Sunday, January 23, 2011

ADA ASAS CERAI TAK PE....TIADA SEBAB YANG KUKUH....TAK CIUM SYURGA...NILAI DIRI BERAPA BANYAK DERHAKA TELAH DIBUAT....JANGAN KITA ASYIK SYOK SENDIRI AJE....YANG DERHAKA KITA KATA TAK....ATAU ITU BIASALAH....ATAU APA2 CARA UNTUK MENGHALALKAN CARA....AKHIRAT PENENTUNYA....

Perceraian diizin elak wanita derita



KUALA LUMPUR: Walaupun Islam tidak menggalakkan perceraian, namun tidak juga sanggup membiarkan umatnya terseksa dan menderita semata-mata mahu mempertahankan sesebuah perkahwinan yang sedari awal sudah memperlihatkan kepincangan.
Pendakwah bebas yang juga kaunselor, Dr Rubiah Hamzah, (gambar) berkata syariat Islam menyebut perceraian sebagai jalan terakhir bagi menyelesaikan masalah antara suami dan isteri, malah ia dibenarkan untuk memastikan wanita tidak dizalimi mental serta fizikal.

Bagaimanapun, katanya tidak bermakna apa saja masalah dihadapi pasangan berkahwin perlu diselesaikan dengan perpisahan, tetapi yang lebih utama adalah suami perlu memperlihatkan sifat tanggungjawab tinggi selaku pembimbing dan ketua keluarga.
“Kita tak boleh bangunkan perkahwinan hanya sebab anak semata-mata kerana perkahwinan perlu didasari niat yang jujur dan suami bertanggungjawab bukan ke atas individu (isteri dan anak) saja malah agama, dengan itu barulah hujungnya nampak reda Allah SWT.

“Malangnya, ketika ini banyak masalah rumah tangga disebabkan perkara ini; perkahwinan dipertahankan semata-mata kerana anak dan masalah makan bertahun lamanya hingga suami tidak akur lagi tanggungjawab, kemahuan dan keperluan isteri termasuk seks.

“Suami hari ini tak mampu menjadi pemimpin yang menawarkan jalan penyelesaian baik. Perkahwinan dibina tanpa ilmu, ego suami yang tak nak menceraikan isteri (walhal sudah nampak keretakan teruk) dan isteri dibiarkan bergantung tak bertali,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan muka depan Harian Metro Sabtu lalu mengenai seorang isteri yang sudah dua tahun tinggal berasingan dengan suaminya, tergamak menghentak kepala lelaki itu dengan kuali hingga pengsan.

Kejadian menyebabkan mangsa berusia 45 tahun yang menghidap kencing manis dan darah tinggi tidak sedarkan diri hingga dibawa ke hospital selepas anak perempuan pasangan itu berusia 16 tahun menghubungi ambulans.

Wanita terbabit berusia 38 tahun itu dikatakan terdesak memukul suaminya berikutan pada masa sama seorang lelaki lain yang dipercayai teman lelakinya turut berada di dalam rumah dan tidak menyangka suaminya akan datang ke kediaman itu memandangkan mereka dalam proses bercerai. Mengulas itu, Dr Rubiah berkata, seorang isteri sangat sukar berlaku curang dengan suaminya melainkan si suami tidak bertanggungjawab, gagal memenuhi keperluan isteri, apatah lagi kedua-duanya tinggal berasingan selama berbulan-bulan lamanya.

“Dalam kes ini saya melihat perkahwinannya memang sukar untuk diselamatkan kerana ‘perpisahan’ sementara mereka menyebabkan kasih sayang kosong, tak ada lagi dan kedua-duanya saya rasakan tiada ilmu, saling menyalahkan satu sama lain dan tak jumpa penyelesaian,” katanya.


Sikap lemah-lembut 'senjata' tawan suami



KUALA LUMPUR: Golongan isteri dinasihatkan bersikap lemah-lembut terhadap suami masing-masing kerana ia ‘senjata’ sebenar yang mampu melembutkan hati pasangan dan mendapat apa yang diingini mereka, bukannya dengan kekasaran kerana lelaki mudah tewas dengan kelembutan.
Penceramah terkemuka dan pakar motivasi, Datuk Mohd Zawawi Yusoh berkata, berlawan dan bermusuh dengan suami tidak akan memberi kebaikan, manfaat atau kemenangan kepada isteri, sebaliknya mereka hanya akan kecundang apabila bersikap kasar kepada pasangan hidup.

