekitar rumah itu," kata sumber itu.
Selepas itu, sumber tersebut memberitahu, polis menahan dua lagi lelaki juga dipercayai daripada kumpulan pengganas di kawasan belukar di kampung berkenaan

2,000 penduduk terpaksa pindah



PENDUDUK Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu semalam menerima bantuan makanan ekoran pencerobohan pengganas yang belum berakhir.



LAHAD DATU - Insiden pencerobohan yang berlaku di Kampung Tanduo di sini sejak 24 hari lalu memaksa kira-kira 2,000 penduduk dari lapan buah kampung di kawasan sekitar yang dilanda krisis itu meninggalkan rumah masing-masing.
Kesemua penduduk dari Kampung Tanduo, Labian, Kampung Tanjung Batu, Sungai Bilis, Lok Buani, Lok Sembuang, Tagupi dan Tanagian kini ditempatkan di penempatan sementara di Dewan Endera Budi dan Bandar Fajar Harapan dekat sini.
Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman (gambar kecil) berkata, seramai 600 penduduk ditempatkan di Dewan Endera Budi, manakala 1,603 penduduk yang lain pula menumpang di beberapa buah rumah di Bandar Fajar Harapan.
Menurut beliau, penduduk yang meninggalkan rumah masing-masing kini hidup dalam keadaan tertekan kerana bimbang dengan keselamatan mereka.
"Kita sedar dengan kesukaran yang dihadapi penduduk ekoran kejadian pencerobohan yang berlaku di Kampung Tanduo.
"Saya difahamkan ada sebuah rumah di Fajar Harapan terpaksa dikongsi bersama oleh kira-kira 60 orang penduduk," kata beliau ketika melakukan lawatan ke kawasan perumahan tersebut di sini semalam.

TNB kekal syarikat utiliti unggul



NAJIB menandatangani buku catatan yang dihulurkan seorang
kakitangan TNB kepada beliau.



KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan terus kekal menjadi sebuah syarikat utiliti unggul bersepadu dan tidak akan dipecahkan kepada syarikat-syarikat lebih kecil.
Beliau berkata, pada mesyuarat Majlis Ekonomi Negara pada 4 Februari lalu, kerajaan memutuskan untuk tidak sama sekali memecahkan syarikat utiliti negara itu.
Katanya, TNB harus menjadi sebuah syarikat juara di rantau ini serta bertindak sebagai organisasi yang dikagumi.
"Saya difahamkan dan dengar di hujung telinga, warga TNB sebelum ini menghadapi sedikit kerisauan kononnya kerajaan hendak memecahkan TNB kepada kelompok atau syarikat lebih kecil.
"Saya ingin menafikan perkara ini dan ia sama sekali bukan hasrat kerajaan," katanya ketika berucap pada majlis Lawatan Kerja Perdana Menteri ke Ibu Pejabat TNB di Bangsar di sini semalam.
Lebih 20,000 warga kerja TNB mengikuti ucapan Najib itu yang turut dipancarkan menerusi persidangan video ke semua cawangan TNB di seluruh negara.

Kakitangan Felcra maut dibelasah 4 penyamun



MASITAH (kanan) dan Nor Farah Izzaty melihat lokasi Mohd. Suhaili dibelasah sekumpulan penyamun di Kampung Gajah semalam.



KAMPUNG GAJAH - Sekumpulan penyamun bertindak kejam apabila membelasah seorang kakitangan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) sehingga mati dalam kejadian pecah rumah di Kampung Sungai Badak, Jejawi dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Suhaili Abdul Salim, 27, dipukul dengan paip besi dan seterika di hadapan isteri, Masitah Zamberi, 26, dan anak perempuannya, Nor Farah Izzaty, 7.
Menceritakan kejadian tersebut, Masitah berkata, mereka sekeluarga yang sedang tidur terjaga apabila kumpulan penjenayah itu menendang pintu bilik mereka.
"Suami saya cuba melawan menyebabkan empat lelaki terbabit bertindak memukulnya dengan paip besi menyebabkan dia rebah ke lantai.
"Mereka mengikat kami sekeluarga dan menggeledah rumah namun gagal menemui barangan kemas.
"Mereka kemudian memukul suami saya dengan belakang parang serta seterika dan mengugut saya agar memberitahu tempat barangan kemas," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dua lelaki hilang dibaham buaya



ANGGOTA bomba dan penduduk mencari Manja yang hilang dipercayai dibaham buaya di Sungai Seblak, Saratok semalam.



