Sunday, September 25, 2011

APA BAHASA KITA KETAHUI ADALAH BAIK...LEBIH2 DIGUNAKAN UNTUK DAKWAH IAITU MENGEMBANGKAN ISLAM....

Rentung selepas dua kali redah api


RUMAH Hasan hangus dijilat api menyebabkan keluarganya kini tinggal sehelai sepinggang di Senggarang, Batu Pahat semalam.


BATU PAHAT - "Buka pintu ini Boboi, cepat tolong ayah, panas!"
Itu jeritan terakhir seorang ayah, Hasan Dg Patangga (gambar), 68, kepada anak bongsunya yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Ahmad Borhan, 15, sebelum warga emas itu ditemui rentung dalam rumahnya di Kampung Parit Jabar Laut, Senggarang di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa yang bekerja mengambil upah di kebun kelapa sawit, maut apabila rumahnya yang diperbuat daripada papan hangus dijilat api.
Turut bersama mangsa ketika kejadian ialah isterinya, Rohana Md. Amin, 53, yang mengalami penyakit angin ahmar dan anak bongsunya itu. Kedua-dua mereka bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri.
Dua lagi anaknya, Norashima, 20, kini belajar di Kolej Teknikal Yayasan Melaka, manakala Nor Ummi, 17, belajar di Sekolah Menengah Vokasional Inderapura, Kulaijaya, Johor.
Menurut Rohana, dia pada mulanya terdengar satu letupan kuat yang disangkanya bunyi mercun tetapi setelah nampak api dan asap marak di dalam rumah, dia mula panik dan cepat-cepat mengejutkan suami dan anak yang tidur di bilik lain.
"Sebelum kejadian, arwah kelihatan gelisah berbanding biasa dan katanya dia hendak tidur di bilik lain kerana cuaca panas. Dia masuk tidur awal sedangkan saya masih menonton televisyen sehingga tengah malam," katanya.

Siaran klip Undilah ditarik balik


PETIKAN rakaman video Undilah yang dalam adegan ini menampilkan Tony Fernandes telah ditarik balik atas alasan ia belum mendapat kebenaran LPF.


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjelaskan bahawa arahan penarikan video Undilah adalah kerana pengumuman khidmat awam (PKA) tersebut masih belum mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk disiarkan di televisyen.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan SKMM semalam, arahan tersebut dibuat hasil pemantauan pematuhan secara rutin mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) yang dijalankan SKMM ke atas video karya pemuzik Pete Teo itu.
"Di dalam kes pengumuman khidmat awam yang dihasilkan oleh pemuzik Pete Teo dan atas hasil pemantauan pematuhan secara rutin yang dibuat oleh SKMM, didapati PKA tersebut belum mendapat kelulusan daripada LPF untuk disiarkan di televisyen.
"Oleh itu PKA tersebut tidak sepatutnya disiarkan di televisyen sehingga ia telah mendapat kelulusan," kata SKMM.
Menurut SKMM, demikian juga di bawah AKM 1998, semua penyiar mesti menghentikan penyiaran klip video berkenaan.
"Arahan ini adalah mengenai pematuhan oleh pihak penyiar dan bukannya kandungan PKA tersebut," kata kenyataan itu.
Video itu menampilkan 40 personaliti, antaranya Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Tampil mewakili Pakatan Pembangkang ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Turut disenaraikan ialah pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.
Pelakon Afdlin Shauki dan penulis lirik kontroversial Namewee pula antara individu terpilih untuk mendendangkan lagu Undilah.
Video selama 4.38 minit yang dilancarkan sempena Hari Malaysia minggu lepas menyeru rakyat untuk keluar mengundi.
Sementara itu, Ka Siong yang juga Ketua Pemuda MCA menuntut penjelasan SKMM mengenai motifnya melarang stesen penyiaran lokal menyiarkan klip video Undilah.
Menurutnya, penerbitan itu bukan bahan berkontroversi, sebaliknya hanya satu makluman awam menyeru rakyat Malaysia mendaftar dan mengundi.



Kelebihan fasih berbahasa Rusia


AHMAD SHABERY (tengah) bersama ahli-ahli jawatankuasa Kelab UMNO Luar Negara Moscow di Rusia semalam.