Beliau berkata, isteri wajib taat pada suami, maka secara langsung perlu menghormati suami dan melayannya secara lembut, serta menjadikan acuan Islam sebagai rujukan demi kebahagiaan kehidupan berumahtangga.
“Golongan wanita akan dilihat hebat kerana menundukkan lelaki atau suami tetapi mereka dilihat hebat jika berjaya mendidik anak dengan sempurna menjadi insan berguna,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau merujuk kepada laporan muka depan Metro Ahad semalam mengenai nasib seorang suami, hanya mahu dikenali sebagai Razman, 30, apabila isteri yang dikahwini atas dasar cinta bersikap ala samseng kerana sering mengungkapkan perkataan sumpah seranah seperti babi, bodoh, tolol, pergi jahanam dan pergi mampus terhadap suaminya.
Bukan saja suami, keluarga suami turut menerima nasib sama, malah sepanjang setahun tempoh perkahwinan, lebih 10 kali isterinya meminta cerai selepas memulakan pergaduhan dengan alasan si suami lambat mengangkat panggilan telefon dan membalas SMS dihantarnya, selain barangan peribadi termasuk hak milik syarikat tempat si suami bekerja, dirosakkan isterinya itu.

Paling memilukan si suami, pernah satu ketika dikejutkan isterinya daripada tidur dengan menggunakan kaki.

Mohd Zawawi berkata, masalah baran isteri jarang diperkatakan kerana ia selalunya membabitkan lelaki yang mempunyai ego yang tinggi tetapi baran isteri boleh berpunca daripada beberapa sebab antaranya penyakit psikologi serta hilang sabar selepas melalui proses perkahwinan bersama suami.

Katanya, ibu bapa juga tidak disaran mewariskan kedegilan atau dengan kata lain, mengajar’ anak perempuan mereka mengamalkan tradisi hendak menang serta menguasai suami terutama menggunakan cara salah seperti ubat guna-guna atau ‘air penawar’.


Ramai lupa tanggungjawab



KUALA LUMPUR: Semakin ramai isteri lupa tanggungjawab mereka kerana sibuk mengejar kesenangan, terjebak dengan pergaulan bebas dan persekitaran sosial terbuka, sehingga terlanjur menceritakan aib suami kepada khalayak melalui laman sosial seperti Facebook dan Twitter.
Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang (gambar) berkata, demi mendapatkan kedudukan ekonomi yang baik dan kukuh, isteri hari ini terpaksa berkerja untuk mendapatkan wang mencukupi bagi membeli barang dikehendaki.

Menurutnya, isteri ketika ini tidak lagi bergantung kepada wang daripada saku suami, malah kadangkala suami tidak mampu memberikan kemewahan dimahukan isteri.

“Namun, apabila isteri bekerja, berlaku pergaulan dengan rakan sekerja dan ada ketika pergaulan ini melampaui batas sehingga menyebabkan berlaku perbuatan nusyuz (ingkar) isteri terhadap suami,” katanya.

Guna nama warga tempatan

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee

HARAM...bahagian rumah yang diubahsuai untuk dijadikan kedai tidak dibenarkan sama sekali.
HARAM...bahagian rumah yang diubahsuai untuk dijadikan kedai tidak dibenarkan sama sekali.
KUALA LUMPUR: Taktik menggunakan warga tempatan bagi mendapatkan lesen perniagaan dikesan dilakukan peniaga warga asing yang menjalankan perniagaan di negara ini.
Menurut peniaga warga asing dikenali sebagai Wak, 40-an, yang menjalankan perniagaan kedai runcit sejak enam tahun lalu, tindakan itu dilakukan bagi mengaburi mata pihak berkuasa serta mengelakkan kedai diserbu ketika operasi dijalankan.

“Taktik ini sudah lama kerana warga asing tidak dibenarkan menjalankan perniagaan di kedai atau pun sebagai penjaja. Saya bernasib baik kerana isteri orang tempatan, jadi tidak ada masalah untuk mendapatkan lesen perniagaan.
“Namun, ada juga peniaga kedai runcit, warung makan dan kedai jamu menggunakan nama warga tempatan dan mendakwa hanya pekerja sedangkan perniagaan itu milik mereka,” katanya ketika mendedahkan perkara itu.

