Sunday, February 20, 2011

ARTIS TETAP DAPAT TUMPUAN AKHBAR...SEDANGKAN MEREKA TAK BOLEH JADI CONTOH DAN IDOLA...YANG MEREKA TAK MEMPERDULIKAN HUKUM2 ALLAH....

Padah Laman Sosial, Makan Diri Artis


LAMAN sosial seperti Facebook dan juga Twitter pada hari ini amat penting bagi setiap individu untuk menyuarakan apa sahaja yang terlintas dalam fikiran masing-masing.
Bagi golongan artis, laman itu menjadi tempat untuk mempromosikan produk dan menyalurkan maklumat mengenai diri masing-masing.
Malah ia juga dapat dijadikan sebagai medan komunikasi di antara mereka dan juga peminat.
Dengan adanya medium komunikasi baru itu, ia membolehkan para peminat mengenali artis kesayangan mereka dengan lebih dekat apabila mereka berpeluang membaca apa juga komen yang ditulis oleh setiap artis.
Sayangnya, kemudahan dan juga kemajuan yang dihasilkan itu sering disalahgunakan apabila terdapat segelintir selebriti pada hari ini menjadikannya sebagai tempat meluahkan perasaan dengan menulis perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya.
Lebih parah lagi apabila segelintir artis yang gagal mengawal emosi menempelak rakan mereka, menceritakan masalah rumah tangga, pergaduhan dengan kekasih, memaparkan gambar-gambar menjolok mata dan sebagainya.
Kes melibatkan pelakon Ifa Raziah adalah antara contoh apabila laman sosial itu disalahgunakan apabila pelakon itu menyindir Safura dengan perkataan yang kurang enak membabitkan kes mahkamah di antara mereka.
Pelakon Abby Abadi juga pernah mencetuskan kontroversi apabila dia meluahkan perasaan tidak puas hati menerusi akaun Facebook miliknya terhadap pelakon Memey Suhaiza dengan menuduh pelakon itu sebenarnya tinggal serumah dengan Norman Hakim.
Dalam pada itu pelakon Scha Al-Yahya juga pernah terjerumus dengan kontroversi apabila dikatakan memberi komen menyamakan seseorang dengan monyet melalui Twitter miliknya.
Fasha Sandha turut mengejutkan dunia hiburan apabila meluahkan perasaan bengang terhadap Tiz Zaqyah selepas pelakon itu dikatakan mengganggu kekasihnya.
Keadaan yang berlaku itu memperlihatkan satu fenomena baru sedang melanda di kalangan artis apabila mereka yang menjadi perhatian masyarakat menggunakan medium media baru iaitu Internet bagi memperkatakan sesuatu tanpa memikirkan implikasi yang bakal ditanggung dengan perbuatan itu.
Mingguan mStar mendapatkan komen selebriti Zed Zaidi, Erra Fazira serta Pensyarah Kanan Jabatan Media, Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah mengenai pengaruh laman sosial yang disalahgunakan di kalangan artis.
Mereka kena tahu kedudukan sosial mereka- Abu Hassan
Profesor Madya Dr Abu Hassan.
Menurut Abu Hassan tidak salah jika para artis menulis apa sahaja pada laman sosial masing-masing kerana ia milik peribadi artis tersebut dan mereka juga boleh berkongsi perasaan dengan para peminat.
Sayangnya kata beliau, para artis tidak faham fungsi sesebuah laman sosial dan kedudukan mereka sebagai seorang selebriti menyebabkan berlaku “perang siber” di kalangan mereka menerusi laman sosial masing-masing.
“Mereka harus tahu dan faham, sebagai seorang yang dikenali ramai, etika penggunaan laman sosial perlu dijaga. Setiap perlakuan yang dibuat perlu dikawal oleh akhlak diri kerana mereka hidup bersama masyarakat lain yang menyanjung bakat seni masing-masing.
“Jangan pula medium ini dilihat seperti sebuah tempat ancaman. Lebih-lebih lagi bila artis sesama artis bergaduh dengan memberikan kenyataan berbalas. Sedikit sebanyak, wajah mereka yang sebelum ini menjadi ikon dan pujaan ramai tercalar,” katanya.
Tambah Abu Hassan, sebagai seorang artis, mereka patut tahu mengenai etika penggunaan bahasa yang ditulis pada status di akaun laman sosial mereka.
“Pada pandangan saya, bagi artis-artis yang menggunakan medium ini sebagai tempat luahan perasaan dengan kata-kata kesat ataupun bergaduh sesama sendiri, mereka adalah pengguna yang tidak prihatin dengan status selebriti mereka.
“Malah mereka tidak layak menjadi contoh kepada masyarakat sekiranya mereka menggunakan medium ini dengan cara yang tidak sihat dan salah. Tidak menjadi isu jika mahu meluahkan perasaan yang terbuku di hati kerana cara ini mungkin dapat mengurangkan tekanan, tetapi mereka perlulah menggunakan perkataan yang berhemah.
“Mereka tidak perlu hilang rasional atau sasau tanpa berfikir dengan baik. Masyarakat tidak mahu artis-artis yang begini,” tegasnya.
Penggunaan bahasa yang berhemah juga memberikan pandangan positif terhadap khalayak di mana seseorang artis itu bijak menangani situasi yang sukar.