SARATOK - Dua lelaki dipercayai dibaham buaya ketika mereka menangkap ikan dalam kejadian berasingan di Kabong di sini dan Saribas, Betong.
Lokasi antara kedua-dua tempat kejadian dianggarkan kira-kira 100 kilometer.
Mangsa pertama, Manja Salman, 29, berasal dari Kampung Sessang dekat Kabong dipercayai diserang oleh seekor buaya sepanjang tiga meter di muara Sungai Seblak kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Saratok, Asisten Superintendan Zamrul Ahmad berkata, lelaki itu turun ke sungai berkenaan kira-kira pukul 12 tengah malam untuk memasang pukat ikan.
"Selepas kira-kira 10 minit mangsa tidak naik ke tebing sungai, seorang rakannya mencari mangsa.
"Rakannya terkejut apabila melihat mangsa terkapai-kapai di dalam sungai sebelum tenggelam ke dasar sungai," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam

Geng curi kereta mewah tumpas



ARJUNAIDI melihat dua buah kereta Audi yang dicuri dan berjaya ditemui semula di Petaling Jaya semalam.



PETALING JAYA - Enam lelaki berusia antara 28 hingga 37 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan sekurang-kurangnya sembilan kes curi kenderaan mewah di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suspek merupakan anggota kumpulan yang aktif menyamun kereta di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor selain dipercayai turut melakukan jenayah itu di Negeri Sembilan dan Perak.
Katanya, dua daripada suspek ditahan bersama sebuah kereta Honda Civic yang dilaporkan hilang di Sri Damansara pada 11 Februari lalu hasil serbuan oleh polis di Manjalara, Kepong pada 17 Februari lalu.
"Ia membawa kepada penahanan seorang lagi anggota kumpulan sama di Selayang bersama dua buah kereta Audi yang masing-masing dilaporkan hilang di Kelana Jaya dan Sri Damansara.
"Pada 4 Mac lalu, pihak polis berjaya menahan tiga lagi anggota kumpulan itu di Desa Jaya, Kepong bersama peralatan pecah rumah, kunci kereta, geran kenderaan, komputer riba dan telefon bimbit," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Gerai Afrika dibuka semula



SEBAHAGIAN daripada pelanggan yang terdiri daripada warga Afrika mengunjungi premis berkenaan di Kepong baru-baru ini.



KUALA LUMPUR – Warga Afrika yang premisnya pernah diserbu pihak penguat kuasa pada Jun tahun lepas, kini membuka semula gerai African Chicken di Desa Aman Puri, Kepong di sini baru-baru ini.
Sikap keras kepala warga asing itu ternyata seakan-akan mencabar pihak berkuasa di negara ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati, warga Afrika yang berniaga di Jalan Desa 1/2 itu membuka premisnya sekitar pukul 5 petang dan beroperasi sehingga awal pagi.
Bezanya, modus operandi warga Afrika itu semakin licik apabila tidak lagi meletakkan papan tanda African Chicken di gerai mereka bagi mengelakkan dihidu pihak berkuasa.
Menjelang pukul 8 malam, gerai tersebut mula dipenuhi pelanggan yang kebanyakannya terdiri daripada warga Afrika sendiri.
Menurut sumber, wanita Afrika yang mengendalikan premis itu dipercayai menjalankan perniagaan dengan menyewa gerai tersebut daripada warga tempatan selain bijak menggunakan warga tempatan bagi mendapatkan permit perniagaan.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad berkata, pihak berkuasa perlu bertindak tegas terhadap penduduk tempatan yang terlibat menyewakan premis kepada warga asing.