Tinjauan di sekitar Kampung Pandan Dalam dan Ampang mendapati, perniagaan dimonopoli warga asing adalah pemandangan biasa walaupun pernah diserbu beberapa kali oleh pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Seorang peniaga warga asing yang enggan dikenali berkata, mereka hanya dibenarkan membuka perniagaan jika memiliki atau menyewa unit perniagaan komersial bernilai RM250,000 ke atas.

Mengaku tidak berkemampuan memiliki unit perniagaan itu, namun kerana desakan hidup di negara orang, dia sanggup mengambil risiko mengubahsuai kediaman yang disewanya untuk dijadikan warung makanan bagi pelanggan senegaranya.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain berkata, taktik itu bukan perkara baru dan pihak penguatkuasaan tidak pernah tertipu memandangkan operasi sering dilakukan bagi membanteras perniagaan haram warga asing.

“Kita sedar warga tempatan mengubahsuai kediaman dan menyewakannya kepada warga asing untuk menjalankan perniagaan. Jika amaran tidak diendahkan, tindakan mengikut peruntukan Seksyen 70(12), Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974 (Akta 133) akan dikenakan dan boleh didenda mencecah RM12,500.

“Selain itu, pihak MPAJ juga akan membatalkan lesen perniagaan jika mendapati warga asing menggunakan warga tempatan untuk mendapatkan lesen dan tindakan penyitaan juga boleh dilakukan sebelum membuat keputusan sama ada dilepaskan ataupun dikenakan tindakan susulan,” katanya.



Bapa bimbang jurutol tak pulang sejak 6 Januari



SEREMBAN: “Kami sekeluarga amat bimbang dengan keselamatannya kerana ketika kali terakhir dihubungi, dia menangis dan meminta kami menarik balik laporan polis yang dibuat,” kata Ghozali Zakaria, 46, yang mendakwa anak perempuan sulungnya, Rohaida, 25, hilang selepas pulang dari tempat kerjanya sejak dua minggu lalu.
Menurut Ghozali, kehilangan Rohaida yang bekerja sebagai jurutol di Shah Alam, Selangor, disedari apabila dia menelefon anak perempuannya untuk bertanya khabar, namun panggilan tidak dijawab pada 17 Januari lalu.

“Apabila saya ke tempat kerjanya di Shah Alam, majikannya memberitahu dia (Rohaida) tidak lagi bekerja di situ sejak 6 Januari lalu, malah sudah menghantar surat peletakan jawatan dalam tempoh 24 jam.
“Kami sekeluarga amat terkejut dengan perkara itu kerana dia sudah dua tahun bekerja dengan syarikat berkenaan dan tiada masalah dengan majikan atau rakan sekerja.

Ghozali yang menetap di Flat Taman Rasa Sayang, Bahau, dekat sini, berkata, sebaik menyedari keadaan itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Hulu Klang, Selangor.

Menurutnya, pada 19 Januari lalu, Rohaida menghubungi isterinya, Asmah Saad, 43, melalui telefon bimbit dan menangis sambil meminta supaya menyelamatkannya termasuk menarik balik laporan polis.


“Apabila ditanya lokasi dia berada, Rohaida tidak beritahu dan gagal dihubungi selepas itu.

“Saya berharap orang ramai yang melihat Rohaida menghubungi talian 013-3017102 atau 019-2484691 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.


4 beranak hidup melarat

Oleh Amir Abd Hamid dan Muhammad Apendy Issahak

KUALA LUMPUR: Seorang wanita Malaysia mendakwa hidup melarat bersama tiga anaknya kerana sering kebuluran, selepas berkahwin dengan suaminya di Desa Sumul Gayam, Lamongan, Jawa Timur, Indonesia.
Deritanya bertambah dengan tabiat suami pemabuk serta kaki perempuan.

Ketika dihubungi semalam Rohana Abdul Latip, 33, berkata, penderitaannya bermula kerana mengejar cinta seorang lelaki warga Indonesia yang dinikahi di tanah air, tanpa pengetahuan serta restu kedua-dua ibu bapanya.
Menurutnya, kerana cinta, dia sanggup menyeludup ke negara jiran menggunakan pasport palsu selepas suami dihantar pulang ke negara asal ekoran tiada permit sah.

Rohana berkata, dia dan suami dinikahkan imam berasal dari Madura di ibu negara hasil perancangan suaminya. Selepas beberapa bulan berkahwin, suaminya Hadi Karsin, 34, ditangkap pihak berkuasa sebelum dihantar pulang ke negara asalnya.