Dalam pada itu, kata Abu Hassan, apabila golongan artis menulis dengan penggunaan bahasa yang sihat, sedikit sebanyak, para pengikut mereka turut mengikuti cara artis itu kerana dikhuatiri, kematangan dan rasionalnya pemikiran seseorang individu itu bersangkut paut dengan ikon masing-masing.
Jangan berfikir pendek - Zed Zaidi
Zed Zaidi.
Sebagai Exco Seniman Muda, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, kesal apabila ada segelintir artis yang kurang berilmu dalam bab komunikasi di laman siber.
“Apabila kita mempunyai medium baru untuk mempromosikan kerjaya serta menambahkan bilangan peminat, mereka perlu menggunakannya dengan baik dan jika ia disalahgunakan, perkara positif boleh bertukar menjadi negatif.
“Malah ramai yang tidak tahu mengenai Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 di mana pihak yang dianiaya boleh membuat laporan polis di bawah akta tersebut.
“Lebih-lebih lagi bila laman Facebook atau Twitter yang ditulis berunsur mengancam pihak lain. Jangan terkejut jika kes sebegini boleh dibawa ke penjara,” tegasnya.
Kata Zed, dia juga kecewa apabila kontroversi Ammar Alfian Aziz sebelum ini yang mengugut dan melemparkan kata-kata kesat serta berbaur lucah kepada wartawan hiburan di Facebook pada Mac tahun lalu tidak dijadikan sebagai pengajaran.
Tambah pula sejak kebelakangan ini, ramai artis yang menggunakan medium laman sosial peribadi mereka sebagai tempat meluahkan perasaan terhadap pihak-pihak yang tertentu menggunakan kata-kata kesat.
“Pada saya, tidak salah jika mereka mahu meluahkan perasaan atau mengkritik seseorang tanpa menyebut nama menggunakan ayat-ayat yang bijak apabila dibaca. Ini kerana ia mungkin menjadi kritikan yang membina buat pihak lain, tetapi biarlah berpada-pada.
“Kadang-kala mereka berfikiran pendek tanpa memikirkan kesan yang berlaku kepada diri dan karier masing-masing.
“Saya tak kata yang semua artis kita tidak bijak kerana mereka mempunyai kelebihan mengikut bakat yang ada.
“Tetapi bila bab komunikasi, banyak yang lemah tentang hal itu. Saya percaya, kalau dididik dengan cara betul, hal ini mampu diatasi dengan baik.
“Mereka perlu tahu bagaimana cara komunikasi yang betul dengan peminat, media, rakan artis serta pergaulan di laman sosial masing-masing kerana mereka adalah ikon masyarakat,” katanya.
Justeru itu, beritahu Zed, persatuan Seniman menawarkan para artis untuk menyambung pengajian peringkat ijazah dalam jurusan komunikasi di Universiti Utara Malaysia (UUM) secara jarak jauh.
“Saya percaya, dengan penambahan ilmu komunikasi yang ada, ia boleh mengurangkan masalah artis bergaduh atau mengeluarkan kata-kata kesat pada laman sosial masing-masing.
“Mungkin mereka hanya mengkritik atau meluahkan isi hati dengan perkataan yang sinis. Itu sudah memadai, kerana setiap kata-kata yang ditulis menerusi medium ini menjadi tumpuan umum sementara akhlak dan kebijaksanaan mereka dinilai menerusi laman-laman tersebut,” tegasnya.
Belajar kawal situasi - Erra Fazira
Erra Fazira.
Sementara itu penyanyi dan pelakon, Erra Fazira, memahami apabila ada segelintir artis yang selesa meluahkan perasaan atau mengkritik sesuatu di laman sosial mereka.
Namun, sebagai seorang selebriti yang dikenali, para artis perlu sedar mengenai tanggungjawab yang dibawa terhadap masyarakat dan mereka perlu mengawal emosi masing-masing walaupun pada ketika itu mereka sedang berdepan dengan masalah yang berat.
“Kita perlu sedar, setiap tindak tanduk kita akan menjadi ikutan. Lebih baik jika kita tidak menunjuk amarah atau hal-hal negatif untuk menjadi tatapan umum.
“Saya faham, kadang-kala bila sesesuatu isu itu yang dibicarakan di media cetak dan elektronik, tafsirannya menjadi sedikit lain dan kerana hal itu, sesetengah selebriti terpaksa menjelaskan situasi sebenar menerusi laman sosial peribadi mereka.
“Ada juga selebriti yang lantang bersuara tetapi mereka tidak bermaksud mahu mencari gaduh dengan sesiapa, cuma ia sekadar luahan biasa,” tuturnya.
Tambah Erra, isu ini mampu memberi kesan jangka panjang terhadap artis berkenaan jika mereka tidak pandai menangani hal tersebut sekiranya status pada laman sosial masing-masing menjadi kontroversi.
“Semua ini pada akhirnya akan terkena pada batang hidung kita sendiri. Ini kerana, bila orang membaca apa yang ditulis, mereka akan tanya apa yang dah jadi? Apabila penulisan itu menjadi isu, ia akan menjadi sebuah kontroversi yang besar.
“Oleh itu, mereka perlu menggunakan bahasa yang lebih diplomatik agar diri mereka tidak terperangkap dengan masalah yang dicetuskan sendiri.
“Bagi saya, jika kita pandai mengawal situasi, ia menjadi lebih baik kerana setiap apa yang dibuat orang akan nilai peribadi seseorang artis itu.
“Fikir dahulu sebelum menulis. Dan jika mereka ingin menegakkan sesuatu, biarlah dengan cara berhemah,” tegas Erra.