Penyanyi Nouri direman kes kematian suami



NOURI, penyanyi yang popular pada tahun 90-an



KUALA LUMPUR - Penyanyi yang popular pada tahun 90-an, Nouri (gambar) semalam ditahan reman bagi membantu siasatan kes kematian suaminya di sebuah kondominium di Ampang Utara di sini.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan penahanan Nouri atau nama sebenarnya Norin Ramli, 39, bersama dua anak saudaranya bermula semalam hingga Ahad ini di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
"Wanita itu dan dua individu lagi telah ditahan di Ampang pagi tadi (semalam) bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang Isnin lalu, suami penyanyi tersebut, Khairul Azmi Jaafar, 39, ditemui mati dengan tangan dan kakinya terikat.
Mangsa yang merupakan ejen jualan langsung dikatakan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Penyanyi belasah suami hingga mati

Posted on the March 6th, 2013 under Artis by admin
Amiruddin Jamaluddin
AMPANG – Seorang penyanyi wanita sanggup membelasah suaminya dalam keadaan kaki dan tangan terikat hingga mati gara-gara tidak mahu mangsa bertemu dengan anak perempuan mereka berusia setahun.
Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, suspek bersama dua anak saudaranya bertindak sedemikian selepas berang apabila mangsa mendesak meminta bertemu dengan anaknya meskipun tidak dibenarkan berbuat demikian.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, pihaknya yang menerima maklumat tentang kejadian, bergegas ke rumah itu sebelum menemui mangsa tidak sedarkan diri di dalam sebuah bilik dengan keadaan terikat.

Menurutnya, mangsa cuba diberi bantuan kecemasan oleh anggota paramedik namun disahkan sudah meninggal dunia.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut kerana serangan jantung akibat pergelutan dan kekasaran. Suspek dan dua anak saudaranya ditahan reman untuk membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, polis merakamkan percakapan suspek dan kes dijangka dibawa ke pendakwaan pada masa terdekat
Difahamkan, pasangan berusia 39 tahun itu tidak tinggal bersama sejak setahun lalu dan dalam proses penceraian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sinar

Kiram marah digelar pengganas


LEMAH... Jamalul Kiram III berjalan dengan menggunakan tongkat di rumahnya
di Kampung Maharlika, Manila kelmarin.



MANILA - Sultan Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya Sultan Sulu menolak dakwaan Malaysia yang melabelkan pengikut-pengikutnya sebagai pengganas di Sabah, menurut beberapa laporan semalam.
Menurutnya, para pengikutnya yang diketuai adiknya, Raja Muda Azzumuddie hanya cuba pulang ke tanah air mereka.
"Adakah orang di tanah air sendiri pengganas? Adakah orang di kediaman sendiri di tanah air sendiri pengganas," kata Jamalul Kiram dalam satu temu bual bersama stesen radio dzMM.
Menurut portal berita ABS-CBNnews.com, Jamalul Kiram menyatakan tujuan melabel penggikutnya sebagai pengganas adalah untuk menghalang campur tangan antarabangsa di Sabah.
Sebelum ini, media Malaysia memetik Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sebagai berkata bahawa Setiausaha Luar Filipina, Alberto Del Rosario bersetuju kumpulan yang menceroboh Sabah itu dianggap sebagai pengganas.
Sementara itu, Jamalul Kiram sekali menegaskan bahawa Tentera Diraja Kesultanan Sulu itu tidak akan menyerah diri.
Katanya, mereka selamat daripada serangan pasukan keselamatan Malaysia.
Beliau berkata, adiknya dan para pengikutnya tidak akan kembali ke Filipina.
Jamalul Kiram menyatakan, beliau tidak akan mengarahkan para pengikutnya itu kembali ke tanah air.
Para pengikut Jamalul Kiram menceroboh Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu kerana menganggap ia merupakan tanah milik Kesultanan Sulu.
- Agensi

Hugo Chavez meninggal dunia



SEORANG penyokong Chavez menangis apabila mengetahui berita kematiannya di Caracas kelmarin.