“Saya nekad menyusul suami dan bantuan daripada rakan suami di sini yang mendapatkan pasport Indonesia palsu, saya ke kampung suami menaiki kapal terbang.

“Tetapi malang, hidup bahagia yang saya impikan berubah menjadi pengalaman pahit apabila suami menunjukkan sikap yang sebenar,” katanya ketika dihubungi di rumahnya di Lamongan.

Menurutnya, sejak dia menyeludup ke negara jiran itu pada 2002 hidupnya tidak pernah bahagia, kerana sikap suami yang dikenali sebagai seorang yang romantik serta rajin bekerja cumalah lakonan semata-mata, kerana sebenarnya dia seorang pemabuk dan kaki perempuan.

“Kalau saya seorang merana mungkin masih boleh bertahan lagi, tetapi saya tidak sanggup melihat tiga anak lelaki kami yang masih kecil turut sama menanggung penderitaan ini.

“Mereka selalu kebuluran kadang-kadang sampai dua hari tidak makan, kalau makan pun cuma nasi berlauk garam saja. Untung ada jiran yang simpati dengan nasib kami...tapi sampai bila kami harus terus begini.

“Saya sering berdoa agar suami berubah, namun sudah hampir 10 tahun dia tidak juga berubah, malah keadaan menjadi makin teruk. Mungkin inilah akibatnya jika berdosa kepada orang tua, saya menyesal dengan jalan yang saya pilih dan ingin pulang ke tanah air serta memohon ampun dengan mereka,” katanya.

Katanya lagi, sukar untuk dia pulang ke tanah air kerana memasuki negara itu secara salah dengan tidak mempunyai pasport yang sah dan jika mahu pulang ke Malaysia secara haram pula memerlukan sekitar 5 juta rupiah (RM1,690) seorang.

Sementara itu, bapanya, Abdul Latip Jamaludin, 55, yang ditemui di rumahnya di Kampung Gesir Ulu, Hulu Selangor berkata, dia sekeluarga terlalu rindu selepas hampir sepuluh tahun anak sulungnya itu menghilangkan diri ke negara jiran dan satu ketika pernah menyangka anaknya itu mungkin sudah mati akibat bencana tsunami yang berlaku beberapa tahun lalu.

“Kami bersyukur apabila baru-baru ini anak dapat berhubung dengan kami, namun rasa sedih selepas mengetahui penderitaan dihadapi.

“Tetapi kami tidak mampu berbuat apa-apa kerana tiada wang membantu membawa pulang anak dan tiga cucu kami. Jika pun ada wang, saya tidak tahu bagaimana membawa mereka ke tanah air,” keluhnya.

Menurutnya, dia bekerja sebagai tukang kebun dan menoreh getah, dia berusaha pelbagai cara membawa mereka pulang termasuk menghantar wang RM3,000 sebelum ini, tetapi menurut anaknya duit berkenaan lebur ditipu tekong di sana.

“Kami sekeluarga mampu berdoa agar anak dan cucu berada dalam keadaan selamat serta ada pihak yang sanggup membantu untuk membawa mereka pulang ke tanah air,” katanya.


Mat Bangladesh jaja cinta jual amah



KUALA LUMPUR: Tekong hidung belang dikesan menjadikan wanita warga asing yang bekerja pembantu rumah di negara ini sebagai kekasih mereka untuk mengaut keuntungan jalan mudah dengan menjual mangsa kepada banyak majikan.
Tekong dipercayai rakyat Bangladesh itu menggunakan ketampanan wajahnya memikat pembantu rumah di sekitar ibu negara dengan menabur janji manis mahu menjadi kekasih sekali gus menyebabkan wanita asing berkenaan terpedaya sehingga sanggup lari mengikut suspek.

Harian Metro difahamkan, suspek berpura-pura mencintai pembantu rumah warga Indonesia berkenaan sebelum suspek merayu kepada mangsa melakukan pengorbanan kepadanya dengan bekerja di tempat baru.
Difahamkan, suspek menjual pembantu rumah Indonesia itu kepada majikan baru dengan mengaut keuntungan antara RM1,800 hingga RM3,000 bagi setiap wanita warga asing.