Mayat Bayi Lelaki Ditemui Di Dalam Beg Plastik
KUALA LUMPUR: Mayat bayi lelaki yang cukup sifat ditemui oleh orang awam di dalam sebuah beg plastik yang terikat kemas di tepi Sungai Kayu Ara berdekatan stesen televisyen TV3 di Damansara Utama di sini, petang ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata bayi lelaki bersama urinya itu ditemui oleh seorang lelaki yang ingin memancing ikan di sungai berkenaan pada 3.30 petang.
Lelaki itu yang tidak tahan dengan bau busuk dari beg itu telah membukanya dan mendapati mayat bayi lelaki, katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini pada Ahad.
"Kita percaya bayi berkulit sawo matang dan baru dilahirkan itu mati dalam tempoh 24 jam lepas," katanya dan menambah tiada barangan lain ditemui bersama bayi malang tersebut.
Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian itu untuk menghubungi balai polis berdekatan.
Arjunaidi berkata bayi itu dihantar ke Pusat Perubatan Universti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.-BERNAMA



Ghairah sekejap
PETALING JAYA – Seorang lelaki berusia awal 30-an separuh bogel yang khayal menikmati urutan badan gadis urut tidak panjang apabila dia dan gadis tersebut dicekup dalam operasi banteras maksiat, malam kelmarin.

Lelaki yang difahamkan antara puluhan pelanggan setia yang kemaruk mendapatkan khidmat urutan gadis-gadis gebu di premis pusat refleksologi di SS4 di sini itu ditahan bersama lima gadis urut berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an.

Pengarah Penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Fauzi Maarop berkata tujuan operasi bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu diadakan bertujuan gejala maksiat di bandar raya ini.

