Wednesday, October 13, 2010

KITA LIHAT DAN TUNGGU APA KESUDAHANNYA

NEGARA


Pathmanabhan, 3 pekerja didakwa


PATHMANABHAN tiba di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting untuk mendengar pertuduhan membunuh Sosilawati dan tiga lelaki lain semalam.


BANTING – Selepas genap sebulan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, peguam N. Pathmanabhan serta tiga pekerjanya dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok di sini semalam bagi menghadapi tuduhan membunuh jutawan kosmetik tersebut dan tiga rakannya pada bulan Ramadan lalu.
Tiga lagi tertuduh yang didakwa bersama N. Pathmanabhan, 41, ialah pekerja ladang milik peguam berkenaan iaitu T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Kathavarayan, 30.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang kelihatan tenang semasa pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Malaysia untuk Pathmanabhan dan bahasa Tamil untuk tiga yang lain.
Kesemua tertuduh didakwa dengan empat tuduhan yang dibacakan berasingan iaitu membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamarudin Shansudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara pukul 8.30 malam dan pukul 9.45 malam 30 Ogos lalu iaitu pada hari ke-20 Ramadan.
Mereka berhadapan dengan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Majistret Hurman Hussain menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes setelah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff yang memerlukan tempoh dua bulan bagi mendapatkan laporan kimia


NEGARA


Tertuduh mahir kendali senjata


AMINULRASYID


SHAH ALAM – Seorang saksi pendakwaan ke-10 memberitahu Mahkamah Sesyen, Koperal Jenain Subi yang menghadapi tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah pada 26 April lalu merupakan seorang yang mahir menggunakan senjata api.
Mohd. Sani Mohd. Hassan, 51, memberitahu, beliau membuat rumusan itu berdasarkan pemarkahan latihan menembak yang dijalankan pada tiga siri latihan menembak yang diadakan iaitu dua sesi pada tahun lalu dari 5 hingga 7 Oktober dan 23 hingga 30 November.
Satu sesi lagi pada 13 hingga 15 Mac tahun ini. Semua latihan menembak itu diadakan di Lapang Sasar Jeram, Kuala Selangor dan Kuala Kubu Bahru, Hulu Selangor.
“Orang kena tuduh mahir mengendalikan senjata api dan beliau ahli tembak berdasarkan markah latihan menggunakan sub-mesingan Heckler & Koch MP5 (SMGHKMP5),” katanya di hadapan Hakim Latifah Mohd. Tahar.
Dalam kejadian pada 26 April lalu, Aminulrasyid mati terkena tembakan semasa dia dan rakannya cuba melarikan diri daripada dikejar oleh kereta peronda polis di Jalan Tarian, Seksyen 11 di sini.
Ekoran insiden itu, Koperal Jenain Subi, 48, daripada Unit Kereta Peronda IPD Shah Alam didakwa telah menyebabkan kematian remaja berkenaan



NEGARA


Anugerah Datuk Ibrahim Ali ditarik

KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menarik balik anugerah darjah kebesaran yang dikurniakan kepada empat individu termasuk dua orang kerabat diraja dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkuat kuasa semalam.
Tindakan tersebut dilakukan selepas baginda melucutkan gelaran Temenggong daripada adinda baginda, Tengku Muhammad Fakhry Petra pada hujung bulan lepas.
Baginda turut menarik balik semua darjah kebesaran termasuk Seri Paduka Setia Mahkota Kelantan (SPSK) yang dianugerahkan kepada bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud dan Darjah Jiwa Mahkota Kelantan (DJMK) yang membawa gelaran Datuk Paduka daripada Ibrahim.
Penarikan balik bintang dan darjah kebesaran tersebut diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Aiseri Alias pada satu sidang media di pejabatnya di sini semalam.
Menurut Mohd. Aiseri, dua orang kerabat terbabit ialah Tengku Mohamed Shafiei Tengku Ibrahim, 65, dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor, 45, yang merupakan pegawai keselamatan di Istana Kelantan.
Beliau berkata, penarikan balik anugerah bintang Seri Mahkota Kelantan (SMK) daripada Tengku Mohamed Shafiei berkuat kuasa semalam manakala, penarikan balik anugerah Pingat Bakti (PB) dan Jaksa Pendamai (JP) daripada Tengku Abu Bakar pula berkuat kuasa 30 September lalu



Mayat dipercayai jururawat hilang dijumpai

12/10/2010 7:02pm

KOTA KINABALU - Mayat seorang wanita separuh bogel, dipercayai jururawat yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lepas, dijumpai dihumban ke dalam sebuah longkang hari ini.
Mayat itu sudah mula menjadi busuk ketika dijumpai oleh beberapa penduduk Taman Kingfisher kira-kira 11 pagi.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, SAC Tan Kok Liang berkata, siasatan awal menunjukkan mangsa mengalami kecederaan di kepala.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan mayat itu adalah jururawat dari Kudat yang sebelum ini dilaporkan hilang.
"(Bagaimanapun) masih terlalu awal untuk menentukan sebab kematian,” katanya sambil menambah bedah siasat akan dijalankan di Hospital Queen Elizabeth (QEH).
Sabtu lepas, jururawat Annie John Dismas, 39, dilaporkan hilang selepas dia berbual menerusi telefon dengan tunangnya kira-kira 3 petang. – Bernama


Belum hamil, mengaku hamil




PERKAHWINAN selama setahun lebih yang dibina oleh aktres Emelda Rosmila Abdul Hamid atau Mel, 30, bersama aktor, pengacara dan pengkritik bermulut laser Adlin Aman Ramli, 38, pada 22 Mei tahun lalu nampaknya masih lagi dalam angin berbulan madu.
Hanya hidup berdua tanpa kehadiran cahaya mata, Mel yang ditemui baru-baru ini ketika penggambaran tele filem 7 Lagu tidak dapat menyembunyikan keinginannya untuk memperoleh cahaya mata secepat mungkin.
Namun, baru-baru ini timbul desas-desus yang mengatakan dia sedang berbadan dua kerana sekeping foto yang tersebar luas di Internet menunjukkan badannya sedikit berisi daripada biasa.
Jawabnya: “Tidak saya belum mengandung lagi. Sebenarnya itu gambar lama yang diambil pada bulan Mac awal tahun ini ketika sambutan ulang tahun kakak saya, Emylia. Kebetulan saya pakai baju besar dan gambar itu dirakam dari posisi yang menampakkan saya seperti mengandung.”