Kegiatan suspek itu tidak berhenti di situ sebaliknya, dia memberi nombor telefon wanita berkenaan kepada rakan tekong lain sebelum mangsa jatuh cinta semula dan melakukan perkara sama.

Menurut seorang pembantu rumah dikenali sebagai Lili, berusia lewat 20-an, dia tidak menyangka teman lelakinya sanggup memperdayakannya dan menjadikannya mangsa dengan ‘menjualnya’ kepada majikan baru selepas dicurahkan segala kasih sayang. “Saya mengenalinya melalui tersalah dail telefon nombor dan sejak itu kami sering berhubung dan menjadi ‘cair’ selepas lelaki itu menggunakan ayat manis.

“Kami berjanji bertemu ketika hari cuti dan saya terpesona dengan wajahnya yang tampan dan kelakuannya yang sopan,” katanya.

Mangsa ketika itu bekerja di Melaka diajak teman lelakinya ke ibu kota untuk berkahwin dan hidup bersama.

Katanya, dia yang langsung tidak mengesyaki niat buruk lelaki itu kemudian melarikan diri daripada majikannya di Melaka sebelum datang ke ibu kota bertemu dengan teman lelakinya.

“Saya dibawa ke tempat majikan baru dan bekerja di situ sementara teman lelaki berada di Rawang,” katanya. Menurut Lili, dia cuba menghubungi teman lelakinya berkali-kali selepas bekerja dengan majikan barunya di Shah Alam bertujuan untuk berjumpa dengannya, namun gagal menyebabkannya kecewa. “Selepas beberapa minggu saya cuba menghubunginya dan ada seorang lelaki lain menjawab panggilan mengatakan teman lelaki saya sudah menukar nombor.

“Saya hampa ketika itu, namun lelaki berkenaan memaklumkan dia sudi menggantikan ‘tempat’ teman lelaki saya selain mengajak bertemu dan barulah saya tahu teman lelaki hanya memperdayakan saya,” katanya.



Terburai isi perut



KOTA KINABALU: Seorang remaja bukan saja dibelasah separuh mati, malah isi perutnya hampir terburai selepas diserang empat sekawan yang dipercayai didalangi seorang lelaki yang cemburu melihat mangsa intim dengan bekas kekasihnya dalam kejadian di Kampung Kepungit di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, mangsa yang berusia 15 tahun dikatakan berehat di rumahnya sebelum seseorang memanggil namanya dan sebaik membuka pintu, sekumpulan lelaki menariknya keluar lalu berlaku pertengkaran sebelum berakhir dengan adegan tumbuk menumbuk.

Mangsa yang berseorangan ketika itu terus dibelasah kumpulan lelaki terbabit sebelum seorang daripada mereka mengeluarkan senjata tajam dipercayai sebilah pisau lalu menikam perut mangsa.
Panik melihat mangsa terbaring berlumuran darah, semua penyerang bertindak melarikan diri dan membiarkan mangsa terbaring di halaman rumahnya sambil meraung kesakitan.

Seorang jiran secara kebetulan mendengar raungan mangsa dan terkejut sebaik melihat dia berlumuran darah sambil menggelupur di atas tanah sebelum bergegas membawanya ke hospital mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, hasil siasatan awal, polis berjaya menahan empat lelaki berusia 15 hingga 20 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, berlaku salah faham antara mangsa dan seorang daripada suspek sehingga membawa kepada pergaduhan.

“Polis masih menyiasat motif sebenar pergaduhan tetapi tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada perebutan seorang gadis,” katanya.

Ahmad Sofi berkata, ketika kejadian, keluarga mangsa tiada di rumah dan pergaduhan itu hanya disedari jiran mangsa yang terdengar jeritan mangsa selepas ditikam penyerangnya.

“Pemeriksaan di tempat kejadian juga gagal menemui senjata digunakan suspek dan polis masih menjalankan siasatan termasuk mengesan senjata berkenaan," katanya.

Ahmad Sofi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata maut dalam rusuhan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Mangsa yang dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE) kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil. “Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi polis di talian 088-242111 atau mana-mana balai polis berhampiran dengan segera," katanya.



Ajal ibu ketika asyik cari lokan



KUANTAN: Seorang suri rumah yang mencari lokan untuk dijadikan juadah makan malam bersama bubur lambuk meninggal dunia selepas dipercayai diserang penyakit jantung di Pantai Sepat, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 4 petang itu yang menimpa mangsa, Pauziah Awang Deraman, 50, yang tinggal di Kampung Kuala Penor, Jalan Pantai Sepat, di sini, hanya disedari anak perempuannya, Nor Shuhadah Mohd Zalamin, 16.