CARACAS - Presiden Venezuela, Hugo Chavez meninggal dunia kelmarin akibat komplikasi penyakit kanser yang dihidapinya di sebuah hospital di sini.
Ekoran kematian Chavez, 58, Naib Presiden, Nicolas Maduro akan terus memerintah Venezuela sebagai pemangku Presiden sehingga pilihan raya yang akan diadakan dalam tempoh 30 hari.
Menteri Luar, Elias Jaua mengesahkan pelantikan tersebut kelmarin, beberapa jam selepas Maduro mengumumkan pemergian Chavez yang mentadbir negara mengikut cara tersendiri selama lebih 14 tahun.
Menurutnya, tempoh berkabung tujuh hari telah diisytiharkan dengan semua sekolah ditutup selama seminggu manakala majlis pengebumiannya akan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin negara sahabat Venezuela esok.
Semasa mengumumkan kematian Chavez, Maduro meminta rakyat Venezuela supaya meneruskan legasi Presiden tersebut.
Perasaan sedih turut dinyatakan oleh pemimpin pembangkang, Henrique Capriles yang tewas kepada Chavez dalam pilihan raya Presiden pada Oktober lalu.
Beliau yang dijangka menjadi calon pembangkang untuk menentang Maduro pada pilihan raya akan datang berkata: "Ini bukan masa untuk mengetengahkan perbezaan. Ini merupakan masa untuk penyatuan, masa untuk keamanan."
Dalam pada itu, Venezuela turut mengusir seorang daripada dua kuasa usaha Amerika Syarikat di negara itu selepas kematian Chavez.
Maduro memberitahu bahawa beliau yakin bahawa penyakit barah Chavez yang dikenal pasti pada Jun 2011 berpunca daripada perbuatan khianat musuh-musuh negara itu.
Beliau turut menyamakan situasi tersebut dengan kematian pemimpin Palestin, Yasser Arafat.
Sebelum ini terdapat tanggapan bahawa Arafat mati kerana diracun Israel.
Beberapa pemimpin kanan Chavez sudah lama mendakwa bahawa Amerika Syarikat (AS) mendalangi satu cubaan menggulingkan Presiden itu pada 2002.
Chavez juga kerap memainkan sentimen anti-AS bagi meraih sokongan rakyat.
Venezuela tidak menerima duta AS sejak Julai 2010 dan mengusir seorang lagi pegawai tentera AS pada 2006.
"Saya terlalu sedih sehingga saya tidak boleh bercakap," kata seorang kerani wanita berusia 39 tahun, Yamilina Barrios yang bekerja di Kementerian Industri.
"Beliau merupakan pemimpin terbaik negara ini," tambahnya.
Namun, semasa era pemerintahannya, Venezuela merekodkan kadar kes pembunuhan kedua tertinggi di dunia selepas Honduras dengan 56 orang untuk setiap 100,000 penduduk.
Presiden AS, Barack Obama ketika memberikan reaksinya tentang kematian Chavez berkata, kematiannya akan membuka lembaran baharu untuk Venezuela. - Agensi


Ratusan penduduk Filipina larikan diri dari Sabah

MANILA - Beratus-ratus rakyat negara ini yang menetap di Sabah telah melarikan diri kerana bimbang terperangkap dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan pengikut Sultan Jamalul Kiram III, kata seorang pegawai semalam.
Kira-kira 280 rakyat Filipina dilaporkan tiba di Tawi-Tawi dari Sabah malam kelmarin.
"Mereka berasa begitu takut mereka akan terperangkap dalam pertempuran tersebut. Justeru, mereka melarikan diri dan membawa bersama keluarga masing-masing," kata seorang pengarah pertahanan tempatan, Ramon Santos.
Katanya, pejabat Pertahanan Awam telah bekerjasama dengan kerajaan tempatan di selatan wilayah Mindanao untuk memberi perkhidmatan sokongan kepada rakyat negara ini yang pulang dari Sabah.
"Perkara paling utama adalah memastikan keselamatan mereka, memberi sesi kaunseling dan membantu mereka membina kehidupan baharu," katanya. - dpa

Aquino marah kedegilan pengikut Sultan Sulu

BANDAR GENERAL SANTOS - Presiden Filipina, Benigno Aquino III menyatakan kedegilan pengikut Sultan Jamalul Kiram III untuk kekal berada di Sabah telah menyebabkan perang propaganda berlaku, lapor portal berita ABS-CBNnews.com semalam.
Aquino menggambarkan tindakan oleh Jamalul Kiram menghantar para pengikut bersenjatanya ke Kampung Tanduo, Sabah sebagai satu kesilapan dan telah mengheret negara ini ke kancah bahaya.
Pihak pemerintah berkali-kali berkata, ia bimbang mengenai status kira-kira 800,000 rakyat Filipina di Sabah.
Ramai penduduk Filipina merupakan pendatang haram yang bekerja di ladang-ladang dan beberapa sektor ekonomi lain di Sabah.
Dalam ucapan beliau semasa program bersama calon senator pentadbiran, Aquino menjelaskan tindakannya meminta para pengikut Jamalul Kiram menyerah diri dibuat kerana memikirkan kebajikan rakyat Filipina yang terjejas akibat tindakan mereka menceroboh Sabah.
Aquino menegaskan tuntutan Jamalul Kiram tentang Sabah perlu dibincang secara aman.
Beliau melahirkan rasa bimbang mengenai hubungan negara ini dengan Malaysia kerana tindakan Jamalul Kiram itu.
Katanya, hubungan dua hala di antara kedua-dua negara sudah lama terjalin dengan Malaysia menjadi fasilitator rundingan damai antara pihak pemerintah dengan Barisan Pembebasan Islam Moro.
Menurut Aquino, hubungan antara Malaysia dengan Filipina mencapai tahap yang paling merosot pada tahun 1960-an semasa negara ini diperintah oleh Ferdinand Marcos.
Menurutnya, hubungan itu merosot selepas terdedahnya rancangan Oplan Merdeka yang menunjukkan Marcos mahu menjadikan Sabah tidak stabil bagi membolehkan satu serangan dilancarkan. - Agensi

