Monday, October 25, 2010

jangan berani lawan hukum Allah..Allah mampu membalasnya@menghukumnya bila2 masa....

Islam dan kebebasan budaya serta fesyen


Disiarkan pada Aug 21, 2007


dalam kategori Ibadat |


Faktor yang membawa Islam berkembang kepada setiap
bangsa dan daerah adalah kerana Islam tidak menghapuskan budaya dan adat
resam sesuatu bangsa atau negeri selagi ia tidak bercanggah dengan
prinsip-prinsip Islam atau menyebabkan orang salah faham terhadap Islam.

DALAM satu majlis kerajaan di Arau, beberapa orang bukan muslim
memutuskan tidak menyertainya disebabkan majlis tersebut menetapkan
songkok sebagai pakaian rasmi majlis. Mereka merasakan ini seakan
menyuruh mereka memakai pakaian Islam sedangkan mereka bukan muslim. Ini
sebenarnya hasil dari salah faham mereka terhadap pakaian dan
kebudayaan.
Songkok sebenarnya bukan pakaian agama
Islam.

Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat tidak pernah memakai
songkok. Sebaliknya, ia merupakan budaya orang di sebelah India dan
kemudian dibawa ke Nusantara. Namun saya tidak begitu terkejut dengan
salah faham mereka. Sebabnya, saya pernah menghadiri mesyuarat
perbincangan hukum syarak peringkat kebangsaan. Seorang tokoh agama yang
dikenali mencadangkan agar orang Islam dilarang memakai baju ceongsam
Cina atau kurta India.


Saya amat terkejut dengan pandangan sempit itu. Bayangkan jika itulah
hukum Islam, apa akan jadi dengan orang Islam di China dan India?
Amatlah berat sebelah Islam ini jika ia mengharamkan ceongsam Cina dan
kurta India, tetapi membenarkan baju Melayu.
Padahal kesemua pakaian itu tidak dikenali pada zaman Nabi. Dari
sudut sejarah pula, Islam sampai ke China dan India mendahului alam
Melayu.
Mereka lupa bahawa antara faktor yang membawa Islam berkembang kepada
setiap bangsa dan daerah adalah kerana Islam tidak menghapuskan budaya
dan adat resam sesuatu bangsa atau negeri selagi ia tidak bercanggah
dengan prinsip-prinsip Islam atau menyebabkan orang salah faham terhadap
Islam.


Maka Islam mengakui pakaian, bahasa dan kesenian sesuatu kaum selagi
tidak menyanggahi nas-nas al-Quran dan al-sunah. Sebaliknya, jika adat
dan kebudayaan itu menjurus kepada unsur syirik seperti amalan tepung
tawar dalam masyarakat Melayu, atau tokok tambah dalam agama yang
mengelirukan hakikat sebenar Islam, maka ia ditentang dan dihapuskan.
Hal ini jelas dalam hadis-hadis Nabi, antaranya: Daripada Anas bin
Malik, apabila Nabi s.a.w. ingin menulis surat Rum. Lalu diberitahu
kepadanya bahawa mereka itu tidak membaca surat yang tidak mempunyai
cop.

Lalu baginda membuat cop daripada perak. Kata Anas: seakan aku
masih melihat kilauan cop berkenaan di tangan Nabi s.a.w. berukir
Muhammad Rasulullah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini jelas
menunjukkan baginda Nabi meraikan kebiasaan sesuatu kaum selagi tidak
menyanggahi prinsip Islam. Baginda tidak berkeras menolak protokol itu
atau tidak mempedulikannya.
Padahal jika Nabi tidak mengikut kebiasaan mereka lalu mereka menolak
surat baginda, kerugian hanya balik kepada diri mereka semata.
Kedudukan baginda sebagai nabi dan rasul jauh lebih tinggi daripada
mereka semua.