Mengimbas semula sebelum kejadian, Nor Shuhadah berkata, dia melihat ibunya pada kedudukan agak jauh bersama enam ahli keluarga lain yang turut serta mencari lokan di pantai berkenaan.
Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, di sini, itu berkata, dia tidak melihat ibunya seperti dalam keadaan sakit, sebaliknya ghairah mencari lokan hingga dapat memenuhkan baldi.

Bagaimanapun, katanya, dia sempat melihat ibunya berdiri terlalu lama sebelum cuba membongkokkan semula badan untuk meneruskan mencari lokan, namun tidak lama kemudian arwah terus rebah dalam lumpur.

“Terkejut melihat ibu rebah, saya terus berlari ke arahnya dan mengangkat muka sebelum mencuci lumpur sambil cuba mengejutkannya, namun ibu sudah tidak sedarkan diri.

“Melihat keadaan semakin panik, saya terus pulang ke rumah dengan menunggang motosikal untuk memanggil ayah, Mohd Zalamin Ab Rahman, 51, kerana tidak membawa telefon bimbit manakala ibu dijaga saudara,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Penor, Jalan Pantai Sepat, di sini.

Menurutnya, dia sempat mengajar ibunya mengucap dua kalimah syahadah, namun tetap tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih dan sebak apabila kehilangan ibu tercinta

Katanya, pada pagi sebelum kejadian, arwah ibunya sempat menghias rumah dengan langsir baru biru sebelum berpakat bersama ahli keluarga untuk mencari lokan sebagai aktiviti hujung minggu.

Sementara itu, Mohd Zalamin berkata, dia terkejut selepas anak bongsunya itu pulang ke rumah dengan menunggang motosikal dalam keadaan sedih sebelum mengetahui cerita sebenar berhubung kejadian itu.

“Saya reda dan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan aneh atau pelik sebelum meninggal dunia,” katanya.



Anak dibunuh dengan elektrik

ISLAMABAD: Gara-gara bercinta dengan lelaki yang tidak direstui keluarga, seorang gadis dibunuh dengan menggunakan arus elektrik.
Polis berkata semalam, anggota keluarga Saima Bibi, 17, memutuskan untuk membunuhnya dalam satu mesyuarat majlis desa kerana memalukan keluarga.

“Terdapat tanda-tanda penderaan dan melecur pada leher, belakang dan tangan yang mungkin disebabkan penggunaan arus elektrik,” kata Zahoor Rabbani, jurucakap polis di Bahawalpur, timur Pakistan, tempat kejadian itu berlaku.
Perdana Menteri, Yusuf Raza Gilani memandang serius kejadian itu dan mengarahkan polis mengemukakan laporan segera, menurut kenyataan pejabatnya.

Kematian Saima dipercayai akibat pembunuhan kerana menjaga maruah.

Ia sering berlaku di kawasan luar bandar di mana berkahwin tanpa kebenaran anggota keluarga lelaki atau melakukan persetubuhan sebelum berkahwin dilihat sebagai pencemaran serius terhadap maruah keluarga atau suku kaum.


Doktor di sebuah hospital tempatan berkata, punca kematian Saima masih belum dapat dipastikan.

Saima dikatakan jatuh cinta dengan jirannya, Dilawar dan melarikan diri ke Karachi, bandar terbesar di Pakistan baru-baru ini.

Anggota keluarganya memujuk dia pulang dan berjanji untuk membenarkan dia berkahwin dengan lelaki itu.

“Bapa dan ibu saudara serta anggota keluarga lain kemudian enggan memenuhi hajatnya kerana mendakwa lelaki itu daripada kasta rendah.

“Beberapa bapa saudaranya dan beberapa orang yang berpengaruh lain membunuhnya apabila dia enggan menuruti kehendak mereka,” kata Zahoor.

Polis menyerbu kampung Saima selepas menerima maklumat daripada seorang penduduk kampung yang berkata, anggota keluarga Saima memberitahu orang ramai gadis itu membunuh diri.

Menurut Zahoor, pihaknya menangkap bapa Saima, Abdul Majeed dan seorang bapa saudaranya. - Reuters

No comments:

Post a Comment