MOSCOW - Sebahagian besar daripada pelajar Malaysia di sini yang fasih berbahasa Rusia dilihat suatu kelebihan bagi kerajaan untuk menerokai hubungan diplomatik dengan negara-negara bekas Kesatuan Soviet yang lain.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Chik berkata, ia termasuk negara seperti Azerbaijan dan Turkmenistan.
"Memandangkan pelajar dari Malaysia di sini sudah fasih berbahasa Rusia, ia akan memudahkan lagi urusan dengan kerajaan dan rakyat di negara-negara terbabit.
"Sebagai modal insan pilihan, mereka (pelajar Malaysia) bukan sahaja diperlukan untuk menjadi doktor semata-mata tetapi lebih daripada itu," katanya ketika bertemu dengan ahli-ahli jawatankuasa Kelab UMNO Luar Negara Moscow (Kumosc) di sini semalam.
Lagipun, Ahmad Shabery yang juga Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara memberitahu, tidak ramai pelajar dari negara Asia Tenggara lain yang dihantar menuntut ilmu di Rusia dan ia peluang yang boleh direbut oleh Malaysia dalam meneroka bidang-bidang baharu yang dapat memberi manfaat kepada negara.
Turut hadir pada pertemuan yang sama ialah Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Wasitah Mohd. Yusof dan Pengerusi Kumosc, Muhamad Akmal Saleh.
Pertemuan itu dihadiri oleh 20 ahli jawatankuasa Kumosc yang datang dari Russian State University, First Moscow State Medical University dan Nizhny Novgorod Medical State Academy.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli Kelab UMNO Luar Negara untuk mengingatkan sesama mereka tentang kesungguhan pemimpin UMNO, terutamanya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengemukakan idea penghantaran pelajar perubatan dari Malaysia ke Rusia pada sembilan tahun lalu.
Bagi membantu pelbagai aktiviti bagi membolehkan pelajar Malaysia di sekitar Rusia bergerak aktif, Ahmad Shabery berkata, beberapa aktiviti akan dianjurkan pihaknya melalui Sekretariat Rakan Muda, Kementerian Belia dan Sukan dalam masa terdekat.

Kanak-kanak maut jatuh dari tingkat lima


Bangunan kuarters IPD Marang tempat Ahmad Safuan
terjatuh dari tingkat 5.


MARANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut selepas terjatuh dari tingkat lima kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Supritendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, mangsa, Ahmad Safuan Syafik Afandi yang mengalami sindrom down dan hiperaktif dipercayai terjatuh kira-kira pukul 7.45 pagi.
"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas tangan dan kaki kirinya patah dan mengalami kecederaan parah di kepala.
"Sebelum kejadian, ada seorang anggota polis terserempak dengan mangsa di tingkat enam di kuarters berkenaan dan bertanya kepada mangsa, dia hendak ke mana, tetapi mangsa terus berlari ke tingkat bawah," katanya kepada pemberita.

Malaysia juga boleh ditimpa serpihan dari langit




KUALA LUMPUR – Insiden satelit milik Amerika Syarikat (AS) jatuh ke bumi akibat tarikan graviti tidak sepatutnya dipandang ringan memandangkan Malaysia juga tidak terkecuali daripada terkena serpihan objek seumpama itu yang jatuh dari langit.
Ketua Makmal Satelit, Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Ir. Renuganth Varatharajoo (gambar) berkata, bandar raya seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Ipoh merupakan lokasi yang berpotensi menyebabkan kemusnahan jiwa dan harta benda yang besar.
“Walaupun objek yang jatuh itu bersaiz 10 sentimeter panjang, kelajuannya tetap memberi impak sangat kuat,” kata beliau lagi.
Beliau mengulas insiden Satelit Penyelidikan Atmosfera Amerika Syarikat (UARS) yang jatuh ke bumi awal pagi semalam dengan dipercayai bertaburan di Lautan Pasifik.
Satelit itu dilancarkan ke orbit pada tahun 1991 untuk kajian lapisan ozon sebelum perkhidmatannya ditamatkan pada 2005.
Menurut Renuganth, satelit seperti UARS akan meluncur selaju 28,000 kilometer sejam sebaik sahaja memasuki atmosfera bumi sebelum terbakar dan berkecai.

Satelit AS jatuh ke bumi

GAMBAR UARS yang sempat dirakamkan di ruang udara Belanda pada 18 Jun 2010.


WASHINGTON - Sebuah satelit tamat tempoh seberat enam metrik tan milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berkecai semasa memasuki atmosfera bumi pagi semalam dengan serpihan-serpihannya jatuh bertaburan di rantau Lautan Pasifik.
Pusat Operasi Bersama Angkasa Lepas AS dan NASA dalam satu kenyataan memberitahu, serpihan-serpihan satelit sebesar sebuah bas itu tidak semestinya menjunam ke dalam laut tetapi mengesahkan ia jatuh dalam kawasan seluas 800 kilometer persegi di rantau Pasifik.
Setakat berita ini ditulis, pihak berkuasa belum ada mengenal pasti lokasi yang tepat tempat serpihan-serpihan tersebut jatuh.