Namun, baginda berlunak dalam hal yang seperti ini.
Rasulullah juga bersifat fleksibel dalam soal fesyen pakaian selagi
tidak melanggari batas syariah. Baginda menggalakkan warna putih, namun
hadis-hadis menunjukkan baginda juga memakai warna lain. Baginda memakai
berbagai-bagai pakaian dari berbagai-bagai negeri seperti Yemen,
Najran, Mesir dan lain-lain. Bahkan dalam hadis dari al-Mughirah bin
Su’bah, beliau berkata: Sesungguhnya Nabi s.a.w. memakai jubah Rom –
dalam sebahagian hadis disebut jubah syamiah (negeri Syam) – yang sempit
kedua tangan bajunya. (Riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tirmizi, al-Nasai
dan lain-lain).


Padahal Rom ketika itu adalah tamadun besar Kristian bagaikan dunia
Barat pada hari ini. Namun jubah Rom atau syamiah tiada kaitan dengan
agama berkenaan, ia adalah pakaian bangsa. Lihat apa kata sarjana agung
umat ini Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H): “Rasulullah
s.a.w. itu pernah memakai gamis (baju labuh) dan serban, baginda pernah
memakai kain sarung dan ridak (baju separuh yang dipakai bersama kain
sarung), baginda pernah memakai jubah dan farajiah (baju besar dan
panjang kedua tangannya).
“Baginda pernah memakai pakaian daripada jenis kapas, bulu dan
selainnya. Baginda pernah memakai jubah bulu ketika bermusafir. Baginda
juga memakai apa yang dibawa dari Yemen dan selainnya. Kebanyakannya
dibuat daripada kapas. Mereka (pada zaman tersebut) juga memakai buatan
Qibti Mesir yang ditenun daripada kapas. Maka, bererti sunah Rasulullah
dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang
mudah didapati dalam negerinya. Maka perkara berbagai-bagai berdasarkan
kepelbagaian negeri.” (Ibn Taimiyyah, Majmu‘ah al-Fatawa, 11/541,
Riyadh: Maktab al-Abikan).

Kata al-Imam Ibn Qayyim (meninggal 751H)
pula: “Petunjuk Nabi dalam berpakaian itu adalah memakai apa yang paling
bermanfaat (sesuai) untuk badan, paling ringan dan mudah dipakai dan
ditangkalkan.” (Ibn Qaiyyim, Zad al-Ma‘ad, 4/237, Beirut: Muassasah
al-Risalah).
Saya hairan apabila ada orang yang berkempen memakai selipar
Rasulullah yang ditemui rupa bentuknya oleh orang kita. Setelah
menyemak, reka bentuknya itu tidak pula saya temui dalam hadis-hadis
yang sahih. Jika ada sekalipun, itu bukan kempen agama ini.
Rasulullah memakai apa yang terdapat dan mudah pada zamannya. Baginda
bukannya tukang kasut yang menentukan reka bentuk seliparnya. Alangkah
baiknya jika kita berkempen agar orang Islam memiliki kilang kasut dan
menghasilkan pelbagai jenis selipar dan kasut. Bukan sekadar mereka
cipta bentuk ganjil tapi produk aslinya di tangan orang lain. Cuma,
istimewanya selipar tersebut, jika dipakai di Mekah atau Madinah,
kemungkinan untuk hilang itu agak tipis. Sebabnya, hanya orang Malaysia
yang memakainya dan orang arab belum lagi tahu bahawa demikianlah rupa
paras selipar Rasulullah. Dengan itu mereka tidak memilikinya. Jika
mereka ambil, terus dikesan itu barang curian orang kita.
Barangkali itulah rahsia ia di’bisnes’kan kepada jemaah haji kita.
Bagi saya, sesiapa yang ingin memakainya, silakanlah. Itu haknya dan
selipar memang pelbagai fesyen tetapi jangan dikaitkan dengan agama ini.


