Thursday, September 29, 2011

HUKUM ALLAH DAPAT MELINDUNGI SEMUA...TAPI KENAPA BANYAK DALIH MENOLAKNYA....ADAKAH KITA SUKA MENDENGAR CAKAP SYAITAN...SYAITAN MEMANG NAK JAHANAMKAN KITA....DAN KITA PUN MACAM RELA DIJAHANAMKAN....MAKA ORANG YANG MELAWAN ALLAH AKAN MASUK NERAKA JAHANAM...

Noda umpan rokok dadah



KUALA LUMPUR: Seorang gadis sunti dipaksa menghisap sebatang rokok yang dipercayai mengandungi dadah sebelum pengsan dan dirogol seorang lelaki berusia 20 tahun yang juga abang angkatnya di sebuah flat di Pantai Dalam, di sini, awal Julai lalu.
Mangsa iaitu murid berusia 12 tahun diugut supaya merahsiakan kejadian itu. Disebabkan takut, mangsa mendiamkan diri menyebabkan dia terus dinodai suspek dan dipercayai dirogol lebih lima kali dalam tempoh hampir dua bulan lalu.

Tidak tahan dengan kejadian itu, mangsa mengadu kepada sepupu suspek berusia awal 20-an pada hujung Ogos lalu, namun aduannya itu sia-sia apabila lelaki terbabit pula merogolnya.
Bagi mengakhiri penderitaannya, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Pantai, di sini, kelmarin.

Menceritakan kejadian itu, sumber polis berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 2 petang awal Julai lalu, mangsa yang bersendirian ketika menaiki lif untuk pulang ke rumahnya di tingkat tujuh flat itu terserempak dengan abang angkatnya.

“Suspek kemudian memaksa mangsa mengekorinya pulang ke rumah. Lelaki terbabit seterusnya memaksa mangsa menghisap sebatang rokok menyebabkan dia pengsan.

“Sebaik tersedar mangsa menyedari dia dirogol. Suspek kemudian mengugut untuk mencederakan mangsa jika memberitahu kejadian itu kepada orang lain termasuk ibunya,” katanya.

Sumber berkata, mangsa dirogol suspek lebih lima kali dan dipercayai dipaksa menghisap rokok sebelum dinodai.

Kanak-kanak insan perlu dilindungi

OLEH DR AMINUDIN MANSOR

DALAM kehidupan ini, orang dewasa seharusnya menjadi pelindung kepada kanak-kanak terutama bagi mereka yang belum mencapai usia baligh. Dalam usia sebegini kanak-kanak mudah terdedah dengan apa yang mereka lihat, dengar dan alami di sekeliling mereka. Oleh itu, tidak hairanlah jika mereka mudah menjadi mangsa kepada golongan yang tidak bertanggungjawab terutamanya penjenayah.
Kes-kes jenayah pada masa kini, terutamanya ke atas kanak-kanak, menunjukkan adanya perkembangan yang mencemaskan terhadap keselamatan sosial sama ada di Malaysia ataupun di seluruh dunia. Bagi kanak-kanak tiada pelindung bagi keselamatan mereka kecuali ibu bapa dan orang dewasa yang paling dekat dengannya.

Kajian menunjukkan pelbagai jenayah membabitkan kanak-kanak seperti jenayah culik, rogol dan liwat, penderaan, menjadi mangsa peperangan, pengguguran haram, buruh paksa, diperdagangkan, menjadi peminta sedekah dan pembunuhan. Setiap hari ada saja berita tentang kes jenayah membabitkan kanak-kanak yang dipaparkan media massa.

Ada kes yang dapat dikesan dan dilaporkan kepada polis, manakala masih banyak kes jenayah yang membabitkan kanak-kanak tidak terbongkar sehingga kanak-kanak tersebut mengalami penderitaan sepanjang hidupnya. Kanak-kanak terbabit akan mengalami trauma, kegelisahan dan murung serta tidak mendapat pembelaan sewajarnya.


Salah satunya ialah jenayah culik dikatakan boleh berlaku saban hari. Mengikut perangkaan Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), setiap hari dianggarkan lebih 3,000 kanak-kanak dari seluruh dunia diculik untuk dijadikan hamba seks, buruh kasar dan sebagainya.

Kanak-kanak juga mudah menjadi mangsa rogol dan liwat disebabkan mereka tidak tahu mengecam mangsa dan tidak memahami perlakuan tersebut yang akhirnya memusnahkan masa depan mereka. Lebih menyedihkan, mereka menjadi mangsa kepada orang yang hampir dengan mereka iaitu bapa, abang, datuk mereka sendiri malah jiran yang paling dekat.