Ahli perniagaan ternak ikan sturgeon gergasi



SEORANG ahli biologi, Robinson Orozco memegang seekor ikan sturgeon betina seberat 181 kilogram di Sturgeon
Aquafarms, Bascom, pada 8 Februari lalu.



BASCOM, Florida - Seorang ahli perniagaan, Mark Zaslavsky menternak sejumlah ikan sturgeon gergasi di sebuah kolam ternakannya di sini, Amerika Syarikat.
Zaslavsky, 60, yang berasal dari Ukraine menternak ikan itu untuk tujuan mendapatkan telur-telur haiwan tersebut untuk dijadikan kaviar yang merupakan makanan untuk golongan kaya.
Terdapat ikan sturgeon di kolam ternakannya yang mempunyai berat sehingga 181 kilogram.
Dia mula mengusahakan ternakan ikan sturgeon itu pada tahun 2001 di ladang Sturgeon Aquafarms.
Zaslavsky mempunyai 2,000 pelanggan.
Antara pelanggannya ialah beberapa buah restoran Rusia di New York.
Ikan tersebut boleh hidup lebih 100 tahun di habitat liar. - Reuters

Kereta Koenigsegg RM4.96j



KERETA sport model baharu Koenigsegg Agera SHundra yang berharga RM4.96 juta dipamerkan pada Pertunjukan Kereta Antarabangsa Geneva Kali Ke-83 di Geneva kelmarin.



GENEVA, Switzerland - Sebuah kereta sport model terbaharu Koenigsegg Agera SHundra yang berharga AS$1.6 juta (RM4.96 juta) telah ditempah oleh seorang pengumpul kereta di Malaysia, lapor portal kereta WorldCarFans.com semalam.
Model kereta itu telah dipamerkan pada Pertunjukan Kereta Antarabangsa Geneva Kali Ke-83 di sini sejak Selasa lalu.
Reka bentuk kereta itu dihasilkan oleh seorang artis dari Itali.
Kereta tersebut dilengkapi dengan rim gentian karbon.
Pengeluaran kereta tersebut dibuat bagi meraikan pengeluaran kereta dari Sweden itu yang ke-100.
Ia menggunakan enjin V8 5.0 liter dengan 1,040 kuasa kuda.
Badan kereta berkenaan mengandungi jalur emas 24 karat. - Agensi

Misuari desak Presiden Filipina letak jawatan

MANILA, Filipina - Pengerusi dan Pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari mendesak Presiden Filipina, Benigno Aquino III dan semua pegawai pemerintah yang terbabit dalam krisis di Sabah meletak jawatan.
Misuari berkata demikian dalam satu wawancara dengan stesen radio Radyo Inquirer semalam.
"Mereka menggunakan kuasa mereka sebagai pegawai pemerintah untuk bersubahat dengan kuasa asing bagi menentang warganegara mereka sendiri dan ia amat teruk," kata Misuari.
Pada Selasa lalu, Misuari mengkritik Aquino kerana menyebelahi Malaysia.
Dalam wawancara itu, dia mengecam Setiausaha Luar Negara, Alberto Del Rosario kerana bersetuju menggelar tentera Sultan Sulu di Sabah sebagai pengganas.
- Agensi

Belalang Mesir 'serang' selatan Israel



SEBUAH pesawat menyembur racun serangga di kawasan yang 'diserang' belalang di Kampung Kmehin, Gurun Negev semalam.