EMELDA bahagia dengan kehidupan sebagai artis dan pelajar.


Tambahnya, sebagai pasangan yang telah berkahwin, impian untuk mempunyai cahaya mata sendiri sentiasa hadir. Namun sehingga kini dia terpaksa akur pada takdir bahawa ia belum berpihak kepadanya lagi.
Bagaimanapun desas-desus kehamilannya yang bertiup kencang membuatkanya menjadi tumpuan peminat dan keluarga yang bertanyakan perkhabaran tentang kehamilannya.
“Saya nak sangat mengandung kerana umur saya pun bukannya muda lagi. Saya juga tidak mengamalkan sebarang perancang keluarga. Kalau boleh esok juga saya nak mengandung (ketawa).
“Memang ramai orang tanya saya macam mana kandungan, puas saya nak terangkan hal yang sebenar. Sampai satu tahap sebab penat sangat nak menjawab tentang isu ini, saya mengaku sahaja saya mengandung.
“Saya tidak kisah orang nak cakap apa, harap-harap saya benar-benar mengandung bila ramai yang cakap saya mengandung kerana cakap-cakap orang itu merupakan satu doa,” katanya lagi.
Mengaku sudah bersedia untuk bergelar ibu, Mel mengatakan hal anak semuanya diserahkan pada Allah. Mungkin kini belum masanya lagi untuk menimang cahaya mata.
“Saya sudah bersedia untuk menjadi ibu. Walaupun belum lagi berkesempatan berasa pengalaman mengandung sejak setahun lalu, buat masa ini saya tidak pergi melakukan sebarang rawatan untuk mendapatkan anak. Tengoklah macam mana nanti.

PENAMPILAN terbaru Emelda yang kelihatan sedikit berisi menjadikan dia sasaran kononnya sedang hamil.


“Mungkin disebabkan saya terlalu sibuk. Rakan-rakan saya ramai yang beri pelbagai petua untuk dapat anak, termasuklah Diana Rafar yang sedang mengandung sekarang ini.
“Buat masa ini saya cuma mengambil asid folic yang terbukti baik untuk kehamilan dan mengelak risiko keguguran. Saya malas nak fikir sangat tentang hal ini (hamil) kerana nanti saya akan tertekan, tunggu sahajalah rezeki daripada Allah,” balasnya.
Meskipun hidup berdua, kehidupannya dan suami tidak pernah sunyi kerana mempunyai ramai anak buah ditambah dengan keluarga sebelah Adlin yang sangat besar.
“Saya tidak sunyi kerana saya ada anak-anak buah untuk saya beri kasih sayang. Saya juga tengah seronok dengan kerja yang saya lakukan sekarang ini.
“Orang juga cakap jika terlalu sibuk dan tertekan juga menjadi punca pasangan tidak dapat anak. Mungkin selepas ini saya akan pertimbangkan untuk berehat seketika untuk memberi ruang pada diri tetapi tidak buat masa terdekat ini,” katanya.
Pelajar
Mel yang kini menyambung pelajaran Pengajian Luar Kampus, Sarjana Muda Komunikasi Media, Universiti Utara Malaysia (UUM) masih berehat daripada segala kerja seni.
Ini kerana dia sedang sibuk dengan peperiksaan semester pertama yang sedang berjalan.
“Sekarang memang saya tengah sibuk dengan pelajaran dan dalam masa yang sama bekerja sebagai pelakon. Syukur kerana saya tidak perlu ke kampus utama di Sintok, Kedah, cuma dua kali seminggu saya akan menghadiri kuliah di Kuala Lumpur.

Perkahwinan dengan Adlin Aman Ramli sejak lebih setahun lalu masih belum dikurniakan anak.


“Suasana kelas pun seronok kerana kebanyakan pelajarnya adalah teman artis juga seperti Noh Hujan, Yok Bunkface, Zahid dan Zehra Zamri,” katanya tentang pembelajaran luar kampus yang ditawarkan khas buat penggiat industri hiburan oleh UUM itu.
Merancang untuk menghabiskan pengajiannya dalam tempoh tiga tahun, Mel mengakui agak kekok ketika memulakan kuliahnya kerana sudah lama meninggalkan zaman universiti.
“Dulu masa saya habis belajar pada usia 21 tahun. Sekarang umur sudah 30 tahun nak belajar balik memang agak sukar untuk saya menerimanya selain terpaksa membahagikan masa antara kerja dan keluarga.
“Penat itu memang penat, kerana saya kerja bermula awal pagi sehingga awal pagi keesokan harinya. Balik terus kena buat tugasan yang diberi pensyarah. Tetapi dalam masa yang sama saya seronok kerana semua pelajar yang masuk ke kelas saya merupakan mereka yang benar-benar serius untuk belajar,” tuturnya yang mendapat sokongan penuh daripada Adlin

No comments:

Post a Comment