Soal fesyen pakaian dan budaya adalah terbuka dengan syarat tidak
melanggari prinsip-prinsip syarak seperti pakaian atau perbuatan yang
khas hanya untuk penganut agama tertentu selain Islam atau kelompok
tertentu yang bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Ini seperti pakaian
atau perbuatan khas sami atau paderi, atau khas kelompok yang
terang-terang menyanggahi Islam seperti pakaian ala perompak atau lanun.


Sabda Nabi: Sesiapa yang menyerupai satu puak, maka dia di kalangan
mereka (riwayat Abu Daud, al-Albani menilainya sebagai sahih).
Namun dalam adat dan kebudayaan yang tidak ada kaitan dengan akidah
dan percanggahan dengan hukum Allah, al-Quran dalam surah al-A’raf ayat
32-33 menyebut: (maksudnya) Katakanlah (Wahai Muhammad): “Siapakah yang
(berani) mengharamkan perhiasan Allah yang dikeluarkan-Nya untuk
hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik dari rezeki
yang dikurniakan-Nya? Katakanlah: Semuanya itu adalah (nikmat-nikmat
diberi) untuk orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia;
(nikmat-nikmat itu pula) khas (hanya untuk mereka) hari kiamat.
Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu per satu bagi
orang-orang Yang (mahu) mengetahui. Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku
hanya mengharamkan perkara-perkara keji, sama ada yang nyata atau
tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak
ada alasan yang benar; dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu
dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang
membenarkannya); dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah
sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.
Justeru itu, apabila Islam ke China, pakaian orang Cina dan reka
bentuk bangunan mereka tidak dihapuskan. Lihat sahaja reka bentuk masjid
di China. Begitu juga tidak dibuang kurta orang India atau tidak
dihapuskan fesyen pakaian orang Melayu bersamping dan bersongkok. Dengan
syarat tidak menyanggahi ajaran Islam.
Malangnya, saya dimaklumkan oleh beberapa orang sahabat yang baru
menganut Islam bahawa ada tok kadi enggan mengakad nikah mereka kerana
memakai fesyen pakaian yang tidak kemelayuan atau kearaban. Ini adalah
pemikiran sempit.
Di sebuah negara jiran, masyarakat suatu tempat bertengkar kerana
sebuah masjid yang dibina tidak mempunyai kubah, sehingga ada yang
berkata masjid tersebut tidak boleh diiktiraf sebagai masjid. Saya yang
dijemput hadir ketika itu diminta memberikan penyelesaian. Dengan
tersenyum saya bertanya: “Adakah tuan-tuan tahu bahawa masjid Nabi
s.a.w. pada hari ia dibina pun tiada kubah? Ia hanya dari tanah liat dan
berbumbungkan pelepah tamar dan bertiangkan batang tamar? Lihatlah apa
yang diriwayatkan oleh Ibn Umar dalam Sahih al-Bukhari. Kubah menjelma
pada generasi selepas Rasulullah sebagai salah satu seni binaan yang
diluaskan penggunaannya oleh umat Islam. Kubah bukan syarat sebuah
masjid. Apa yang penting fungsi masjid itu hendak benar-benar
membangunkan umat. Betapa banyak masjid yang berkubah mewah, tetapi
masyarakatnya tidak dapat diubah dan tidak indah. Masjid Nabi sekalipun
tanpa kubah, tetapi ia telah mengukir sejarah kegemilangan dan
mengangkat kedaulatan umat. Masjid tanpa kubah mungkin satu kekurangan
di sudut kebiasaan seni kita. Namun masjid yang tidak berfungsi seperti
zaman Nabi adalah satu kesalahan agama.” Akhirnya mereka akur.