Menurutnya, operasi bertumpu di pusat urut dan spa di hotel dan premis urut sekitar SS24 dan SS2.

”Kita hendak pastikan pemilik premis ini tidak melanggar syarat lesen termasuk mengaji perempuan beragama Islam untuk menjadi tukang urut,” katanya ketika ditemui, semalam.

Operasi selama tiga jam itu turut memeriksa lesen dan juga kesalahan yang lain yang sering dilakukan oleh pemilik premis.

”Masalah sosial dalam masyarakat beragama Islam perlu diberi tumpuan dan termasuk aduan dan keprihatinan orang ramai dalam melaporkan perkara ini kepada kami,” katanya.

Fauzi berkata, kesemua yang ditahan beragama Islam dan disiasat di bawah seksyen 29 (1) Enakmen jenayah syariah Selangor 9/95 kerana berdua-duaan tanpa ikatan sah.

Jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000, penjara dua tahun atau kedua-keduanya sekali. 
“Kami harap bapa selamat”

KLANG - Keluarga Md Rahim Jaib, 58, salah seorang mangsa yang masih hilang dalam kejadian kabin milik sebuah syarikat yang jatuh ke laut akibat ribut di Pangkalan Marin B1, Pelabuhan Barat di sini petang kelmarin yakin mangsa terbabit selamat dan masih hidup.

Anak ketiga Md Rahim, Muhammad Hapyzs, 25, berkata, dia dan keluarganya kini hanya mampu berdoa semoga bapanya selamat dan berjaya ditemui pasukan penyelamat dalam dalam tempoh terdekat.

“Kami reda walau apa pun yang berlaku kerana yang penting ayah segera ditemui. Walaupun awalnya, kami sekeluarga terkejut dengan berita yang menimpa ayah namun itu semua ketentuan Ilahi.

“Kini kami sekeluarga bersedia menerima apa sahaja berita sambil berdoa dan membaca Yassin bersama sanak-saudara dan jiran tetangga,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediaman keluarganya, di Perumahan Taman Kembara, Jalan Haji Othman Baru, Rantau Panjang, di sini petang semalam.

Dalam kejadian kelmarin, Md Rahim yang bekerja sebagai pilot bot hilang selepas kabin tempat rehat pekerja milik syarikatnya diterbangkan angin kencang sebelum menjunam ke laut, di Pangkalan Marin B1, Pelabuhan Barat dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengahari.

Muhammad Hapyzs berkata, berdasarkan makluman daripada rakan bapanya, sebelum kejadian terdapat lima pekerja termasuk bapanya sedang berehat dalam kabin tersebut.

“Ketika angin kencang melanda, tiga daripadanya keluar menuju ke arah bot dipercayai untuk memantau keselamatan bot manakala ayah dan seorang rakannya dikenali Pakcik Roslan berada dalam kabin.

“Ayah dipercayai sedang berehat manakala Pakcik Roslan secara tiba-tiba ke muka pintu kabin untuk memantau angin yang bertiup semakin kencang. Dalam masa yang sama, pusaran angin yang kuat terus menerbangkan kabin hingga menjunam ke dalam laut,” katanya.

Menurutnya, Pakcik Roslan yang tercampak ke dalam laut berjaya menyelamatkan diri bagaimanapun ayah tidak ditemui setelah kabin berkenaan tenggelam ke dasar laut dalam tempoh kira-kira tujuh minit.

“Semalam (kelmarin), rakan ayah menemui jam tangan Seiko milik ayah yang sudah terputus lalu menyerahkan kepada kami sekeluarga, bagaimanapun peralatan lain milik ayah tidak ditemui kemungkinan ia terjatuh ke dasar laut bersama peralatan lain yang terdapat dalam kabin,” katanya.

“Jam ini menjadi bukti kasih sayang kami terhadap ayah, sekiranya benar dia sudah tiada, kami akan tetap simpan jam ini buat selama-lamanya kerana ini adalah jam tangan kesaya- ngannya,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, sebaik menerima laporan mengenai kejadian tersebut pihak berkuasa segera melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

“Sehingga ke hari ini (semalam), mangsa yang hilang belum ditemui manakala Roslan yang terselamat dalam kejadian itu hanya mengalami kecederaan ringan di tangan.