Penderaan lazimnya dilakukan terhadap kanak-kanak oleh kaum keluarga sendiri. Biasanya penderaan ini membabitkan penderaan fizikal, mental dan emosi. Ada kanak-kanak dipukul dan dicucuh api rokok sehingga lebam seluruh badannya. Ada juga yang sering dimarahi oleh pengasuh dan ibu bapa disebabkan kesalahan kecil. Bayangkan bayi perempuan berusia lapan bulan didera dan tidak berdaya untuk mempertahankan diri menyebabkan fizikal dan emosinya terganggu sehingga dewasa. Penderaan terhadap kanak-kanak jika sabit kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Di Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berperanan melindungi kanak-kanak yang didera apabila mendapat laporan daripada orang ramai. Setiap ahli masyarakat mestilah prihatin terhadap anak-anak jirannya yang selalu menangis dan jika didera segera melaporkannya kepada JKM yang berdekatan. Peranan jabatan ini seharusnya lebih proaktif dalam usaha melindungi kanak-kanak.

Kanak-kanak juga menjadi mangsa peperangan. Mereka ditangkap, didera dan sering terdedah dengan risiko kematian. Sebagai contoh di Iraq dan Palestin dikhabarkan setiap hari lebih 10 kanak-kanak terkorban sama ada terkena serpihan bom atau ditembak dan menjadi mangsa semasa peperangan.

Selain itu, kanak-kanak juga sering menjadi mangsa jenayah kekejaman melalui pengguguran secara haram. Walaupun mereka belum bernyawa mereka telah diseksa dengan kejam melalui pengguguran haram oleh mereka yang tidak berperikemanusiaan. Lebih menyayat lagi, ada juga mayat mereka dibuang dalam tong sampah tanpa rasa belas kasihan.

Dalam kehidupan moden, kanak-kanak juga dijadikan buruh paksa untuk bekerja dalam usia muda. Lebih memeritkan upah yang diterima tidak setimpal dan mereka dipaksa bekerja tanpa henti. Ada juga kanak-kanak menjadi mangsa sindiket peminta sedekah yang menggunakan mereka untuk mendapatkan wang. Mereka ini dipaksa meminta sedekah di restoran, gerai makan, di pusat beli-belah dan juga di masjid tanpa tindakan bagi membela mereka.

Terdapat juga kanak-kanak yang menjadi mangsa pembunuhan disebabkan oleh orang dewasa yang kehilangan fikiran yang waras akibat ketagihan dadah. Jenayah ini terdedah kepada kanak-kanak terutama bagi mereka yang ibu bapanya sudah bercerai. Akibatnya kanak-kanak ini didera dan akhirnya menemui kematian.

Justeru, terdapat banyak punca kenapa jenayah ini berlaku terhadap kanak-kanak. Antaranya sifat semula jadi kanak-kanak yang mudah menurut kata, masih lemah, mudah dipujuk didekati dan akhirnya terdedah kepada pelbagai keganasan pada masa kini berbanding keadaan pada masa dulu.

Selain itu, disebabkan kurangnya didikan dan kasih sayang ibu bapa menyebabkan kanak-kanak terbiar dan terdedah menjadi mangsa culik, rogol dan dera.

Kurang keberkesanan undang-undang juga menyebabkan penjenayah sering mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak. Masyarakat juga tidak prihatin terhadap keselamatan kanak-kanak iaitu sewaktu pergi atau pulang dari sekolah secara bersendirian. Ini menyebabkan ada ruang dan kesempatan bagi penjenayah.

Dalam kalangan masyarakat juga semakin kurang semangat kejiranan dan lemah dalam membentuk perpaduan komuniti yang jitu. Setiap ahli masyarakat juga tidak prihatin dan bersikap ambil mudah dengan keselamatan kanak-kanak sewaktu mereka berada di taman permainan, di pasar malam dan di pusat beli-belah yang mudah terdedah serta akhirnya menjadi mangsa penjenayah.

Suatu bentuk hukuman yang berkesan haruslah diwujudkan. Sikap keprihatinan masyarakat setempat mestilah lebih memfokuskan kepada keselamatan kanak-kanak terutama yang di bawah umur. Ibu bapa, datuk dan saudara mara yang terdekat mestilah menjadi pelindung kepada kanak-kanak bukan menjadi “seperti haruan memakan anak”.

Setiap anak memerlukan perlindungan dan keselamatan untuk menjadi dewasa. Anak-anak ingin hidup sejahtera seperti juga orang dewasa. Anak-anak memerlukan kekuatan, bimbingan, didikan dan perlindungan keselamatan untuk kelangsungan hidupnya. Sewaktu anak-anak masih kecil didiklah hati dan diri mereka dengan iman, amal dan akhlak yang baik. Anak-anak memerlukan tunjuk ajar dan didikan bukan kemarahan dan penderaan.

Natijahnya, keprihatinan yang lebih daripada ibu bapa dan masyarakat sekeliling sangat dituntut iaitu kembali kepada ajaran agama sebagai benteng rohani dan menjadikan anak-anak insan yang harus dilindungi, diselamatkan dan disayangi. Pembentukan akhlak dan peribadi manusia yang baik dalam kalangan orang dewasa akan menjadikan perasaan kasih dan sayang yang mendalam terhadap kanak-kanak.



  • Penulis ialah penulis bebas berkelulusan PhD Persuratan Melayu



  • No comments:

    Post a Comment