Kehidupan manusia ini pelbagai. Seni dalam kehidupan pula
berbagai-bagai. Islam tidak memaksa bukan Arab meniru budaya Arab.
Pakaian dan seni yang berkaitan dengan bangsa Arab – jika dilakukan oleh
Rasulullah – dikategorikan sebagai sunah jibilliah atau sunah ‘adah
iaitu perjalanan hidup baginda disebabkan faktor keinsanan dan kearaban
baginda.
Dalam erti kata lain, jika baginda bukan seorang nabi pun, sunah
jenis ini tetap wujud. Ini seperti jubah, serban, kegemaran baginda
memakan labu, kaki kambing dan seumpamanya. Semua ini wujud sejak
sebelum baginda ditabalkan menjadi rasul. Golongan bukan muslim pada
zaman baginda juga mengamalkannya.
Selagi tiada nas yang sahih memerintahkan umat mengikutinya maka
sunah jenis ini menurut pendapat sebahagian ulama hukumnya harus. Ini
seperti yang disebut oleh al-Imam Abu Syamah al-Maqdisi (meninggal 665H)
dalam Al-Muhaqqiq Min ‘Ilm al-Usul fima yata‘allaq bi Af‘al al-Rasul
(lihat: m.s 41, Madinah Andalus: Muassasah Qurtubah). Dibolehkan untuk
sesiapa ingin memakainya dan diharuskan pula meninggalkannya.
Maka tidak menjadi masalah untuk seorang yang menganut Islam tidak
pernah memakai jubah atau serban atau memakan kambing, labu atau
seumpamanya. Jangan diberat-beratkan masalah ini. Dahulu ada kumpulan
agama mewajibkan ahlinya memakai fesyen jubah tertentu. Jika Islam itu
fokus utamanya mengenai fesyen pakaian, apakah ia praktikal untuk semua
bangsa? Sedangkan manusia ini berbeza latar kegiatannya dan iklim tempat
tinggalnya.
Malanglah jika ada pusat pendidikan agama, pesantren atau pondok yang
terlalu menekan soal sunah adat Arab ini, dalam masa yang sama tidak
bersungguh-sungguh dalam persoalan sunah yang memasti cara ibadah
menepati amalan sebenar nabi, juga soal pembangunan ilmu dan keluasan
minda, kekuatan dan kemajuan dalam berbagai bidang.
Justeru, sunah baginda yang mana tidak wujud jika tidak kerana
baginda seorang rasul, diperintahkan untuk kita ikuti. Ini seperti cara
solat, puasa, haji, prinsip ekonomi, pendidikan, perundangan dan
seumpamanya. Bahkan diharamkan kita menokok tambah atau mereka cipta apa
yang baginda yang tidak tunjuk dalam soal ibadah kerana itu seperti
mencabar kerasulan baginda.

Maka perkara ibadah khusus seperti wuduk,
solat, puasa, haji hanya diambil daripada baginda, tokok tambah atau
seni rekaan selain baginda tidak diiktiraf.
Di samping itu, ada pula adab dan akhlak yang dibudayakan oleh Islam
terhadap umat. Antaranya, membaca bismillah ketika makan, menggunakan
tangan kanan ketika menyuap makanan dan kebudayaan Islam yang lain
ditegaskan oleh Nabi. Sabda Nabi kepada Umar bin Abi Salamah waktu dia
hendak makan, ketika itu dia masih kecil: Wahai budak! Sebutlah nama
Allah, makan dengan tangan kananmu dan makan apa yang dekat denganmu. (
al-Bukhari dan Muslim).
Malang sekali, saya dapati masih ada orang Islam yang tidak
membiasakan diri dengan budaya Islam seperti ini.

Dalam pelbagai majlis,
ada orang Islam menyuapkan makanan ke mulut dengan tangan kiri. Islam
tidak melarang penganutnya menggunakan sudu atau garpu atau chopstick.
Namun perintah Islam, umatnya mestilah menyuapkan makanan ke mulut
dengan tangan kanan, bukan kiri. Kita boleh menggunakan budaya atau
kebiasaan apa- apa kaum pun, namun jika ia berlawanan dengan budaya yang
ditetapkan Islam, maka ia hendaklah ditinggalkan.

dr asri zainal abidin

No comments:

Post a Comment