KEMEHIN - Israel memulakan perang ke atas sejumlah besar belalang dari Mesir kelmarin untuk menghalang serangga tersebut daripada memusnahkan tanaman di selatan negara itu.
Serangga tersebut yang terbang dalam berkumpulan sehingga membentuk awan di langit.
Ia 'menyerang' Israel tiga minggu sebelum hari perayaan Yahudi, Passover.
Beberapa pegawai berkata, belalang itu melitupi kawasan seluas hampir 800 hektar di padang pasir dalam tempoh semalaman.
Pihak berkuasa pertanian Israel menyembur racun serangga dan darat untuk cuba menghapuskan belalang-belalang itu pada awal pagi sebelum embun pada sayapnya kering.
"Kami berharap tindakan kami berkesan," kata seorang juruterbang berkenaan kepada stesen radio tentera.
"Harap-harap kerosakan yang dibawa serangga itu hanya minimum," tambahnya.
Menurut juruterbang itu, kehadiran sejumlah besar belalang yang membawa bencana dengan memakan tanaman penduduk pernah berlaku sebelum ini pada tahun 2004.
Sementara itu seorang penanam ubi kentang yang tinggal sekitar tiga kilometer dari sempadan Mesir, Pavel Rosenfeld berkata, setakat ini 30 hingga 40 peratus tanamannya sudah rosak.
"Semuanya bergantung kepada tiupan angin dan kami berdoa agar angin tidak akan membawa lebih banyak belalang," katanya. - Reuters

Ramai suami isteri bercerai kerana mahu jual rumah di Shanghai



SEORANG pegawai polis mengawal sejumlah penduduk yang mahu menjual rumah mereka di sebuah pusat penjualan kediaman di Shanghai kelmarin.



SHANGHAI - Sejumlah pasangan suami isteri di China memutuskan untuk bercerai bagi mengelakkan mereka membayar cukai jualan hartanah baharu.
Tindakan itu dibuat kerana pasangan yang telah bercerai tidak akan dikenakan cukai jika mereka menjual rumah berdasarkan peraturan baharu.
Pejabat-pejabat pendaftaran pemerintah yang menguruskan perceraian dipenuhi pasangan suami isteri yang ingin berpisah dengan seorang wanita baru bercerai memberitahu agensi berita AFP semalam bahawa dia kini mahu menjual hartanahnya.
Pada Jumaat lalu, pihak pemerintah mengeluarkan arahan untuk mengawal harga rumah termasuk cukai 20 peratus bagi keuntungan jualan sesebuah kediaman rumah oleh pemiliknya.
Namun, terma itu membolehkan pasangan suami isteri yang bercerai dan memiliki dua kediaman boleh menjual hartanah mereka secara bebas cukai berdasarkan beberapa syarat tertentu.
Kelemahan tersebut menyebabkan ramai pasangan suami isteri bercerai untuk menjual hartanah mereka sebelum berkahwin semula selepas itu.
Akhbar Shanghai Daily melaporkan bahawa mereka yang bercerai itu termasuk sekurang-kurangnya seorang wanita hamil.
Undang-undang baharu hartanah itu turut menyebabkan kadar perceraian di sini meningkat sekali ganda.
Harga kediaman di 100 buah bandar utama di China naik pada setiap tahun. - AFP

Imej lubang gergasi di tapak rumah di Florida



IMEJ yang dirakamkan dari udara pada 4 Mac lalu menunjukkan lubang yang terbentuk di tapak rumah Bush yang telah diruntuhkan di Seffner.



SEFFNER, Florida - Imej sebuah lubang gergasi yang muncul secara tiba-tiba di bilik tidur rumah Jeff Bush (gambar kecil) di sini disiarkan kelmarin.
Lubang tersebut muncul sehingga mengakibatkan Bush, 37, yang sedang tidur terhumban ke dalamnya pada Khamis lalu.
Mayat Bush sehingga kini masih tidak ditemui kerana pihak berkuasa menghentikan kerja-kerja menyelamat kerana lubang berkenaan semakin membesar.
Ia dikenali sebagai lubang benam.
Lubang itu terbentuk kerana kebanyakan tanah di negeri Florida terletak di atas permukaan batu kapur menyebabkan ia mudah terbenam.
Rumah Bush itu kemudian diruntuhkan oleh pihak berkuasa bagi memantau perkembangan lubang tersebut.
Anggota-anggota pihak berkuasa turut meletakkan batu-batu di dalam lubang tersebut. - Agensi

No comments:

Post a Comment