“Walaupun begitu, kabin kontena yang terjatuh itu berjaya dinaikkan ke darat sekitar jam 6.30 pagi semalam,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang disyaki berada dalam kabin dipercayai tercampak keluar ketika kejadian berlaku sebelum dihanyutkan.

“Pemeriksaan ke atas kabin tersebut mendapati ia remuk dan pecah di beberapa bahagian akibat terhumban ke dasar laut.

“Ekoran itu, usaha mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan oleh anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Unit Marin Westport. Bagaimanapun sehingga lewat petang semalam, mangsa masih gagal ditemui,” katanya. 
Tali air Mada jadi lubuk maksiat

LANGGAR - Kegiatan maksiat yang berleluasa di kawasan gelap dan jalan Tali Air Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Batu 4 Hutan Kampung, Kampung Masjid masih lagi berlaku walaupun pelbagai laporan dibuat.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Hutan Kampung, Muhamad Ismail berkata, sehingga kini beliau masih lagi mendapat laporan daripada penduduk kampung mengenai kegiatan yang tidak bermoral dilakukan pasangan anak muda.

Menurutnya, selepas pendedahan akhbar ini melalui liputan khas Sorot ‘kegiatan maksiat di bulan puasa’ pada tahun lalu, tempat itu tidak lagi didatangi pasangan yang melakukan kegiatan tidak bermoral.

“Namun, sejak kebelakangan ini, nampaknya ia kembali menjadi tempat selamat untuk pasangan berdua-duaan kerana laluan itu gelap selain jauh dari penempatan penduduk.

“Saya mendapat laporan daripada penduduk kampung yang pernah terserempak dengan pasangan yang berdua-duaan di tepi tali air dalam keadaan yang mencurigakan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pejabat Penyelaras Parlimen, dekat sini.

Terdahulu, 18 Ogos tahun lalu, Sinar Harian melaporkan mengenai kegiatan yang tidak bermoral dilakukan pasangan yang menjadikan tali air sebagai tempat melampiaskan nafsu.

Lokasi itu menjadi tumpuna kerana laluan berkenaan kurang menjadi tumpuan dan pilihan penduduk pada waktu malam walaupun pada bulan Ramadan.

Muhamad berkata, pasangan yang datang ke kawasan berkenaan terus berani melakukan maksiat berikutan tiada tangkapan selepas masalah berkenaan dilaporkan.

Menurutnya, beliau menggesa penduduk setempat memberi perhatian kepada masalah itu dan mengekangnya dari terus berleluasa.

“Bagi penduduk yang melalui kawasan itu pada waktu malam dan terserempak dengan pasangan yang berada dalam keadaan curiga boleh terus melaporkan kepada pemimpin setempat.

“Ini bagi memastikan tindakan daripada pihak berkuasa dapat diambil,” katanya.


Pisang ganjil miliki tiga keajaiban

PONTIAN - Pelik tetapi benar. Pokok pisang kecil, jantung keluar dari tengah batang dan buahnya mendongak langit.

Demikian yang dialami oleh seorang penduduk dari Kampung Parit Rambai Hulu di sini apabila dia melihat sendiri keajaiban pada pokok pisang yang ditanamnya.

Abdul Halim Abdullah berkata, pisang jenis 40 hari itu mempunyai dua batang pokok yang tumbuh bersaiz kecil tetapi subur kerana mampu mengeluarkan buahnya.

Menurutnya, salah satu daripada batang pokok pisang berkenaan telah berbuah dengan sempurna dan buahnya dibungkus dengan karung baja.

“Di sebelah pokok pisang tersebut, terdapat satu lagi pokok pisang yang sedang berbuah, tetapi jantung serta buahnya keluar dari bahagian batang dan anehnya ia bukan satu tetapi dua,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Katanya, pada kebiasaannya, jantung dan buah yang keluar akan ‘tunduk’ ke bawah dan ke tanah kerana tarikan graviti.

“Namun pokok pisang ganjil ini dilihat mempunyai jantung dan buah yang mendongak ke langit,” katanya.

Menurutnya, dia terkejut melihat kejadian itu yang disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa kerana mencipta tiga keajaiban sekali gus.

No comments:

Post a Comment