GAMBAR satelit UARS yang dikeluarkan oleh NASA selepas ia jatuh ke bumi kelmarin. - AFP


Menurut kedua-dua agensi AS itu, satelit sepanjang 11 meter itu jatuh antara pukul 1.23 petang (5.09 petang semalam waktu Malaysia).
Semasa menembusi atmosfera bumi, ia berkecai kepada lebih 100 kepingan tetapi cuma sekitar 26 kepingan logam berat dengan serpihan terbesar seberat 135 kilogram dijangka menjunam ke bumi.
NASA meramalkan kelajuan serpihan satelit itu apabila memasuki ruang udara ialah kira-kira 109 meter sesaat.
NASA sebelum ini meramalkan satelit yang dikenali sebagai Satelit Penyelidikan Atmosfera Amerika Syarikat (UARS) itu jatuh ke bumi seawal Khamis lalu.

Ahmad Jais dimasukkan ke unit separa rapi




SHAH ALAM - Penyanyi irama pop yeh yeh, Datuk Mohd. Jais Ahmad (gambar) atau lebih dikenali sebagai Ahmad Jais dimasukkan ke Unit Rawatan Separa Rapi Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) di sini awal pagi semalam akibat sesak nafas.
Anak keempatnya, Maimun Mohd. Jais berkata, bapanya pernah mengadu penat selepas pulang daripada membuat persembahan di Batu Pahat pada 8 September tetapi sakitnya mula serius pada malam Khamis lalu dan mengambil alat bantuan pernafasan di Hospital Pakar KPJ Selangor.
Bagaimanapun kata Maimun, bapanya dipindahkan ke hospital itu awal pagi semalam kerana mempunyai rekod perubatan di situ.

Bekas tukang sapu jadi Presiden Zambia

MICHAEL SATA (kanan) menyanyikan lagu kebangsaan Zambia selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden Zambia yang kelima kelmarin. - AFP


LUSAKA, Zambia - Seorang bekas tukang sapu di stesen kereta api Victoria, London dipilih sebagai Presiden Zambia yang baharu.
Berikrar mahu "menyapu Zambia menjadi lebih bersih", Michael Sata yang menerajui parti Barisan Patriotik, mengangkat sumpah sebagai Presiden Zambia Khamis lalu setelah partinya memperoleh kemenangan tipis dalam pilihan raya baru-baru ini.
Berusia 74 tahun dan mempunyai lapan orang anak, Sata giat menentang pengaruh China yang semakin meluas di negara berkenaan.
Zambia yang dikelilingi lapan negara iaitu Republik Demokratik Congo, Tanzania, Malawi, Mozambique, Zimbabwe, Botswana, Namibia dan Angola adalah pengeluar tembaga terbesar di dunia selain kaya dengan galian lain.
Sata, 74, menuduh pemerintah terdahulu, Presiden Rupiah Banda yang mentadbir Zambia selama 20 tahun sebagai terlalu berlembut dalam menangani gejala rasuah.
Tidak mahu mengulangi kesilapan sama, beliau berikrar akan berkongsi kekayaan hasil mineral negara itu dengan rakyat secara lebih adil dan telus.
"Zambia tidak boleh lagi mundur ke belakang. Kita semua mesti bergerak ke hadapan sebagai satu bangsa," katanya.
Digelar Tedung Selar kerana ucapan berbisanya yang sukar ditepis pihak lawan, Sata lahir di Zambia ketika negara itu masih bergelar koloni British bernama Rhodesia Utara.
Pada tahun 1950-an, beliau berhijrah ke London sebelum diambil bekerja sebagai tukang sapu dan porter oleh syarikat kereta api Britain, British Rail.
Sata kemudian belajar separuh masa untuk mengubah nasibnya. Beliau juga pernah bekerja di sebuah kilang pemasangan kereta di Britain sebelum kembali ke Zambia.
Sata kemudian menyertai pasukan polis negara itu.
Semasa berkempen, Sata pernah bersumpah bahawa beliau tidak akan minum air minuman yang dibotolkan sehingga semua rakyat Zambia mendapat bekalan air bersih.
Walaupun kaya dengan pelbagai hasil Bumi, negara di selatan Afrika itu masih dikategorikan sebagai mundur.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 70 peratus daripada 13 juta rakyat Zambia hidup dalam kemiskinan dengan purata gaji tahunan di negara itu cuma £255 (RM1,250). - Agensi

Kubur beca di Dhaka


KAWASAN Mirpur di Dhaka menjadi tempat buangan beribu-ribu buah beca. - Agensi


DHAKA, Bangladesh - Sakit mata memandang! Begitulah pemandangan beribu-ribu buah beca yang ditinggalkan begitu saja di sebuah kawasan lapang di bandar raya ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Kawasan Mirpur di sini yang digelar 'kubur beca', menyimpan lebih 15,000 buah kenderaan itu dengan hampir semuanya dijana kuasa kayuhan.
Kenderaan beroda tiga itu semakin terpinggir di sini ekoran ramai pengusaha beca kini lebih gemar menggunakan beca elektrik yang diimport dari India
Selain kurang memenatkan, beca elektrik lebih digemari kerana ia boleh membawa hingga enam penumpang berbanding beca tradisional yang cuma boleh dinaiki oleh tiga orang. - Agensi

No comments:

Post a Comment